Friday 16 August 2013

Senyumlah Sayang 18







 SaLaM LeBaRaN...

Setelah blog ini menyepi minggu lalu, saya postkan N3 baru untuk untuk kisah Amani dan Izz ya....

EnJoY ReAdiNg ya....

-------------@@-----------


BERGEGAS Tania berlari menuju ke Ilham Hati. Sampai sahaja di tanah lapang di tempat jemuran, langkah Tania menjadi perlahan. Susuk tubuh Amani dan Izz sudah berada di situ. Melihat sahaja kelibat Tania, Izz melambai-lambai memanggil gadis itu. Sekilas Amani menoleh memandang Tania dan kemudian dia menoleh semula ke hadapan.

Dengan berat hati, Tania melangkah mendekati mereka berdua. Dia berdiri di sebelah Amani. “Maaf, Tania terlambat,” ujarnya memandang Izz yang berdiri berhadapan dengan mereka berdua.

“Tak apa,” Izz hanya tersenyum. “Hari ni hari pertama untuk kamu berdua menjalani hukuman.” Izz memulakan mukadimahnya sambil melihat kedua-dua wajah di hadapannya. Seorang masam mencuka, seorang lagi dingin beku.

Amani memeluk tubuh sambil melemparkan memek muka yang tidak menyenangkan. Seperti biasa, jelingan Amani itu dibalas dengan senyuman oleh Izz.

“Hari ini, kamu berdua akan belajar cara mencanting batik,” beritahu Izz.

“Canting batik?” Terlopong Tania di situ. “Tapi, Tania tak pandai.” Tania sudah menarik muncung panjangnya. Bukan saja kerana dia tidak pandai, namun dia juga tidak minat.

“Tak apa. Kita belajar ya. Mari!” Izz sudah berpaling dan masuk ke dalam pondok mencanting. Kelihatan beberapa pekerja perempuan sedang tekun mencating kain sutera. Amani kelihatan begitu tertarik dengan corak yang dilukis. Dia memegang bahagian kain yang masih  belum di canting sambil memerhatikan corak yang terlukis.

“Hasil corak dari Tuan Helmi?” soal Amani yang masih menunduk sambil jari telunjuk kirinya mengikuti corak lukisan yang terlukis di atas kain putih itu. Sungguh kreatif corak yang dilukis itu.

“Ya. Biasanya Tuan Helmi sangat gemar dengan corak yang berunsurkan alam dan flora,” ujar Izz lalu berdiri di sisi Amani. “Ini batik sutera yang biasanya menjadi permintaan. Tapi, kita juga pasarkan kain batik fuji dan kaftan,” terang Izz lagi.

Tania hanya memerhatikan tingkah Amani yang begitu asyik dengan lukisan yang dilakarkan Tuan Helmi.

 “Boleh saya melukis?” soal Amani dengan tiba-tiba dan terus memandang Izz.

Izz mengetap bibirnya, lalu dia menggeleng. “Hari ni awak dan Tania perlu belajar cara mencanting batik. Saya dah siapkan tempatnya.” Izz berjalan ke satu sudut yang bersebelah dengan kayu pemidang.

“Ini kain untuk kamu berdua,” Izz menunjukkan dua helai kain empat segi tepat yang bersaiz 8 inci sisi kanan dan kiri, dan 5 inci disisi atas dan bawah. Kain itu telah siap di tegangkan di atas pemidang empat segi. Di atas setiap kain telah siap dilukiskan corak. “Sebelum kain dilukis, kain perlu dicuci untuk menghilangkan kanji. Lepas tu dikeringkan dan ditegangkan pada pemegang kayu seperti ini.” Izz memandang kepada Amani dan Tania yang sedang meembelek kain masing-masing.

“Nampak tak periuk besar tu?” Izz menunding di satu sudut. Kepala Amani dan Tania tertoleh kepada arah yang ditunjukkan Izz. “Itu adalah lilin yang telah dipanaskan. Tapi, kamu berdua gunakan yang ini,” Izz menunjukkan sebekas lilin cair yang masih terletak di dapur gas yang kecil dan api masih dinyalakan dengan perlahan.

“Ini adalah alat canting yang diperbuat daripada tembaga,” Izz memberikan seorang setiap satu alat canting. “Ambil lilin dalam bekas tu dan ikut lukisan yang dilukis dengan pensil ni. Pastikan cantingan tidak putus dan elok bercantum untuk mengelakkan warna tidak merebak keluar. Hati-hati sebab lilin yang digunakan perlu dalam keadaan panas dan perlu ditukar ganti sebelum lilin menjadi sejuk. Lepas tu, sapukan warna mengikut kreativiti masing-masing.” Izz memandang mereka berdua yang hanya memerhatikan wajahnya.

“Faham?” tanya Izz sambil terjongket keningnya.

“Faham,” Tania mengangguk.

 “Lepas tu?” tanya Amani dengan begitu berminat.

“Lepas warnakan, biarkan kain kering dulu. Lepas tu, sapukan permukaan kain dengan pemati warna.” Izz menunjukkan bekas yang mengandungi Sodium Silicate. “Kemudian, biarkan kering lebih kurang dua atau tiga jam. Lepas sapukan pemati warna, datang jumpa saya dan saya akan terangkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.”

“Macam susah aje,” ujar Tania dengan rasa ragu-ragu. Dia mencapai berus cina dan membelek-beleknya. Selama ini, dia tidak pernah belajar cara untuk mencanting batik. Bukan itu sahaja, dia sendiri tidak minat dengan seni lukisan.

“Percaya dengan diri Tania. Tania-kan anak Tuan Helmi. Saya percaya, Tania boleh lakukan,” ujar Izz memberi semangat. Tania memandang Izz, dia menarik nafas panjang dan menghembusnya kasar. Dia mengangguk.

Tanpa menunggu lebih lama, Amani terus mengambil pemidang miliknya. Dia sudah membelek lukisan yang telah dilukiskan Tuan Helmi di atasnya. Dia mula mencapai alat canting dan melakukan seperti apa yang diajarkan Izz.

Izz hanya tersenyum melihat Amani yang kelihatan begitu tekun dengan kerjanya. Sebenarnya, Izz sendiri tidak pernah mencanting batik. Apa yang diajarkannya kepada Tania dan Amani hari ini, hanyalah teori yang dibelajarnya daripada Mak Mina yang baru dipelajarinya pagi tadi.

 Izz memandang ke luar. Baru sebentar tadi hujan membasahi bumi Ilham Hati. Sudah agak lama hujan tidak turun. Cuaca saat ini begitu mendamaikan dan terasa segar. Izz berlalu pergi meninggalkan mereka berdua di situ untuk meneruskan ‘hukuman’ yang dikenakan. Namun, hukuman sebegitu tidak sepatutnya disebut sebagai hukuman. Mungkin lebih sesuai disebut sebagai sesi pembelajaran.

Tania memerhatikan Amani yang sudah tenggelem dalam dunianya sendiri. Amani kelihatan begitu asyik mencanting lukisan itu. Tania memuncungkan bibirnya lagi. Dia mencedok lilin panas ke dalam canting dan mula mengikut lukisan di atas kain. Namun, kerja yang dilakukan agak lambat menyebabkan lilinnya cepat sejuk dan hampir membeku. Maka, dia kerap kali menukar lilinnya.

Amani mengerling Tania yang dilihatnya begitu kerap menukar lilin di dalam canting sedangkan lukisan yang sedang di canting hanya berbentuk geometri. Bentuk segitiga yang sedang dicanting Tania belum sempurna satu sisi pun.

“Enam belas tahun kau di sini. Walau hanya satu lukisan kau tak mampu lakukan dengan betul?” soal Amani yang berbaur sindiran.

Tania mengerling Amani yang kembali meneruskan cantingannya. Amani memang sangat berbakat. Tingkah Amani bagaikan dia pernah melakukan semua ini. Lukisan bercorak flora yang dilukis atas kain Amani kelihatan lebih sukar dari lukisan geometri di kainnya. Namun, cantingan Amani sudah hampir sempurna.

“Kak, tolong saya,” ujar Tania memohon simpati.

Amani kembali mengerling Tania. Tangannya terhenti dari mencanting. Wajah simpati Tania dipandangnya, lama. Dia menjeling lalu menyempurnakan cantingannya. Setelah itu, dia meletakkan kainnya di sisi. Dia mencapai kain Tania dan mula mencanting. Setelah siap, dia menyerahkan semula kepada Tania.

“Terima kasih,” ujar Tania kepada Amani yang langsung tidak memperdulikannya.

Amani sudah termenung di hadapan lukisannya. Dia menongkat dagunya dengan kedua-dua tangannya dan terus memandang ke luar. Sungguh, dia tak tahu bagaimana mahu mewarnakan lukisannya. Dia terus merenung ke langit biru. Hujan yang lebat sebentar tadi sudah semakin renyai dan akhirnya, langit kelam kelihatan biru semula. Terlihatlah sinaran mentari yang melobosi awan yang masih melindungi matahari.

“Bila hujan turun dengan lebatnya, matahari hilang dari pandangan. Bila hujan berhenti, kita akan lihat lubang-lubang cahaya matahari yang muncul di celahan awan. Bila saya lihat pemandangan seperti itu, saya akan kata pada diri saya. Cahaya yang muncul di celahan awan itu ibaratkan satu harapan. Bila diri kita dipenuhi dengan kegelapan, kita juga mengharapkan cahaya dari celahan itu akan menyuluh kita pada jalan yang terang."

Tiba-tiba sahaja Amani teringat semula kata-kata yang pernah diucapkan Izz. Izz benar, lubang-lubang cahaya yang menembusi awan itu kelihatan begitu cantik, seolah-olah harapan baru sedang muncul dan memusnahkan kegelapan.

Namun, dengan tiba-tiba muncul pelangi di situ. Terkesima Amani dengan keindahan yang baru dilihatnya. Terus dia bangun dan berjalan ke muka pintu dan matanya masih terus terpaku pada pelangi yang indah.

“Awak silap Izz, bukan lubang cahaya saja yang cantik, pelangi juga sangat indah,” ujarnya dengan perlahan. Dia terus kembali semula ke kain pemidangnya. Dia menyediakan tujuh warna pelangi dan mula mewarnakan kainnya mengikut kreativiti tersendiri.

“Wah! Cantiknya!” Tania terpaku kepada hasil kerja Amani. Dia memandang sayu kepada hasil kerjanya sendiri. “Tania punya tak cantik!” Ada nada rajuk dalam suaranya. Saat ini dia bagaikaan terlupa pertelingakahan yang berlaku antara dia dan Amani.

Amani mengerling lukisan Tania. Lukisan geometri milik Tania telah diwarnakan dengan warna biru kehijauan sebagai warna tanahnya. Manakala, coraknya pula dibiarkan bercampuran dengan hijau dan warna biru asas yang diletakkan sebagai tonanya.

“Hasil kerja kau tu dah okey. Sesuailah untuk kau yang baru belajar kenal seni,” ujar Amani.

“Kakak pun masih amatur macam Tania. Tapi, hasil kerja kakak cantik!” ujar Tania sekaligus memuji Amani.

“Aku lain, kau lain. Aku ada apa yang kau tak ada. Kau ada apa yang aku tak ada,” balas Amani. “Sebab tu aku ambil seni.”

Tania menjongketkan keningnya. Kata Amani ada benarnya. Dia bukan sahaja tak punya bakat, tetapi juga tak minat kerana itu dia tidak mengambil pendidikan seni sebagai salah satu subjek tambahan di sekolah.

“Wah! Tania! Cantiknya!” Tiba-tiba Mak Mina mendekati mereka berdua.

Amani mengambil hasil kerjanya dan membalikkan lukisna itu menghadap ke arahnya agar lukisan itu tidak dapat dilihat oleh Mak Mina.

“Cantikkah Mak Mina?” tanya Tania dan wajahnya sudah bertukar ceria.

“Tania ada bakat. Kalau Tania rajin belajar, hasilnya tentu lebih cantik!” Mak Mina memberi semangat. Lalu, tangannya melambai kepada beberapa orang pekerja yang berada di situ. Mereka semua berkumpul dan melihat hasil kerja Tania. Seraya dengan itu pelbagai pujian dilemparkan kepada Tania. Dengan itu juga, ada mata-mata yang melemparkan jelingan kepada Amani. Seolah-olah menyampah dan meluat dengan kehadiran Amani di situ.

Amani terus bangun dari situ bersama hasil kerjanya. Dia berjalan keluar di Ilham Hati dan berhenti di bawah pokok bunga kertas yang semakin membesar. Di sekeliling Ilham Hati dan Syurga Ilham Hati, kedua-dua kawasan itu telah dicantikkan dengan pokok-pokok bunga kertas. Dia duduk di atas tanah dan meletakkan lukisan itu di atas pahanya dan bersandar pada dahan pokok bunga kertas yang berwarna merah jambu itu.

Dia terus memerhatikan ke dalam kawasan pondok di mana ramai pekerja masih lagi berkumpul di hadapan Tania. Dia memandang lukisannya. Dia tersenyum. Dia mahu Izz menjadi orang pertama yang melihat lukisannya. Dia hanya mahu mendengar apa kata Izz tentang hasil kerjanya itu. Dia tak peduli tentang pandangan orang lain.

“Amani, kenapa awak di sini?” tanya Izz yang baru muncul di situ.

Amani menoleh memandang Izz yang berdiri tidak jauh darinya. Amani bangun dari duduknya. Tanpa berkata apa-apa Amani menunjukkan hasil kerjanya kepada Izz.

Izz terkesima seketika melihat hasil kerja Amani. Dia mencapai hasil kerja Amani dan memerhatikan dengan penuh rasa kagum. Amani pasti, riak wajah Izz menunjukkan bahawa lelaki itu sukakan hasil kerjanya.

“Hasil kerja awak ni boleh dikategorikan sebagai batik pelangi. Batik pelangi sedang meningkat naik di negara kita,” beritahu Izz.

“Uh?” Amani yang tidak mengetahui apa-apa ternyata terkejut dengan kata-kata Izz. Izz menyerahkan semula kain pemidang itu kepada Amani. Dia membuka laptopnya dan duduk di tanah dan bersandar di tempat di mana Amani duduk sebentar tadi. Dia mula melayari internet.

"Mari Amani,” panggil Izz. Amani bersimpuh di sisi Izz. “Cuba awak lihatnya.” Izz memusing skrin laptopnya ke arah Amani.

Amani terus membaca sedikit artikel berkenaan kain batik pelangi dan gambar-gambar yang disertakan sekali di dalam laman web itu.

“Awak memang berbakat Amani. Bakat semulajadi,” puji Izz. Sekali lagi Izz mengerling hasil kerja Amani. “Kain awak dah kering. Marilah,” Izz sudah berdiri semula. “Saya akan minta Mak Mina tunjukkan cara yang betul untuk matikan warna dengan cara yang  betul. Kalau tak silap saya, proses tu makan masa 2-3 jam. Lepas tu, kain perlu direbus dalam campuran air dan debu soda. Kemudian, kain perlu dicuci, dibilas dan dijemur di tempat redup. Tapi, kalau kain besar ni, memadai diseterika saja,” terang Izz.

Amani mendengar semuanya dengan penuh minat. Satu-persatu apa yang diterangkan Izz dimasukkan kedalam kotak ingatannya. Tanpa disedari, Tania sedang memerhatikan mereka berdua dari jauh dengan rasa kesal.


USAI Amani dan Tania merendam kain di dalam sodium silicate, mereka berdua mengikut Izz ke Galeri Emerald. Mereka berdua perlu membersihkan semula galeri yang telah dibersihkan Amani dan Izz sebelum ini.

Lebih kurang jalm lima petang, barulah mereka tiba semula di Ilham Hati. Tatkala itu, kain yang diwarnakan mereka sedang direbus oleh Mak Mina. Izz menegah mereka daripada menunggu dan menyuruh mereka pulang ke Syurga Ilham Hati dan berehat. Mereka berdua hanya menurut kerana mereka sendiri telah keletihan.

Malam itu, usai sahaja solat Isyak, Tania terus menarik tangan Zaiton masuk ke dalam kamarnya. Sibuk sekali dia bercerita tentang apa yang dilakukannya sepanjang hari ini. Zaiton pula, sangat lega melihat Tania yang masih lagi mendekatinya setelah apa yang telah dilakukan Amani.

Teruja benar Tania menunjukkan hasil kerja mencanting kain yang pertama dilakukannya kepada Zaiton. Kain itu telah siap diletakkan di dalam bingkai gambar oleh Izz. Izz menyerahkan kepadanya ketika makan malam tadi.

Malas melihat situasi itu, Amani keluar dari rumah setelah berbaring di atas katil. Dia mula berlegar di halaman belakang. Entah kenapa, dia tidak dapat melelapkan mata walaupun badannya terasa letih. Ketika makan malam tadi, Tuan Helmi tidak ada bersama mereka. Kata Tania yang sibuk berceloteh dengan Zaiton, Tuan Helmi ke Singapura petang tadi. Tuan Helmi telah melihat lukisan Tania dan menyuruh Izz meletakkan di dalam bingkai. Apakah Tuan Helmi tidak melihat hasil kerjanya?

Izz yang kebetulan masih belum tidur, menyelak sedikit jendelanya dan membuka jendela itu agar angin malam bisa menyegarkan pondok kecilnya. Tatkala dia berbuat begitu dia terlihat kelibat Amani. Izz tersenyum melihat gadis itu yang sedang memeluk tubuhnya dengan erat bersama kain selendang yang dikenakan. Tentu sahaja gadis itu sedang melindungi dirinya dari disapa angin malam yang dingin.

Izz melangkah keluar dari pondok buruknya. Sempat dia mencapai bingkai gambar lalu disembunyikan di belakang.

“Assalamualaikum,” sapa Izz.

Amani menoleh memandang susuk tubuh yang sudah berdiri tidak jauh darinya. “Waalaikummussalam,” balas Amani. Dia mengeling Izz dan menoleh semula ke tampat lain.

“Saya ada hadiah untuk awak dari Tuan Helmi,” ujar Izz. Seraya dengan itu Izz mengelurkan bingkai gambar yang berisi hasil kerja Amani dari belakang tubuhnya. “Saya yang bingkaikan gambar ini untuk awak dan juga Tania. Ia akan menjadi kenangan untuk kamu berdua. Hasil kerja yang pertama.”

Amani memandang Izz dan bingkai gambar itu silih berganti. “Apa kata Tuan Helmi?” Amani mahu tahu apa pandangan Tuan Helmi yang mempunyai pengalaman yang begitu luas dalam bidang itu.

“Awak adalah dia,” kata Izz.

“Uh?” Kening Amani terjongket. 
     
“Tuan Helmi kata, ada dia dalam diri awak,” beritahu Izz.

Amani tergamam. Ada Tuan Helmi dalam diri Amani? Bukankah itu satu penghargaan yang sangat besar? Namun, dalam masa yang sama dia terasa sangat terharu.

“Ambillah dan simpan baik-baik.” Izz menghulurkan lagi bingkai gambar itu. “Hidup ini ibarat roda. Adakalanya kita akan tersungkur. Jika itu berlaku pada awak, lihatlah hasil kerja awak yang pertama ini. In Sha Allah, ia akan beri kekuatan untuk awak bangkit semula,” Ujar Izz.  “Jangan terlalu lama berembun Amani. Tak elok untuk kesihatan.” Setelah itu, Izz berlalu pergi meninggalkan Amani.

Amani melihat semula hasil kerjanya yang pertama telah dibingkaikan. Ada kata-kata yang telah tertulis di atas cermin bingkai itu.

"Sapalah angin yang menderu, minta ia melayangkan perasaanmu. Sapalah kunang-kunang yang berterbangan hinggap di bahu mu, minta ia terbangkan kesakitanmu. Sapalah awan yang berarak lalu, minta ia bawa pergi airmatamu.” Amani membaca kata-kata yang tertulis di situ dan terdapat nama Izz dibawahnya.

Tiba-tiba sahaja Amani menjadi sebak dan penuh rasa terharu. Terima kasih Izz…


-------@@----------

Harap anda suka dengan N3 Ini.....Buat pembaca, jika ada yang terlibat dengan pembuatan batik, sila inform saya jika N3 ini ada silapnya ya.....Pls....Sebab saya hanya mencari maklumat tentang batik dengan pakcik Googles......


-------------@@------

2 comments: