SEPASANG mata milik Zack
yang sedang bersembunyi di balik tembok sedang memerhati segala yang sedang
berlaku di Rumah Warisan. Dia mengukirkan senyuman melihat gelagat Audra dan
Zana yang sudah merajuk dengan Che Enon.
Zack
bersandar di dinding. Dia langsung tidak menyangka akan menemui Audra di sini.
Sebenarnya, dia datang ke sini untuk mengambil kot hitamnya yang tertinggal di
sini. Dia juga mahu menemui Che Enon untuk memberitahu Che Enon yang dia akan
mengambil seorang pereka dalaman untuk memperbaharui semula susunan di Rumah
Warisan.
Zack ketawa
kecil. Siapa sangka, Che Enon terlebih dahulu membawa pereka dalaman yang tidak
bertauliah untuk membantunya. Lebih mengujakan, salah seorang darinya adalah
Audra Laily. Zack mengemamkan bibirnya. Bagus! Dia mahu lihat apa yang mampu
dilakukan Audra.
Ketika dia
tiba di situ, Pak Rahim terlebih dahulu memohon maaf padanya kerana Che Enon
membawa orang luar masuk ke dalam Rumah Warisan. Katanya, Che Enon hanya
mahukan bantuan dari mereka berdua. Lantas dia menyelinap ke kawasan Rumah
Warisan setelah meninggalkan keretanya di depan pintu pagar.
Dia
menyuruh Pak Rahim merahsiakan kedatangannya dari yang lain. Teruja rasa hati
bila Pak Rahim beritahu Che Enon bawa pulang dua orang gadis dari kolej
berdekatan. Bukankah kolej berdekatan adalah kolej di mana Audra belajar? Bila
mendengar sahaja kata Pak Rahim, entah kenapa jantungnya terus berdebar kencang.
Dek kerana itulah dia menyelinap masuk ke dalam Rumah Warisan untuk melihat
gerangan siapakah yang dibawa Che Enon.
Debarannya
beralasan apabila melihat susuk tubuh Audra bersama temannya. Dia tersenyum
melihat gelagat mereka. Apa yang pasti, Audra mahu hilangkan segala kenangan di
rumah ini? Bolehkah gadis itu buat begitu? Dia mahu menunggu apa yang bakal
dilakukan Audra. Teruja benar dirasakannya!
Namun,
sebahagian dalam dirinya meragui keikhlasan hati Audra. Apakah Audra lakukan
perkara ini kerana mahu menambat hati Tuan Syed Zikri setelah melihat segala
kemewahan di dalam Rumah Warisan ini? Bukankah Audra mahukan seorang putera
raja untuk menjadi pendampingnya? Tak mengapa, dia akan mencari jalan untuk
lebih mengenali diri Audra.
Zack
berjalan semula ke pondok sekuriti Pak Rahim. Kelihatan lelaki itu sudah
tercegat menunggunya. Pak Dollah juga berada di sisinya. Mungkin Pak Dollah
baharu pulang. Sebentar tadi dia diberitahu bahawa Pak Dollah tidak ada kerana
ada urusan yang perlu diselesaikan. Ada riak kekhuatiran dari raut wajah mereka
berdua. Zack hanya tersenyum. Bukan dia tak tahu mereka semua takut jika mereka
akan dimarahi.
“Pak Rahim,
tolong panggilkan Che Enon sekarang. Diam-diam ek! Jangan sampai dua orang
budak perempuan tu tahu,” ujar Zack. “Saya tak nak mereka tahu saya ada di
sini!”
“Baik, Tuan
Syed!” Pak Rahim hilang dari pandangannya.
"Tuan
Syed, saya dah dapat seorang sekuriti seperti yang Tuan Syed minta," ujar
Pak Dollah. Sejak pagi tadi, dia menghilangkan diri dari Rumah Warisan kerana
mahu menyelesaikan urusan ini.
"Bagus!"
Terangkuk-angguk kepala Zack. "Siapa?"
"Saudara
saya sendiri. Baharu datang pagi tadi," ujar Pak Dollah. "Maaf Tuan
Syed, sebab dari pagi tadi saya keluar baru sekarang saya pulang. Sebenarnya,
saya cari bilik sewa yang murah untuk saudara saya."
"Uh?"
Kening Zack sudah terjongket. "Kenapa tak bawa datang sini terus? Kan
bilik untuk setiap pekerja di sini dah tersedia."
"Sebenarnya,
saya tak berani nak bawa dia tinggal di sini terus sebelum saya bawa dia jumpa dengan
Tuan Syed. Saya rasa, lebih baik Tuan Syed jumpa dia dulu. Lepas tu, baru buat
keputusan sama ada mahu ambil dia bekerja atau tidak," usul Pak Dollah.
"Baiklah.
Esok pagi, bawa dia ke Warisan Syed berjumpa dengan saya."
Seketika
kemudian, kelihatan bayangan yang berlari-lari anak menghampiri pondok sekuriti
Pak Rahim. Muncullah Pak Rahim dan Che Enon.
“Tuan
Syed!” Sapa Che Enon yang sudah kelihatan gelisah. Kedua-dua tangannya sudah
tergenggam kemas. Sungguh, dia memang agak takut seandainya dimarahi oleh Tuan
Syed Zikri.
Zack hanya
menganggukan kepala, membalas sapaan Che Enon.
"Che
Enon minta maaf Tuan Syed. Sebenarnya, Che Enon dah habis fikir." Che Enon
yang ketakutan itu membuka mulut. Lebih baik dia meminta maaf terlebih dahulu
sebelum Tuan Syed Zikri bertanya apa-apa tentang Audra dan Zana. "Sebab
itulah Che Enon bawa mereka berdua datang ke sini untuk bantu Che Enon."
"Saya
dah lihat dua orang budak perempuan yang Che Enon bawa,” ujar Zack. Dia memeluk
tubuhnya.
Berubah
wajah Che Enon. Wajah yang sedia takut itu semakin ketakutan. Kasihan pula Pak
Rahim melihat wajah Che Enon. Jika Che Enon dimarahi, dia juga perlu dimarahi
kerana dia juga bertanggungjawab membenarkan mereka berdua masuk ke situ.
“Maaflah Tuan Syed sebab kami dah bawa masuk orang asing tanpa pengetahuan Tuan
Syed. Sebenarnya, Che Enon cuma nak minta bantuan mereka saja.”
Zack
memandang Pak Rahim pula. “Tak mengapalah,” ujar Zack dengan lembut. “Cuma,
saya minta lepas ni kalau kamu semua nak buat apa-apa pun beritahu saya dulu.
Jangan buat apa-apa diluar pengetahuan saya!” arah Zack dengan sopan. Biarpun
mereka bertiga adalah pekarjanya, namun satu kewajipan baginya untuk
menghormati orang yang lebih tua darinya.
“Baik Tuan
Syed!” ujar mereka bertiga serentak.
“Saya nak
minta tolong dengan Che Enon, Pak Rahim dan Pak Dollah,” ujar Zack dengan
serius. Mereka bertiga memberikan perhatian kepadanya. "Untuk pengetahuan
kamu semua, mereka berdua termasuk dalam calon pelajar yang akan menghadiri
temuduga dengan Warisan Syed. Sekarang ni, Warisan Syed sedang memerhatikan
mereka tanpa mereka sedari."
"Oh,"
Terangguk-angguk kepala mereka bertiga bersama dengan muncung yang panjang.
“Saya mahu
di depan dua gadis yang Che Enon bawa tu, jangan ada seorang pun yang panggil
saya Tuan Syed. Mereka berdua tak boleh tahu siapa saya!”
Mereka
bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tertanya dengan maksud
tujuan Tuan Syed Zikri melakukan begitu.
“Maksud
Tuan Syed?” Che Enon mengambil peranan untuk bertanya.
“Begini,
mereka berdua adalah calon pelajar yang akan dibawa masuk ke Warisan Syed.
Mereka berdua masih dalam perhatian. Jadi, saya mahu rahsiakan identiti saya!
Kalau di depan mereka, saya mahu kamu semua panggil saya, Encik Zack, orang
kanan Tuan Syed Zikri!” terang Zack dengan lebih jelas.
“Oh, kiranya
Tuan Syed mahu menyamarlah?” Wajah Che Enon sudah bergaris dengan senyuman.
Zack
menganggukkan kepalanya. “Boleh?” tanyanya.
Mereka yang
lain mengangguk.
“Oh ya,
jangan lupa beritahu tentang rancangan saya pada Pak Sudin!”
“Jadi, Tuan
Syed tak marah saya bawa mereka berdua datang ke sini?” tanya Che Enon
ragu-ragu. Tapi dia mula yakin yang Tuan Syed Zikri memang tidak marah.
“Tak, tak
pe!” ujar Zack. Mana mungkin dia marah sedangkan hatinya sudah berbunga
gembira. “Tapi macam yang saya beritahu, lain kali kalau nak buat apa-apa minta
izin saya dulu!” arah Zack.
Mereka
mengangguk laju. Masing-masing sudah menarik nafas lega.
"Cuma,"
Zack menggosok dagunya sekejap. “Kalau boleh, kamar utama tu, Che Enon serahkan
semuanya pada Audra. Biar dia yang atur bilik saya nanti!”
“Baik, Tuan
Syed!” Terangguk-angguk kepala Che Enon. Lega rasanya apabila dia terlepas dari
tugas itu. Seandainya Tuan Syed Zikri tidak menyukai cara susunan Audra,
sekurang-kurangnya dia tidak akan dimarahi. Nasib Audralah gamaknya! Terpaksa
pulak aturkan kamar utama Tuan Syed Zikri. Mahukah dia?
"Tapi,
kalau saya nak minta satu perkara dengan Tuan Syed, boleh?" Tanya Che Enon
lambat-lambat. Takut jika dia dikatakan melebih-lebih pula.
"Minta
apa Che Enon?"
"Che
Enon rasa Tuan Syed pun tahu yang Audra cuma pelajar akaun. Jadi, kalau Tuan
Syed tak berpuas hati dengan cara Audra, Che Enon harap Tuan Syed takkan marah
pada Audra."
Zack hanya
tersenyum.
"Nanti,
janganlah pula sebab Audra tak pandai susun Rumah Warisan, Tuan Syed tolak permohonan
dia untuk bekerja dengan Warisan Syed."
Zack sudah
ketawa. "Kenapa Che Enon fikir macam tu?"
"Che
Enon bukan apa Tuan Syed. Kalau Tuan Syed tolak permohonan Audra kerana tak
berpuas hati dengan cara susunannya, Che Enon akan rasa bersalah. Sebab Che
Enon yang pujuk budak-budak tu datang ke sini."
"Baiklah,
saya janji dengan Che Enon segala keputusan temuduga, takkan ada kaitan dengan bantuan
mereka." Zack mengerling Che Enon. "Tapi, dengan satu syarat."
Kening Che
Enon sudah terjongket. Alamak! Ada syarat pulak ke?
"Syaratnya,
Audra bukan sahaja kena susun bilik tidur utama, tapi juga pejabat saya.
Pastikan, dia buat semua keputusan sendiri. Pak Dollah dan Che Enon hanya boleh
bantu sahaja," ujar Zack. "Yang lain tu, saya akan panggil seorang
pereka dalaman untuk uruskan.”
Terangguk-angguk
kepala Che Enon. Tapi kenapa semuanya Audra? Tak pula Tuan Syed sebut nama
Zana. Nak ditanya, tapi dia tak berani.
“Lagi
satu,” ujar Zack semula. “Malam nanti, Che Enon biarkan mereka bermalam di
kamar Ilyana. Baju-baju dalam almari tu, dia orang boleh pakai kalau dia orang
mahu.”
Terkedu Che
Enon. Semakin tertanya-tanya Che Enon di dalam hati. Tuan Syed macam tahu-tahu
sahaja yang Audra dan Zana tak membawa pakaian ganti. Tuan Syed ni betul-betul
macam James Bond! Apa saja yang berlaku tak pernah lari dari pandangannya.
“Nah ambil
ni. Ini wang belanja kalau Che Enon perlukan apa-apa.” Zack menghulurkan
berkeping-keping not lima puluh untuk Che Enon.
“Banyak ni
Tuan Syed!” Terkedu Che Enon.
“Tak pe,
gunakan sebaik mungkin!” balas Zack. "Kalau tak cukup, beritahu
saya."
Che Enon
menganggukkan kepala.
Pandangan
Zack beralih pula kepada Pak Dollah. “Esok, kalau Che Enon, Audra dan kawannya
nak ke mana-mana, Pak Dollah tolong hantarkan ya!”
Pak Dollah
menganggukkan kepalanya tanda mengerti arahan itu.
“Tapi Tuan Syed, Cik Ilyana tak marahkah kalau mereka gunakan bilik dan baju-baju dia?” Che Enon mengetap bibrnya. Walaupun kelihatannya Cik Ilyana sudah jauh berubah tapi dia masih khuatir jika perkara itu berlaku.
“Tapi Tuan Syed, Cik Ilyana tak marahkah kalau mereka gunakan bilik dan baju-baju dia?” Che Enon mengetap bibrnya. Walaupun kelihatannya Cik Ilyana sudah jauh berubah tapi dia masih khuatir jika perkara itu berlaku.
“Rumah Warisan
dah jadi hak saya, kan?” Wajah Che Enon dikerlingnya. “Lagipun Ilyana sendiri
dah pesan, bila saya masuk ke rumah ni saya boleh buat apa yang saya suka. Dia
pun tak kisah jika saya mahu buang semua barang-barangnya sebab dia sendiri dah
tak perlukan itu semua.”
“Habis tu,
kalau Cik Ilyana datang sini dia nak tinggal di mana?” tanya Che Enon.
“Itu Che Enon janganlah risau. Kalau dia datang sini pun, dia takkan mahu tinggal serumah dengan saya,” ujar Zack. “Lagipun, Ilyana ada apartmentnya sendiri.” Zack bangun dan berjalan selangkah ke depan. “Che Enon jangan risau. Apa saja yang saya buat, Ilyana dan uminya akan tahu terlebih dulu.”
“Itu Che Enon janganlah risau. Kalau dia datang sini pun, dia takkan mahu tinggal serumah dengan saya,” ujar Zack. “Lagipun, Ilyana ada apartmentnya sendiri.” Zack bangun dan berjalan selangkah ke depan. “Che Enon jangan risau. Apa saja yang saya buat, Ilyana dan uminya akan tahu terlebih dulu.”
Tenang hati
Che Enon mendengar kata-kata Zack. Dia tak mahu timbul lagi salah faham di
dalam keluarga Syed itu. Zack yang memakai topi dan kaca mata hitam
dipandangnya. “Tapi kenapa Tuan Syed pakai topi dengan spek hitam malam-malam
ni?” tanya Che Enon tiba-tiba. Dia sendiri tidak menyangka dia akan bertanyakan
soalan itu. Mulutnya ditampar-tampar. “Maaf Tuan Syed. Tak sengaja.”
Tertelan
air liur Zack. Terasa bagai sindiran pula di telinganya. Tapi dia tahu, Che
Enon tidak sengaja berkata begitu. Lalu Zack membuka topi dan cermin gelap yang
dikenakannya.
Tercengang
Pak Dollah, Pak Rahim dan Che Enon melihat penampilan baru Zack. Rambut Zack yang
ala-ala Shah Rukh Khan itu sudah dipotong hampir botak seperti Mawi! Tapi
jambang-jambang halus di wajahnya masih kekal.
“Kenapa
Tuan Syed pendekkan rambut? Kalau ada rambut kan segak,” ujar Pak Dollah.
“Saja saya
nak ubah angin,” Zack memberi alasan. Sedangkan dia melakukan semua itu demi
mendekati Audra Laily. Dia benar-benar mahu tahu Audra Laily tergolong dalam
wanita jenis yang bagaimana.
“Yang ini
pun handsome juga. Sekali pandang
macam Maher Zain!” sampuk Pak Rahim pula.
Zack hanya
tersenyum. Tiba-tiba dia memegang perutnya. Perutnya berbunyi minta dialas.
Wajah Zack yang putih kemerahan itu semakin bertambah kemerahannya kerana
menahan malu apabila perutnya berbunyi di hadapan mereka bertiga.
“Tuan Syed
lapar?” tanya Che Enon. “Jomlah masuk ke dalam. Nanti Che Enon siapkan makan!”
ajaknya.
“Tak
perlulah masuk ke dalam, Che Enon. Bawakan saja ke sini. Saya makan malam
dengan Pak Rahim saja. Boleh Pak Rahim?” Khuatir pula dia kalau bertembung
dengan Audra. Haru dibuatnya nanti! “Pak Rahim masih belum makan, kan?”
Terkejut
Pak Rahim mendengarnya. “Boleh, boleh Tuan Syed. Tapi tak apakah Tuan Syed
makan di pondok ni?” Ada nada khuatir dalam tutur katanya. Tak kisahkah lelaki
itu makan di pondok pengawal itu? Bersama pekerja pula!
Zack memandang
segenap pondok pengawal itu. Pondok ini tidaklah terlalu sempit memandangkan di
situ sudah disediakan bilik khas untuk para pengawal berehat dan bersolat.
Setiap pekerja di situ memang sudah disediakan kamar kecil masing-masing. Cuma yang membezakan bagi pekerja lelaki, kamar mereka sudah diasingkan di luar dan hanya pembantu wanita sahaja yang kamarnya di dalam. Biarpun di dalam disediakan tiga kamar untuk pembantu wanita, namun sejak tiada Syed Hussin, maka tiadalah jururawat peribadinya yang menghuni dua kamar yang kosong itu.
Setiap pekerja di situ memang sudah disediakan kamar kecil masing-masing. Cuma yang membezakan bagi pekerja lelaki, kamar mereka sudah diasingkan di luar dan hanya pembantu wanita sahaja yang kamarnya di dalam. Biarpun di dalam disediakan tiga kamar untuk pembantu wanita, namun sejak tiada Syed Hussin, maka tiadalah jururawat peribadinya yang menghuni dua kamar yang kosong itu.
“Saya tak
kisah!” ujar Zack. “Che Enon bawakan makan malam saya dan Pak Rahim di sini
ya.” Zack memandang Pak Dollah. “Pak Dollah kalau nak makan di dalam, silakan.”
“Kalau
semua dah makan di sini," Pak Dollah memandang Che Enon. “Che Enon pun
sediakan makan malam saya di sini dengan Tuan Syed dan Rahim.” Teruja pula dia
mahu makan malam bersama dengan Tuan Syed Zikri di situ. Bila lagi nak
mengenali Tuan Syed Zikri dengan lebih rapat? Inilah saatnya!
Che Enon
segera hilang di dalam bersama sebuah senyuman.
"Che
Enon!" panggil Zana setelah melihat susuk tubuh itu yang sedang bergegas
masuk ke dalam rumah.
Che Enon
menghampiri mereka berdua. “Audra dengan Zana tunggu sekejap ya. Che Enon nak
sediakan makan malam!” Che Enon terus meninggalkan mereka berdua tanpa sebarang
kata.
Termangu
Audra dan Zana seketika. Mereka berdua kemudiannya membontoti Che Enon. Sampai
sahaja di dapur, sekali lagi mereka berdua terpegun. Dapurnya sahaja sangat
besar dan mewah. Penuh dengan gaya moden! Kemudian mereka menghampiri Che Enon
yang sedang panaskan lauk yang dibelinya di gerai Man Corner.
“Kenapa Che
Enon? Kelam kabut je,” tanya Zana. Pelik betul sikap Che Enon, sudahlah tadi
menghilang begitu sahaja. Bila kembali, semakin pelik pula perangai Che Enon.
Macam ada yang tak kena.
Che Enon
melirik Zana seketika. “Audra dan Zana tolong Che Enon siapkan pinggan.
Semuanya untuk tiga orang makan.”
Audra dan
Zana hanya menurut. Kemudian, Audra membantu Che Enon menyiapkan jus epal dan
meletakkan semuanya ke dalam dulang. Pinggan-pinggan kosong juga sudah sedia
dan juga mangkuk kosong untuk diisi lauk pauk.
Usai
panaskan lauk, Che Enon menuang setengah dari setiap lauk ke dalam mangkuk
kosong yang disediakan. Bakinya di tinggalkan di atas meja.
Setelah
siap semuanya, Che Enon mengangkat ganggang telefon yang terdapat di dapur,
lalu menghubungi pondok sekuriti Pak Rahim. Tak lama kemudian, kelibat Pak
Rahim dan Pak Dollah muncul di pintu dapur. Lauk-lauk yang sudah siap
diletakkan di atas dulang diserahkan kepada mereka berdua. Kemudian Che Enon
melepaskan nafas kelegaan. Wajah Audra dan Zana dipandangnya.
Audra dan
Zana hanya memerhatikan sahaja dua kelibat itu berlalu pergi. “Pak Dollah dan
Pak Rahim nak makan di mana?” soal Audra.
“Biasanya,
diorang makan di sini saja. Tapi, hari ni spesial sikit." Senyuman di
bibir Che Enon meniti lagi.
“Apa yang
spesial?” tanya Zana yang kelihatan teruja untuk mengetahuinya.
“Itu rahsia
orang lelaki," ujar Che Enon sambil menjongket-jongketkan keningnya untuk
mengusik mereka berdua.
“Kalau
rahsia orang lelaki, kenapa Che Enon tahu?” balas Audra kemudian.
Senyuman di
bibir Che Enon mati. Terasa malu apabila disindir begitu oleh anak-anak muda.
“Che Enon dah tua, tentulah Che Enon tahu!”
“Sepatutnya,
Che Enon kata, itu adalah rahsia orang-orang tua! Barulah kena!” usik Zana dan
kemudian ketawa.
Audra juga
tertawa mendengar usikan itu.
Che Enon
menjegilkan matanya. Dia mendengus. “Dah! Jom makan!” ajaknya sekaligus
mematikan perbualan mereka. Kalau dilayan budak berdua ni, ada saja yang akan
diusiknya lagi.
“Che Enon
dah lapar ni. Lepas makan, Che Enon tunjukkan bilik untuk kamu berdua.”
Audra dan Zana mengikut langkah Che Enon yang sudah duduk di meja makan.
Audra dan Zana mengikut langkah Che Enon yang sudah duduk di meja makan.
“Che
Enon," panggil Audra sambil tangannya menghulurkan pinggan untuk Zana.
“Kenapa Che Enon sediakan makan malam untuk tiga orang?” Memang hatinya
tertanya-tanya tentang itu. Sedangkan kata Che Enon, Pak Sudin tidak bermalam
di Rumah Warisan walaupun Pak Sudin juga di sediakan sebuah kamar kecil
untuknya. Rumah Pak Sudin tidak jauh dari Rumah Warisan dan dia tinggal bersama
isteri dan dua orang anaknya. Kamar yang disediakan untuk Pak Sudin, biasanya
digunakan ketika Pak Sudin dalam waktu bekerja sahaja.
“Hmmm,
biasalah orang lelaki-kan banyak makan. Kalau dua orang, kita kena sediakan
untuk tiga orang,” jawab Che Enon lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.
“Rumah
Warisan ni besar kan Che Enon?” suara Zana pula. Matanya meliar memandang ruang
makan itu. “Che Enon tak takut ke tinggal dalam rumah besar macam ni? Dahlah
tak ramai orang.”
“Apa nak
takut. Kan ada Pak Rahim yang jadi sekuritinya. Pak Dollah pun tinggal di sini
juga.” Tiba-tiba ingatannya melayang mengingat kepada beberapa orang jururawat
yang pernah bekerja di sini. “Dulu, Rumah Warisan ni ramai pekerjanya. Taklah
sunyi sangat. Tapi sejak penghuninya keluar dari rumah ni, tinggal kami
sajalah.” Ada nada sayu dalam suaranya.
“Pak Rahim
mengawal Rumah Warisan seorang diri? Dua puluh empat jam?” tanya Audra pula.
Bagaimana Pak Rahim seorang diri bisa menjaga rumah sebesar ini? Bukan sahaja
rumah, tapi kawasannya juga sangat luas.
“Hmmm,"
Che Enon mengangguk. "Memang Pak Rahim jaga seorang diri. Dulu, ketika
Syed Hussin masih menjadi Tuan Syed di Rumah Warisan, Pak Dollah dan Pak Rahim,
kedua-duanya adalah sekuriti. Rumah Warisan ada empat orang sekuriti. Waktu tu,
Tuan Syed Hussin selalu dibantu oleh pengawal peribadinya. Sebab tulah dia tak
perlukan pemandu peribadi.” Che Enon menghabiskan dahulu kunyahannya.
“Rumah
Warisan ni, dilengkapi dengan alat-alat keselamatan yang sangat ketat dan
terperinci. Setiap sudut kawasan luar, hingga ke dalam, banyak alat keselamatan
yang dipasang. Tapi, bila Tuan Syed Hussin ditangkap, ramai pekerja yang
berhenti. Dulu, tukang kebun pun ada tiga orang. Sekarang, cuma tinggal Pak
Sudin. Selepas Tuan Syed Zikri dilantik menjadi pewaris yang sah, Pak Dollah
diambil sebagai pemandu peribadi.”
“Susah
jugakan kalau dah terlalu kaya,” ujar Audra dengan perlahan namun bisa didengar
oleh Che Enon dan Zana.
Mereka
berdua terdiam seketika. Kata-kata Audra ada benarnya.
“Audra,
Zana, kenapa tak makan lagi ni?” Che Enon yang sibuk bercerita terus bertanya
apabila baru menyedari pinggan kedua-dua gadis itu masih lagi kosong.
Audra dan
Zana terkulat-kulat lalu tersenyum. Setelah ditegur begitu, barulah mereka
memenuhkan pinggan mereka dengan nasi dan lauk yang disediakan. Seraya dengan
itu, mulut mereka juga terkunci.
ZANA membuka almari yang besar itu. Terbeliak biji matanya melihat pada pakaian yang begitu banyak tergantung di situ. Satu lagi pintu di bukanya. Sekali lagi matanya terbeliak. Almari yang ini penuh dengan kasut-kasut dan beg-beg tangan yang tersusun. Berjenama semuanya!
Zana
menoleh pada Audra yang sudah terbaring di katil empuk itu. “Kata Che Enon,
Tuan Syed tu seorang diri, kan? Habis ini semua barang-barang siapa? Tentu Tuan
Syed tu simpan perempuan!” Zana sudah mengeluarkan syak wasangkanya.
Audra duduk
di birai katil. “Tak mungkin! Kan Che Enon kata, Syed Zikri belum masuk lagi ke
rumah ni. Mungkin barang-barang ni kepunyaan anak Syed Hussin!" Audra
mengingatkan kembali cerita itu pada Zana. Malas mahu menggunakan perkataan
'tuan' di depan, akhirnya Audra hanya menyebut nama mereka.
"Hmm,
betul jugak!” Zana duduk di sebelah Audra. “Agak-agak kau, tuan punya
barang-barang ni marah tak kalau kita guna barang-barang dia?”
Audra
berfikir sejenak. “Entahlah. Tapi kalau dah Che Enon kata Syed Zikri sendiri
yang izinkan kita gunakan barang-barang dalam bilik ni, mungkin tak pe
agaknya.” Audra memandang Zana. “Tak kisahlah! Yang penting, kau pernah ke
tinggal di bilik yang besar macam ni?” Sekali lagi kamar yang luas itu menjadi
perhatian Audra.
Zana
memandang sekitar ruangan kamar mewah itu seperti Audra. “Sumpah tak pernah!
Nilah first time! Gila siut rumah ni!
Besar sangat! Beruntung kan ahli keluarga ni! Kaya raya! Mewah!” Kemewahan yang
dilihat dengan mata kasarnya bagaikan tidak terjangkau.
Bagaimanalah
agaknya mereka semua tinggal di rumah sebesar ini? Audra masih termangu di
situ. Memang rumah ini terlalu besar. Biliknya sahaja sebesar dan semewah ini.
Di dalam almari penuh dengan barang-barang dan pakaian berjenama. Tetapi dia
tak rasa penghuni-penghuni rumah ini bahagianya semewah kekayaannya. Che Enon
sendiri menyatakan yang Tuan Syed Zikri berkata rumah ini tidak mendatangkan
ketenangan dalam dirinya! Mungkin itulah perasaan sebenar Tuan Syed Zikri.
Lelaki itu tidak gembira dalam kehidupannya!
“Hey Audra!”
Zana menyiku Audra. “Kenapa kau diam ni?”
“Aku
rasakan, walaupun kita hidup di kampung dengan serba sederhana tapi jiwa kita
lebih kaya dari penghuni-penghuni rumah besar ni!” suara Audra lalu memandang
pada Zana. “Kau tak rasa macam tu?”
Zana
memusing badannya mengadap Audra. Nampaknya Audra semakin matang sekarang!
“Walaupun
rumah kita kecil, rumah kampung pulak tu! Bilik pun kecil, segala-galanya
kecillah! Tapi hati kita rasa luas sangat! Sebab kita ada keluarga yang
bahagia! Betul tak?” ujar Adra lagi.
“Betul! Aku
setuju. Kekayaan dan kemewahan tak menjaminkan kebahagiaan. Kebahagiaan yang
sebenar terletak di sini.” Zana menunjukkan dadanya. “Tenang hati kita,
tenanglah kehidupan kita.”
Audra mengangguk menyetujui kata-kata Zana.
“Aku
gembira sangat dengan kau sekarang. Kau nampak lebih matang. Tak delah lepas ni
kau berangan nakkan putera raja masuk meminang kau!”
Audra sudah
ketawa. Zana sudah tersilap banyak tentang dirinya. “Aku memang suka berangan!
Aku selalu mengimpikan ada seorang putera raja datang dalam hidup aku seperti
mana cerita-cerita dongeng pari-pari. Tapi aku bukan mengharapkan kemewahan
putera raja tu. Dalam cerita tu semua puteri-puterinya bukan mata duitan, kan!”
Audra mengerling Zana. “Aku cuma mengharapkan seorang putera raja yang akan
berikan seluruh kebahagiaan dalam hidup aku bagaikan aku ni seorang puteri
raja!”
Zana
tersenyum. Sangkanya selama ni Audra mengimpikan seorang putera raja yang
dimana putera raja itu adalah seorang yang kaya raya. Rupanya dia silap! Putera
raja yang dimahukan Audra adalah putera raja yang akan memberikan melimpahkan
kemewahannya dengan kebahagiaan.
“Tapi macam
mana dengan Putera William tu?” tanya Zana kembali.
“Aku
sukakan Putera William sebab kali pertama aku lihat gambar dia dalam majalah,
jantung aku berhenti berdegup! Betul sumpah!” ujar Audra bersungguh-sungguh.
“Sebab tulah aku mahukan seorang putera raja yang boleh buat jantung aku
berhenti berdegup.”
“Tapi lepas
tu, semuanya berjalan dengan laju! Dup dap, dup dap!" sambung Zana sambil
ketawa.
Audra juga
ikut ketawa. “Jahat kau ni!!” Audra memukul Zana dengan bantal.
“Siapa pun
jodoh kau nanti, putera rajakah, orang biasakah, yang penting aku nak kau
bahagia!” Ikhlas kata-kata Zana.
Audra
tersenyum memandang Zana. Dia tahu, Zana sayangkan dia! “Aamiin," Audra
menyapu mukanya dengan kedua telapak tangannya. “Aku bukanlah minta putera raja
yang betul. Siapa pun dia, dia adalah putera raja di hati aku.”
menarik..
ReplyDelete