Friday, 20 September 2013

Biarkan Aku Sendiri- episod 2




Hai...Assalamualaikum semua...
Sambungan spesial N3 minggu ini....
Selamat membaca...
Apa yang kurang harap di tegur ya...

---------------------@@



ENAM BULAM KEMUDIAN....



Miza tergamam tatkala melihat semua beg pakaiannya dan Alia bertaburan di depan pintu pagar. Dia melangkah keluar dari Kelisa-nya. Tertera papan tanda yang menyatakan rumah itu telah dijual.

“Puan Miza,” tegur satu suara.

Miza berpaling memandang kelibat yang menegurnya. Kelihatan seorang wanita yang anggun bersama sut hitam sedang membawa fail di tangan. Di sisinya berdiri sepasang suami isteri yang sedang berpegangan tangan.

“Ya, saya,” kata Miza.

“Saya Maria, peguam Tuan Jeffry,” wanita itu menghulurkan salam perkenalan dan disambut Miza.

“Pertama sekali saya nak minta maaf kepada puan. Rumah ini telah dijual oleh Tuan Jeffry. Puan tidak dibenarkan lagi tinggal di sini,” ujar Maria.

“Memang rumah ini atas nama Jeffrey. Tapi, ini rumah saya. Saya yang membayar semua pembelian rumah ni!” tegas Miza. Setelah Jeffry meninggalkan mereka, dia yang menyambung pembayaran rumah ini.

“Saya minta maaf, puan. Walaupun puan yang membayar pinjaman rumah, tapi nama di surat perjanjian adalah atas nama Tuan Jeffrey seorang. Dia berhak menjual rumah ini dan puan tidak ada hak ke atasnya,” kata Maria.

Miza menggigit bibir bawahnya. Sampai hati Jeffrey buat begini kepada mereka. Dia tahu, Jeffrey tentu mahu membalas dendam kepadanya kerana telah menfailkan penceraian. Setelah perbicaraan mahkamah, perkahwinan mereka telah dibubarkan.

“Rumah ini dah ada pembelinya. Hari ini juga mereka berdua akan tinggal di sini,” beritahu Maria.

“Tapi, kenapa Jeffrey langsung tak beritahu saya?” soal Miza.

“Maaf puan, saya cuma jalankan kerja saya. Saya tak boleh masuk campur hal peribadi puan dan Tuan Jeffrey.” Setelah berkata begitu, Maria terus membuka kunci rumah dan menyerahkan kepada pembeli baru yang datang bersamanya.

Dengan perasaan yang sangat kecewa, Miza mengangkat  beg-beg pakaiannya dan masukkan ke dalam kereta.

“Kita nak ke mana?” soal Miza sendirian setelah dia duduk di tempat pemandu. Dia menoleh memandang wajah Alia. Alia mengenjakkan tubuhnya sedikit dan memegang pipi Miza.

“Mama jangan nangis.” Bagaikan mengetahui airmata Miza akan tumpah bila-bila masa sahaja, Alia terus memujuk ibunya.

Miza mencapai tangan kecil Alia dan menggenggamnya erat. “Selagi Alia bersama mama, mama akan kuat demi Alia.” Dia mencium pipi Alia.

Tapi, ke mana harus di bawa Alia? Mahu menghubungi Aina, dia tak mahu menyusahkan Aina. Apatah lagi mahu menumpang di rumah Aina. Tentu sahaja akan mengganggu Aina dan suaminya.

----------------@@------------

KETIKA Dany memandu melalui Restoran Masakan Melayu Asli, dia melihat kelibat Miza dan Alia sedang tertidur di atas ribaan Miza. Hatinya mula tertanya apa yang dilakukan Miza dan Alia di restoran itu pada jam sebelas malam.

“Tentu ada sesuatu yang tidak kena!” Dany terus memusing stereng kereta dan memakirkan kereta di bahu jalan. Dia melintasi jalan yang sesak itu dan terus menghampiri Miza dan Alia.

“Assalamualaikum Miza,” Dany terus menarik kerusi dan duduk di kerusi bertentangan.

“Waalaikummussalam,” jawab Miza yang agak terkejut dengan kehadiran Dany di situ.

“Miza bawa Alia keluar makan?” tanya Dany membuka kata.

“Ya,” tergagap-gagap Miza menjawab sambil menganggukkan sedikit kepalanya.

Sekilas mata Dany memandang meja makan itu. Ada segelas air di atas meja Miza. Namun, tiada pinggan di situ. “Dah sudah makan?” tanya Dany.

Miza hanya mengangguk berat sambil kepalanya tertunduk. Tak tahu kenapa tatkala Dany bertanya begitu, dia terasa mahu menangis. Namun dia tetap cuba menahannya.

Melihat wajah Miza, Dany tahu ada yang tidak kena. “Kasihan Alia. Biar saya dukung dia.” Tanpa menunggu keizinan dari Miza, Dany terus mengangkat tubuh Alia dari ribaan Miza. Dany menegakkan tubuh Alia dan mendukungnya di bahu. Miza hanya membiarkan sahaja Dany mengambil Alia.

“Kenapa tak balik lagi?” tanya Dany. Miza membisu.

“Kereta rosak?” tanya Dany lagi. Miza menggeleng perlahan.

“Nak saya hantarkan?” soal Dany lagi. Miza memandang wajah Dany.

“Awak boleh tolong saya?” Akhirnya Miza bersuara. “Saya nak minta tolong makcik Leha, pakcik Deris dan awak jagakan Alia.”

Berkerut kening Dany mendengar permintaan Miza. “Kenapa Miza? Beritahu saya,” kata Dany seakan mendesak.

“Saya tak boleh jaga Alia buat masa sekarang. Saya akan ambil Alia nanti. Tolong jaga Alia,” rayu Miza. Dia terus bangun untuk pergi.

Namun, dengan pantas tangan kanan Dany mencengkam kemas pergelangan tangan Miza. “Awak tak boleh pergi macam tu saja, Miza,” kata Dany. “Saya tahu awak ada masalah. Tapi, awak tak boleh tinggalkan Alia macam tu saja.”

“Tolonglah saya Dany. Saya perlukan bantuan awak sekeluarga untuk jagakan Alia. Saya akan datang ambil Alia semula.” Miza cuba menarik tangannya dari genggaman Dany.

“Berapa lama? Sehari? Dua hari?” tanya Dany.

“Saya tak pasti! Tapi, saya akan ambil Alia bila saya dah dapat rumah sewa.” Dalam tak sedar, Miza sudah terlepas kata.

“Kenapa dengan rumah awak?” tanya Dany tanpa melepaskan tangan Miza walaupun Miza masih cuba sedaya upaya untuk menarik tanganya. “Saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak dan Alia kena ikut saya balik!” tegas Dany.

“Saya boleh jaga diri saya sendiri. Cuma, tolong jagakan Alia untuk saya,” rayu Miza. Kali ini dia sudah berhenti dari cuba menarik tangannya.

Dany memandang jauh ke dalam mata Miza. Kemudian, dia menggeleng. “Saya tak boleh biarkan awak pergi sendirian.”

“Percayalah, saya boleh jaga diri saya sendiri.” Miza masih bertegas tidak mahu mengikut Dany.

“Saya tak tahu sama ada awak boleh jaga diri awak sendiri atau tidak. Tapi, saat ini, saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak ikut saya dengan rela atau dengan paksa? Awak pilihlah sebab saya takkan lepaskan awak!” tegas sekali Dany memberi keputusannya.

“Ada masalah apa di sini, ya?” tiba-tiba muncul pemilik restoran di situ bersama seorang pekerjanya.

Dany dan Miza terus menoleh memandang mereka berdua. Dany semakin erat menggenggam tangan Miza kerana khuatir Miza akan mengambil kesempatan itu untuk pergi.

“Tak ada apa-apa,” balas Dany.

“Ini siapa?” tanya pemilik restoran itu kepada Miza sambil menunding kepada Dany.

“Saya suami dia.” Dengan pantas Dany memberi jawapan selamat. Miza pula seakan terkejut dengan jawapan Dany.

“Betul?” tanya pemilik restoran itu lagi kepada Miza.

Miza mengangguk dengan perlahan. Dany menarik nafas lega apabila Miza mengiakan pembohongannya.

“Encik jangan risau. Saya bukan orang jahat. Biasalah, suami isteri kadang-kadang bertengkar juga. Saya cuma nak pujuk isteri dan anak saya balik rumah,” kata Dany.

“Oh,” Terangguk-angguk kepala pemilik restoran itu. “Baliklah puan, kasihan anak tu.”

“Berapa semua?” tanya Dany apabila teringat kemungkinan yang Miza masih belum membayar minuman yang dipesannya.

“Tak mengapa. Saya beri percuma. Puan, ikutlah suami puan balik,” balas pemilik restoran itu.

“Terima kasih, ya. Kami minta diri dulu.” Dany membawa Miza dan Alia pergi dari situ. Tangan kirinya masih mendukung tubuh Alia yang terlentok di bahunya. Tangan kanannya pula terus kemas memegang tangan Miza sehingga sampai di kereta.


-----------------@@--------------

MIZA melipat kemas telekungnya. Dia bangun dari sejadah dan duduk di birai katil. Wajah Alia yang sedang nyenyak dipandang lama. Satu kucupan singgah di dahi comel itu. Pintu kamar itu dibuka dari luar. Muncul kelibat Zaleha di situ. Zaleha memberi isyarat kepada Miza agar mengikutnya.

Miza menurut langkah Zaleha. Sampai di ruang tamu, Zaleha menarik tangan Miza agar duduk di sebelahnya.

“Hari ni, Miza tak payah ke pejabatlah. Berehatlah dulu,” kata Zaleha. Dia tahu, sepanjang malam Miza tidak dapat melelapkan matanya.

Miza menundukkan kepala, memandang tangannya yang tergenggam kemas. “Saya tak sangka Abang Jeffrey sanggup buat macam ni. Tiga tahun dia tinggalkan kami macam tu aje,” Miza mengangkat kepala memandang Zaleha. “Salahkah saya minta dilepaskan?”

Zaleha menggelang. “Tak!” Zaleha menarik bahu Miza agar rapat dengannya. “Jeffrey tu  yang dah tak betul. Sudahlah tinggalkan kamu dan Alia. Rumah tu pun dia ambil. Padahal bukan dia yang membayar rumah tu.” Zaleha turut merasa pedih dengan tindakan Jeffrey. “Selagi kamu tak ada rumah, kamu tinggal dengan makcik.”

“Saya dah hantar pesanan kepada Aina dan beritahu dia yang saya tak masuk pejabat. Hari ni, saya akan cari rumah sewa.” Satu senyuman dilemparkan kepada Zaleha.

“Tak perlulah tergesa-gesa Miza. Kasihan Alia tu. Kalau ada rumah dekat-dekat sini, barulah Miza pergi. Kalau tidak susah Miza nak hantar Alia ke sini nanti,” kata Zaleha.

“Seganlah saya dengan makcik dan pakcik. Makcik dan pakcik dah banyak tolong saya. Dany pun sama. Lagipun, apa kata jiran-jiran kita nanti? Tentu diorang akan fikir yang bukan-bukan tentang saya dengan Dany,” beritahu Miza.

“Miza perempuan, Dany tu lelaki. Biarlah dia yang cari tempat lain buat sementara ni. Lagipun, lepas bawa Miza dan Alia ke sini, Dany dah pun pergi. Dia sewa di hotel murah di jalan besar tu,” kata Zaleha.

“Ya Allah,” Miza menangkup mulutnya. “Miza ni menyusahkan Dany saja.”

“Tak Miza, Miza dan Alia langsung tak menyusahkan. Lagipun, Dany sendiri dah pesan dengan makcik. Katanya, dia mahu Miza dan Alia tinggal di sini. Dia yang akan cari rumah sewa. Sementara tu, dia akan tinggal di hotel.” Zaleha mengusap belakang. “Jangan sesekali fikir yang Miza dan Alia menyusahkan kami. Ingat!”

------------------------------@@-----------------


KRINGGG....Kringg....

Loceng yang berbunyi itu menarik perhatian Alia yang sedang bermain buaian. “Wah! Aiskrim!” Alia menahan buaiannya dengan tapak kaki dari berhayun.

Dany menoleh memandang ke belakang. Kelihatan seorang apek aiskrim berhenti di bahu jalan yang tidak jauh dari mereka. Ramai kanak-kanak yang berada di taman permainan itu mula mengerumuninya.

“Alia nak aiskrim?” tanya Dany. Alia mengangguk. “Jom!”

“Alaa...Pakcik belikanlah untuk Alia,” rayu Alia.

“Iyalah, pakcik nak belikan untuk Alia-lah ni,” balas Dany.

“Tak.....bukan....” Alia menggeleng apabila Dany tak mengerti maksudnya. “Pakcik belikan aiskrim, Alia tunggu sini.”

“Jomlah kita pergi sekali. Alia pilih aiskrim yang Alia nak,” ajak Dany lalu menghulurkan tangan.

“Tak nak! Alia tunggu sinilah. Kalau Alia bangun, orang lain nanti ambil buaian Alia,” ujar Alia.

Dany menoleh pula kepada apek aiskrim yang hanya sepuluh langkah di hadapannya. “Okey, Alia tunggu sini, pakcik belikan aiskrim mangkuk untuk Alia. Jangan pergi mana-mana tahu!” pesannya.

“Alia tunggu sini!” Alia sudah tersenyum lebar.

Dany meninggalkan Alia untuk membelikan aiskrim. Setelah membelikan semangkuk aiskrim buat Alia dan aiskrim Magnum untuk dirinya sendiri, dia kembali semula ke tempat Alia bermain buaian.

“Alia, aiskrim dah sampai,” dia memandang Alia.

Namun, kelibat Alia tidak ada di buaian itu. Hanya yang ada buaian kosong yang sedang terhayun sendiri. Dany berlari si sekeliling padang dan memerhatikan semua kanak-kanak yang berada di situ. Namun, kelibat Alia tetap tidak kelihatan.

“Alia!!!”


------------------@@--------------

MIZA menekan brek dengan kuat apabila tiba di hadapan rumah Zaleha sehingga bahunya terenjak ke depan. Terus dia meluru keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah Zaleha.

“Astaghfirullah...” Aina di sebelahnya sudah mengucap panjang. 

“Mana Alia?” soal Miza sebaik sahaja kakinya menjejakkan kaki  ke dalam rumah.

Zaleha, Deris dan Dany terus menoleh kepadanya. Dany membalas menelan air liur dan matanya terus bertentangan dengan Miza. Melihat ke dalam mata Miza, dia dapat merasakan perasaan takut wanita itu.

Miza mendekati Dany. “Mana Alia?!” Suaranya di tahan namun dengan nada yang keras.

“Miza, saya minta maaf. Saya....” Dany tak tahu untuk berkata apa. Betapa menyesalnya dia dengan kelalaiannya. Kalaulah dia bertegas membawa Alia bersamanya untuk membeli aiskrim, tentu semua ini takkan terjadi.

“Ya Allah...” Akhirnya, tangisan yang sedari tadi di tahan Miza berguguran. Tersekat-sekat nafasnya bersama tangis esaknya.

“Maafkan saya Miza, maafkan saya...” Hanya itu yang mampu dikatakan Dany. Pedih hatinya melihat kesengsaraan Miza kerana kecuaiannya.

Zaleha terus meluru memeluk Miza. Dia juga khuatir dengan keselamatan Alia.

“Kita buat laporan polis,” usul Aina.

“Tak boleh selagi tak cukup dua puluh empat jam,” ujar Deris pula. “Jangan buang masa di sini. Lebih baik kita keluar dan cari Alia.”

“Betul!” Aina juga bersetuju. “Kau ada gambar Alia?” tanya Aina kepada Miza. Miza mengangguk. “Kau send gambar Alia, biar aku upload di FB dan twitter. Untung-untung ada orang nampak dia.”

Dengan pantas Miza menghantar gambar Alia kepada Aina melalui emailnya sambil tangannya menekan punat-punat telefonnya.

“Awak perlu beritahu Jeffrey. Mungkin dia boleh bantu kita untuk cari Alia,” cadang Dany.

“Saya tak perlukan bantuan dia!” tegas Miza.

“Ini soal Alia. Mungkin Jeffey boleh bantu,” pujuk Dany lagi. “Demi Alia....Miza, beritahu Jeffrey.”


---------------------@@------------------

“ADA apa kau cari aku?” Jeffrey menyeluk kocek seluarnya tanpa memandang Miza.

“Alia hilang,” sayu Miza menuturkan kata.

“Habis tu?” Sedikit pun Jeffrey tidak menunjukkan riak kerisauan seperti yang di harapkan Miza.

“Kita memang dah tak ada apa-apa hubungan. Tapi Alia anak awak!” Ujar Miza separuh menjerit. Dia sudah tidak membahasakan Jeffrey sebagai ‘abang’.

Jeffery mengerling Dany yang sedang bersandar di sebuah kereta tidak jauh dari tempat dia dan Miza berada. “Sebab awak dah ada orang lain awak minta cerai dari saya?” soal Jeffrey.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang kita,” balas Miza.

Jeffrey mendengus dengan jawapan Miza. “Kalau dah ada orang baru, tak perlu cari saya!”

“Kan saya dah cakap, ini bukan soal kita! Soal Alia! Alia tu anak awak!” Nada suara Miza sudah meninggi.

“Mentang-mentanglah aku bukan suami kau lagi, kau dah pandai nak jerit-jerit?!” Jeffrey kelihatan bengang dengan sikap Miza. “Sudah! Kau dah tak ada apa-apa hubungan dengan aku. Aku pun tak pernah anggap Alia anak aku!” tegas Jeffrey. Jeffrey menendang tayar keretanya sendiri untuk menunjukkan perasaan marahnya. Dia terus membuka pintu dan memandu pergi.

Tatkala kereta Jeffrey berlalu di hadapan Miza, mata Miza menangkap sesuatu di belakang kereta Jeffrey. Sebuah anak patung beruang. Dan di sebelah kiri telinga anak patung itu, terikat sebuah reben warna biru yang dijahit khas oleh Miza sendiri.

Melihat Jeffrey yang telah pergi, Dany terus mendekati Miza.

“Macam mana Miza?” tanya Dany.

“Saya tahu siapa yang ambil Alia,” ujar Miza dengan getaran di dada. Dany terdiam. Miza mengamnbil telefon dan mencari nama Jeffrey dalam senarai dan terus menghubungi lelaki itu.



“Saya tahu Alia ada dengan awak,” kata Alia. Kedengaran tawa sindir dari Jeffrey. “Apa yang awak mahu dari saya?” suaranya sudah bergetar hebat.....


~bersambung......

------------------------------@@---------------------

Allah s.w.t tidak menciptakan wanita dari kepala lelaki untuk dijunjung. Tidak juga Allah s.w.t menciptakan wanita dari kaki lelaki untuk diinjak-injak. Tetapi Allah s.w.t menciptakan wanita dari tulang rusuk lelaki, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai...


---------------------------@@-------------------


Terima kasih kerana membaca sambungan spesial N3 Minggu ini. Cerita ini akan tamat pada N3 seterusnya ya....







5 comments:

  1. nih mesti keje jeffrey!harap sngt dany dpt tlg miza...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betulll.... pandai akak...

      Nanti ikuti sambungannya ya...
      In Sha Allah, tangan yang menghayun buaian akan bisa menggoncang dunia...

      Kita lihat bagaimana nasib Miza dan Alia..

      Thnksss...

      Delete
  2. assalamualaikum,
    minta maaf yer.. boleh tak remove webpage message pop up tu.. pop up tu menggangu sebab everytime klik page lain, popup message tu mesti appear..nak klik komen pun webpage message tu appear banyak kali.. seriously it's distracting.. payah your readers nak read your story or nak komen on your blog..

    ReplyDelete
  3. Untuk semua pembaca, saya minta maaf ya jika msg pop up tempoh hari mengganggu anda...heee....thx ya blu4sky atas teguran....

    ReplyDelete