ZANA berhimpit masuk di antara para pelajar yang sudah berkerumun
di situ sehinggalah dia bisa melihat apa yang menyebabkan semua pelajar
berkumpul. Berita yang disampaikan dari mulut ke mulut itu membuatkan dia
datang ke sini. Terbeliak biji matanya apabila melihat Zaid dan Munir sedang
bertumbuk sesama mereka.
“Kurang ajar kau
Zaid! Apa yang kau tak puas hati dengan aku?!” Tengking Munir yang sudah
terjelepuk jatuh ke tanah.
“Berani kau
fitnahkan Audra!” Zaid yang tercungap-cungap terus menghampiri Munir dan menarik
leher bajunya. Sekali lagi, Zaid cuba menumbuk muka Munir.
Munir menepis dan
menumbuk muka Zaid. Kali ini, giliran Zaid terbaring di tanah. Bibirnya
berdarah. Zaid menyapu darah yang mengalir dengan belakang tangannya.
Pandangannya penuh dengan api kemarahan yang sedang marak menyala.
Zaid perhatikan
Munir. Apabila Munir kelihatan leka sedikit, Zaid yang sememangnya masih belum
bangun dari terbaring mengambil kesempatan itu dengan menendang kaki Munir.
Munir tersungkur. Kini, kedua-duanya terbaring di atas tanah.
Zana yang
menyaksikan apa yang sedang berlaku, sudah ternganga di situ. Benarkah apa yang
didengarnya? Nama Audra telah disebut! Apakah Audra menjadi punca pergaduhan
ini? Memang, Zaid dan Munir, kedua-duanya menyukai Audra. Tetapi, takkanlah
kerana seorang perempuan mereka sanggup bertumbuk seperti ini?
Baru-baru ini,
Munir pernah datang berjumpa dengan Audra dan melamarnya untuk menjadi teman
wanita. Audra menolak. Audra memang patut tolak lamaran Munir itu kerana Munir
bukan lelaki yang baik. Munir sangat terkenal dengan gelaran buaya daratnya. Ramai
gadis telah menjadi mangsanya. Diusungnya ke sana dan ke mari. Bila bosan, dia
akan meninggalkan mereka begitu sahaja.
Berlainan pula
dengan Zaid. Zaid pula seorang lelaki yang baik dan sangat menghormati orang
lain. Zaid pernah menyatakan pada Zana yang dia menaruh hati pada Audra. Zana lah
orang yang bertanggungjawab menitipkan setiap salam yang dihulurkan Zaid pada
Audra. Tetapi, seperti biasa Audra pasti menolak lamaran cinta untuknya.
“Oh! Sebab budak kampung
tu, kau sanggup tumbuk aku?!” Munir bangun.
Melihat Munir
yang sudah bangun, Zaid juga ikut bangun. Mata mereka bertentang. Kedengaran
dengusan nafas mereka. Masing-masing
sudah tercungap-cungap kerana keletihan.
“Lawan! Lawan!” Sorakan
dari pelajar-pelajar lain yang sedang berkerumun di situ mula kedengaran.
Masing-masing cuba memanaskan lagi suasana yang sedia panas.
Zaid dan Munir sudah
mengepalkan penumbuk masing-masing. Mereka berdua terus berpanahan pandangan. Api
kemarahan masih dibakar. Mereka sudah bersedia untuk melakukan serangan.
Munir melayangkan
tumbukan ke muka Zaid. Zaid mengelak dan cuba menyiku pinggang Munir. Namun,
lelaki itu menahan tangan Zaid. Zaid menyilang pula kaki Munir. Munir tidak
dapat mengimbangi diri dan hampir tersungkur. Zaid mengambil peluang itu dengan
menghadiahkan satu tumbukan ke pipi kanan Munir. Kali ini, Munir benar-benar
tersungkur ke tanah.
“Hei!” Munir
menjerit lagi, geram kerana Zaid berjaya menjatuhkannya lagi. “Apa yang kau
suka sangat dengan perempuan kampung tu, hah!” Munir bingkas bangun. Bukan dia
tidak tahu yang Zaid juga menaruh perasaan kepada Audra. Darah-darah yang mula
mengalir di mukanya disapu dengan kemeja yang dipakai. “Setakat perempuan
murahan macam tu, belambak kat tepi jalan!”
Mendengar
kata-kata itu, kemarahan Zaid semakin mendidih. “Kurang ajar kau Munir!” Zaid
mengepalkan lagi penumbuknya. “Jangan disebabkan Audra tolak kau, kau nak buat
fitnah untuk menjatuhkan maruah dia!”
Munir ketawa
sinis. “Fitnah? Fitnah apa yang aku dah buat dekat dia?”
Zana yang
menyaksikan apa yang berlaku dan mendengar perbualan mereka turut terkejut.
Jadi, benarlah segala fitnah yang melanda Audra baru-baru ini semuanya berpunca
dari Munir. Kurang ajar! Memang patut Zaid menumbuknya.
“Tumbuk dia lagi
Zaid!” Zana memberi semangat kepada Zaid walaupun dia tidak pasti adakah
suaranya akan didengari Zaid di dalam kumpulan yang sedang bersorak ini. Dia
memang mengesyaki Munir yang cuba menjatuh maruah Audra. Namun dia tidak punya
bukti. Malah, Audra sendiri tidak pernah ambil pusing dengan mulut-mulut yang
sudah membicarakan halnya.
Soalan Munir itu
membuatkan Zaid bertambah berang. “Kau jangan berlagak baik, Munir! Sanggup kau
tuduh Audra dah tak suci lagi!” Rata-rata di kalangan para pelajar, masing-masing
menyatakan mereka mendapat cerita tentang Audra dari Munir. Kemudian, dari satu
mulut disampaikan ke satu mulut. Akhirnya, cerita itu terus heboh di kolej.
Kali ini tawa
Munir semakin bergema. “Macam mana kau tahu yang dia masih suci lagi kalau kau
tak ‘try’ perempuan tu!” Sengaja
Munir mahu menaikkan lagi darah Zaid. “Kalau kau dah ‘try’ dia, baru kau tahu dia tu suci atau tak! Tapi, kalau kau dah
‘try’ dia, maknanya dia memang dah tak suci lagi.” Munir ketawa berdekah-dekah.
Ada di antara
pelajar sudah ketawa mendengar kata-kata Munir. Bertambah lagi kemarahan Zaid.
“Kurang ajar!”
Zaid terus menyerang Munir. Bertubi-tubi tumbukan cuba dilepaskan kepada Munir.
Namun, kali ini lelaki itu pantas mengelak.
Munir dan Zaid
yang sememangnya mempunyai ilmu persilatan terus bertarung. Semua pelajar yang
menyaksikan terus bersorak untuk memanaskan lagi suasana.
Perasaan Zana
sudah tidak enak. Apatah lagi pergaduhan mereka berdua berkaitan dengan Audra.
Dia khuatir dengan tak semena-mena nama Audra akan dikaitkan dalam hal ini.
Tiba-tiba mata Zana menangkap susuk tubuh Aisyah yang tidak jauh darinya. Zana
mencari peluang untuk mendekati gadis itu.
“Sha!” panggil
Zana apabila hampir tiba di sisi Aishah. “Kau boleh tolong aku?”
“Apa?!” tanya
Aishah separuh menjerit dalam suasana yang bingit itu.
Melihatkan Aishah
yang seakan tidak dapat mendengar kata-katanya, Zana cuba meloloskan diri di
celahan para pelajar itu dan akhirnya, dia berjaya mendekati Aishah.
“Sha, kau pergi
cari Pak Bakar dan beritahu tentang ni. Tak boleh dibiarkan lama. Karang
melarat pulak.” Zana sudah mula merasa khuatir dengan keselamatan Zaid.
Pergaduhan ini perlu dihentikan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku! “Aku
nak pergi cari Audra.”
“Baiklah.” Aishah
terus hilang di celahan para pelajar.
Zana sendiri
sudah menghilangkan diri dari kumpulan pelajar itu. Dia menghubungi telefon
bimbit Audra untuk mengetahui di mana gadis itu berada. Dia menarik nafas lega
apabila Audra menyatakan yang dia sudah berada di asrama.
Zana sudah
berlari-lari masuk ke kawasan asrama. Pantas dia menuju ke biliknya yang
terletak di tingkat satu. Daun pintu terus di tolak sehingga Audra yang sedang
membaca buku terkejut lalu menoleh padanya. Zana yang kepenatan dan
tercungap-cungap itu, dipandangnya. Kenapa pulak ni? Apa yang telah berlaku
pada Zana?
“Kenapa dengan
kau ni, Zana?” Audra sudah kegelisahan melihat keadaan Zana.
“Audra!” Nafasnya masih tercungap-cungap. Tanpa
membuka kasutnya terlebih dahulu, dia terus mendekati Audra dan mencapai
pergelangan tangan sahabatnya itu. “Sini!” Zana terus menarik tangan Audra agar
mengikut langkahnya.
“Ada apa ni Zana?” Dahi Audra sudah berkerut namun dia masih kaku di
situ. Dia hanya memerhatikan Zana yang berdiri di depannya.
Zana hanya
menggelengkan kepala. Nafasnya yang masih belum stabil menyukarkannya untuk
berkata-kata. Maka, ditarik sahaja tangan Audra dengan kuat agar mengikut
langkahnya.
Audra membontoti juga Zana yang sedang menarik
tangannya turun dari asrama. Mujurlah Audra memang sedia memakai tudung. Jika
tidak mahunya ditengking Zana yang tak pasal-pasal tarik tangannya turun dari
asrama dan terus membawanya lari hingga ke masuk ke dalam kawasan kolej.
Sampai sahaja di kawasan kolej Zana melepaskan genggamannya. Mereka berdua
tercungap-cungap kerana kepenatan.
Audra berpaling
memandang Zana. “Kenapa kau bawa aku datang ke sini?” Waktu pengajiannya baru
sahaja tamat. Dia pun baru sahaja tiba di asrama. Dan sekarang, Zana membawanya
ke sini semula.
“Tu!” Zana menunding pada sekumpulan pelajar
yang sedang berkumpul.
Anak mata Audra jatuh ke situ. Dia memandang
kepada sekumpulan pelajar di depannya yang sedang bersorak dan membuat bising.
Faham benar Audra dengan sikap pelajar kolej ini. Pastinya ada pelajar lelaki
yang sedang bergaduh.
Pandangan Audra
beralih kepada Zana semula. “Kenapa?” Apa kaitan dirinya dengan semua ini?
“Zaid,” Zana menyebut nama lelaki itu. Nafasnya sudah agak stabil ketika ini. “Zaid
dengan Munir sedang bergaduh!” ujarnya.
“Zaid dengan Munir?!” Terkejut Audra apabila mendengar nama Zaid. Jika nama
Munir yang disebutkan Zana, dia tidak terkejut kerana Munir memang seorang
pelajar yang suka mencari masalah. Tetapi, Zaid tidak seperti Munir. Zaid
seorang pelajar yang berdisiplin.
Audra menarik nafasnya panjang. Dia memandang
semula pada kumpulan pelajar itu. Baik Zaid atau Munir, kedua-duanya tidak
terlalu rapat dengannya. Jika dia berselisih dengan Zaid, biasanya mereka
sekadar berbalas senyuman. Berlainan pula dengan Munir. Sejak dia menolak
lamaran Munir untuk berpacaran dengan lelaki itu, lelaki itu hanya memandangnya
sebelah mata. Namun, perkara itu langsung tidak berbekas di hati Audra. Dia
lebih suka keadaan begitu.
