"TAK GUNA
BETUL!!!" Zaiton terus merungut sambil mengibas pakaian yang baru
dibersihkan itu. "Kalau Amani ada, tak payahlah aku buat semua ni!
Menyusahkan betul!" satu persatu pakaian yang ada dalam baldi besar itu
dijemurnya. Semuanya dilakukan dengan rasa terpaksa.
Sejak pagi tadi, setelah
Tuan Helmi menyerahkan tugas buatnya, terus lelaki itu hilang entah ke mana.
Punah harapannya untuk terus mendekatkan diri dengan Tuan Helmi. Mengingatkan
hal itu, hati Zaiton menjadi semakin sebal. Dia tidak mengerti, apakah Tuan
Helmi benar-benar tidak mengenalinya? Lupakah lelaki itu pada cinta mereka yang
pernah termetri saat remaja dahulu? Atau, lelaki itu sengaja berpura-pura tidak
mengenalinya?
"Assalamualaikum,"
satu suara menegur Zaiton dari belakang. Zaiton terdiam seketika. Alamak! Itu
suara Tuan Helmi. Dia baharu sahaja teringatkan lelaki itu. Zaiton segala
membetulkan rambutnya dan bajunya. Kemudian, berpaling ke belakang bersama
sebuah senyuman.
"Waalaikummussalam, tuan," Zaiton menundukkan sedikit kepalanya, tanda hormat. "Ada yang boleh saya bantu?" ujarnya dengan suara yang lembut. Tuan Helmi datang! Gembira hatinya bukan kepalang. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya setelah sedari tadi, Tuan Helmi sibuk dengan lukisan dan bisnesnya.
"Waalaikummussalam, tuan," Zaiton menundukkan sedikit kepalanya, tanda hormat. "Ada yang boleh saya bantu?" ujarnya dengan suara yang lembut. Tuan Helmi datang! Gembira hatinya bukan kepalang. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya setelah sedari tadi, Tuan Helmi sibuk dengan lukisan dan bisnesnya.
Tuan Helmi memandang
wajah Zaiton yang tetap berseri walaupun telah separuh hari melaksanakan tugas
yang diberikannya. Wajah itu masih cantik seperti dahulu. Hanya berbeza dari
segi kematangan pada wajahnya. “Macam mana dengan kerja kamu Zaiton?”
“Semua pakaian dah saya
cuci, tuan. Tinggal nak jemur. Ini masih ada sebaldi lagi,” Zaiton menunjukkan
sebaldi pakaian yang masih belum berjemur. Bukannya susah kerja yang Tuan Helmi
berikan. Hanya membersihkan pakaian Tuan Helmi, Tania dan Izz. Itu pun
menggunakan mesin basuh. Hanya pakaian tertentu sahaja yang dicuci menggunakan
tangan. Lagipun, pakaian mereka bertiga itu tidak banyak. Sambil mencuci
pakaian mereka, dia mengambil kesempatan mencuci pakaiannya sendiri dan juga
pakaian Amani.
“Awak selesa dengan
tugas yang saya beri?” tanya Tuan Helmi lagi. Sebenarnya, selama ini Izz akan
mencuci pakaiannya sendiri. Begitu juga dengan Tania. Pakaiannya juga akan
diuruskan Tania. Tetapi, dia tidak mempunyai tugas lain untuk diberikan kepada
Zaiton. Ada juga dia terfikir untuk meletakkan Zaiton bersama pekerja lain di
Ilham Hati. Namun, di Ilham Hati sendiri sudah cukup pekerja. Jadi, dia
menempatkan Zaiton disini bagi menguruskan rumahnya.
Senyuman Zaiton semakin
lebar mendengar pertanyaan Tuan Helmi. Terselit di dalam hatinya, Tuan Helmi
pasti mengenalinya dan masih memberi perhatian terhadapnya. “Saya selesa, tuan.
Saya dah biasa buat kerja begini. Apa yang tuan arahkan, semuanya adalah rutin
harian seorang wanita. Menguruskan rumah, membasuh pakaian.”
Tuan Helmi mengangguk.
Benar, dahulu semuanya diuruskan Sufi. Namun, sejak Sufi meninggal dunia, tiada
siapa yang menguruskan rumah ini lagi. Biasanya, setiap hujung minggu dia akan
mengupah pekerja Indonesia untuk membersihkan Syurga Ilham Hati.
