----------@@------
HARI INI adalah hari
kedua Amani dan Tania akan menjalani hukuman. Seawal jam 6.30 pagi Izz telah
membawa mereka keluar berjongging. Bermula dari syurga Ilham Hati, mereka
menyusuri Ilham Hati. Sampai sahaja di gerbang Ilham Hati, Izz membuka gerbang
itu dengan luas. Kebetulan pula, pekerja-pekerja Ilham Hati akan memulakan
tugas mereka beberapa detik sahaja lagi.
“Assalamualaikum, Izz,” sapa Burhan yang baru tiba di
situ.
“Waalaikummussalam.” Mereka berjabat tangan. Kemudian,
Izz meneruskan langkah dan Burhan menghilangkan diri di dalam Ilham Hati. Satu persatu
para pekerja Ilham Hati yang mahu ke sana bertembung dengan mereka.
Ketika menyusuri Kampung Indah Mentari, pandangan mata
Amani terus memerhatikan setiap pelusuk kampung itu. Lebih-lebih lagi kepada
penduduknya yang sudah mula bergerak memulakan hari mereka. Ada ibu-ibu yang
sedang menyapu di laman, memimpin anak-anak yang baru bangun tidur ke bilik
mandi yang terletak di luar rumah. Ada juga bapa-bapa yang masih berkopiah dan
berkain pelikat sedang bersenam di hadapan rumah mereka.
Di kampung itu juga, terdapat sebuah kedai kopi.
Pemiliknya, Wak Mail pula sedang sibuk menyusun meja dan kerusi untuk memulakan
perniagaannya. Kopi Pak Mail memang sudah menjadi satu ketagihan bagi penduduk
kampung. Setiap kali mereka usai bersolat di masjid, masing-masing akan singgah
di gerai Wak Mail untuk ‘membuka mata’ dengan kopinya.
“Abang Izz! Penatlah….” Tania sudah berhenti dari terus
berlari. Dia tercungap-cungap di situ.
Izz yang mendengar panggilan itu juga menghentikan
lariannya. Dia menoleh ke belakang. Amani yang berada di belakang Izz tidak
pula menghentikan langkahnya. Dia menoleh sekilas kepada Tania namun langkahnya
diteruskan.
“Amani, tunggu!” Izz terus mencapai tangan Amani sebelum
sempat gadis itu berlalu pergi meninggalkan mereka. “Kita tunggu Tania.” Izz
melepaskan tangan Amani dan bergerak mendekari Tania. Amani menjeling kerana
menyampah, namun dia tetap menurut langkah Izz.
“Tania penatlah Abang Izz,” ujar Tania setelah lelaki itu
berada di hadapannya. Dia menegakkan tubuhnya dan mencekak pinggang.
“Sikit aje lagi. Sampai di hujung tasik, kita berhenti
dan berehat,” Izz menghulurkan botol air mineral kepada Tania.
“Terima kasih.” Tania mencapai botol air itu dan
meneguknya sedikit. Kemudian dia meyerahkan semula kepada Izz. Botol air itu
disimpan semula di dalam beg yang digalas Izz.
Amani bergerak menjauhi mereka sedikit. Dia membuang
pandangan kepada kawasan kampung yang mula kelihatan sibuk. Sekumpulan pelajar
perempuan sekolah rendah sedang mengayuh basikal keluar dari selekoh untuk
menuju ke jalan besar. Amani menarik nafas panjang. Dia begitu merindui
sekolahnya. Entah berapa banyak pelajaran yang sudah tertinggal. Namun begitu,
setiap malam Amani tetap mengulangkaji pelajarannya.
“Kita nak buat apa di tasik tu, Abang Izz?” tanya Tania
lagi.
“Sampai sana nanti saya beritahu,” ujar Izz. “Kita
berjogging sikit lagi, ya.”
“Alah…..Tania penatlah,” Tania menarik muncung
panjangnya.
Izz hanya tersenyum
sambil menggelengkan kepalanya. Adakalanya kemanjaannya Tania membuatkan Tania
malas mahu membuat banyak perkara walaupun perkara itu bukanlah sesuatu yang
membebankan.
“Lambat lagikah?” Amani sudah menoleh kepada mereka
berdua. “Kalau lambat saya nak jalan dulu.” Tanpa menunggu balasan dari Izz dan
Tania, Amani meneruskan langkahnya.
Izz hanya menarik nafas panjang melihat Amani berjogging
pergi. Dia menoleh kepada Tania semula. “Jomlah,” ajaknya.
“Kita jalan boleh tak?” soal Tania. Dia sudah tidak mampu
berjongging. Bersenam dan bersukan, bukanlah aktiviti yang digemarinya.
“Marilah,” Izz meneruskan
langkah dan berjalan seiringan dengan Tania. Dalam perjalanan, Tania
begitu sibuk berceloteh. Macam-macam perkara yang dibualkan. Namun, ingatan Izz
hanya tertumpu kepada Amani yang sudah meninggalkan mereka.
“Boleh tak Abang Izz?” tanya Tania. Tatkala itu, mereka
telah keluar dari Kampung Indah Mentari dan tiba di tasik.
Izz berjalan sambil tertunduk memandang tanah. Dia belum
sempat berbual secara berdua dengan Amani. Apa kata Amani tentang lukisan Amani
yang telah dibingkaikannya? Apakah Amani telah membaca bait-bait puitis yang
ditulisnya?
Tania mendengus apabila soalannya tidak berjawab. “Abang
Izz dengar tak?!” Nada suara Tania sedikit meninggi. Langkahnya di matikan. Dia
menoleh kepada Izz lalu memeluk tubuh.
Izz yang agak terkejut dengan suara Tania turut
menghentikan langkahnya. Pipinya digosok seketika. Dia memang tidak mendengar
apa yang telah dikatakan Tania. “Maaf, saya tengah fikir perkara lain tadi,”
jelas Izz.
“Tania bercakap dengan Abang Izz dan Abang Izz tengah
fikir perkara lain?” Ada nada tidak puas hati dari omongan Tania. Namun, suaranya
tidak meninggi.
“Maaflah,” Izz merenung wajah Tania dengan harapan agar
Tania memaafkannya.
Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan.
Bagaimana dia bisa marah dengan lelaki di depannya ini? “Okey,” balas Tania dan
kembali meneruskan langkah.
Izz menarik nafas lega. Dia memandang ke tasik. “Itu
Amani.” Izz menunjuk ke arah Amani yang sedang berdiri di depan tasik sambil
memerhatikan bias cahaya matahari dari celahan bukit. Izz dan Tania bergerak
mendekati Amani.
Amani yang menyedari kehadiran seseorang di situ terus
menoleh ke belakang. Melihat sahaja kelibat Izz dan Tania, dia berpaling semula
ke hadapan.
“Jom, Amani. Kita ke sebelah sana.” Izz bergerak menuju
ke tempat yang dimaksudkan. Amani dan Tania mengikuti langkahnya. Setelah
sampai di pertengahan tasik, Izz berhenti. Dia membuka beg galasnya yang besar
dan meletakkannya di tanah. Dia membuka beg dan mengeluarkan blok lukisan.
Sekeping kertas lukisan diserahkan kepada Tania dan sekeping juga diberikan
kepada Amani.
Wajah Tania sudah
berubah. “La… Nak melukis lagikah?” Muncungnya ditarik sambil pandangan simpati
dilemparkan kepada Izz.
Izz hanya ketawa kecil. Dia
tahu Tania tidak berminat dengan lukisan. Dia menghamparkan tikar getah di atas
tanah. Dia mempelawa mereka untuk duduk di atas tikar. Amani dan Tania hanya
menurut. Dia menoleh pula kepada Amani. “Awak ada masalah dengan lukisan?”
tanya Izz.
“Tania yang ada masalah
dengan lukisan, Abang Izz. Bukan Kak Amani. Kak Amani ambil lukisan di
sekolah,” pantas Tania memintas. Hatinya menjadi sebal apabila Izz lebih
menumpukan perhatian kepada Amani.
Amani sedikit pun tidak
ambil peduli tentang kata-kata Tania. Dia hanya memerhatikan kertas lukisannya
yang kosong dan mula berfikir apa yang patut dilakukannya.
Tanpa memanjangkan isu
itu, Izz mengeluarkan pula dua kotak pensil warna. Satu diserahkan kepada Amani
dan satu diserahkan kepada Tania. “Cuba perhatikan sekeliling. Lihat pada
matahari yang baru menunjukkan diri.
Lihat pada tasik yang tenang. Lihat pada sekumpulan itik yang sedang berenang.”
Kebetulan, memang waktu itu terdapat sekumpulan itik yang sedang berenang di
tasik. Izz memandang pula ke langit biru. “Lihat pada burung yang
berterbangan.”
Amani dan Tania
memanjangkan leher memerhatikan setiap satu yang disebutkan Izz. Pandangan
mereka terhala kepada matahari, tasik, itik dan burung.
“Apa perasaan yang kamu
berdua rasa melihat semua ini?” ujar Izz seterusnya. “Lihat, perhati dan
luahkan di dalam bentuk lukisan.”
Amani sudah mula
melakarkan lukisannya dengan pensel terlebih dahulu. Tania pula masih membelek-belek
pensil warnanya. Dia termenung seketika sambil memandang kertas lukisannya. Dia
mengeluh. Dia memeluk lututnya. “Tania tak tahu nak lukis apa. Tania tak
pandailah, Abang Izz.” Tania menundukkan kepalanya di kepala lutut.
“Cubalah,” pujuk Izz.
“Demi papa Tania, Tania kena cuba. Hanya Tania-lah satu-satunya harapan Tuan
Helmi. Dia dah tak ada siapa-siapa lagi melainkan Tania,” sambung Izz.
Hanya Tania satu-satunya
anak Tuan Helmi. Lelaki itu sangat menaruh harapan agar Tania mengambil alih
kerja-kerja seninya setelah dia tidak ada lagi. Namun sayangnya, Tania tidak
mewarisi bakat yang dimiliki Tuan Helmi. Izz tahu, Tuan Helmi merasa hampa
apabila Tania tidak meminati seni. Tetapi Tuan Helmi tidak putus harapan dan berharap agar Tania mahu berusaha dan
bersedia mengambil alih tempatnya nanti.
Tania mengangkat
kepalanya. Fikirannya mula terkenangkan Tuan Helmi. “Bila papa balik?” tanya
Tania.
“In Sha Allah, kalau tak
ada aral melintang, malam ni Tuan Helmi sampai. Pak Bakar akan jemput Tuan
Helmi di airport,” beritahu Izz
sambil tangannya sudah mengeluarkan sebekas besar sandwich yang telah
disediakan Mak Eton.
“Wah! Abang Izz bawa
sandwich.” Mata Tania sudah membulat. Air liurnya ditelan.
Izz hanya ketawa melihat
wajah Tania. “Tania dah sarapan dengan Amani, kan pagi tadi,” ujar Izz. “Saya
belum sarapan lagi.”
“La… Tania nak satu
jugak.” Tania mengoyang-goyang tangan Izz, memujuk agar lelaki itu berkongsi
dengannya.
“Baiklah. Kita kongsi,
ya.” Izz mahu membahagikan sandwich itu kepada dua. Namun, dengan pantas Tania
mencapai tangan kanan Izz yang memegang sandwich lalu dia mendekatkan ke
mulutnya. Lantas, dia menggigit sedikit sandwich itu.
Mulanya, Izz agak
tergamam dengan tingkah Tania. Apatah lagi dengan kehadiran Amani di situ.
Namun kemudian, dia hanya tersenyum kelat. Dia sudah menganggap Tania seperti
adiknya sendiri dan Tania memang tahu perkara itu dari dahulu. Tania memang
sangat manja dengannya. Sikap manja dan inginkan perhatian dari Tania adalah
satu perkara biasa baginya. Tetapi mungkin sesuatu yang luar biasa bagi Amani.
Izz terus melirik Amani.
Ternyata, Amani sedang memandang mereka berdua. Izz cuba mengukirkan senyuman
namun dibalas dengan jelingan yang tajam dari Amani. Amani memusing tubuhnya
dan terus membelakangkan mereka. Kemudian, Amani meneruskan lukisannya. Izz
hanya tersenyum kelat.
SATU jam telah berlalu. Amani
dan Tania masih belum menyiapkan lukisan mereka. Tania masih terkial-kial
melukis. Sesekali dia memanjangkan leher melihat lukisan Amani. Apa sahaja yang
di lukis Amani, akan diikutnya tanpa pengetahuan Amani.
Amani pula, begitu ralit bermain dengan warna. Dia
melukis pemandangan yang terbentang di depan mata. Lukisannya mengikut apa yang
dikatakan Izz. Ada matahari, tasik, itik dan burung. Semuanya di masukkan di
dalam lukisan itu. Namun, hanya satu warna sahaja yang digunakannya untuk
mewarnai lukisannya. Iaitu, jingga.
Izz pula sudah menghilangkan di di kawasan sekitar.
Sengaja dia meninggalkan Amani dan Tania kerana tidak mahu menganggu tumpuan
mereka. Apatah lagi Tania. Selagi dia ada di situ, pastinya Tania hanya akan
mengajaknya berbual dan lukisannya tidak akan siap.
“Kak, macam mana nak lukis itik?” Tania bersuara setelah
beberapa kali memadam itik yang dilukisnya hingga kertas lukisannya mula
kehitaman.
Amani menoleh kepadanya. Dia memandang lukisan Tania.
“Kau tiru aku?” Mencerlung matanya memandang Amani.
Tania menikus. “Tania tak pandailah, kak. Tania tak tahu
nak lukis apa. Tania ikut ajelah apa yang akak lukis,” dia bersuara dengan
perlahan.
Amani menjeling. Dia melihat lukisan Tania. Memang benar,
Tania tidak punya bakat dalam lukisan. Walaupun dia melukis apa yang dilukis
Amani, namun lukisannya tidak secantik lukisan Amani. Gambar burung yang
dilukiskan Tania juga hanyalah burung yang berbentuk ‘M” seperti yang dilukis
pelajar tabika.
“Kau lukis bulatan bujur melintang. Kemudian, kau lukis
nombor tiga di dalamnya. Kau lukis segitiga di hujung untuk jadikan ekornya dan
buat bulatan panjang di kepalanya. Kau tambahkan paruh dan bulat kecil sebagai matanya.
Siaplah itik tu,” ujar Amani. Mana mungkin dia melukis untuk Tania. Tentu
sahaja Tuan Helmi akan tahu.
Tania mengikut apa yang dikatakan Amani. “Tapi, nampak
macam robot saja.” Muncungnya ditarik panjang lagi.
Tanpa berkata apa, Amani mengambil lukisan Tania. Gambar itik
robot yang dilukiskan Tania dibentukkan agar lebih sempurna. Dia menyerahkan
semula kepada Tania dan terus mewarnakan lukisannya semula.
“Ni baru cantik,” Tania tersenyum lebar. “Abang Izz, Lukisan
Tania dah siap!” jerit Tania apabila terlihat kelibat Izz yang baru muncul di tepi
tasik.
Izz menghampiri Tania. “Mana?” soalnya.
Tania menunjukkan lukisannya kepada Izz. “Cantik tak?
Tapi, Tania belum warna lagi,” ujar Tania yang tidak lekang dengan senyuman.
“Tania warnakan dulu. Saya nak beri itik makan,” Izz
mengambil roti kosong yang dibawanya dan menuju ke tepi tasik. Sempat dia
mengerling Amani yang ralit dengan lukisan jingganya.
Setengah jam berlalu, lukisan Amani telah siap
sepenuhnya. Dia bangun lalu bergerak menghampiri Izz yang sibuk memberi itik-itik
di tasik itu makan. Tanpa mengeluarkan suara, dia menguis Izz dengan sikunya.
Izz yang tidak menyedari kehadiran Amani terus berpaling
apabila lengannya disiku. Kelihatan Amani berdiri di situ sambil menghulurkan
lukisannya. Sedikit pun Amani tidak memandang kepadanya dan hanya membuang
pandangannya ke tasik.
Izz menyambut lukisan Amani. Setelah itu, Amani mula
berpusing untuk pergi dari situ. “Awak marahkan saya?” tanya Izz sebelum sempat
Amani melangkah jauh darinya. Amani menghentikan langkah namun tidak menoleh
memandang Izz. “Saya tahu awak marahkan saya,” kata Izz.
Kali ini, Amani menoleh kepadanya. “Awak terlalu ‘perasan’
yang awak begitu mengenali saya,” katanya.
“Lukisan kelmarin dan hari ni sangat berbeza. Lukisan kelmarin
penuh dengan ceria. Tapi, bukan yang ini.” Izz mengangkat semula lukisan Amani
dan menunjukkan kepadanya. “Warnanya
panas,” ujar Izz.
Tanpa berkata apa-apa, Amani terus berlalu dari situ
meninggalkan mereka.
“Kakak nak ke mana?!” jerit Tania apabila Amani berlalu
pergi. Dia menoleh pula kepada Izz yang sedang menghampirinya. “Kak Amani nak
ke mana?”
“Biarkan dia pergi. Dia dah siapkan lukisan dia.” Izz mengerling
lukisan Tania yang masih belum siap. “Tania perlu siapkan lukisan Tania.” Izz
melabuhkan punggungnya di sisi Tania. Tania
sudah tersenyum lebar apabila hanya ada mereka berdua sahaja di situ.
"Abang Izz tak nak
tolong Tania?” tanya Tania sambil tangannya sibuk mewarna dengan cepat. Jika
ikutkan hati, mahu sahaja dia mewarna dengan lambat agar bisa dia meluangkan
masa yang lebih panjang bersama Izz. Namun, matahari yang semakin meninggi
membuatkan dia semakin rimas.
“Tania kena jujur dengan
diri Tania,” ujar Izz sambil memerhatikan lukisan Amani yang dipegangnya.
“Hmmm,” balas Tania
tanpa mengangkat kepala. Dia melajukan lagi gerak tangannya. “Dah siap!” Tania
bersorak dengan gembira sambil menepuk tangannya.
Izz ketawa melihat
tingkah Tania.
“Cantik tak, Abang Izz?”
Tania mengangkat lukisannya dan menunjukkan kepada Izz.
“Cantik,” puji Izz. “Tapi,
masih perlu diperbaiki.”
Tania memandang lukisan
Amani yang berada di tangan Izz. Sedari tadi, Izz hanya memerhatikan lukisan
Amani.
“Dah, jom! Kita balik. “Izz
mula sibuk mengemaskan barang-barang. “Jom!” ujarnya lagi dan terus menggalas
beg di belakangnya. Lukisan Amani di capainya.
Tania yang memegang lukisannya hanya mengikut
langkah Izz dengan perasaan kecawa. Dia dapat merasakan, Izz lebih menyukai
lukisan Amani berbanding lukisannya.
Seketika kemudian,
telefon bimbit Izz berbunyi. Dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan
telefon. “Tania, tolong pegang.” Izz menyerahkan lukisan Amani kepada Tania dan
bergerak menjauhi Tania untuk menjawab panggilan.
Tania memerhatikan
lukisan Amani dan Izz silih berganti. Sejak Amani datang ke Ilham Hati, bukan
sahaja perhatian Tuan Helmi beralih arah kepadanya. Namun, Izz juga kelihatan
begitu mengambil berat terhadap Amani.
Lukisan Amani terus
dipandangnya dengan perasaan geram. Amani cantik, Amani bijak, Amani pandai
melukis. Semua cirri-ciri yang disukai Tuan Helmi ada pada Amani. Sedangkan dia,
anak kandung Tuan Helmi sendiri tidak punya bakat seperti Amani. Mungkin kerana
itu Tuan Helmi lebih menumpukan perhatiannya terhadap Amani.
Dia terus merenung
lukisan Amani. Hatinya mula berbelah bahagi. Jika diikutkan perasaan
cemburunya, mahu sahaja dia merenyuk lukisan Amani dan mencampakkannya ke dalam
lopak air. Namun, sebelah lagi hatinya melarang kerana itu bukan sikap seorang
gadis yang baik. Tuan Helmi, mahupun ustaz dan ustazahnya, tidak pernah
mengajarnya menyimpan perasaan dendam begitu.
“Tania,” Izz mendekati
Tania semula. Tania yang tersedar dari lamunannya terus memandang Izz. “Jom,
kita balik.” Izz mengambil kedua-dua lukisan Amani dan Tania dan bergerak
beriringan dengan Tania.
Kali ini Tania
sudah mengukirkan senyuman. Dia merasa
cukup adil apabila Izz memegang kedua-dua lukisan itu. Dia yang bertangan
kosong, mula melangkah dengan ceria di sisi Izz.
Tak mengapa. Kalau papa
lebih sayangkan Amani, aku masih ada makcik Zaiton. Makcik Zaiton lebih sayang
pada aku berbanding Amani. Kalau kau boleh ambil papa aku, aku akan ambil mak
kau.
Senyuman Tania terukir
lebih lebar.
-------------@@------------
TeRiMa KaSiH kerana sudi mengikuti kisah ini...
Sebarang komen sangat dialu-alukan...
(^_____^)
-----------@@----
No comments:
Post a Comment