“Habis tu? Kenapa tak panggil Pak Bakar?” tanya
Audra. Pak Bakar yang dimaksudkan Audra adalah salah seorang sekuriti di situ.
“Dah! Aku dah minta tolong Sha panggilkan Pak
Bakar,” ujar Zana. Tatkala itu juga kelihatan Encik Nizam dan Pak Bakar
bergegas menghampiri tempat perhimpunan itu. Kemudian, terlihatlah Munir dan
Zaid yang dibawa pergi bersama Encik Nazim dan Pak Bakar. Kumpulan tadi mula
bersurai.
“Bertuah betul pelajar kolej ni! Orang bergaduh,
boleh pulak dia orang tengok aje. Siap sorak lagi! Ingat free show?” Tergeleng-geleng kepala Audra melihat sikap pelajar-pelajar
yang baharu bersurai tadi.
Zana dan Audra masih berdiri di situ dan
memerhati sehinggalah kawasan itu kosong. Dalam fikiran Zana hanya memikirkan
Zaid. Dia khuatir apabila mengingatkan tindakan dan hukuman yang bakal
dikenakan kepada Zaid.
Audra menoleh memandang Zana. Satu persoalan
muncul di benaknya. Jika Munir dan Zaid bergaduh, kenapa Zana perlu membawanya
datang ke sini? “Apasal kau bawa aku datang sini?” tanya Audra yang tiba-tiba
baru terfikirkan perkara itu.
Zana menghembuskan nafasnya. Dia melirik Audra
seketika sebelum berpaling dan melangkah semula ke asrama. Soalan Audra
dibiarkan berlalu sepi tanpa jawapan. Dalam fikirannya hanya memikirkan tentang
Zaid.
Audra mengikut jejak langkah Zana dan berjalan
di sebelahnya. Walaupun sedang mengatur langkah, namun matanya terus
memerhatikan wajah Zana yang kelihatan gelisah. Jawapan Zana masih terus
dinantikannya.
“Kau ni kenapa?” Mungkin kerana tidak tahan
dengan kebisuan Zana, akhirnya Audra membuka mulut juga.
Zana melirik Audra sekilas. “Semuanya sebab
kaulah.” ujar Zana acu tak acu.
Audra diam seketika. Apa kaitan semua ini
dengannya? “Sebab aku?” Berkerut dahi Audra. “Maksud kau?” Perasaan Audra mula
tidak senang.
Zana hanya mengerling Audra dan mempercepatkan
langkahnya masuk ke dalam kawasan asrama. Audra juga berbuat demikian. Anak
tangga dipanjat untuk ke bilik. Sampai di depan bilik, Zana menolak daun pintu
yang sememangnya tidak dikunci kerana bergegas keluar sebentar tadi. Zana duduk
di atas katilnya.
Audra membontotinya masuk ke dalam bilik dan
kemudian dia duduk di katilnya yang bertentangan dengan Zana. Melihat dari raut wajah Zana dia tahu ada yang
tidak kena. Zana seperti sedang bersedih. Tapi kenapa? Pergaduhan antara Munir
dan Zaid itukah penyebabnya? “Kau ni kenapa Zana?” tanya Audra dengan perlahan,
takut jika soalannya itu tidak kena pada masanya. “Ada kena mengena dengan
Munir dan Zaid?”
Zana memandang Audra lalu melepaskan satu
keluhan. “Kau tahu tak kenapa diorang tu bergaduh?” tanya Zana.
Audra menjongketkan
kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.
“Dia orang berdua, bergaduh sebab kau!”
“Kerana aku?” Terlopong Audra di situ. Mulutnya
sudah ternganga. “Kenapa aku pulak? Apa kena mengenanya dengan aku?!” Ada nada
kurang senang dari Audra. Jika mereka berdua bergaduh, mengapa dia pula yang
dibabitkan sekali? Jelas dia tidak tahu apa-apa tentang itu! Tuduhan itu tidak
adil untuk dirinya!
“Kau macam tak tahu! Diorang tu kan suka sangat
dengan kau!”
Audra temangu seketika. Dagunya digosok-gosok,
sedang berfikir. “Takkan diorang bergaduh sebab berebutkan aku?” Mustahil! Dia
tak punya apa-apa hubungan dengan mereka berdua. Sedari dulu lagi dia selalu
bertegas yang mereka berdua tak punya tempat di hatinya.
“Betul!”
“Tapi,”
Audra diam kembali, berfikir lagi. “Aku tak pernah janji apa-apa pun dengan dia
orang. Macam mana pulak diorang boleh bergaduh sebab aku?” Masih timbul rasa
tak puas hati dengan kenyataan Zana.
Satu keluhan dilepaskan Zana. “Memanglah kau dah
reject dia orang berdua tu. Tapi kau macam tak kenal dengan perangai
Munir tu. Dia tu kan pantang kalau ada perempuan tolak dia mentah-mentah macam
kau ni!” ujar Zana. “Semuanya dia yang mulakan dulu! Fitnah yang selama ini
menyatakan kau dah tak suci lagi, semuanya datang dari Munir!”
“Biar betul kau?” Sukar untuk Audra percaya. Memanglah
hal itu sudah heboh diperkatakan. Malah, ramai di antara pelajar yang kurang
mengenalinya pun sudah menjeling-jeling padanya. Namun, untuk menuduh
sembarangan, bukanlah caranya. Lagipun, selepas Munir melamarnya dan dia
menolak, Munir tidak lagi cuba untuk mendekatinya.
Zana mendengus apabila Audra masih tidak
mempercayai kata-katanya.
“Munir, dia hanya bercakap dengan aku sekali je.
Waktu dia nak aku jadi kekasih dia. Lepas tu, dia tak pernah tegur aku lagi.
Pandang pun tak nak!” kata Audra. “Sebelum dia berterus-terang dengan aku pun,
biasanya dia cuma kirim salam pada aku. Itu pun minta tolong kau. Jadi,
takkanlah dia yang buat khabar angin ni semua.” Audra tak nampak di mana
logiknya tuduhan Zana ini.
Zana menjongketkan bahunya. “Itulah yang aku
pelik dengan dia orang berdua ni. Sukakan kau, tapi tak berani nak dekat!” Wajahnya
sudah tidak cemerlut seperti tadi.
“Tapi Munir beranilah juga datang jumpa aku,”
ujar Audra.
“Dia tu sebab nak control macho! Gila tak berani jumpa kau?! Hilanglah ‘jantan’ dia!”
Zana membuat muka meluat. “Itu pun sekali tu je. Sebelum-sebelum ni, ada dia
jumpa dengan kau? Engkau ni pakai ilmu pendinding apa ni?” tanya Zana dengan
nada bergurau.
Audra ketawa kecil. “Ilmu tepis jantan penakut!”
Dia ketawa lagi. “Aku ingatkan perkataan ‘mahu tapi malu’ hanya untuk
perempuan. Tapi ada juga lelaki dalam ketegori tu!” Audra ketawa lagi.
Zana ikut ketawa. “Tapi betullah! Aku ada kat
situ masa tu. Aku sendiri dengar mereka berdua sebut nama kau. Munir tu, memang
kurang ajar! Terang-terang dia kata kau tu memang perempuan kampung yang dah
tak suci!” ujar Zana setelah tawanya reda. Kali ini dia kelihatan serius
sekali. Masih terngiang-ngiang di telinganya ketawa sinis Munir.
“Wah! Kurang asam punya Munir!” Audra sudah mengepalkan
penumbuknya. “Tak pasal-pasal aku pulak yang jadi mangsanya!” Audra memandang
Zana semula. “Lepas tu, macam mana boleh jadi gaduh ni?!”
“Aku tak pastilah. Sebab masa aku sampai sana,
dia orang berdua dah gaduh. Jadi, aku tak tahulah macam mana mulanya pergaduhan
ni.”
Audra sudah menarik nafas panjang menahan rasa
marah. Tak guna betul Si Munir ni! Kalau orang dah tak suka sudahlah! “Eeii! Geramnya
aku dengan si Munir ni!” Jerit Audra. “Siaplah kalau aku nampak dia! Aku
cincang-cincang lumat!”
Zana tersenyum melihat tingkah Audra. Dia merasa
kelakar mendengar Audra berkata begitu. “Wah! Beraninya kau. Takut aku!” sindir
Zana sambil ketawa kecil. Audra selalu begitu. Penakut, tapi suka sangat
berpura-pura berani. Agaknya, siapalah yang nak takut dengan wajah comel Audra
ni? Tapi yang pasti, Audra memang seorang gadis yang tegas dan agak garang
sedikit.
“Perli nampak?” Audra menjeling. “Kau ingat aku
tak berani?” Keningnya sudah terjongket sambil memandang Zana.
“Oh, tak! Aku tahu kau berani sangat!” sindir Zana
lagi. “Sebab, kau selalu buat tindakan melulu. Tak pernah fikir. Main seeeeerbu
je!” Zana menjeling. Memang begitulah Audra. Ikut suka hati aje apa dia nak
buat, tapi lepas tu baru nak menyesal. “Aku tak kisah kalau kau nak cincang ke,
tumbuk ke, apa ke kat si Munir tu. Tapi aku nak tanya, kau ni ada black belt?
Karate? Silat? Kang tak pasal-pasal kau pulak yang dicincangnya!”
Audra terdiam. Betul juga kata Zana tu. Karang
tak pasal-pasal dia pula yang dimasukkan ke hospital. Kalau dimasukkan ke hospital
sahaja tak mengapa. Bagaimana pula jika maruahnya yang tergadai? Nauzubillah…
“Dari kau sibuk nak cincang si Munir tu, lebih
baik kau jumpa Zaid dan ucapkan terima kasih pada dia!”
Audra sudah memuncungkan bibirnya. Memang dia
agak keberatan untuk melakukan itu. Kenapa pula dia yang harus cakap terima
kasih? Bukan dia yang suruh Zaid buat begitu! Zaid sendiri yang pandai
terlebih!
Zana sudah mencekak pinggang apabila melihat
muncung Audra. “Hah! Tu muncung tu kenapa? Tak naklah tu?!” Zana sudah berleter.
Faham benar dia denagn sikap Audra.
Wajah Zana yang sedang berleter itu dipandang
Audra. Zana ni kadang-kadang buat rindunya pada emak hilang. Kadang-kadang, dia
merasakan yang dia sedang bawa emak tinggal di asrama dengannya! Zana dan emak,
emak dan Zana, sama saja. Suka berleter!
“Aku tak kira. Kau tetap kena cakap terima kasih
dengan Zaid!”
Itulah ayat penamatnya dan Audra tahu selagi dia
tak buat begitu Zana takkan tersenyum manis padanya. “Tapi aku seganlah Zana!
Aku tak pernah cakap dengan dia walau satu perkataan tau!” Memang itulah
realiti yang sebenarnya.
Zana mencebik. Ada saja alasan Audra kalau dah
tak mahu. Tapi kata-kata Audra itu memang benar. Audra dan Zaid tidak pernah
berbual walau untuk satu perkataan. “Tadi, pandai kau kata dia orang tu jantan
penakut! Malu tapi mahu! Sekarang, kau pun sama!” Dia memulangkan kembali
kata-kata Audra.
“Ish! Mana sama!” Audra menyangkal. “Aku
perempuan. Sifat segan dan malu tu memang kena ada. Lainlah dia orang. Dia
orang tu kan lelaki! Tak macho lah kalau nak segan-segan dengan perempuan!”
Zana menampar bahu Audra. “Aku bukan suruh kau
mengurat si Zaid tu! Aku cuma minta kau beradab sikit dengan orang yang berbuat
baik dengan kau!” Zana menjegil, geram!
Audra membungkam. Memang dia berat sangat dengan
permintaan Zana. Macam-macam cerita akan keluar nanti kalau ada pelajar melihat
dia berjumpa dengan Zaid. Nanti fitnah yang melandanya dianggap benar pula.
“Nak cakap terima kasih pun susahkah?” ujar Zana
lagi apabila melihat kebisuan Audra.
“Memanglah tak susah. Yang susahnya, sebab aku
kena jumpa dia! Seganlah!” Audra membuat muka kasihan. “Lagipun, kalau ada
orang nampak nanti jadi cerita pulak!”
Zana menarik nafas panjang. “Mulut orang memang
tak boleh tutup Audra!” Zana memprotes. “Niat kau baik, nak ucap terima kasih
je.” Zana masih lagi berusaha agar Audra bersetuju dengan cadangannya.
“Sekarang ni pun, orang sibuk bercakap tentang kau.”
“Tahu pun
kau!” Audra memandang Zana. “Ini pun aku dah cuba buat muka seposen.
Buat pekak je dengan kata-kata orang. Tapi, kalau aku jumpa dengan Zaid nanti
lagi teruk nama aku dibusukkan.”
Zana memandang Audra. Sangkanya Audra langsung
tak memperdulikan fitnah yang sedang melanda dirinya. “Kadang-kadang, aku tak
fahamlah dengan kau ni, Audra. Dekat kolej tu, nama kau dah teruk dibusukkan,
kau boleh buat tak tahu je!”
Audra menarik nafas yang panjang. “Nama aku
busuk bila orang tak kenal diri aku. Orang yang tak kenal siapa aku, memang
akan pandang serong. Tapi, Alhamdulillah. Kawan-kawan sekelas kita banyak yang
tak percayakan rumours tu sebab
mereka semua tahu siapa diri aku.”
Zana mengangguk. Audra benar. Kawan-kawan
sekelas mereka tak pernah memandang serong pada Audra. Tak seorang pun di
antara mereka yang mempercayai berita itu. Kalau ada para pelajar yang percaya
tentang itu, kebanyakkan mereka adalah pelajar-pelajar junior yang memang tak
pernah kenal diri Audra.
“Aku boleh kuat dan tak ambil kisah tentang
perkara ni pun sebab ada kawan-kawan yang baik. Sebab kepercayaan kau oranglah,
aku menjadi lebih kuat. Lagipun, kalau aku lemah dan terkesan dengan fitnah,
orang akan menganggap perkara tu benar.”
Zana mengangguk. Audra benar.
“Kadang-kadang, manusia ni lagi kita nafikan
lagi itulah mereka akan mengiakan. Jadi, lebih baik kita diam. Kalau benar aku
ni dah tak suci lagi, suatu hari nanti Allah akan menghukum aku. Jika benar aku
masih suci, suatu saat nanti kebenaran akan terbukti.”
Zana diam seketika. Dia kagum dengan ketabahan
Audra. Dalam keadaan begitu, Audra masih bisa ceria. “Tapi, aku tetap nak kau
jumpa dengan Zaid!”
“Argh! Dia mula dah!” Sangkanya Zana sudah
melupakan hal itu.
“Aku tak kira! Orang kalau dah berbudi kita
kenalah berbahasa. Nanti aku aturkan pertemuan kau dengan Zaid!” ujar Zana
dengan tegas.
Audra sudah mencebik.
No comments:
Post a Comment