Saturday 5 September 2015

Karangan Naratif



ER nak share sikit cara penulisan karangan naratif. Karangan seperti inilah yang biasa ER terima teguran daripada pihak editor. ER share ni pun sebab ER selalu buat mistake dalam manuskrip.

Lepas ni, sebelum kita buat satu-satu bab, letak poin dulu barulah kita kembangkan seperti teknik yang diajarkan. ER dapat ni daripada blog lain. Tapi lupa pulak nama blog tu. Biasanya ER akan rujuk blog guru Bahasa Malaysia.

Terima kasih cikgu!


Yang silap-silap tu, ER belajar balik daripada pihak editor dan share dengan awaks okeh.
Yang baik, kita kongsikan
Yang buruk... tak mo naaa....


------------------------@@----------------------------




NOTA KARANGAN NARATIF

UNSUR-UNSUR KARANGAN

Karangan jenis ini tidak memerlukan format dan mempunyai unsur-unsur sebuah cerita.
Terdapat 6 unsur utama yang membentuk sebuah cereka.

(1) TEMA / PERSOALAN

• Tema ialah persoalan utama atau persoalan pokok yang dikemukakan dalam sebuah
cerita.

• Persoalan pula ialah hal-hal yang ditimbulkan di sepanjang cereka untuk membangunkan
tema yang diketengahkan dalam karya.

• Tema mungkin berkaitan dengan kasih-sayang, kegigihan semangat cinta akan negara
dan lain-lain.

• Tema sampingan berfungsi untuk menunggulkan tema pokok.

• Dalam cereka, biasanya terdapat satu tema tetapi mengandungi banyak persoalan.

(2) LATAR

• Latar atau setting ialah latar belakang bagi sesebuah cereka . Latar boleh dilihat dari 2
segi.

(a) Latar fizikal atau latar persekitaran, iaitu gambaran tempat dan masa sesuatu
perkara itu berlaku.

(b) Latar masyarakat iaitu gambar tentang keadaan masyarakat di tempat sesuatu
perkara itu berlaku.

(3) PLOT

• Plot ialah jalinan peristiwa yang berlaku dalam sesebuah cerita berdasarkan hukum sebab
dan akibat.

• Terdapat 2 jenis plot :

(a) Plot kronologis(Konvensional)

- Plot dibina menurut urutan masa iaitu yang dahulu didahulukan dan kemudian
dikemudiankan.

- Sebuah plot konvensional mempunyai 3 tahap yang utama iaitu :

Permulaan
Klimaks
Penyelesaian



Plot konvensional dapat ditunjukkan melalui rajah berikut:


Permulaan ----> Konflik-----> Aksi menaik----> Klimaks ----> Peleraian



(b) Plot bukan kronologis(Bukan konvensional)

- Plot jenis ini adalah keterbalikan daripada plot secara kronologis
- Cerpen dimulai dengan pengakhiran cerita, kemudian dibawa pula pembaca kepada
permulaan bahagian sebelum pengakhiran dan disudahi dengan peleraian.


Binaan Plot

Binaan plot dalam sesebuah cerita mempunyai struktur umum yang dapat dibahagikan
kepada 3 peringkat seperti berikut :

(a) Eksposisi / Permulaan
- Digunakan untuk memperkenalkan watak
- Memperkenalkan watak utama dan perwatakannya
- Gambaran/suasana latar tempat dan masyarakat

(b) Perkembangan
- watak utama dan watak-watak yang lain saling berhubungan dan mewujudkan
cerita yang semakin berkembang.
- Persoalan-persoalan turut dimuatkan oleh pengarang.

(c) Peleraian
- Watak utama berjaya mengatasi atau menyelesaikan konflik yang memuncak
dalam dirinya.
- Cerita akan berakhir.


Teknik Penceritaan

• Teknik penceritaan merupakan cara bagaimana isi disampaikan dalam sesebuah cerita
• Terdapat 2 jenis teknik penceritaan dalam sesebuah cerita, iaitu teknik secara
langsung(teknik pemerian) dan teknik penceritaan secara tidak langsung (teknik
flashforward, saspens, flashback, monolog dalaman, monolog, dialog dan sebagainya)

Imbas kembali
• Cara pengarang mempersembahkan cerita dengan mengingat kembali
peristiwa yang telah yang telah berlaku melalui ingatan, kenangan, mimpi
dan khayalan watak.

Imbas muka
• Cara pengarang membayangkan meramalkan atau membuat andaian
tentang perkara akan datang, iaitu peristiwa yang belum berlaku hasil dari
sesuatu peristiwa.

Saspens
• Teknik ini digunakan supaya pembaca tertanya-tanya mengapa sesuatu
peristiwa itu terjadi.
• Persoalan tidak terus dijawab oleh penulis kerana pembaca akan cuba
mencari jawapannya sendiri.

Kejutan
• Teknik ini pula diadakan oleh pengarang secara tiba-tiba
• Penulis memasukkan sesuatu watak atau peristiwa secara tiba-tiba hanya
untuk menimbulkan suatu kejutan kepada pembaca.

Konflik
• Konflik bermaksud pertentangan atau pertikaian antara dua pihak.
• Tidak semestinya berdasarkan pertentangan fizikal tetapi juga pertentangan
pendapat, idea dan juga sikap
• Terdapat2 jenis konflik :

 (a) Konflik Luaran
- Pertentangan antara manusia dengan manusia/manusia dengan alam
  dan manusia dengan haiwan.
- Konflik digambarkan sebagai pertentangan antara watak protagonis dengan
  watak antagonis
- Timbul mungkin disebabkan wujudnya pergeseran pendapat pemikiran, pandangan,
  dan sikap hidup di kalangan watak itu.
- Terutama sekali watak utamanya dalam menghadapi, menyelesaikan atau mempersoalkan
  sesuatu masalah hidup yang melanda dirinya.
 - Konflik yang dimunculkan dalam cereka bertujuan untuk menghidupkan watak-wataknya
   terutama dalam cereka bertujuan untuk menghidupkan watak-wataknya terutama unsur
   konflik yang bersifat batiniah atau dalaman.

  (b) Konflik Dalaman
  - pertentangan dalam diri, fikiran atau perasaan watak itu sendiri.


Kemuncak / Klimaks

• Puncak cerita yang merupakan saat yang paling tegang dalam sesuatu
peristiwa atau detik ketengan berakhir pada pertikaian yang ditimbulkan
sebelumnya.

• Bahagian atau saat paling menarik minat pembaca kerana menyentuh atau
mencecah ke satu tanda paling tinggi ataupun berada dalam keadaan yang
genting, mendebarkan, mencemaskan ataupun mengerikan.

• Hasil ketegangan atau konflik itulah yang merupakan puncak.



(4) WATAK / PERWATAKAN

• Watak ialah tokoh yang mendukung sebuah cerita(manusia atau bukan manusia)
• Perwatakan pula ialah cara pengarang melukiskan watak.
• Watak dan perwatakan dapat digambarkan melalui sifat-sifat luaran dan dalaman dialog.


(5) SUDUT PANDANGAN
Cara bagaimana pengarang menghidangkan cerita kepada pembaca. Lebih jelasnya ialah
siapa sebagai pencerita. Terdapat beberapa jenis sudut pandangan yang digunakan dalam
cereka iaitu :-

• Sudut Pandangan orang pertama – bermaksud salah seorang watak dalam
sesuatu cereka yang menggerakkan cerita. Beliau menggunakan kata ganti nama
“Aku” atau “Saya”

• Sudut Pandangan orang Ketiga – bermaksud pengarang bertindak sebagai
pencerita dan tidak mempunyai kaitan dengan watak ataupun cerita itu sendiri.
Di sini pencerita bertidak sebagai “dia”/”mereka” atau pun nama yang dipilih
untuk mengisahkan cerita.



(6) GAYA BAHASA
• Gaya bahasa atau stail adalah satu cara pengarang menggunakan alat iaitu bahasa dalam
  menyampaikan karya-karya.

• Gaya bahasa harus mempunyai unsur-unsur dramatik

• Unsur bahasa mempunyai kaitan dengan keindahan bahasa

• Keindahan yang digambarkan secara kreatif dan imaginatif oleh pengarang dapat
   menggambarkan dan meninggalkan kesan dari segi penghayatan karya.

• Untuk menguatkan cerita, anda memerlukan gaya bahasa yang menarik dan penggunaan
   ayat yang beragam.

• Kehadiran ayat-ayat seperti ini banyak membantu anda mengolah karangan jenis ini.
• Gunakanlah kebijaksanaan dan daya pemilihan kata yang tepat dan jitu untuk menarik
   minat pembaca.

• Masukkanlah pelbagai unsur nasihat yang berguna kepada pembaca dalam cereka anda,
  sama ada secara langsung atau tidak langsung.

• Sebagai suatu karya berbentuk kreatif dan imaginatif, anda perlu memastikan bahawa
   karangan ini memperlihatkan jalan cerita yang menarik dan permainan bahasa yang
   indah.



Unsur-unsur gaya bahasa
• Gaya bahasa yang melibatkan diksi(pemilihan kata) dan pembentukan ayat.
• Untuk menjadikan bahasa itu bergaya(mempunyai stail tertentu), maka pengarang
   akan menggunakan pelbagai unsur gaya bahasa dalam proses penulisannya itu.
   Antaranya ialah gaya bahasa perbandingan dan ayat bahasa eufemisme.


Gaya bahasa Perbandingan
Unsur gaya bahasa perbandingan terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah

(i) Simile
- Perbandingan secara eksplisit dan dijelaskan
- Penggunaan kata “seperti”, “ibarat”, “bak”, “bagaikan”, “umpama”, “laksana”
dan “serupa”
- Contohnya :
(a) Seperti seekor rerama terbang
(b) Ibarat api yang hidup segan mati tak mahu
(c) Bagaikan mahu terkeluar biji matanya
(d) Keroh seperti air deru
(e) Macam melukut di tepi gantang


(ii) Hiperbola
- kata-kata atau frasa-frasa untuk memperhebatkan, meningkatkan kesan
- gambaran yang dilukis tidak menepati realiti tetapi mengandungi nilai estetika
- contohnya :
(a) kelopak mataku dibanjiri air mata
(b) terbujur dia atas tanah bermandikan darah
(c) aku sudah hampir separuh mati


(iii) Personifikasi
- gaya bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati atau barang-barang
   yang tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat kemanusiaan
- contohnya
(a) hati ini selalu memberontak
(b) guruh dan langit sedang berteriakan
(c) Subuh telah mengundur diri
(d) Alunan manja belantara khatulistiwa
6
(e) perlahan-lahan dikoyaknya mulut sampul surat itu
(f) kabus pagi yang sejuk mengucup mesra


(iv) Metafora
- perbandingan secara langsung iaitu ia memberi sifat sesuatu objek itu secara
  perbandingan terus. Terdapat dua jenis metafora iatiu :

(a) metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti,
bagaikan, laksana, bak dan bagai.
Contohnya :
(i) Abang benar-benar harimau dalam rumah
(ii) Hari ini bapa menjadi singa

(b) Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak
Contohnya :
(i) dahan kerinduan
(ii) dinding hati
(iii) kotak fikiran
(iv) roda kehidupan
(v) manik-manik peluh
(vi) gunung harapan

Gaya Bahasa Eufemisme

• Unsur eufemisme adalah bahasa yang digunakan untuk tujuan memperhalus
kata-kata atau ucapan. Ia juga disebut sebagai ucapan atau ungkapan
lembut. Misalnya perkataan merogol akan lebih sesuai digantikan dengan
memperkosa.

• Contoh ayat :

rogol ==Telah diperkosa oleh seorang yang tidak bertanggungjawab
bunting ==Telah berbadan dua
kencing ==Pergi buang air kecil
beranak ==Hendak bersalin
pekak ==Kurang daya pendengaran
mampus, kojol ==  Pergi menemui Tuhannya
                  Kembali ke rahmatullah
                  Pergi menyahut seruan Ilahi
                  Menghembuskan nafasnya yang terakhir
                  Kembali ke alam baqa



PENUTUP

Kesalahan umum para pelajar

• tidak dapat mengemukakan daya pemikiran dan imaginasi yang tinggi
• Kaedah penceritaan tidak dapat digunakan dengan baik( unsur-unsur
penting seperti tema, plot, latar dan watak tidak dapat dihubung
jalinkan)
• Teknik imbas muka, imbas kembali, monolog dan dialog tidak dapat
digunakan untuk menghidupkan watak-watak.
• Tidak berupaya menggunakan bahasa orang berdialog(berbual) dengan
baik.
• Jalan cerita(plot) atau peristiwa yang dibawa tidak tersusun/tidak dapat
dikembangkan.
• Tidak berupaya mewujudkan konflik.
• Gaya bahasa kreatif juga tidak mampu digunakan dengan baik.



Peringatan penting

• Unsur ketegangan perlu dimasukkan supaya cerita menjadi lebih
menarik.
• Bahasa haruslah menarik dan sesuai dengan isi cerita.
• Gunakan berjenis-jenis ayat dan ungkapan atau kiasan
• Susun isi karangan dan kawal keseimbangan jumlah kata dalam setiap
perenggan.
• Watak-watak yang dilukiskan haruslah menarik, hidup dan tidak
semestinya stereotaip.
• Plot harus mengandungi aksi penting, masalah, konflik serta klimaks
• Penyelesaian dan kesimpulan haruslah sesuai.
• Cerita hendaklah menarik, mencabar, menunjukkan daya kreatif dan
mempunyai unsur pengajaran atau nasihat yang berguna kepada
pembaca.


------------@@------------
TERIMA KASIH - ER
------------@@------------



No comments:

Post a Comment