Saturday, 15 January 2011

Hanya Dia 47

BAB 47



MELIAR Zack memandang persekitaran yang cukup asing baginya. Suasana yang sunyi dan kakitangannya kelihatan begitu tekun melaksanakan kerja tanpa suara. Berlainan sekali dengan Nusmefa Emas.

Walaupun kakitangannya sangat fokus pada kerja, namun masih ada gelak tawa yang kedengaran. Mungkin Warisan Syed juga telah diterapkan undang-undang seperti di rumah warisannya.

“Mari Encik Syed, saya bawa Encik Syed ke bilik Encik Syed,” ujar Farah, setiausaha Zack yang baru.

Zack terkesima seketika. Belum pernah lagi ada orang yang memanggil dia dengan gelaran turun temurun itu. Memang dia terasa janggal sekali.

“Hhmm.....Farah?” tanya Zack.

Farah menganggukkan kepalanya mengiakan bahawa benar namanya adalah Farah.

“Uh....Okey! Farah.....Saya tak nak awak panggil saya macam tu. Saya lebih senang kalau awak panggil saya Encik Zack!”

“Encik Zack?” Farah menganggukkan kepalanya. “Baiklah Encik Zack. Mari saya tunjukkan bilik Encik Zack!” Farah mengulangi kata-katanya.

“Awak tolong beritahu staff lain jangan panggil saya macam tu...” Sambil berjalan Zack memberikan arahan.

“Baik Encik Zack!” Farah tersenyum.

Sampai sahaja di kamar kerjanya, Farah meminta diri untuk menyambung semula kerjanya. Zack mundar mandir di kamar yang asing itu. Dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana yang baru ini. Jika tidak, dia tidak boleh melakukan kerjanya dengan sempurna.

Belum sampai pun lima minit Zack bersendirian di kamar itu, kedengaran satu ketukan dan Farah kembali muncul di situ.

“Encik Zack, Cik Ilyana minta Encik Zack ke biliknya!”

Zack mengangguk lalu membontoti Farah yang membawanya ke kamar kerja Ilyana. Sebaik sahaja tiba di pintu kamar kerja Ilyana, Farah meninggalkannya semula.

Setelah mengetuk pintu dua tiga kali, Zack terus meluru ke dalam. Kelihatan Ilyana sedang menyemak fail-fail yang bertaburan di atas mejanya.

“Hi cousin.....Welcome back to our family!!” Ilyana kelihatan begitu mesra menyambut kedatangan Zack. Sedangkan di hatinya tidak senang apabila mengenangkan Warisan Syed kini terpaksa berkongsi dengan Zack.

“Semacam je gembira kau ni?” sindir Zack. “Kau tak takut ke kalau Warisan Syed akan jatuh ke tangan aku?”

“Mengarutlah you ni!” Ilyana cuba mengelak soalan itu.

“Well......” Ilyana menyandarkan tubuhnya di kerusi. “Macam mana dengan suasana kerja di sini?”

“Hmmm......” Zack menganggukkan kepalanya. “Okey!”. Apa lagi yang boleh dikatakan Zack selain itu. Zack menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Ilyana.

“I ada hal sikit nak bincang dengan you!” beritahu Ilyana.

Ilyana diam seketika. Otaknya masih berfikir kata-kata yang sesuai di depan sepupunya ini. Zack masih setia menanti.

“Well.......??” Kening Zack sudah terjungkit. Tidak sabar pula dia menanti.

“Actually.....I just want to ask about.....Maisara....” Ilyana masih ragu-ragu untuk bertanya pada Zack memandangkan lelaki itu kelihatan seperti masih dalam angin yang tidak baik.

Mendengar sahaja nama Maisara secara spontan terkeluar satu keluhan berat dari bibir lelaki itu. Ilyana yakin, pasti ada yang tidak kena pada hubungan Zack dan Maisara. Jika tidak, masakan begitu mudah Zack berpaling ke Warisan Syed. Tak mungkin kerana walid Zack melakukan keputusan drastik begitu. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Semuanya pasti kerana Maisara. Hanya perempuan itu yang selalu menjadi halangan setiap rancangannya.

“Tak ada apa yang tak kena dengan Sara.” Dengan berat Zack menjawap. “Otherwise, she has a husband ta take care of her.”

Tenganga mulut Ilyana. Zack tahu tentang Maisara dan Fariz? Sejak bila? Macam mana dia tahu? Tak mungkin Maisara yang beritahu! Macam-macam persoalan mula timbul di benak Ilyana.

“Talking about Maisara, there’s something I want to ask. Do you know Maisara’s husband?”

Terkedu Ilyana di situ. Bagaimana dia mahu beritahu yang Fariz adalah suami Maisara sedangkan selama ini Zack beranggapan dia adalah kekasih Fariz. Dia yang mulanya ingin tahu tentang Maisara dan Zack dan mahu bertanyakan tentang hubungan Zack dan Suhana akhirnya terperangkap sendiri dengan soalan Zack.

“Hmm.....Hmm.....” Ilyana menggigit bibirnya. “I tak tahulah......”

“No....No...No.....” Zack sudah bersandar di kerusi. Wajah Ilyana ditenung lama. Ada sesuatu yang tidak kena. Bisik hatinya.

“You know but you pretend like you don’t know!”

Riak wajah Ilyana berubah serta merta. Tak sanggup rasanya dia melihat renungan tajam Zack yang tepat ke wajahnya. Seolah-olah lelaki itu sedang membaca apa yang tersirat di fikirannya.

Pantas dia bangun dan membelakangkan Zack. Pandangannya di buang jauh ke luar jendela.

“Okey....find!” Ilyana menghembuskan nafas geram. Kenapa semuanya perlu jadi begini?!

“I tahu tentang Fariz dan Maisara. You mungkin terkejut. Tapi apa yang you tak tahu diorang berkahwin sebab Aiman! Semua sebab Aiman! Hanya kerana dia!” Tegas Ilyana.

“Kalau tak kerana Aiman tentu sekarang I dah bahagia dengan Fariz.....” Ada nada sedih kedengaran.

“Aiman?” berkerut dahi Zack. “Siapa Aiman?”

“Aiman......anak Fariz dengan Suhana.” Ilyana memandang Zack lalu dia membuka laci mejanya lalu menyerahkan foto Suhana yang dijumpainya tempoh hari pada Zack.

“You kenal dengan Suhana, kan?”

Mata Zack terus terpaku pada wajah itu. Wajah yang sudah lama tidak dilihatnya. Terasa dirinya melayang seketika. Senyuman itu.......takkan dilupakan sampai bila-bila.

Suhana......

“Mana you dapat foto ni?” Mata Zack masih terpaku menatap foto yang sudah lama tidak direnungnya.

“I jumpa masa kat ofis you hari tu. You cicirkan foto tu......” ujar Ilyana.

Zack mengeluh seketika. Kenangan lama menyingkap memorinya seketika. Namun tiba-tiba dahinya berkerut apabila mengingatkan sesuatu. Pantas wajah Ilyana disapa matanya.

“Apa kaitan Suhana dalam perkara ni?”

Ilyana memandang wajah di depannya lalu menjungkitkan keningnya. Tentu apa yang dikatakannya sebentar tadi tidak dapat ditangkap oleh Zack.

“Suhana is Fariz’s late wife. Kakak kepada Maisara.” Ilyana menerangkan semula. “Fariz dan Maisara berkahwin kerana keluarga mereka mahu Aiman tetap membesar dengan dua keluarga yang sama. Sebab tulah.....”

Zack diam seketika. Dia cuba berfikir kewajaran kata-kata Ilyana.

“Jadi maksud you.....Aiman tu anak Fariz dan arwah Suhana?” Zack memejam matanya rapat dan beristighfar seketika. Sempat dia menghadiahkan Al-Fatihah buat Suhana.

“Bila Suhana meninggal......?” sayu suaranya bertanya. Tiba-tiba sahaja rindu pada wanita itu menyucuk tangkai hati lelakinya.

“Suhana meninggal ketika melahirkan Aiman. Dia amanahkan Aiman kepada Maisara. Mulanya, memang Maisara dan Fariz tak bersetuju dengan perkahwinan tu. Tapi....” satu lagi keluhan dihambukan Ilyana. “....nak buat macam mana,kan. Walaupun Fariz dah berkahwin, tapi kami masih bersama.”

Ilyana membalas renungan Zack. Dia tahu lelaki itu pasti tidak suka dengan kenyataannya. Pasti lelaki itu akan cuba menjadi hero dan menyelamatkan wanita idamannya dari dimainkan.

“Jadi, hubungan you dengan Fariz tak pernah putus walaupun dia dah berkahwin dengan Sara?!” Ada nada kurang senang di situ.

“Come on lah Zack!” Ilyana sudah mula memainkan peranannya. “Fariz dan Maisara tak menyintai antara satu sama lain. Fariz sayangkan aku! Keluarga diorang yang terlalu mendesak. Semuanya kerana Aiman! Aku pun boleh menjaga Aiman!” Ilyana memeluk tubuh. “Saja je keluarga diorang tu yang lebih sudu dari kuah!”

“Mungkin itu dah jodoh......”

“Jodoh tanpa rasa cinta?” Ilyana memandang Zack. “Cuba kau tanya Maisara, apa dia bahagia dengan kehidupan dia sekarang?”

Zack terdiam. Dia memang tidak pasti sama ada Maisara bahagia dengan Fariz atau tidak. Wanita itu biasa sahaja dari penglihatannya. Memang sukar memahami wanita yang bernama Maisara. Tetapi Fariz....

Aiman anak Fariz dan Suhana? Mungkinkah Fariz adalah lelaki yang bertanggungjawab sehingga hubungannya dan Suhana putus dahulu? Atau.......

Bercelaru Zack memikirkan berita yang baru diketahui ini. Walau apa pun dia perlu berjumpa dengan Fariz bagi meleraikan persoalan di fikirannya.

Suhana......Fariz......Aiman........Mai.....sara....





Tuesday, 4 January 2011

Hanya Dia 46

BAB 46


MELIHAT kelibat Fariz di muka pintu yang baru pulang dari pejabat membuatkan Maisara melirik jam yang tergantung di dinding. Jarum pendek menunjukkan hampir ke angka sepuluh dan jarum panjang tepat di angka sembilan.

Maisara mengucup dahi Aiman yang sudah terlena lalu dengan perlahan bergerak menghampiri Fariz.

“Lambat awak balik hari ni!”

Fariz berpaling apabila ditegur begitu. Dia mengerling Maisara sebentar.

“Ah.....waalaikumsalam....” Fariz menyindir.

Maisara yang menyedari sindiran itu hanya menjeling.

“Jumpa Ilyana lagi ke hari ni?” tanya Maisara berbasi-basi.

Fariz hanya tersenyum mendengar nama Ilyana diungkit lagi. Dia membiarkan soalan itu berlalu begitu. Briefcase, kot dan tali lehernya diserahkan kepada Maisara. Maisara menyambut seperti biasa.

“Awak nak makan tak?” tanya Maisara.

Fariz melabuhkan punggungnya di sofa melepaskan keletihan. Matanya dipejam sebentar sambil tangan kanannya mengurut-urut dahinya.

Maisara menghembus nafas geram apabila Fariz tidak memperdulikan soalannya. Lalu dia menghampiri lelaki itu dan berdiri di depannya. Fariz masih lagi memejam matanya rapat.

“Awak mesti dah makan kat luar dengan kekasih awak tu, kan?!” Maisara terus menyerkap jarang. “Boleh tak kalau awak nak keluar makan beritahu saya dulu. Tak delah penat saya panaskan lauk untuk awak!”

Fariz membuka matanya lalu berdiri dan bertentang mata dengan Maisara. Maisara mengalihkan pandangannya ke sudut yang lain.

“Boleh tak awak jangan melulu buat tuduhan. Saya ada meetinglah tadi. Kalau tak percaya awak boleh tanya dengan papa. Papa pun ada juga.” Fariz menggelengkan kepalanya.

Maisara terdiam seketika. Dia mengerling Fariz yang kembali duduk di sofa.

“Habis tu sekarang ni awak nak makan ke tak?” tanya Maisara. Fariz kembali membuka matanya.

“Awak dah hidang?”

Maisara mengangguk. Fariz berdiri lalu berjalan ke meja makan. Maisara membuka tudung saji dan menyedokkan nasi dan lauk ke dalam pinggan Fariz. Lalu dia menyuakan air basuh tangan untuk Fariz.

“Terima kasih...” Dengan bacaan Bismillah, Fariz menjamah hidangannya.

“Awak tak makan sekali?” jemput Fariz sambil matanya mengerling ke sudut rumah. “Mana umi dan abah? Dah masuk tidur?” tanya Fariz lagi.

“Hmm.....esok pagi-pagi diorang nak pergi Melaka. Abah ada seminar di sana. Bawa umi bercuti sekali.” Beritahu Maisara. “Selama diorang di sana, Aiman saya hantar pada mama. Esok sebelum ke ofis saya hantar Aiman dulu.”

“Awak dah tanya mama? Dia setuju?” Fariz terangguk-angguk sambil mulutnya mengunyah makanan.

“Ya.....kalau tak tanya takkan saya pandai-pandai nak hantar Aiman pada mama.” Kerling Maisara.

Fariz menjungkitkan keningnya lalu pandangannya jatuh semula pada pinggan di hadapannya.

Maisara menggenggam kedua-dua tangannya. Sesekali matanya melirik Fariz di depan. Sebenarnya, dia mahu bercakap sesuatu dengan Fariz. Tetapi dia tidak pasti adakah ini masa yang sesuai sedangkan dia melihat Fariz kelihatan penat setelah pulang tadi.

“Awak ada apa-apa ke nak beritahu saya?” tanya Fariz dengan tiba-tiba.

Pandangan Maisara jatuh pada Fariz sebentar. Dia diam seketika seperti sedang berfikir.

“Tak.....tak de....” Maisara menggeleng kemudiannya.

Dah lama sebenarnya dia mahu bertanya tentang persoalan yang sering bermain di fikirannya sejak pulang dari rumah mama dahulu. Barang-barang Suhana yang tiada dalam simpanan Fariz di rumah keluarga Fariz mengundang persoalan di hatinya.

Memang benar dahulu Fariz dan Suhana juga tinggal di sini, di Pantai Miami bersama-sama umi dan abah. Tapi tak mungkinlah tiada satu pun barang atau baju-baju milik Suhana tersimpan di Tanjung Bungah. Jika benar tiada, baju kurung sutera ungu yang pernah dipakainya dahulu ketika bermalam di sana milik siapa? Baju itu juga tidak diterima apabila dia mengembalikan semula. Fariz mahu dia menyimpan baju itu. Tak mungkin Fariz membuang langsung kenangan arwah Suhana!

“Kalau ada apa-apa lebih baik beritahu saya. Jangan simpan dalam hati. Tak elok untuk kesihatan!” Fariz bersuara tanpa memandang Maisara.

Masiara hanya mencebikkan wajahnya.

Cakap macam bagus je!!!

Usai Fariz menyudahkan hidangan yang disediakan, Maisara mengangkat dan membersihkan meja makan sehingga kemas. Fariz pula sudah membawa diri ke ruang hadapan.

Fariz melirik kelibat Maisara yang baru keluar dari dapur dan sudah berjalan untuk ke kamar bayi di tingkat bawah. Mungkin Maisara sudah mahu naik ke atas dan membawa Aiman sekali.

“Sara!” Fariz memanggilnya dan menghalang dari Maisara dari mengangkat Aiman. “Nanti dulu! Saya ada hal nak cakap dengan awak!”

Maisara yang sudah pun tertunduk untuk mengangkat Aiman kembali menegakkan tubuhnya lalu mengikut langkah Fariz ke ruang hadapan. Dia melabuhkan tubuhnya bertentang dengan lelaki itu.

“Ada apa?” Pandangannya jatuh terus kepada lelaki itu.

Fariz menarik nafasnya lalu menghembus perlahan. Dia masih berkira-kira untuk memberitahu Maisara tentang hal itu. Tetapi dia yakin apa yang berlaku pasti ada kaitan dengan Maisara.

“Zack.....” Nama itu meniti di bibir Fariz.

Dahi Maisara sudah berkerut. Dia menunggu kata-kata selanjutnya. Fariz memandang wajah di depannya.

“Pagi tadi saya terima berita dari Mr. Lim. Zack hantar notis dua puluh empat jam ke bahagian pengurusan kakitangan di Nusmefa Emas. Pihak pentadbiran di Infera Emas sudah dimaklumkan.”

“What?” Maisara terpinga-pinga sebentar.

Patutlah dah dua hari Encik Zack tak masuk kerja. Kata Sofea Encik Zack mengambil cuti kecemasan pada hari sebelumnya. Dan hari ini juga dia tidak masuk kerja seperti biasa. Rata-rata para pekerja tertanya kerana banyak dokumen-dokumen yang perlu diserahkan untuk disemak Encik Zack.

“Pagi ni saya pergi site. Pihak lembaga mahukan laporan lengkap tentang status projek yang sedang kita bangunkan di persisiran pantai. Memang arkitek kita dari Altena Emas dah buat laporan yang lengkap tentang projek tu. Tapi saya perlu pastikan dan sahkan laporan tu!”

Maisara tahu dan akui, Fariz sentiasa mahu memastikan setiap laporan dengan sendiri. Dia memang sangat peka tentang perkara-perkara ni. Kebanyakan arkitek di Altena Emas sudah sedia maklum dengan ketegasannya.

Projek yang dipegang Altera Emas kali ini merupakan salah satu projek yang besar. Jarang sekali Infera Emas memberi keutamaan kepada anak syarikat untuk menyelenggara projek sebegini. Pasti ada sebabnya Infera Emas menyerahkan projek ini untuk diuruskan Altena Emas.

“Awak nampak yakin dengan diorang sampai sanggup serahkan projek tu pada Altena Emas,” Maisara menyuarakan kegusarannya.

Fariz tersenyum. Maisara pernah mengatakan dia kurang berminat untuk mengambil tahu kerja-kerja Fariz. Tetapi tenyata Maisara dalam diam tetap memberi perhatian.

“Bukan saya serahkan sepenuhnya. Saya cuma biarkan diorang urus, tapi saya tak pernah lepas pandang tentang projek ni. Baik projek besar, hingga ke projek yang kecil saya tak pernah lepas pandang!”

Maisara menjungkitkan keningnya. Memang satu kenyataan yang pasti kesahihannya. Fariz memang tak pernah lepas pandang dalam apa jua perkara. Kalau kakitangan di anak syarikat sahaja dia tahu dan kenal, tak mungkin projek-projek yang diterima dibiarkan tanpa pengawasan.

“Kadang-kadang saya rasa awak ni seperti tak percaya pada pekerja sendiri, kan? Sebab tulah semuanya kalau boleh awak nak uruskan sendiri. Kalau awak jatuh sakit macam mana?”

Fariz hanya tersenyum. Kalau bercakap dengan Maisara memang begitu. Jika beri perhatian pada kerja, katanya tak percaya pada pekerja bawahan. Jika lepas tangan, tetap salah juga padanya sebab tak melaksanakan kerja dengan sempurna. Apa-apa sahaja Maisara ni! Kadang-kadang dia sendiri tak pasti apa yang dimahukan Maisara. Bila kata begini dia bilang begitu. Kalau bilang begitu, begini pula dikatakannya.

“Awak takut saya jatuh sakit?” usik Fariz sambil melirik padanya. “Sayang juga awak kat saya ye....”

Maisara mengeling. Menyampah dengan usikan itu. Fariz hanya tersenyum.

“Sebenarnya, bukan tu yang saya nak ceritakan pada awak...” ujar Fariz kemudiannya setelah menyedari topik mereka telah jauh menyimpang.

“Apa yang saya nak beritahu, lepas balik dari site tadi, Mr. Lim datang jumpa saya dan beritahu hal tu. Awak rasa, kenapa tiba-tiba Zack berhenti kerja?”

Maisara menjungkitkan bahunya. Mana mungkin dia tahu kenapa. Tapi mungkin juga kerana Encik Zack dah tahu hubungan dia dengan Encik Fariz. Mungkin dia kecewa dan kerana itu dia meletakkan jawatan.

Tetapi di sebelah pihaknya pula menyangkal. Takkan kerana dia Encik Zack sanggup membuat keputusan begitu. Memang dia tahu isyarat-isyarat hati yang sering diberikan Encik Zack padanya. Tetapi mereka berdua masih belum punya hubungan yang mesra untuk lelaki itu kecewa dan membawa diri sebegitu.

“Apa yang saya tahu, dia akan beralih ke Warisan Syed!” ujar Fariz.

Maisara menganggukkan kepalanya. Mujurlah bukan kerana dia Encik Zack mengundur diri. Jika tidak, sedikit sebanyak dia juga akan merasa bersalah.

“Tapi, saya rasa ada sebab lain...” Fariz bersuara semula.

“Sebab?” Mata mereka bertentang.

“Look.....” Fariz mendekatkan dirinya dengan Maisara. “He’s fall in love with you!”

“So.....” Maisara sudah mula merasa tidak selesa.

“Walaupun awak tak de apa-apa hubungan dengan dia. Tapi saya tak suka jika ada lelaki lain yang jatuh cinta pada awak!”

“Tolonglah......perasaan bukan boleh dipaksa. Lagipun dia tak pernah tahu awak tu suami saya.” Maisara memandang Fariz tajam. “Atau..... awak ada kata sesuatu pada dia?” Timbul perkara yang bukan-bukan dibenak Maisara.

Fariz menggelengkan kepalanya. Dia tak percaya Maisara bisa mencurigainya.

“Saya sebenarnya tak peduli apa pandangan awak pada saya...” Tangan Maisara dicapai dan digenggam. Jari-jemari Maisara diramas perlahan.

“Cinta saya pada awak tak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Setiap hari saya hanya mahukan awak dalam hidup saya!”

Fariz menunduk untuk mencium jari-jemari halus itu. Namun belum sempat bibirnya mencecah jemari Maisara, pantas Maiara menarik tangannya.

“Awak....tolong....jangan buat saya keliru!” Maisara bangun dan berlalu pergi meninggalkan Fariz sendiri.

Jika cinta aku tak pernah hilang dalam hidupmu......siapa Suhana dihatimu......siapa Ilyana di hatimu...


Thursday, 16 December 2010

Hanya Dia 45

BAB 45

SEPANJANG hari Zack berkurung di rumah. Fikirannya masih tidak menentu. Setiap pergerakan dan tindakannya hanya membayangkan seraut wajah Maisara di samping Fariz. Dia keliru, mengapa Maisara sanggup berbohong padanya? Kan lebih baik Maisara berterus terang dengannya. Kenapa perlu Maisara mengatakan Fariz itu abang iparnya? Apa niat Maisara sebenarnya?

Bosan tinggal di rumah dengan fikiran yang berserabut, Zack mengambil keputusan untuk keluar.

Sepanjang perjalanan dia terus memandu tanpa tujuan adakalanya fikirannya terus melayang dan hampir hilang tumpuan di jalan. Akhirnya, dia berhenti berehat dan singgah di sebuah gerai mamak.

Setelah menghabiskan sepinggan mee goreng dan segelas teh panas, dia terus memandu tanpa tujuan kembali.

Hampir waktu senja. Dia melirik jam sebentar lalu memutuskan untuk kembali semula ke rumah.

Tiba sahaja di rumah teres miliknya, dia menjadi keget sebentar apabila sebuah Mazda 6 bewarna putih tersadai di pintu pagar. Dia memakirkan Honda City miliknya di tepi lalu melangkah keluar dan menghampiri seorang lelaki.

“Apa..... tuan ini Syed Zikri?” tanya lelaki yang berpakaian seragam putih.

Zack mengangguk seraya matanya liar memandang ke tempat duduk belakang untuk melihat siapakah gerangan yang bertandang ke rumahnya. Tetapi cermin yang serba hitam itu menghalang pandangannya.

Lelaki yang berpakaian seragam itu menuju ke pintu belakang dan membuka pintu sambil kepalanya di tundukkan tanda hormat kepada majikannya. Sepasang kaki yang bersepatu hitam kelihatan lalu sebatang tubuh berdiri tegak di depannya.

Kelihatan seorang lelaki yang separuh umur dan sebahagian rambutnya keputihan tanda sudah di makan usia. Namun susuk tubuh lelaki itu masih tegap dan kelihatan begitu berkarisma bersama suit hitamnya.

Tajam lelaki yang berkaca mata itu merenung ke arahnya. Zack tersenyum sinis bersama sebuah hembusan nafas di lepaskan.

“Ada hajat apa Tuan Syed datang ke pondok buruk saya?” soalan yang kedengaran merendah diri namun disampaikan Zack dengan nada yang begitu sinis sekali.

Walaupun Zack tidak pernah bersua muka secara berdepan dengan satu-satunya saudara ayahnya, namun dia cukup mengenali seraut wajah itu yang begitu persis dengan Syed Hakim. Ketika dia berusia dua belas tahun, Syed Hakim pernah datang ke rumahnya untuk berjumpa dengan mereka sekeluarga.

Syed Hakim menawarkan peluang kepada Syed Zarkasyi untuk kembali semula ke rumah warisan keturunannya. Tetapi tawaran itu perlukan sebuah pengorbanan. Memandangkan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis dikurniakan zuriat lelaki maka Syed Hakim mahukan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri kembali semula ke Rumah Warisan.

Dan Nurul Anis perlu kekal berjauhan dengan mereka. Malah Nurul Anis boleh memilih sama ada mahu mulakan hidup baru bersama lelaki lain atau kekal menjadi isteri Syed Zarkasyi. Seandainya, Nurul Anis memilih Syed Zarkasyi kekal sebagai suaminya, wanita itu perlu rela melepaskan Syed Zarkasyi dan Syed Zikri tinggal berjauhan dengannya kerana Syed Hakim tidak mahu Nurul Anis kembali ke Rumah Warisan. Syed Zarkasyi pula perlu menuruti kemahuan Syed Hakim untuk memperisterikan sepupu kepada Syarifah Nurain, Syarifah Sahara memandangkan di ketika itu Syarifah Nurain sudah dijodohkan dengan Syed Hussin.

Syed Zarkasyi berkeras tidak akan kembali semula ke rumah warisan dan menuruti semua kemahuan Syed Hakim. Dia rela dibuang dari keturunan Syed Hakim daripada perlu berpisah dengan Nurul Anis dan memisahkan Nurul Anis dengan anaknya.

Kerana penolakan Syed Zarkasyi dahulu, maka Syarifah Nurain dijodohkan dengan Syed Hussin. Syed Hakim agak merasa kecewa kerana mereka berdua tidak dikurniakan zuriat lelaki. Macam-macam cara telah dilakukan oleh Syed Hussin dan Syarifah Nurain untuk mendapatkan seorang zuriat lelaki namun rezeki tidak pernah berpihak pada mereka. Mereka hanya dikurniakan seorang zuriat perempuan, Syarifah Ilyana.

Syed Hussin mengerling sekilas rumah teres lelaki itu lalu memandang Zack semula. Dengan wajah yang tenang dan renungan yang mengandungi seribu makna, Syed Hussin menghampiri Zack sehingga jarak yang memisahkan mereka hanya dua kaki sahaja.

Memang Syed Hussin agak tercabar apabila Zack berkeras tidak mahu berjumpa dengannya dan mengarahnya sendiri untuk datang berjumpa dengan Zack. Namun, apabila mengingatkan kembali Syed Hakim sendiri pernah merendahkan diri datang berjumpa dengan Syed Zarkasyi dan Nurul Anis, akhirnya dia memutuskan untuk datang juga berjumpa dengan Zack.

“Tiga puluh tiga tahun.....” Suara garau Syed Hussin akhirnya keluar jugak. “ Seumur hidup kamu selama tiga puluh tiga tahun kita tidak pernah bersua. Tetapi wajah kamu tidak jauh berbeza dengan Syed Zarkasyi. Begitu melihat kamu, aku teringat pada satu-satunya saudara yang pernah aku miliki dulu!”



SYED HUSSIN yang sudah membontoti Zack ke dalam rumahnya hanya berdiri tegak tanpa duduk di kerusi setelah dipelawa Zack. Zack hanya membiarkan sahaja Syed Hussin yang keberatan untuk melabuhkan punggungnya di kerusi dan dengan selamba dia duduk di situ.

Syed Hussin merenung Zack yang kelihatan langsung tidak menghormatinya.

“Kamu tidak ubah seperti Syed Zarkasyi yang tidak hormat pada orang yang lebih tua!” Perlahan tetapi keras nada yang dilemparkan Syed Hussin.

Zack menggelengkan kepalanya mendengar tuduhan itu.

“Tuan Syed, apa yang Tuan Syed mahukan? Saya dah pelawa Tuan Syed duduk, tapi Tuan Syed menolak. Saya faham rumah saya tiada ‘kelas’ bagi Tuan Syed. Tapi Tuan Syed tak berhak menuduh saya macam tu!” Agak keras nada yang dilemparkan Zack.

“Syed Zikri!” Syed Hussin menempik apabila lelaki itu meninggi suara begitu.

“Zack!!” Zack berdiri dan bertentang mata dengan Syed Hussin. “Just.....Zack.....Tak perlu pangil saya dengan nama tu. Saya lebih selesa kalau Tuan Syed panggil saya, Zack!”

Syed Hussin menarik nafas yang panjang. Belum pernah lagi ada orang yang lebih muda darinya meninggikan suara seperti itu. Berdepan dengan Zack, dia perlu kesabaran yang tinggi. Jika bukan kerana amanat arwah walid, Syed Hakim, tak mungkin dia membiarkan dirinya dihina seperti ini.

“Aku tahu, kamu berdendam pada aku dan Syed Hakim, tetapi aku mahu kamu tahu satu perkara. Dan aku mahu kamu dengar dengan teliti apa yang mahu aku katakan. Aku tidak mahu jawapannya sekarang. Aku beri tempoh untuk kamu berfikir sehingga kamu benar-benar tahu apa yang kamu mahu lakukan dalam hidup kamu!”

Setelah berkata begitu, Syed Hussin memberi arahan kepada pemandunya untuk mengambil beberapa fail di dalam kereta. Setelah itu dia memberikan kepada Zack dan menerangkan tujuan kedatangannya.

Hampir tiga jam mereka berbincang. Setelah selesai urusannya, Syed Hussin terus berlalu pergi dan Zack masih termangu dengan fikiran yang berserabut.