Friday 7 June 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 19



AUDRA melirik jam ditangan. Dia memandang ke arah daun pintu bilik fail yang tertutup rapat. Sudah satu jam lebih Zana meninggalkannya sendirian di bilik fail itu.

Zana yang baru sahaja keluar dari kemar pejabat Tuan Syed, terhendap-hendap masuk semula ke dalam unit fail. Pintu dibuka perlahan-lahan agar Audra tidak menyedari kehadirannya. Kemudian, dengan perlahan dia mendekati Audra yang sedang asyik menunduk menulis sesuatu di atas buku notanya. Dengan senyuman di wajahnya yang tidak lekang sejak keluar dari pejabat Tuan Syed Zikri, terus dia berfikir mahu menyakat Audra.

“Audra!” Terus dia menyergah.

Audra yang sememangnya tidak menyedari kehadiran Zana pantas terkejut. Hampir sahaja buku notanya dibaling.  Apabila melihat kelibat Zana, terus dia mengurut dadanya. Dia menjeling Zana dengan tajam.

“Ish! Kau ni!” Satu jelingan tajam dilemparkan untuk Zana. Geram melihat ketawa Zana yang berjaya menyakatnya. “Gelak! Gelak!” Audra sudah mencekak pingganganya.

Semakin galak tawa Zana melihat reaksi Audra. Usai tawanya reda, Zana yang masih tersengih-sengih itu duduk di depan Audra. Salah satu fail yang bertaburan di atas meja di ambil. Dia membuka fail sambil menongkat dagu. Wajahnya masih terukir dengan senyuman. Gembira sekali dia sejak bertemu dengan Tuan Syed Zikri. Rasanya, inilah putera raja yang paling ideal untuk Audra.

“Kau ke mana Zana?” tanya Audra dengan penasaran.

Zana beralih memandang Audra. Soalan Audra itu membuatkan senyuman Zana semakin lebar. “Kau nak tahu tak aku jumpa dengan siapa?”

“Dengan siapa?”

“Aku jumpa dengan Putera Arab! Handsome giler!” Zana sudah memejamkan matanya, membayangkan wajah kacak Zack. Kedua-dua tangannya sudah tergenggam erat.

Geram melihat reaksi Zana, akhirnya Audra mencapai sebuah fail lalu memukulnya ke lengan Audra. Beranganlah tu!

Pantas Zana membuka matanya. “Apa kau ni!” Dia sudah mengurut lengannya yang pedih dipukul Audra. Bibirnya sudah muncung ke depan, pura-pura merajuk dengan tingkah Audra.

“Wah! Berangan nampak! Engkau ni, kalau dah ambil alih hobi aku yang suka berangan tu, mesti angan-angan kau jauh lebih teruk dari aku.” Audra sudah mengherotkan bibirnya. “Putera Arab konon! Habis tu, Zaid kau nak letak kat mana?” Audra sudah mencekak sebelah  pinggangnya.

Zana ketawa kecil melihat reaksi Audra yang kelihatan seperti ibu tiri yang comel. “Ish! Mana boleh bandingkan Putera Arab dengan Zaid. Walau apa pun, Zaid tetap di hati aku! Zaid tu, putera hati aku! Cuma, aku rasa Putera Arab ni sesuai jadi putera hati untuk kau!”

“Aku?!” Wajah Audra sudah ketat. Entah apa-apa ntah Zana ni! “Apasal aku pulak?”

“Betul! Putera Arab ni memang kacak! Sesuai sangat nak jadi putera raja kau!” ujar Zana. “Tapi, bukan Putera Arab betullah. Putera Arab versi Melayu.”

“Putera Arab versi Melayu? Dah ada nama Arab, ada pulak Melayunya?” Kening Audra berkerut.

“Hmmm,” Zana mengangguk. Suka sangat melihat wajah keliru Audra.

“Cuba cakap betul-betul dengan aku. Dengan siapa kau jumpa sebenarnya?!” Malas Audra mahu bermain teka-teki dengan Zana.

Zana ketawa kecil. Gembira dapat mainkan Audra. “Cubalah teka?”

