SAMPAI sahaja di sebuah
tasik, Zack memakirkan keretanya di bahu jalan. Cermin sisi di sebelah kiri
diturunkannya. Masuklah angin sepoi-sepoi bahasa ke dalam kereta. Memandang ke
arah tasik yang tenang, mengundang keselesaan dan ketenangan padanya.
Tiba-tiba
sahaja timbul keinginan untuk Zack mendekati tasik itu. Lantas dia keluar dari
perut kereta dan melangkah pembahagi jalan dan turun ke tepi tasik. Angin
semakin membelah tubuhnya. Sejuk dan mendamaikan suasana petang yang permai
ini. Cuaca hari ini memang baik. Tak panas tetapi tidak juga mendung. Zack
tersenyum puas! Bukan selalu dia dapat berselesa begini. Kehidupannya penuh
dengan kerja-kerja pejabat yang tak pernah berakhir.
Setelah
berdiri sejenak di tepi tasik Zack berjalan menghampiri sebatang pohon rendang
lalu duduk di bawahnya. Dia bersandar di batang pohon dan menyelesakan dirinya.
Matanya dipejam seketika, cuba menikmati keindahan petang itu. Dia mahu
tenggelam dalam keindahan ini. Petang ini, akan digunakan masanya sebaik yang
mungkin. Harap-harap, tiada apa yang akan mengganggu ketengannya ini.
Namun,
belum terlalu lama dia mengecap ketenangan itu, sayup-sayup telinganya
menangkap bunyi derapan kaki. Jejak langkah itu semakin menghampiri tempat di
mana dia sedang berbaring. Zack membuka matanya apabila kedamaiannya terganggu.
Dia menoleh ke belakang.
Kelihatan
seorang pemuda bersama beg galas di belakangnya sedang duduk di bangku
berdekatan dengan pohon di mana dia sedang berbaring. Dari caranya berpakaian,
tentu sahaja pemuda ini adalah pelajar dari kolej yang berdekatan. Barangkali
pemuda itu tidak menyedari akan dirinya kerana kedudukannya yang agak tersorok.
Dari raut wajahnya, pemuda itu kelihatan gelisah.
Zack
berpaling semula dan membetulkan posisinya seperti tadi. Biarlah, dia tak mahu
mencampuri urusan orang lain. Dia memejamkan matanya sekali lagi dan cuba
menyingkirkan kenyataan yang wujud seorang manusia lain berdekatan dengannya.
Dalam bayangannya, dia hanya sendirian di situ dan sedang menikmati keindahan
petang bersama tiupan angin yang tenang dan mendamaikan.
“Terima
kasih, Audra! Memang dah lama saya sukakan awak!”
Telinganya
menangkap satu suara. Ketenangannya terganggu lagi. Bagaimana pula ada suara
sedangkan pemuda itu sendirian? Dengan siapa pula pemuda itu berbual? Zack
membuka matanya kembali dan menoleh semula memandang pemuda itu. Sah! Pemuda
itu memang keseorangan!
Zack terus
memerhati pemuda yang sudah mundar mandir di depan bangku panjang, di bawah
pohon yang sedang dia berbaring. Jelas dan nyata yang pemuda itu memang sedang
kegelisahan. Zack masih terus memerhati. Kenapa dengan pemuda itu? Tingkah laku
pemuda itu sudah mendapat perhatiannya.
“Audra,
saya sukakan awak! Mahu tak kalau awak jadi teman wanita saya?!” Pemuda itu
sedang berdialog sendiri lagi.
Kini
mengertilah Zack dengan tingkah laku pemuda itu. Rupa-rupanya, pemuda itu
sedang berlatih untuk melamar gadis idamannya untuk menjadi teman wanita. Zack
menggelengkan kepalanya. Satu hembusan nafas dilepaskan.
Budak-budak
sekarang, dihantar untuk belajar tetapi bercinta pula. Cuba habiskan belajar
dulu! Dah dapat keputusan yang baik dan pekerjaan yang bagus, barulah fikir tentang
perempuan! Zack bertingkah sendiri. Tetapi sekurang-kurangnya, pemuda itu
berani juga meluahkan perasaannya! Ada juga teman wanita! Tapi dia? Hmmm, dari
dulu sampai sekarang sama sahaja! Belum ada wanita yang benar-benar disukainya.
Memang, dia
adalah seorang lelaki yang diburu ramai wanita. Emily, Sofia, Aina, tetapi
mereka semua tak ikhlas cintakannya. Mungkin dia hanya menyerkap jarang atau
menyimpan prasangka buruk pada mereka. Tapi jelas sekali pada hematnya tentang
sikap mereka. Setiap kali wanita-wanita itu datang berjumpa dengannya, pasti
mahu makan di hotel-hotel dan restoran-restoran mewah. Kemudian, berjalan-jalan
di kompleks membeli-belah dan berbual tentang barang-barang yang berjenama.
Walaupun
dia faham benar dengan kehendak wanita-wanita itu, namun belum sekali pun dia
mengeluarkan wangnya untuk membeli barangan yang berjenama buat mereka. Kalau
setakat makan di restoran dan hotel, dia tidak kisah tetapi bukan dengan
membeli barang atau hadiah untuk mereka.
Dek kerana
itu dia malas mahu berjumpa dan keluar dengan mereka lagi. Setiap kali mereka
mencarinya, Farah yang menjadi mangsa. Pasti dia akan menyuruh Farah membohongi
mereka dengan mengatakan dia sedang bermesyuarat atau sedang bekerja di luar
kawasan. Mujurlah dia mendapat seorang pembantu peribadi yang baik dan cekap
seperti Farah. Belum
Sedang dia
memerhatikan tingkah pemuda itu yang kini sudah kembali duduk di kerusi
panjang, tiba-tiba sahaja matanya terpandang susuk tubuh seorang gadis yang
sedang menghampiri pemuda itu. Mungkin itulah gadis yang ditunggu pemuda tadi.
Zack terus
memerhatikan gadis yang semakin menghampiri. Cantik dan manis orangnya. Gadis
itu memakai jeans hitam dan T-shirt berlengan panjang berwarna ungu lembut.
Dikenakan pula dengan tudung dari warna yang sama dengan baju T-nya, gadis itu
kelihatan begitu mempesonakan. Sesuai sekali dengan warna ungu lembut itu
dengannya kerana kulitnya yang putih serlah. Beg sandang juga tergalas elok di
bahunya.
Apakah hari
ini masanya akan terluang dengan kisah percintaan remaja tak matang usia? Zack
sudah tertawa kecil. Tak mengapalah. Layan!
AUDRA sudah tiba di tasik. Dari kejauhan dia
melihat sekujur tubuh sedang duduk di bangku panjang di bawah pohon rendang. Audra
menarik nafasnya cuba mencari kekuatan diri. Kalau bukan kerana Zana, dia takkan
mahu datang ke sini dan berjumpa dengan Zaid. Apatah lagi bila mengingatkan
Zaid mungkin akan salah faham dengan maksud kedatangannya ke sini.
Tapi ada benarnya juga kata Zana, dia tetap perlu ucapkan terima kasih atas
kebaikan Zaid yang sudah bersudah payah membela dirinya dari terus menjadi
bualan jahat Munir. Tapi yang pasti, dia datang ke sini juga atas tujuan lain.
Semuanya kerana Zana!
Zana, Zana. Kepala Audra sudah tergeleng. Macam manalah sahabatnya itu boleh
terfikirkan perkara mengarut begitu? Bagaimana dia dan Zaid boleh hidup bahagia
jika tangan hanya bertepuk sebelah. Dia langsung tak punya perasaan pada Zaid!
Jadi, Zana tak perlulah buat pengorbanan melulu begini.
Sebenarnya, dia langsung tidak menyangka yang
Zana menyimpan perasaan pada Zaid. Selama ni Zana kelihatan biasa-biasa saja apabila
mereka berbual tentang Zaid. Sedikit pun Zana tidak menunjukkan perasaannya
yang memuja Zaid dalam diam. Pandai betul Zana menyembunyikan rasa hatinya!
Audra menghampiri Zaid dan berdiri di sisinya. Kelihatannya, lelaki yang sedang
tunduk itu tidak menyedari kedatangannya. “Assalamualaikum,” Audra menyapa.
“Waalaikumussalam,” Zaid menjawab salam dan bagaikan
magnet, melihat sahaja wajah Audra terus Zaid berdiri tegak. “Duduklah Audra!”
pelawanya yang agak tergagap-gagap sedikit.
“Eh, tak mengapalah. Biar saya berdiri aje. Tak
manis kalau orang pandang,” tolak Audra dengan baik. Audra melirik
seketika wajah dihadapannya. Berhadapan begini dengan Zaid, ditambahkan pula
dengan keadaan mereka yang berdua-duaan mengundang resah di jiwa Audra.
“Audra sihat?” tanya Zaid. Soalan yang biasa
diajukan oleh sesiapa.
“Alhamdulillah, sihat. Awak?” Audra melarikan
anak matanya ke tasik yang tenang. Tak sanggup dia bertentang mata dengan
lelaki yang tak pernah berbual dengannya ini.
“Alhamdulillah, sihat.” Zaid menarik nafas yang
panjang, cuba menenangkan perasaannya. “Duduklah Audra. Biar saya saja yang
berdiri,” pelawa Zaid lagi. Tak mungkin dia membiarkan Audra terus berdiri
begitu.
“Tak mengapalah. Saya lebih selesa jika saya
yang berdiri.”
Zaid mengangguk, mengalah dengan kehendak Audra.
Dia juga ikut berdiri.
Audra melirik seketika wajah Zaid yang kelihatan ceria menerima kedatangannya. Dia
mengetap bibirnya. Ini petanda bahaya. Zaid mungkin dah salah faham dengan
persetujuan Audra untuk berjumpa dengannya.
“Terima kasih ya sebab awak dah bela saya dari
fitnah si Munir tu,” Audra memulakan mukadimahnya. Namun, ucapan terima kasih
itu memang jujur dari hatinya.
“Tak apalah. Perkara
kecil aje,” Zaid tersenyum. Kalau untuk Audra, apa sahaja sanggup
dilakukannya.
“Lagi satu, saya nak minta maaf pada awak. Sebab
saya, awak digantung kolej!” Audra tertunduk. Memang dia agak kesal dan
bersimpati dengan Zaid atas apa yang telah terjadi. Namun, dia tetap merasa dia
tidak bersalah. Mereka berdua bergaduh kerana kehendak masing-masing!
“Tak apa. Bukan salah awak pun!” Senyuman Zaid
semakin lebar.
“Keluarga awak macam mana?” Khuatir juga Audra
jika keluarga Zaid akan marah padanya. “Mereka dah tahu tentang hal ni?”
Zaid mengangguk. Surat dari pihak kolej telah
sampai kepada keluarganya. Sebaik sahaja mereka menerima surat itu, terus
sahaja mereka menghubungi Zaid dan memintanya terus pulang ke rumah. “Biasalah,”
jawab Zaid ringkas sambil mengangkat kedua-dua bahunya. Tentu sahaja
keluarganya marah.
“Dia orang marahkan awak?” Audra bertanya lagi.
Kali ini dia terus memandang tepat ke wajah Zaid.
“Itu perkara biasa yang dilakukan ibubapa
apabila anak-anak buat salah,” ujar Zaid. Dia tidak mahu Audra menyimpan
perasaan bersalah. Lagipun, dia pertahankan Audra kerana keinginannya sendiri.
Audra langsung tak terbabit dengan tindakannya itu.
Audra menghembuskan nafas kesal. Kenapa Zaid
perlu menyusahkan diri semata-mata untuk pertahankannya? Zaid tak perlu buat
begitu! “Maaf,” Audra tertunduk lagi. Walaupun hatinya terus merasakan yang dia
tidak sepatutnya meminta maaf, namun kerana menghargai tindakan Zaid itu
kata-kata maaf tetap diucapkannya.
Zaid menganggukkan kepalanya dan masih tersenyum. “Tak mengapa! Tak perlu minta
maaf. Saya lakukan semuanya dengan rela hati. Untuk awak Audra, saya sanggup
lakukan apa sahaja!” Bersungguh benar Zaid berkata-kata. Kata-kata itu ikhlas
dari hatinya. Dia tidak mungkin menyatakan sesuatu jika tidak benar.
Berderau darah Audra. Kata-kata itu
membuatkannya pantas menoleh memandang ke tasik. Argh! Lelaki! Belum dapat,
memanglah manis bicara lebih manis dari kurma. Tapi bila dah dapat nanti, belum
tentu pahitnya macam peria. Agaknya lebih pahit kot! Sungguh, memang dia
terhutang budi dengan kebaikan Zaid, tapi itu tidak bermakna dia akan percaya
apa sahaja yang diperkatakan Zaid. Sesungguhnya, Audra memang menyimpan
perasaan yang negatif pada lelaki yang manis bicaranya.
Audra memandang
Zaid. “Terima kasih ya Zaid. Tapi tak perlulah sampai sanggup buat apa saja
untuk saya,” ujar Audra.
“Betul! Saya akan lakukan apa saja untuk Audra!”
Zaid kelihatan begitu bersungguh dengan pengucapannya. Dia mahu Audra yakin
dengan kesungguhannya.
Audra sudah tidak tentu arah. “Begini sajalah, Zaid.
Sebenarnya,”
“Nanti Audra!” Tiba-tiba sahaja Zaid bersuara. “Saya ada sesuatu nak cakap.
Biar saya cakap dulu.” Zaid sudah berdiri di depan Audra dan bertentang mata
dengannya. Sebelum kekuatan dan keberaniannya hilang, lebih baik dia meluahkan
dahulu perasaannya.
Audra dapat merasakan sesuatu yang dia tidak
suka bakal berlaku. Lebih baik dia cepat bertindak. “Lady first, please!”
Audra mengangkat tangan menyuruh agar Zaid berhenti dari berkata-kata. “Biar
saya berterus terang dengan awak dulu!”
Zaid tergamam.
“Sebenarnya
saya datang ke sini jumpa awak kerana Zana! Semuanya sebab Zana! Saya tak nak
awak salah sangka dengan saya. Saya tak ada apa-apa perasaan pun pada awak.
Saya anggap awak macam kawan-kawan yang lain.” Audra memandang tepat ke dalam
anak mata Zaid untuk menunjukkan yang dia benar-benar maksudkannya.
Zaid diam seketika. “Tapi Audra,” Ada sinar
kekecewaan dari matanya. “Perasaan boleh dipupuk, Audra! Awak belum benar-benar
kenal dengan saya. Apa salahnya kita mencuba? Kita boleh cuba kalau awak mahu!”
“That’s it! Kalau saya mahu! Tapi masalahnya sekarang, saya tak mahu!
Tak ada gunanya kita mencuba kalau dalam hati saya tak punya perasaan yang sama
pada awak!” Sekali lagi Audra cuba menekankan pada Zaid. Apa, Zaid fikir
perasaan ini boleh main cuba-cubakah?
“Kenapa? Apa kurangnya saya?” tanya Zaid. Perasaan kecewa terlukis jelas
diwajahnya.
Tapi sedikit pun tidak berputik rasa simpati di
hati Audra. Audra mengherotkan bibirnya, sedang berfikir cara terbaik untuk
menjawab soalan Zaid. Sungguh, dia tak tahu untuk berkata apa! Apa kurangnya
Zaid? Entah! Manalah dia tahu sedangkan dia memang tak mengenali Zaid dengan
rapat. Lagipun soalan sebegini tak patut timbul. Bukankah Allah menjadikan
setiap makhluknya tidak sempurna? Ada kekurangan dan keistimewaan
masing-masing. Jadi persoalan sebegini tak sepatutnya timbul!
“Maaflah kalau saya dah kecewakan awak, Zaid.” Wajah sedih Zaid dipandangnya.
“Terus terang saya katakan, saya tak tahu apa kekurangan awak. Secara lahiriah,
awak sempurna. Tak de yang kurang. Tapi,” Audra melepaskan keluhan sambil
matanya memandang Zaid. Ya, lelaki kacak dan bertubuh tegap seperti Zaid memang
sempurna untuk jadi hero Malaya. Tapi yang pasti, jantung Audra tak berhenti
berdegup apabila memandang Zaid.
“Tapi?” soal Zaid kembali apabila kata-kata Audra mati di situ. Wajah Audra dipandangnya,
meminta pengertian bersama kerutan di dahinya.
Audra termangu seketika. Pipi kanannya digosok-gosok. Mengapalah boleh
terkeluar perkataan tapi pulak! Dia marahkan diri sendiri. “Tapi,” Audra sudah
tak senang duduk. Tapi apa? Takkanlah dia nak berterus terang yang Zaid tak
buatkan jantungnya berhenti berdegup?!
“Tapi apa?!” Zaid sudah bertentangan dengan Audra. Kali ini suaranya agak deras
sedikit.
Audra terkejut seketika dengan suara deras itu.
“Tapi, jantung saya,” kata-kata Audra masih tersangkut. Dia menelan air liurnya.
Wajah Zaid yang terus merenungnya, membuatkan hatinya resah.
Kening Zaid sudah terjongket menunggu kata-kata seterusnya dari Audra.
Perkataan tapi dibelakang ayat Audra membuatkannya penasaran. Tapi apa? Kenapa
dengan jantung Audra? Dia mahu Audra berterus terang tentang kekurangannya di
mata Audra.
“Awak tak membuatkan jantung saya,” Audra masih lagi ragu-ragu untuk
menyempurnakan ayatnya. Dia menarik nafas, “Berhenti berdegup!” Akhirnya
terlepas juga kata-kata itu dari bibir Audra.
“What?!” Dia tak buat jantung Audra berhenti berdegup? Benarkah apa yang
didengarnya? “Apadia?!” Zaid meminta Audra mengulang semula kata-katanya.
“Look! Saya tahu alasan saya mungkin tak
masuk akal untuk awak. Tapi, jujur saya katakan saya tak tahu apa kekurangan
awak. Cuma, awak memang tak membuatkan jantung saya berhenti berdegup!” Kali
ini Audra berbicara dengan lancar sekali.
Sudah berhambur tawa Zaid. Dia ketawa dan terus
ketawa sampai mengeluarkan airmata! Sampai sakit perutnya! Alasan apa yang
diberikan Audra? Dia tak membuatkan jantung Audra berhenti berdegup?! Audra
pasti sedang bergurau dengannya.
Sedangkan Audra pula sudah terasa panas hati melihat
Zaid ketawa begitu. Kecil sahaja Zaid dalam pandangannya. Macam nak dilempang
je lelaki itu.
“Saya tak buat jantung awak berhenti
berdegup?!” Satu lagi tawa besar dilepaskan Zaid. Dia memegang perutnya
yang sudah sakit kerana terlalu banyak ketawa. Dia tahu, memang agak kurang
sopan kerana mentertawakan Audra tetapi dia tak dapat mengawal dirinya.
Audra sudah mencekak pinggang dengan wajah yang
menyinga. Dadanya berombak laju.
“Awak memang pandai berguraulah, Audra!” Dia
memang tidak menyangka gadis pendiam yang hanya suka tersenyum itu pandai
membuat kelakar.
“Saya tak bergurau!” Audra mendengus kasar.
Melihatkan reaksi Audra yang serius, Zaid cuba
mengawal diri. “Sorry.” Audra yang sudah merona merah wajahnya dipandang
sekilas. “Jadi, awak mencari lelaki yang boleh buat jantung awak berhenti
berdegup?” tanya Zaid yang masih ada sisa senyuman dari wajahnya. Kepalanya
tergeleng-geleng. Kalau ya pun Audra mahu menolaknya, tak bolehkah beri alasan
yang lebih logik?
Tahu benar Audra senyuman itu hanyalah kerana Zaid sedang berusaha agar tidak
tertawa lagi di depannya. Semakin kelat wajah Audra.
“Betulkah awak ni? Ke main-main je?” tanya Zaid. Dia ingatkan Audra hanya
bergurau. Tak sangka pula Audra benar-benar maksudkannya. Reaksi Audra
menunjukkan begitu.
“Tak de maknanya main-main! Serius!” ujar Audra dengan tegas. Dia memeluk
tubuh. “Bukan sahaja saya mencari seorang lelaki yang boleh membuatkan jantung
saya berhenti berdegup, tapi juga seorang putera raja! Putera raja yang boleh
membuatkan jantung saya berhenti berdegup dan kemudian jantung saya akan bergerak
laju. Dup dap! Dup dap!” tambah Audra lagi sekadar mahu menyakitkan hati Zaid.
Sengaja dia meletakkan perkataan ‘putera raja’ dalam kata-katanya untuk
menyedarkan Zaid yang Zaid langsung tiada dalam senarai pilihannya.
Dalam dunia realiti, tak mungkinlah ada putera raja yang mahukan gadis kampung
macamnya. Tentang itu, Audra masih sedar diri. Dia memandang Zaid.
Zaid membisu
seakan sedang berfikir.
Audra sudah
tertanya-tanya sendiri. Mengapa tiba-tiba Zaid diam begitu? Sangkanya, Zaid akan
ketawakannya seperti tadi. Terasakah Zaid dengan kata-katanya? Rasa bersalah
pula timbul untuk orang yang telah berbuat baik padanya.
“Saya ingatkan nak kahwin dengan Putera William, tapi dia pulak dah kahwin
dengan Kate!” gurau Audra apabila melihat kebisuan Zaid. Rasa tak keruan pula melihat Zaid diam
begini.
Zaid memandang Audra lalu tersenyum. Kali ini dia percaya Audra serius dengan
kata-katanya. Semoga gadis itu akan mencapai impiannya. “Okey,” Zaid mencapai
beg galasnya. Rasanya dia sudah mengerti tentang perasaan Audra. Lagipun, jika
Audra memang tidak suka padanya, biarkanlah. Cinta tidak boleh dipaksa. Dia
bukan seorang lelaki yang suka memaksa dalam bercinta. “Saya doakan semoga awak
akan menemui seorang putera raja yang akan membuatkan jantung awak berhenti
berdegup.”
Audra menelan air liurnya. Apakah itu satu sindirian atau Zaid benar-benar
maksudkannya? Tapi, Zaid tak kelihatan sedang menyindirnya. Mungkin Zaid ikhlas
berkata begitu.
“Saya minta diri dulu, Audra.” Zaid sudah
berpusing untuk pergi.
Audra terkedu. Tiba-tiba dia teringat semula
tujuan asalnya datang berjumpa dengan Zaid. “Tunggu Zaid! Saya ada sesuatu nak
bincang dengan awak!” panggil Audra.
Langkah Zaid terhenti. Wajah Audra dipandang
dengan kerutan diwajahnya. Perkara apa yang perlu dibincangkan lagi?
“Saya ada seorang puteri sebagai ganti,” ujar Audra. Dia tidak pasti adakah ini
saat yang sesuai. Apatah lagi dia baharu sahaja menolak Zaid. Patutkah dia
meminta Zaid mendampingi Zana?
Zaid tersenyum sambil tergeleng-geleng
kepalanya. Sudahlah dia ditolak, gadis yang dipujanya mahu menyatukan dia pula!
Zaid ketawa kecil. Mungkin, dia patut memberi peluang kepada Audra. “Siapa?”
Sempat lagi Audra mahu padankannya dengan orang lain.
“Sahabat saya! Awak kenal kan?” Tak pelu disebut nama Zana. Sudah pasti Zaid
tahu! “Mungkin dia lebih sesuai dengan awak. Awak boleh cuba kalau awak mahu!”
Audra memulangkan kembali kata-kata Zaid padanya.
Zaid sudah ketawa mendengar kata-katanya tadi
digunakan Audra pula. “Betulkah? Atau awak hanya bergurau?” Dalam fikirannya
sudah terbayang seraut wajah yang paling rapat dengan Audra.
“Betul!”
“Dia beritahu pada awak?” tanya Zaid.
Audra menggeleng.
“How can you be so
sure?”
Audra mengetap bibirnya. Dia tak mungkin
beritahu Zaid yang dia telah membaca diari Zana. “Dia sahabat saya.” Hanya itu
yang mampu dikatakan Audra. “Tapi, awak jangan salah sangka. Dia tak tahu pun
saya cakap macam ni pada awak!” Audra tak mahu Zaid memandang serong pada Zana
sedangkan Zana langsung tak tahu tentang tujuannya itu.
“Dia tak tahu?”
Audra mengangguk laju. “Dia memang tak tahu
apa-apa.”
“Betulkah awak ni? Atau awak sengaja nak
main-mainkan saya?” Selama dia kenal dengan Audra hanya Zana sahaja sahabat
baik Audra. Ke mana sahaja pasti mereka ada bersama. Selama ini, setiap kali
dia menitipkan salam untuk Audra melalui Zana, dia tak melihat langsung reaksi
Zana yang menunjukkan perasaan gadis itu terhadapnya.
“Betul! Saya tak main-main. Mungkin dia lebih
sesuai untuk awak.”
Zaid ketawa kecil sambil kepalanya tergeleng-geleng. Kalau benar kata-kata
Audra, apa salahnya dia mencuba. Zana juga seorang gadis yang baik. Raut
wajahnya juga penuh dengan kelembutan. Walaupun Zana tidak secantik Audra,
namun gadis itu mempunyai kecantikannya tersendiri.
“Tengoklah,” jawab
Zaid. “All the best to you, Audra.”
Zaid berpaling dan berlalu pergi.
Audra menghembuskan nafas kelegaan. Selesai satu masalah. Audra duduk di bangku
panjang. Beg galasnya di buka. Diari ungu lembut itu diambilnya untuk meluahkan
segala kelegaannya tentang Zaid dan juga tentang harapannya yang mahu melihat
Zana mendapatkan cintanya.
No comments:
Post a Comment