"Saya ada perkara
yang nak dibincangkan," Tuan Helmi menerangkan tujuannya datang berjumpa
dengan Zaiton.
“Hal apa?” Hati Zaiton
mula timbul tanda tanya. Tiba-tiba sahaja debaran di dadanya terasa. Mungkinkah
ia berkaitan dengan masa silam mereka?
Tuan Helmi memandang
sebaldi kain yang masih belum berjemur. “Begini, mari saya tolong kamu kerja selesaikan
kerja, ya. Lepas tu kita duduk berbincang." Terus sahaja Tuan Helmi
mencapai sehelai baju di dalam baldi dan mengibasnya. Kemudian, menyangkutnya
di tali jemuran.
Zaiton terkedu di situ
melihat tingkah Tuan Helmi. Bagaikan tidak percaya apa yang sedang dilakukan
lelaki itu.
“Apa yang kamu lihat?
Tolong sepitkan baju ni,” arah Tuan Helmi apabila Zaiton masih kaku di situ.
Zaiton tersedar. Dengan
pantas dia mencapai penyepit lalu menyepit baju yang baru dijemur Tuan Helmi. "Tak
apalah Tuan, saya boleh buat sendiri," Zaiton bersuara.
"Tak apa, biar saya
bantu. Cepat sikit kerja awak habis." Tuan Helmi tetap terus membantu
Zaiton.
Zaiton hanya tersenyum. Tuan Helmi memang baik! lelaki di sebelahnya ini tetap
lelaki yang sama dahulu. Gembira rasanya bila dapat berdua-duaan dengan orang
yang terhormat dan pemilik Ilham Hati ini. Apatah lagi bila lelaki itu pernah
menyulam kasih dengannya. Terasa begitu tinggi darjatnya apabila bersama Tuan
Helmi. Mereka meneruskan kerja hinggalah semua pakaian telah selesai di jemur.
Tuan Helmi memandang
Zaiton yang sedang menjemur pakaian yang terakhir. "Nampaknya, semua dah
siap. Jadi, bolehlah kita duduk berbincang," ujar Tuan Helmi.
Zaiton mengangguk. "Tuan
tentu penat," Zaiton memandang Tuan Helmi yang sudah berpeluh itu.
"Tuan tunggu kejap ya, biar saya buatkan air."
"Baiklah...." Tuan
Helmi menganggukkan kepala. Memang dia terasa sedikit haus setelah berpeluh di
bawah matahari untuk membantu Zaiton. "Saya tunggu kamu di bawah pondok
belakang, dekat dengan pondok Izz."
Zaiton mengangguk lalu segera
melangkah dan membawa baldi-baldi kosong bersamanya untuk disimpan semula.
Kemudian, dia terus masuk ke ruang dapur yang terletak di belakang. Di situ,
kelihatan Mak Enon dan Min sedang sibuk menyiapkan hidangan tengahari buat
pekerja-pekerja Ilham Hati. Tanpa memperdulikan mereka, dia terus mencapai dua
gelas kosong dan membuka peti sejuk untuk menuang jus segar.
Min yang kebetulan
melihat kelibat Zaiton di situ segera menghampiri apabila melihat Zaiton mahu
membuka peti sejuk. "Hei!" Min menutup kembali pintu peti sejuk
sebelum Zaiton berjaya mencapai botol jus . "Kau ingat, ini rumah kau?!
Suka-suka hati je nak ambil barang!" Min menjegilkan biji matanya pada
Zaiton.
Zaiton mendengus geram.
Wajah Min dipandangnya. Sejak kakinya melangkah ke sini, Min memang kelihatan
tidak senang dengan kehadirannya. "Ini pun bukan rumah engkaulah! Tak
payah nak berlagak sangat!" Zaiton menjeling pada wanita yang sepuluh
tahun lebih muda darinya itu. Dasar kurang ajar! Tak tahu hormatkan orang yang
lebih tua!
"Ruang dapur dan
ruang makan ni, dibawah pengurusan mak aku dan aku! Kalau kau nak apa-apa, beritahulah!
Jangan ikut suka je!" bentak Min. Seluruh ruang dapur dan ruang makan,
adalah dibawah tanggungjawab Min dan Mak Eton. Sebelum ni, tiada siapa yang
berani melakukan sesuka hati di situ. Zaiton memang melampau!
"Kenapa pulak aku
kena beritahu korang berdua? Korang pun orang gaji macam aku jugak!"
Zaiton mengerling Min dan Mak Eton. "Tuan Helmi yang nak minum jus ni! Dia
minta aku ambilkan!"
Hati Min mula tak senang
apabila mendengar itu adalah arahan dari Tuan Helmi. Kenapa Tuan Helmi perlu
minta dari Zaiton? Biasanya, jika mahukan apa-apa, Tuan Helmi akan segera
menghubunginya. "Kalau Tuan Helmi nak, kenapa sampai dua gelas?" Min
masih tidak berpuas hati.
Memang, sejak Amani
masuk ke dalam Ilham Hati, dia sudah mula tak sukakan gadis itu. Namun,
perasaan menjadi semakin kurang enak dengan hadirnya Zaiton di sini. Dia tahu,
mereka berdua datang sini dengan niat yang tak baik. Tambah-tambah lagi Zaiton.
Niatnya yang cuba mendekati Tuan Helmi, nampak begitu jelas walaupun Zaiton
baharu sahaja tiba di situ. Itu yang membuatkan dia tidak sukakan Zaiton.
"Suka hati
akulah!" ujar Zaiton dengan geram. "Lagipun, aku bukan saja bekerja
di sini, tapi aku juga tetamu dalam rumah ni! Bukan macam kau!" Zaiton
menepis tangan Min yang menghadang pintu peti sejuk. Lalu dia membuka peti
sejuk dan menuang jus ke dalam gelas kosong yang dibawanya.
Dia mencapai segelas jus
yang baharu dituangnya lalu ditunjukkan kepada Min. “Yang ini, aku nak minum.”
Dia terus menghirup jus oren itu sehingga ke titisan yang terakhir. Setelah
itu, dia memandang Min dengan sinis.
Dada Min sudah berombak
melihat sikap Zaiton yang memang sengaja mencabar kesabarannya.
Kemudian, Zaiton
meletakkan gelas yang kosong itu di sinki. Manakala gelas yang masih berisi
diletakkan di dalam dulang kecil. Terus dia berlaku keluar dari ruang itu.
Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam untuk Min.
"Mak! Kenapa mak
diam je?" Setelah Zaiton berlalu, Min mengalihkan pandangannya pada Mak
Eton.
"Habis tu, kau nak mak buat apa?" Walaupun Mak Eton juga tidak menyukai Zaiton, namun dia langsung tak mahu melihatkan diri dengan masalah wanita itu. Melalui pandangan pertamanya sahaja, dia tahu Zaiton cuba mengambil kesempatan atas kebaikan penghuni rumah ini. Tetapi, dia tidak merasakan perasaan yang sama ketika Amani di bawa ke sini.
"Habis tu, kau nak mak buat apa?" Walaupun Mak Eton juga tidak menyukai Zaiton, namun dia langsung tak mahu melihatkan diri dengan masalah wanita itu. Melalui pandangan pertamanya sahaja, dia tahu Zaiton cuba mengambil kesempatan atas kebaikan penghuni rumah ini. Tetapi, dia tidak merasakan perasaan yang sama ketika Amani di bawa ke sini.
"Selama ni, kita
yang siapkan makan minum Tuan Helmi. Sekarang ni, dia pulak nak sibuk-sibuk
ambil alih tugas kita!" Min mengetapkan bibirnya. " Biasanya, Tuan
Helmi kalau nak apa-apa, mesti minta telefon Min je. Tapi hari ni?" Min
mendengus, kesal.
Mak Eton menarik nafas
panjang. Bukan dia tak tahu, anaknya itu memendam perasaan pada Tuan Helmi.
"Sudahlah tu Min, jangan mimpi bulan jatuh ke riba. Tuan Helmi ibarat
helang, kita ni cuma pipit. Helang dan pipit tak akan bersatu.” Sudah sekian
kali dia menyatakan perkara itu pada Min. Dia tak mahu Min terlalu menyimpan
harapan yang tinggi untuk memiliki Tuan Helmi. Dia tak mahu harapan Min hanya
tinggal anganan.