Audra diam seketika. Seingatnya, gelaran Putera Arab hanya diberikan mereka bedua untuk lelaki yang ditemuinya di tepi tasik setahun yang lalu. Tetapi, hanya dia sahaja yang kenal wajah Putera Arab. Zana tak pernah melihat wajah Putera Arab. Maknanya, lelaki ini bukan Putera Arab yang sama.

“Yang aku tahu, Putera Arab tu lelaki yang aku jumpa di tasik. Selain dari tu, aku tak kenal.”

Zana terlopong. “Kau masih ingat dengan dia?”

“Kadang-kadang,” balas Audra.

Kepala Zana sudah terangguk-angguk. Nampaknya, Audra juga tidak pernah melupakan Putera Arabnya. “Cubalah teka!” suruhnya lagi.

“Manalah aku tahu!” Audra bersuara. Malas mahu meneka lagi.

Zana mendengus apabila Audra tidak mahu meneka. “Aku jumpa dengan Tuan Syed Zikri,” ujar Zana sambil matanya melihat Audra dengan tajam untuk melihat reaksi Audra tatkala dia menyebut nama Tuan Syed Zikri.

“Kau jumpa dengan Syed Zikri?” Audra sudah terlopong. Oh, patutlah Zana katakan Putera Arab versi Melayu. “Kenapa dia tak nak jumpa dengan aku?”Kenapa hanya Zana seorang sahaja yang dipanggil untuk berjumpa dengan Tuan Syed Zikri? Sedangkan, dia mahu sangat berjumpa dengan lelaki itu.

“Tuan Syed-lah! Dia dah jadi bos kau. Jadi, kau tak boleh panggil dia sekadar ‘Syed Zikri’!” tegur Zana.

“Ada aku kisah? Aku hanya akan panggil ‘Tuan Syed’ bila dia mahu berjumpa dengan aku!” tegas Audra.

Dengan perasaan marah yang mula bermukim di hatinya, Audra menamatkan perbualan mereka. Lalu, dia menyambung semula tugasannya untuk menyenarai sedikit maklumat berkenaan Warisan Syed untuk pengetahuannya. Walaupun matanya fokus pada fail di hadapannya, namun hatinya terasa sebal. Semakin membara marahnya pada Pengarah Warisan Syed itu.

Melihatkan Audra yang sudah terdiam dan menyambung semula kerjanya, Zana juga memusing tubuhnya dan menyambung semula tugasnya. Dia tahu Audra sedang marah. Kalau dia berada di tempat Audra, dia juga akan marah kerana dipulaukan begitu. Mungkin sekarang ni Audra merasakan yang dirinya telah dipinggirkan.

Tapi, tak mengapa. Apa yang dilakukan Tuan Syed Zikri ada sebabnya. Sebab yang pasti akan berakhir dengan kebahagiaan buat Audra. Zana tersenyum lebar. Akhirnya, dia dapat juga melihat Putera Arab yang menemui Audra di tepi tasik setahun yang lalu.

Dalam kesenyapan Audra melakukan tugasnya, sesekali dia mengerling Zana. Keningnya berkerut apabila melihat senyuman Zana masih terus melekat di wajah itu. Pelik benar sikap Zana. Sejak keluar dari pejabat Tuan Syed Zikri, senyuman itu terus melekat diwajahnya. Dia pernah melihat senyuman sebegitu menguntum di bibir Zana ketika Zaid melamarnya untuk menjadi kekasih hati. Tapi senyuman yang terukir sekarang, untuk apa? Takkan Zana jatuh cinta dengan Tuan Syed Zikri pulak.

“Kau ni kenapa? Dah buang tebiat?” tegur Audra sambil menyiku Zana yang sudah tenggelam di dunianya sendiri.

Zana memandang Audra. “Kenapa?” Dia menjeling. Bibirnya yang menguntum senyuman terus diketatkan. Bukan dia tidak tahu maksud pertanyaan Audra, sengaja dia bertanya kembali.

“Sejak kau balik dari jumpa dengan Syed Zikri, asyik tersegih-sengih!” ujar Audra. “Ni mesti ada apa-apa ni!”

Zana terkedu seketika. “Hmmm.” Jari jemarinya sudah mula mengetuk-ngetuk atas meja hingga mengeluarkan bunyi. Terasa malulah pula bila Audra perasan akan senyuman di bibirnya. Dalam masa yang sama otaknya mula ligat menyusun ayat untuk menyampaikan pesanan yang diterimanya dari Tuan Syed Zikri.

