Friday, 15 June 2012

Ilham Hati 6







IZZ masuk ke kawasan Syurga Ilham Hati, dia mencari Amani di kawasan sekitar, tetapi kelibat Amani tak kelihatan di mana-mana. Izz kembali semula ke Ilham Hati. Setelah berpusing-pusing di sekitarnya, Izz menegur Pakcik Hasyim, salah seorang pekerja di situ. Katanya, dia melihat kelibat Amani berjalan keluar dari gerbang Ilham Hati. Lantas Izz melangkah keluar dari gerbang Ilham Hati yang memisahkan separuh dari Kampung Indah Mentari.

Sepanjang perjalanan di Kampung Indah Mentari, kelibat Amani tidak juga kelihatan. Habis setiap orang kampung yang berselisih dengannya ditanya. Hatinya dilanda kerisauan bila tiada maklumat tentang Amani. Dia khuatir jika Amani melarikan diri.

Kini, langkah kaki Izz sudah tiba di tasik di hujung Kampung Indah Mentari. Di pertengahan tasik, dia terlihat kelibat Amani sedang berdiri di situ sambil merenung jauh ke tasik yang tenang. Akhirnya, dia menemui juga gadis itu. Satu nafas lega dilepaskan. Izz mengeluarkan telefon, lalu menghubungi Puan Zaiton. Kemudian, dia berjalan mendekati Amani.

Amani yang sedang ralit tenggelam bersama perasaannya, terus menoleh sebaik sahaja merasakan ada jejak-jejak yang semakin menghampirinya. Melihat sahaja kelibat Izz, dia terus berpusing untuk meninggalkan tasik itu.

"Amani!" Panggil Izz dengan kuat. "Mak awak nak bercakap dengan awak!"

Langkah kaki Amani terhenti. Dia menoleh dan memandang Izz yang semakin menghampiri. Sampai di depannya, Izz menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada Amani. Amani memandang lama telefon ditangan Izz sebelum dia mencapainya. Lalu, telefon itu diletakkan di telinganya.

"Hello."

"Amani! Mak ni!" ujar Zaiton di hujung talian.

Amani melirik Izz sekilas lalu berjalan menjauhinya. "Ada apa?"

"Kau macam mana?" tanya Zaiton. Ada nada cemas dari nada suaranya. "Kau bekerja dengan Tuan Helmi?" tanya Zaiton. Tetapi tiada balasan dari Amani. "Nasib baiklah kau dapat kerja." Satu hembusan kelegaan kedengaran. "Kalau tak, macam mana dengan makan minum kau. Mak dengar kau tinggal dengan Tuan Helmi. Tuan Helmi tu tentu baik orangnya, kan?"

Izz yang sedang memerhatikan Amani, mula timbul rasa aneh dalam dirinya. Suara Amani tidak kedengaran, malah tiada reaksi langsung darinya. Amani seakan patung yang sedang memegang telefon ditangan.

"Kau dengar sini, Amani. Kau kerja elok-elok dengan Tuan Helmi! Kita kumpul duit untuk bayar duit pakcik kau tu! Lepas hutang kita selesai dengan pakcik, kau tolong minta kerja untuk mak pada Tuan Helmi. Mak dah tak sanggup nak tinggal dengan pakcik kau!" Satu dengkuran kasar dari Zaiton kedengaran. "Pakcik kau makin teruk perangai dia!"

"Tak mak! “ Setelah lama mendiamkan diri, barulah Amani mencelah. “Saya takkan lama di sini. Saya hanya bekerja sehingga hutang saya pada Tuan Helmi langsai. Lepas tu, saya akan pergi,” ujar Amani. "Kita tak perlu langsaikan hutang dengan Pakcik Jalil sebab saya tak nak balik sana lagi."

"Hah?! Apa kau cakap? Kalau kita tak bayar, macam mana aku nak pergi dari sini?!" suara Zaiton kedengaran terkejut dengan keputusan Amani. "Kau dah gila? Inilah masanya kita ubah hidup kita! Selama ni, kita terpaksa bergantung hidup dengan pakcik kau!" ujar Zaiton. Amani membisu, hanya kedengaran nafas halusnya. "Kau nak tinggalkan mak?!"

Amani masih terus membisu. Zaiton sudah tahu tentang rancangannya! Bukan niatnya untuk meninggalkan Zaiton. Namun, dia telah lama memikirkan tentang itu. Dia tak sanggup lagi untuk terus berada di sisi Zaiton. Sedangkan, setiap detik, setiap hari dia akan terbayangkan peristiwa silam. Setelah berpisah dari Zaiton, barulah dia merasakan dadanya bisa bernafas sedikit dari terus dibelenggu dengan kenangan pahit yang masih kekal di benaknya.

"Amani! Kau dengar sini! Kau nak tinggalkan aku! Selama ni aku yang jaga kau! Anak tak mengenang budi! Anak derhaka!!" Zaiton terus memarahi Amani. Amani menarik telefon dari telinganya dan menyerahkannya pada Izz.

Izz yang baru menyambut telefon dari Amai terus membawa telefon itu ke telinganya apabila mendengar suara Zaiton yang terjerit-jerit di hujung talian. Talian masih belum terputus, jadi mengapa Amani sudah tak mahu berbicara dengan ibunya?

Amani berlalu ke tepi tasik. Dia berdiri seperti tadi. Sekilas dia melirik pada Izz yang sedang berbual di telefon bersama Zaiton. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Tak! Dia tak boleh biarkan mak mendekati keluarga ini. Dia tahu sikap bagaimana sikap ibunya.

Memang benar kata mak, dia memang sudah tidak sanggup hidup bersama Pakcik Jalil. Tapi dalam masa yang sama, mereka berdua perlu akui Pakcik Jalil telah menjadi orang yang penting dalam hidup mereka. Namun, ada perkara lain yang membuatnya kurang senang jika mak menjejakkan kakinya di Ilham Hati.

"Amani," panggil Izz yang sudah ada di belakang Amani. "Awak okey?"

"Jangan benarkan mak saya datang ke sini!" tegas Amani bersuara.

Izz mengeluh. Memang dia tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga Amani. Tapi, permintaan Amani terlalu pelik padanya. Seorang anak tak mahu menemui ibunya! Kenapa Amani mahu menjauh ibunya? Dia tak pasti apa pandangan Amani pada Zaiton. Tetapi, sebentar tadi, dia ada mendengar kata-kata amarah berhambur dari Zaiton pada Amani sewaktu Amani menyerahkan semula telefonnya. Walau bagaimana pun hubungan mereka, tetapi tak sepatutnya Amani menjauhi ibunya. Air dicincang, tidak akan terputus.

"Mak awak mahu bekerja dengan Tuan Helmi. Saya akan beritahu tentang itu pada Tuan Helm," ujar Izz.

Amani memejam matanya seketika. "Awak akan menyesal kalau mak saya datang ke sini!" Amani terus berlalu pergi.

Izz mengekorinya dari belakang. “Kenapa saya perlu menyesal?” tanya Izz dengan penuh persoalan. "Awak tak sayangkan mak awak?" tanya Izz lagi. "Kan bagus Kalau Tuan Helmi dapat bebaskan awak dan mak awak dari pakcik awak. Awak tak nak jumpa dengan mak awak?"

Amani menghentikan langkahnya. "Banyak perkara yang lebih baik dari hubungan kasih sayang! Awak tak kenal keluarga saya!" Dengan rasa marah Amani terus melangkah pergi. Sempat dia menghadiahkan satu jelingan yang penuh dengan kemarahan pada Izz. Dia tak mahu Zaiton bertemu dengan Tuan Helmi!

Izz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan. Dia menggelengkan-gelengan kepala apabila mengingatkan sikap Amani. Izz berjalan semula menuju ke Ilham Hati setelah berdiri di situ agak lama. Di depannya, dalam jarak lima puluh meter, kelihatan Amani yang juga sedang melangkah pulang ke Ilham Hati.
Siapa Amani yang sebenarnya? Dia tak pernah jumpa gadis seperti itu yang sangat keras hatinya. Bagaimana pula hubungan Amani dan ibunya? Puan Zaiton kelihatan mengambil berat tentang Amani, tetapi kenapa Amani bagaikan tidak memperdulikan ibunya?

Mereka sudah masuk ke dalam Ilham Hati. Terus Izz mengekori langkah Amani yang membawa diri ke Syurga Ilham Hati. Ketika Amani berdiri di tangga rumah, dia menoleh pada Izz yang sudah berada di depan Kamar Ilham. Izz juga sedang memerhatikannya. Pandangan mereka bertaut seketika. Kemudian, satu jelingan dilemparkan buat Izz, dan Amani menghilangkan diri ke dalam.

Izz ketawa kecil sambil menggeleng. Amani memang aneh! Tapi, Amani punya satu tarikan. Ya, memang Amani cantik orangnya. Tapi dia tidak pandai berhias dan berpakaian kemas seperti Tania. Pakaiannya hanya T-shirt dan jean. Entah apa yang menarik pada gadis itu, tapi gadis itu seakan punya aura yang membuatkan dia mahu mendekatinya. Seperti kata Tuan Helmi, ada sesuatu dalam diri Amani.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

IZZ baru sahaja keluar dari Kamar Ilham, bertemu dengan Tuan Helmi. Permintaan Puan Zaiton telah dikhabarkan kepada Tuan Helmi. Tuan Helmi telah bersetuju untuk memberikan pekerjaan buat Puan Zaiton. Tetapi ada satu lagi perkara yang mahu dilakukan Tuan Helmi. Dia tidak tahu sama ada perkara itu patut atau tidak dilakukan oleh Tuan Helmi. Tetapi, setiap kali memikirkan tentang itu, dia akan teringat tentang amaran Amani.

Ketika berjalan keluar dari Kamar Ilham, dia terlihat Amani sedang berjalan-jalan di halaman belakang Syurga Ilham Hati. Dia terus menghampiri gadis itu.

"Tuan Helmi dah setuju," Terus sahaja Izz menegurnya dengan cara begitu.

Amani yang tidak menyedari kedatangan Izz, terus berpaling memandangnya. Wajah Izz dipandangnya terus, bagaikan tidak memahami apa yang cuba disampaikan kepadanya.

"Mak awak akan diberikan kerja," sambung Izz.

Berita itu sangat tidak menyenangkan perasaan Amani. "Saya akan langsaikan hutang Tuan Helmi secepat mungkin. Lepas tu, saya akan pergi dari sini! Tak guna kalau Tuan Helmi ambil dia bekerja." Amani masih berusaha agar Izz tidak termakan dengan rayuan ibunya. Tapi tak mengapa. Masa masih banyak. Selagi hutang Pakcik Jalil tidak selesai, Zaiton takkan ke mana-mana.

"Tapi Tuan Helmi dah bersetuju."

Amani tersenyum sinis. "Bertahun masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang Pakcik Jalil. Saya akan pergi dari sini sebelum waktu itu tiba."

Hiliran Izz pula yang tersenyum sinis memandang Amani. "Siapa kata? Hutang pakcik awak, akan terlangsai esok hari."

Terus mata Amani menangkap wajah Izz yang masih memandangnya. Apa maksud Izz?

"Esok, saya akan bawa Tuan Helmi bertemu dengan pakcik awak," ujar Izz. Rasanya dia tak perlu menerangkan keputusan Tuan Helmi selanjutnya. Amani pasti akan tahu sendiri. Izz sudah berpusing mahu meninggalkan Amani.

Tuan Helmi akan berjumpa dengan Pakcik Jalil? Bagaimana jika dia terserempak dengan mak?! Amani mula tak keruan.

"Kamu semua memang orang yang bodoh!!" Nafas Amani sudah berombak.  Tajam matanya memandang Izz. Dada Amani berombak. Dia tenggelam punca. Dia langsung tak menyangka perkara yang ditakutkan, akan berlaku secepat ini.

Izz yang sudah melangkah pergi berpusing semula memandang Amani. Dengan wajah yang penuh persoalan dia memandang Amani bersama pandangan matanya yang menikam. "Apa?!" Soalnya. Bukan dia tidak mendengar apa yang dikatakan Amani, tetapi dia terkejut kerana kata-kata kasar itu keluar dari bibir seorang gadis semuda dan secantik Amani. Mereka semua yang berada di Ilham Hati ini, sedaya upaya membantu Amani dan ibunya, tetapi niat mereka dibalas dengan ucapan-‘bodoh’ ?!

"Saya dah beri amaran! Jangan libatkan diri dengan keluarga saya!"

"Awak tahu tak? Awak ni, perempuan pertama yang saya jumpa yang penuh dengan sikap sombong dan punya hati yang busuk!" Jerkah Izz. "Awak lihat Tania! Awak lihat dia! Tania kehilangan ibu ketika usianya lapan tahun. Dia membesar tanpa kasih seorang ibu!" Izz menarik nafas panjang. "Saya!" Izz menunjuk ke dadanya. "Saya menjadi yatim piatu sejak umur saya enam belas tahun. Sejak dari itu, Tuan Helmi yang menjaga saya," suara Izz sudah bertukar sayu. Sesungguhnya, tak terbayar hutang keluarganya pada Tuan Helmi. "Ibu dan ayah saya adalah pekerja Tuan Helmi. Sebelum mereka meninggal, Tuan Helmi sendiri dah banyak bantu keluarga kami. Kami hidup susah, segala perbelanjaan sekolah, Tuan Helmi yang uruskan. Sampai kedua orang tua saya meninggal, kami masih belum mampu membayar budinya."

Suasana sunyi seketika.

"Tapi awak," Izz bersuara semula dan menunjukkan pada Amani. "Awak masih ada ibu! Sepatutnya awak hargai ibu awak selagi ada hayatnya! Awak ni....."

"Awak beruntung!"Amani memotong bicara Izz. Dia ketawa sinis. "Awak dan Tania beruntung kerana pernah merasa kasih sayang orang tua!" selepas berkata begitu Amani sudah memusingkan badannya.

"Apa maksud awak Amani?"

Amani memusing semula tubuhnya mengahadap Izz. "Kalau awak dan keluarga awak berhutang budi dengan Tuan Helmi, itu tiada kena mengena dengan saya!" Amani memandang Izz. "Kalau saya berada di tempat orang tua awak, saya takkan biarkan keluarga saya berhutang budi dan mengharap bantuan dari orang lain!" Amani sudah berpusing semula.

"Amani!!" Terus sahaja Izz memegang lengan Amani. Amani memang melampau kerana telah menghina orang tuanya! Gadis di depannya ini memang kejam! Hanya dia saja yang atau kesusahan dan keperitan yang dialami keluarga mereka. Hanya dia saja yang tahu bagaimana usaha yang dilakukan untuk meneruskan kehidupan. Ditambahkan lagi dengan kesihatan arwah ayah yang menghidap sakit jantung dan arwah mak yang menghidap athma. "Awak memang tak ada hati perut! Sudahlah awak tak hargai mak awak, awak hina pula orang tua saya!" Mencerlung Izz membalas pandangan mata Amani.

"Saya memang kejam!" Amani cuba menarik tangannya. "Tak guna awak bersyarah pada saya tentang menghargai kasih sayang! Saya tak perlu menghargai sesiapa sebab saya memang yatim piatu sejak lahir ke dunia!"

"Uh?" Apa yang dikatakan Amani?

Amani terus menarik tangannya apabila genggaman tangan Izz dirasakan sudah longgar. Tak guna! Lengan tangannya semakin sakit! Izz memegang ditempat yang sama!

"Awak sakit?" Izz baru teringat tentang lengan Amani yang sakit. Jelas di raut wajah Amani, gadis itu sedang menahan rasa sakitnya. Rasa bersalah mula timbul dalam hati. "Biar saya tengok," pinta Izz sambil cuba mencapai tangan Amani.

Amani mengerling Izz sambil mengelak dari Izz yang mahu mencapai tangannya. "Saya tak suka terhutang budi dengan orang!" Amani terus melangkah dengan rasa marah.

"Abang Izz," satu suara halus memanggilnya.

Izz menoleh memandang Tania yang sudah berdiri di belakangnya. Pandangan Tania terlekat pada kelibat Amani yang sudah masuk ke dalam rumah.

Tania memandang Izz. "Apa yang berlaku?" tanya Tania. Tadi dia melihat Izz dan Amani sedang bertengkar. Tapi butir bicaranya kurang didengar. Kalau dia tidak silap, dia ada mendengar mereka bertengkar kerana Amani bercakap sesuatu tentang orang tua Izz sehingga membuatkan Izz marah padanya.

Izz mendekati Tania dan kemudian mereka duduk di bangku panjang di halaman depan. “Ada apa-apa yang Tania nak berbual dengan saya?" tanya Izz. Dia memandang jam di tangan. “Kenapa Tania tak masuk tidur lagi ni? Esok pagi Tania nak ke sekolah.”

Mendengar soalan Izz itu membuatkan senyumanTania semakin manis. Soalan itu membuktikan yang Izz masih peduli tentangnya. "Kejap lagilah Tania tidur. Lagi pun, Tania tak mengantukl lagi ni,” ujar Tania. “Tania rasa sunyi. Semua orang asyik bercakap tentang Amani. Semua orang ambil berat tentang Amani. Abang Izz pun sama. Tania rasa diri Tania ni dah tak dipedulikan." Tania meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya.

Kata-kata Tania membuatkan Izz ketawa. "Tania tahu tak, Amani tu baru kelmarin datang ke dunia kita. Macam mana pulak dia boleh buatkan Tania tak dipedulikan?" Sebenarnya, Izz turut merasakan begitu. Walau Amani baru dua hari di sini, impaknya sudah terlalu besar sehingga Tania sendiri merasa dirinya disisihkan.

"Sebab tulah..... Tiba-tiba saja Tania rasa cemburu dengan Amani. Papa sibuk tentang Amani!" Muncung Tania sudah panjang.

Izz hanya tersenyum. Begitulah sikap Tania, Kalau terasa hati dengan Tuan Helmi, muncungnya akan panjang sedepa begitu. "Tuan Helmi cuma nak bantu Amani," pujuk Izz. "Cuba Tania beritahu saya, siapa dalam dunia ni yang Tuan Helmi kenal, tapi dia tak bantu?" soalan Izz. "Ada?"

Tania menggeleng. Kalau nak dihitung, hampir semua orang yang dalam kesusahan ditolong papa. Termasuklah orang Kampung Indah Mentari. Ilham hati terletak dalam perkampungan Indah Mentari. Keluasan Ilham Hati adalah hampir separuh dari Kampung Indah Mentari. Kebanyakan pekerja di Ilham Hai adalah penduduk kampung sendiri. Memang papa dan arwah mama membuka Ilham Hati untuk membantu orang kampung.

"Macam mana Tuan Helmi bantu orang lain dan juga keluarga saya, macam tu jugaklah dia mahu membantu Amani." Izz menarik nafas panjang. Memang pada dasarnya kelihatan sama, iaitu Tuan Helmi mahu membantu Amani dan ibunya. Tapi dalam kes Amani, masalahnya tidak semudah membantu orang lain sebelum ini. "Macam mana dengan sekolah?"Izz mengubah topik. "Tania ada masalah dengan Faiz lagi?"

Tania sudah tersenyum bila mendengar nama Faiz. "Tania dengan Faiz, okey. Cuma, sejak akhir-akhir ni, Faiz selalu sibuk dengan kelas tambahan. Tania dah jarang jumpa dia. Kalau ada pun, kitorang cuma sms je."
"Tak pelah. Faiz, kan nak SPM tahun ni. Tania kenalah faham situasi dia," seperti biasa, Izz akan menjadi penasihat untuk Tania. "Tania kena contohi Faiz. Saya lihat, Faiz rajin belajar."

"Betul!" Tania masih tersenyum. "Tania nak belajar rajin-rajin! Macam Faiz, macam Abang Izz. Tania nak masuk universiti macam Abang Izz jugak!" Terasa semangat yang membara dalam diri Tania.

"Baguslah kalau macam tu." Senang hati Izz mendengar semangat Tania itu. "Tania beruntung kerana menjadi anak Tuan Helmi. Tania tak perlu bersusah payah untuk mencari duit bagi menyambung pelajaran. Saya pun beruntung jugak. Walaupun dah yatim piatu, Tuan Helmi mengambil dan menjaga saya. Segala perbelanjaan di universiti, Tuan Helmi yang tanggung semuanya." Izz menarik nafas panjang dan menoleh memandang Tania. "Cuba bandingkan nasib kita berdua dengan Amani. Bagaimana hidup dia dengan kita. Walaupun dia masih muda, baru tujuh belas tahun, tapi dia terpaksa bertungkus lumus untuk hidup. Dah tu, terpaksa berhenti sekolah lepas ambil PMR."

"Betulkah ni Abang Izz?" sayu hatinya mendengar nasib Amani. "Tania tak sangka yang Amani...."

"Setiap yang berlaku ada sebabnya," ujar Izz terus tanpa menunggu Tania menyudahkan ayatnya. "Mungkin kerana kesusahan dan penderitaan dalam hidup dia, Amani jadi begitu. Kasar, sombong!"Izz menoleh lagi pada Tania. "Tania tak rasakah yang kita patut bantu dia?"

Tania diam, lama. Kemudian, dia mengangguk. "Kita perlu bantu dia!"

"Jadi, Tania jangan ambil hati sangat ya Kalau Tuan Helmi menumpukan perhatian pada Amani. Percayalah, Tuan Helmi sayang sangat dengan Tania. Tania, kan anak manja dia."

Tania tersenyum lalu menoleh pada Izz. "Abang Izz betul! Tania pun akan bantu papa untuk bantu Amani."
Izz membalas senyuman Tania.

"Tapi Abang Izz kena ingat tau! Bila besar nanti. Tania nak hidup dengan Abang Izz. Tania tak nak Abang Izz tinggalkan Tania."

Izz ketawa besar. Tania sudah membicarakan hal itu lagi. "Saya nak balik ke rumah kecil saya."Izz bangun. "Asaalamualaikum."

"Waalaikummussalam," jawab Tania. Dia memandang langkah Izz dengan muncung panjangnya. Setiap kali dia membicarakan soal itu, pasti Izz ketawa dan akan pergi. Apa yang terbuku di hati lelaki itu? Adakah dia setuju dengan kehendak Tania atau sebaliknya? Sejak dari kecil dia sudah mengenali Izz. Hubungan mereka bertambah akrab bila papa mengambil Izz untuk tinggal bersama mereka di Syurga Ilham Hati sehingga dia sudah terbiasa dengan kehadiran Izz yang selalu ada di sisinya. Dia tak mahu kehilangan Izz!

______________________________________

No comments:

Post a Comment