"Tapi, kalau tak de
Zaiton dan anaknya tu, tentu Min berhasil memikat Tuan Helmi!" Selama ni,
tak ada orang lain yang masuk ke dalam hidup Tuan Helmi melainkan mereka dan
Izz. Sekarang, kehadiran dua beranak itu banyak mengganggu penghuni di Syurga
Ilham Hati! Min benar-benar tak selesa dengan keadaan sekarang. Apatah lagi mengenangkan
Zaiton yang memiliki seraut wajah yang cantik dan tubuh yang langsing walaupun
sudah beranak satu. Apalah nak dibandingkan dengan dirinya. Walaupun jarak usia
mereka terlalu berbeza, namun dia sedar, dia tak mampu menandingi kecantikan
Zaiton.
"Sudahlah tu, Min.
Kalau ada jodoh tak ke mana," Mak Eton cuba menyedapkan hati anaknya itu.
Sekali pun jika Zaiton tidak datang ke sini, Min belum tentu dapat menggantikan
tempat Puan Sufi. “Dah, cepat siapkan makan tengahari. Kejap lagi, semua
pekerja dah nak makan!" Arah Mak Eton.
Dalam masa yang sama,
Zaiton menuju ke pondok di laman belakang yang berdekatan dengan pondok Izz. Dengan
penuh kelembutan dan keayuan, Zaiton melenggangkan tubuhnya menghampiri lelaki
yang berusia lebih empat puluh lima tahun itu.
"Jemputlah
minum," Zaiton menyerahkan segelas jus pada Tuan Helmi.
"Terima
kasih," Tuan Helmi menyambutnya dengan senyumanmu. Lalu, diteguk air
jus itu sehingga habis. "Alhamdulillah," Lega rasanya apabila dapat
membasahkan tekak yang kering dengan minuman yang sejuk.
Zaiton tersenyum riang
melihat gelas itu sudah kosong. Terasa seperti kebaikannya dihargai. "Tuan
nak minum lagi?"
Tuan Helmi menggeleng.
"Tak apa," tolaknya. "Terima kasih," Tuan Helmi memandang
wajah Zaiton yang begitu murah dengan senyuman. "Macam mana? Zaiton suka
tinggal di sini?"
"Tentulah suka, tuan!"
Pantas sahaja Zaiton menjawap pertanyaan itu. "Siapa yang tak suka tinggal
di sini. Udara di sini nyaman dan penuh dengan ketenangan. Hijau alam, sejuk
pandangan," ujar Zaiton sedaya menarik nafas panjang untuk menghidup udara
segar di situ. Tapi, yang lebih menyegarkan tentu sahaja kemewahan dan kesenangan
yang ada di sini.
Tuan Helmi sudah tertawa
melihat Zaiton. Dia senang dengan jawapan Zaiton. "Baguslah kalau Zaiton
suka tinggal di sini." Senang hatinya mendengar jawapan Zaiton.
"Oh ya, perkara apa
yang nak tuan bincangkan dengan saya?" Zaiton terus ke pokok persoalan.
Tuan Helmi diam
seketika, seakan sedang berfikir tentang sesuatu. Kemudian, dia tersenyum.
"Bukan hal yang penting. Tapi," dia memandang Zaiton. Perlukah dia
bercakap tentang hal ini sekarang?
Zaiton masih
ternanti-nanti kata-kata Tuan Helmi yang tersangkut. Apakah Tuan Helmi mahu
bertanya tentang dirinya? Bagaimana dengan kehidupannya sejak mereka berpisah?
Bagaimana dengan rumahtangga yang pernah dibinanya? Bagaimana dia melalui
hari-hari sejak cinta mereka terhalang?
Tuan Helmi menarik nafas
yang panjang lalu menghembusnya perlahan. “Saya nak bertanya tentang Amani.”
Kata-kata Tuan Helmi itu
membuatkan Zaiton ternganga sedikit. Sangkaannya jauh meleset. Bukan tentang
dirinya yang menjadi pokok perbincangan tetapi Amani. “Kenapa dengan Amani?”
Tuan Helmi terdiam.
Memang tidak ada apa-apa yang tidak disukainya tentang Amani. Tetapi gadis itu
selalu membuatkan dia berfikir. Bagai ada sesuatu yang memaksanya untuk
mengambil berat tentang Amani.
“Walaupun awak baharu
sahaja tinggal di sini, tapi saya yakin, dari hari pertama awak jejakkan kaki
ke sini awak boleh menilai sendiri layanan Tania pada awak,” bicara Tuan Helmi.
Zaiton diam, menunggu
kata-kata Tuan Helmi selanjutnya.
