Wednesday 24 October 2012

Pulangkan Hatiku

Asalamualaikum, saya mohon kemaafan kepada semua pembaca blog ini kerana terlewat poskan n3 baru. Harap anda semua tidak jemu menunggu ya. Sudilah kiranya anda membaca n3 baru ini dan semoga jalan cerita ini dapat diterima. Terima kasih.....luv u alz.....

---------------------------------------

Izryn terus memandang wajah yang baru terlintas di pandangan matanya.  Wajah seorang lelaki yang sedang sibuk berurusan dengan seorang penjual itu terus di pandangnya sehingga dia  lupa yang dia sedang berada di laluan orang ramai.

“Ayo cik adik. Ini apa berhenti tengah-tengah jalan ni? Bikin susah orang mau lalu lalang. Ini bukan jalanraya mau buat ‘load block’ (road block)” Tiba-tiba seorang apek menegur Izryn. Serta merta perhatian Izryn berubah kepadanya.
Apek yang bertongkat itu segera berlalu setelah menegur Izryn begitu. Masih kedengaran rungutannya dalam bahasa Cina.
Izryn menghembus nafas perlahan. Lantas, Dia teringat semula kepada lelaki yang dilihat tadi. Segara dia menoleh ke arah di mana dia melihat lelaki itu tadi. Dah hilang! Lelaki itu dah tak ada! Meliar mata Izryn cuba mencari kelibatnya semula. Tetapi, tetap tiada. Benarkah Izryn melihatnya? Atau mungkinkah itu hanyalah perasaan Izryn yang tenggelam bersama lautan kerinduan?
Izryn kembali menyusun melangkah kaki yang terhenti. Enam bulan sudah berlalu. Ke mana Ammar menghilang? Kenapa tiba-tiba sahaja Ammar menyepi? Apakah dia telah melakukan kesalaham sehingga Ammar meninggalkannya begitu sahaja tanpa pamitan? Seandainya dia tidak diperlukan lagi, bukankah lebih baik Ammar putuskan sahaja hubungan mereka dari meninggalkan dia sepi tanpa berita.
Pernah dia ke rumah sewa Ammar, namun rumah itu telah disewa oleh orang lain. Ammar sudah tidak tinggal di situ lagi. Bila dia menelefon Ammar, seringkali operator yang menjawabnya dengan mengatakan nombor itu tiada dalam talian. Bagaimana mungkin sedangkan selama ini nombor itu yang digunakan untuk menghubungi Ammar.
“Kak Ryn!” Tiba-tiba suara seorang gadis menerpa di telinganya. Lantas Izryn menoleh ke belakang. Kelihatan Fina sedang berlari-lari anak mendekatinya.
“Fina,” tegur Izryn apabila Fina sudah berada di depannya.
“Kak Ryn,” sekali lagi Fina menyebut nama Izryn dengan nafas yang tercungap-cungap.
“Ada apa ni Fina?” Jelas kelihatan dari raut wajah Fina seolah-olah ada perkara penting yang ingin disampaikan.
“Fina nampak Abang Ammar."
Izryn terus terlopong. Jadi, benarlah kelibat Ammar yang dilihatnya sebentar tadi. Matanya tidak menipu dirinya! Maknanya, kelibat yang dilihat tadi, memang benar-benar Ammar! Ammar ada di sini. Tapi, kenapa Ammar langsung tak menghubunginya? Kenapa Ammar menjauhinya?
“Betulkah Fina?” Tanya Izryn lagi.
Laju sahaja Fina mengangguk sebagai balasan soalan Izryn.
“Macam mana Kak Ryn nak cari dia? Dia dah tak tinggal di rumah sewa tu lagi.” Izryn memandang Fina, sayu. "Fina ada bercakap dengan Abang Ammar?"
“Tak!” Fina menggeleng. “Fina nampak dari jauh je. Bila nak dekat dia dah hilang.”
“Kak Ryn tak fahamlah. Apa yang sedang terjadi.” Izryn sudah memicit dahinya. Pusing dia dengan sikap Ammar.
Fina menunduk memandang lantai sebelum memandang semula kepada Izryn dengan pandangan yang mengandungi simpati. “Sabarlah Kak Ryn. Semuanya akan terbongkar juga suatu hari nanti.”
Izryn hanya mengangguk. Itulah ayat yang sering digunakannya untuk menyedapkan hati. Setiap rahsia, pasti akan terbongkar satu hari nanti. Itu adalah lumrah! Tiada rahsia yang kekal menjadi rahsia. Hanya masa yang menjadi persoalannya. Bila?

@@@@@@@@@@



Sambil menghirup minuman, fikirannya terus melayang mengingatkan Ammar. Dia masih buntu memikirkan cara untuk mencari Ammar. Setiap kali tiba waktu makan tengahari, di gerai inilah dia dan Ammar sering menghabiskan waktu bersama.

Mungkin kerana rindu itu terus menyucuk-nyucuk tangkai hatinya, maka setiap hari jugaklah Izryn akan ke sini, melakukan kebiasaan mereka walaupun bersendirian. Dia sentiasa membayangkan Ammar sentiasa ada di sisinya.
“Kenapa Am?” tiba-tiba telinganya terdengar suara seorang wanita di meja bersebelahan.
“Entahlah. Kepala I sakitlah…” kedengaran pula suara seorang lelaki membalas soalan itu.
Suara itu? Bukankah itu suara Ammar? Tiba-tiba sahaja bayangan tentang Nazreen hilang dari benak Izryn. Dia terus menoleh ke meja sebelah. Ammar? Mata Izryn terus terpaku pada wajah lelaki itu. Memang, itu Ammar! Ammar berada di sebelahnya! Kenapa dia tidak menyedari kehadiran Ammar di situ?
“Jomlah! I bawa you balik,” Wanita itu memimpin Ammar keluar dari gerai.
Ryn, pergi dapatkan Am! Ryn, Am semakin hilang. Pergi Ryn! Am ada di depan mata! Begitulah desakan demi desakan suara hati Izryn. Namun, dia tetap tidak berganjak dari duduknya. Apatah lagi apabila melihat seorang wanita cantik sedang memimpin orang yang di sayang pergi dari situ. Ammar!!

@@@@@@@@@@@@@@@@



Izryn menangis untuk sekian kalinya. Tapi, kali ini airmatanya semakin laju mengalir. Pertemuannya dengan Ammar bersama seorang wanita sangat meresahkan hatinya. Apakah hati Ammar sudah berubah? Andainya begitu, Ammar patut bersemuka dan memberitahunya!

Selama ini dia menangis kerana kehilangan Ammar yang tidak muncul-muncul di sisinya. Kali ini, dia dapat merasakan Ammar akan terus hilang dari hidupnya. Ammar...

Petang tadi Ammar berada di sebelahnya tetapi dia tidak menyedari kehadiran Ammar di situ. Apakah Ammar juga tidak melihatnya sehingga Ammar langsung tidak menegurnya? Lupakah Ammar padanya? Lupakah Ammar pada wanita yang telah diucapkan kata-kata cinta? Lupakah Ammar pada dia yang telah memberikan hatinya sebagai janji mereka?

Kenapa dengan Ammar? Kenapa dengan dia?!! Hati Izryn terus mendesah.
“Ryn, rindu itu bagaikan buih lautan yang tak pernah hilang dilambung ombak. Sayang itu bagaikan ingatan pungguk yang tak pernah lupakan bulan. Cinta itu adalah lambang kemuliaan yang berhak dimiliki oleh dua hati yang bersatu dalam ikatan pernikahan. Saya mahu awak menjadi isteri saya.” Itulah kata-kata terakhir Ammar sebelum dia menghilangkan diri. Apakah makna ini semua Am? Apakah cintamu telah hilang saat kau ucapkan kata-kata itu?



@@@@@@@@@@@@@@@



Sekali lagi, tanpa disangka-sangka, Ammar muncul di depan matanya. Kali ini dia begitu dekat dengannya sehingga dia bisa melihat wajah itu dengan lebih dekat. Tiada perbezaan dari raut wajahnya. Lelaki itu masih Ammar yang sama. Ammar yang sentiasa disayanginya.

Ingin sahaja dia memanggil nama Ammar. Tetapi lidahnya terus kelu dari mengeluarkan sebarang kata. Apa yang mampu dilakukan hanya memandang pada Ammar yang sedang memilih buah mempelam di gerai tepi jalan itu. Ammar memang suka sekali membeli buah mempelam di situ.
Sebenarnya, dia juga tidak menyangka akan melalui jalan ini. Dia sekadar mengikut haluan kakinya sehinggalah dia tiba di sini dan melihat Ammar.
“Terima kasih,” Ammar menghulurkan wang kepada penjual itu lalu memusing tubuhnya.
Saat itulah mata mereka bertentang dan bertaut seketika. Izryn memandangnya seperti mana dia memandang Izryn. Mereka sama-sama membisu. Tiada sebutir bicara yang keluar dari bibir mereka.
Ammar memegang kepalanya. Tiba-tiba sahaja kepalanya terasa sakit. Ammar memandang wanita di depannya. Kenalkan dia dengan wanita ini?
Setelah agak lama bertentang mata, Ammar menundukkan sedikit kepalanya kepada Izryn sebagai tanda salam. Dia sudah tak mempu membalas pandangan mata Izryn. Lalu, dia menerus langkahnya melepasi Izryn yang masih kaku di situ.
“Am!!" Izryn memanggil.
Ammar menghentikan langkahnya lalu menoleh pada Izryn.
“Ya? Saya kenal saudari?” Sekali lagi Ammar memandang wajah itu.
Izryn memandang Ammar dengan kebingungan. Apa? Soalan apakah ini? Ammar tak mengenalinya? Dengan penuh persoalan, Izryn mendekati Ammar dan terus memandang ke dalam anak matanya.
“Am, awak dah lupa dengan saya?” Gurauan apakah ini? Apakah Ammar sedang bergurau dengannya? Sungguh, dia sangat takut tatkala ini.
“Maaflah, saya tak kenal siapa awak.” Ammar segera berpusing untuk pergi. Kepalanya yang semakin berdenyut membuatkan dia tidak selesa bertentang mata dengan wanita di depannya itu.
“Am!” Izryn menyaingi langkahnya. “Tolong jangan buat saya begini, Am. Jangan tinggalkan saya,” Izryn terus merayu dan airmatanya mencurah-curah ke pipi.
Ammar terus memandang Izryn. Kali ini lebih lama dari tadi. Semakin dipandang, semakin kepalanya berpusing. Kenapa? Kenapa dia tidak dapat mengenali wanita ini? Siapa wanita ini? Kenapa dia perlu menangis begitu?
“Maaflah, saya betul-betul tak ingat siapa awak.”
Mendengar kata-kata itu airmata Izryn semakin laju mengalir. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Kenapa dengan Ammar? Hampir enam bulan dia menghilangkan diri. Dan apabila Ammar muncul di depannya, Ammar sudah tidak mengenali dirinya.

“Apa yang terjadi dengan awak, Am?”


“Ammar!!” Tiba-tiba datang seorang wanita menghampiri Mereka. Gadis yang pernah dilihat bersama dengan Ammar tempoh hari. Wanita itu terus memegang lengan Ammar sambil tajam memerhatikan Izryn dengan pandangan yang kurang senang.

"Awak siapa?" Izryn bertanya kepada wanita itu.
"Awak siapa?" Wanita itu bertanya kembali. Kali ini pelukannya di lengan Ammar semakin erat. Seolah-olah tidak membenarkan Izryn mengambil Ammar darinya.
Jiwa Izryn semakin meruntun pilu. "Kenapa dengan Am? Kenapa dia tak ingat dengan saya?" Aku memandang Ammar dengan penuh rasa sebak.
Wanita itu melepaskan lengan Ammar lalu menghampiri Izryn. "Dia memang tak kenal awak. Awak ni siapa? Tiba-tiba je muncul nak kacau Am!"
Apa yang dikatakan wanita ini? Tidak! Dia tidak mengganggu Ammar. Dia cuma mahu tahu apa yang telah terjadi kepada Ammar. Dia tahu, pasti ada yang tidak kena dengan Ammar. Tak mungkin Ammar telah melupakannya begitu sahaja.
"Saya kawan Am! Am dah janji nak kahwin dengan saya!" Izryn memandang Ammar yang kelihatan kusut dan keliru.

"Mana boleh!" Wanita itu terus menolak bahu kanan Izryn. "Saya tunang Ammar! Awak jangan cuba-cuba nak menipu!" Matanya dijegilkan kepada Izrun. Lengan Ammar dicapai kembali dan digenggam erat.

"Tak mungkin!" Izryn yang sudah basah bersama airmatanya memandang Ammar. “Am, kenapa awak buat saya macam ni?”
"Jom Am! Jangan pedulikan perempuan ni!" Tanpa menunggu lebih lama, wanita itu terus menarik tangan Ammar dari situ.
"Am! Am! Tunggu Am! Am dah lupa pada Ryn! Am! Kita dah rancang untuk berkahwin!" Izryn terus mengikuti langkah mereka.
Ammar melajukan langkahnya. Sungguh, mendengar rintihan demi rintihan dari wanita itu membuatkan kepalanya menjadi semakin sakit. Dia mahu pergi dari situ! Dia tidak mahu mendengar suara rintihan itu. Suara itu membuatkan menjadi lebih pilu.
“Am! Tolong jangan buat Ryn macam ni!” Izryn mengetuk-ngetuk cermin kereta yang telah dimasuki Ammar dan wanita itu. Dia terus mengetuk cermin itu dengan linangan airmata sambil merayu kepada Ammar. Semuanya berakhir saat kereta yang dinaiki mereka meluncur pergi meninggalkan dia di situ.


---------------------------------------------


"Apa yang patut Ryn buat, mak?" Izryn sudah tersedu-sedu di pangkuan ibunya, Rosma Dia pasti ada perkara yang tidak kena. Jika benar Ammar mempermainkan dia, sudah pasti Ammar akan terus meninggalkan Izryn dan cuba mengelakkan dari bertembung dengannya. Ini tidak, Ammar seolah-olah tidak mengenalinya.
 Rosma memeluk erat tubuh Izryn. Saat ini pelukan seorang ibu terasa begitu menenangkan hatinya yang gundah. 


"Apa kata Ryn jumpa dengan kawan-kawan Am. Mungkin mereka tahu apa yang telah terjadi kepada Am."
Izryn memandang Rosma. Benar, mungkin mereka tahu apa yang telah terjadi kepada Ammar.
---------------------------------------------------



Seperti yang disarankan Rosma, Izryn ke tempat kerja Ammar dengan ditemani Fina.
"Kak Ryn kenal siapa di sini?" Tanya Fina sewaktu mereka masih berlegar-legar di pintu masuk bangunan pejabat itu.
Izryn melirik pengawal yang sedia menjaga di pintu depan. Bangunan itu memang sentiasa di kawal ketat. Bukan mudah orang luar mahu masuk ke dalam tanpa urusan rasmi dan tanpa keizinan pemiliknya.
Dahulu, ketika Izryn masih bersama Ammar, dia juga tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam bangunan itu. Jika dia mahu berjumpa Ammar, dia akan menghubungi Ammar dan Ammar akan turun ke pintu utama untuk berjumpa dengannya.
"Adalah seorang dua kawan Am yang akak kenal. Cuma, macam mana kita nak masuk ke dalam? Kalau dapat masuk pun, macam mana kita nak cari kawan Am yang akan kenal?"
Tiba-tiba Izryn terllihat kelibat wanita yang bersama dengan Ammar tempoh hari sedang berjalan untuk menuju ke pintu masuk bangunan itu. Dengan pantas Izryn menarik tangan Fina agar menyorok sedikit dari penglihatan wanita.
“Dira!!” Kedengaran satu suara seseorang sedang memanggil wanita itu.
Wanita itu menghentikan langkahnya, betul-betul di sebelah Izryn yang sedang membelakangkannya. Kemudian, dia berbual dengan temannya seketika. Setelah itu, temannya berlalu pergi. Wanita itu berpusing untuk meneruskan langkahnya.
“Dira!" Dengan tak semena-mena Izryn memanggil  nama wanita yang didengarnya tadi. Dia sendiri tidak menjangkakan perkara itu.
Dira beralih memandang kepada Izryn yang memanggilnya. Sungguh, dia terkejut melihat Izryn di situ.
"Dira, saya perlu bercakap dengan awak." Mungkin, itulah cara yang terbaik untuk dia menyelesaikan semua persoalan di mindanya.
Dengan wajah yang kelat, Dira mendekati Izryn yang sememangnya tidak jauh dengannya. Sekilas dia memandang Fina yang berdiri di belakang Izryn sambil memandang ke arahnya.
"Apa awak buat kat sini?" Dira memeluk tubuhnya dan melemparkan pandangan yang tajam kepada Izryn. "Tempat ni, bukan untuk orang macam awak."
Izryn melepaskan satu keluhan. Dia sedar, bangunan yang dimiliki oleh seorang hartawan ini tidak layak untuk orang sepertinya. Hanya orang-orang kenamaan yang sahaja mampu masuk ke dalam bangunan ini. Malah, para pekerjanya juga dibayar dengan gaji yang mahal. Tentu sahaja setiap pekerja di sini juga hidup mewah. Begitu jugalah dengan Ammar yang pernah menjadi kakitangan di sini. Apakah Ammar masih bekerja di sini? Mungkin, di sinilah Ammar berkenalan dengan Dira dan hatinya terus berubah.
"Saya tahu, saya sedar saya tak layak ada di sini. Tapi hanya awak sahaja yang boleh bantu saya," Izryn merayu demi sebuah persoalan tentang orang yang disayanginya. Fina di sebelahnya terus memerhati.
"Saya tak kenal siapa awak dan saya tak ada masa nak layan awak!" Dira sudah berpusing untuk pergi.


"Jika betul awak tunang Ammar, saya sesekali tidak akan merampas dia dari awak." Kata-kata Izryn itu berjaya membuatkan Dira menoleh semula kepadanya. "Saya hanya mahukan kebenaran. Tolonglah saya Dira."

-----------------------------------------------------


"Ammar kemalangan. Dia hilang daya ingatan." Kata-kata Dira itu terus menyentak hati Izryn. Patutlah Ammar langsung tidak mengenalinya!

"Macam mana semuanya terjadi?"
Satu keluhan dilepaskan Dira. "Enam bulan lepas, dia bertengkar dengan keluarganya. Tak tahulah puncanya. Lepas tu, dia terus keluar dan tak balik-balik. Sampailah suatu malam, pihak polis menghubungi keluarga Ammar. Dia terlibat dalam kemalangan. Keretanya gagal dikawal setelah cuba mengelakkan dari bertembung dengan lori. Kereta Ammar terlanggar pokok dan Ammar tercampak keluar sebab dia tak pakai sit-belt."
"Asraghfirullahal Azim...." Izryn terus menangkup wajah di telapak tangan. Ammar masih terikutkan sikap amarahnya. Begitulah Ammar yang dikenalinya. Bila ada perkara yang membuatkannya marah atau kesal, pasti dia akan memandu dengan laju tanpa memakai tali pinggang keledar. Sudah sekian kali Izryn menegur sikapnya itu.

"Betulkah awak teman wanita Ammar?" Tanya Dira. Nada suara Dira tidak tinggi seperti di awal pertemuan mereka lagi.

Izryn menyapu airmatanya lalu tertunduk memandang tanah. Patutkah dia menjawab pertanyaan itu sedangkan dia telah tahu bahawa Ammar sudah bertunang dengan Dira.
"Bila awak bertunang dengan Ammar?" tanya Izryn kembali.
"Baru dua bulan lepas." Dira bermain-main dengan cincin di jati manisnya. Itulah cincin pertunangannya dengan Ammar. Keluarga Ammar dan keluarganya telah lama merancang untuk satukan mereka. Tetapi, Ammar menentang kerana Ammar menyintai wanita lain. Sehinggalah enam bulan lepas, apabila Ammar kemalangan dan hilang ingatan. Dari situlah hubungan mereka bertambah erat dan akhirnya Ammar setuju untuk bertunang dengannya.
"Tahniah," Memang Izryn jujur mengucapkan kata-kata itu walau pedihnya terasa hingga jauh ke dasar hati. "Apa sahaja bentuk hubungan saya dengan Ammar dah tak penting. Saya hanya masa silamnya." Sedaya upaya dia mengawal perasaan yang sudah hancur berderai.
"Cuma, saya nak minta satu perkara,” Izryn menambah.
"Apa dia?" Dira memandang wajah Izryn. Ada perasaan simpati yang terukir di wajahnya. Simpati pada wanita yang pernah dicintai Ammar. Apakah patut dia menyatukan semula Ammar dan Izryn sedangkan Ammar sudah menyintai dirinya?
"Pulangkan hati saya," ujar Izryn dan dengan itu airmatanya mengalir kembali.
"Pulangkan hati awak?" Berkerut dahi Dira memandang Izryn. Bagaiman caranya untuk memulangkan semula hati Izryn yang telah berkecai itu?
Izryn membuka beg tangannya. Lalu dia mengeluarkan seutas rantai putih yang menjadi sebahagian dari hidupnya. Rantai yang begitu bermakna buatnya. "Rantai ini pemberian dari arwah nenek saya. Rantai ni ada sepasang. Sepasang berloketkan hati kiri dan sepasang lagi berloketkan hati kanan." Izryn menunjukkan loket yang mempunyai bentuk hati sebelah kiri. Di atas hati kiri itu terdapat dua huruf iaitu H dan A.
"Seutas lagi rantai yang ada loket hati kanan, saya berikan pada Ammar. Di atas loket hati kanan itu, ada huruf T dan I. Jika bercantum, akan terbentuklah perkataan 'hati'. Saya berikan pada Ammar setelah dia melamar saya untuk menjadi isterinya. Waktu tu, saya yakin sangat yang kami akan bersatu." Cepat-cepat Izryn menyeka airmata yang semakin laju mengalir. "Tapi, takdir Allah tidak bersama kami. Mungkin, dia bukan jodoh saya. Jadi, saya minga tolong pada awak. Tolong, minta Nazreen pulangkan semula hati saya."
Dira tertunduk membisu. “Ammar melamar awak?” Kali ini giliran Dira pula yang menyapu airmatanya.
Izryn hanya mampu mengangguk.
“Awak tahu tak, sebelum kemalangan Ammar pernah nyatakan hasratnya untuk beristerikan seorang wanita dan keluarganya tidak bersetuju. Dan awak adalah orangnya.”
Izryn hanya menundukkan wajahnya. Itu bermakna, Ammar tidak pernah membohonginya. Cuma, takdir telah menetapkan yang Ammar bukan miliknya. “Saya tak sangka keluarga Ammar tidak bersetuju. Patutlah bila saya bertanya tentang keluarga Ammar, tak banyak perkara yang diceritakan,” ujar Izryn.
“Awak kenal siapa Ammar? Awak tahu siapa keluarganya?” Dira memandang Izryn.
Izryn menggeleng. Ammar jarang bercerita tentang keluarganya walaupun dia sering bertanya tentang mereka kepada Ammar.
“Bangunan yang awak pergi tadi, Soerna Corporations adalah milik keluarga Ammar. Ammar adalah anak tunggal kepada Soerna Inderawan. Hartawan dari Indonesia. Ibunya, Datuk Harnidah, wanita yang berjaya dengan perniagaannya.”
Izryn tergamam. Datuk Harnidah? Soerna Inderawan? Dia pernah mendengar tentang mereka. Jadi, selama ini dia bersama dengan anak tunggal kepada dua hartawan yang berjaya itu? Memang patut keluarga Ammar menentang hubungan mereka. Dia memang tidak layak untuk Ammar.
“Awak jangan risau. Ammar saya dah tak ada. Ammar yang menjadi tunang awak sekarang, adalah Ammar yang lain. Ammar saya dah tak ada.” Semakin laju airmata Izryn mengalir.
Entah kenapa, melihatkan airmata Izryn, Dira terus memeluknya. Dia pernah kecewa kerana cintanya ditolak Ammar. Dan sekarang, Izryn bersedih kerana cintanya telah hilang. Dia tahu bagaimana perasaan Izryn tatkala ini.
----------------------------------------------

Ammar memandang Dira. Tangan Dira diambil dan di genggamnya erat. Sejak dia membuka matanya dari kemalangan yang lalu, hanya Dira yang berada di sisinya. Hanya Dira yang setia menjaganya sehingga dia bisa berdiri semula. Dia sayangkan Dira.
Tetapi, tiba-tiba sahaja Dira memberitahu yang dia menyintai wanita lain sebelum kemalangan itu terjadi. Dia tidak ingat tentang wanita lain selain Dira.
“Saya cintakan awak Dira,” ujar Ammar.
“Saya tahu.” Dira sudah mengalirkan airmatanya. “Awak pergilah jumpa dengan dia.” Dira menolak tubuh Ammar agar keluar dari kereta.
“Saya tak kenal dia!” Sudah berkali-kali dia beritahu Dira yang dia tidak mahu menemui Izryn. Jika benar dia pernah menyintai Izryn, bukankah itu akan menambahkan lagi kekecewaan hati Izryn andai dia tidak dapat menyambung semula hubungan mereka? Lebih baik dia pergi begitu sahaja.
“Tolonglah Ammar. Untuk sekali ni sahaja. Pergilah jumpa dengannya,” Dira merayu lagi.
Ammar melepaskan keluhan. Dia memandang Izryn yang telah menantinya. Sekilas dia memandang Dira semula.
“Tapi, rantai tu dah hilang!” Dira telah memberitahunya yang Izryn mahu dia memulangkan semula rantai yang pernah diberikan kepada Ammar.
“Saya tahu! Am perlu beritahu dia tentang tu.”
Akhirnya, bersama satu keluhan Ammar membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Dia mendekati Izryn yang sudah menanti di situ.
“Assalamualaikum Izryn,” tegur Ammar.
Tiba-tiba kedengaran deruan enjin kereta yang berlalu pergi. Dira telah pergi meninggalkannya bersama Izryn.  Dira memang sengaja mahu dia berdua-duaan dengan Izryn.
Izryn hanya memerhatikan sikap Ammar. Benar, Ammar adalah lelaki lain. Bukan lagi lelaki yang sama menyintai dirinya dahulu. Pandangan mata Ammar pada Dira telah dibacanya. Dahuilu, pandangna yang penuh kasih sayang itu pernah menjadi miliknya. Kini, tidak lagi.
“Am,” tegur Izryn.
Ammar berpaling memandang Izryn. “Dira dah beritahu saya semuanya. Cuma, maaflah saya tak dapat ingat awak.”
Izryn mengangguk. Betul ! Bukan sahaja Ammar tidak mengenalinya, malah cinta Ammar juga telah hilang untuknya. “Tak mengapa Am. Awak tak perlu ingatkan saya. Apa sahaja yang pernah berlaku antara kita hanya tinggal sejarah.” Ammar seorang lelaki yang baik. Dira juga seorang wanita yang baik. Dia sayangkan Ammar dan mahu Ammar hidup bahagia. Hanya, bukan dia yang akan membahagiakan Ammar. Tapi Dira. Dira lebih berhak pada Ammar.
“Dira mahu saya bertemu dengan awak. Katanya, mungkin dengan cara itu ingatan saya pada awak akan kembali.”
Izryn hanya tertunduk. Dia tidak menyangka Dira mempunyai hati yang baik. “Tapi, awak tak mahu ingatkan saya lagikan?”
“Uh?” Ammar tersentak dengan pertanyaan Izryn.
Izryn hanya tersenyum kelat. Cinta Ammar telah beralih arah. Ammar takkan pernah cuba untuk ingatkan dia kembali kerana dia menyintai Dira yang telah menjadi tunangnya kini.
“Tak mengapalah Am, saya cuma minta awak pulangkan semula hati saya!” Izryn menghulurkan tangan meminta semula rantai puth yang berloketkan hati kanan yang pernah diberikannya kepada Ammar.
Ammar tertunduk lalu mengangkat semula wajahnya memandang Izryn. Dira telah memberitahu kepadanya tentang itu.  Ketika dia sedar dari kemalangan, memang dia ada menyimpan rantai putih itu. Namun, kerana dia terlalu asyik dengan rantai putih yang berloketkan hati dan tertulis perkataan ‘TI’ di atasnya, maka ibunya mengambil rantai itu.
Bila ditanya kepada ibunya tentang rantai itu kerana dia mahu memulangkan semula kepada Izryn, ibunya menyatakan rantai itu telah dicampakkannya di laut.
“Hati awak dah tak ada pada saya,” ujar Ammar perlahan.
“Apa maksud awak?” Izryn memandang wajah Ammar.
“Ibu saya dah hilangkan rantai tu.”
Izryn terdiam. Hatinya telah hilang? Itu rantai pemberian arwah nenek. Dia pernah memberitahu nenek, jika dia jatuh cinta, rantai itu akan diberikan kepada lelaki yang akan menjadi suaminya. Rantai itu sangat bermakna buatnya.
“Maafkan saya Izryn.” Ammar kesal apabila melihat wajah Izryn yang ternyata kecewa dengan kehilangan rantai itu. namun, dia tidak sampai hati untuk memberitahu Izryn yang rantai itu telah dicampakkan ke laut.
Izryn melirik Ammar sekilas. Dia tak salahkan Ammar. Ibunya, Datuk Harnidah yang hilangkan. Mungkin kerana Datuk harnidah tidak mahu Ammar mengingati kisah silamnya semula.
“Tak mengapalah, Am.” Izryn berjalan perlahan meninggalkan Ammar. Sungguh, tatkala ini dia dapat merasakan sebahagian dari hatinya telah hilang. Hilang bersama rantai putih miliknya.


Bersambung dalam……..SATUKAN ‘HA-TI’
-----------------------------------------

9 comments:

  1. alahai...wat suspen jer cerpen nih...cpt2 smbg cik penulis...hehehehe

    ReplyDelete
  2. alah nape lah sampai jadi cam tu...sian kat izryn.pape pun nk g yer dek tlg lah cepet tempek n3 baru....

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaallah, minggu depan sy tempek sambungannya....tq...:)

      Delete
  3. sedihnyaaaa.. kesian izryn!!

    ReplyDelete
  4. luluh ny ati,.keeesiiiaaan,.cpt post en3 bru eh keke

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete