Friday, 12 July 2013

Kau Suka Dia? - 2








Salam Jumaat dan Salam Ramadhan....

Ini sambungan spesial N3 ari tu kay...Just nak inform, bila baca citer ni, sampai di part-chatting- saya banyak gunakan ringkasan seperti mana yang selalu kita gunakan bila berchatting ya...

Selamat membaca...Happy reading ya.....Enjoy!!


--------@@-----------



Sambungan....

“LUNA!” panggil Zarul. Tanpa memperdulikan Zarul, Luna meneruskan langkahnya. Melihatkan situasi itu, lantas Zarul berjalan mendahului Luna dan terus menutup pintu pagar untuk menghalang langkah Luna.

Luna sudah terpaku di situ sambil memandang Zarul. Pinggangnya dicekak sebelah. Bibirnya sudah herot ke tepi. Zarul ketawa melihat aksi Luna.

“Kenapa kau ketawa? Apa yang lucu sangat?” tanya Luna.

Zarul menghentikan tawanya. “Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba aje sensitif,” ujar Zarul. Luna menjeling Zarul. “Marilah aku hantar kau ke kolej. Nanti lambat pulak.”

“Tak apalah. Aku boleh pergi sendiri,” kata Luna. Dia memberi isyarat agar Zarul ke tepi dan beri laluan kepadanya. Malangnya, Zarul hanya memerhatikannya dengan senyuman.

“Kau nak ikut aku, atau kau nak aku beritahu makcik?” Kening Zarul sudah terjongket-jongket memandang Luna.

“Kau ugut aku?” Luna memeluk tubuhnya dengan geram. “Tepilah!” bentak Luna sambil menolak tubuh Zarul dengan buku di tangannya. Namun, Zarul tetap tak mahu berganjak.

“Kenapa kau ni degil sangat? Kau nak ikut aku atau aku paksa kau? Mana kau pilih?” tanya Zarul.

Mencerlung mata Luna memandang Zarul. Dia mendengus. “Aku ikut kau lah!”

Zarul sudah tersenyum. Lantas pintu pagar dibukanya dan memberi laluan kepada Luna. Setelah menutup pintu pagar, mereka masuk ke dalam perut kereta.

“Lepas kelas nanti aku ambil kau,” beritahu Zarul.

“Hmmm...”


**********


NAMPAK sahaja Zarul yang sudah berdiri di sisi kereta menantinya, lantas Luna menghampiri. Tanpa berkata apa-apa, Luna terus meloloskan dirinya dalam kereta.

Zarul yang masih tercegat di sisi kereta hanya menggelangkan kepala. Dia juga ikut masuk ke dalam kereta. Luna disebelahnya yang sedang memeluk tubuh dikerlingnya seketika. Luna terus membisu.

“Kau marahkan aku ke?” soal Zarul. Namun Luna tetap kaku membisu.

Zarul mencapai botol hijau yang sentiasa disimpannya di dalam kereta. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis gula-gula yang disimpan sebagai habuannya jika mengantuk ketika memandu. “Kau nak sweet?” tanya Zarul lagi.

Kali ini Luna menjeling padanya. Dia menggeleng. Zarul tersenyum. Sekurang-kuranya Luna sudah memberikan respon kepadanya. Zarul membuka pembalut gula-gula lalu memasukkan ke dalam mulutnya. Dia mula memandu keluar dari perkarangan kolej.

“Aku nak pergi Luna,” ujar Zarul. Suaranya tiba-tiba sayu.

“Kau nak ke mana?” soal Luna.

 Zarul tersneyum melihat Luna yang sudah mahu bicara dengannya. “Aku akan ke Bali,” beritahu Zarul. “Aku dinaikkan pangkat. Dan aku dihantar ke sana.”

“Berapa lama?” tanya Luna. Wajahnya tiba-tiba sahaja berubah. Entah kenapa dia tidak menyenangi berita yang baru diterimanya itu.

“Aku akan terus bekerja di sana sehinggalah permohonan aku untuk ditukarkan ke sini diluluskan,” Zarul membelok ke selekoh kanan.

Luna mendiamkan diri. “Lama sangat,” ujar Luna perlahan tanpa mengangkat wajahnya.  Dia merasa kehilangan. Dia sudah terbiasa dengan kehadiran Zarul dalam hidupnya. Tiba-tiba sahaja Zarul harus pergi.

“Aku tahu perasaan kau yang mahu mencintai dan dicintai. Cinta itu perasaan yang indah dan terlalu bernilai. Jadi, janganlah letakkan cinta kau yang bernilai itu di tempat yang rendah nilainya,” nasihat Zarul.

“Aku tahu aku salah sebab berikan cinta aku kepada Hafizi. Tapi, kau janganlah risau. Pandailah aku jaga diri sendiri,” Luna memandang Zarul dengan wajah yang muram. Entah kenapa dia terasa mahu menangis saat itu.

Zarul mengerling Luna seketika. “Kau kenapa Luna?” tanya Zarul tatkala melihat wajah sedih Luna.

Luna menggeleng lalu memandang ke luar tingkap. Zarul memberi signal kiri lalu menghentikan kereta di bahu jalan. Dia mengalihkan tubuhnya memandang Luna.

“Cuba beritahu aku, kau ada masalah?” tanya Zarul. Luna menggeleng lagi.

“Habis tu, kenapa ni?” Zarul yang masih tidak berpuas hati terus bertanya.

“Tak ada apa,” Airmata yang cuba ditahannya mengalir juga. Pantas dia menyeka dengan belakang tangannya. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia begitu sedih saat Zarul memberitahu tentang kepergiannya.

“Hey, Luna,” Zarul menarik bahu Luna agar memandang padanya. Wajah Luna yang kebasaha dek airmata dipandangnya. Lama. Lalu, dia menarik kepingan tisu dari dalam kotaknya lalu diserahkan kepada Luna. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menyapu airmata itu. Tapi, apa kata Luna nanti.

“Thanks,” Luna mencapai tisu yang diserahkan lalu menyapu airmatanya.

Zarul meletakkan kepalanya di belakang kerusi sambil memandang kepada Luna yang masih menyapu airmatanya. “Kenapa dengan kau ni?” soalnya. “Kau sedih sebab aku nak pergi?” tanya Zarul perlahan.

Luna berdiam diri. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Zarul menarik nafas yang panjang.

“Aku okey,” ujar Luna lalu memandang Zarul. Satu senyuman dilemparkan.

Zarul mengetap bibir. “Kenapa kau menangis?” tanya Zarul untuk sekian kalinya.

“Tak ada apalah. Terlebih emosi,” ujar Luna lalu memandang ke tempat lain.

“Apa sebabnya? Apa puncanya?” Zarul masih terus bertanya. Jauh disudut hatinya, dia merasakan tangisan itu adalah untuk dirinya.

“Tak ada apa. Biasalah orang perempuan, ada masanya terlebih emosi” dalih Luna.

Zarul menghela nafas panjang. “Aku tak suka kau menangis. Aku susah hati kalau kau menangis,” beritahu Zarul.

Luna menoleh memandang Zarul. Dadanya merasa getaran apabila Zarul berkata begitu. “Kenapa kau perlu rasa macam tu?” Mata Zarul dipandangnya.

Zarul membetulkan semula duduknya. Dia memberi signal kanan untuk masuk ke jalan semula. Dia terus memandu kereta. “Kita singgah kedai makan dulu. Esokkan dah puasa. Aku belanja kau,” dia sudah mengalih topik sehingga membuatkan Luna mendengus geram.



************


RAMADAN 1



LUNA mengintai Farish dan Zarul yang sedang berbual di laman. Sejak pulang dari solat tarawih, Zarul sentiasa bersama Farish. Langsung dia tidak berpeluang untuk berbual dengan Zarul.

“Luna,” panggil Hanim apabila melihat anak gadisnya terintai-intai di pintu, memerhatikan Farish dan Zarul. “Kenapa ni?”

“Itu hah. Dia orang tu asyik berbual berdua saja. Kita yang di sini, langsung tak dipedulikan,” rungut Luna.

“Adahal orang lelaki yang dibincangkanlah tu,” ujar Hanim lalu meletakkan dulang air di atas meja. “Panggil mereka masuk. Kita minum sama-sama. Lusa, Zarul dah berangkat ke Bali,” arah Hanim lalu melabuhkan punggunya di sofa. Empat gelas kosong diisikannya dengan jus segar yang diperah sendiri.

“Abang, Zarul, ibu panggil masuk. Ibu dah sediakan minuman.” Luna terus menyampuk perbualan kedua-dua lelaki itu.

Mereka berdua menoleh kepadanya.

“Jomlah Zarul,” ajak Farish lalu bangun dari duduknya dan mula melangkah ke dalam.

Zarul berdiri lalu memandang Luna. Mereka berbalas pandangan seketika.

“Kau dah siapkan barang-barang kau?” tanya Luna. Zarul hanya mengangguk.

“Bila aku pergi nanti, kau akan lupakan aku?” soal Zarul kembali.

Dengan pantas Luna menggeleng. Zarul tersenyum melihat gelengan itu.

“Tapi, aku takut kau yang akan lupakan aku,” beritahu Luna lalu menundukkan kepalanya memandang tanah.

Zarul sudah ketawa kecil. “Kalau macam tu, kau selalulah online FB. Kita boleh chatting.  Wee Chat pun ada. Whatsapp pun boleh,” ujar Zarul sekadar mengusik.

“Kau tu yang jarang online. Maklumlah, orang sibuk,” Muncung Luna sudah panjang.

Zarul ketawa lagi. “Bukan aku tak nak online. Tapi, abang kau tak suka,” kata Zarul.

“Abang tak tahu pun! Kau janganlah beritahu dia!” kata Luna seakan merajuk.

“Tak baiklah macam tu. Dia abang kau. Aku tahu, dia tak suka aku rapat sangat dengan kau. Bukan sebab dia tak suka pada aku. Tapi, itu kewajiban dia sebagai seorang wali ke atas kau,” terang Zarul.

Luna tertunduk.

“Luna, boleh kau berjanji dengan aku?” tanya Zarul. Luna hanya mengangguk.

“Aku nak, kau dengar cakap ibu kau, cakap abang kau. Jangan buat perkara yang mereka tak suka. Yang penting sekali, jangan tipu dia orang,” tutur Zarul dengan serius.

“Tipu?” Luna memandang Zarul. “Aku tak pernah tipu dia orang.”

“Betul?” tanya Zarul. Luna mengangguk. “Sebelum ni, kalau kau kata kau keluar ramai-ramai dengan kawan kalau kau nak jumpa dengan Hafizi. Tapi, kenapa hari tu kau cuma berdua dengan dia?”

“Oh, hari tu, Cuma kebetulan aku berjumpa dengan dia,” jelas Luna. “Percayalah, aku tak pernah tipu ibu dan abang.”

Zarul tersenyum lalu mengangguk. “Aku percaya.”

Luna menarik nafas lega.

“Bila kau perlukan aku, beritahu kepada Farish. Aku akan hubungi kau,” ujar Zarul.

“Kenapa aku tak boleh hubungi kau terus? Kalau aku beritahu abang, abang mesti tak benarkan aku hubungi kau,” kata Luna mendesak.

“Luna, cubalah mengerti tanggangjawab mereka ke atas kau. Aku janji, kalau kau dengar cakap mereka, hidup kau akan bahagia,” kata Zarul lagi.

“Luna!” Kedengaran suara Farish dari dalam. Tubuhnya sudah tercegat di depan pintu sambil memandang mereka berdua. “Sudah-sudah! Masuk!”

Zarul memberi isyarat agar Luna menurut perintah. Setelah itu, dia juga ikut masuk ke dalam.


************


LUNA hanya memerhatikan Zarul yang sedang bersalaman dengan orang tuanya. Berbagai-bagai pesana yang diberikan mereka kepada Zarul sehinggakan kepala Zarul terangguk-angguk menerimanya.

Kemudian, ibu Zarul, Fatin beralih memandang Luna. Dia melambai tangan kepada Luna, memanggil agar Luna mendekatiknya. Luna mengikut sahaja.

Fatin memeluk bahu Luna dengan erat. “Janganlah risau, mama akan tengok-tengokkan Luna,” Fatin menepuk bahu Zarul.

Luna tergamam seketika. Apa yang dibualkan mereka sekeluarga sehingga Fatin berkata begitu?

“Kenapa? Zarul risaukan Luna?” soal Hanim pula. Farish sudah menggeleng kepalanya.

“Ah, biasalah budak-budak ni. Dah rapat dari kecil, mulalah nak fikir bukan-bukan bila berjauhan,” balas Fatin.

“Patutnya kita kahwinkan saja mereka berdua ni,” usik Zain, papa Zarul.

Wajah Luna sudah kemerahan.

“Mana boleh pa, Luna ni dah ada boyfriend,” usik Zarul. “Lagipun, tu hah,” dia menunding kepada Farish. “Ada penghalang.”

Farish mendengus. Dia memeluk bahu Zarul dan mengepal penumbuknya. Perut Zarul ditumbuk tipu. Tangan Zarul pula menahan-nahan tumbukan gurauan itu. Kemudian, mereka ketawa. Zarul dan Firash berpelukan.

“Kalau kau suka adik aku, bukan sekarang,” bisiknya di telinga Zarul. Zarul hanya tersenyum sambil tangannya menepuk-nepuk belakang Farish.



*********



Setahun berlalu..........



Ramadan 2



LUNA memandang Farish yang masih menghirup kopi pekatnya. Dia mengerling jam di dinding. Baru pukul lima pagi, masih ada tiga puluh lapan minit sebelum masuk waktu imsak.

Farish pura-pura tidak mengerti dengan kerlingan Luna. Bukan dia tak tahu adiknya itu sebal dengannya kerana melarangnya untuk berbual dengan Zarul ketika lelaki itu menghubunginya tadi.

Dek kerana geram dengan sikap pura-pura Farish, lantas Luna mencapai bantal kecil yang ada di sofa lalu dibalingnya kepada Farish.

“Apa ni?” Farish merungut. “Nasib baik kopi abang tak tumpah.”

“Abang tu!” Luna mengetap bibir. Dia sudah terasa mahu menangis. “Dah setahun pun Zarul pergi, abang tetap tak benarkan Luna hubungi Zarul.”

“Buat apa kau nak hubungi dia? Kau tu ada apa-apa ke dengan dia?” Tanya Farish. Kopi panas itu dihirupnya perlahan.

“Salahkah Luna nak bercakap dengan dia?” Airmata Luna sudah menitis.

“Yang engkau nak menangis ni kenapa? Kau tu ramai peminat di kolej. Takkanlah sebab tak dapat bercakap dengan Zarul kau nak menangis?” Farish bersandar di sofa dan memerhatikan Luna.

“Dia orang tu semua tak ada kaitan dengan Luna. Kalau Luna layan dia orang pun, abang tak kasi. Lagipun, Zarul dah pesan suruh Luna dengar cakap abang. Luna cuma nak bercakap dengan Zarul, bukan dengan budak-budak kolej tu,” dalam sedu sedan Luna bersuara.

“Teruklah kau ni!” Farish mencebik. “Yang tu pun nak nangis.”

“Abang yang teruk!” Luna melempar lagi bantal kecil kepada Farish. Kali ini Farish sempat menepis sebelum bantal itu kena wajahnya.

“Okey, oeky..” Akhirnya Farish beralah. “Nanti, abang suruh Zarul online FB. Korang chat kat sana saja.”

“Tapi Luna nak nak dengar suara dia,” rayu Luna.

“Engkau ni dah kenapa? Angau ke apa?” Mahu sahaja dia mencubit Luna. “Tak payah! Abang takkan benarkan. Lagipun, abang dah dapat jodoh untuk kau.”

“Apa?!” Terkejut Luna dengan kata-kata Farish. “Tapi Luna  belum habis belajar lagi!” bantah Luna.

“Tak boleh. Belajar tetap belajar tapi kau tetap kena kahwin. Selagi kau tak kahwin asyik sebut nama Zarul saja!” dengus Farish dengan kasar.

“Mana boleh macam tu!” Semakin laju airmata Luna mengalir.

“Kau dah lupa pesan Zarul? Dia minta kau dengar cakap abang, kan?” Farish mengingatkan semula pesanan Zarul. Luna mengangguk. “Jadi, kau kena ikut!”



*****************


Ramadan 5...



~facebook.com~ on chat~


Zarul : Assalamualaikum..

Luna: Waalaikummussalam...
            Baru skrg aq dpt berbual dengan kau. Itu pun chatting je...abg ni teruk!

Zarul : Hehehe... Ko sihat?

Luna : X...huhuhu....Ko?

Zarul : Ko sakit???
            Dah jumpa dr?

Luna: Xlah...Aq sihat. Jiwa aq aje yang x sihat

Zarul : Nape ni?

Luna : Aq rindukan ko..

Zarul : Ko rindukan aq??
            Betul ke ni??

Luna : Kau jgn perasan pula..
            Bkn rindu ehem...ehem..tu..
            Cuma, aq tak ada teman mcm ko..
            Ko phmlah abg tu..

Zarul : Sabarlah...dia tahulah apa yg dia wat...

Luna : Dah Setahun...baru ari nie aq dpt chat dgn ko..

Zarul : sedar x sedar, dh stahun  kita brpisahkn...

Luna : bila ko nk balik?? Aq perlukn ko lah...

Zarul : Nape? Tentu ada benda yg jadikn....

Luna : Abg nak aq kawen..

Zarul : Kawen?? Biar betol! Ngan sape?

Luna : X taw laaa... Next week, dia nk bawa aq jumpa...

Zarul : Tahniah...

Luna : Huaaaa...aq x nak!!! X nk!!
            Dr kawen ngan org x kenal, baik aku kawen ngan ko...

Zarul : hahaha....mcm tulah ko..
            Bila dh jadik cam ni, baru ko nk cari aq..
            Awal2 x nak ajak aku kawen...kan senang...

Luna : Tolonglah balek Zarul...pls....

Zarul : Ko msh ingat pesanan aq lagikn....

Luna : Aq ingat....Tp....

Zarul : Percayalah Luna...Farish taw apa yg dia wat..
            Dgr ckp dia..

Luna : Ko dgn Farish same aje
            Aq benci dgn ko....
            Ko jahat!!


~turn off chat~



******************



“PERGILAH,” suruh Farish.

“Tak naklah,” rayu Luna. Matanya sudah terancap kepada orang ramai yang mengunjungi terminal bas itu.

“Engkau ni degillah!” marah Farish. Lantas dia keluar dari tempat pemandu dan berpusing ke tempat penumpang di sisi. Pintu sebelah kiri dibukanya.

“Keluar,” arahnya kepada Luna.

Luna membentak seperti anak kecil, namun akhirnya dia tetap keluar dari dalam kereta. Farish menutup pintu dengan rapat.

“Macam mana Luna nak kenal dengan dia?” tanya Luna sebal. Kerana janjinya dengan Zarul, dia terpaksa juga menurut kata Farish.

“Kau memang tak kenal dia. Tapi, dia kenal kau. Kau tunggu sajalah. Nanti dia nampak kau, dia datang dekat kau,” beritahu Farish.

“Luna tak naklah, bang,” rayu Luna lagi. Airmatanya menitis lagi.

“Janganlah menangis. Batal puasa karang....” farish mendengus. “Pergilah nak atas. Abang tunggu di sini.”

Dengan berat hati, Luna memanjat anak tangga menaiki tingkat kedua terminal bas itu. Luna duduk di salah satu kerusi yang disediakan.

“Nak jumpa pun kat tempat macam ni! Dah tak ada tempat lain!” rungut Luna. Dia terus memerhatikan orang ramai yang lalu lalang di depannya. Tiba-tiba sahaja, matanya menangkap kelibat Zarul di salah sebuah gerai. Zarul sedang membeli sesuatu di kedai itu.

Wajah murung Luna bertukar ceria. Dia terus menghampiri Zarul.

“Zarul!” Hampir sahaja Luna memeluk Zarul. Namun, mujurlah akal sihatnya menghalang. Airmata gembira sahaja yang mampu dititiskan apabila melihat kelibat Zarul.

“Eh, Luna. Kau buat apa di sini?” soal Zarul.

“Aku? Kau tu, bila balik? Kenapa tak beritahu!” marah Luna yang sudah menangis di depan Zarul.

“Kau ni, aku nak pergi dulu pun menangis. Aku dah balik pun menangis,” Zarul menghulurkan tisu kepada Luna.

Luna menyapu airmatanya.

“Kenapa kau tak beritahu nak balik?” tanya Luna sekali lagi.

Emergency kes ni. Company minta balik sini. Ada urusan penting. Aku ingat, lepas selesai baru aku nak ke rumah kau,” beritahu Zarul. “Kau buat apa pula di sini?” tanya Zarul kembali.

Soalan Zarul itu membuatkan Luna menangis lagi.

“Jomlah kita duduk sana,” Zarul menarik tangan Luna. Mereka duduk di bangku tadi. “Kau sorang aje?”

Luna mengangguk.

“Kau tunggu orang?” tanya Zarul.

Luna mengangguk.

“Siapa?” tanya Zarul lagi. Luna menjongketkan bahunya.

“Abang minta aku tunggu calon suami aku di sini,” beritahu Luna dalam sedu sedannya.

“Kau kenal tak?” tanya Zarul lagi. Luna menggeleng. “Dah tu, macam mana?”

“Abang suruh tunggu sampai dia datang,” kata Luna lagi. Dia menarik nafas yang tersekat-sekat kerana terlalu banyak menangis.

“Tak apalah. Aku temankan kau,” ujar Zarul.



**********


30 minit berlalu.....



“Tak ada siapa pun,” ujar Zarul sambil memandang sekeliling. Luna juga berbuat demikian. Luna melirik jam di tangan.

“Aku tak suka orang yang tak tepati masa,” ujar Luna. “Macam mana dia nak jadi suami aku?” Luna menagih simpati Zarul.

Zarul memandang Luna. “Mungkin sebab aku ada di sini kot.”

“Ah...kau janganlah pergi tinggalkan aku,” rayu Luna.

“Kau betul ke tak nak kahwin lagi?” tanya Zarul.

“Aku masih belajar lah,” Luna menyapu airmatanya yang mengalir semula setelah terhenti tadi.

“Berkahwin tak semestinya kena berhenti belajar. Kau minta izin dengan suami kau untuk sambung belajar lagi,” cadang Zarul.

“Itupun kalau dia izinkan,” balas Luna.

“Tentu. Aku yakin, Farish akan cari calon suami terbaik untuk kau,” ujar Zarul.

“Tapi aku tak kenal dia. Lebih baik dia suruh aku kahwin aje dengan kau. Kau pun baik jugak,” kata Luna.

Zarul sudah ketawa. “Kau nak kahwin dengan aku?” tanya Zarul.

“Sudahlah! Kau tu main-main aje,” jeling Luna.

“Okey, aku serius ni.” Zarul memandang Luna. Serius. “Kalau aku nak kahwin dengan kau, kau terima aku?”

“Macam mana dengan abang?” tanya Luna.

“Itu aku akan selesaikan,” beritahu Zarul. “Sekarang ni, kau nak tak kahwin dengan aku?” tanya Zarul.

Luna memandang Zarul. Lama, mencari kejujuran dalam kata-katanya.

“Kau bersungguhkah ni?” tanya Luna.

“Aku dah lama sukakan kau Luna. Kau aje yang tak tahu,” Zarul memandang jauh ke dalam anak mata Luna. “Aku sayangkan kau dari kecil lagi. Dah lama aku tunggu kau. Aku mahu kau cintakan aku seperti mana aku cintakan kau,” ujar Zarul tulus dari hatinya.

“Kau tak pernah beritahu pun,” kata Luna.

“Sebab aku tak tahu hati kau. Sama ada kau sayangkan aku atau tidak,” Zarul tertunduk.

“Aku tak pernah cintakan kau. Aku tak pernah anggap kau lebih dari seorang abang yang sama-sama membesar dengan aku,” jelas Luna.

Zarul memejamkan matnya. Apakah ini bermakna Luna tidak cintakan dia?

“Tapi, sejak kau pergi, aku rasa kosong. Aku rasa kehilangan. Baru aku sedar, kau dah jadi sebahagian dalam hidup aku. Kau dah ada dalam hati aku.” Mereka berbalas pandangan. “Aku sayangkan kau Zarul.”

Zarul tergamam seketika. Inilah detik yang ditunggu-tunggunya selama ini. Dia menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan seutas gelang tangan.

“Kita kahwin,” ajaknya.

“Macam mana dengan lelaki tu?” tanya Luna.

Zarul mencapai tangan Luna lalu menyarung gelang tangan itu. Dia memandang Luna lalu tersenyum.

“Bila aku ada di sini, siapa lagi yang kau nak tunggu?” soal Zarul.

Kening Luna berkerut.

“Kau ingat, siapa lagi yang akan dipilih Farish melainkan aku. Siapalah yang tahan dengan sikap kau yang degil, kuat merajuk dan cengeng ni selain aku?” tanya Zarul.

“Jadi?” Wajah Luna sudah memerah.

“Akulah lelaki yang sentiasa menunggu kau dari dulu sampai sekarang. Sekarang, kau terima tak pilihan Farish?” usik Zarul. "Lepas raya nanti, kita kahwin. kau ikut aku ke Bali, ya."

Luna yang sudah termalu itu bangun dan terus berlari turun. Zarul ketawa kecil.


“Ke mana kau akan lari Luna? Kau akan jadi milik aku selamanya,” Zarul bangun dan mengikut langkah Luna.


-TAMAT-








****************

Terima kasih kerana sudi membaca....Harap anda berpuas hati dengan ending cerita ni.........drop some comment....pls....


SELAMAT BERPUASA YA....




***************










No comments:

Post a Comment