Bau wangi roti yang dibakar
menyucuk ke hidung ku. Itulah aroma yang paling aku gemari setiap kali aku
masuk ke ke bakery ni. Bukan sahaja aromanya yang wangi, tetapi setiap roti dan kek yang dijual di sini memang
sedap! Rasa jemu masih belum wujud dalam kamus hidup aku untuk bakery ni.
Setiap kali aku ke library, aku
pasti singgah di bakery yang bernama Boulangerie ini untuk membeli roti. Kalau
tak silap aku, Boulangerie adalah dalam bahasa Perancis yang membawa maksud,
kedai roti atau bakery. Pekerja di sini pun sudah mengenali aku. Maklumlah,
regular customer. Kalau tak de aku, mesti jualan bakery ni sedikit merosot.
Hehehe….perasan je aku nih!
“Jom, kita duduk kat sana!” Ila
yang baru pulang bersama ku dari library terus menunjuk pada sebuah meja yang masih
kosong. Biasanya aku akan singgah di bakery ini seorang diri. Tapi tak tahulah
apa angin si Ila ni, hari ni dia pula yang beria-ia nak ikut aku ke sini. Tak
banyak meja yang di sediakan di bakery ni. Kalau masih ada kekosongan, walaupun
hanya satu dah cukup melegakan hatiku.
“Kau jagakan tempat. Aku nak
tengok kek kejap,” Aku terus meluru ke bahagian kek. Mata aku terus bersinar
melihat kek-kek yang tersimpat di balik cermin. Semuanya membuatkan aku terasa
air liur ku memercit di dalam mulut. Yum….yum….
“Hai Nisa!” sapa Julia, salah
seorang pekerja di situ. Terus mata aku menangkap wajah ceria Julia di balik
cermin yang terhidang dengan kek-kek itu. “Nak kek lagi?”
“Oh…mestilah!” ujar aku dengan
lebih ceria. Sikap ceria Julia membuatkan aku semakin ceria.
“Eeiii….kau ni tak takut
gemukkah?” tanya Julia.
“Aparah kau ni!” Aku sudah
mencekak pinggang. “Kalau tak de orang macam aku, mana laku bakery ni!” Adakah
patut Julia bertanya begitu. Nasib baik soalan itu ditujukan untuk aku. Kalau
dia bertanya pada customer lain, rasanya mereka dah lari. “Kalau bos kau tahu,
tentu teruk kau kena!”
Julia sudah ketawa mengekek.
Sikap Julia yang ceria beginilah yang membuatkan aku cepat mesra dengannya.
“Julia, bakery ni tak nak pakai
orang ke?” Dengan sedikit rasa segan aku bertanya juga pada Julia. Memang
sekarang ni, aku berniat nak mencari kerja sambilan. Manalah tahu kalau bakery ni perlukan pekerja.
“Kau nak cari kerja ke?”
pandangan Julia terus jatuh pada aku.
“A’ah…aku nak cari kerja part
time. Bolehlah nak cari duit belanja sikit.”
“Rasanya ada.” Julia berfikir
sekejap. “Macam nilah, aku try tanya dengan bos aku dulu. Apa-apa nanti, aku
call kau. Kasi nombor fon, boleh?”
Tak tunggu lama, aku pun terus
kasi nombor telefon aku pada Julia. Harap-harap adalah rezeki aku untuk bekerja
di bakery kesukaan aku ni.
“Nah coklat moist kau!” Julia
terus menghulurkan piring kecil pada aku.
“Roti tak nak?” tanyanya.
“Kejap lagi… Masa nak balik
karang, aku rembat roti pulak.” Biasaranya macam tulah. Bila nak balik baru aku
akan ambil dua tiga jenis roti untuk aku makan di rumah nanti bersama mak dan
ayah. “Terima kasih Julia. Jangan lupa contact aku nanti!” Aku terus menyambut
huluran piring kecil dari Julia dan terus berjalan menghampiri Ila.
“Wei…kek lagikah?” Mata Ila
membulat melihat ke dalam piring kecil yang aku pegang.
Tanpa menjawab apa-apa aku terus
duduk di depan Ila. “Kau pergilah…biar aku pulak yang tunggu.”
Ila bangun dan terus
menghilangkan diri. Kemudian, dia tiba dengan muffin di tangan bersama dua
kotak teh o’ limau ais lalu menyerahkannya satu padaku.
“Thank you!”
Ila di depan ku terus menyumbat
muffin ke dalam mulutnya.
“Wei….aku nampak setan kak
sebelah kau!” Sengaja aku mengusik Ila.
Ila tersedak seketika.
“Mana? Mana?” Dengan gelabah dia
memandang kiri dan kanannya. “Kau tipu aku?!” Dia sudah mencebik bila merasakan
siri dipermainkan.
“Adalah…Aku nampak sebab kau tak
baca bismillah…” Aku terus gelak sakan. Ila pulak sudah mengerling geram dekat
aku. Hahaha….macam aku takut dengan jelingan dia tu! Ada aku kesah?
“Kau nak rasa coklat moist aku?”
Sengaja aku bertanya walaupun aku yakin Ila akan menolaknya. Maklumlah, orang
yang menjaga badan ni memang tak makan benda-benda macam ni semua.
“Tak naklah aku!!” Jawapan Ila
sama seperti apa yang aku jangkakan.
“Sedap ni! betul kau tak nak?!”
Aku terus membuka mulut luas-luas dan menggigit sebahagian kek.
“Umm……sedapnya!!” aku memang suka menyakat Ila.
“Aku hairanlah dengan kau ni.
Makan tak henti-henti, tapi badan besar tu jugak!!”
Aku cuma ketawa bila mendengar
kata-kata ila yang sedikit berbaur cemburu dengan aku.
“Alah….benda ni bukan boleh
fikir-fikir. Lagi di fikir, lagi naik badan kau walaupun kau makan sikit je!”
Entah betul entah tidak. Aku cuma cakap je!
“Mak ooiii….handsome siut!”
Tiba-tiba saja Ila bersuara dengan mata yang sudah terbeliak dan mulut yang
ternganga.
Aku terus menoleh memandang ke
belakang. Terus mata aku terancap pada seraut wajah seorang lelaki yang tampan
dan sedang melayan seorang pelanggan dengan ramah sekali. Pekerja baru ke? Aku
tak pernah nampak dia sebelum ni pun. Dalam aku asyik memandangnya, tiba-tiba
sahaja dia menoleh memandang aku. Tapi aku tak pastilah sama ada dia memandang
aku atau pandang Ila. Tapi, pandangannya itu sudah cukup untuk membuatkan aku
menoleh kembali memandang Ila. Ila pun sudah memberi perhatian pada aku.
“Siapa tu, handsomelah!” Ila
berbisik pada aku.
“Manalah aku tahu!”
“Kau pergilah merisik dekat kawan
kau tu, Julia!”
“Tak naklah aku. Karang Julia
ingat, aku pula yang nak berkenalan dengan budak tu!” Aku langsung tak setuju
dengan cadangan Ila. Mana aku nak letak air muka aku kalau budak lelaki tu tahu
yang aku bertanya pada Julia tentangnya.
Ila sudah membuat muka seposen
dengan jawapan yang aku berikan.
“Aku bukan apa Ila…..aku seganlah
nak tanya Julia…Lagipun, aku kenal Julia pun gitu-gitu je. Bukan rapat pun.”
Aku harap Ila faham dengan situasi aku. Lagipun, aku malaslah nak masuk campur
urusan perkenalan sebegini. Tak de makna!
“Yelah…yelah….” Ujar Ila walaupun
kelihatannya dia agak kecewa sedikit.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Alhamdulillah….Akhirnya, rezeki
aku aku memang dah ditetapkan di bakery tu. Julia baru saja telefon dan
mengkhabarkan berita gembira itu. Tak tunggu lama, aku terus berlari
mendapatkan mak dan terus memeluknya erat.
Mak yang pada mulanya agak
terkejut dengan tindakan aku, akhirnya membalas pelukanku.
“Apa yang happy sangat ni?”
“Nisa dah dapat kerja kat bakery
tu!”
“Alhamdulillah….” Wajah mak
semakin ceria. “Tapi tak apakah bekerja dan belajar dalam masa yang sama?” Aku
tahu, mak masih ragu dengan kemampuan aku. Bukan apa, mak pasti takut jika aku
tak mampu lakukannya.
“Insya-Allah….Nisa akan lakukan
yang terbaik. Kalau pelajaran Nisa merosot, Nisa akan berhenti bekerja.” Aku
tak sampai hati nak menyusahkan mak dan abah.
Mak seorang suri rumahtangga dan
adakalanya mengambil upah menjahit baju untuk mencari rezeki tambahan. Abah
hanya seorang peniaga kecil-kecilan. Memang abah dan mak mampu untuk menanggung
aku. Tapi, kalau boleh aku mahu berusaha sendiri dan tak mahu menyusahkan
mereka lagi. Aku dah terlalu banyak
menyusahkan orang tua ku. Sekurang-kurangnya, bila aku bekerja mereka tak perlu
lagi memikirkan biaya pelajaranku.
“Apa-apa sajalah. Asalkan Nisa
bahagia. Itu yang penting.”
Sejak akhir-akhir ni, mak memang
suka buat ayat jiwang. Kadang-kadang aku lemah juga dengan ayat-ayat mak. Tapi
aku tetap mengukirkan senyuman dan ceria. Aku tak nak terbawa-bawa dengan
perasaan.
Esok!!! Cepatlah datang! Aku dah
tak sabar nak bergelar pekerja di bakery dan setiap masa menghidu bau wangi tepung-tepung
yang dibakar!
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
“KAU FAHAM?!” Julia mencekak
pinggang apabila berjela-jela dia menerangkan kerja-kerja yang perlu aku
lakukan. Lagak macam bos je budak sorang ni!
“Faham!” Aku malas nak dengar
arahan-arahan Julia yang panjang lebar walaupun aku rasa aku cuma faham
setengah sahaja dari arahannya. Alah, biarlah! Karang kalau aku tak faham, aku
tanyalah kan? Hehehe….lagipun, aku cuma ditugaskan untuk menjaga kaunter
bayaran. Lepas tu, layan customer yang nak beli roti dan kek. Tapi yang paling
tak best, setiap kali masuk kerja, aku perlu bersihkan dan lapkan cermin-cermin
di bakery. Itu adalah kerja wajib bagi setiap pekerja. Tujuannya, adalah untuk
memastikan bakery itu sentiasa bersih.
Jadi, untuk permulaan, aku
membersihkan kawasan kaunter dan peti sejuk yang menempatkan kek-kek yang
membuatkan aku kecur air liur. Sabarlah, karang lepas waktu kerja nanti, aku pasti
dapatkan sepotong kek ni! Aku nak makan tiramisu. Dah lama aku tak makan.
Nyum..nyum..
“Ni apa kes ni? nak kerjakah, nak
curi kek?” tiba-tiba je kutukan itu singgah di cuping telinga aku. Terus aku
pusing badan. Gulp! Alamak! Lelaki yang menjadi perhatian Ila ada dibelakang
aku sambil membawa dulang yang penuh dengan roti.
“Nak kerjalah! Kalau nak curi kek
dah lama saya ambil dan lari dari sini!” ujar aku dengan tegas. Baru sahaja aku
bekerja di sini, belum pun sampai satu jam terus dituduh begitu! aku mencebik
dan meneruskan kerja aku.
“Nah, ambil roti dan susun!”
terus dia meletakkan dulang itu di atas kaunter bersebelahan dan kemudian
hilang ke dalam.
Tanpa banyak soal, aku terus
mencapai dulang itu dan menyusunnya di tempat yang sudah ditetapkan. Selesai
sahaja urusan itu, aku mengerling pemuda tadi. Kalau tak silap aku, namanya
Zaid. Kebetulan, aku terdengar Julia memanggil namanya ketika mereka berbual
tadi.
Dari cermin yang memisahkan
antara kaunter dan ruang dalam, jelas aku sedang melihat lelaki itu sedang
sibuk memotong doh menjadi bersegi-segi. Hmmmm hebat juga lagaknya!
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Seminggu bekerja di sini, aku
sudah mula mahir mengendalikan sebahagian besar kerja. Tak adalah Julia terus
membebel di cuping telinga aku lagi. Itu tak betul, ini tak betul! Jangan
nganga di kaunter, tolong orang lain sama! Hhmmm….memang macam supervisor saja
Julia ni walaupun pada hakikatnya tidak.
“Wei, karang lepas kerja, kitorang
semua plan nak lepak kat gerai Kak Zah depan tu. Kau nak ikut?” Tiba-tiba
sahaja Julia muncul di sebelah aku. Panjang sungguh usia budak ni.
“Lain kali kot. Aku tak nak mak
dan ayah aku risau pulak bila aku balik lambat.”
“Telefonlah. Minta izin diorang
dulu!”
Yang sebenarnya, aku malas nak
lepak dan buang masa begitu saja. Aku lebih suka cepat-cepat pulang ke rumah
dan berehat. Lagipun, sejak akhir-akhir ni aku selalu rasa tak sedap badan. Nak
kata demam, suhu tak tinggi. Tapi badan aku selalu letih.
“Aku malaslah. Aku nak berehat.”
“Kau ni kenapa? sejak kau kerja
kat sini aku selalu tengok kau tak ceria. Kau tak sihat ke?”
Aku tak nafikan apa yang
dikatakan Julia. Aku sendiri merasakan perubahan pada kesihatan aku. Nak kata
aku kerja berat, taklah berat sangat. Lagipun, aku cuma bekerja empat jam sehari
je.
“kau ada masalah?” tanya Julia.
Aku menggeleng. Kalau ada pun, aku takkan cerita pada dia.
“Jomlah! Kitorang nak celebrate
birthday Zaid.”
“Birthday Zaid?” Terus mata aku
memandang Zaid yang sedang asyik menabur serondeng di atas doh yang telah siap.
“Ish…tak pelah. Korang carry onlah. Aku…”
“Alah…..jomlah!!” Julia sudah
membuat muka mengharap.
Aku bukan tak sudi menerima
pelawaan Julia. Tapi, aku tak selesa bila tahu diorang sebenarnya nak sambut
birthday Zaid. Aku dengan Zaid, bukan rapat pun.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Desakan demi desakan Julia dan
teman-teman yang lain, akhirnya aku menerima pelawaan mereka untuk turut serta menyambut
hari lahir Zaid. Pada mak dan ayah telah aku minta izin mereka untuk pulang
lambat.
Sampai di gerai Kak Zah, dua meja
panjang yang bersambung sudah diletakkan tanda ‘reserve’. Di atasnya, sudah
terhidang nasi dan pelbagai lauk. Alamak! Ada kari kepala ikan pulak. Terus
tekak aku terasa mual. Sungguh, sebelum ini aku suka sangat makan kari kepala
ikan. Tapi sejak akhir-akhir ni, aku dah tak boleh lihat lauk kegemaranku itu.
Bila terbau sahaja kari kepala ikan, pasti aku merasa loya. Mujurlah aku sentiasa
menyediakan asam dalam beg galas. Terus aku seluk tangan ke dalam beg dan
mencapai asam lalu menyimpan di dalam mulutku. Sekurang-kurangnya, rasa loya
itu dapat aku kawal.
“Happy birthday to you…happy
birthday to you…happy birthday to Zaid…Happy birthday to you!” Aku hanya
tersenyum mendengar teman-teman yang lain bergembira menyanyikan lagu untuk
Zaid. Julia yang membawa kek ke depan Zaid adalah orang yang paling gembira.
Buat seketika, aku terkedu apabila melihat Zaid menghadiahkan satu ciuman di dahi
Julia. Wow! Aku tak pernah tahu yang Julia ada affair dengan Zaid. Melepaslah
Ila!
Mengingatkan Ila yang pada
awalnya begitu teruja untuk mengenali Zaid, aku dapat rasakan yang zaid bukan
lagi menjadi perhatian Ila. Sejak bila aku pun tak tahu, tiba-tiba sahaja aku
lihat Ila berjalan berpegangan tangan dengan Johan, classmatenya di kolej.
“Nisa, marilah!” tiba-tiba sahaja
Julia menarik tangan aku agar berdiri di sisi Zaid. Aku yang tergamam dengan
tindakan Julia menjarakkan sedikit tubuhku apabila bahu aku berlanggaran dengan
Zaid. Apasal tiba-tiba aku disuruh berdiri di depan Zaid? Ish! Memang tak
menyenangkan sungguh.
“Make a wish!!” Rakan-rakan yang
lain sudah bersorak pada Zaid.
“Okey…okey..” zaid yang berseri
wajahnya memandang aku sekilas. Satu senyuman dilemparkan. Aku hanya membalas
senyumannya.
“I wish… that the angels I dreamed of, going to be mine,” Dia memandang aku lagi.
Kali ni, pandangan yang dia lemparkan untuk aku, memang nampak pelik. Tapi,
biarlah…mungkin aku je yang terperasan agaknya! Teman-teman lain bersorak untuk
Zaid.
Lepas Zaid potong kek, dia menyerahkan
pisau padaku dan meminta tolong aku bahagikan kek pada kawan-kawan. Tak fikir
banyak, aku pun mencapai pisau kek yang dihulurkannya.
“Happy birthday to you….happy birthday
to you….happy birthday to Nisa…..Happy birthday to you!!” tiba-tiba saja
teman-teman menyanyikan lagu itu untuk aku. Terus terang aku katakan, aku
memang terkejut.
“Hari ni birthday kaulah! Kau kongsi
birthday dengan Zaid!!” Julia memeluk bahu aku.
“Birthday aku?” Aku lihat hiasan kek.
Ya, ada nama aku dan Zaid di atasnya. Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa
hari ni hari lahir aku?
“Come on Nisa! Takkan birthday sendiri
dah lupa!” aku dengar suara Wan dari belakang. Aku hanya diam.
“Make a wish,” bisik Julia bila aku
hanya kaku di situ.
Aku pandang muka teman-teman, seorang
demi seorang. Mereka semua sedang menunggu kata-kata aku selanjutnya.
“I wish…..” Aku berhenti seketika. Aku
memandang Zaid yang sedang memerhatikan aku. “Impian aku hanya untuk mendengar nyanyian
selamat korang untuk aku.”
“Ah….” Ada nada-nada hampa kedengaran
dari teman-teman. “Mintalah benda yang
lain!” Suara Wan lagi.
“Tak apa, itu permintaan birthday girl.
Kita kena tunaikan,” ujar Zaid. “okey….sedia! satu….dua….tiga…”
“Allah selamatkan kamu…Allah selamatkan
kamu….Allah selamatkan Nisa….Allah selamatkan kamu….” Mereka menyanyi
beramai-ramai.
Aku gembira sangat! Bagi aku, itu bukan
sekadar nyanyian tetapi juga doa. Apa yang aku perlukan dan lebih impikan
adalah doa-doa dari orang-orang disekelilingku. Doa, itu saja yang aku
perlukan!
Aku menghembuskan nafas lega bila kami
semua sudah selesai menyudahkan hidangan yang disediakan. Bau kari kepala ikan
sudah tidak lagi menyucuk pernafasanku. Sedari tadi aku asyik menolak pelawaan
mereka yang menyerahkan mangkuk kari kepala ikan padaku. Terpaksalah aku
berbohong yang aku tak suka kari kepala ikan. Aku pun tak tahu kenapa aku jadi
begini.
“Untuk awak.” Tiba-tiba sahaja Zaid
duduk di sebelahku lalu menyerahkan sepotong kek yang dipotong kami tadi.
“kek ni saya yang buat.” Pelik, kek itu
bukan untuk aku saja, tapi untuk dia. Maknanya, kek hari lahir dia, dia yang
buat sendiri? “Untuk awak…” dia menyambung.
“Untuk saya?”
“Saya tahu, awak suka sangat dengan kek
coklat dan tiramisu. Jadi saya buat kedua-duanya dan dibahagikan tiba bahagian
setiap satu. Lepas tu, saya susun berselang. Lastly, saya tuangkan coklat cair.
Sedap tak?”
“Memang sedap!” Aku pun dah tak ingat
berapa potong kek yang dah masuk ke dalam mulut aku. Yang pasti, aku tak
berhenti makan kek sebab perut aku lapar. Aku tak banyak makan nasi yang
disediakan. Hanya beberapa suap.
Sekarang ni, kek dan roti dah menjadi
makanan rugi aku. Nasi, aku dah kurang makan. Sekarang ni, nasi dah menjadi
makanan sampingan buat aku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Pintu Bakery dibuka dari luar. Muncul
Zaid dan Julia. Julia menghampiri aku dengan senyumannya.
“Nasi bungkus untuk kau!” Julia menyerahkan
untuk.
“Nasi? Aku tak minta pun?” Biasanya,
bila aku masuk kerja, Zaid dan Julia akan keluar sekejap untuk membeli makan
buat mereka dan teman-teman yang lain. Adakalanya mereka makan terus di gerai
Kak Zah. Itu memang rutin harian mereka.
“Zaid yang belikan. Aku dah kata, kau
tak makan nasi. Kau tu cuma makan kek dan roti je. Tapi dia nak jugak beli
dekat kau!” ujar Julia. “Makanlah! Kalau kau tak nak, kau kasi balik dekat
Zaid.”
“Kau makanlah Julia. Aku tak de
seleralah nak makan nasi.” Bukan niat aku tak menghargai pemberian Zaid. Tapi,
aku kurang berselera dengan nasi.
“Aku dah makan dengan Zaid tadi. Kau
makanlah. Sikit pun jadilah,” Julia seakan memujuk.
“Mana Zaid?”
“Ada kat setor. Bersihkan oven.”
“Kau tolong jaga kaunter jap. Aku nak
jumpa Zaid.”
Melangkah sahaja ke dalam, aku lihat
Zaid sedang ligat membersihkan setiap satu oven.
“Zaid!” walaupun aku mungkin mengganggu
kerjanya, tapi aku tetap teruskan niat aku.
“Nisa,” Zaid menoleh padaku.
Pandangannya jatuh pada bungkusan nasi di tanganku. “Tak makan lagi?”
“terima kasih untuk nasi ni,” ujar aku
sekadar menghargai keikhlasannya. “Tapi, saya tak minta awak belikan untuk
saya.”
Zaid meletakkan tuala di atas meja lalu
memandang aku.
“Sejak awak kerja di sini, awak semakin
kurus. Hari-hari awak cuma makan kek atau roti je. Awak kena jaga kesihatan
awak,” tegasnya.
Salah aku jugak, setiap kali aku pulang
dari kolej dan terus ke bakery, pasti aku merungut kelaparan. Setiap kali
sampai di bakery, setiap kali jugaklah kek dan roti sajalah yang menjadi
habuanku. Mungkin sikap aku menjadi perhatian Zaid.
“Bukan saya tak nak makan…” Aku hanya
mengeluh. Aku sendiri tak pasti dengan seleraku yang tiba-tiba saja berubah.
“Saya tak ada selera nak makan nasi.”
“Tak apalah…..Awak cubalah makan
sikit.” Zaid bangun lalu menyambung tugasnya semula.
“kenapa awak buat semua ni?” Soalan aku
membuatkan kerja Zaid terhenti lagi. “Kenapa awak ambil berat tentang saya?”
Zaid berpaling memandang aku semula.
“perlukah saya terangkan kenapa?” dia
bertanya. “Awak tak dapat rasa apa yang saya rasa?” dia memandang tepat ke
dalam mataku.
Mungkin dia tak berkata apa-apa. Tapi
pandangannya cukup untuk membuatkan aku mengerti apa yang tersimpan dalam
hatinya. Memandang matanya lama sebegitu, membuatkan persoalan aku terjawap.
Patutlah dia selalu memberi perhatian pada ku.
“Awak bukan dengan Julia?”
“Julia?” Soalan aku itu mungkin mengejutkan
dia. Tapi kemudian dia menggeleng. “Julia adik saya!”
“Adik?” Kenapa aku tak pernah tahu?
Aku diam seketika. Sama ada Julia
kekasih, kawan atau adiknya sendiri, siapa pun Julia itu pada Zaid, aku tetap
tak boleh mendekati Zaid atau membenarkan dia mendekati aku.
“Terima kasih untuk nasi ni, Zaid.
Sebagai seorang kawan, saya sangat menghargainya.” Aku harap kenyataan itu
membuatkan Zaid mengerti dengan jawapan aku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Dua bulan kemudian……
Syukur alhamdulillah…..Akulah manusia
yang paling gembira dengan keputusan yang baru ditetapkan. Aku, mak dan ayah
berpelukan sambil mengalirkan airmata gembira. Selama tiga tahun aku mengambil
masa untuk berfikir bagi mengambil tindakan ini. Akhirnya, atas dorongan mak
dan ayah aku melakukannya. Kini, semuanya sudah selesai. Hati aku benar-benar
lega. Terasa bagai satu bebanan yang selama ini menghimpitku di ambil dan terus
tercampak keluar.
“Terima kasih, mak ayah. Nisa hanya
kuat dengan mak dan ayah.” Semakin erat pelukanku untuk mereka berdua.
“Mulai dari hari ini, saat ini, ayah
mahu Nisa lakukan yang terbaik untuk Nisa. Apa yang berlaku, jadikan pengajaran
dan ikhtibar agar Nisa sentiasa kuat.” Nasihat demi nasihat yang abah dan mak
berikan aku simpan kemas dalam ingatan. Bukan seperti dulu, di mana nasihat
mereka hanya aku biarkan berlalu begitu sahaja. Nasihat mereka ibarat mencurah
air di daun keladi.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Hati aku berbunga riang apabila pintu bakery
sudah terlihat didepan mata. Semakin laju langkah aku agar cepat sampai di
bakery.
Masuk sahaja ke dalam bakery aku lihat
Julia dan Zaid sudah siap mengambil order dari kawan-kawan yang mahu memesan
makan malam buat mereka. Aku terus meluru pada Julia dan merampas kepingan
kertas kecil ditangan Julia.
“Tak pe, hari ni, biar aku yang beli!”
Aku menawarkan diri.
“ehhh…..Nak curi tulanglah tu. Kau kan
baru sampai!” usik Julia.
“Taklah!” pandai-pandai je Julia ni!
“Aku nak belanja korang! Jadi biar aku yang pergi beli!”
“Wah!!!” Teman-teman lain sudah
bersorak gembira. Sepasang mata milik Zaid yang terus menatap aku, hanya aku
biarkan tanpa balasan. Bukan aku tak sedar mata itu tak lepas memandang aku.
“Korang tunggu sini, aku pergi sekarang!” ketika keluar dari bakery, aku
berselisih dengan Zaid. Namun, aku langsung tak membuang pandangan aku padanya.
“Woi pompuan!!” Beberapa tapak lagi aku
akan sampai ke gerai Kak Zah, terus telinga aku menangkap jeritan suara yang
aku kenal. Aku dapat rasakan, dada aku bergetar kencang. Tubuh aku menggeletar.
Ketakutan aku semakin semakin mengusai
diri apabila kelibat itu muncul di depanku dengan wajah yang bengis.
“berani kau!!” Dia menunding tepat pada
muka aku.
Aku sudah terpaku di situ.
Lelaki itu semakin dekat melangkah
mendekatiku. Derapan kakinya sudah cukup membuatkan seluruh anggota badan aku
berhenti berfungsi. Apa yang akan berlaku sekarang? Aku akan dipukul lagi? Aku
akan disepak terajang lagi? Aku tak dapat bayangkan itu.
Semakin dekat dia dengan aku, dengan
lebih jelas aku melihat tangannya yang sudah terangkat untuk bertindak ke atas
ku. Aku terus menikus di situ dan memejam mata.
Namun pendengaran aku menangkap suara
lelaki itu sedang mengerang kesakitan. Lantas aku membuka mata. Satu kelibat
lain sedang berdiri di depan aku dan membelakangkan tubuhnya dari aku. Siapa?
Lelaki itu, dia sudah terjelepuk ke tanah. Kemudian dia bangun dan memandang
aku dengan api dendam yang membara.
Kelibat yang berdiri membelakangi aku
menoleh. Zaid? Dia ada di sini? Dia selamatkan aku?
“Pompuan sial!!” lelaki itu menunding
pada aku.
Jerkahannya itu semakin menakutkan. Aku
menyambunyikan diri di belakang Zaid. Lengan Zaid aku pegang dengan kuat.
“Kau dah ada hero ya!!” jelas suara itu
kedengaran. “Tak pe…tak pe….Tahulah aku nak mengajar kau nanti!!”
Di balik tubuh zaid, aku mengintai.
Lelaki itu berlalu pergi sambil memegang perutnya. Menahan sakit, barangkali.
Mungkin zaid menumbuknya di perut. Dasar pengecut! Dengan aku kau beranilah!
“Awak okey Nisa?”
Soalan Zaid itu membuatkan aku menarik
genggaman tanganku yang erat memegang lengannya. Aku sekadar mengangguk.
“Macam mana awak boleh ada di sini?”
Soalan itu hanyalah sekadar untuk berbasi-basi dengan Zaid. Sesungguhnya, aku
amat bersyukur dengan kehadiran Zaid di sini.
“Entahlah…Cuma saya tergerak hati untuk
mengikut awak. Awak tu, dahlah selalu tak sihat!”
Aku diam. Mana ada aku tak sihat? Aku
sentiasa sihat, cuma badan aku je selalu rasa letih.
“Jom, saya temankan awak!” Zaid memberi
isyarat agar kami meneruskan langkah. Mujurlah Zaid langsung tak bertanya siapa
gerangan yang mahu menyerangku tadi.
Baru dua tiga langkah aku bergerak,
terus aku terasa tekak aku mual, kepala aku pening. Aku berhenti dan cuba
mengawal diri dari memuntahkan apa-apa dari perutku.
“Kenapa dengan awak ni Nisa?”
“Entahlah…..tiba-tiba je saya rasa
pening.” Sungguh, aku belum pernah lagi merasa begini. Apa yang tak kena dengan
aku sebenarnya.
“Kita ke klinik dulu. Klinik pun tak
jauh dari sini!” Zaid mahu memegang aku, namun aku menolaknya.
“Tak apa, saya boleh jalan sendiri.”
Aku menolak dengan cara yang baik. Aku tahu niat baik Zaid, tapi aku tetap
perlu menjaga kelakuanku.
Zaid menghormati permintaanku dan
menjarakkan dirinya denganku. Baru beberapa langkah aku teruskan, pandangan aku
berpusing semula. Dan dalam masa yang sama, aku dapat merasakan sepasang tangan
menyambut tubuhku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku dan Zaid duduk bersebelahan. Doktor
di depanku yang sedang tersenyum, menulis sesuatu dalam kad laporan. Setelah
itu, dia menoleh pada aku dan Zaid.
“Puan Nisa jangan risau. Puan Nisa tak
apa-apa.”
Aku menarik nafas lega. Aku lihat Zaid
juga berbuat begitu.
“Cuma, saya minta Puan Nisa perlu
banyak rehatkan diri sebab tekanan Puan Nisa agak rendah. Tapi itu perkara
biasa. Tak perlu dirisaukan sangat. Yang penting, jaga pemakanan. Setiap hari,
Puan Nisa perlu mengambil makanan seimbang dan elakkan dari makan benda-benda
tajam.”
Pelik betul nasihat doktor ni! Doktor
itu menoleh pada Zaid pula.
“Sebagai seorang suami, encik perlu
jaga isteri encik dengan lebih lagi. Tapi encik tak perlu risau, apa yang
berlaku pada Puan Nisa hanyalah diperingkat awal kehamilan……”
“Hamil??!!” Aku dan Zaid terus
terbangun dari duduk kami. Seperti mana aku terkejut, seperti itu jugaklah
reaksi Zaid.
Dengan reaksi seperti ini, aku yakin,
apa yang ada dalam fikiranku terlalu jauh dengan apa yang ada dalam fikiran
Zaid.
Jadi, lafas talak yang telah dijatuhkan
lelaki itu pada aku tidak sah! Kerana aku sedang mengandungkan zuriatnya, maka
aku masih bergelar isteri! Itu yang ada dalam fikiranku, sedangkan Zaid pasti
sedang mengutukku. Tentu dia merasakan aku seorang wanita yang hina!
Dengan langkah yang berat, aku keluar
dari klinik itu. Zaid masih di sisiku. Zaid terus membisu sepertiku. Aku pun
tak mengerti mengapa Zaid hanya berdiam diri. Sedangkan, dia boleh terus
mengejiku atau paling tidak bertanya padaku, anak siapa yang aku kandungkan?
Apa yang berlaku dalam hidupku?
“Awak….” Aku teringat pada teman-teman
di bakery. Zaid menghentikan langkahnya seperti aku. “tolong rahsiakan…..”
hanya itu yang mampu aku ucapkan. Zaid mengangguk. Anggukkan itu sangat
melegakan hati aku.
“mari saya hantar awak balik.” Terus
aku memandang Zaid bila dia berkata begitu. Aku tak faham, kenapa Zaid tak
menghujani aku dengan soalan demi soalan yang sepatutnya dia tanyakan?
“Doktor beri awak cuti sakitkan? Biar saya
hantar awak. Nanti saya beritahu dengan teman-teman lain.” Zaid meneruskan
langkahnya.
“Zaid….”
Zaid menoleh padaku.
“terima kasih….”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Sejak aku tahu diriku hamil, aku dah
tak mampu berpura-pura gembira lagi di depan orang. Selama ini, aku
menyembunyikan perasaan yang terpendam dengan lagak ceria. Tapi, berita yang
satu ini tak dapat membuatkan aku meneruskan keceriaan yang pura-pura itu lagi!
Aku sangat berharap kisah aku dan
lelaki itu tamat. Tapi, aku sedang mengandungkan bayinya! Apa akan jadi pada
bayi ni? bagaimana nasibnya? Bagaimana nasib kami jika lelaki itu tahu aku
sedang mengandungkan anaknya?
Mak dan ayah tak jemu-jemu memberikan
sokongan demi sokongan. Ada saja nasihat yang diberikan agar aku menerima
ketentuan Allah dengan hati yang sabar. Aku mampu bersabar selama ini, dan aku
juga mampu untuk menerima bayi ini. Apa yang aku khuatirkan, apa akan jadi pada
bayiku nanti? Bagaimana jika aku tak mampu membesarkan bayi ini dengan
kehidupan yang sepatutnya? Apakah bayiku akan bahagia?
Lima tahun, aku bergelar isteri
padanya. Aku menamatkan zaman remaja ku seawal usiaku sembilan belas tahun. Hanya
dua tahun pertama aku bahagia. Masuk tahun ke tiga, sikapnya semakin berubah.
Bermula dari berkawan dengan orang-orang yang salah, akhirnya dia terperangkap
di meja judi. Mulanya hanya mahu berseronok, lama-lama keseronokan itu sudah
menjadi satu ketagihan.
Hidup kami semakin sempit apabila dia
dibuang kerja tetapi dia tetap meneruskan ketagihannya di kancah judi. Habis
barang-barang kemas dan wang ringgit dilaburkan ke meja judi. Tak cukup dengan
itu, dia sudah mula berhutang sekeliling. Hutang dengan kawan-kawan, dengan
saudara maranya. Aku tetap terus bersabar dengan segala yang berlaku dan
merahsiakannya dari pengetahuan keluargaku. Hanya satu perkara yang aku
fikirkan, kerana dia adalah suamiku. Menceritakan keburukannya, sama seperti
menceritakan keburukanku
Jiwa aku yang terluka ku pendam terus dengan sikapnya
yang semakin bertukar rentak. Dia sudah tak pulang ke rumah. Kadang-kadang dua
tiga hari dia tak pulang. Bila dihubungi, telefon dimatikan. Kadang-kadang, sampai
seminggu dia tak pulang. Jiwaku terus merintih pilu. Di mana suamiku? Di mana
suamiku yang dulu? Di mana suamiku yang selalu mencintaiku?
Sampailah di satu saat, aku dihubungi
Ah Long. Dia sudah mula berhutang dengan Ah Long. Ya, Allah….Aku bisa bersabar
dengan kesempitan hidupku. Tapi aku tak mampu berdiam diri bila dia mula
meletakkan kehidupan kami di tangan Ah Long. Saat itu aku sudah mula berfikir
untuk melarikan diri. Tapi kaki aku terikat apabila aku menyedari aku adalah
seorang isteri.
Mungkin kerana tertekan dengan hutang
pada Ah Long, dia mula meminta wang dariku. Manalah aku punya wang sedangkan
aku tidak bekerja! Aku sendiri tak mampu mengurus makan minumku, bagaimana aku
mampu memberikan wang untuknya. Akhirnya, tubuh aku menjadi mangsa
kemarahannya.
Semuanya berakhir apabila mak dan ayah
datang ke rumah. Ketika itu, dia sedang melampiaskan kemarahannya padaku. Mak
dan ayahlah penyelamatku. Akhirnya, mereka membawa aku keluar dari situ
walaupun lelaki itu menghalang mereka. Aku tahu, dia lebih berhak ke atas ku
berbanding orang tuaku. Namun, setelah ayah mengugut untuk memanggul polis,
barulah dia melepaskan aku.
Mak dan ayah terlalu marah kerana aku
merahsiakan apa yang berlaku. Mereka mendesak aku agar membuat laporan dan
berpisah dengan lelaki itu. tapi, aku sendiri pun tak pasti kenapa aku masih
cuba untuk mempertahankan rumahtangga kami.
Dia…lelaki itu, aku mengenalinya
sebagai seorang lelaki yang baik. Dia memang baik! dia hanya tersilap langkah.
Aku masih mengaharapkan agar dia berubah menjadi suamiku yang penyayang.
Setahun berlalu, apa yang aku harapkan
tak juga tiba. Sejak ayah dan mak mengambilku, aku langsung tak mendengar
khabarnya. Walaupun berkali-kali mereka menyuruh aku membubarkan perkahwinan
ini, aku masih berdiri di situasi yang sama. Aku tak tahu kenapa….
Sampailah suatu hari, tiba-tiba sahaja
dia muncul di depanku bersama senyumannya. Sama seperti kali pertama kami
berkenalan sebelum bergelar suami isteri. Dia melayaniku dengan baik, membawa
aku berjalan-jalan, membawa aku makan. Perasaan aku terbuai seperti saat
pertama kami berkenalan.
Kemudian, dia membawa aku pulang ke
rumah dan cuba mengimbas saat-saat kami hidup bersama. Sampai sahaja di rumah,
terus sikapnya berubah. Senyuman yang manis itu berubah. Dia bagaikan harimau
kelaparan yang sedang menunggu mangsa. Rupanya, dia hanya mahu membalas
dendamnya padaku. Dan dendamnya terbalas saat aku menjadi bodoh kerana
mengharapkan perubahannya!
Bermula dari detik itu, aku mengikuti
saranan mak dan ayah untuk membubarkan perkahwinan ini tanpa aku ketahui dalam
perutku kini tersemadi zuriatnya.
Aku tahu, teman-teman kolej dan
teman-teman di bakery menyedari sikap aku yang jauh berubah ini. Walaupun aku
sedaya upaya tersenyum di depan mereka, tapi aku tak mampu untuk ketawa lagi.
Zaid, dia juga seakan menjauhiku.
Walaupun dia masih pritahin padaku, namun dia sikap dia dingin pada aku. Dia
tak lagi memandang aku bila berselisih dengan ku. Tetapi, makan minumku,
sentiasa dijaganya.
Adakalahnya dia akan menyiapkan roti
dan kek dan diletakkan buah-buahan di atasnya sebagai hiasan atau inti, lalu
diserahkan pada Julia untuk diberikan
padaku. Kadang-kadang dia membelikan susu soya dan meminta Julia
memberikannya padaku. Walaupun Julia tak memberitahuku yang semua itu datangnya
dari Zaid, tapi aku tahu Zaid yang memberikannya pada ku.
“Kau ni kenapa?” Julia bertanya setelah
memberikan sekeping pizza untukku. Pizza itu juga datangnya dari Zaid. “Zaid
suruh kau buang nanas tu. Jangan makan!” Julia terus menepis tanganku apabila
aku mahu menyumbat Pizza yang berisi nanas di atasnya.
Aku tahu, aku tak boleh makan nanas.
Aku tak nampak nanas yang terselindung di bawah kepingan sosej.
“Zaid?” Kenapa Zaid masih prihatin
dengan aku? “Aku tak de seleralah nak makan.” Aku meletakkan semula kepingan
pizza itu.
“Kau ada masalah ke?” Julia bertanya
lagi.
“Mana ada. Biasa je.” Itulah jawapan
klise aku pada soalan klise Julia.
“Tak apalah. Kalau ada apa-apa,
beritahu aku.” Jujur sekali kata-katanya pada pendengaranku. Julia, kau ni
terlalu baik. Sama seperti abang kau.
Aku menyambung kerjaku, sehinggalah
Zaid datang dan berdiri di sebelah.
“Kenapa awak tak makan?” tanya Zaid.
“Kalau saya lapar, saya makan.”
“Awak kena jaga makan minum awak. Dalam
perut awak tu, perlukan makan juga.” Dia berbisik ketika berkata begitu.
kemudian, dia berlalu.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aku berdiri di depan bakery sambil
menunggu ayah datang mengambil ku. Tadi, ayah menghubungi dan memberitahuku
tentang kelewatannya. Ayah minta agar aku meminta tolong teman-teman untuk
menemaniku sehingga aku datang. Jadi, aku minta bantuan Julia memandangkan
Julia satu-satunya pekerja perempuan selain ku.
Kalau Julia menemaniku, pasti Zaid juga
akan menemaniku kerana menunggu adiknya. Ketika ini, Julia berada didepan dan
agak jauh dari tempat ku berdiri. Dia sedang berbual di telefon. Sesekali aku
terdengar dia ketawa gembira. Pasti sedang berbual dengan teman lelakinya.
“Awak sihat?” Zaid mengambil kesempatan
itu dan berdiri di sebelahku.
“Sihat.”
Satu soalan itu sahaja yang ditanya.
Kemudian, dia terus membisu dan menyandarkan tubuhnya di dinding.
Aku masih bersoaljawab dengan diriku.
Perlukah aku menjernihkan keadaan aku dan Zaid? Tak, kami tak punya masalah.
Tapi apa yang menggusarkan aku, pandangan Zaid padaku. Tiada seorang pun dari
kalangan temanku yang tahu aku pernah berkahwin. Baik teman kolej mahupun teman
di bakery ini termasuklah Zaid.
“Saya minta maaf sebab dah menyusahkan
awak dan Julia.”
Zaid mengalihkan perhatiannya padaku
lalu mengangguk dan kemudian ke kembali ke posisi tadi. Aku benar-banar sebal
dengan sikapnya. Adakah dia bersikap begitu kerana jijik dengan aku?
“kenapa? kenapa awak tak pernah tanya
apa-apa?”
Zaid kembali memberi perhatian padaku.
“Perlukah saya bertanya?” Tepat anak
matanya memandang ku.
Tentu sahaja aku akan jawap tak. Tapi
bila sikapnya begini, aku rasa…..
“Awak tahu tak, saya rasa awak bencikan
saya! Awak tak macam dulu!”
Zaid mengeluh.
“Tak macam dulu, macam mana maksud
awak? Dulu dan sekarang sama saja. Kita pun bukannya rapat sangat.”
Betul juga apa yang dikatakan Zaid. Aku
memang tak rapat dengan Zaid. Tapi, aku dapat rasa perbezaan pandangannya pada
aku antara dulu dengan sekarang.
“Saya tak bencikan awak, Nisa. Kalau
saya bencikan awak, saya takkan ambil berat tentang awak. Kitakan kawan?”
ujarnya. Sungguh, kata-kata itu menusuk terus ke dalam hatiku. Terus aku tertunduk. Malu dengan sikapku
sendiri.
“Kalau awak percaya pada saya, awak
boleh berkongsi apa-apa saja dengan saya. Saya takkan mendesak awak dengan
bertanya apa-apa soalan.”
Terdiam aku dengan keikhlasannya.
Percaya? Itulah satu perkataan sangat aku takuti. Kepercayaan adalah satu
keistimewaan yang diberikan pada seseorang. Namun, sekali kepercayaan itu
dicalari, ia tak mungkin dapat dikembalikan biar diperbaiki semua kesalahan.
Ibarat segelas kaca yang bertaburan, ia tetap takkan sama biar dicantumkan
semula.
Melihat kebisuan aku, Zaid kembali ke
posisi tadi, barsandar pada dinding dan mendiamkan diri seperti ku.
Julia sudah mematikan perbualannya di
telefon. Aku mahu menghampirinya dan menjauhi Zaid. Malangnya, ketika aku
menuruni tiga anak tangga di depan bakery itu, aku tergelincir dan………………..
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Sedar-sedar je, aku sudah berada di
katil hospital. Apa dah jadi sebenarnya? Perkara yang terakhir aku ingat, aku
bersama Zaid dan Julia. Aku cuba bergerak, namun aku terasa begitu lemah.
Melihat aku sedar dari pembaringan, mak
terus memelukku bersama linangan air mata.
“Nisa tak apa-apalah mak…” Mak perlu
dipujuk. Mak memang sensitif orangnya. Kadang-kadang kesedihan yang aku
tanggung, lebih banyak membuatkan mak menangis berbanding tangisanku sendiri.
Setelah apa yang berlaku, barulah aku menyedari, hanya orang tua sahaja yang
akan menerima anak-anaknya seadanya. Malanglah bagi anak-anak yang mengabaikan
orang tuanya!
Aku mahu bangun dan bersandar. Mak
membantu aku. Ketika pergerakan itu, aku merasakan tubuh aku ringan sekali.
Perut aku terasa kosong. Aku memegang perutku. Sungguh, aku merasa
perbezaannya!
“Mak, kenapa Nisa rasa perut Nisa
kosong?”
Mak terus menangis. Mak tak menjawap
soalan aku! Tapi tangisan mak sudah cukup untuk memberikan aku jawapannya.
Memang, pada mulanya aku takut untuk
menerima bayi ini. Namun, semakin lama semakin janin ini membesar dalam
tubuhku, rasa sayang itu semakin bercambah. Aku sudah mula merasa mahu menjadi
seorang ibu. Lapan belas minggu, janin itu sedang membesar dalam rahimku. Tapi
kini….
Mak menggenggam tanganku erat-erat.
“Ayah, Zaid dan kawan-kawan Nisa yang
lain sedang menghantar dia untuk disimpan.” Suara mak tersangkut-sangkut.
Maknanya, teman-teman aku yang lain
pasti sudah mengetahui sejarah hidupku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Tiga minggu kemudian……..
Sebaik sahaja kesihatan aku pulih, aku
kembali ke kolej. Hari ni, merupakan hari pertama aku. Mujurlah, pihak kolej
banyak merahsiakan tentang diri aku. Teman-teman di sana pun masih belum tahu
apa yang berlaku. Mereka hanya tahu, aku bercuti.
Balik dari kolej, aku meneruskan rutin
biasaku sebagai pekerja separuh masa di Boulangerie.
Ya, aku memang sudah pulih dari
kesihatan tapi mental ku masih belum-belum bersedia untuk menghadapi kehilangan
bayiku. Aku baru bermimpi untuk menjadi seorang ibu. Namun, semuanya punah!
Hampir sampai sahaja di depan
bakery, aku lihat teman-teman sudah sedia menunggu. Mereka melambai-lambai
padaku. Termasuklah Zaid.
Lambaian mereka tiba-tiba saja
mati. Aku tergamam di situ. Kenapa mereka bersikap begitu padaku? Tiba-tiba sahaja
semua teman-temanku meluru. Mulanya aku sangkakan mereka meluru padaku, tetapi
mereka terus melepasi ku. Aku menoleh.
Rupa-rupanya, mereka meluru
kepada lelaki itu yang sedang berlari pada aku bersama sebilah pisau
ditangannya.
“Lepas!! Lepas!!” lelaki itu
meronta. Wan, Sham dan Viru memegang kuat lelaki itu. Zaid merampas pisau
ditangannya.
Astaghfirullah……apa yang lelaki
itu mahu lakukan padaku?
“Perempuan tak guna! Kau
mengandungkan anak aku, tapi kau tak beritahu aku! Kau bunuh anak aku?”
Aku memandang tajam padanya.
Inikah lelaki yang pernah aku
cintai satu ketika dulu? Inikah lelaki yang menyemai benih-benih cintanya
bersamaku? Tidak! Ini bukan lelaki itu! Lelaki itu sudah mati saat dia
mengkhianati kepercayaanku! Lelaki yang berdiri di depanku ini adalah lelaki lain!
Lelaki yang aku memandangnya dengan penuh rasa benci!
“Kau pembunuh! Kau bunuh anak
aku!!”
Aku? Aku yang membunuh?
“Bayi yang aku kandungkan anak
aku! Bukan anak kau!” Entah dari mana aku mendapat keberanian membalas setiap
kata-katanya. Yang pasti, aku benci melihat lelaki itu. sangat benci sehingga
aku tak mampu untuk menyebut namanya lagi!
“Bayi tu anak aku! Kau dah lupa?
Kalau kau lupa biar aku ingatkan peristiwa itu. Perempuan bodoh!!” lelaki itu
ketawa berdekeh-dekeh. Sungguh, tawanya itu bagaikan bom yang sedang meletup di
pendengaranku.
Aku memandang dia tanpa beralih
sedikit pun pandangan aku padanya. Taman-taman masih memegangnya dengan kemas.
Aku mendekati lelaki itu. lelaki yang masih dengan tawa sinisnya terus
memandang aku.
Pang!! Satu tamparan aku
lemparkan di pipi kirinya. Aku lakukannya sekuat hatiku. Sebesar mana bencinya
aku pada lelaki ini, sebesar itu jugalah aku cuba membalas perbuatannya dengan
tamparan ini. Walaupun aku tahu mungkin tamparan ini langsung tak berbekas
padanya.
“Aku memang dah lama mahu lakukan
ini pada kau! Aku mahu membalas setiap perbuatan kau. Tapi aku selalu
mengingati kata-kata Rasulullah- ‘Jika aku mampu menyuruh manusia bersujud pada manusia lain,
pasti aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud pada suaminya.” Airmata aku
mengalir, tapi bukan kerana sedih tetapi kerana geram. “tapi sekarang, aku
bukan lagi isteri kau!”
“Aku memang perempuan bodoh bila
jatuh cinta dengan kau, kerana aku seorang wanita! Aku memang perempuan bodoh
bila terus mencintai walaupun dikhianati, kerana aku seorang isteri! Aku memang
perempuan bodoh bila terus merahsiakan setiap kesakitan aku, kerana aku seorang
isteri! Aku memang perempuan bodoh bila terus setia walaupun aku dilukai, kerana aku seorang isteri. Tapi aku sedar dari
kebodohan aku bila aku kehilangan bayi aku…..kerana aku seorang ibu!”
Wan, Shan dan Viru terus membawa
lelaki itu pergi. Mungkin ke balai polis, barangkali.
“Nisa…” zaid berdiri di depanku.
“Lebih baik awak buat laporan polis. Kalau dibiarkan, bahaya untuk awak!”
Kata-kata Zaid ada benarnya.
“Mari….” Julia menarik tangan
aku. “Aku temankan kau buat laporan. Biar Zaid jagakan kedai buat sementara.”
Kaki aku menurut langkah Julia
namun fikiran aku terus melayang jauh.
Aku tak pernah mengharapkan
kesudahan yang begini. Seandainya bahagia bukan milik aku, aku redha. Tapi aku
tak menjangka suatu saat nanti aku akan membuat laporan ke atas orang yang
pernah hidup bersama ku. Memang lelaki itu bersalah atas setiap kesalahan yang
dilakukannya.
Tapi disebalik itu, aku juga
bersalah. Kesalahan aku adalah, aku terbuai dengan kehidupan dunia. Saat aku
bahagia dengan kehidupan aku, aku alpa pada Sang Pencipta. Dan kini, ujian
menimpaku. Namun aku bersyukur, kerana ujian ini, aku kembali padaNYA.
Cerita hidup aku takkan berakhir
di sini. Sekarang, aku bergelar janda. Lebih banyak cabaran yang perlu aku
lalui. Selain memikirkan kehidupan dan mengatur semula perjalanan hidupku, aku
perlu menjadi lebih tegar.
Janda….bukan gelaran yang
diimpikan oleh setiap wanita. Masyarakat mungkin berubah, cara hidup berubah,
namun perspektif mereka pada orang sepertiku takkan pernah berubah. Janda
jahat! Janda suka ganggu rumahtangga orang! Itulah yang biasa didengari.
Aku perlu lebih tegar dalam
meniti hidup ini.
Zaid….Dia seorang lelaki yang
baik. Segala bantuannya, sangat aku hargai. Namun pintu hati aku masih belum
terbuka untuk seorang lelaki. Aku mahu memastikan orang tuaku bahagia dengan
kehidupan mereka dahulu sebelum aku memikirkan kebahagiaan aku semula.
Andai ditakdirkan aku akan jatuh
cinta semula, aku berdoa agar cinta itu suci dengan perasaan cinta padaNYA.
Hanya cinta yang berlandaskan cinta padaNYA akan membawa aku pada kebahagiaan.
Kini, aku mahu hanya memburu
cintaNYA…..
-tamat-
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
sedihnyerrr....
ReplyDelete