Qushry menutup helaian terakhir dan meletakkan novel itu di atas meja. Dia bersandar di kerusi. Akhirnya, novel ini berjaya dihabiskan dalam masa satu hari.
“Engkau ni tak habis-habis dengan novel,” tempik Alif.
Qushry hanya tersenyum lalu mengacau sirap limaunya dengan straw lalu menghirup perlahan.
“Selalunya, kerja membaca novel ni kerja orang perempuan. Apahal pulak kau ambil ‘port’?” sambung Alif.
“Itulah engkau tak tahu!” Wajah Alif sudah dipandangnya. “Novel ni bukan sekadar hiburan. Inilah caranya untuk aku tahu apa yang dimahukan oleh seorang perempuan. Bagaimana lelaki yang mereka mahukan, apa yang tersirat di dalam hati mereka. Yang penting, kebanyakkannya menceritakan ketabahan hati seorang perempuan yang melalui liku-liku kehidupannya.”
“Tapi, novel ni semua mengarut. Semuanya angan-angan!” Alif tergeleng.
“Angan-angan oleh seorang penulis wanita. Itu yang aku dapat bila aku baca. Dengan cara itulah aku cuba fahami apa yang diinginkan oleh seorang wanita,” Qushry masih berdiri di atas pendapatnya.
“Suka hati kaulah. Kalau macam tu cara kau nak selami hati seorang wanita, terpulanglah.” Aliff menjongketkan bahunya. Setiap kali bercakap tentang minat Qushry itu, pasti ada saja alasannya.
Sekilas kemudian, mata Qushry membulat. Terpandang olehnya susuk tubuh seorang wanita yang hanya berblous tanpa lengan dan berskrirt pendek sehingga menampakkan pahanya yang gebu itu.
“Mak aii!! Seksinya.” Tidak berkelip matanya memandang wanita seksi yang sedang melintas jalan itu. “Ini nasib baik kita berada di kedai makan. Kalau aku tengah melintas jalan, nampak awek seksi macam ni, mahu berlanggar tiang aku!”
“Kalau belanggar tiang tak apa lagi, bro. Kalau berlanggar dengan lori lapan tayar, mahu arwah jawabnya. Dah tak sempat nak bertaubat,” sindir Alif.
“Aik, satu macam punya ayat nampak!” Qushry menjeling Alif.
“Makan cili kah?” Alif ketawa. “Tapi bro, kau kena ingat, kita ni makin tua. Bukan makin muda. Lagipun, zaman sekarang ni kalau ajal dah sampai, tak kira tua atau muda. Entah esok lusa pun boleh jadi.”
“Kau ni mendoakan aku mati ke?” tempik Qushry.
“Astaghfirullah....” Alif menggelengkan kepalanya. “Aku tak mendoakan macam tu. Aku cuma mengingatkan je. ”
“Eh, bro. Sejak kau kahwin ni, kau dah mula nak jadi ustaz ya. Mentang-mentanglah kau kahwin dengan ustazah, bapa mentua pun ustaz, nak berlagak jadi ustaz pulak.”
“Ya Allah,” tergeleng kepala Alif dengan perasaan yang sedikit kecewa. “Aku bukan ustaz. Hanya ustaz sajakah yang layak menegur kau? Kau kawan aku. Dan sebagai orang Islam, kita diseru saling ingat-mengingatkan, bro."
Qushry ketawa besar mendengar kata-kata Alif. “Kau ingatlah sikit bro, kau dulu pun sama je dengan aku. Kau ingat, aku tak tahu tentang agama?” Qurshy mendengus kasar. “Bro, aku ada degree. Kau apa ada? Belajar pun setakat SPM ada hati nak tegur orang.”
“Aku sedar kau tu lebih bijak, lebih pandai dari aku.” Alif tertunduk apabila sahabatnya sendiri sanggup merendah-rendahkan dirinya.
“Haaa... tahu pun kau! Walaupun aku aku bukan dalam jurusan agama, jangan ingat aku tak tahu tentang agama!” tegas Qurshy lagi.
Nasihat Alif mati di situ. Ya, dia sedar, dia tidak berpelajaran tinggi. Dia tak ada degree, jauh sekali pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar yang sering di impikan. Apakah dengan berbekalkan pengetahuan yang sedikit itu, dia tidak layak menasihati sahabatnya?
Alhamdulillah, Allah mengurniakannya orang tua dan keluarga yang sentiasa menitik beratkan soal agama. Alhamdulillah, Allah juga menjodohkannya dengan wanita yang berpendidikan agama.
---------------@@--------------
Alif membelek sebuah dari lima Novel Melayu di tangannya. Novel itu diberikan oleh isterinya. Mulanya, dia menyangkakan semua Novel Melayu itu hanya membuai perasaan. Namun, dia salah. Tak semua Novel Melayu itu begitu. Dalam penceritaan, masih juga terselit pengajaran yang boleh di ambil iktibar.
Isterinya Zaidah juga berkata demikian. Tak semua Novel Melayu itu melalaikan. Yang baik, jadikan pengajaran. Yang buruk, jadikan sempadan. Yang penting, pembaca kena bijak memilik bahan bacaan mereka.
Alif mengangkat lima buah Novel Melayu milik isterinya itu lalu berjalan menuju ke meja Qushry. Walaupun, Qurshy memiliki pendidikan yang tinggi, namun permainan duniawi tak selamanya mengikuti kecerdikan. Rezeki Qurshy hanya sebagai seorang kerani sepertinya di kota besar ini.
"Bro, kau nak pinjaman novel tak?"
"Novel? Kau biar betul bro!" Terbeliak biji mata Qurshy melihat novel yang diletakkan Alif di atas mejanya.
"Tapi, dua dari novelis ni lelaki. Yang lagi tiga perempuan." Sengaja dia memberitahu tentang itu kerana dia tahu yang Qurshy lebih gemar membaca hasil penulisan seorang wanita. Kononnya, untuk menyelami isi hati wanita.
"Tak pe, bro. Sesekali ubah angin. layan jugak ni!" Ceria sekali Qurshy melihat novel-novel itu. Niat di hati, mahu mencari novel baru. Namun, hujung-hujung bulan macam ni poket pun dah semakin kering.
"Rezeki aku ni, bro! Memang aku dah tak de novel nak baca. Mana kau dapat novel ni?"
"Isteri aku punya."
"Thanks, bro!" Qurshy sudah mencapai novel pertamanya dan sekaligus membiarkan sahaja kehadiran Alif di situ.
Tergeleng-geleng kepala Alif. Lalu dia meninggalkan Qurshy yang sudah hilang di dalam dunianya.
-----------,---@@@---
Petang Ahad begini, jika tidak menghabiskan masa dengan teman-teman, biasanya Qushry lebih senang berada di rumah sambil membaca novel.
Novel pertama yang dipinjam dari Alif masih tinggal separuh bacaan. Memang agak lambat untuknya menghabiskan buku ini. Namun, dia sangat pantang untuk tidak menghabiskan setiap bacaan walaupun buku itu mengecewakannya.
Ketika dia beristirehat di depan rumah, kedengaran deruan enjin kereta dari jiran sebelah. Kemudian, keluarlah seorang wanita yang bertudung litup namun kelihatan bergaya dengan jeans hitam yang sedikit sendat. Dan dikenakan pula dengan blous peplum berlatar belakangkan warna putih dan berbunga hitam.
Jiran sebelah rumahnya ini memang jarang dilihatnya. Sesekali baru mereka akan terserempak. Itupun tanpa sebarang teguran atau sapaan. Bukan dia tak nak tegur, namun mereka yang tidak pernah memberi perhatian kepadanya. Barangkali kerana mereka hanya tinggal dua beradik dan masih belum berkahwin.
Mengikut cerita jiran-jiran yang lain, mereka berdua dah tinggal di kawasan perumahan itu hampir lima tahun. Kedua-kedua orang tua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun dia sudah tinggal selama dua tahun di sini, namun dia sendiri tidak pernah mengenali mereka dengan lebih dekat.
Qushry terus memerhatikan mereka. Setelah si gadis yang berjeans hitam itu membuka pintu pagar, seorang lagi yang masih berada di dalam kereta, memandu kereta itu masuk ke dalam pagar. Kemudian, gadis berjeans hitam itu kembali menutup pintu pagar.
Gadis yang memandu, melangkah keluar dari dalam kereta setelah memakirkan kereta. Terlihatlah seraut wajah yang ayu dan lembut bersama gaya ala-ala gadis kampung yang hanya memakai tudung dan baju kurung.
Si gadis kampung yang menyedari dirinya diperhatikan, membalas pandangan mata Qushry.
Qurshy mengukirkan senyuman lalu menganggukkan kepala tanda sapaan. Si gadis kampung itu membalas dengan anggukkan juga.
"Cun juga walaupun bertudung," ujar Qushry perlahan.
Si gadis peplum yang kemudiannya menyedari kehadiran jiran mereka itu, turut memandangnya dan mengangguk kepada Qushry. Kemudian, mereka berdua hilang ke dalam.
Qushry kembali memandang novel di tangan sambil tersenyum. Selama ini dia tidak pernah melihat mereka berdua dengan teliti. Rupanya, jiran sebelah rumahnya cantik juga paras rupanya.
Sedang dia tersenyum sendirian mengenangkan jiran sebelah rumah, melintas di hadapannya seorang wanita berbangsa Cina yang hanya memakai seluar pendek yang hampir menampakkan punggungnya dan bersinglet sendat.
"Mak aiii....sui (cantik) loh amoi ni! Seksi!" Tidak berkedip mata Qushry memandangnya sehingga susuk tubuh si amoi itu hilang dari pandangan.
Qushry memandang rumah jiran sebelah. Dua beradik jiran sebelah ini memang cantik. Namun tidak seksi. Kalau nak pandang, sekali dua pasti tertoleh. Tapi, kalau jumpa perempuan seksi, Fuhhh! Kalau dah tertoleh, tak boleh nak pandang tempat lain!
"Agaknya, inilah perbezaan antara perempuan cantik dan perempuan seksi." Qushry ketawa sendiri dengan kesimpulannya.
------------@@------
"Bro, aku nak pulangkan buku ni," Qushry menyerahkan dua buah buku yang telah dibacanya kepada Alif.
"Dah habis, bro?" Tanya Alif sambil membelek kedua-dua novel itu. Nampaknya, Qushry memilih untuk menghabiskan novel penulis lelaki dahulu. "So, macam mana?"
"Okey lah, bro. Buku yang pertama aku baca tu, aku habiskan juga. Cerita thriller. Not bad. Tapi tak ada watak perempuan. Kalau penulis selitkan watak perempuan macam Tomb Riders ka, Charlie Angels ka, lebih menarik rasanya."
"Kau tu tak habis-habis dengan perempuan. Kau ni patutnya kahwin je. Barulah otak kau tu tak asyik ingat pasal perempuan je. Jiwa pun tenang sebab dah ada isteri,” ujar Alif.
“Memanglah aku nak kahwin, bro. Tapi tak ada calon.”
“Niat kau tak betul, bro. Kau kawan dengan Ita, tapi bila kau nampak Iva yang cun, kau layan jugak. Romeo-lah kau ni. Sekarang ni, Ita ke mana, Iva ke mana.”
“Kita kena pilih, bro. Kalau boleh aku nak kahwin sekali je. Kenalah cari yang terbaik. Aku bukanlah nak yang cantik sangat, biasa-biasa pun okeylah.”
“Tapi kau memang romeo, bro. Dalam tak nak yang cantik sangat tu, kau tetap kawan dengan ramai awek cun. Kalau tak cun kau tak layan,” bidas Alif.
“Aku kawan je. Dia orang tu yang cepat tangkap cintan dengan aku,” balas Qushry dengan bangga.
“Hmm....entahlah, bro. Suka hati kaulah.” Alif mengalah. Kalau bercakap dengan Qushry memang ada saja jawapannya.
Memang benar, wajah tampan Qushry ditambahkan lagi dengan sifatnya yang bijak berkata-kata manis, sangat cepat menarik minat wanita terhadapnya. Kerana kedua-dua anugerah itulah yang membuatkan Qushry sangat memilih walaupun dia menafikannya. Dan kerana itu, ramailah para awek itu yang patah hati dek kerana sikap Qushry yang melayan mereka lebih dari seorang kawan tetapi di akhirnya hanya mengatakan mereka hanya berkawan.
“Macam mana pulak dengan novel ke-2?” Malas mahu meneruskan topic itu, Alif mengalihkan tajuk perbualan mereka.
“Novel ke dua ni, aku banyak langkau muka surat. Masuk part yang tak best, aku main selak je.”
“Eh, kenapa pulak?” tanya Alif. Sebenarnya, dia mengharapkan sesuatu yang positif dari novel kedua itu. Novel kedua itu memang sarat dengan ilmu agama disamping jalan ceritanya yang banyak pengajaran.
“Novel ni boring! Dah macam aku baca kitab hadis. Lagipun, jalan ceritanya berat sangat,” komen Qushry.
“Tapi novel ni, banyak ilmu agama.”
“Itulah. Sebab tu aku rasa macam aku baca kitab. Kalau aku nak baca kitab hadis, lebih baik aku beli terus je kitab hadis,” balas Qushry. “Bro, kita kat ofis ni dah banyak masalah. Asal masuk ofis je, tertekan. So, aku nak cari hiburan melalui novel. Aku mahukan novel yang lebih ringan dan santai yang tak mengganggu emosi aku.”
“Emosi? Kau bercakap dah serupa perempuan je.”
“Apa kau ni, bro? Kau ingat perempuan je yang ada emosi. Habis, kau ni apa? Robot?” balas Qushry.
Tersentak Alif. Betul juga kata Qushry. Namun, emosi Qushry ni melampau-lampau sebagai seorang lelaki!
“Tapi bro, hidup kita di dunia ni bukan nak berseronok, nak bersantai bagai. Kita dihidupkan didunia ni, untuk berjuang demi agama Allah. Di dunia inilah yang akan menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.”
“Maksud kau jihad ke? Kat Malaysia ni dah aman. Mana ada perang,” Qushry menggeleng.
“Bukan jihad perang yang aku maksudkan. Jihad dengan nafsu dan keinginan sendiri. Bukanlah tak boleh berhibur. Tapi, kalau nak berhibur pun jangan sampai melalaikan.”
“Bro, aku malaslah nak cakap bab-bab agama. Kau dengan penulis buku ni pun sama juga.” Qushry dah mula kelihatan bengang. “Korang bercakap macam orang lain tak tahu agama. Habis, korang ni pandai sangatlah tentang agama? Kadang-kadang orang macam aku ni lebih tahu tentang agama dari korang.”
“Bro, aku tak pernah cakap kau macam tu bro. Aku tahu kau pandai dalam agama, kau tahu halal haram dalam agama. Cuma, aku nak mengingatkan sahaja. Kita sebagai manusia ni, Iman di dada ada turun naiknya. Adakalanya pula, kita terlupa. Jadi, kita sama-sama kena saling mengingatkan.”
“Bro, cukup-cukuplah nak nasihatkan aku. Kalau aku balik kampong pun, mak aku asyik berleter benda yang sama. Aku fed-up lah! Bukannya aku tak sembahyang. Sehari lima kali aku sembahyang tahu!” Qushry terus bangun dari dan pergi dari situ.
Alif tergeleng. Kata Zainah benar. Qushry mungkin tak minat cerita yang berat begini. Mungin dengan membaca novel yang lebih santai dan ringan, dalam masa yang sama diselitkan sedikit unsur nasihat mungkin boleh menarik hatinya untuk menerima corak pengajaran yang disampaikan.
--------------@@----------
Qushry melirik si gadis kampong yang sedang menyidai pakaian. Selama ini dia tidak pernah melihat jiran sebelahnya ini menyidai pakaian waktu begini.
“Assalamualaikum,” Qushry memberanikan diri menyapa si gadis kampung.
Menyedari kehadiran Qushry di situ gadis itu melemparkan senyuman.
“Eh, sombongnya. Tak jawab langsung salam aku. Eh, tapi dia senyum?” tanya Qushry sendiri dengan perlahan.
“Waalaikumsalam.” Kedengaran suara gadis itu.
“Tak kerja hari ni?” tersenyum Qushry apabila salamnya bersambut.
“Saya kerja di rumah saja,” balasnya sambil memandang bibir Qushry yang bergerak-gerak.
“Kerja di rumah? Tapi, tak pernah nampak pun.”
Gadis kampung itu hanya tersenyum.
“Ada. Cuma jarang keluar. Ini pun baru saja keluar untuk sidai baju. Biasanya saya sidai waktu pagi, bila ramai jiran kita dah keluar bekerja.”
“Oh....” Membulat bibir Qushry. “Mana lagi seorang?” Dia mencari-cari kelibat gadis peplum.
“Adik saya? Dia bekerja.” Gadis itu masih memerhatikan gerak bibir Qushry. Hanya sesekali saja dia akan membalas pandangan dengan Qushry.
“Oh ye ke. Tak apalah, saya masuk dalam dulu. Nak mandi, busuk dah badan ni. Maklumlah, orang baru balik kerja.”
Gadis kampung itu mengangguk.
Ketika menoleh senyuman di bibir Qushry mati. Dahinya pula berkerut.
“Apahal perempuan ni asyik pandang bibir aku? Dia teringin nak cium bibir aku agaknya! Kalau dia nak, aku tak tolak! Bila lagi nak dapat rasa bibir perempuan yang konon-konon bertudung ala kampung camgini (macam begini)” Qushry ketawa kecil dan terus menghilangkan diri di dalam.
---------------------@@---------------
Qushry meletakkan novel ketiga di atas mejanya.
“Okey, novel ni dah habis baca. Not bad, bolehlah walaupun agak klise. Sikit-sikit cerita perempuan cantik. Asal heroin je, kena perempuan cantik. Dah tu, hero pada mulanya jahat. Kononnya,bila bertemu dengan heroin, si heroin mula mengubah sifat jahat dalam diri hero dan kemudian, jadilah si hero yang baik.” Qushry membuat kritikannya sendiri.
Qushry mencapai novel ke-empat. “Hmm....tajuk macam menarik. Harap-harap novel ni tak mengecewakan.”
-----------------------@@----------------
“Novel ke berapa ni, bro?” tanya Alif. Walaupun macam–macam pertengkaran yang terjadi di antara mereka, namun Alif tak mahu persahabatan mereka bertukar menjadi permusuhan.
Lagipun, Zainah selalu berpesan padanya, saudara muslim tidak boleh tidak bertegur sapa selama tiga hari. Kalau saudaranya ternggelam dalam pentas dunia, maka saudara seagamanya tidak boleh membuang atau memutuskan tali persaudaraan itu. Melainkan, capai semula tangannya dan ikat semula ikatan yang terputus atau hampir terputus.
Api kebencian itu datang dari syaitan. Jika, kita bermusuhan sesama saudara Islam kita, syaitan telah mencapai kemenangan.
“Bro!” Qushry mengangkat tangan menegur Alif yang baru tiba di mejanya. “Pak ustaz datang tegur tak bagi salam pulak,” sindir Qushry.
“Aku lupa, Assalamualaikum,” sapa Alif.
“Waalaikumsalam,” Jawab Qushry sambil tersenyum menyindir.
“Beginilah persaudaraan dalam Islam. Bila terlupa, kita saling mengingatkan,” senyum Alif.
“Iyelah tu, pak ustaz.”
“Aku bukan ustaz Qushry. Aku Cuma sahabat kau yang suka menegur sikap kau.”
“Samalah macam ustaz. Ustaz kan suka menegur sikap orang. Ceramah sana, ceramah sini, tapi diri sendiri pun tak pernah cermin,” balas Qushry.
Alif hanya menghembuskan nafas kecewa.
“Ini novel ke berapa?” tanya Alif.
“Ke empat.”
“Okey?”
“Novel ketiga yang aku baca, okeylah juga. Yang ini pun okey. Tapi aku rasa, penulis sekarang dah kekurangan idea.”
“Maksud kau?”
“Balik-balik cerita lelaki kaya yang jahat, suka ke disko, kaki perempuan. Lepas tu, jumpa perempuan miskin yang solehah. Bertudung ala perempuan kampung gitu. Asyik-asyik perempuan bertudung yang hanya mempamerkan kecantikan untuk suami,” rungut Qushry. “Cubalah lari dari tema yang sama!" Qushry ternyata tidak berpuas hati.
“Entahlah Qushry. Tapi, seingat aku kau pernah kata yang engkau baca novel ni untuk menyelami hati seorang wanita. Apa yang diinginkan oleh wanita. Jadi, kenapa kau nak sesuatu yang lain dan mengikut citarasa kau? Kalau macam tu, cerita itu akan lahir seperti apa yang kau nak. Bukan seperti apa yang sepatutnya kau nak tahu tentang perasaan dan kemahuan yang ada dalam hati seorang wanita,” balas Alif.
“Mungkin penulis-penulis itu punya maksud yang tersembunyi. Misalnya, jika pembaca itu adalah perempuan, maka dengan cara penulisan begitu dia mengajak agar para pembaca perempuan itu untuk menutup aurat. Dan jika pembaca itu lelaki, tujuannya adalah supaya lelaki itu memilih wanita berdasarkan agama Allah. Dan jika Allah mentakdirkan wanita baik berkahwin dengan lelaki yang kurang baik, maka wanita baik itu perlu tabah dalam mengajak suaminya ke arah kebenaran,” simpul Alif.
“Memanglah. Tapi asyik-asyik lelaki kaya yang tampan. Perempuan yang cantik dan solehah. Dah tu, adakalanya perempuan bertudung tu bila tanggal saja tudung, kecantikannya melebihi kecantikan seorang model. Tak masuk akal!”
“Apa yang tak masuk akal? Kau ingat semua model tu cantik sangat ke? Entah dah menempek berapa inci bedak kat muka pun kau tak tahu. Pandai-pandai je kau ni.”
“Bro, kau ni baca novel pun tidak, macam mana kau tahu?” Qushry kelihatan bengang.
“Aku memang tak baca novel. Tapi, Zainah suka sangat baca novel yang mengandungi unsur nasihat. Kadang-kadang aku ada tanya juga pada dia tentang novel. Sebab tulah aku tahu.”
“Taste novel yang isteri kau pilih memang jauh dari taste aku. Tapi apalah, sebab kau dah berbaik hati nak pinjamkan aku novel-novel ni, aku akan baca sampai habis.”
“Aku rasa, kau patut tanya pada orang perempuan sendiri tentang apa yang kau kelirukan dalam novel. Mungkin itu akan lebih jelas,” cadang Alif.
------------------------@@----------------
Qushry melihat si gadis kampung yang baru pulang sedang membuka pintu pagar rumah mereka.
“Hai, baru balik?” tegur Qushry.
Si gadis kampung langsung tidak memandangnya. Namun kemudian, ketika dia berpaling setelah mengunci semula pintu pagar luar, barulah dia tersedar kehadiran Qushry yang sedang memandang ke arahnya. Gadis kampung itu mengukirkan senyuman.
“Baru balik?” tanya Qushry sekali lagi.
Gadis kampung itu mengangguk.
“Dari mana?”
“Dari kedai,” balas gadis kampung. Seperti biasa, dia pasti memerhatikan bibir Qushry setiap kali lelaki itu berbicara.
“Akak, Lin pergi dulu ya.” Tiba-tiba gadis peplum keluar ke halaman. Kelihatannya, gadis peplum itu sudah bersiap untuk keluar. Kali ini juga, si gadis peplum itu masih lagi mengenakan peplum di tubuhnya.
“Hati-hati ya,” balas si gadis kampung.
“Awak dengan adik awak berbeza ya,” ujar Qushry.
“Maksud awak?”
“Kamu berdua bertudung, tapi dia lebih moden. Tapi, awak pun cantik juga. Cuma mungkin awak selesa berbaju kurung barangkali.” Di dalam hati Qushry sudah memarahi dirinya sendiri kerana terlanjur berkata-kata.
“Tak ada dua manusia yang sama di dunia ini,” balas Si gadis kampung. Tiba-tiba matanya terlihat sebuah buku di tangan Qushry. “Awak baca buku apa?”
“Oh, novel!” Qushry mengangkat novel itu dan menunjuk bahagian depannya.
Si gadis kampung itu seakan terkejut melihat novel itu.
“Saya tak pernah tahu ada lelaki yang suka membaca novel.” Gadis kampung itu tersenyum ceria.
“Ada. Tapi tak ramai. Anggap sajalah saya lelaki pilihan yang terpilih untuk membaca novel.” Qushry ketawa.
Si gadis kampung hanya tersenyum.
“Awak suka baca novel?” Tanya Qushry kembali.
Si gadis kampung mengangguk.
“Kalau macam tu, boleh saya bertukar-tukar pendapat dengan awak?” tanya Qushry.
“Boleh!”
“Awak sedar tak yang penulis novel sekarang ni penulisannya hampir sama?"
“Misalnya?” tanya si gadis kampung.
“Perempuan haruslah cantik. Hero mestilah tampan.”
“Cantik itu sesuatu yang sukar dijelaskan. Adakalanya seseorang itu nampak cantik di mata awak, tapi tidak untuk saya. Kalau saya adalah penulis saya juga akan menulis watak hero dan heroinnya juga cantik dan tampan.”
“Kenapa?”
“Bila dikatakan watak hero dan heoin, maka mereka berdua adalah cerita utama. Tapi kenapa cantik dan tampan? Sebabnya, hero dijodohkan dengan heroin. Bagi hero, heroin adalah wanita cantik padanya. Dan bagi heroin pula, apabila si hero adalah miliknya, maka si hero akan nampak tampan di matanya walaupun tidak.”
“Beginilah encik. Misalnya, saya tidak cantik, tapi mana tahu ada orang yang suka melihat saya kerana senyuman saya. Ini contoh saja ya.” Si gadis tak mahu jika Qushry menganggap yang dia sedang mengangkat bakul sendiri. “Dek kerana suka melihat saya tersenyum walaupun saya tidak cantik, maka dia tetap akan melihat yang saya ini cantik.”
“Okey, pendapat yang boleh diterima. Tapi, lebih baik tak payah tulis cantik kalau yang melihatnya si heroin itu cantik hanyalah heronya. Begitulah juga sebaliknya.,” getus Qushry.
“Apa salahnya jika si penulis mahu memuji keindahan ciptaan Allah. Walaupun hanya menulis lelaki itu tampan dan wanita itu cantik, bukankah sama seolah-olah kita memuji ciptaan Allah?” balas si gadis kampung.
Qushry menjongketkan keningnya. Nampaknya dia tersilap memilih orang untuk bertukar-tukar pendapat. Gadis kampung ini dah macam Alif!
“Okey, yang kedua. Kenapa pula penulis suka menjadikan watak lelaki kaya?"
“Tak semua cerita begitu. Mungkin kebetulan semua novel yang encik pilih mempunyai watak lelaki kaya. Sebenarnya, masih banyak novel lain yang tak menulis begitu.”
“Okey,” kepala Qushry terangguk-angguk walaupun sebenarnya dia tidak bersetuju dengan pendapat itu. Mungkin ada kebenarannya kerana dia juga pernah membaca novel begitu.
“Soalan seterusnya?” tanya Si gadis kampung apabila Qushry diam seketika.
“Awak tahu, dalam buku ni,” dia menunjukkan novel kelima yang dipegangnya. “Ada ditulis tentang percintaan selepas kahwin. Awak percaya tentang itu?”
“Percaya!” Tegas sekali si gadis kampung menyatakannya.
“Saya langsung tak percaya. Bukan saja dalam novel ni, ada empat buah novel lain yang saya baca sebelum ni tulis perkara yang sama! Mana boleh kahwin tanpa cinta? ‘INDAHNYA PERCINTAAN SELEPAS BERNIKAH’” Qushry membaca sebaris ayat di dalam novel itu. “Saya rasa, setiap orang yang tulis macam ni pastinya tak pernah bercinta. Atau lebih tepat, tak ada orang yang nak. Jadi, untuk sedapkan hati sendiri, maka akan adalah ayat seperti ini?”
“Biasanya kita memberi pendapat berdasarkan sikap yang ada dalam diri kita. Jika encik mengatakan begitu, mungkin itu adalah sifat encik. Encik mahu bercinta sebelum berkahwin. Mungkin penulis itu tidak begitu. Dia mahukan cinta sucinya hanya dimiliki orang yang berhak " jawab si gasis kampung.
“Pendapat macam tu tak realistic untuk zaman sekarang. Paling biasa pun, kita pasti akan kenal dulu siapa orang yang kita nak kahwin,” tegas Qushry lagi.
“Bercinta sebelum nikah tidak bermakna lepas dah kahwin barulah kita lihat wajah pasangan masing-masing. Namun, encik kena ingat tak ada istilah cinta bagi pasangan yang belum kahwin dalam Islam. Dalam Islam jika encik melihat seorang wanita dan kemudian suka padanya, pergi ke rumahnya. Selidiki latar belakang keluarganya. Bukan dengan membawanya keluar dan membina janji. Kerana encik tak tahu adakah benar wanita itu yang akan menjadi milik encik.”
“Memanglah. Tapi dengan cara tu, baru kita kenal hati budi masing-masing.”
“Ini bukan soal hati budi. Bercintalah kita sepuluh tahun pun, kita tetap takkan kenal hati budi pasangan kita selagi tak berkahwin. Setiap pasangan yang bercinta sebelum berkahwin, pastinya akan menonjolkan sikap yang baik sahaja. Namun, bila berkahwin barulah kita akan tahu perangai dan sikap masing-masing.”
“Itu kata awak,” Qushry sudah mula memandang wanita itu dengan sinis.
“Ya. Pendapat kita tak sama. Bagaimana pendapat kita, begitu sikap kita. Jadi, encik tak boleh pertikaikan cara seseorang itu memberi pendapatnya kerana manusia itu tidak ada yang sama. Tapi dalam Islam, tidak boleh pasangan lelaki dan wanita itu menjalinkan hubungan tanpa ikatan. Ini, bukan saya yang kata. Tapi Allah yang kata. Hubungan yang ada bagi pasangan yang bukan mahram, adalah saudara seagama. Jadi, saudara seIslam haruslah menjaga saudaranya agar masing-masing tetap berada di bawah panji-panji Islam.”
Qushry membuat memek muka. Gadis kampung ini lebih teruk dari Alif! “Okey-okey.” Qushry mematikan persoalan itu.
“Novel itu membosankan?” tanya Si gadis kampung.
“Oh, tak! Buku ni lain sikit dari empat novel yang kawan saya pinjamkan. Jalan ceritanya lebih ringan dan lebih santai. Ada juga unsur kelakar, walaupun wataknya masih klise. Gadis bertudung, lelaki kaya, kahwin lepas nikah,” ujar Qushry sambil membelek novel itu. “Awak dah baca novel ni?”
Si gadis kampung mengangguk.
“Tapi, ada satu part dalam novel ini yang buat saya rasa kelakar. Waktu si hero berjumpa dengan bakal isterinya, dia merasakan jantungnya macam nak melonjak keluar.” Qushry ketawa.
“Encik tak pernah merasa begitu?” Soal si gadis kampung.
“Mana ada benda macam ni!” tegas Qushry.
“Tentu kehidupan encik dikelilingi oleh wanita sebab itu encik tidak merasakannya. Dalam novel itu menulis, lelaki itu adalah seorang lelaki baik yang hanya mahu mengubah nasib keluarga. Dia rela mengirbankan masa depannya demi keluarga. Suatu hari, dia melihat seorang wanita dan jantungnya bergetar seakan mahu melonjak keluar. Itulah kali pertama dia jatuh cinta.”
“Okey, tapi rasanya zaman sekarang ni lelaki dan perempuan telah banyak bercampur. Jadi, cerita macam mi tak sesuailah untuk zaman sekarang. Tapi okey lah.... Boleh tahan ceritanya," Qushry memang terhibur dengan novel kelima ini walaupun tak semua perkara dapat diterimanya.
“Encik pasti merasakannya suatu hari nanti apabila encik berjumpa dengan orang yang tepat.”
“Tak mungkin! Saya dah kenal ramai perempuan. Setakat ni, hmmm..” Qushry menjongketkan bahunya.
“Kalau macam tu, saya doakan encik akan merasakannya suatu saat nanti. Saya pasti, si penulis pernah merasakan perasaan begitu maka dia menulis begitu juga,” kata si gadis kampung.
“Awak pernah rasa?”
“Pernah!” tegas si Gadis kampung.
“Untuk kekasih awak?”
“Tak! Saya merasakan perasaan itu pada orang yang saya tak kenal dan tanpa perasaan cinta. Dalam hidup saya, saya tak bergaul dengan lelaki sebaya. Saya ada perasaan malu dan segan. Jadi, ketika pertama kali encik menegur saya, saya merasakan jantung saya seakan melonjak keluar. Tapi, bukan kerana saya jatuh cinta atau tertarik dengan encik. Semuanya terjadi kerana saya tak pernah berbual dengan lelaki yang hampir sebaya dengan saya.”
Qushry berpusing ke belakang. “Eh, perempuan ni, lagi teruk dari apa yang aku ingat. Bukan terpikat kat aku konon. Tapi, asyik pandang bibir aku macam nak gigit. Alim kucing!” ujar Qushry tanpa mengeluarkan suara namun bibirnya sahaja yang bergerak.
Tanpa dia sedari, si gadis kampung bisa melihat memek mukanya menerusi imbasan imejnya di tingkap yang berkaca.
“Encik!” panggil si gadis kampung dengan rasa kesal.Qushry memandang semula padanya. “Ada satu babak di dalam buku tu, menceritakan si heroin akan mengeluarkan sarung tangan dan memakainya lalu menampar wajah seorang lelaki yang cuba merosakkan rumahtangganya. Bila encik baca babak itu, encik tentu ketawa. Mana ada perempuan macam tu, kan? Mana ada perempuan yang terlalu menjaga sentuhannya sehingga sanggup memakai sarung tangan hanya untuk menampar pipi lelaki ajnabi. Apatah lagi di saat marah.” Ada airmata yang bergenang kerana marah dalam kelopak matanya.
“Tapi ketahuilah, ada ramai perempuan yang selalu menjaga kulitnya agar tidak bersentuhan dengan lelaki ajnabi. Namun bilangannya mungkin tak dapat mengatasi bilangan perempuan yang tidak menjaga sentuhannya. Seperti saat ini, jika saya mempunyai sarung tangan, saya akan memakainya dan menampar pipi encik sekuat hati! Malangnya, tangan saya tidak berlapik dan saya perlu menahan keinginan saya yang sedang melonjak ini!”
Si gadis kampung terus pergi dan menghilangkan diri di dalam.
Tergamam Qushry di situ.
-------------------------@@--------------
Qushry yang sudah membuka pintu kembali daun pintu sebaik sahaja terlihat kelibat si gadis kampung di halaman rumah.
“Perempuan ni lagi! Ish! Apa dia buat kat luar rumah waktu macam ni.” Qushry melihat jam ditangan. “Aku dah lambat nak pergi kerja, dia pula ada kat depan rumah!” rungut Quhsry.
Sejak peristiwa tempoh hari Qushry selalu melarikan diri apabila terserempak dengan gadis kampung itu. Tak tahulah kenapa. Namun, setiap kali dia melihat gadis kampung itu tiba-tiba sahaja jiwanya resah. Seolah-olah dia telah menyakiti hati gadis itu.
------------------------@@---------------
Qushry menutup novel kelima yang dibacanya itu. Memang benar kata si gadis kampung. Memang ada babak di mana si heroin mengeluarkan sarung tangan untuk menampar seorang lelaki jahat dalam cerita itu. Tak masuk akal!
“Huh!” Qushry mengeluh kuat lalu berjalan luar. Dia mahu berjumpa dengan Alif untuk memulangkan novel kelima ini. Jalan cerita novel ini memang menarik, cuma ada setengah dari babaknya disampaikan dengan corak yang keterlaluan.
Ketika dia membuka pintu, dia terlihat si gadis peplum terduduk di lantai dan bersandar di pagar besi yang memisahkan rumah mereka. Si gadis peplum sedang menangis teresak-esak.
“Awak ni kenapa?” Qushry mendekati gadis peplum.
Gadis peplum terus menangis teresak-esak sehingga nafasnya tersekat-sekat.
Kerana tidak puas hati melihat keadaan si gadis peplum, Qushry berlari keluar dari rumahnya dan kemudian masuk ke dalam kawasan rumah si gadis peplum.
“Awak kenapa?” tanya Qushry. “Mana kakak awak?” Qushry menjengah ke dalam. Namun, tidak kelihatan kelibat si gadis kampung. Qushry menghampiri semula si gadis peplum. Dadanya bergetar hebat.
“Kenapa awak nangis? Mana kakak awak?!” Kali ini suara Qushry agak lantang.
“Akak dah tak ada.” Suaranya bercampur baur dengan tangisan dan sedikit tersekat-sekat. Esakannya semakin kuat.
“Kakak awak ke mana?”
“Kakak dah tak ada!” Gadis peplum terus meraung, menangis teresak-esak.
Jantung Qushry bergetar laju. “Kakak awak tak ada pergi mana?!” jerit Quhsry juga. Dia seakan merasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku.
