Monday, 16 April 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 4







SAMPAI sahaja di sebuah tasik, Zack memakirkan keretanya di bahu jalan. Cermin sisi di sebelah kiri diturunkannya. Masuklah angin sepoi-sepoi bahasa ke dalam kereta. Memandang ke arah tasik yang tenang, mengundang keselesaan dan ketenangan padanya.
Tiba-tiba sahaja timbul keinginan untuk Zack mendekati tasik itu. Lantas dia keluar dari perut kereta dan melangkah pembahagi jalan dan turun ke tepi tasik. Angin semakin membelah tubuhnya. Sejuk dan mendamaikan suasana petang yang permai ini. Cuaca hari ini memang baik. Tak panas tetapi tidak juga mendung. Zack tersenyum puas! Bukan selalu dia dapat berselesa begini. Kehidupannya penuh dengan kerja-kerja pejabat yang tak pernah berakhir.
Setelah berdiri sejenak di tepi tasik Zack berjalan menghampiri sebatang pohon rendang lalu duduk di bawahnya. Dia bersandar di batang pohon dan menyelesakan dirinya. Matanya dipejam seketika, cuba menikmati keindahan petang itu. Dia mahu tenggelam dalam keindahan ini. Petang ini, akan digunakan masanya sebaik yang mungkin. Harap-harap, tiada apa yang akan mengganggu ketengannya ini.
Namun, belum terlalu lama dia mengecap ketenangan itu, sayup-sayup telinganya menangkap bunyi derapan kaki. Jejak langkah itu semakin menghampiri tempat di mana dia sedang berbaring. Zack membuka matanya apabila kedamaiannya terganggu. Dia menoleh ke belakang.
Kelihatan seorang pemuda bersama beg galas di belakangnya sedang duduk di bangku berdekatan dengan pohon di mana dia sedang berbaring. Dari caranya berpakaian, tentu sahaja pemuda ini adalah pelajar dari kolej yang berdekatan. Barangkali pemuda itu tidak menyedari akan dirinya kerana kedudukannya yang agak tersorok. Dari raut wajahnya, pemuda itu kelihatan gelisah.
Zack berpaling semula dan membetulkan posisinya seperti tadi. Biarlah, dia tak mahu mencampuri urusan orang lain. Dia memejamkan matanya sekali lagi dan cuba menyingkirkan kenyataan yang wujud seorang manusia lain berdekatan dengannya. Dalam bayangannya, dia hanya sendirian di situ dan sedang menikmati keindahan petang bersama tiupan angin yang tenang dan mendamaikan.
“Terima kasih, Audra! Memang dah lama saya sukakan awak!”
Telinganya menangkap satu suara. Ketenangannya terganggu lagi. Bagaimana pula ada suara sedangkan pemuda itu sendirian? Dengan siapa pula pemuda itu berbual? Zack membuka matanya kembali dan menoleh semula memandang pemuda itu. Sah! Pemuda itu memang keseorangan!
Zack terus memerhati pemuda yang sudah mundar mandir di depan bangku panjang, di bawah pohon yang sedang dia berbaring. Jelas dan nyata yang pemuda itu memang sedang kegelisahan. Zack masih terus memerhati. Kenapa dengan pemuda itu? Tingkah laku pemuda itu sudah mendapat perhatiannya.
“Audra, saya sukakan awak! Mahu tak kalau awak jadi teman wanita saya?!” Pemuda itu sedang berdialog sendiri lagi.
Kini mengertilah Zack dengan tingkah laku pemuda itu. Rupa-rupanya, pemuda itu sedang berlatih untuk melamar gadis idamannya untuk menjadi teman wanita. Zack menggelengkan kepalanya. Satu hembusan nafas dilepaskan.
Budak-budak sekarang, dihantar untuk belajar tetapi bercinta pula. Cuba habiskan belajar dulu! Dah dapat keputusan yang baik dan pekerjaan yang bagus, barulah fikir tentang perempuan! Zack bertingkah sendiri. Tetapi sekurang-kurangnya, pemuda itu berani juga meluahkan perasaannya! Ada juga teman wanita! Tapi dia? Hmmm, dari dulu sampai sekarang sama sahaja! Belum ada wanita yang benar-benar disukainya.
Memang, dia adalah seorang lelaki yang diburu ramai wanita. Emily, Sofia, Aina, tetapi mereka semua tak ikhlas cintakannya. Mungkin dia hanya menyerkap jarang atau menyimpan prasangka buruk pada mereka. Tapi jelas sekali pada hematnya tentang sikap mereka. Setiap kali wanita-wanita itu datang berjumpa dengannya, pasti mahu makan di hotel-hotel dan restoran-restoran mewah. Kemudian, berjalan-jalan di kompleks membeli-belah dan berbual tentang barang-barang yang berjenama.
Walaupun dia faham benar dengan kehendak wanita-wanita itu, namun belum sekali pun dia mengeluarkan wangnya untuk membeli barangan yang berjenama buat mereka. Kalau setakat makan di restoran dan hotel, dia tidak kisah tetapi bukan dengan membeli barang atau hadiah untuk mereka.
Dek kerana itu dia malas mahu berjumpa dan keluar dengan mereka lagi. Setiap kali mereka mencarinya, Farah yang menjadi mangsa. Pasti dia akan menyuruh Farah membohongi mereka dengan mengatakan dia sedang bermesyuarat atau sedang bekerja di luar kawasan. Mujurlah dia mendapat seorang pembantu peribadi yang baik dan cekap seperti Farah. Belum
Sedang dia memerhatikan tingkah pemuda itu yang kini sudah kembali duduk di kerusi panjang, tiba-tiba sahaja matanya terpandang susuk tubuh seorang gadis yang sedang menghampiri pemuda itu. Mungkin itulah gadis yang ditunggu pemuda tadi.
Zack terus memerhatikan gadis yang semakin menghampiri. Cantik dan manis orangnya. Gadis itu memakai jeans hitam dan T-shirt berlengan panjang berwarna ungu lembut. Dikenakan pula dengan tudung dari warna yang sama dengan baju T-nya, gadis itu kelihatan begitu mempesonakan. Sesuai sekali dengan warna ungu lembut itu dengannya kerana kulitnya yang putih serlah. Beg sandang juga tergalas elok di bahunya.
Apakah hari ini masanya akan terluang dengan kisah percintaan remaja tak matang usia? Zack sudah tertawa kecil. Tak mengapalah. Layan!      

AUDRA sudah tiba di tasik. Dari kejauhan dia melihat sekujur tubuh sedang duduk di bangku panjang di bawah pohon rendang. Audra menarik nafasnya cuba mencari kekuatan diri. Kalau bukan kerana Zana, dia takkan mahu datang ke sini dan berjumpa dengan Zaid. Apatah lagi bila mengingatkan Zaid mungkin akan salah faham dengan maksud kedatangannya ke sini.
            Tapi ada benarnya juga kata Zana, dia tetap perlu ucapkan terima kasih atas kebaikan Zaid yang sudah bersudah payah membela dirinya dari terus menjadi bualan jahat Munir. Tapi yang pasti, dia datang ke sini juga atas tujuan lain. Semuanya kerana Zana!
            Zana, Zana. Kepala Audra sudah tergeleng. Macam manalah sahabatnya itu boleh terfikirkan perkara mengarut begitu? Bagaimana dia dan Zaid boleh hidup bahagia jika tangan hanya bertepuk sebelah. Dia langsung tak punya perasaan pada Zaid! Jadi, Zana tak perlulah buat pengorbanan melulu begini.
Sebenarnya, dia langsung tidak menyangka yang Zana menyimpan perasaan pada Zaid. Selama ni Zana kelihatan biasa-biasa saja apabila mereka berbual tentang Zaid. Sedikit pun Zana tidak menunjukkan perasaannya yang memuja Zaid dalam diam. Pandai betul Zana menyembunyikan rasa hatinya!
            Audra menghampiri Zaid dan berdiri di sisinya. Kelihatannya, lelaki yang sedang tunduk itu tidak menyedari kedatangannya. “Assalamualaikum,” Audra menyapa.
“Waalaikumussalam,” Zaid menjawab salam dan bagaikan magnet, melihat sahaja wajah Audra terus Zaid berdiri tegak. “Duduklah Audra!” pelawanya yang agak tergagap-gagap sedikit.
“Eh, tak mengapalah. Biar saya berdiri aje. Tak manis kalau orang pandang,” tolak Audra dengan baik.  Audra melirik seketika wajah dihadapannya. Berhadapan begini dengan Zaid, ditambahkan pula dengan keadaan mereka yang berdua-duaan mengundang resah di jiwa Audra.
“Audra sihat?” tanya Zaid. Soalan yang biasa diajukan oleh sesiapa.
“Alhamdulillah, sihat. Awak?” Audra melarikan anak matanya ke tasik yang tenang. Tak sanggup dia bertentang mata dengan lelaki yang tak pernah berbual dengannya ini.
“Alhamdulillah, sihat.” Zaid menarik nafas yang panjang, cuba menenangkan perasaannya. “Duduklah Audra. Biar saya saja yang berdiri,” pelawa Zaid lagi. Tak mungkin dia membiarkan Audra terus berdiri begitu.
“Tak mengapalah. Saya lebih selesa jika saya yang berdiri.”
Zaid mengangguk, mengalah dengan kehendak Audra. Dia juga ikut berdiri.
            Audra melirik seketika wajah Zaid yang kelihatan ceria menerima kedatangannya. Dia mengetap bibirnya. Ini petanda bahaya. Zaid mungkin dah salah faham dengan persetujuan Audra untuk berjumpa dengannya.
“Terima kasih ya sebab awak dah bela saya dari fitnah si Munir tu,” Audra memulakan mukadimahnya. Namun, ucapan terima kasih itu memang jujur dari hatinya.
“Tak apalah. Perkara kecil aje,” Zaid tersenyum. Kalau untuk Audra, apa sahaja sanggup dilakukannya.
“Lagi satu, saya nak minta maaf pada awak. Sebab saya, awak digantung kolej!” Audra tertunduk. Memang dia agak kesal dan bersimpati dengan Zaid atas apa yang telah terjadi. Namun, dia tetap merasa dia tidak bersalah. Mereka berdua bergaduh kerana kehendak masing-masing!
“Tak apa. Bukan salah awak pun!” Senyuman Zaid semakin lebar.
“Keluarga awak macam mana?” Khuatir juga Audra jika keluarga Zaid akan marah padanya. “Mereka dah tahu tentang hal ni?”
Zaid mengangguk. Surat dari pihak kolej telah sampai kepada keluarganya. Sebaik sahaja mereka menerima surat itu, terus sahaja mereka menghubungi Zaid dan memintanya terus pulang ke rumah. “Biasalah,” jawab Zaid ringkas sambil mengangkat kedua-dua bahunya. Tentu sahaja keluarganya marah.
“Dia orang marahkan awak?” Audra bertanya lagi. Kali ini dia terus memandang tepat ke wajah Zaid.
“Itu perkara biasa yang dilakukan ibubapa apabila anak-anak buat salah,” ujar Zaid. Dia tidak mahu Audra menyimpan perasaan bersalah. Lagipun, dia pertahankan Audra kerana keinginannya sendiri. Audra langsung tak terbabit dengan tindakannya itu.
Audra menghembuskan nafas kesal. Kenapa Zaid perlu menyusahkan diri semata-mata untuk pertahankannya? Zaid tak perlu buat begitu! “Maaf,” Audra tertunduk lagi. Walaupun hatinya terus merasakan yang dia tidak sepatutnya meminta maaf, namun kerana menghargai tindakan Zaid itu kata-kata maaf tetap diucapkannya.
            Zaid menganggukkan kepalanya dan masih tersenyum. “Tak mengapa! Tak perlu minta maaf. Saya lakukan semuanya dengan rela hati. Untuk awak Audra, saya sanggup lakukan apa sahaja!” Bersungguh benar Zaid berkata-kata. Kata-kata itu ikhlas dari hatinya. Dia tidak mungkin menyatakan sesuatu jika tidak benar.
Berderau darah Audra. Kata-kata itu membuatkannya pantas menoleh memandang ke tasik. Argh! Lelaki! Belum dapat, memanglah manis bicara lebih manis dari kurma. Tapi bila dah dapat nanti, belum tentu pahitnya macam peria. Agaknya lebih pahit kot! Sungguh, memang dia terhutang budi dengan kebaikan Zaid, tapi itu tidak bermakna dia akan percaya apa sahaja yang diperkatakan Zaid. Sesungguhnya, Audra memang menyimpan perasaan yang negatif pada lelaki yang manis bicaranya.
 Audra memandang Zaid. “Terima kasih ya Zaid. Tapi tak perlulah sampai sanggup buat apa saja untuk saya,” ujar Audra.
“Betul! Saya akan lakukan apa saja untuk Audra!” Zaid kelihatan begitu bersungguh dengan pengucapannya. Dia mahu Audra yakin dengan kesungguhannya.
Audra sudah tidak tentu arah. “Begini sajalah, Zaid. Sebenarnya,”
            “Nanti Audra!” Tiba-tiba sahaja Zaid bersuara. “Saya ada sesuatu nak cakap. Biar saya cakap dulu.” Zaid sudah berdiri di depan Audra dan bertentang mata dengannya. Sebelum kekuatan dan keberaniannya hilang, lebih baik dia meluahkan dahulu perasaannya.
Audra dapat merasakan sesuatu yang dia tidak suka bakal berlaku. Lebih baik dia cepat bertindak. “Lady first, please!” Audra mengangkat tangan menyuruh agar Zaid berhenti dari berkata-kata. “Biar saya berterus terang dengan awak dulu!”
            Zaid tergamam.
           “Sebenarnya saya datang ke sini jumpa awak kerana Zana! Semuanya sebab Zana! Saya tak nak awak salah sangka dengan saya. Saya tak ada apa-apa perasaan pun pada awak. Saya anggap awak macam kawan-kawan yang lain.” Audra memandang tepat ke dalam anak mata Zaid untuk menunjukkan yang dia benar-benar maksudkannya.
Zaid diam seketika. “Tapi Audra,” Ada sinar kekecewaan dari matanya. “Perasaan boleh dipupuk, Audra! Awak belum benar-benar kenal dengan saya. Apa salahnya kita mencuba? Kita boleh cuba kalau awak mahu!”
            “That’s it! Kalau saya mahu! Tapi masalahnya sekarang, saya tak mahu! Tak ada gunanya kita mencuba kalau dalam hati saya tak punya perasaan yang sama pada awak!” Sekali lagi Audra cuba menekankan pada Zaid. Apa, Zaid fikir perasaan ini boleh main cuba-cubakah?
            “Kenapa? Apa kurangnya saya?” tanya Zaid. Perasaan kecewa terlukis jelas diwajahnya.
Tapi sedikit pun tidak berputik rasa simpati di hati Audra. Audra mengherotkan bibirnya, sedang berfikir cara terbaik untuk menjawab soalan Zaid. Sungguh, dia tak tahu untuk berkata apa! Apa kurangnya Zaid? Entah! Manalah dia tahu sedangkan dia memang tak mengenali Zaid dengan rapat. Lagipun soalan sebegini tak patut timbul. Bukankah Allah menjadikan setiap makhluknya tidak sempurna? Ada kekurangan dan keistimewaan masing-masing. Jadi persoalan sebegini tak sepatutnya timbul!
            “Maaflah kalau saya dah kecewakan awak, Zaid.” Wajah sedih Zaid dipandangnya. “Terus terang saya katakan, saya tak tahu apa kekurangan awak. Secara lahiriah, awak sempurna. Tak de yang kurang. Tapi,” Audra melepaskan keluhan sambil matanya memandang Zaid. Ya, lelaki kacak dan bertubuh tegap seperti Zaid memang sempurna untuk jadi hero Malaya. Tapi yang pasti, jantung Audra tak berhenti berdegup apabila memandang Zaid.
            “Tapi?” soal Zaid kembali apabila kata-kata Audra mati di situ. Wajah Audra dipandangnya, meminta pengertian bersama kerutan di dahinya.
            Audra termangu seketika. Pipi kanannya digosok-gosok. Mengapalah boleh terkeluar perkataan tapi pulak! Dia marahkan diri sendiri. “Tapi,” Audra sudah tak senang duduk. Tapi apa? Takkanlah dia nak berterus terang yang Zaid tak buatkan jantungnya berhenti berdegup?!
            “Tapi apa?!” Zaid sudah bertentangan dengan Audra. Kali ini suaranya agak deras sedikit.
Audra terkejut seketika dengan suara deras itu. “Tapi, jantung saya,” kata-kata Audra masih tersangkut. Dia menelan air liurnya. Wajah Zaid yang terus merenungnya, membuatkan hatinya resah.
            Kening Zaid sudah terjongket menunggu kata-kata seterusnya dari Audra. Perkataan tapi dibelakang ayat Audra membuatkannya penasaran. Tapi apa? Kenapa dengan jantung Audra? Dia mahu Audra berterus terang tentang kekurangannya di mata Audra.
            “Awak tak membuatkan jantung saya,” Audra masih lagi ragu-ragu untuk menyempurnakan ayatnya. Dia menarik nafas, “Berhenti berdegup!” Akhirnya terlepas juga kata-kata itu dari bibir Audra.
            “What?!” Dia tak buat jantung Audra berhenti berdegup? Benarkah apa yang didengarnya? “Apadia?!” Zaid meminta Audra mengulang semula kata-katanya.
            “Look! Saya tahu alasan saya mungkin tak masuk akal untuk awak. Tapi, jujur saya katakan saya tak tahu apa kekurangan awak. Cuma, awak memang tak membuatkan jantung saya berhenti berdegup!” Kali ini Audra berbicara dengan lancar sekali.
Sudah berhambur tawa Zaid. Dia ketawa dan terus ketawa sampai mengeluarkan airmata! Sampai sakit perutnya! Alasan apa yang diberikan Audra? Dia tak membuatkan jantung Audra berhenti berdegup?! Audra pasti sedang bergurau dengannya.
Sedangkan Audra pula sudah terasa panas hati melihat Zaid ketawa begitu. Kecil sahaja Zaid dalam pandangannya. Macam nak dilempang je lelaki itu.
 “Saya tak buat jantung awak berhenti berdegup?!”  Satu lagi tawa besar dilepaskan Zaid. Dia memegang perutnya yang sudah sakit kerana terlalu banyak ketawa. Dia tahu, memang agak kurang sopan kerana mentertawakan Audra tetapi dia tak dapat mengawal dirinya.
Audra sudah mencekak pinggang dengan wajah yang menyinga. Dadanya berombak laju.
“Awak memang pandai berguraulah, Audra!” Dia memang tidak menyangka gadis pendiam yang hanya suka tersenyum itu pandai membuat kelakar.
“Saya tak bergurau!” Audra mendengus kasar.
Melihatkan reaksi Audra yang serius, Zaid cuba mengawal diri. “Sorry.” Audra yang sudah merona merah wajahnya dipandang sekilas. “Jadi, awak mencari lelaki yang boleh buat jantung awak berhenti berdegup?” tanya Zaid yang masih ada sisa senyuman dari wajahnya. Kepalanya tergeleng-geleng. Kalau ya pun Audra mahu menolaknya, tak bolehkah beri alasan yang lebih logik?
            Tahu benar Audra senyuman itu hanyalah kerana Zaid sedang berusaha agar tidak tertawa lagi di depannya. Semakin kelat wajah Audra.
            “Betulkah awak ni? Ke main-main je?” tanya Zaid. Dia ingatkan Audra hanya bergurau. Tak sangka pula Audra benar-benar maksudkannya. Reaksi Audra menunjukkan begitu.
            “Tak de maknanya main-main! Serius!” ujar Audra dengan tegas. Dia memeluk tubuh. “Bukan sahaja saya mencari seorang lelaki yang boleh membuatkan jantung saya berhenti berdegup, tapi juga seorang putera raja! Putera raja yang boleh membuatkan jantung saya berhenti berdegup dan kemudian jantung saya akan bergerak laju. Dup dap! Dup dap!” tambah Audra lagi sekadar mahu menyakitkan hati Zaid. Sengaja dia meletakkan perkataan ‘putera raja’ dalam kata-katanya untuk menyedarkan Zaid yang Zaid langsung tiada dalam senarai pilihannya.
            Dalam dunia realiti, tak mungkinlah ada putera raja yang mahukan gadis kampung macamnya. Tentang itu, Audra masih sedar diri.  Dia memandang Zaid.
            Zaid membisu seakan sedang berfikir.
            Audra sudah tertanya-tanya sendiri. Mengapa tiba-tiba Zaid diam begitu? Sangkanya, Zaid akan ketawakannya seperti tadi. Terasakah Zaid dengan kata-katanya? Rasa bersalah pula timbul untuk orang yang telah berbuat baik padanya.
            “Saya ingatkan nak kahwin dengan Putera William, tapi dia pulak dah kahwin dengan Kate!” gurau Audra apabila melihat kebisuan Zaid.  Rasa tak keruan pula melihat Zaid diam begini.
            Zaid memandang Audra lalu tersenyum. Kali ini dia percaya Audra serius dengan kata-katanya. Semoga gadis itu akan mencapai impiannya. “Okey,” Zaid mencapai beg galasnya. Rasanya dia sudah mengerti tentang perasaan Audra. Lagipun, jika Audra memang tidak suka padanya, biarkanlah. Cinta tidak boleh dipaksa. Dia bukan seorang lelaki yang suka memaksa dalam bercinta. “Saya doakan semoga awak akan menemui seorang putera raja yang akan membuatkan jantung awak berhenti berdegup.”
            Audra menelan air liurnya. Apakah itu satu sindirian atau Zaid benar-benar maksudkannya? Tapi, Zaid tak kelihatan sedang menyindirnya. Mungkin Zaid ikhlas berkata begitu.
“Saya minta diri dulu, Audra.” Zaid sudah berpusing untuk pergi.
Audra terkedu. Tiba-tiba dia teringat semula tujuan asalnya datang berjumpa dengan Zaid. “Tunggu Zaid! Saya ada sesuatu nak bincang dengan awak!” panggil Audra.
Langkah Zaid terhenti. Wajah Audra dipandang dengan kerutan diwajahnya. Perkara apa yang perlu dibincangkan lagi?
            “Saya ada seorang puteri sebagai ganti,” ujar Audra. Dia tidak pasti adakah ini saat yang sesuai. Apatah lagi dia baharu sahaja menolak Zaid. Patutkah dia meminta Zaid mendampingi Zana?
Zaid tersenyum sambil tergeleng-geleng kepalanya. Sudahlah dia ditolak, gadis yang dipujanya mahu menyatukan dia pula! Zaid ketawa kecil. Mungkin, dia patut memberi peluang kepada Audra. “Siapa?” Sempat lagi Audra mahu padankannya dengan orang lain.
            “Sahabat saya! Awak kenal kan?” Tak pelu disebut nama Zana. Sudah pasti Zaid tahu! “Mungkin dia lebih sesuai dengan awak. Awak boleh cuba kalau awak mahu!” Audra memulangkan kembali kata-kata Zaid padanya.
Zaid sudah ketawa mendengar kata-katanya tadi digunakan Audra pula. “Betulkah? Atau awak hanya bergurau?” Dalam fikirannya sudah terbayang seraut wajah yang paling rapat dengan Audra.
“Betul!”
“Dia beritahu pada awak?” tanya Zaid.
Audra menggeleng.
“How can you be so sure?”
Audra mengetap bibirnya. Dia tak mungkin beritahu Zaid yang dia telah membaca diari Zana. “Dia sahabat saya.” Hanya itu yang mampu dikatakan Audra. “Tapi, awak jangan salah sangka. Dia tak tahu pun saya cakap macam ni pada awak!” Audra tak mahu Zaid memandang serong pada Zana sedangkan Zana langsung tak tahu tentang tujuannya itu.
“Dia tak tahu?”
Audra mengangguk laju. “Dia memang tak tahu apa-apa.”
“Betulkah awak ni? Atau awak sengaja nak main-mainkan saya?” Selama dia kenal dengan Audra hanya Zana sahaja sahabat baik Audra. Ke mana sahaja pasti mereka ada bersama. Selama ini, setiap kali dia menitipkan salam untuk Audra melalui Zana, dia tak melihat langsung reaksi Zana yang menunjukkan perasaan gadis itu terhadapnya.
“Betul! Saya tak main-main. Mungkin dia lebih sesuai untuk awak.”
            Zaid ketawa kecil sambil kepalanya tergeleng-geleng. Kalau benar kata-kata Audra, apa salahnya dia mencuba. Zana juga seorang gadis yang baik. Raut wajahnya juga penuh dengan kelembutan. Walaupun Zana tidak secantik Audra, namun gadis itu mempunyai kecantikannya tersendiri.
“Tengoklah,” jawab Zaid. “All the best to you, Audra.” Zaid berpaling dan berlalu pergi.
            Audra menghembuskan nafas kelegaan. Selesai satu masalah. Audra duduk di bangku panjang. Beg galasnya di buka. Diari ungu lembut itu diambilnya untuk meluahkan segala kelegaannya tentang Zaid dan juga tentang harapannya yang mahu melihat Zana mendapatkan cintanya.

Thursday, 12 April 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 3












ZACK mengemas mejanya sebaik sahaja melihat jam ditangannya. Sudah hampir jam lima petang. Terasa mahu pulang awal hari ini. Mujurlah dia sudah solat Asar di surau tadi. Tak perlulah dia tergopah-gapah pulang ke rumah.
Entah kenapa dia terasa mahu berpusing-pusing sekitar Pulau Pinang sebelum pulang ke rumah. Semua dokumen yang penting sudah dimasukkan ke dalam briefcasenya. Malam nanti, dia akan menyambung semula tugasnya di rumah. Lantas dia berjalan keluar. Kelihatan Farah masih lagi tekun melakukan tugasnya. Zack mendekati meja Farah.
“Kamu tak balik lagi, Farah?” ujar Zack kepada pembantu peribadinya.
Mendengar sahaja suara Zack, Farah yang sedang melihat komputer dengan pantas beralih memandang si empunya suara. “Belum lagi, Tuan Syed!” Lalu dia berdiri tegak, tanda hormat kepada pengarahnya. “Laporan mesyuarat pagi tadi masih belum siap!”
Zack menganggukkan kepalanya. Farah memang seorang pekerja yang dedikasi. Beruntung dia mempunyai seorang pembantu peribadi seperti Farah. “Saya nak balik dulu. Semua dokumen yang perlukan tandatangan saya, saya bawa sekali. Nanti saya teliti dulu di rumah!” beritahu Zack. “Esok pagi, saya akan serahkan semula pada awak.”
“Baik, Tuan Syed!” Farah menganggukkan kepala sebagai tanda menerima arahan itu.
“Suami awak datang ambil awak nanti?” tanya Zack.
Farah mengangguk. “Awal Tuan Syed balik hari ni.” Seingatnya, selama Tuan Syed Zikri ambil alih syarikat ini secara rasmi setahun yang lalu, belum pernah lagi lelaki itu pulang awal. Paling awal pun jam lapan malam, usai lelaki itu mendirikan solat Maghrib di surau.
Zack hanya tersenyum dengan kata-kata Farah. Mungkin aneh bagi wanita itu sebab dia memang tidak pernah pulang awal sebelum ni. Tapi hari ini, dia mahu pulang lebih awal. Dia mahu meredakan sedikit tekanan kerja yang dirasakannya. Dia mahu mencari ketenangan seketika. Jiwanya terasa bagai ada yang sedang memanggil. “Sekali sekala tak salah kan?” Zack bertanya.
“You’re the boss,” Farah kembali tersenyum. Siapalah dia nak menghalang pergerakan seorang bos? Apatah lagi Tuan Syed Zikri seorang bos yang tinggi keperibadiannya dan penuh tanggungjawab. “Bagus jugak kalau sesekali Tuan Syed balik awal. Kita ni manusia biasa. Kadang-kadang perlukan waktu rehat yang lebih.” Melihat senyuman yang menguntum di bibir lelaki itu, mudah sekali Farah meluahkan pendapatnya.
“Betul tu, Farah. Lagipun, memang hari ni saya rasa letih.” Zack menghembuskan satu keluhan. “Saya ingat nak jalan-jalan sekejap. Nak lari dari kesibukan di ofis ni,” ujar Zack.
“Iyakah?” Farah sudah tersenyum simpul, pura-pura mengusik lelaki itu. “Atau, Tuan Syed dah pening nak layan peminat-peminat Tuan Syed?” gurau Farah. Sejak pagi tadi, Tuan Syed Zikri asyik mengelak dari menjawap panggilan-panggilan ‘manja’ yang mahu berbicara dengannya. Ini semua gara-gara lelaki itu mematikan telefon bimbitnya, maka para wanita itu menghubungi pejabat untuk bercakap dengannya. Secara tidak langsung, dialah yang menjadi mangsanya.
“Ish, kamu ni! Ada pulak!” Zack ketawa kecil. “Tak de maknanya saya nak pening sebab dia orang tu! Buang masa!” Kepala Zack sudah tergeleng. Namun pada hakikatnya, itu juga merupakan salah satu perkara yang membuatkan dirinya merasa sedikit tertekan. Dia tidak mahu wanita-wanita itu terus menghubunginya. Bila difikirkan kembali, memang salahnya juga. Mungkin kerana dia terlalu sunyi dan mengharapkan ada seorang wanita yang bisa menghilangkan kesunyiannya. Maka, dia bersikap terbuka dengan setiap salam perkenalan yang dihulurkan oleh mereka.
“Kenapa Tuan Syed? Takkan tak de seorang pun yang berkenan di hati?” Farah semakin berani bertanya pabila melihat Zack lebih santai perbualannya.
“Nak buat macam mana? Hati tak berkenan!” ujar Zack. “Nasib baik awak dah kahwin. Kalau awak ni masih solo lagi, lebih baik saya pilih awak dari dia orang semua,” Zack mengusik Farah semula.
Yalah tu, Tuan Syed ni! Farah ketawa. Kalau betul pun dia masih solo lagi, dia berani kerat jari yang dia langsung takkan menjadi pilihan Tuan Syed Zikri. Mana sepadan dia dengan lelaki di depannya ini. Tuan Syed Zikri adalah seorang lelaki yang kacak dan berkedudukan. Tak layak untuk dia bergandingan dengan lelaki ini.
“Kalau macam tu rugilah saya dah kahwin!” semakin galak Farah mengusik majikannya itu.
“Hahaha,” Zack ketawa besar dengan gurauan Farah. “Kalau suami awak dengar ni, confirm awak kena balik rumah mak bapak awak!” ujarnya setelah tawanya reda.
“Suami saya, okeylah Tuan Syed. Dia tahu saya bergurau je sebab saya ni seorang isteri yang setia pada suaminya!” Farah menjongketkan keningnya. Biarpun suaminya tidak sekacak Tuan Syed Zikri yang ada di depannya ini, namun suaminya adalah lelaki yang menduduki carta teratas dalam hatinya. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat suaminya!
“Hmmm, baguslah macam tu! Setia pada suami! Saya pun nak cari satu yang macam tu!” Dalam fikiran Zack sudah membayangkan ciri-ciri wanita yang diimpikannya. “Bila agaknya saya dapat jumpa dengan seorang gadis yang akan menjadi ratu hati saya? Kalau ada seorang gadis yang betul-betul mencintai saya seadanya, saya akan layan dia seperti seorang puteri.” Itulah harapan yang tersimpan jauh di lubuk hati Zack yang paling dalam.
“In Sha Allah, Tuan Syed. Niat yang baik, Allah akan makbulkan,” ujar Farah. Tak semena-mena, dia sudah naik taraf menjadi penasihat pengarahnya sendiri.
“Amiin,” Zack menadah tangan dan menyapu di mukanya. “Terima kasih sebab banyak tolong saya tepis panggilan-panggilan yang tak penting macam tu. Next time, kalau boleh, buat dia orang tu semua fed-up dengan saya, okey?” ujar Zack atas kebaikan Farah yang telah melakukan tugas dan arahannya dengan baik.
Farah ketawa kecil. “Tak ada masalah Tuan Syed. Rasanya, mereka yang lain tu pun dah bosan nak terus mengejar Tuan Syed. Cuma, tinggal seorang je peminat fanatik Tuan Syed.” Farah sendiri tidak mengerti apa yang diinginkan oleh wanita-wanita itu. Sedangkan, Tuan Syed Zikri sendiri sudah menerangkan kepada mereka semua bahawa dia tidak berminat dengan mereka. Tetapi, mereka tetap mahu mencuba nasib. Akhirnya, dia juga yang terkena tempiasnya.
Zack mengurut dagunya. Kenal benar dia dengan siapa yang dimaksudkan Farah. Kalau hanya seorang sahaja yang tinggal, yang masih berdegil mengganggunya, tentu sahaja wanita itu adalah anak tunggal kepada Dato’ Jamaluddin. Memang Warisan Syed pernah terhutang budi dengan Dato’ Jamaluddin kerana sanggup menarik balik dakwaan yang dikenakan ke atas Warisan Syed. Tapi itu tidak bermakna dia harus menyerahkan dirinya kepada anak perempuan Dato’ Jamaluddin itu.
“Tak mengapalah Farah. Saya balik dulu. Pening saya dibuatnya kalau ayik fikirkan perkara ni.” Zack sudah mengurut dahinya.
“Tak apalah Tuan Syed. Perlahan-lahan kita settle perkara ni.” Dia sendiri pening dengan sikap Cik Emily, anak tunggal Dato’ Jamaluddin. Ada saja helahnya untuk menarik perhatian Tuan Syed Zikri. Kalau dia sendiri pun pening, berganda-gandalah pening yang dialami oleh Tuan Syed Zikri! “Tuan Syed baliklah. Rehatkan diri.”
“Terima kasih, Farah. Assalamualaikum,” Zack mencapai briefcase dan terus berlalu.
“Waalaikummussalam,” Farah masih memerhatikan lelaki itu sehingga bayangnya hilang.
Farah menarik nafas yang panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Kadang-kadang dia kasihan dengan Tuan Syed Zikri. Lelaki itu masih keseorangan sehingga sekarang. Ramai peminat wanita Tuan Syed Zikri yang sering mengganggunya di pejabat. Kadang-kadang sehingga lelaki itu akan menyuruhnya berbohong kepada mereka setiap kali mereka mencarinya. Terutama sekali, Cik Emily.
Pada pandangan Farah, Tuan Syed Zikri sememangnya seorang lelaki yang kacak dan tampan, berharta dan memiliki Warisan Syed sebagai asetnya. Tentu sahaja lelaki itu menjadi buruan para gadis. Kalaulah dia masih belum berkahwin, mungkin juga perasaan wanitanya akan terusik kepada Tuan Syed Zikri. Mujurlah dia dah kahwin dan cintanya hanya untuk suaminya. Jika tidak, pasti dia perlu bersaing dengan wanita-wanita itu untuk memenangi hati Tuan Syed Zikri.
Bila diimbas kembali kedatangan awal Tuan Syed Zikri ke Warisan Syed, memang lelaki itu tidak gemar apabila kakitangannya memanggilnya dengan gelaran ‘Tuan Syed’. Dia lebih senang jika mereka memanggilnya dengan panggilan ‘Encik Zack’. Tetapi apabila lelaki itu mengambil alih kerusi pengarah dari Tuan Syed Hussin, barulah lelaki itu membenarkan kakitangannya memanggil dirinya dengan gelaran ‘Tuan Syed’ kerana itu adalah salah satu syarat bagi setiap pewaris Warisan Syed.
Semoga Tuan Syed Zikri akan menemui wanita yang benar-benar sesuai dengannya. Bukan wanita seperti Cik Emily dan yang lain-lain. Dia sedikit pun tak pernah merasa yang mereka semua ikhlas mahukan Tuan Syed Zikri! Mereka semua hanya memandang kedudukan yang ada pada lelaki itu.
TERKEDU Audra seketika dengan berita yang disampaikan Zana. Wajah Zana yang mencuka di depannya itu dipandang sekilas. Zana kelihatan marah padanya. Zaid dan Munir masing-masing telah dikenakan tindakan tatatertib. Mereka berdua digantung kolej selama dua minggu dan satu surat tentang perilaku mereka telah dihantar kepada waris masing-masing.
“Kau faham kan apa yang aku cakap?” tanya Zana sambil memeluk tubuhnya. Tajam matanya memerhatikan wajah Audra.
“Aku fahamlah!” Kerling Audra sambil mengurut lehernya yang terasa tegang apabila mendengar berita yang di bawa Zana. Tiba-tiba sahaja perasaan bersalah timbul dalam hatinya.
“Baguslah kalau kau dah faham. Sekarang ni, aku nak kau jumpa dengan Zaid dan cakap terima kasih dengan dia!” arah Zana dengan suara yang tegas.
“Hah? Jumpa dengan Zaid?” Ternganga mulut Audra. Nampaknya Zana benar-benar bertekad dengan keputusannya. Audra menggigit bibir bawahnya. Kenapa Zana masih belum lupa dengan hal ini?
Zana menjeling melihat reaksi itu. Seperti yang telah dijangkakan. Begitulah reaksi yang akan ditunjukkan Audra. “Aku dah beritahu Zaid. Dia akan tunggu kau di tepi tasik petang nanti!” Zana bangun lalu mencapai kain-kain kotor yang mahu di cuci dan di masukkan ke dalam baldi. Sengaja dia melakukan itu untuk melarikan diri dari pandangan mata Audra.
“Aku tak kata pun aku setuju!” Audra menolak. Lehernya semakin tegang. Kepalanya sudah berdenyut dengan arahan itu.
“Bila masa pulak aku tanya persetujuan kau?” tanya Zana. “Sekarang ni, aku minta kau jumpa dengan dia! Aku nak kau kenang budi Zaid yang dah menyusahkan diri dia sebab kau!”
“Aku tak naklah!” Audra menolak dengan lebih keras. Takkanlah sebab perkara tu dia kena berjumpa dengan Zaid? Di tasik pulak tu. Dia tak nak fitnah lain pula timbul di antara dia dan Zaid. “Kalau nak berterima kasih pun, tak payahlah sampai jumpa di tasik! Macam berdating pulak!” Audra tidak bersetuju. “Kat kolej pun boleh jumpa dia lagi, kan?”
“Engkau ni memang tak pernah ambil tahu tentang perkembangan kat kolej kita, ek?” Zana mengerling. Sebelah pinggangnya sudah dicekak sambil memandang wajah Audra. Baldi yang berisi pakaian kotor diletakkan di lantai. “Mereka berdua tu dah dijatuhkan hukuman bermula hari ni! Ada kau nampak Zaid kat kolej tadi?”
Audra menggaru telinganya. Dia tak pernah pun ambil tahu tentang Zaid. Macam manalah dia nak menyedari kalau Zaid ada atau tidak. “Kalau macam tu, aku tunggu Zaid masuk kolej baliklah, baru aku jumpa dia dan cakap terima kasih.”
“Audra!” Zana menggeleng. “Perkara yang baik tak elok dilengahkan. Aku dah susah payah aturkan pertemuan kau dengan Zaid. Kau pergi ajelah!” Wajah Audra yang keberatan itu terus dipandangnya. “Bukanlah aku nak minta, tapi kalaulah lepas ni kau dah tak jumpa Zaid tu, macam mana?” Perkataan ‘kalau’ itu ditekankan sedikit. “Misalnya, tiba-tiba ayah dia tukarkan dia ke kolej lain. Macam mana?” Zana cuba bermain psikologi.
“Tapi,” Audra sudah menunjukkan muka seposen pada Zana. Dia cuba memikirkan bagaimana untuk menolak permintaan Zana. Zana ni pun satu! Kenapa pulak dia yang menjadi mangsa di sini?
“Tapi apa pulaknya ni?” Zana memandangnya tajam. “Kesian Zaid! Sebab pertahankan kau, dia pun kena sekali. Kau tak terfikirkah macam mana perasaan dia nanti bila kena marah dengan mak ayah dia?” Zana menghembus nafas panjang. “Sekurang-kurangnya, kenangkanlah jasa baik dia!”
Audra diam. Bukan dia tak kenangkan sikap baik Zaid. Tapi dia takut jika dia menuruti keinginan Zana untuk berjumpa dengan Zaid, lelaki itu akan salah faham dengan perasaannya! Audra memandang wajah Zana, memohon pengertian dari sahabatnya itu.
Zana pura-pura tidak mengerti dengan raut wajah yang ditunjukkan Audra. Nak minta simpatilah tu! “Aku tak kira! Sebab kau, diorang berdua dah dikena tindakan tatatertib. Dua minggu digantung kolej. Kalau si Munir tu, aku tak kisah. Tapi bukan Zaid! Dia cuba defend kau dari fitnah si Munir tu!”
“Tapi bukan aku yang minta Zaid pertahankan aku! Dia sendiri yang menyusahkan diri dia sendiri!” Audra masih dengan wajah masamnya. “Aku rasa, akulah mangsa sekarang ni! Aku tak tahu apa-apa. Tiba-tiba aku pulak yang terbabit sekali!”
“Kau ni kan Audra! Tak baik tau lupakan kebaikan orang pada kita,” ujar Zana. “Zaid dah berbuat baik dengan kau. Jadi, kau kenalah berbahasa sikit dengan dia!”
Audra menengkup mukanya. Dia benar-benar keberatan untuk berjumpa dengan Zaid. Bagaimana jika dia berjumpa dengan lelaki itu dan lelaki itu salah sangka dengannya? Dia tak nak Zaid beranggapan dia memberi harapan pada Zaid! “Aku bukannya tak nak berterima kasih pada Zaid. Tapi aku tak nak beri harapan pada dia. Kau tahu kan yang aku sikit pun tak de hati dengan dia,” ujar Audra.
“Aku tahu! Tapi,” Zana menarik nafas yang panjang. “Atleast kau cakap terima kasih pada dia. Dia buat semua ni untuk kau!” ujar Zana.
“Sebab tulah aku tak nak jumpa dia! Aku tak nak dia simpan harapan dekat aku sebab aku tak mungkin jatuh cinta dengan dia!” tegas Audra. Susahnya Zana nak faham keengganannya! Audra bukanlah tak mahu ucap terima kasih atas kebaikan Zaid. Tapi dia khuatir lelaki itu akan lebih menyimpan harapan padanya sedangkan perkara itu yang sering dielakkan dari Zaid dan juga pelajar lain yang suka padanya.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni!” Zana merenung Audra. “Apa kurangnya Zaid tu? Handsome! Baik pulak tu. Tapi kenapa kau tak nak kat dia?” tanya Zana.
Audra diam membisu. Dia menjeling Zana.
“Bagilah peluang dekat Zaid. Kenal dia dengan lebih rapat,” pujuk Zana dengan suara yang lembut.
Audra melirik Zana dengan tajam. “Engkau memang sengaja nak ‘kenen’kan aku dengan Zaid, kan?!” Audra meneka. Jika tidak, mengapa pula Zana beria-ia mahu dia berjumpa dengan Zaid.
“Ish!” Zana menjeling. Dia terus berpaling ke tempat lain. Audra bagaikan sudah bisa mengangak niat yang tersembunyi di dalam hatinya. “Aku bukannya suruh kau terima Zaid tu! Aku cuma nak kau berterima kasih dengan kebaikannya!” dalih Zana.
“Eiii!” Audra menggaru pipinya yang tak gatal. “Memanglah Zaid tu handsome! Baik! Tapi jantung aku tak berhenti berdegup bila lihat dia!”
Mencerlung mata Zana menikam wajah Audra. Budak ni dah buat dah perangai gila dia! “Kalau nak tunggu jantung berhenti berdegup, kang masuk terus lubang kubur!” Zana sudah mencekak pinggangnya.
“Ish, kau ni! Doakan aku ke?” Audra menjeling. “Nauzubillah. Kalau ye pun kau doakan aku mati, tunggulah aku taubat dan jadi muslimah yang sejati dulu!”
“Habis tu, dah nak sangat jantung berhenti berdegup!”
Audra mengukirkan senyuman pula. Bahu Zana dicapai dan dipeluknya. “Memanglah! Tapi, janganlah kau doakan sampai jantung aku berhenti terus,” ujar Audra. “Kalau bolehkan, aku mahu seorang lelaki yang pertama kali aku lihat dia, hati aku berkata sesuatu and I will feel something happen in my heart. Contohnya, tiba-tiba dunia berhenti berpusing, masa berhenti, jantung berhenti sekejap. Tapi lepas tu, semuanya berjalan laju. Dup dap! Dup dap!”
“Banyaklah kau punya cekadak!” hati Zana semakin panas dengan sikap Audra yang tak sudah-sudah dengan angan-angannya. “Kau ni kan, banyak sangat berangan tau! Nak kata kau banyak tengok citer Hindustan, tak de pulak! Tapi mana perangai suka berangan kau ni datang, hah?!”
Zana mengenali Audra sejak dari kecil lagi kerana mereka berasal dari kampung yang sama. Memang Audra ada menonton filem dari Bollywood, tetapi dia tidak pernah melihat Audra begitu obses dengan filem-filem itu. Biasanya Audra lebih menyukai filem aksi. Entah dari mana datangnya perangai peliknya ni!
“Nak buat macam mana, aku memang suka berangan sejak azali lagi!” ujar Audra sambil menjongketkan bahunya.
“Aku tak kira!” Zana sudah bangun mencapai baldi dan tualanya. “Aku dah suruh Zaid tunggu kau petang ni kat tasik pukul lima setengah petang nanti. Aku nak kau pergi jugak!” Zana terus hilang ke bilik mandi.
Audra memuncungkan bibirnya. Keningnya yang tidak gatal digaru-garu. Zana ni betul-betul macam emak! Ops, mungkin lebih sesuai kalau mak nenek! Audra mengeluh. Tak mengapa, dia akan mencari jalan lain untuk mengelakkan perkara itu dari berlaku. Dia sudah tersenyum sendiri. There is no problem that can’t be resolved.
Audra bangun untuk ke meja tulis tetapi matanya pantas menangkap sesuatu di atas katil Zana. Diari! Diari Zana terbuka! Terus dialihkan pandangan matanya ke tempat lain. Hatinya mula terdetik untuk membaca apa yang tertulis dalam diari Zana. Jangan Audra, tak baik! Sebelah pihak di dalam hatinya pula menghalang.
Audra cuba menahan kehendak diri. Tetapi matanya lebih pantas dari gerak hatinya. Dia mengerling diari itu lagi. Dahinya berkerut. Banyak benar namanya di tulis dalam diari Zana. Hatinya mula penasaran. Apa agaknya yang ditulis Zana berkenaan dirinya?
Tak! Jangan Audra! Tak boleh! Bagaikan terdengar kata-kata itu di cuping telinganya. Sekali lagi gerak hatinya menghalang. Namun, sekali lagi juga matanya lebih pantas. Dia menoleh lagi. Kali ini, dia benar-benar penasaran tentang kandungan diari itu. Tangannya pantas mencapai diari milik Zana.


Entah apalah yang difikirkan Audra. Suka sangat berangan yang bukan-bukan. Geram aku dengan sikap dia. Tapi yang pasti, aku selalu marahkan dia sebab aku sayangkan dia! Sungguh, aku dah anggap Audra tu macam adik aku sendiri. Walaupun kami sebaya tapi sikap dia yang macam budak-budak tu selalu buat aku anggap dia macam adik aku!
Aku tak kisah kalau hati aku dilukai. Yang penting, aku mahu Audra sedar dari angan-angannya yang gila. Mahukan seorang lelaki yang boleh buat jantungnya berhenti berdegup macam Putera William.
Kadang-kadang tu, dia mahu jadi seperti watak-watak fairy tales yang endingnya, putera raja akan bawa si puteri pergi dan mereka hidup bahagia untuk selama-lamanya. Mana ada benda macam tu dalam hidup sebenar! Audra….Audra…
Mungkin Zaid boleh bantu Audra sedar dari angannya! Barbanding semua lelaki, Zaid yang paling baik dan aku yakin Zaid boleh mengubah Audra. Biarlah walaupun aku terpaksa melupakan cinta aku pada Zaid, asalkan Audra bahagia dan sedar dari angan kosongnya. Aku rela lepaskan Zaid demi kebahagiaan Audra! Lagipun Zaid juga sukakan Audra.
Semoga Zaid berjaya menangi hati Audra!


Zana sukakan Zaid? Terkedu Audra seketika.“Zana, Zana.” Kepala Audra sudah tergeleng. Dah suka kat Zaid tapi boleh pula doakan Zaid bahagia dengan dia! Memang dah gila sahabatnya itu! Lakukan pengorbanan yang sia-sia. Tapi tak pe, dia akan pastikan perkara sebaliknya pula yang berlaku. Audra tersenyum penuh makna.
“Tapi, kira betullah dugaan aku! Zana memang cuba nak ‘kenen’kan aku dengan Zaid!” Audra mengetap bibirnya. “Tak pe, tak pe! We’ll see.” Dia sudah tersenyum lebar.

Wednesday, 4 April 2012

Ilham Hati 3







“MACAM MANA?” Tuan Helmi memandang Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya. “Tania dah hantar dia pergi berehat,” ujar Tania dengan wajah yang masam. “Siapa dia papa? Sombong sangatlah! Kita dah buat baik dengan dia, boleh pulak dia jeling-jeling dekat kita!” bentak Tania.

Tuan Helmi ketawa kecil mendengar rintihan Tania. “Biarkanlah… ..Dia tu ada masalah. Jangan ambil hati sangat. Orang kalau ada masalah, macam tulah!” pujuk Tuan Helmi.

“Macam mana papa tahu yang dia ada masalah?” tanya Tania.

Tuan Helmi memandang Tania. “Ada perkara yang boleh kita fahami tanpa berkata. Ada perkara yang tetap kita tidak faham walaupun dinyatakan secara terang.” Tuan Helmi menarik nafasnya dalam-dalam. Tania masih muda, masih terlalu mentah untuk mengerti tentang kehidupan.

Tania yang sememangnya tidak mengrti apa yang dikatakan papanya hanya mengetap bibir.

“Papa minta, Tania berbaik-baik dengan dia supaya dia akan beritahu kita siapa keluarga dia. Kemudian, kita akan hantar dia pulang.”

“Jangan-jangan, budak tu lari rumah tak papa!” Tania meneka.

“Kita siasat dulu, baru kita akan tahu. Tania akan tolong papa, kan?”

“Tentulah!” Tania mengukir senyuman yang ceria untuk papanya. Belum pernah lagi permintaan papa tidak ditunaikan. Dia hanya miliki papa dalam hidupnya.

“Tania dah masuk bilik Tania?” tanya Tuan Helmi.

“Belum lagi, pa. Kenapa?” Pelik dirasakan dengan soalan Tuan Helmi.

Tuan Helmi memandang Tania yang sudah berganti bajunya. “Tania mandi di mana?”

“Tania tumpang bilik Kak Min.” Tania sudah tersengih-sengih. Begitulah kebiasaan Tania. Menumpang kasih dari para pekerja sejak ibunya meninggalkan dunia. Tuan Helmi pulak, biasanya sibuk menguruskan perusahaannya.

“Jadi, Tania belum tengoklah hadiah yang papa beri pada Tania?” Tergeleng-geleng kepala Tuan Helmi dengan sikap Tania. Pastinya Tania terlupa tentang hadiah yang dibawakannya. Sebelum ini, Tania sentiasa ternanti-nanti ole-ole darinya. Mungkin sibuk memikirkan tentang Amani membuatkan Tania terlupa tentang itu.

Tania sudah ternganga. Bagaimana dia boleh lupa tentang itu? Ini semua kerana dia sibuk berfikir tentang Amani yang sombong, dingin dan tegang itu. “Tania pergi tengok sekarang!” Tania sudah berlari meninggalkan Tuan Helmi sendirian di taman kecil di depan kawasan rumah.

Tuan Helmi tergelak kecil melihat Tania yang berlari-lari masuk ke dalam rumah. Lalu, dia mengekori langkah Tania

Tania sudah berlari masuk ke dalam kamarnya yang bertentangan dengan kamar di mana Amani berada. Sampai di dalam kamarnya, matanya menangkap dua anak patung beruang. Wajahnya bersinar ceria.

“Wah!!!” Matanya membulat memandang kedua-dua anak patung beruang itu. Kedua-duanya sama cantik! Tania mengambil anak patung beruang yang bewarna merah jambu. Comelnya! Hatinya sudah bersorak girang. Warna kesukaannya!

“Tania suka?” Tuan Helmi muncul di situ. Pilihannya tepat! Memang dia tahu Tania sukakan warna merah jambu.

“Suka sangat!!” Tania berpaling memandang Tuan Helmi. “Terima kasih, papa!”

Pandangan Tania jatuh pula pada satu lagi anak patung beruang, lalu mengambilnya. “Yang ini pun cantik!”

“Yang itu, papa hadiahkan untuk Amani. Tapi dia tak nak,” ujar Tuan Helmi.

Tania menggeleng kepalanya mendengar sikap Amani. Langsung tak tahu menghargai pemberian orang! Apa salahnya dia ambil! Papa dah susah payah beli untuk dia! “Biarlah papa….. Kalau dia tak nak, biar Tania yang ambil!” Tania cuba menyedapkan hati Tuan Helmi.

Tuan Helmi sudah ketawa. “Mana boleh sayang, buruk siku namanya! Papa beri pada dia.

Lepas tu, terpulang pada dia nak buat apa.”

Benar jugak kata papa. Tania meletakkan kembali anak patung beruang itu.

“Nanti, kalau Amani mahu berbaik dengan Tania, Tania berikan anak patung ini pada dia, boleh?”

“Baiklah, papa!” Tania mengiakan jugak walaupun hatinya ragu-ragu. Mahukah Amani berbaik-baik dengannya?

“Okey, sayang. Papa keluar dulu. Papa nak cari ilham…” ujar Tuan Helmi. Satu ciuman saying hinggap di dahi Tanua. Lalu Tuan Helmi menghilangkan diri.

Tania duduk di birai katil. Papa memang begitu, kalau dia mengatakn dia mahu mencari ilham, bermakna dia mahu bersendiri untuk mencipta corak-corak baru untuk kain-kainnya. Maka, sehingga ilhamnya belum selesai, tiada siapa dibenarkan mengganggunya.

Ingatan Tania terimbas semula pada Amani. Lalu, dia bangun dan menuju ke kamar yang bertentangan dengan kamarnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Tania terus terlopong melihat di depannya, Amani sedang tidur di atas lantai berbantalkan beg galasnya.

Tania terus terpaku di situ. Dia tertanya-tanya sendiri, mengapa Amani tidak tidur di atas katil? Kalau dia tidak selesa di situ, dia masih boleh tidur di atas sofa. Tapi kenapa….?

Tiba-tiba sahaja satu perasaan asing menerpa ke dalam ruang hatinya. Perasaan simpati dan kasihan.

Amani bergerak-gerak sedikit, lalu kepalanya jatuh ke lantai. Tetapi itu tidak membuatkan Amani bangun dari tidurnya. Ternyata, Amani benar-benar keletihan. Tania mahu berpusing dan meninggalkan Amani tetapi kemudian dia teringat semula permintaan papa yang mahu dia mencari di mana Amani tinggal.

Dia pasti, Amani tak mungkin berbaik dengannya dan memberitahu di mana tempat tinggalnya.

Tania berpaling semula memandang Amani. Matanya terus terancap pada beg galas Amani. Pasti ada sesuatu di dalamnya yang boleh memberi maklumat kepada mereka.

Perlahan-lahan Tania menghampiri Amani dan bersimpuh di tepinya. Wajah Amani yang tenang dalam tidurnya diperhatikan. Setelah merasakan Amani tidak akan terganggu dengan kedatangannya, perlahan-lahan Tania mengambil beg gelas Amani dan membuka. Dia membuka dengan begitu berhati-hati agar tidak terkeluar walau satu bunyi pun.

Di dalam beg itu terdapat beberapa helai baju Amani dan barang-barang keperluannya yang lain. Dia menyelongkar lagi sambil matanya akan memerhatikan Amani. Apabila dia membuka satu lagi zip yang paling depan, dia terjumpa sebuah buku nota kecil. Di depannya tertulis – HAFIZ dan AMANI . Di situ juga tertulis satu alamat. Mungkin inilah alamat rumah Amani.

Tanpa membuang masa Tania terus mengoyak sekeping kertas dari buku nota itu dan menyalin alamat tersebut. Kebetulan memang terdapat sebatang pen di dalam beg galas Amani. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali beg galas Amani di sebelah gadis itu. Kemudian, berjalan keluar dari kamar Amani. Pintu ditutup rapat-rapat. Tania sudah tersenyum gembira.

Akhirnya, dia dapat juga satu petunjuk tentang Amani! Dia mahu menemui Tuan Helmi walaupun dia tahu Tuan Helmi sedang mencari ilham. Dia pasti, Tuan Helmi akan gembira dengan maklumat yang dijumpainya. Ketika Tania keluar dari rumah, dia berselisih dengan Izz.

“Abang Izz….!!” Amani yang melihat kelibat Izz menghampirinya dengan girang.

Izz tersenyum melihat wajah ceria Tania itu. “Ada apa ni? Nampak happy je!”

“Tania dah dapat alamat Amani!” ujar Tania separuh berbisik. Tania menunjukkan pada Izz.

Mata Izz membulat sambil bibirnya tersenyum lebar. Memang Tuan Helmi ada menceritakan serba sedikit tentang Amani. Malah Tuan Helmi juga berpesan padanya agar berbaik-baik dengan Amani dan mencari maklumat tentang gadis itu. Nampaknya, kerjanya akan menjadi mudah dengan maklumat yang diterimanya dari Tania.

“Hebat!” Izz memuji Tania. Tania hanya tersengih-sengih menerima pujian itu. “Nampaknya senanglah kerja saya macam ni! Saya simpan alamat ni ya. Saya nak pergi siasat dulu.”

“Uh?” Wajah Tania sudah berubah. Dia terpinga-pinga. “Tapi Tania nak beri pada papa!”

“Papa Tania minta saya siasat tentang Amani. Biar saya uruskan perkara ni dulu. Lagipun, papa Tania dah hilang untuk mencari ilham.”

Tania menganggukkan kepalanya. Memang papa ada nyatakan yang dia mahu mencari ilham. Tania memandang Izz. “Abang Izz dah jumpa dengan Amani?”

“Dah!”

“Jadi?” Tania memandang tepat wajah Izz.

“Jadi??” tanya Izz kembali yang kurang memahami maksud pertanyaan Tania.

“Apa pendapat Abang Izz tentang dia?” Ada satu perasaan cemburu mula memutik.

Izz sudah tertawa dengan soalan itu. Mendengar soalan itu, terus seraut wajah Amani menerpa di ruang ingatan Izz. “Mana dia?”

“Ada di dalam. Berehat,” jawab Tania. “Tania tahu, Amani tu cantik. Tapi, Tania dah cop Abang Izz untuk jadi teman Tania!!” Tania menjeling. “Abang Izz jangan cuba-cuba nak ngorat Amani.”

Izz sudah tertawa sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sudah seringkali Tania berbicara perkara yang sama, iaitu Izz adalah miliknya. Tapi Izz tak pernah menganggap perkara itu serius kerana dia yakin, Tania masih belum matang dan tak tahu apa yang diucapkannya. Memang, Tania sering menyatakan perkara itu tetapi dalam masa yang sama Tania juga mempunyai seorang teman lelaki di sekolahnya.

Izz juga sering menjadi tempat Tania meluahkan perasaannya jika Tania mempunyai masalah dengan teman lelakinya yang bernama Faiz. Tania masih muda, perjalanan hidupnya masih jauh. Satu saat nanti Tania akan tahu apa makna cinta sebenar. Cinta tidak hanya sekadar ucapan.

“Okeylah, saya keluar dulu dengan Pak Bakar.” Izz mahu berundur. Tania hanya mengekori langak Izz dengan matanya.

Izz keluar melalui gerbang Ilham Hati. Di sana, Pak Bakar telah sedia menunggunya di dalam kereta. Melihat kelibat Izz, lantas Pak Bakar menghidupkan enjin keretanya.

“Macam mana?” soal Pak Bakar sebaik sahaja Izz masuk ke dalam kereta.

“Saya dah dapat alamat dia,” Izz menunjukkan alamat Amani yang diambil Tania.

“Mana Izz dapat?” soal Pak Bakar dengan wajah yang sedikit kagum.

“Dari Tania. Tania yang dapatkan alamat Amani,” jelas Izz.

“Pasti ini alamatnya?” tanya Pak Bakar lagi.

Izz menjungkitkan bahunya. “Kita cuba siasat dulu,” cadang Izz.

“Kita tak perlu ke balai polis dulu?” Pak Bakar mahu kepastian dari Izz kerana pada asalnya, mereka berdua sudah merancang untuk ke balai polis untuk mendapatkan sedikit info berkenaan Amani. Kebetulan salah seorang pegawai polis di balai yang terdekat merupakan kenalan Tuan Helmi.

“Rasanya tak perlulah Pak Bakar. Kita terus ke alamat ni,” cadang Izz. “Manalah tahu, kalau pun ini bukan tempat tinggal Amani, tapi mungkin kita boleh dapat sedikit maklumat.

Pak Bakar mengangguk setuju. Lantas, kereta dipandu keluar dari kawasan Setia Sentosa menuju ke pusat bandar Georgetown dan terus ke jalan yang tertera di dalam kertas yang dtulis Tania.

Sampai sahaja di depan perkarangan rumahpangsa kos rendah, Pak Bakar menghentikan keretanya. Dia membaca kembali alamat rumah Amani. “Pak Bakar rasa flat ni dah betul. Jalan pun, jalan yang sama,” ujar Pak Bakar.

“Jom! Kita periksa dulu.” Izz sudah keluar dari perut kereta. Bak Bakar mengekori dari belakang.

Mereka terus menuju ke lif dan naik ke tingkat lima, mengikut apa yang tertera di alamat yang ditulis Tania. Sampai sahaja di depan pintu kuning yang tertulis nombor tujuh, mereka menghentikan langkah. Rasanya, inilah alamatnya.

Izz melirik Pak Bakar seketika sebelum memberi salam. “Assalamualaikum…!” Izz memberi salam seraya mengetuk pintu. Tidak kedengaran suara yang menyambut salamnya. “Assalamualaikum….” Sekali lagi Izz memberi salam dan mengetuk pintu.

“Kau nak apa?!” Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang membuka pintu dari dalam. Dia kelihatan kusut tanpa pakaian dan hanya berkain pelikat. Wajah bengisnya terus memandang tajam pada Izz.

Izz memandang lelaki itu dari atan dank e bawah, kemudian ke atas semula. “Boleh saya jumpa dengan Amani?” soal Izz. Sebelum dia menerangkan yang Amani ada dengannya, adalah lebih baik dia pura-pura mencari Amani. Lagipun, lelaki di depannya ini kelihatan mencurigakan.

“Kau siapa?” tanya lelaki itu.

“Saya kawan Amani. Boleh saya jumpa dia?” soal Izz lagi.

“Kau kawan Amani? Budak tak guna tu mana ada kawan!!” Jelas sekali lelaki itu tidak mempercayainya.

Terkejut Izz mendengar kata-kata kesat lelaki itu pada Amani. “Saya memang kawan dia!” Izz bertegas dan terus memainkan peranannya.

“Kau jangan nak ‘kelentong’ aku. Aku kenal dia dari umur dia tujuh tahun tahu!! Orang macam dia tak ada kawan. Tambah-tambah kawan lelaki macam kau ni!” tegas lelaki itu sambil menunding pada Izz. “Kau siapa?!”

“Saya kawan Amani!!” Izz masih lagi memberikan jawapan yang sama.

“Amani?!!” Tiba-tiba satu suara perempuan mencelah. Mereka bertiga memandang seorang wanita cantik yang sedang berdiri di koridor sambil menjinjit beg plastik yang berisi sayur-sayuran. “Kamu kawan Amani?” perempuan itu bertanya. Matanya sudah terancap pada Izz.

Dengan sedikit rasa ragu, Izz menganggukkan kepalanya. Rasanya, wanita ini mungkin ibu Amani. Melihatkan raut wajahnya, ada iras-iras gadis itu.

“Kamu jumpa Amani? Mana dia?!” Wajah perempuan itu kelihatan menyimpan harapan. “Saya mak dia!! Mana dia??!”

Izz dan Pak Bakar berpandangan. Mereka kini berbelah bahagi sama ada mahu berterus terang atau tidak.

“Kamu jumpa Amani tak?” Wanita itu sudah mendekati Izz. Izz tergamam seketika. “Amani dah banyak hari tak balik.”

“Kau jangan pandai-pandai nak bawa masuk budak tu kat sini lagi!” Lelaki bengis itu membentak pada wanita itu. “Aku dah halau budak tu keluar! Aku tak benarkan dia datang sini lagi!” Semakin bengis wajah yang ditunjukkan lelaki itu.

“Kau memang kejam!!” Wanita itu pula membentak sambil berbalas pandang dengan lelaki itu. Kemudian, wajah wanita itu bertukar muram pula. “Entah mana Amani tinggal sekarang.”

“Yang kau ambil berat sangat pasal dia kenapa? Kau pun bukan sayang sangat dengan dia!” ujar lelaki itu pada wanita itu. Mereka berdua langsung tidak memperdulikan kelibat Izz dan pak Bakar yang tegak di situ sambil memerhatikan setiap tindak tanduk dan perbualan mereka.

“Aku sukakah, aku bencikah dekat dia, dia tetap anak aku!”

“Peduli apa aku!! Kalau kau nak bawa Amani tinggal di sini, kau minta dia bayar balik duit aku. Kau ingat senangkah nak menang nombor ni?! Boleh pulak budak tu koyakkan tiket aku!” Dia mendengus.

Pak Bakar dan Izz sempat beristigfhar mendengarnya.

“Eh, yang korang berdua tunggu apa lagi? Amani tak ada kat sini," bentak lelaki itu pada Pak Bakar dan Izz. "Dia dah berambus pergi mampus!!” Bentak lelaki itu lalu menutup pintunya dengan kuat.
Terjungkit bahu Pak Bakar dan Izz dengan dentuman kuat pintu yang ditutup. Mereka berpandangan seketika.

“Maaf… Maaf… encik,” Wanita itu mengalihkan perhatian Pak Bakar dan Izz padanya. “Encik ada jumpa Amani?” tanya wanita itu dengan lembut. Kedua lelaki di depannya ini kelihatan seperti orang baik-baik. Jadi, tentu Amani berada dalam keadaan selamat.

“Puan ni siapa?” tanya Izz.

“Saya mak Amani,” ujar wanita itu. “Saya, Zaiton, mak Amani,” dia mengulang sekali lagi dan menunjuk pada dirinya. “Amani tak beritahu tentang saya pada encik berdua?”

“Lelaki tadi?” tanya Izz tanpa menjawap soalan wanita itu. “Dia ayah Amani?”

Raut wajah Zaiton berubah, kemudian dia menggeleng. “Bukan. Dia abang saya, pakcik Amani.”

“Puan nak jumpa dengan Amani?” tanya Izz kemudiannya.

Zaiton diam seketika, berfikir. “Saya tak boleh!”

“Kenapa?” tanya Izz. Pelik pula dia dengan keluarga ini.

“Pakcik Amani halau Amani keluar dari rumah sebab Amani dah koyakkan tiket nombornya. Kebetulan tiket tu, menang sepuluh ribu ringgit. Kalau Amani nak pulang ke sini, kami berdua perlu bayar pada dia sepuluh ribu ringgit dulu.”

Pak Bakar dan Izz berpandangan. Ada rasa kurang senang dengan keluarga ini.

“Begini, encik tinggalkan alamat rumah encik. Esok pagi, waktu saya keluar ke pasar, saya akan ke sana,” Zaiton berbisik, takut jika abangnya terdengar. “Bukan apa, abang saya larang saya mencari Amani. Kalau tak, teruk saya kena pukul nanti!”

Izz sudah menjungkitkan keningnya. Kalau wanita itu takut dipukul abangnya, mengapa tak mengikut Amani keluar dari rumah ini? Mengapa dibiarkan Amani keluar dari rumah ini sendirian? “Macam nilah, puan,” Izz sudah menggaru pipinya. “Puan bagi nombor telefon yang boleh saya hubungi.” Izz sudah mengeluarkan telefonnya. Kemudian, mereka saling menukar nombor. “Kalau ada apa-apa, puan hubungi saya."

"Baiklah." Zaiton mengangguk. "Tolong jagakan Amani ya. Katakan pada dia, kalau saya dapat kumpul wang untuk bayar pada pakcik dia, saya akan bawa dia balik. Kalau boleh, minta dia hubungi saya, ya."

"Amani tak ada hubungi puan?" tanya Izz.

Zaiton menggeleng. "Kalau boleh saya tanya, macam mana Amani boleh ada dengan encik berdua?"

"Sebenarnya, Amani mengalami kemalangan. Kebetulan, Tuan Helmi yang melanggarnya."

"Kemalangan?!" wajah Zaiton sudah berubah. "Macam mana dengan dia? Cedera teruk tak?" Hati Zaiton sudah tak tentu arah.

"Puan jangan risau. Mengikut doktor yang memeriksa Amani, dia tak apa-apa. Dia pengsan bukan sebab kemalangan, tetapi kerana tidak makan selama beberapa hari." Izz bisa melihat wajah keriasauan itu.

"Amani tak makan?" Zaiton tertunduk muram. "Kesian anak aku!" Zaiton sudah sebak. Walaupun dia agak renggang dengan Amani, namun Amani tetap darah dagingnya.

"Puan tak perlu risau. Amani dah sihat. Sekarang dia sedang berehat di penginapan Tuan Helmi. Kami akan menjaganya dengan baik," janji Izz.

"Tuan Helmi yang menjaga Amani?" tanya Zaiton. Izz mengangguk. "Kamu boleh minta tolong dengan Tuan Helmi?" tanya Zaiton.

"Insya-Allah….Tolong apa?" tanya Izz.

"Minta dia jaga Amani. Jangan halau Amani dari rumah Tuan Helmi. Saya akan cari kerja dan kumpul duit. Berapa saja yang Tuan Helmi minta upah untuk jaga Amani, saya akan usahakan. Kesianlah pada dia. Kalau Tuan Helmi halau dia, di mana lagi dia harus pergi," rayu Zaiton. "Saya pun tak akan tahu di mana anak saya.” Sejak Amani pergi, hatinya tidak pernah tenang. Malamnya, tidak pernah tidur dengan lena. Dia khuatir dengan keselamatan Amani. Namun, perkhabaran ini sangat melegakan hatinya. Dia tak mahu kehilangan jejak Amani lagi. Biar Amani jauh, asalkan dia tahu Amani selamat.

"Insya-Allah, saya akan bercakap dengan Tuan Helmi." Izz tersenyum. “Puan jangan risau. Tuan Helmi baik orangnya.”

"Terima kasih," ucap Zaiton pada Izz. "Terima kasih," pandangannya jatuh pada Pak Bakar pula. Pak Bakar menganggukkan kepalanya.

"Kami minta diri dulu, puan. Assalamualaikum...."

"Waalaikummussalam....."

Izz dan Pak Bakar turun semula ke kereta yang diparkir di tepi jalan. Mereka berdiri di sisi kereta dahulu.

"Izz, pakcik tak rasa yang keluarga mereka ni orang baik-baik," Pak Bakar meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

Izz hanya berdiam diri. "Mungkin pakcik Amani saja yang kurang baik. Saya rasa Amani dan Puan Zaiton sekadar mangsa." Begitu yang difikirkan Izz.

"Kalau Puan Zaiton orang yang mengambil berat tentang anaknya, mesti dia dah ikut Amani keluar sekali dari rumah tu,” ujar Pak Bakar.

Izz juga ada terfikirkan hal itu. "Mungkin Puan Zaiton ada anak yang lain," Izz berkira-kira walaupun ketika berada di sana sebentar tadi, dia tidak melihat kelibat orang lain selain Puan Zaiton dan pakcik Amani.

"Kita akan siasat latar belakang keluarga ni," ujar Izz. "Mari!" mereka kembali masuk ke dalam kawasan rumah pangsa kos rendah ini.