Friday, 5 July 2013

Senyumlah Sayang 17





Assalamualaikum.....N3 kali ini saya tujukan kepada pencinta bulan...Happy Reading ya...

------------****----------


“AMANI!” panggil Zaiton seraya bergerak laju untuk menyaingi langkah Amani. Tuan Helmi hanya melihat kedua-dua beranak itu sudah hilang di balik pintu keluar dari pejabat pengetua. Kemudian dia mengerling Tania yang masih lagi tertunduk.

            “Terima kasih cikgu sebab hubungi saya,” kata Tuan Helmi. Pengetua hanya menganggukkan kepalanya. “Saya minta izin cikgu untuk membawa Amani dan Tania pulang sekarang.”

            “Silakan Tuan Helmi. Dan sebagai pengetua saya merasa menyesal kerana perlu menjatuhkan hukuman ini,” ujar pengetua setelah memberitahu kepada Tuan Helmi bahawa Tania dan Amani telah digantung sekolah selama seminggu.

            “Setelah pulang semula ke sekolah, sekali lagi Amani akan saya panggil bersama-sama dengan Faiz untuk menyiasat kedudukan sebenar gambar ini.” Pengetua menolak naskah buletin sekolah kepada Tuan Helmi.

            Tuan Helmi mencapai buletin tersebut dan hanya mampu menganggukkan kepala.

            “Saya harap Tuan Helmi dapat kendalikan perkara ini dengan baik,” ujar pengetua.

            Setelah bersalaman dengan pengetua, Tuan Helmi bergerak pergi bersama-sama Tania. Tiada satu butir bicara yang keluar dari bibirnya. Tania yang terus tertunduk, sesekali memerhatikan wajah Tuan Helmi. Dia tahu, papanya tentu sangat marah dengan apa yang telah berlaku.

            “Mana Amani?” soal Tuan Helmi apabila melihat Zaiton sedang menanti mereka di sisi kereta dan kelibat Amani tidak ada di situ.

            “Amani, dia….” Wajah Zaiton kelihatan serba salah.

            “Amani dah balik tuan,” sampuk Izz bagi pihak Zaiton.

            Tanpa berkata lebih banyak, Tuan Helmi lantas masuk ke dalam kereta dan mengambil kedudukan di sebelah pemandu. Melihat Tuan Helmi sudah masuk, Izz juga mengambil langkah yang sama.

            “Mari Tania.” Zaiton memegang tangan Tania dan membuka pintu untuknya.

            “Makcik,” Tania memandang wajah Zaiton dengan wajah yang memohon simpati.

            “Tak apa. Tania tak salah,” pujuk Zaiton lalu memeluk Tania seketika. Kemudian, dia mengarahkan agar Tania terus masuk ke dalam kereta. Tania menurut.

            Melihatkan semuanya berada di dalam kereta, Izz terus meluncur kereta dengan laju. Tiada satu suara pun kedengaran di antara mereka. Masing-masing sudah tenggelam dengan dunia sendiri sehinggalah mereka tiba di Ilham Hati.

            “Izz, tolong carikan Amani,” ujar Tuan Helmi apabila Zaiton dan Tania sudah berlalu dan masuk ke dalam gerbang Ilham Hati.

            “Baik, tuan.” Izz kembali masuk ke dalam kereta dan terus meluncur melalui perkampungan Indah Mentari.

            ZAITON mundar mandir di pintu masuk Syurga Ilham Hati. Sesekali dia memerhatikan matahari yang sudah mencondong ke arah barat. Sekejap-sekejap dia menggosok tapak tangannya, sekejap-sekejap dia menggaru jari jemarinya kerana keresahan.

            Pada masa yang sama, Amani sedang melalui Ilham Hati. Langkah kakinya yang perlahan dilajukan apabila semua pekerja Ilham Hati sudah memandang kepadanya. Tentu sahaja berita tentang dirinya sudah dibicarakan oleh mereka. Sampai sahaja di depan pintu Syurga Ilham Hati, langkahnya menjadi perlahan semula tatkala dia melihat kelibat Zaiton di situ.

            “Amani!” Zaiton menjerit nama Amani apabila menyedari kepulangan anaknya itu. Dia terus menghampiri Amani yang sudah kaku di situ.

            “Kau memang anak yang tak guna! Penat aku membesarkan kau!” tempik Zaiton. Bergoyang bahu Amani digoncangnya dengan kasar. “Kau memang menyusahkan aku!”  
   
            Amani diam membisu. Matanya terus memandang wajah Zaiton.

            “Kau tahu tak apa yang kau dah buat memalukan aku!” Terus Zaiton menolak tubuh Amani sehingga Amani terkebelakang. Zaiton mengurut-ngurut dahinya mengenangkan sikap Amani.

            “Mak malu dengan sikap saya?” soal Amani. Mendatar sahaja suaranya seolah-olah apa sahaja yang berlaku langsung tidak berbekas di hatinya.

            Zaiton kembali memandang kepada Amani.

            “Tentulah aku malu dengan sikap kau! Aku tak pernah ajar kau buat perangai macam tu! Dari mana kau belajar semua ni?” Pandangan mata Zaiton menikam wajah Amani, bagaikan singa yang sedang menunggu mangsanya untuk diterkam.

            Amani ketawa sinis. “Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?” soal Amani begitu sinis. “Mak dah lupa dengan lelaki-lelaki yang menjadi teman mak?”

            “Amani!” Pantas sahaja Zaiton mengangkat tangan untuk menampar Amani.

            “Zaiton!” Tuan Helmi yang kebetulan baru melalui kawasan itu, terus menjerit nama Zaiton apabila melihat wanita itu sudah mengangkat tangan ke atas Amani.

            Zaiton tergamam. Tangannya terus di jatuhkan. Amani yang sudah memejamkan matanya, terus membuka mata dan berpaling melihat Tuan Helmi. Zaiton hanya tertunduk apabila Tuan Helmi tiba di depannya.

            “Awak pergilah berehat. Saya tahu, dari tadi awak menunggu Amani. Biar saya bercakap dengan Amani,” ujar Tuan Helmi. Zaiton menundukkan kepalanya sedikit tanda menerima arahan itu.

            Sebaik sahaja Zaiton hilang ke dalam Syurga Hati, Tuan Helmi mengalihkan pandangannya kepada Amani. Satu nafas yang panjang dihela.

            “Berterus terang dengan saya Amani. Betulkan kamu melakukan apa perkara yang tidak elok itu?” soal Tuan Helmi. Nada yang digunakan tidak lembut dan juga tidak meninggi. Namun, ada nada kecewa di situ.

            Amani mendiamkan diri. Wajah Tuan Helmi tidak di pandangnya. Dia hanya memeluk tubuh dan memandang terus ke depan.

            “Saya bercakap dengan kamu Amani,” ujar Tuan Helmi lagi. Satu keluhan dilepaskan apabila Amani tetap tidak mengendahkannya.

            Amani memusingkan badannya menghadap Tuan Helmi apabila terdengar keluhan itu. Wajah Tuan Helmi diperhatikannya. “Tuan menyesal sebab hantar saya ke sekolah?” soalnya

            “Tak! Bukan itu maksud saya,” dengan pantas Tuan Helmi menafikan. Tuan Helmi menarik nafasnya lagi. “Kamu cuba mengelak dari menjawab soalan saya?” sambung Tuan  Helmi.

            Amani ketawa sinis. “Kenapa saya perlu mengelak?” tanya Amani kembali.

          “Kalau begitu, lebih baik kamu jawab soalan saya. Betul atau tidak berita yang tertulis di dalam buletin sekolah? Betul atau tidak itu gambar kamu dan lelaki itu?” Kali ini nada suara Tuan Helmi sudah meninggi.

          “Faiz,” ujar Amani. “Faiz nama lelaki tu.” Semakin keras nada Tuan Helmi semakim membuatkan hati Amani menjadi keras.

       “Saya tahu namanya Faiz.”  Tuan Helmi sudah mendengus. “Jawab soalan saya, Amani!”

       “Perlukah saya jawab? Tuan tak ada apa-apa hubungan dengan saya. Tuan tak perlu ikut campur dalam masalah saya,” kata Amani.

     Tuan Helmi mengetap bibir menahan rasa marah. Dadanya sudah berombak. Bibirnya mahu saja menuturkan kata. Namun, otaknya berputar dan meminta agar dia bersabar.

          “Orang yang patut Tuan Helmi risaukan adalah anak kandung Tuan, Tania!” sambung Amani.

          “Tania?” Tuan Helmi memandang Amani dengan tajam. “Justeru Tania menyerang kamu kerana marah dengan sikap buruk kamu! Dan kamu menyalahkan Tania?” Walaupun nadanya keras, namun Tuan Helmi cuba menahan diri daripada menguatkan suaranya.

            Amani ketawa mendengar kata-kata Tuan Helmi. Begitu sinis sekali tawa Amani. “Heh, saya tak fikir tuan seorang ayah yang baik.”

         Terkedu Tuan Helmi di situ. Mulutnya terkunci rapat. Aku bukan ayah yang baik? Ya, memang dia bukan ayah yang baik. Fikiran Tuan Helmi sudah beralih ke perkara yang lain dan bukan tentang masalah yang sedang berlaku.

            “Tuan tahu Tania berkawan dengan Faiz, kan? Tapi, kenalkah tuan dengan lelaki yang bernama Faiz itu?” soalan Amani membuatkan Tuan Helmi mengangkat kepalanya dan memandang tepat ke wajah Amani.

            “Maksud kamu?” Tuan Helmi mula menangkap apa yang cuba dimaksudkan Amani.

          “Tuan tak kenal siapa Faiz? Maknanya, tuan tak kenal lelaki yang bersama saya di dalam gambar itu.” Amani mengorak langkah hingga ke hadapan Tuan Helmi. Wajah lelaki tua yang masih tegap dan bertenaga itu dipandangnya. “Kenal diri anak tuan dahulu sebelum tuan masuk campur urusan saya!” usai berkata begitu Amani terus melangkah masuk ke dalam kawasan Syurga Ilham Hati meninggalkan Tuan Helmi yang sudha tenggelam dengan perasaannya sendiri.

AMANI duduk di anak tangga. Sesekali matanya meliar memandang sekeliling. Angin malam menghembus perlahan membelah tubuhnya. Rambutnya yang lurus separas bahu melayang-layang ditiup angin.

      Amani memeluk tubuh dan membetulkan cardigan yang dikenakannya apabila angin malam mendinginkan tubuhnya.

           Sejak pulang tadi, dia tidak melihat kelibat Izz. Di manakah lelaki itu berada? Tidakkah lelaki itu risau atau tertanya-tanya dengan apa yang telah berlaku antara dia, Tania dan Faiz.

            Amani menarik nafas yang panjang. Bosan menunggu di situ, Amani bergerak ke kawasan belakang. Dia berhenti di hadapan pondok Izz yang masih kelam, menandakan penghuninya masih belum pulang.             Dia duduk di anak tangga Izz dan menantikan lelaki itu di situ. Amani mendongak, memandang bulan yang sedang bercahaya.

Bulan memang cantik bila bersendiri. Tapi kehadiran bintang menyempurnakan lagi keserian yang ada pada bulan. Begitulah juga dengan persoalan hidup. Kita tak boleh hidup bersendiri. Kita perlukan mereka yang ada di sekeliling kita. Adakalanya, kita akan fikir, lebih baik kita hidup sendiri dari hidup mereka yang sering mendatangkan masalah pada kita. Tapi kita lupa, orang sekeliling kita adalah pelengkap pada kehidupan kita. Hidup kita, perlu jadi seperti bulan yang dipagari bintang.

            Tiba-tiba sahaja kata-kata Izz terngiang-ngiang di mindanya. Amani memerhatikan pula bintang-bintang yang mengelilingi bulan. Siapakah bulan itu? Siapakah bintang-bintang itu?

            Ketika Amani tenggelam dalam keindahan bulan, Izz muncul di situ. Langkahnya terhenti tatkala melihat Amani ada di situ.

            Petang tadi, dia mencari Amani di tepi tasik, di tempat yang Amani selalu berada. Namun, kelibat gadis itu langsung tak kelihatan. Dek kerana terlalu risaukan Amani, dia terus mencari dan mengelilingi tasik untuk mencari Amani. Setelah pasti Amani tak ada, dia mencari Amani di seluruh Kampung Indah Mentari sampailah ke hari ini.

            Namun, ketika dia berjumpa dengan Tuan Helmi untuk menyatakan yang dia tidak berjumpa dengan Amani, dia diberitahu Amani telah pulang petang tadi. Walaupun dia marah dengan Amani namun dia bisa menarik nafas lega.

            Izz terus memerhatikan Amani yang leka memandang bulan di langit. Apa yang perlu di lakukan kini? Menegur Amani atau membisu begitu sedangkan jiwanya sendiri merasa sebal dengan tingkah laku Amani sehingga gadis itu digantung sekolah.

            Bagaikan menyedari dirinya sedang diperhatikan, lantas Amani menoleh ke belakang. Matanya dan mata Izz bersatu. Amani bangun dari duduknya dan terus memandang Izz.

            Tanpa sebarang bicara, Izz berjalan untuk masuk ke pondoknya. Ketika dia ingin melangkah anak-anak tangga, tubuh Amani yang sedang menghalang langsung tidak berganjak. Izz menarik nafas yang panjang. Ini bermakna, dia harus membuka bicara dengan Amani.

            “Tolong beri laluan,” ujar Izz. Sedikit pun wajah Amani tidak dipandangnya.

            Amani melangkah ke tepi sedikit untuk memberi laluan kepada Izz. Dia hanya terus memerhatikan tingkah lelaki itu yang terus menyepikan diri. Izz membuka kasutnya dan jeketnya. Dia membuka pintu dan terus melangkah ke dalam. Daun pintu ditutup rapat.

            Amani terus memandang daun pintu yang sudah tertutup. Izz langsung tak pedulikannya. Apakah lelaki itu marah dengannya? Amani memegang dadanya. Dadanya terasa bergetar dan ketat, bagaikan dia tidak bisa bernafas dengan betul. Hatinya terasa pedih.   Dia terus duduk di anak-anak tangga itu semula.

            Izz yang baru selesai mandi, membuka tirai. Dia memandang keluar. Tiba-tiba matanya memandang kelibat Amani. Amani masih lagi belum pulang ke kamarnya. Sangkanya AMani telah pergi dari situ. Izz mula risau jika Amani jatuh sakit kerana membiarkan angin malam terus menyapa tubuhnya. Lantas mengenakan pakaian dan membuka daun pintu.

            “Amani,” panggilnya.

            Amani yang masih termenung di situ, lantas berpaling ke belakang, memandang kepada Izz. Dia bengun dari duduknya dan memusing tubuhnya agar berhadapan dengan lelaki itu.

            “Awak kena balik bilik dan tidur sekarang. Esok pagi, awak akan mulakan hukuman awak.” Izz bersandar di beranda tanpa memandang Amani.    Amani diam, tunduk membisu.

            “Saya dapat perintah daripada Tuan Helmi. Selama satu minggu ni, saya akan awasi awak dan Tania. Kamu berdua perlu membantu pekerja Ilham Hati kerana kesalahan bergaduh di sekolah. Itu belum masuk kesalahan kamu yang melakukan….” Kata-kata Izz mati di situ.

            Amani memandang Izz, menantikan kata-kata selanjutnya. “Kenapa?” tanya Amani. “Kesalahan saya yang mana?” tanya Tania.

            “Awak lebih tahu apa yang awak lakukan,” ujar Izz tegas. “Awak pergilah masuk tidur. Banyak perkara awak dan Tania perlu lakukan esok.” Izz mahu menamatkan perbualan mereka.

            “Awak percaya apa yang awak lihat?” tanya Amani.

 Izz yang sudah membuka daun pintu untuk melangkah ke dalam menoleh kepada Amani. Dia memandang Amani. Dia melangkah turun dari anak-anak tangga dan berdiri di depan Amani. Matanya terus merenung sepasang mata yang dingin itu. Gadis seperti Amani tak mungkin melakukan seperti apa yang terpamer di dalam buletin itu. Namun, gambar itutelah disahkan gambar yang asli oleh pihak sekolah.

“Apa yang awak mahu saya percaya Amani?” Izz berpaling ke tempat lain.

“Seperti mana awak tak mengenali saya, begitulah juga awak tak mengenali Tania,” kata Amani.

Izz kembali berpaling memandang Amani. “Saya kenal Tania dari kecil. Dia sangat sayangkan Faiz, tapi awak dah rampas Faiz dari dia. Apa yang awak mahu Amani?” soal Izz.

Amani tersenyum sinis. Maknanya, Izz tahu siapa Faiz. “Awak mungkin kenal siapa Faiz, tapi awak tak tahu sikap dia. Bukan saja Tania yang buta, tapi awak juga gagal menjaga dia.”

“Uh?” tergeleng-geleng kepala Izz mendengar kata-kata Amani. “Awak yang tak tahu menjaga diri, dan awak menuduh orang lain?”

“Saya tak pandai jaga diri?” Amani ketawa kecil. “Jika diri saya rosak sekali pun, tak akan ada kesannya kepada sesiapa. Tetapi, jika Tania yang rosak, seluruh Ilham Hati juga akan rosak. Saya tahu menjaga diri saya. Tapi Tania, dia yang tidak tahu menjaga dirinya kerana terlalu dimanjakan dan mengharapkan orang lain yang menjaga dirinya.”

“Awak!” Amani menunding kepada Izz. “Awak orang yang bertanggungjawab untuk menjaga Tania, juga gagal dalam tugas awak. Awak dan Tuan Helmi sama-sama gagal mengajar Tania untuk menjaga dirinya sendiri.”

Amani memandang Izz tanpa berkelip. Kedengaran desah nafasnya yang kuat kerana menahan rasa marah. Kemudian, Amani berpaling untuk pergi dari situ. Namun, pantas tangan Izz mencapai pergelangan tangannya.

“Saya mungkin tak kenal Tania dengan baik. Saya tak pandai menduga hatinya.” Izz memandang jauh ke dalam anak mata Amani. “Tapi saya kenal awak. Saya percaya awak tak melakukan perkara itu. Tentu ada sebabnya,” sambung Izz.

Amani terus tergamam.

Izz melepaskan tangan Amani. “Pergilah berehat. Saya janji, saya akan selidik latar belakang Izz.”
Amani yang terpegun dengan kata-kata Izz, berpaling dan melangkah pergi. Dia memagang pergelangan tangannya yang dipegang Izz. Ada sesuatu yang sedang menyelinap masuk ke dalam hatinya.

--------------@@@------------

Terima kasih kerana membaca. semoga N3 kali ini tidak mengecewakan anda. sudi2lah kiranya meninggalkan jejak anda di kolum komen di bawah ya....


2 comments:

  1. dh beberapa kali baca...amani dh ader rsa debaran..hehe..suka..
    minta2 tania tak jd remaja yg bmslh nnt...
    ader beberapa silap sikit dlm kisah kali ni..puteri selendang biru maybe tak perasan msa watak tania n amani..

    ReplyDelete
    Replies
    1. owh....terima kasih atas tegurannya....sangat terharu....saya dah cuba baca n3 ni banyak kali, tapi x dapatlah kesilapannya...hehehehe ....x apa...saya baca lagi nanti ya...agaknya silap tulis watak mereka tak....hihihih

      TERIMA KASIH XD

      Delete