“Layanannya pada awak
sangat berlainan dengan layanan yang saya terima dari Amani saat pertama saya
berjumpa dengannya,” sambung Tuan Helmi.
Apa yang cuba dikatakan
Tuan Helmi? Zaiton sudah tidak senang duduk.
“Tania dan Amani adalah
remaja yang sedang meningkat dewasa. Perbezaan dari watak dan sikap mereka
terlalu jauh. Awak perasan tak?” Tuan Helmi memandang Zaiton.
“Tuan tak boleh samakan
antara mereka berdua. Amani dan Tania membesar dalam suasana yang berbeza.
Tania, dia dibesarkan di dalam mahligai ini.” Zaiton mendepakan kedua-dua
tangannya, menunjukkan seluruh Ilham Hati. “Dia dilimpahi kemewahan dan
kesenangan. Tetapi itu tidak terjadi dalam hidup Amani. Amani membesar bersama
kesusahan dan kesempitan hidup.”
Tuan Helmi memandang
tanah. Zaiton benar. Tetapi masih ada sesuatu yang tidak jelas. “Kehidupan kita
tidak akan menjadi kaya dan miskin hanya kerana harta. Adakalanya miskin harta
tetap akan membuatkan kita memikili jiwa yang besar seandainya kehidupan kita
penuh dengan kasih sayang.” Tuan Helmi diam seketika. “Saya tidak dapat melihat
nilai kasih sayang dalam diri Amani. Saya hanya lihat kebencian pada wataknya.
Bagaimana Amani membesar?”
Soalan Tuan Helmi itu
menyebabkan Zaiton pantas berdiri tegak. Dia tidak menyangka Tuan Helmi akan
bertanya demikian. “Apa maksud tuan? Saya tak pandai mendidik anak saya? Saya
tak pandai menjaga anak saya?” Dengan berani, Zaiton memandang Tuan Helmi. “Itu
yang tuan cuba katakan?”
“Tidak! Bukan itu maksud
saya!” Nampaknya, Zaiton sudah tersalah mentafsir soalannya.
“Kalau bukan, apa maksud
tuan bertanya begitu? Tania dibesarkan dengan kemewahan. Tania tak pernah
merasa kelaparan! Pernah tak walau sehari tuan tidak memberi Tania makan?
Pernah?” Hatinya sangat tersentuh dengan omongan Tuan Helmi. “Pernah tak sekali
dalam hidup tuan, tuan membayangkan diri tuan di tempat orang kebanyakan? Kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pernah tak walau sehari dalam hidup
tuan memikirkan soal makan? Bagaimana hari ini aku mahu mencari sesuap nasi?
Pernah tuan tanya soalan itu sepanjang hidup tuan? Tentu tidak, kan? Sebab
hidup tuan telah dilimpahkan dengan kemewahan. Dan sekarang, kemewahan itu juga
tuan limpahkan buat anak tuan!”
“Zaiton, saya minta
maaf.” Tuan Helmi cuba menenangkan Zaiton yang kelihatan benar-benar marah
dengannya. “Bukan itu maksud saya Zaiton.” Kesal dirasakan apabil Zaiton salah
mentafsir pertanyaannya.
Zaiton tegak di situ
sambil memeluk tubuh.
“Zaiton, maafkan saya.”
Kali ini suara Tuan Helmi semakin perlahan, seolah-olah sedang memujuk Zaiton.
“Siapa saya nak
memaafkan tuan? Orang seperti tuan tidak layak untuk meminta maaf,” ujar
Zaiton.
Tuan Helmi mengeluh.
“Apa yang saya cuba tanyakan bukan seperti apa yang awak faham. Apa yang saya
maksudkan adalah Amani memiliki hati yang keras. Dia tak beri peluang untuk
didekati dan tidak mahu mendekati sesiapa. Amani seakan-akan menyimpan perasaan
benci dan dendam dalam dirinya. Apa yang saya mahu tahu, kenapa dia jadi
begitu.”
Zaiton memejam matanya
rapat. Sangkanya Tuan Helmi takkan bertanya tentang itu lagi setelah dia
bertindak begitu dengan berpura-pura terasa hati dengan pertanyaan Tuan Helmi.
Zaiton berdiam diri agak lama. Dia cuba mencari jawapan yang terbaik untuk
diberikan kepada Tuan Helmi.
“Mungkin, kerana dia
dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah sebab itulah dia jadi begitu.”
