Monday 27 August 2012

Ilham Hati 8









"ASSALAMUALAIKUM," Tania menyapa semua yang ada di ruang makan termasuklah Mak Eton dan Kak Min.

"Waalaikummussalam...!" jawab kesemua mereka.

Zaiton mengukirkan senyuman buat gadis yang baru muncul. Pastinya gadis itu adalah Tania, anak Tuan Helmi. Sebentar tadi, memang Tuan Helmi ada bercerita serba sedikit tentang keluarganya. Siapa sangka, Tuan Helmi, lelaki yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu, adalah pemilik perusahaan ini. Dan, yang paling penting, Tuan Helmi adalah duda anak satu. Alangkah bahagianya hidup dia jika dapat memiliki seluruh Ilham Hati ini. Kalau tak miliki sepenuhnya pun, memadailah kalau dapat bersenang lenang di sini. Masa depannya dan Amani pasti cerah jika mereka tinggal di sini.

"Ini pastinya Tania, kan?" satu senyuman manis diukir untuk gadis manis itu.

Tania sudah tersenyum lebar. Dia menanggalkan beg sekolah yang digalasnya dan meletakkannya di tepi. "Makcik ni, mak Amani?" Walaupun sedia tahu, Tania masih bertanya sekadar untuk berbahasa.

Zaiton mengangguk. "Marilah makan!" Zaiton cuba mewujudkan suasana yang mesra antara dia dan Tania.
Wajah Zaiton dipandangnya lama. Zaiton memang cantik, secantik Amani. Namun, wajah Zaiton penuh dengan kelembutan, berlainan dengan Amani. Suaranya lembut, pandangan matanya penuh keayuan. Sangat berbaza dengan Amani. Sekali pandang, Tania sudah merasa selesa dengan Zaiton. “Makcik apa khabar?”

“Baik.” Senyuman Zaiton semakin lebar. Tania kelihatan seperti seorang gadis yang polos pada pandangan Zaiton. Gadis seperti Tania sangat mudah untuk di dekati. Tidak seperti Amani, walaupun Amani anak kandungnya namun Amani sangat sukar untuk didekati.

"Macam mana dengan sekolah?" Zaiton bertanya lagi.

"Hebat! Tania gembira sangat!"  Tania memang sangat suka jika ada yang bertanya tentang dirinya. "Hari ni, Tania terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tilawah." Gembira sekali ketika dia bercerita.

"Alahamdulillah...!!!" Wajah gembira dan ceria sudah terukir di raut Tuan Helmi. "Papa tak sangka anak papa berjaya juga melayakkan diri untuk tilawah. Papa tumpang bangga!" Siapa yang tak bangga jika anaknya berjaya melayakkan diri dalam pertandingan seperti itu. Itulah juga yang dirasakan Tuan Helmi.

Tilawah? Maksudnya, tilawah Al-Quran? Zaiton sudah cemerlut. Namun, wajahnya masih mengukirkan senyuman. Nampaknya, memang sukar untuk meletakkan dirinya dalam keluarga ini. Tentu mereka akan pandang rendah pada dirinya nanti. Dia tak ada ilmu tentang agama, bahkan sembahyang sahaja dia tak pernah. "Tahniah ya, Tania!"Zaiton masih menunjukkan wajah manisnya. "Tentu suara Tania sedapkan bila membaca Al-Quran."

Terima kasih, makcik!" Tania mencapai mangkuk nasi dan mencedok nasi ke dalam pinggan. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. "Mak Eton dan Kak Min tak makan sekali?" tanya Tania apabila melihat kelibat Mak Eton masuk ke ruang makan dari ruang dapur untuk membawa segelas air buatnya.

"Kami dah makan tadi. Tania makanlah!" ujar Mak Eton. "Tuan, ada apa-apa lagi yang tuan mahu?" tumpuan Mak Eton beralih kepada Tuan Helmi pulak.

Tuan Helmi menggeleng, tanda tiada apa yang diperlukan lagi. "Terima kasih, Mak Eton." Tuan Helmi tetap mengucapkan terima kassih kepada Mak Eton.

Mak Eton menganggukkan kepalanya lalu bergerak pergi dari situ.

"Malam nanti Puan Zaiton boleh tumpang di bilik Amani. "Pandangannya jatuh pada Zaiton pula.

"Di mana bilik Amani?" Dia mahu tahu juga bagaimana kamar yang diinapi anaknya itu. Adakah dia tinggal di tempat mewah atau sekadar di ruang untuk pekerja.

"Sebenarnya, Mak Eton dan anaknya Min tinggal bersama-sama saya. Kerja mereka adalah untuk menyediakan hidangan buat keluarga saya dan juga untuk makan tengahari pekerja di sini." ujar Tuan Helmi, tidak menjawap pertanyaan Zaiton.

Untuk pekerja Tuan Helmi? Rasanya pekerja Tuan Helmi ada dalam dua puluh orang. Ketika berjalan masuk tadi, dia sudah memerhatikan kawasan sekitarnya. Sempatkah mereka berdua menyiapkan hidangan tengahari kepada pekerja setiap hari? Terlintas soalan itu di benak Zaiton.

"Selama mereka berdua bekerja di sini, Alhamdulillah.... Tiada apa-apa masalah dalam penyediaan makanan. Lagipun, mereka hanya menyiapkan makan tengahari bagi setiap pekerja sahaja. Biasanya, waktu sarapan dan minum petang, pekerja akan dibenarkan keluar ke Kampung Indah Mentari. Kebanyakan pekerja Ilham Hati adalah penduduk kampung ini juga," ujar Tuan Helmi sekaligus menjawap persoalan Zaiton yang hanya tersangkut di dalam hati.

"Tentang tempat tidur Zaiton, saya tak menyediakan tempat yang lebih untuk pekerja saya tinggal di sini. Hanya Mak Eton dan Min, juga seorang anak angkat saya." Pandangannya terancam pada wajah jelita Zaiton. Sedari tadi Zaiton hanya mengukirkan senyuman yang indah. Memang senyumannya mempesonakan! Senyumannya masih sama seperti dulu.

 "Jadi, saya sediakan sebuah bilik untuk Amani di dalam rumah saya. Puan Zaiton boleh tinggal dengan dia. Lagipun, bilik itu memang khas untuk dua orang." Ya, hampir keseluruhan kamar di dalam rumahnya disediakan katil queen saiz bergantung pada ruang bilik. Hanya di kamar Tania, diletakkan katil single saiz walaupun kamar Tania lebih besar dari kamar tetamu yang lain. Sengaja dia melakukan begitu, agar Tania punya lebih ruang di kamarnya untuk melakukan aktiviti yang lain selain tidur dan berehat.

Lega hati Zaiton apabila mendengar kata-kata Tuan Helmi. Nampaknya mereka telah diberi kelebihan dari pekerjanya sendiri. Dia akan cuba pastikan, setelah di melangkah masuk ke dalam rumah Tuan Helmi, takkan ada peluang lagi untuk dia keluar dari situ! Satu lagi senyuman mempesonakan diukir buat Tania yang sedang memerhatikannya dengan senyuman. Mungkin dia perlu mulakan dengan anak Tuan Helmi dahulu.

"Oh ya, Tania selalu masuk pertandingan tilawah?" tanya Zaiton.

Tania menggeleng. "Ini baru kali pertama. Selama ni, dah banyak kali Tania cuba, tapi tak pernah berjaya." Tania masih tersenyum walaupun menceritakan kisah yang tidak menggembirakan. Sesekali dia menarik tudung kepalanya ke belakang. "Nasib baiklah ada Abang Izz. Dia yang syorkan Tania kelas Tarannum dan mengaji Al-Quran. Setiap hari, dia yang menghantar Tania." Cerita Tania dengan ramah sekali. “Tapi, Tania bacaan Tania masih banyak kelemahan.”

"Izz tu yang....." seraut wajah seorang anak muda terlintas di ingatannya.

"A'ah... Yang selalu pergi jumpa makcik tu, Abang Izz lah!" Lantas sahaja Tania mengiakan. "Dia tu anak angkat abah dan juga kekasih Tania!" Tania sudah tersenyum simpul.

Tuan Helmi pula sudah ketawa besar. Tania tak sudah-sudah menyatakan Izz itu adalah kekasihnya. Sedangkan dia tahu, bagi Izz tiada hubungan seperti itu antara mereka. Izz hanya menganggap Tania sebagai adik dan sepatutnya pun begitu. Tapi, biarlah. Tania masih terlalu muda untuk jatuh cinta. Bila dia dewasa kelak, Tania akan tahu yang perasaan sebenarnya pada Izz adalah kasih sayang seorang adik terhadap abangnya.

"Wah! Kekasih Tania ya," Zaiton sudah tersenyum. "Segak kekasih Tania ya. Tentu dia selalu jaga Tania." Zaiton cuba mewujudkan hubungan yang lebih rapat lagi dengan Tania.

"Hmmm.." Tania mengangguk laju, mengiakan kata-kata Izz. "Tapi dulu, lima tahun abang Izz tinggalkan Tania sebab sambung belajar. Dia baru saja balik." Tania berfikir seketika "Lebih kurang lima-enam bulan sudah."

Terangguk-angguk kepala Zaiton apabila menerima input itu. Maknanya, Izz seorang pemuda yang berpelajaran tinggi, bukan orang sebarangan. Jadi, dia perlu pastikan hubungan baik terjalin antara mereka berdua.

"Kalau macam tu, Tania kenalah belajar tinggi-tinggi macam Abang Izz," ujar Zaiton.

Tania menganggukkan kepalanya. "Tania memang nak belajar tinggi macam Abang Izz." Tania berbalas senyuman dengan Zaiton. "Nanti makcik datang bilik Tania ya. Boleh kita berbual panjang-panjang." Makcik Zaiton terlalu berbeza sikapnya dengan Amani. Amani begitu sombong dan dingin. Makcik Zaiton pula, terlalu ramah. Malah, orangnya cantik sangat! Tania mula jatuh kasih pada wanita ini.

Tuan Helmi yang sedari tadi menjadi pemerhati hanya tersenyum. Entah kenapa perasaannya terasa berlainan sekali dengan kehadiran Zaiton di sini. Tania juga kelihatan gembira dengan kehadiran Zaiton. Apakah kebahagiaan akan menjadi miliknya sekali lagi?

"Assalamualaikum...." Sapa seseorang dan kemudian kelihatan susuk tubuh Izz masuk ke ruang makan.

"Waalaikummussalam....." jawab mereka serentak.

"Mari makan, Izz." panggil Tuan Helmi.

Izz masuk dan duduk bersila bertentangan dengan Tuan Helmi.

"Mana Amani?" soal Tuan Helmi apabila melihat Izz datang bersendirian.

"A'ah.... mana Amani?" Zaiton mula khuatir jika Amani sudah melarikan diri dari tempat ini. Sedari tadi dia di sini, dia baharu teringat akan Amani yang masih belum ditemui.

"Amani…” Izz merasa sedikit berat untuk menyatakan tentang Amani. “Dia ke tasik. Katanya, sekejap lagi dia jumpa dengan Puan Zaiton," beritahu Izz. Sebenarnya, Amani tidak berkata begitu, sengaja dia menambahkan cerita. Kalau dia menceritakan hal sebenar, pasti Tania dan Tuan Helmi akan tertanya-tanya seperti dirinya juga. Tapi tak mengapa, dia akan siasat lebih lanjut  latar belakang kehidupan Amani dan Puan Zaiton.

Zaiton sudah menarik nafas lega. Namun tidak bagi Tuan Helmi. Kenapa Amani tak terburu-buru datang berjumpa dengan ibunya? Tidak rindukan dia pada ibunya itu? Macam ada yang tak kena sahaja dengan hubungan kedua beranak ini. Tiba-tiba sahaja senyumannya mati di situ. Amani, ada sesuatu dalam diri gadis itu yang membuatkan Tuan Helmi terus berfikir tentangnya.

"Mak Eton!" panggil Tuan Helmi. Kelibat Mak Eton muncul. "Amani dah makan?" tanya Tuan Helmi.

Mak Eton menggeleng. "Dia tak datang sini. Mungkin dia makan di kampung," fikir Mak Eton.

"Tak apalah...." Tuan Helmi mengangguk. Mak Eton berlalu pergi. Tak mungkin Amani makan di kampung. Dia pasti, satu sen pun, Amani tidak punya dalam simpanannya. Jika tidak, Amani tidak akan pengsan kerana kelaparan.

"Amani memang begitu! Dia suka bersendiri. Nanti, pandai-pandailah dia cari makan," ujar Zaiton untuk melenyapkan prasangka Tuan Helmi yang sudah mula kelihatan. Tuan Helmi kelihatan terlalu bersimpati dengan Amani. Ini satu peluang baik! Zaiton mencapai cawan tehnya, lalu menghirup perlahan.

"Hmmm...."Tuan Helmi hanya mengangguk, menerima alasan Zaiton walaupun dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Izz," Tuan Helmi beralih kepada Izz. "Esok, saya nak kamu ke sekolah. Uruskan pendaftaran Amani. Saya mahu Amani sambung belajar."

"Baik tuan!" Pantas sahaja izz menerima arahan itu. Sikap Izz yang cekap dalam melaksanakan perintahnya membuatkan Tuan Helmi semakin sayang padanya.

Tania yang mendengar keputusan padanya sudah tersenyum ceria. "Amani akan sekolah dengan Tania?" Matanya membulat memandang Tuan Helmi.

Tuan Helmi menganggukkan kepala untuk menyakinkan Tania.