“Kakak saya dah meninggal. Dia kemalangan. Polis baru datang tadi dan beritahu saya untuk ke hospital.”
“Ya Allah!” Qushry terkejut lantas terduduk. Novel kelima di tangannya terlepas dan terbuka. Novel kelima itu terbuka di halaman akhir. Terlihat seraut wajah yang dikenali.
“Ini....” Nafas Qushry terasa sesak.
Si gadis peplum mengambil buku itu dan melihat kulit hadapan novel itu. “Ya, ini memang novel akak. Akak saya penulis novel ini.” Tersedu-sedu dia di situ. Dia langsung tak punya kekuatan untuk memandu ke hospital. Nak minta bantuan keluarga yang lain, mereka dah tak punya sesiapa. Kini, tinggallah dia sebatang kara.
Jadi, waktu itu dia berperang dengan si penulis novel itu sendiri.
“Saya bersalah pada dia. Saya masih belum minta maaf pada dia.” Kali ini nafas Qurshy benar-benar tersekat. Sangat sukar baginya untuk bernafas.
“Apa maksud awak?” tanya si gadis peplum.
“Saya bertengkar dengan dia. Saya kata bukan-bukan pada penulis novel seperti dia.” Rasa bersalah mula menghimpit perasaan Qushry.
“Macam mana awak boleh bertengkar dengan akak? Dia tak pernah berbual dengan orang luar. Tambah-tambah lelaki seperti awak.” Wajah si gadis peplum semakin keliru. “Akak saya, seorang yang merendah diri kerana kecacatannya.”
“Cacat?!” Ternganga mulut Qushry. Di mana cacat ya gadis kampung itu?
"Kakak saya tidak boleh mendengar. Dia boleh bercakap, tapi dia pekak. Tapi dia tak pandai bahasa isyarat. Kami dari keluarga yang susah. Arwah abah meninggal masa kami masih kecil. Ibu tak mampu hantar akak ke sekolah khas. Jadi, akak tak tahu bahasa isyarat. Akak pun tak pernah bersekolah. Hanya saya yang dihantar ke sekolah. Tapi Allah beri akak anugerah. Akak boleh membaca apa yang dikatakan orang melalui gerak bibir mereka sahaja. Sebab tu dia suka bersendiri dan tak bercampur dengan orang."
"Ya Allah...." Saat inilah Qushry merasakan sebutan nama Allah itu benar-benar ikhlas dari hatinya. "Apa yang aku dah buat. Patutlah dia marah pada aku!" Nafas Qushry turun naik. Qushry memegang kepalanya dengan rasa kesal. Patutlah si gadis kampung selalu melihat bibirnya!
Si gadis peplum terus menangis. Dia buntu. Dia tak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tak sanggup hadapi kenyataan yang dia kehilangan orang yang paling disayangi.
Qushry mencapai novel kelima itu lalu melihat nama penulisnya-Imani Amani.
"Imani!" Qushry menjerit nama si gadis kampung.
"Awak panggil akak dengan nama Imani?" Pertanyaan itu membuatkan esakan si gadis peplum semakin menjadi-jadi? "Saya hanya memanggil akak dengan panggilan akak. Sejak arwah abah dan ibu meninggal, dah tak ada orang yang panggil nama Imani. Akak pernah kata pada saya, dia teringin sangat mendengar ada orang menyebut namanya lagi. Tapi, saat ni awak menyebut namanya bila dia dah tak ada."
Qushry tergamam. Jiwanya semakin kacau! Apa yang aku dah buat? Apa yang aku dah buat? Hanya itu yang berlegar-legar di kepalanya.
-----------@@------
Si gadis peplum keluar dari kamar itu. Dia memandang wajah Qushry lalu mengangguk, tanda membenarkan Qushry masuk untuk melihat Imani.
Jantung Qushry berdegup pantas. Dia membuka tombol pintu dengan perlahan. Dia mendekati katil di mana sehelai selimut putih sedang menutupi jasad yang terbaring.
Semakin pantas degupan jantung Qushry. Perlahan-lahan, Qushry menarik selimut wang menutupi wajah Imani. Namun, rambut Imani masih tertutup kemas tanpa menampakkan auratnya.
Wajah Imani kelihatan tenang dalam perbaringannya. Imani dilanggar lori dan jasadnya tercampak ke dalam longkang. Imani menghembuskan nafasnya di situ juga. Namun, jasad Imani tidak tercalar walau sedikit pun. Itulah yang diberitahu oleh adiknya.
"Saya bersalah pada awak. Awak tolonglah bangun! Saya nak minta maaf! Bangunlah Imani! Maafkan saya! Maafkan saya!" Jantung Qushry terus mengepam dengan laju seakan-akan mahu melonjak keluar. Dia tak mahu Imani pergi. Dia mahu Imani bangun dari tidurnya. Dia tidak boleh terima Imani pergi tanpa mendengar kata-kata maaf darinya!
"Imani! Bangun!"
Namun, jasad Imani terus kaku di situ. Tanpa disangka, Qushry menangis teresak-esak di situ. Dia terduduk melutut di lantai. Dia memegang dadanya. "Saat ini, saya benar-benar merasakan jantung saya bagaikan melonjak keluar. Tapi, bukan seperti yang awak tulis dalam novel. Tapi disebabkan rasa bersalah saya pada awak." Qushry terus menangis. "Bagaimana saya boleh hina gadis suci seperti awak. Saya tak tahu Imani! Saya tak tahu yang awak tak boleh mendengar. Maafkan saya!"
No comments:
Post a Comment