“Apahal kau ni?” Faham benar dia sikap Zana. Kalau begitu reaksinya, pasti dia sedang mengolah alasan. “Cuba cakap terus terang. Ada apahal kau dengan Syed Zikri ni?!” Lagak bagaikan ibu tiri, Audra terus bersuara keras. “Apa yang dia nak dengan kau?”

Zana menutup fail di tangannya. Dia menongkat dagu dan melirik pada Audra seketika. “Audra, kau janganlah marah sebab Tuan Syed tak panggil kau jumpa dengan dia,” pujuk Zana. Takut juga dia kemarahan Audra pada Putera Arab itu semakin menggunung. “Dia cuma nak tanya aku, sama ada kau masih marahkan dia atau tidak.”

Audra memandang Zana. Langsung tak boleh nak percaya. “Kau jangan nak buat cerita. Takkanlah dia jumpa kau sebab nak tanya tentang aku!” Alasan Zana ni memang di luar paras kewarasan.

“Betullah!” Wajah Zana bertukar serius. “Tak de sebab aku nak tipu kau. Memang dia panggil aku sebab nak tanya tentang kau. Dia pesan, supaya kau lupakan terus hal kot hitam tu.”

“Kot hitam tu, hal aku dengan dia. Kenapa dia perlu jumpa dengan kau dan bukan dengan aku?” Bagaimana persis sikap Tuan Syed Zikri ini? Kenapa tidak bertentang mata sahaja untuk menyelesaikan hal ini? Kenapa lelaki itu perlu berjumpa dengan Zana dan bukan dengan dia? 

Zana terdiam seketika. Alasan apa yang perlu diberikan kepada Audra. “Mungkin sebab dia tak nak kau marahkan dia lagi tak.”

“Uh?”

“Kan hari tu sebab marahkan Emily kau babitkan dia sekali. Mungkin, Emily dah beritahu dia tentang hal tu. Jadi, untuk elakkan masalah berlanjutan dengan kau, jadi dia ambil jalan pintas agar aku jadi orang tengah antara kau dengan dia.”

“Hah?!” Kepala Audra sudah tergeleng-geleng. Nampak jelas yang dia tidak berpuas hati dengan alasan Zana. “Aku sikit pun tak ambil hati kalau dia tak nak jumpa dengan aku sebab aku sendiri pun tak sudi nak jumpa dengan dia!” Audra menggeleng. Itu kata-kata yang lahir dari mulutnya. Tapi jauh di sudut hati, dia mahu menamatkan perang dingin antara dia dengan Tuan Syed Zikri. Biar mata bertentang mata tanpa orang tengah!

Bila difikirkan, tak ada masalah yang berat timbul antara mereka. Cuma, masalah itu menjadi berat bila masing-masing tak dapat berbual dengan cara yang lebih baik. Tuan Syed Zikri menyampaikan pesan dari Che Enon, sekarang ni dari Zana pula. Dia pula, balas semua kemarahannya yang wujud pada Che Enon, dan tempoh hari kepada Emily pula dan sekarang kepada Zana.

“Kenapa dia tak tanya aku sendiri? Takut?” Audra menggeleng. “Tak profesionallah Syed Zikri ni!” Kan lebih baik jika mereka dapat bertentang mata dan menamatkan apa saja perasaan yang kurang senang dalam hati. Hati pun akan terasa tenang.

Zana menarik nafas panjang lalu mengherotkan bibirnya. “Tak baiklah kau ni! Sebab dia profesionallah dia panggil aku dulu. Kalau dia terus jumpa kau, manalah tahu kau naik angin pulak.”

Audra mencekak pinggang. “Apa benda yang kau merepek ni? Takkanlah aku nak buat macam tu! Dia tu, pengarah Warisan Syed! Aku ni, pekerja dia!” Tak masuk akal betul omongan Zana. Dia yang ibarat semut kecil boleh naik angin dengan Tuan Syed Zikri? Memanglah dia sakit hati dengan Tuan Syed Zikri, tapi dia perlu hormatkan majikannya sendiri.

Whatever-lah!!” Zana mengambil jalan selamat. Dia sendiri pun merasakan apa yang dikatakannya itu tak masuk akal. Tapi, takkanlah dia nak berterus terang dengan Audra yang Tuan Syed Zikri memanggilnya kerana meminta bantuannnya untuk mengenali Audra. “By the way, Tuan Syed pesan, mulai dari saat ini lupakan kisah kot hitam tu. Dia sendiri pun dah lupakan hal tu, jadi kau jangan nak ungkit-ungkit lagi!” Zana memberi amaran.

“Amboi-amboi! Baru jumpa Tuan Syed, terus dah jadi assistant dia nampak!” sindir Audra. Cepat betul Tuan Syed jerat hati Zana! Satu lagi perasaan kurang enak muncul buat insan yang bernama Tuan Syed Zikri.

“Tak adalah macam tu. Cuma, Tuan syed tu baik orangnya. Cakapnya pun lemah lembut dan menghormati orang lain.” Itu pandangan pertamanya buat Tuan Syed Zikri.

Audra menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. “Sebenarnya Zana, aku berharap sangat dapat berjumpa dengan Syed Zikri. Kalau boleh, aku nak minta maaf dengan dia sebab dah rosakkan kot hitam dia. Lagipun, aku nak hilangkan semua prasangka yang tak baik antara aku dengan dia. Barulah tenang hati aku setiap kali datang kerja.” Nada suara Audra sudah menurun.

Zana mengukirkan senyuman. Bahu Audra dipeluknya. “Percayalah, Tuan Syed tu baik orangnya. Cuma, mungkin masanya belum sampai untuk kau jumpa dengan dia. Tapi, dia pesan pada aku yang dia pun nak minta maaf kalau ada sakitkan hati kau dan dia ucapkan terima kasih sebab kau dah bantu Che Enon siapkan Rumah Warisan. Dia mahu kau lupakan apa saja yang terjadi antara kau dengan dia.” Zana diam seketika. “Satu hari nanti, kau akan jumpa juga dengan dia.”

“Masalahnya, selagi aku tak selesaikan masalah aku dengan Syed Zikri, hati aku takkan tenang! Mungkin bagi dia, masalah ini cuma masalah kecil je. Tapi tak bagi aku. Kot hitam Syed Zikri mahal harganya. Orang biasa macam kita, takkan anggap perkara yang melibatkan barang yang mahal sebagai satu perkara remeh.”

Zana terdiam. Audra betul! Orang kaya seperti Tuan Syed Zikri mungkin menganggapnya ia perkara kecil. Tapi, bukan orang kampung seperti mereka.

“Tapi, waktu aku berjumpa dengan Tuan Syed tadi, aku rasa itu kali pertama dan kali terakhir aku akan berjumpa dengan dia. Kau pula, kau takkan berpeluang untuk berjumpa dengan Tuan Syed.”

“Maksud kau?”

“Tuan Syed tak pernah peruntukkan waktunya untuk para pekerja. Setiap urusan akan diambil alih oleh Encik Zack.”

“Encik Zack?” Wajah Audra berubah. “Lelaki yang kita jumpa di Rumah Warisan tu?”

Zana mengangguk.

Satu keluhan Audra. “Kalau boleh, aku tak nak jumpa dengan dia lagi. Lelaki tu, memang menyakitkan hati!”

Zana tersenyum. “Jangan lebih-lebih sangat sakit hatinya tu. Karang, sakit hati tu bertukar jadi sakit rindu pulak,” usiknya.

“Apa benda kau ni?” Audra tidak senang dengan usikan Zana.

Audra hanya membisu. Dia kurang mengerti kenapa Tuan Syed Zikri tak mahu berjumpa dengannya. Kalau benar Tuan Syed Zikri baik orangnya dan tidak menyimpan rasa marah padanya, kenapa Tuan Syed Zikri tak mahu berjumpa dengannya? Suatu hari nanti, dia akan bertemu juga dengan lelaki itu walaupun tanpa kerelaannya!


_________________________________________

Persahabatan.....sukar untuk mencari sahabat seperti Zana, kan? Jika ada satu, jangan lepaskan....Enjoy reading ya.....Salam Jumaat

------------@@-----------

2 comments: