Assalamualaikum, salam Jumaat dan salam ceria untuk anda semua..... Setelah Audra berjumpa semula dengan Putera Arabnya yang telah berjaya membuatkan jantungnya berhenti berdegup, apa pula yang akan berlaku.... Jom ikuti...........
HaPpY rEaDiNg......
------------@@-----------
AUDRA mempercapatkan
langkah kakinya. Dia sudah tidak sabar untuk sampai ke pintu rumah. Sebentar
tadi, pemandu teksi baharu sahaja memberhentikannya di lorong masuk ke kampung.
Dari situ, dia mula berlari-lari anak untuk segera sampai ke rumah.
Syukur Alhamdulillah, akhirnya Audra dibenarkan bercuti selama
seminggu untuk pulang ke kampung. Kelmarin ketika dia di ofis, dia tak sempat
bertemu dengan Zack untuk mengucapkan terima kasih kerana telah meluluskan
permohonannya kerana Zack telah pulang dan mengambil cuti kecemasan selama satu
minggu juga. Mungkin kerana lelaki itu juga mahu mengambil cuti kecemasan
selama seminggu, maka dia meluluskan cuti Audra juga. Barangkali dia tidak mahu
timbul isu berat sebelah jika dia tidak meluluskan cuti buat Audra.
Jiwa Audra semakin bergetar kencang apabila melihat rumah kayunya
sudah berada beberapa langkah darinya.
“Assalamualaikum! Assalamualaikum!” terus sahaja Audra memberi
salam walaupun kakinya masih belum menjejak anak tangga ke pintu.
“Waalaikummussalam,” Kedengaran suara Mak Aji menjawap salam dari
dalam. Kemudian, terlihatlah susuk tubuh milik Mak Aji terkoncoh-koncoh
menghampiri muka pintu. “Ara!” dia sudah mengagak bahawa suara itu milik
anaknya. Ara, itu adalah nama timangan bagi Audra dalam keluarganya.
“Mak!” Audra terus bersalam dan memeluk Mak Aji. Pipi Mak Aji
dikucupnya. “Ara rindu dengan mak!”
“Mak pun rindu dengan Ara!” Tubuh anaknya itu dipeluk erat. Tak
sangka Audra akan pulang ke kampung juga walaupun mereka telah menghalang.
“Mana Along?” tanya Audra apabila pelukan dileraikan. Matanya
melilau hingga ke ruang dapur. “Mana Iman?” Dia sudah tidak sabar mahu melihat
keadaan mereka.
“Along ada dalam bilik. Iman ada di kebun dengan abah,” balas Mak
Aji. “Kenapa balik tak beritahu? Senang dapat cuti?” soal Mak Aji.
Audra hanya tersenyum. “Saja Ara tak nak beritahu. Ara tak nak
menyusahkan sesiapa,” balasnya. Audra tahu, kalau mereka tahu dia akan pulang
pasti mereka akan menjemputnya di terminal bas. “Alhamdulillah, nasib baik bos
Ara baik hati benarkan Ara bercuti.” Sekilas wajah Zack muncul di ruang
matanya. “Mak, Ara masuk jumpa Along sekejap ya.”
“Pergilah.” Mak Aji menganggukkan kepalanya. Tahu benar Mak Aji
dengan perasaan Audra yang gundah selagi tidak melihat Along dan Iman dengan
matanya sendiri.
Audra berjalan ke kamar Along. Pintu yang tertutup rapat itu
diketuknya.
“Siapa?” Kedengaran suara Along dari dalam.
Tanpa membalas pertanyaan Along, Audra terus membuka pintu apabila
menyedari pintu itu tidak berkunci. “Assalamualaikum, Along.” Audra menjengulkan
wajahnya ke dalam bilik.
“Ara!” Wajah Along terus berseri apabila raut wajah Audra muncul
di balik pintu. “Waalaikummussalam.” Along terus memeluk adiknya itu. “Ara
sihat?”
“Sihat!” Jawap Audra. “Along?” tanya Audra seraya melepaskan
pelukannya pada Along. Wajah Along yang semakin cengkung itu dipandangnya.
Sedih hatinya melihat keadaan Along. Tentu Along makan hati dengan sikap Abang
Nin.
“Along sihat,” ujar Along yang masih tersenyum manis. Along
menarik tangan Audra dan mereka duduk di birai katil.
“Alhamdulillah,” balas Audra sambil mengetatkan senyumannya.
“Macam mana sekarang, Along?” tanya Audra dengan rasa sebak.
Along menarik nafas yang panjang. “Nak buat macam Ara. Jodoh Along
dengan Abang Nin cuma sampai sini.” Along memandang Audra. “Kan Along dah
cakap, tak perlu risaukan Along. Along tak apa-apa!” tegas Along.
Audra memandang Along kembali. “Kenapa Along tak pernah cerita
apa-apa pada Ara atau mak?” Memang selama ini Along tak pernah bersuara walau
sedikit pun tentang rumahtangganya. Tiba-tiba sahaja, Along pulang ke kampung
bersama Iman dan membawa perkhabaran tentang penceraian yang berlaku antaranya
dengan Abang Nin. Bagaimanalah mak tak terkejut menerima berita itu. Dia
sendiri terkejut apabila mak menyampaikan padanya.
“Suami dan isteri ni Audra, ibarat tubuh dan pakaian. Jika kita
menceritakan tentang keburukan pasangan, samalah seperti kita membiarkan tubuh
kita tanpa pakaian. Kita akan mendedahkan aib kita sendiri.” Perlahan sekali
suara Along menuturkan kata.
“Tapi Along, ini bukan tentang memburukkan sesiapa.
Sekurang-kurangnya, Along bercerita pada abah atau mak. Mungkin abah dan mak
masih boleh membantu.” Bukanlah niatnya mahu mencampuri urusan rumahtangga
Along. Tetapi, Along sepatutnya berkongsi hati dan penderitaannya dengan
seseorang. Manalah tahu jika mak dan abah menasihati Abang Nin, perkara ini
dapat diselesaikan.
Along diam seketika. Kemudian, wajah Audra dipandangnya. “Memang
Along ada terfikir tentang itu. Tapi, Along tak nak mak dan abah risau dengan
keadaan Along.” Along tertunduk seketika. “Biarlah, semuanya dah selesai. Kisah
Along dah tamat di sini. Along mahu buka buku baru bersama Iman di sini.” Along
mengukirkan senyuman. Kemudian, dia tertunduk sayu. “Sebenarnya, Along sikit
pun tak kisah kalau Abang Nin nak beristeri seorang lagi. Along sanggup bermadu
daripada melihat Iman disisihkan dari ayahnya. Tapi,” Satu keluhan keluar dari
bibir Along. “Mungkin perempuan tu tak mahu bermadu agaknya.”
Tak tercapai fikiran Audra bagaimana seorang wanita yang
sepatutnya lebih mengerti hati seorang wanita sanggup menghancurkan hati wanita
lain semata-mata untuk membina kebahagiaannya sendiri! Tapi memang sudah
menjadi lumrah. Biasanya, musuh wanita adalah wanita sendiri.
“Tak apalah, Along terima semuanya. Semuanya ketentuan Allah. Apa
yang kita rasakan buruk itu, mungkin ia sebenarnya yang terbaik untuk kita.
Hanya Allah yang mengetahuinya. Along redha dengan ketentuan Allah.” Along
mengukirkan senyuman manis buat Audra. Pipi Audra di sentuhnya dengan kasih
sayang.
Audra membalas senyuman itu. Along memang tabah. Kata-kata Along
memang benar. Kisahnya bersama dengan Abang Nin sudah tamat. Yang penting
sekarang, Along perlu mulakan hidup baru bersama Iman. Jika Abang Nin membuka
lembaran baru dengan wanita lain, kenapa Along masih perlu menunggu dalam
situasi yang sama? Along juga perlu memulakan langkah baru dalam hidupnya.
“Betul Along!” ujar Audra lalu menggapai tangan Along dan
menggenggamnya dengan erat. “Along masih ada kami di sini. Kami semua sentiasa
mendukung Along.” Audra cuba membari semangat kepada Along.
Along memegang kedua-dua pipi Audra. “Terima kasih,” Along
tersenyum lagi. “Along tahu, masih ramai lagi orang yang sayangkan Along. Sebab
tu Along tak putus harapan. Along ada keluarga kita, ada Iman. Kamu semua adalah
semangat dan kekuatan Along.” Ada getar dari nada suaranya.