Akhirnya, itulah jawapan yang keluar dari bibir Zaiton. Tetapi, dia tidak
berbohong tentang itu. Memang Amani dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah.
Jawapan Zaiton nyata
mengejutkan Tuan Helmi. “Apa yang terjadi dalam hidup kamu berdua?” Hati Tuan
Helmi melonjak-lonjak ingin tahu sejarah hidup mereka.
Zaiton memandang Tuan
Helmi. Dia seakan dapat membaca apa yang ada dalam fikiran Tuan Helmi. Tuan
Helmi kelihatan serius dengan soalannya. Dia mahu tahu apa yang terjadi. Lebih
baik jika dia membuat sedikit gimik dan merahsiakannya terlebih dahulu. “Maaf,
tuan. Apa yang berlaku pada kami berdua lebih baik itu menjadi rahsia kami.
Rasanya, penderitaan yang ditanggung kami tidak semurah itu untuk terus dijaja
dan meminta simpati orang lain.”
“Zaiton, saya tahu awak
masih marahkan saya. Niat saya hanya nak membantu awak dan Amani. Mungkin
sebagai langkah pertama, saya perlu tahu dan kenal diri awak dan Amani. Mungkin
dengan cara itu, Amani akan lebih terbuka dengan semua orang yang ada di sini.”
Tuan Helmi masih cuba memujuk Zaiton.
Zaiton memejamkan
matanya seketika. Untuk pusingan pertama sahaja dia sudah menang. Jika Amani
menjadi pertaruhan untuk dia dan Amani terus tinggal di sini, itulah yang akan
digunakannya. Lagipun, dengan apa yang telah berlaku selama ini, dia dan Amani
berhak untuk mengecap kemewahan yang ada di sini.
“Amani berhak bertindak
seperti mana dirinya sekarang. Amani perlu kuat dan tegar. Jika tidak, macam
mana kami nak harungi hidup ini yang penuh dengan penipuan dan penindasan. Apatah
lagi untuk perempuan seperti kami. Tuan sendiri tahu bagaiman layanan abang
saya, Jalil pada kami berdua. Tuan sendiri tahu bagaimana sikap Jalil. Setiap
hari kami menderita!”
“Di mana suami awak?”
Akhirnya, Tuan Helmi bertanya tentang itu. Sedari tadi dia menunggu Zaiton
untuk bercerita tentang suaminya. Namun, Zaiton tidak memberi peluang untuk
mereka menyebut tentang suaminya.
Zaiton memandang Tuan
Helmi. Mata mereka bertentang. Sejak tadi dia memang menunggu lelaki itu
bertanya tentang itu. Sengaja dia tidak menyebut walau satu perkataan pun
tentang bekas suaminya. Mungkin, Tuan Helmi sudah tidak sabar untuk mengetahui
kisah hidupnya setelah cinta mereka putus di tangah jalan.
“Di mana suami awak?
Kenapa Amani membesar tanpa ayahnya?” Tuan Helmi bertanya lagi apabila Zaiton
mendiamkan dirinya.
“Tuan jujur mahu tahu
apa yang berlaku?” tanya Zaiton lagi. Mungkin ini saat yang sesuai untuk mereka
melayangkan kembali kenangan lalu.
Tuan Helmi menganggukkan
kepalanya perlahan.
“Adakah tuan masih ingat
dengan saya?” Zaiton bertanya lagi.
Tuan Helmi memandang
Zaiton. Dia tahu, banyak persoalan yang tidak akan terjawap seandainya dia
terus berpura-pura tidak mengenali Zaiton. Entah kenapa, dia merasakan semua
penderitaan yang dialami Zaiton dan Amani berpunca dari dirinya.
“Ya, saya masih ingat
dengan awak Zaiton. Dan saya tak pernah lupakan awak walaupun semuanya sudah
lama berlalu.”
Itulah jawapan yang
ditunggu-tunggu Zaiton. Semuanya telah berjalan dengan lancar. Semuanya sangat
sempurna walaupun dia tidak pernah merancang untuk bertemu lagi dengan lelaki
ini. Dia juga tidak merancang untuk datang ke mari. Semuanya bermula dengan
Amani. Akhirnya, Amani membawa tuah dalam kehidupan mereka.
-----------------------------------------------
amani anak tuan helmi kan?
ReplyDeleteuntuk mengetahui jawapnnya, ikuti sambungannya nanti ya..tq :)
Delete