Tania memandang Zaiton dengan wajah yang gembira. "Makcik tentu gembira, kan?"

Gembira? Langsung tidak! Zaiton terus tersenyum dan mengangguk. Dia lebih suka jika Amani bekerja dengan Tuan Helmi. Sekurang-kurangnya dapatlah Amani membantunya menambahkan pendapatan.

Izz pula hanya memerhatikan kelakuan Zaiton yang ternyata kurang ikhlas. Namun, cepat-cepat ditepis prasangkanya itu. Tak mungkin seorang ibu akan menganiaya anak kandungnya sendiri!

"Esok, Abang Izz akan hantar Tania dengan Amani ke sekolah?" Tania memandang Izz.

Izz yang tersenyum memandang wajah ceria Tania, mengangguk. Ah Tania, dia memang sentiasa ceria. Tiada prasangka buruk langsung dalam benak fikirannya melainkan semuanya baik-baik belaka. Itulah yang dikhuatirkan Izz tentang Tania.

"Kalau boleh, tolong tengok-tengok kan Amani, ya," ujar Zaiton pada Izz. "Bukan apa, Amani suka memberontak sikit. Makcik takut, dia akan lari dari sini."

"Kenapa Amani nak lari? Awak kan dah ada di sini?" Memang Tuan Helmi keliru dengan situasi Zaiton dan Amani. Masalah mereka telah pun diselesaikan, tapi mengapa Zaiton merasa begitu.

"Sebenarnya, dari kecil lagi Amani sudah hidup berdikari. Dia tak suka terhutang budi dengan orang. Apa yang Tuan dah lakukan pada kami, adalah satu bantuan yang sangat besar. Saya takut, Amani akan merasa terhutang budi. Semakin tinggal di sini, semakin banyak bantuan yang tuan hulurkan. Kami takkan mampu membayarnya. Sebab tulah, untuk mengelak dari terhutang budi dengan tuan, saya takut Amani akan lari dari sini." Memang itulah diri Amani yang sebenarnya.

Izz mengangguk. Dia bersetuju dengan apa yang dikatakan Zaiton. Amani memang kelihatan seorang gadis yang degil dan tidak mahu menerima bantuan orang lain. "Makcik jangan risau, saya akan jaga Amani. Dia tak akan ke mana-mana."

"Terima kasih." Zaiton menarik nafas lega dengan janji Izz.

"Tania pun ada. Tania boleh tengok-tengok kan Amani."Tania berbaik hati menawarkan diri. "Sekarang ni, Tania belajar di tingkatan empat. Amani pun sama dengan Tania?" Tania baru terfikirkan tentang itu.

"Tania baru enam belas tahun?" tanya Zaiton. "Amani sepatutnya ambil SPM tahun ni,” sambung Zaiton tanpa menunggu jawapan Tania.

"Uh?" Tania terkejut. Sangkanya Amani seusia dengannya. "Kalau Amani dah berhenti belajar lepas PMR dulu, maknanya Amani perlu mulakan dari tingkatan empat semula."

Tuan Helmi mengangguk. "Betul tu! Banyak pelajaran yang Amani tertinggal. Kalau boleh, saya nak Amani ambik semua subjek seperti Tania." Dia menoleh pada Zaiton.

"Macam mana dengan yuran pelajaran? Tak mahalkah kalau nak ambil semua subjek?" Zaiton sudah gusar apabila mengingatkan angka-angka yang perlu dikeluarkan untuk membiaya pelajaran Amani.

"Kamu tak perlu bimbang tentang itu, Zaiton. Kalau kamu tak mampu, saya akan tanggung sepenuhnya pengajian Amani." Tuan Helmi benar-benar ikhlas mahu melihat gadis yang berpotensi seperti Amani berjaya dalam hidupnya. Masa depan Amani masih jauh, masih banyak peluang. Dia tak mahu masa depan Amani menajdi gelap tanpa mereka berusaha untuk melakukan apa-apa.

"Saya orang susah, tuan. Bukan saya tak mahu Amani belajar, tapi saya perlu fikirkan juga tentang belanjanya."

"Saya rasa, kita dah bincangkan perkara ini tadi, Zaiton. Saya akan beri kamu perkerjaan. Kamu pasti dapat menampung persekolahan Amani. Tapi, Kalau kamu tetap rasa tak mampu, saya akan tanggung sepenuhnya."

"Tapi, saya dah banyak terhutang dengan tuan. Wang Jalil yang tuan bayarkan, saya juga perlu jelaskan."

Tuan Helmi menarik nafas panjang. "Beginilah Zaiton. Saya dah beritahu awak tadi, tentang hutang Jalil, jika awak ada wang lebih, baru awak bayar."

"Tapi...."

"Tak ada tapi-tapi lagi Zaiton! Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi!" Tegas Tuan Helmi sehingga membuatkan Zaiton terdiam.

Namun di dalam hanya, dia sangat gembira mendengar setiap kata-kata Tuan Helmi. Nampaknya Tuan Helmi sangat mudah menghulurkan budi pada mereka. Rugi lah dia Kalau dia tak gunakan peluang ini sebaiknya!


IZZ membuka pintu gudang dan melangkah ke dalam. Dia terus melangkah ke bahagian dalam. Melihat sahaja kelibat Amani, dia sudah tersenyum. Firasatnya benar, Amani pasti masih di sini. Izz menghampiri gadis itu yang sedang terduduk di lantai sambil memeluk lututnya.

"Nah!" Dia menghulurkan sebungkus roti kepada Amani. Amani hanya mengerling roti yang dihulur dan kemudian memandang ke depan semula."Makanlah, nanti awak sakit lagi. Bertambah pula hutang awak kalau terpaksa dirawat," ujar Izz.

"Saya kenyang!"

"Uh?" Izz menjungkitkan keningnya, namun kemudian di tersenyum pula. Amani tentu berbohong sebab mahu mengelak dari terhutang budi padanya pula. "Orang yang tak makan, mana boleh kenyang!" Semakin lebar senyuman Izz. Plastik yang membungkus roti dibukanya lalu dihulurkan semula pada Amani. "Kata Mak Eton dan Kak Min, awak masih belum makan!"

Nak tak nak, Amani mengambil juga roti itu. Izz sudah tersenyum apabila melihat Amani sudah menggigit roti yang dibawanya. Air kotak yang dibawa untuk Amani, di buka strawnya dan dicucuk ke dalam lubang. Lalu dihulurkan pada Amani.

"Tania nampak gembira bertemu dengan mak awak,"Izz sudah masuk ke persoalan itu. Dia mengerling Amani. Tiada reaksi yang ditunjukkan gadis itu. "Tuan Helmi berbesar hati membawa mak awak datang ke sini untuk awak. Dia dah selamatkan mak awak dari Pakcik Jalil. Tania pun gembira berjumpa dengan mak awak. Tapi awak? Awak langsung tak pedulikan kehadiran mak awak. Awak dan mak awak ada masalah?"
Amani tidak memperdulikan soalan Izz. Dia hanya mengunyah roti dan menyedut minuman kotak yang diberikan Izz untuknya.

"Bolehkah ikatan seorang ibu dan mak terputus?" Tiba-tiba sahaja Izz bertanya seperti itu pada Amani. "Hubungan antara ibu dan anak takkan putus."Izz menjawap soalannya sendiri. "Kalau ada pun, mungkin itu hubungan awak dan Puan Zaiton!" Izz sengaja berkata begitu.

Amani mengerling pada Izz. "Macam mana hubungan saya dengan mak saya akan terputus bila awak dan Tuan Helmi pandai-pandai bawa dia ke mari bila saya mahu pergi dalam hidup dia!" Sungguh, suara itu perlahan namun intonasinya sangat keras.

Izz memandang Amani dengan seribu persoalan. Mereka berpandangan seketika. Izz dapat merasakan, Amani benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya. "Awak ni memang pelik, Amani!" ujar Izz. "Saya tak pernah jumpa orang macam awak!"

Dengan satu kerlingan yang tajam untuk Izz, Amani bangun dan berjalan menuju ke ruang meja. Tak guna dia terus berbicara dengan orang yang tidak pernah tahu tentang hidupnya!  Kata-kata Izz dibiarkan sahaja.

"Saya tak fahamlah dengan awak ni!" Sekali lagi Izz berkata sambil membontoti Amani.

"Awak tak perlu cuba nak faham saya!" Tegas Amani. "Saya tak pernah suruh!"

Izz sudah tersenyum sinis. Izz mengangkat badannya dan duduk di atas meja. Orang seperti Amani takkan pernah beri peluang pada orang lain untuk memahami dirinya. "Awak tak suka terhutang budi kan?" soal Izz.
Amani membisu sambil dia membuka laci dan mencapai buku rekod di dalamnya. "Apa yang awak arahkan, saya dah siapkan semuanya!" Amani menyerahkan buku rekod pada Izz.

Izz mencapai buku rekod yang dihulurkan Amani. "Huh? Awak dah siapkan semuanya?" Terkejut Izz. Untuk pekerja baru seperti Amani yang masih belum terdedah dengan corak-corak yang pernah dihasilkan oleh Ilham Hati, adalah sesuatu yang sangat menakjubkan apabila Amani melaksanakan tugasnya secepat ini. Hampir seratus lima puluh corak yang ada di dalam gudang ini, dan Amani berjaya siapkan rekod dengan cepat! "Awak pasti kerja awak ni betul?"

Amani hanya menjeling. "Awak boleh semak semula kerja saya!" Amani memusing badannya. Dia mahu keluar dari gudang ini. Tetapi kemudian dia berpaling semula pada Izz yang masih termangu di situ. "Saya tak suka terhutang dengan sesiapa!" Amani menjawap soalan Izz yang dibiarkan berlalu begitu sahaja sebentar tadi.

Izz melangut dari membelek buku rekod dan memandang Amani. "Kalau macam tu, awak perlu bersedia untuk 'terhutang' lagi dengan Tuan Hemi," balas Izz. Satu senyuman sudah terukir di bibirnya. Amani pasti tidak suka dengan berita yang dibawanya.

"Maksud awak?"

"Untuk hari ini sahaja, awak dan Puan Zaiton telah terhutang budi dan terhutang wang ringgit dengan Tuan Helmi," beritahu Izz. Amani masih tegak berdiri menunggu penjelasan Izz selanjutnya. "Untuk lepaskan awak dan Puan Zaiton dari Pakcik Jalil, Tuan Helmi telah menyerahkan wang pada Pakcik Jalil. Bukan sepuluh ribu, tapi tiga puluh ribu."

"Tiga puluh ribu?!" Amani sudah ternganga.

"Sepuluh ribu untuk tiket nombor yang awak dah koyak kan. Sepuluh ribu lagi untuk melepaskan mak awak pergi dari situ. Sepuluh ribu lagi adalah sebagai perjanjian yang Pakcik Jalil tak akan mengganggu awak dan Puan Zaiton lagi selepas ini." Izz sudahkah tersenyum melihat wajah Amani yang sudah tegang. "Ada lagi selain tu," sambung Izz. "Selain terhutang wang dengan Tuan Helmi, awak dan Puan Zaiton juga telah terhutang budi dengan Tuan Helmi." Izz berjalan mendekati Amani. "Kalau awak nak tahu, mulai esok, awak akan mula bersekolah semula. Saya yang akan hantar awak!"

Sekolah? Amani sudah tidak keruan. Ya, memang itu yang dia impikan, tapi bukan dengan cara meraih simpati orang sebegini. Mak memang melampau! Dia perlu berjumpa dengan mak segera! Amani berpusing untuk pergi.

"Awak nak jumpa dengan mak awak?" tanya Izz.

Pertanyaan Izz itu membuatkan Amani berpusing kembali dan memandang Izz. Macam mana Izz tahu? Dia memandang Izz yang masih terus tersenyum memandangnya.

"Awak tak perlu bertanya pada mak awak, ini keputusan Tuan Helmi. Tuan Helmi yang  berkeras mahu awak menyambung semula pelajaran awak," beritahu Izz. "Awak tentu tak setuju, kan?” Izz masih lagi tersenyum pada Amani.  “Kalau awak nak jumpa dengan Puan Zaiton, dia ada di rumah bersama Tania." Dia pasti, Amani akan berjumpa dengan ibunya, bukan kerana rindu, tapi kerana mahu dapatkan penjelasan.

Amani terus berpusing dan meninggalkan gudang. Langkahnya dihayun laju menuju terus ke Syurga Ilham Hati. Sampai sahaja di Syurga Ilham Hati, dia terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke kamar Tania yang bertentangan dengan kamar yang ditinggalnya.

Sampai sahaja di depan kamar Tania, dia mendengar ada suara-suara yang sedang berbual dengan mesra. Sesekali kedengaran tawa gembira mereka. Amani sudah mencebikkan mukanya. Dia tidak menyangka, terlalu ramai orang bodoh yang tinggal di dalam rumah besar ini. Tanpa mengetuk pintu, Amani terus membuka kamar Tania.

Tania dan Zaiton yang sedang gembira berbual bersama terus terdiam apabila Amani terus menyerbu masuk begitu. Amani terus kaku di muka pintu sambil memberikan pandangan yang tajam pada Zaiton.

Zaiton yang seakan mengerti maksud pandangan Amani itu, beralih memandang Tania. "Tania, makcik jumpa Amani sekejap ya." Dia terus bangun dan menuju pada Amani. Pintu kamar Tania ditutup rapat. Terus sahaja dia menarik tangan Amani dan membawa Amani masuk ke kamar yang bertentangan kerana Tania telah memberitahunya itu adalah kamar yang dihuni Amani.

Masuk sahaja dalam kamar Amani, Zaiton terus menutup pintu dengan rapat. Dia memandang Amani yang sudah memandangnya dengan rasa marah. "Kau cuba tengok sekeliling kau Amani! Tempat ini adalah syurga. Kita berhak ada di sini!" Zaiton memandang sekelilingnya kamar itu dengan harapan yang membara. Dia sudah menyimpan cita-cita yang besar untuk terus berada di sini.

Amani mendengus. Setelah beberapa hari mereka berpisah, hanya ini yang mampu dikatakan Zaiton pada pertemuan pertama mereka semula? Tidak bertanya khabar, apatah lagi ungkapan rindu!  "Kenapa mak datang sini?"

"Kau tak suka mak datang sini? Kau kan anak mak!" Zaiton memandang Amani. Biarpun hubungan mereka tidak seperti ibu dan anak yang lain, dia tetap sayangkan Amani. "Takkan mak nak biarkan kau merayau tak tentu hala."

Amani ketawa sinis. Tak sanggup biarkannya merayau tak tentu hala? Bukankah itu yang terjadi padanya sehinggalah Tuan Helmi ‘mengutipnya’? "Wah! prihatinnya mak pada saya!" perlinya. "Sebab tulah saya dihalau keluar terus dari rumah seorang diri, kan?"

"Bukan mak yang halau kau! Pakcik kau yang halau!" Zaiton tergagap-gagap,cuba membela diri. "Siapa suruh kau koyakkan tiket nombor dia?" Kesalahan dilemparkan pada Amani.

"Memang Pakcik Jalil yang halau saya, tapi apa yang mak buat?" Amani menjungkitkan keningnya. Sesungguhnya, mak hanya terdiam dan memerhatikan saja dia dihalau keluar oleh Pakcik Jalil.

"Mak tak boleh nak buat apa-apa," Zaiton mempertahankan dirinya. Memang, dia tak tahu nak berbuat apa ketika Jalil mengusir Amani. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu keluar bersama Amani. Namun, awal-awal lagi Jalil telah memberi amaran padanya. Dia mahu Zaiton tinggal di situ dan bertangungjawab untuk membayar semula kerugiannya kalau dia mahu Amani tinggal semula bersama mereka.

Amani mengerling Zaiton dengan rasa menyampah dan meluat. "Mak dah hancurkan hidup saya, dan sekarang mak masuk dalam hidup orang lain dan mahu hancurkan hidup mereka pulak?" Mencerlung mata Amani memandang Zaiton. "Saya takkan benarkan perkara itu berlaku!"

"Mak tak ada niat macam tu!!" Zaiton menafikan. "Mak datang sini sebab mahu mulakan hidup baru dengan kau! Tuan Helmi dah beri peluang pada kita. Inilah satu-satunya peluang yang kita ada untuk menjamin masa depan kita."

"Dengan menghancurkan kebahagiaan orang lain?"

Zaiton menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan. Dia memandang Amani. "Boleh tak jangan buruk sangka dengan mak? Mak tak ada niat apa-apa pun!"Zaiton masih cuba mempertahankan dirinya.

Amani memandang ibunya. Lama. "Kalau macam tu, mak perlu pergi dari sini."

Riak wajah Zaiton berubah. Dia terkejut dengan kehendak Amani. "Kau macam mana?" Dia tak akan tinggalkan Amani sendirian di sini.

"Saya akan berkerja di sini hingga semua hutang pada Tuan Helmi selesai. Mak, cari rumah sewa dan cari kerja. Lepas hutang pada Tuan Helmi selesai, saya akan pergi pada mak," usul Amani walaupun dia tahu Zaiton tak akan bersetuju dengan cadangannya.

"Kau nak biarkan mak hidup sendiri? Kau pulak, ada dekat sini?!" Zaiton langsung tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"Kenapa? Sebab mak tak boleh nak goda Tuan Helmi?" Amani memeluk tubuhnya sambil merenung tepat pada Zaiton yang sudah agak gelabah apabila disergah begitu.

Memang dia punya rancangan untuk menggoda Tuan Helmi. Tapi dia tak mungkin meninggalkan Amani sendirian lagi. Apa yang dia lihat, kehidupan Amani akan lebih terjamin jika mereka terus tinggal di sini. Begitu juga dengan kehidupannya! "Kamu tahu tak masa depan kita akan lebih terjamin di sini!" Zaiton sudah menghembus nafas kurang senang. Bagaimanalah caranya mahu membuat Amani mengerti tentang itu?

Amani ketawa sinis. "Bukan masa depan saya yang terjamin sahaja, kepentingan hidup mak jugak terjamin," sindirnya lagi.

"Memang! Memang mak mahu kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri!" Akhirnya, Zaiton mengakui juga niatnya. "Tapi mak juga fikirkan kau. Kau tahu tak, Tuan Helmi dah berbaik hati mahu sekolah kan kau semula! Mana ada orang yang sanggup tolong kita sampai begini sekali! Masa depan kita, terletak di sini!" Zaiton menunding pada tanah. "Di Ilham Hati!"

Amani menjeling Zaiton. "Saya tak ada masa nak pergi sekolah! Saya perlu bekerja untuk langsaikan hutang kita pada Tuan Helmi!" Mengingatkan sahaja hutang mereka pada Tuan Helmi, dada Amani menjadi sesak. "Hutang kita dah terlalu banyak dengan Tuan Helmi. Bertahun baru kita dapat bayar semuanya." Amani memicit-minit dahinya. "Semuanya sebab mak!" Amani memusingkan tubuhnya dan memandang Zaiton dengan penuh kemarahan.

"Kenapa mak yang salah pulak!" Suara Zaiton juga semakin meninggi, mungkin berang dengan tuduhan Amani yang meletak semua kesalahan padanya. "Kau yang datang sini dulu! Kalau bukan sebab kau, diorang tak datang cari mak!"

"Saya dah beritahu pada mak, jangan datang sini! Kalau mak tak datang sini, hutang yang perlu saya bayar pada Tuan Helmi takkan mencecah ribuan ringgit!" Dada Amani sudah berombak sehingga dia terlupa yang dia sedang berhadapan dengan ibunya sendiri. "Disebabkan mak, hutang saya yang hanya beberapa ratus saja dah jadi lebih dari tiga puluh ribu!"

"Tiga puluh ribu?" Zaiton tercengang di situ. Bagaimana hutang mereka boleh jadi sebanyak itu?

"Kenapa? Mak tak tahu tentang itu?" Amani merasa jelak melihat raut wajah yang berpada-pura tidak bersalah itu. Dia ketawa sinis. "Mak sendiri yang berurusan dengan Tuan Helmi dan mak pura-pura tak tahu? Harga tiket judi yang saya koyakkan tu hanya sepuluh ribu. Kalau diikutkan, sepuluh ribu tu langsung tak berguna. Saya tak perlu bayar pun untuk tiket tak guna tu! Tapi disebabkan sikap tamak mak, sepuluh ribu tu dah jadi tiga puluh ribu!" Amani mendengus, geram.

Zaiton terdiam. Bagaimana hutang sepuluh ribu itu boleh menjadi tiga puluh ribu? Takkanlah Tuan Helmi mengenakan bunga untuk mereka? Sedangkan, lelaki itu kelihatan ikhlas mahu membantu mereka.

Amani memandang wajah Zaiton yang kelihatan kebingungan itu. "Mak jangan buat-buat lupa!" Amani sudah bosan melihat wajah itu. "Kalau mak lupa, biar saya ingatkan. Sepuluh ribu, untuk harga tiket. Tambah lagi sepuluh ribu untuk Pakcik Jalin lepaskan mak, dan sepuluh ribu lagi sebagai perjanjian agar Pakcik Jalil takkan ganggu kita lagi!"

Zaiton terkedu. Sungguh! Dia memang tidak tahu tentang hal itu. Sangkanya, Tuan Helmi hanya membayar sepuluh ribu ringgit untuk Jalil.

Amani menggeleng. "Tak sangka, dalam bijaknya Tuan Helmi, dia tetap bodoh bila berdepan dengan perempuan macam mak!"

Berdesing telinga Zaiton mendengar cemuhan Amani. Pantas dia mencapai lengan Amani dan menggenggamnya kuat. Kemudian, satu tamparan yang kut singgah di pipi Amani. Pang!

Amani terus memegang pipinya. Sakit! Memang tamparan itu terasa pedihnya! Tapi hatinya lebih pedih dengan sikap Zaiton. "Tu saja yang mak boleh buat?" tanya Amani dengan penuh sindiran. Ada takungan air di kolam matanya. Tajam matanya memanah ke dalam anak mata Zaiton yang mula rasa bersalah dengan tindakannya. "Saya lebih bersyukur kalau mak bunuh saya dari kecil lagi!"

Amani terus berlalu pergi dan meninggalkan Zaiton yang sudah sarat rasa bersalah kerana menampar Amani.




1 comment:

  1. Wow..
    best nyer cerita nie
    tak sabar nak tunggu sambungannya..:)

    ReplyDelete