Audra mula terasa ada air yang bertakung di kolam matanya. “Kita
akan sama-sama menjaga Iman. Kita akan pastikan, Iman membesar dengan penuh
kasih sayang dan perhatian!” Audra sedaya upaya menghalang airmatanya dari
mengalir. Jika Along bisa kuat, dia juga perlu kuat menerimanya.
“Along sayang Ara,” ujar Along lalu merangkul tubuh di depannya
itu.
“Ara pun sayangkan Along.” Audra sudah tidak dapat menahan
airmatanya. Lalu dia menangis di bahu Along. Mendengar esak tangis Audra, Along
juga turut menangis dan terus menangis bagi menceritakan hatinya yang telah
remuk itu. Dia terus menangis hinggalah hatinya terasa puas dan Audra hanya
membiarkan sahaja Along meminjam bahunya untuk bersandar.
“Along harap, Ara takkan menerima nasib yang sama seperti Along,”
ujar Along dalam sedunya setelah tangisannya sudah terhenti. Dia meleraikan
pelukan mereka. Sisa airmatanya disekat lalu wajah Audra dipandangnya.
Ya, Audra juga berharap perkara yang sama. Dia mahu mengecapi
kebahagiaan seperti anganannya. Tapi, mampukah dia mencapai itu semua? Sedangkan
hakikat hidup bukan seperti dongeng pari-pari yang sering diimpikan. Happily Everafter, hanyalah di syurga
bukan dalam kehidupan di dunia. Mampukah dia menemui cinta hingga ke syurga?
“Ara doakan Along akan menghadapi semuanya dengan tabah. Hari ini
akan berlalu pergi. Ara harap, hari-hari yang akan datang Along akan sentiasa berbahagia
dan terus berbahagia,” doa Audra.
“Amiin,” Along tersenyum mendengarnya. “Along juga doakan perkara
yang sama.” Along memandang wajah Audra dengan penuh kasih. “Ara masih berangan
seperti dulu?” tiba-tiba sahaja Along mengutarakan soalan itu.
Audra hanya tertunduk.
Perlukah dia menceritakan apa yang telah berlaku? Iaitu, dia telah
menemui seorang putera raja yang telah membuatkan jantungnya berhenti berdegup
seketika. Pasti Along akan mentertawakannya!
“Kenapa ni?” tanya Along apabila melihat Audra yang hanya
tertunduk. “Ara masih mengimpikan untuk bertemu dengan seorang putera raja yang
boleh membuatkan jantung Ara berhenti berdegup?” tanya Along lagi. “Atau,
Ara dah jumpa seseorang?” kerlingnya.
Audra membuang pandangannya seketika pada Along. Kemudian, dia
menunduk kembali seperti tadi.
Along menghembuskan nafasnya. Mungkin Audra masih belum bersedia
untuk berkongsi hati dengannya saat ni. “Oh ya, Zana apa khabar? Lama Along tak jumpa dengan Zana,”
Along mengalihkan perbualan.
Audra mengangkat semula wajahnya. “Zana sihat. Dia kirim salam
dengan Along,” ujar Audra yang baru teringat dengan salam yang dititipkan Zana
buat keluarganya.
“Kalau Along tak tanya tentang Zana, mesti Ara lupa!” Along
menjeling sambil tersenyum. Sengaja mahu mengusik Audra.
Audra hanya tersengih-sengih. “Eh, Iman mana?” Audra baru teringat
dengan anak saudaranya itu. Sedari tadi dia tidak melihat Iman.
“Iman ada di kebun. Pagi tadi beria-ia dia nak ikut tok abahnya.
Jadi, abah pun bawalah dia pergi,” beritahu Along.
Audra mengangguk. Bagaimana dia boleh lupa sedangkan dia telah bertanya
pada Mak Aji tentang Iman tadi. Dan Mak
Aji juga menyatakan Iman berada di kebun bersama Pak Aji.
Along melirik jam ditangannya seketika. “Ara dah makan pagi?”
Setelah lama berbual, baru Along bertanya tentang itu.
Audra memegang perutnya yang masih kosong. Dia belum sempat
bersarapan ketika bas berhenti di terminal tadi. Apa yang ada difikirannya, dia
hanya mahu cepat tiba di rumah untuk menemui Along dan Iman.
“Belum. Tapi tak apalah. Ara makan tengahari teruslah kejap lagi,”
ujarnya setelah melirik jam di dinding yang hampir menunjukkan angka dua belas.
“Eloklah tu. Along dan mak dah siapkan makan tengahari tadi. Cuma
tinggal nak hidang je,” balas Along. “Ara, Along nak minta tolong sikit,
boleh?”
Audra tersenyum. “Banyak pun boleh!” balasnya.
Along ketawa kecil. “Along nak tolong mak hidangkan makan.
Sementara tu, boleh tak Ara ke kebun dan panggil abah dan Iman balik?” pinta Along.
“Boleh!” Pantas Audra menyahut pertolongan itu. Tatkala ini, apa
sahaja yang dipinta Along pasti akan dilakukannya. Dia mahu melihat Along
bahagia semula. “Ara pergi kebun dulu ya!” Audra terus meluru ke dapur. Di
dapur, kelihatan Mak Aji sedang sibuk membancuh sejug air sirap.
“Mak, Ara nak ke kebun kejap ya!” beritahu Audra. Mak Aji hanya
menganggukkan kepalanya tanda membenarkan Audra pergi.
“Pergilah! Panggil abah dan bawa Iman balik. Matahari dah naik.
Nanti demam pulak budak tu,” suruh Mak Aji pula.
“Baik, mak!” Audra melalui pintu di dapur untuk melalui
lorong-lorong kecil yang menuju ke kawasan kebun. Dari jauh, Audra sudah
melihat kelibat si kecil Iman yang sedang berlari-lari di sekitar pondok kecil
yang dibina abah untuk berteduh ketika kepenatan.
Di bawah pondok itu, kelihatan abah sedang berbual bersama seorang
lelaki. Tiba-tiba sahaja audra terasa jantungnya berdegup kencang. Dia memegang
dadanya. Langkah laju yang diaturnya tadi sudah bertukar perlahan. Ini masuk
kali ketiga dia merasa debaran seperti itu. Kali pertama, ketika di Rumah
Warisan dan kali kedua adalah ketika dia meminta cuti kecemasan. Kedua-duanya
berlaku saat dia mahu berjumpa dengan Zack. Adakah dia akan bertemu dengan Zack
lagi? Tak mungkin!
Mata Audra terus tidak lekang memandang lelaki yang sedang
membelakangkannya itu. Tangannya masih memegang dadanya yang bergetar kencang. Kedengaran
suara lelaki itu sedang berbual dengan abah. Dia seakan pernah mendengar suara
itu. Hampir sampai sahaja di pondok kecil itu, Audra menghentikan langkahnya.
Namun, matanya tidak lepas melihat susuk tubuh yang sedang membelakangkannya
itu.
“Ara!” Pak Aji terus memanggil nama Audra sebaik sahaja menyedari kehadirannya
di situ.
Audra kaget seketika. Debaran di dadanya semakin kencang. Perasaan
apa yang dirasakannya ini?
“Angah! Angah!” Iman terus berlari-lari anak untuk mendapatkan
Audra setelah melihat kelibat Audra di situ.
Melihatkan Iman yang sedang ketawa riang dan mendepakan tangannya
sambil berlari ke arahnya, membuatkan Audra tersenyum lebar. Hilang segala
debaran di dadanya. “Iman!” Audra juga mendepakan tangannya sambil berlutut
untuk menyamakan ketinggiannya dengan Iman. Iman terus meluru masuk ke dalam
pelukan Audra. “Hmm, sayang Iman!” Bertalu-talu ciuman diberi pada Iman. “Angah
rindu sangat dengan Iman!”
“Iman pun rindu sangat dengan Angah!” ujar Iman.
Audra tersenyum sambil mengelus rambut anak saudara perempuannya panjang
hingga paras bahu. Tiba-tiba saja perasaan sebaknya muncul kembali. Apakah Iman
mengerti apa yang telah berlaku dalam hidupnya? “Iman,” panggil Audra sambil
meleraikan pelukan mereka. “Iman anak yang baik, kan?” soal Audra. Iman
mengangguk. “Kalau macam tu, Iman kena janji dengan angah yang Iman akan selalu
dengar cakap mama.”
“Iman janji!” Dia mengangkat tangan seperti bersumpah.
“Ara!” Sekali lagi kedengaran suara Pak Aji yang memanggil Audra. Kali
ini Pak Aji sudah berada di sisi Audra dan Iman. Audra kembali berdiri dan memandang
Pak Aji. Sekilas pandangannya jatuh pada lelaki yang masih duduk bertentangan
dengan abah. Sedikit pun lelaki itu tidak menoleh padanya. Tapi dari susuk
belakang tubuh lelaki itu, dia seakan mengenalinya.
“Abah,” Audra bersalam dengan orang tuanya.
“Bila sampai?” tanya Pak Aji.
“Baru je, bah!” Ringkas sahaja jawapan Audra.
“Kamu dah jumpa dengan Along?” tanya Pak Aji lagi. Audra
mengangguk perlahan.
“Baguslah kamu datang sini. Boleh kamu temankan Along dan Iman
sekejap. Lama kamu cuti?” tanya Pak Aji lagi.
“Seminggu je, bah. Ahad depan Ara kena balik Penang dah,” jelas
Audra.
Terangguk-angguk kepala Pak Aji. “Dah kebetulan kamu datang sini,
abah nak kenalkan kamu dengan anak angkat abah,” beritahunya.
Berkerut kening Audra. Abah ada anak angkat? Bagaikan tak percaya
perkara itu terjadi. Bukan dia tidak tahu dengan sikap garang dan ketegasan
abah yang sangat sukar menerima orang luar itu. Sampaikan pemuda dalam kampung
ni pun, takkan berani mengusik anak daranya. Siapa yang berani mengusik anak
gadis Pak Aji Ashaari?
“Zack!” Pak Aji memanggil lelaki itu agar datang padanya.
Dengan tu, susuk tubuh yang sentiasa membelakangkannya berpusing.
Debaran di dada Audra mula terasa kembali. Sebaik sahaja lelaki itu menoleh
padanya, pandangan mereka bertaut seketika.
Encik Zack?! Terkejut Audra melihat wajah itu. Audra memegang
dadanya. Kenapa setiap kali dia berjumpa dengan Zack jantungnya akan bergetar
sebegitu? Mujurlah kali ini, dia tidak terasa mahu pitam. Kali ini juga,
jantungnya tidak berhenti berdegup lagi. Mungkin, jantungnya tidak akan berhenti berdegup lagi
setelah Zack membuatkan jantungnya berhenti berdegup tempoh hari.
“Ara, kenalkan ini anak angkat abah, Zack!” Pak Aji mengenalkan
Zack padanya.
Audra hanya menganggukkan kepalanya pada Zack sambil cuba
menyembunyikan debaran di dadanya. Zack juga membalas anggukkannya dengan
anggukkan juga. Baik dia mahupun Zack, kedua-duanya tidak menerangkan yang
mereka mengenali antara satu sama lain.
“Apa khabar?” Zack menyapa Audra yang mukanya sudah kelihatan
merah. Mungkinkah wajah Audra yang putih serlah itu sedang memerah kerana
terbakar mentari yang semakin tegak di kepala atau kerana melihatnya di sini?
“Baik,” balas Audra yang sudah mengalihkan pandangannya
dari memandang Zack.
“Hari tu mak kamu kata, kamu tak boleh cuti,” ujar Pak Aji setelah
teringat tentang itu. “Ini, macam mana boleh cuti pulak? Bos kamu kasi?”
Gulp! Audra sudah menelan air liurnya. Alamak! Kenapa pulak abah
boleh bertanya soalan itu saat ini? Di depan Encik Zack pulak tu!
“Tuan Syed bagi kamu cuti?” tanya Pak Aji. Audra memang selalu
menghubungi mereka di kampung. Hampir setiap hari. Sebab itulah apa sahaja yang
berlaku pada Audra mereka pasti mengetahui. Termasuklah cerita Audra tentang
Tuan Syed Zikri dan orang kanannya.
“Ara tak dapat jumpa dengan Tuan Syed. Tapi, cuti Ara dah
diluluskan. Sebab tulah Ara balik kampung,” ujar Audra yang sudah tergagap
sedikit. Bagaimanalah dia tidak gelabah begitu sedangkan mereka sedang berbual
di depan Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri yang sudah berbaik hati meluluskan
cutinya.
“Macam mana? Kamu dah berbaik dengan bos kamu?” Risau juga Pak Aji
dengan masalah yang timbul antara Audra dan majikannya. Sampai sekarang
hubungan mereka masih tiada perkembangan yang baik. Sepatutnya Audra lebih
pantas menjernihkan suasana. “Apa nama sebenar Tuan Syed ya?” Entah kenapa
apabila melihat Zack, dia teruja mahu tahu nama sebenar Pengarah Warisan Syed
yang sering diceritakan Audra.
Wajah Zack sudah berubah mendengar pertanyaan Pak Aji itu. Jika
dia tidak silap, pada awal kedatangannya di kampung ini, dia ada memberitahu
nama sebenarnya. Apakah Pak Aji masih ingat nama sebenarnya?
“Syed Zikri,” jawap Audra dengan malas.
Syed Zikri? Berkerut dahi Pak Aji. Dia seakan pernah mendengar sahaja
nama itu. Dia berpaling memandang Zack.
Zack yang menyedari pandangan Pak Aji kepadanya lantas beralih ke
tempat lain. Di dalam hatinya sudah mula berdoa agar Pak Aji tidak mengingati
nama sebenarnya. Jantungnya sudah berdebar kencang.
“Kalau tak silap Pak Aji,”
matanya sudah terpaku kepada Zack.
“Abah, mak panggil balik. Makan tengahari dah siap!” Sampuk Audra
sebelum sempat Pak Aji bertanya kepada Zack. Matahari yang semakin tegak di
atas kepala membuatkan pandangannya semakin berbilau. Dia mahu segera membawa
Iman pulang ke rumah. Dia khuatir jika Iman akan jatuh sakit berada di bawah
matahari terlalu lama begitu. “Ara bawa Iman balik dulu ya, bah!” Audra
berpusing lalu mencapai tangan Iman dan berjalan menuju ke rumah.
Pak Aji memandang Zack semula. Dia sudah terlupa apa yang
mahu ditanyakan pada anak angkatnya itu. “Marilah Zack, jemput ke rumah!” Pak
Aji mempelawa Zack.
Zack sudah menarik nafas lega. Mereka berdua beriringan
mengikut langkah Audra dan Iman yang sudah jauh ke depan.
Sampai sahaja di rumah, Audra terus meluru kepada Mak Aji
dan Along yang sedang menyusun pinggan-pinggan di atas meja. “Kenapa mak dan
Along tak beritahu kita ada tetamu?” Terus sahaja dia bertanya kepada Mak Aji.
“Tetamu?” Pantas sahaja Mak Aji memandang Audra. Along
yang mendengar juga memandang Audra. Bagaimana Audra boleh berkata begitu sedangkan
dari pagi tadi mereka tidak menerima apa-apa kunjungan.
“Assalamualaikum.” Belum sempat mereka berbual dengan lebih
lanjut, kedengaran suara Pak Aji memberi salam.
“Waalaikummussalam,” jawap mereka semua.
Mak Aji pantas ke pintu dapur dan menjegah ke luar. “Zack!” Raut
wajahnya bertukar ceria melihat kelibat yang beriringan dengan Pak Aji. Baharu
dua minggu lepas Zack datang menjenguk mereka. Sejak mereka mengenali Zack,
adalah dua-tiga kali lelaki itu datang ke sini.
“Apa khabar Mak Aji?” soal Zack bersama senyumannya.
“Alhamdulillah, sihat!” Mak Aji kelihatan teruja menerima
kunjungan itu. Wajahnya ceria sekali melihat Zack di situ. “Jemput masuk Zack!”
“Terima kasih,” Zack membuka kasutnya dan masuk ke dalam.
Zack memang sudah biasa dengan orang-orang di sini.
“Kenapa datang tak beritahu dulu? Bolehlah Mak Aji
siapkan makan banyak-banyak!” Mak Aji menghampiri Audra semula. “Inilah Zack,
anak angkat mak dan abah,” ujarnya pada Audra dan Along.
Audra memandang Zack bersama satu pandangan yang kurang
menyenangkan. Zack mengukirkan senyuman buat Audra namun dibalasnya dengan
jelingan. Kemudian, Audra menyibukkan diri membantu Along membetulkan hidangan
di atas meja. Zack tahu, kedatangannya di sini tidak dialu-alukan. Mungkin
Audra terkejut melihatnya di situ.
“Apa khabar?” sapa Zack kepada Along pula.
“Alhamdulillah,” balas Along dengan senyuman. Rupanya
inilah pemuda yang berjaya memikat hati abah.
“Ini anak sulung Mak Aji. Namanya, Anissa. Tapi, kami di
sini cuma panggil Along,” Mak Aji sudah tersenyum ceria. “Si Iman ni pulak,
anaknya! Satu-satunya cucu Mak Aji,” tiba-tiba suaranya menjadi sayu seketika
sebelum kembali tersenyum.
Zack tahu, keluarga mereka masih berduka. Ketika di kebun
tadi, Pak Aji sempat menceritakan apa yang telah berlaku. Ketika di pejabat,
dia memang agak risau apabila mengetahui keluarga Pak Aji ditimpa masalah.
Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk datang ke sini dan meluluskan permohonan
cuti Audra.
“Zack ni, hah! Datang sini, terus dia ke kebun. Saya dah
suruh dia ke rumah dulu. Katanya, nak temankan saya berkebun. Padahal dia tu
malu nak ke rumah terus sebab dia dah tahu saya pasti ada di kebun.” Pak Aji
sudah ketawa sambil menggelengkan kepalanya.
Mak Aji juga ketawa mendengar cerita Pak Aji.
“Duduklah!” Pak Aji menyuruh Zack duduk di kerusi makan
bersamanya.
Ketika Zack tiba pagi tadi, dia sudah mengagak yang Pak
Aji pasti berada di kebun. Jadi, dia terus membuat keputusan untuk ke sana. Apatah
lagi setelah dia tahu Audra akan pulang ke kampung. “Banyak Mak Aji masak.
Sedap bau ni!” Selera Zack mula terbuka melihat masakan kampung di depannya.
Mak Aji sudah tersenyum dengan tingkah Zack. Sungguh,
mengenali Zack yang secara kebetulan menginap di rumah mereka dahulu,
membuatkan dia jatuh kasih kepada pemuda ini. Zack pandai mengambil hati
mereka. Orangnya juga bersopan santun dan menghormati orang yang lebih tua. Orang
kampung juga yang senang dengan kehadirannya. Apatah lagi mereka yang selalu
berjemaah di surau. Lebih cepat mereka menerima kehadiran Zack.
“Apit mana Mak Aji?” soal Zack. Tiba-tiba dia teringat
pula dengan anak lelaki tunggal keluarga itu.
“Kejap lagi baliklah budak tu dari sekolah,” ujar Mak
Aji. “Dah, marilah makan dulu. Kalau nak tunggu Apit, meragam perut tu nanti.”
Mak Aji memberi isyarat pada Audra dan Along yang masih mengemas di dapur agar
duduk bersama mereka.
Dengan rasa yang berat, Audra menarik juga kerusi dan
duduk di meja makan. Lebih malang lagi, dia duduk berhadapan dengan Zack.
Sempat lagi mata mereka bertentang. Setiap kali dia memandang Zack, hanya rasa
yang kurang senang dilemparkan buat lelaki itu.
Berlainan pula dengan Zack, setiap kali pandangan mereka
bertaut dia terasa bagaikan panahan asmara di balik pandangan itu. Zack hanya
tersenyum apabila menerima jelingan yang tajam dari Audra. Biarkanlah, suatu
hari nanti jelingan yang tajam ini pasti bertukar menjadi jelingan manja yang
hanya akan diberikan kepadanya.
----------@@----------
TeRiMa KaSiH ya kerana sudi membaca N3 kali ini.....Harapan saya agar anda sudi mengikuti sambungannya....LOL <3 span="">3>
-------@@-----------
rasa teruja nak tahu kesinambungan citernya..apa akan terjadi diantara mereka berdua ini ..adakah mamat tu akan meminta inzin pada Pak aji untuk memperisterikan Ara dengannya...
ReplyDeletehihihi...terima kasih ya...... (^_^)
Deletetk sabar akk dek...nk lg...sesape pn pasti terkejut kot...kalu berada dlm situasi ara...tetiba jer BOS besar leh jadik ank angkat mak ngan abah nyer...leh luruh jantung hehehe
ReplyDeletekalau saya pun terkejut juga tapi dalam masa yang sama....best!....hihihi terima kasih....
Delete