Thursday, 12 April 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 3












ZACK mengemas mejanya sebaik sahaja melihat jam ditangannya. Sudah hampir jam lima petang. Terasa mahu pulang awal hari ini. Mujurlah dia sudah solat Asar di surau tadi. Tak perlulah dia tergopah-gapah pulang ke rumah.
Entah kenapa dia terasa mahu berpusing-pusing sekitar Pulau Pinang sebelum pulang ke rumah. Semua dokumen yang penting sudah dimasukkan ke dalam briefcasenya. Malam nanti, dia akan menyambung semula tugasnya di rumah. Lantas dia berjalan keluar. Kelihatan Farah masih lagi tekun melakukan tugasnya. Zack mendekati meja Farah.
“Kamu tak balik lagi, Farah?” ujar Zack kepada pembantu peribadinya.
Mendengar sahaja suara Zack, Farah yang sedang melihat komputer dengan pantas beralih memandang si empunya suara. “Belum lagi, Tuan Syed!” Lalu dia berdiri tegak, tanda hormat kepada pengarahnya. “Laporan mesyuarat pagi tadi masih belum siap!”
Zack menganggukkan kepalanya. Farah memang seorang pekerja yang dedikasi. Beruntung dia mempunyai seorang pembantu peribadi seperti Farah. “Saya nak balik dulu. Semua dokumen yang perlukan tandatangan saya, saya bawa sekali. Nanti saya teliti dulu di rumah!” beritahu Zack. “Esok pagi, saya akan serahkan semula pada awak.”
“Baik, Tuan Syed!” Farah menganggukkan kepala sebagai tanda menerima arahan itu.
“Suami awak datang ambil awak nanti?” tanya Zack.
Farah mengangguk. “Awal Tuan Syed balik hari ni.” Seingatnya, selama Tuan Syed Zikri ambil alih syarikat ini secara rasmi setahun yang lalu, belum pernah lagi lelaki itu pulang awal. Paling awal pun jam lapan malam, usai lelaki itu mendirikan solat Maghrib di surau.
Zack hanya tersenyum dengan kata-kata Farah. Mungkin aneh bagi wanita itu sebab dia memang tidak pernah pulang awal sebelum ni. Tapi hari ini, dia mahu pulang lebih awal. Dia mahu meredakan sedikit tekanan kerja yang dirasakannya. Dia mahu mencari ketenangan seketika. Jiwanya terasa bagai ada yang sedang memanggil. “Sekali sekala tak salah kan?” Zack bertanya.
“You’re the boss,” Farah kembali tersenyum. Siapalah dia nak menghalang pergerakan seorang bos? Apatah lagi Tuan Syed Zikri seorang bos yang tinggi keperibadiannya dan penuh tanggungjawab. “Bagus jugak kalau sesekali Tuan Syed balik awal. Kita ni manusia biasa. Kadang-kadang perlukan waktu rehat yang lebih.” Melihat senyuman yang menguntum di bibir lelaki itu, mudah sekali Farah meluahkan pendapatnya.
“Betul tu, Farah. Lagipun, memang hari ni saya rasa letih.” Zack menghembuskan satu keluhan. “Saya ingat nak jalan-jalan sekejap. Nak lari dari kesibukan di ofis ni,” ujar Zack.
“Iyakah?” Farah sudah tersenyum simpul, pura-pura mengusik lelaki itu. “Atau, Tuan Syed dah pening nak layan peminat-peminat Tuan Syed?” gurau Farah. Sejak pagi tadi, Tuan Syed Zikri asyik mengelak dari menjawap panggilan-panggilan ‘manja’ yang mahu berbicara dengannya. Ini semua gara-gara lelaki itu mematikan telefon bimbitnya, maka para wanita itu menghubungi pejabat untuk bercakap dengannya. Secara tidak langsung, dialah yang menjadi mangsanya.
“Ish, kamu ni! Ada pulak!” Zack ketawa kecil. “Tak de maknanya saya nak pening sebab dia orang tu! Buang masa!” Kepala Zack sudah tergeleng. Namun pada hakikatnya, itu juga merupakan salah satu perkara yang membuatkan dirinya merasa sedikit tertekan. Dia tidak mahu wanita-wanita itu terus menghubunginya. Bila difikirkan kembali, memang salahnya juga. Mungkin kerana dia terlalu sunyi dan mengharapkan ada seorang wanita yang bisa menghilangkan kesunyiannya. Maka, dia bersikap terbuka dengan setiap salam perkenalan yang dihulurkan oleh mereka.
“Kenapa Tuan Syed? Takkan tak de seorang pun yang berkenan di hati?” Farah semakin berani bertanya pabila melihat Zack lebih santai perbualannya.
“Nak buat macam mana? Hati tak berkenan!” ujar Zack. “Nasib baik awak dah kahwin. Kalau awak ni masih solo lagi, lebih baik saya pilih awak dari dia orang semua,” Zack mengusik Farah semula.
Yalah tu, Tuan Syed ni! Farah ketawa. Kalau betul pun dia masih solo lagi, dia berani kerat jari yang dia langsung takkan menjadi pilihan Tuan Syed Zikri. Mana sepadan dia dengan lelaki di depannya ini. Tuan Syed Zikri adalah seorang lelaki yang kacak dan berkedudukan. Tak layak untuk dia bergandingan dengan lelaki ini.
“Kalau macam tu rugilah saya dah kahwin!” semakin galak Farah mengusik majikannya itu.
“Hahaha,” Zack ketawa besar dengan gurauan Farah. “Kalau suami awak dengar ni, confirm awak kena balik rumah mak bapak awak!” ujarnya setelah tawanya reda.
“Suami saya, okeylah Tuan Syed. Dia tahu saya bergurau je sebab saya ni seorang isteri yang setia pada suaminya!” Farah menjongketkan keningnya. Biarpun suaminya tidak sekacak Tuan Syed Zikri yang ada di depannya ini, namun suaminya adalah lelaki yang menduduki carta teratas dalam hatinya. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat suaminya!
“Hmmm, baguslah macam tu! Setia pada suami! Saya pun nak cari satu yang macam tu!” Dalam fikiran Zack sudah membayangkan ciri-ciri wanita yang diimpikannya. “Bila agaknya saya dapat jumpa dengan seorang gadis yang akan menjadi ratu hati saya? Kalau ada seorang gadis yang betul-betul mencintai saya seadanya, saya akan layan dia seperti seorang puteri.” Itulah harapan yang tersimpan jauh di lubuk hati Zack yang paling dalam.
“In Sha Allah, Tuan Syed. Niat yang baik, Allah akan makbulkan,” ujar Farah. Tak semena-mena, dia sudah naik taraf menjadi penasihat pengarahnya sendiri.
“Amiin,” Zack menadah tangan dan menyapu di mukanya. “Terima kasih sebab banyak tolong saya tepis panggilan-panggilan yang tak penting macam tu. Next time, kalau boleh, buat dia orang tu semua fed-up dengan saya, okey?” ujar Zack atas kebaikan Farah yang telah melakukan tugas dan arahannya dengan baik.
Farah ketawa kecil. “Tak ada masalah Tuan Syed. Rasanya, mereka yang lain tu pun dah bosan nak terus mengejar Tuan Syed. Cuma, tinggal seorang je peminat fanatik Tuan Syed.” Farah sendiri tidak mengerti apa yang diinginkan oleh wanita-wanita itu. Sedangkan, Tuan Syed Zikri sendiri sudah menerangkan kepada mereka semua bahawa dia tidak berminat dengan mereka. Tetapi, mereka tetap mahu mencuba nasib. Akhirnya, dia juga yang terkena tempiasnya.
Zack mengurut dagunya. Kenal benar dia dengan siapa yang dimaksudkan Farah. Kalau hanya seorang sahaja yang tinggal, yang masih berdegil mengganggunya, tentu sahaja wanita itu adalah anak tunggal kepada Dato’ Jamaluddin. Memang Warisan Syed pernah terhutang budi dengan Dato’ Jamaluddin kerana sanggup menarik balik dakwaan yang dikenakan ke atas Warisan Syed. Tapi itu tidak bermakna dia harus menyerahkan dirinya kepada anak perempuan Dato’ Jamaluddin itu.
“Tak mengapalah Farah. Saya balik dulu. Pening saya dibuatnya kalau ayik fikirkan perkara ni.” Zack sudah mengurut dahinya.
“Tak apalah Tuan Syed. Perlahan-lahan kita settle perkara ni.” Dia sendiri pening dengan sikap Cik Emily, anak tunggal Dato’ Jamaluddin. Ada saja helahnya untuk menarik perhatian Tuan Syed Zikri. Kalau dia sendiri pun pening, berganda-gandalah pening yang dialami oleh Tuan Syed Zikri! “Tuan Syed baliklah. Rehatkan diri.”
“Terima kasih, Farah. Assalamualaikum,” Zack mencapai briefcase dan terus berlalu.
“Waalaikummussalam,” Farah masih memerhatikan lelaki itu sehingga bayangnya hilang.
Farah menarik nafas yang panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Kadang-kadang dia kasihan dengan Tuan Syed Zikri. Lelaki itu masih keseorangan sehingga sekarang. Ramai peminat wanita Tuan Syed Zikri yang sering mengganggunya di pejabat. Kadang-kadang sehingga lelaki itu akan menyuruhnya berbohong kepada mereka setiap kali mereka mencarinya. Terutama sekali, Cik Emily.
Pada pandangan Farah, Tuan Syed Zikri sememangnya seorang lelaki yang kacak dan tampan, berharta dan memiliki Warisan Syed sebagai asetnya. Tentu sahaja lelaki itu menjadi buruan para gadis. Kalaulah dia masih belum berkahwin, mungkin juga perasaan wanitanya akan terusik kepada Tuan Syed Zikri. Mujurlah dia dah kahwin dan cintanya hanya untuk suaminya. Jika tidak, pasti dia perlu bersaing dengan wanita-wanita itu untuk memenangi hati Tuan Syed Zikri.
Bila diimbas kembali kedatangan awal Tuan Syed Zikri ke Warisan Syed, memang lelaki itu tidak gemar apabila kakitangannya memanggilnya dengan gelaran ‘Tuan Syed’. Dia lebih senang jika mereka memanggilnya dengan panggilan ‘Encik Zack’. Tetapi apabila lelaki itu mengambil alih kerusi pengarah dari Tuan Syed Hussin, barulah lelaki itu membenarkan kakitangannya memanggil dirinya dengan gelaran ‘Tuan Syed’ kerana itu adalah salah satu syarat bagi setiap pewaris Warisan Syed.
Semoga Tuan Syed Zikri akan menemui wanita yang benar-benar sesuai dengannya. Bukan wanita seperti Cik Emily dan yang lain-lain. Dia sedikit pun tak pernah merasa yang mereka semua ikhlas mahukan Tuan Syed Zikri! Mereka semua hanya memandang kedudukan yang ada pada lelaki itu.
TERKEDU Audra seketika dengan berita yang disampaikan Zana. Wajah Zana yang mencuka di depannya itu dipandang sekilas. Zana kelihatan marah padanya. Zaid dan Munir masing-masing telah dikenakan tindakan tatatertib. Mereka berdua digantung kolej selama dua minggu dan satu surat tentang perilaku mereka telah dihantar kepada waris masing-masing.
“Kau faham kan apa yang aku cakap?” tanya Zana sambil memeluk tubuhnya. Tajam matanya memerhatikan wajah Audra.
“Aku fahamlah!” Kerling Audra sambil mengurut lehernya yang terasa tegang apabila mendengar berita yang di bawa Zana. Tiba-tiba sahaja perasaan bersalah timbul dalam hatinya.
“Baguslah kalau kau dah faham. Sekarang ni, aku nak kau jumpa dengan Zaid dan cakap terima kasih dengan dia!” arah Zana dengan suara yang tegas.
“Hah? Jumpa dengan Zaid?” Ternganga mulut Audra. Nampaknya Zana benar-benar bertekad dengan keputusannya. Audra menggigit bibir bawahnya. Kenapa Zana masih belum lupa dengan hal ini?
Zana menjeling melihat reaksi itu. Seperti yang telah dijangkakan. Begitulah reaksi yang akan ditunjukkan Audra. “Aku dah beritahu Zaid. Dia akan tunggu kau di tepi tasik petang nanti!” Zana bangun lalu mencapai kain-kain kotor yang mahu di cuci dan di masukkan ke dalam baldi. Sengaja dia melakukan itu untuk melarikan diri dari pandangan mata Audra.
“Aku tak kata pun aku setuju!” Audra menolak. Lehernya semakin tegang. Kepalanya sudah berdenyut dengan arahan itu.
“Bila masa pulak aku tanya persetujuan kau?” tanya Zana. “Sekarang ni, aku minta kau jumpa dengan dia! Aku nak kau kenang budi Zaid yang dah menyusahkan diri dia sebab kau!”
“Aku tak naklah!” Audra menolak dengan lebih keras. Takkanlah sebab perkara tu dia kena berjumpa dengan Zaid? Di tasik pulak tu. Dia tak nak fitnah lain pula timbul di antara dia dan Zaid. “Kalau nak berterima kasih pun, tak payahlah sampai jumpa di tasik! Macam berdating pulak!” Audra tidak bersetuju. “Kat kolej pun boleh jumpa dia lagi, kan?”
“Engkau ni memang tak pernah ambil tahu tentang perkembangan kat kolej kita, ek?” Zana mengerling. Sebelah pinggangnya sudah dicekak sambil memandang wajah Audra. Baldi yang berisi pakaian kotor diletakkan di lantai. “Mereka berdua tu dah dijatuhkan hukuman bermula hari ni! Ada kau nampak Zaid kat kolej tadi?”
Audra menggaru telinganya. Dia tak pernah pun ambil tahu tentang Zaid. Macam manalah dia nak menyedari kalau Zaid ada atau tidak. “Kalau macam tu, aku tunggu Zaid masuk kolej baliklah, baru aku jumpa dia dan cakap terima kasih.”
“Audra!” Zana menggeleng. “Perkara yang baik tak elok dilengahkan. Aku dah susah payah aturkan pertemuan kau dengan Zaid. Kau pergi ajelah!” Wajah Audra yang keberatan itu terus dipandangnya. “Bukanlah aku nak minta, tapi kalaulah lepas ni kau dah tak jumpa Zaid tu, macam mana?” Perkataan ‘kalau’ itu ditekankan sedikit. “Misalnya, tiba-tiba ayah dia tukarkan dia ke kolej lain. Macam mana?” Zana cuba bermain psikologi.
“Tapi,” Audra sudah menunjukkan muka seposen pada Zana. Dia cuba memikirkan bagaimana untuk menolak permintaan Zana. Zana ni pun satu! Kenapa pulak dia yang menjadi mangsa di sini?
“Tapi apa pulaknya ni?” Zana memandangnya tajam. “Kesian Zaid! Sebab pertahankan kau, dia pun kena sekali. Kau tak terfikirkah macam mana perasaan dia nanti bila kena marah dengan mak ayah dia?” Zana menghembus nafas panjang. “Sekurang-kurangnya, kenangkanlah jasa baik dia!”
Audra diam. Bukan dia tak kenangkan sikap baik Zaid. Tapi dia takut jika dia menuruti keinginan Zana untuk berjumpa dengan Zaid, lelaki itu akan salah faham dengan perasaannya! Audra memandang wajah Zana, memohon pengertian dari sahabatnya itu.
Zana pura-pura tidak mengerti dengan raut wajah yang ditunjukkan Audra. Nak minta simpatilah tu! “Aku tak kira! Sebab kau, diorang berdua dah dikena tindakan tatatertib. Dua minggu digantung kolej. Kalau si Munir tu, aku tak kisah. Tapi bukan Zaid! Dia cuba defend kau dari fitnah si Munir tu!”
“Tapi bukan aku yang minta Zaid pertahankan aku! Dia sendiri yang menyusahkan diri dia sendiri!” Audra masih dengan wajah masamnya. “Aku rasa, akulah mangsa sekarang ni! Aku tak tahu apa-apa. Tiba-tiba aku pulak yang terbabit sekali!”
“Kau ni kan Audra! Tak baik tau lupakan kebaikan orang pada kita,” ujar Zana. “Zaid dah berbuat baik dengan kau. Jadi, kau kenalah berbahasa sikit dengan dia!”
Audra menengkup mukanya. Dia benar-benar keberatan untuk berjumpa dengan Zaid. Bagaimana jika dia berjumpa dengan lelaki itu dan lelaki itu salah sangka dengannya? Dia tak nak Zaid beranggapan dia memberi harapan pada Zaid! “Aku bukannya tak nak berterima kasih pada Zaid. Tapi aku tak nak beri harapan pada dia. Kau tahu kan yang aku sikit pun tak de hati dengan dia,” ujar Audra.
“Aku tahu! Tapi,” Zana menarik nafas yang panjang. “Atleast kau cakap terima kasih pada dia. Dia buat semua ni untuk kau!” ujar Zana.
“Sebab tulah aku tak nak jumpa dia! Aku tak nak dia simpan harapan dekat aku sebab aku tak mungkin jatuh cinta dengan dia!” tegas Audra. Susahnya Zana nak faham keengganannya! Audra bukanlah tak mahu ucap terima kasih atas kebaikan Zaid. Tapi dia khuatir lelaki itu akan lebih menyimpan harapan padanya sedangkan perkara itu yang sering dielakkan dari Zaid dan juga pelajar lain yang suka padanya.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni!” Zana merenung Audra. “Apa kurangnya Zaid tu? Handsome! Baik pulak tu. Tapi kenapa kau tak nak kat dia?” tanya Zana.
Audra diam membisu. Dia menjeling Zana.
“Bagilah peluang dekat Zaid. Kenal dia dengan lebih rapat,” pujuk Zana dengan suara yang lembut.
Audra melirik Zana dengan tajam. “Engkau memang sengaja nak ‘kenen’kan aku dengan Zaid, kan?!” Audra meneka. Jika tidak, mengapa pula Zana beria-ia mahu dia berjumpa dengan Zaid.
“Ish!” Zana menjeling. Dia terus berpaling ke tempat lain. Audra bagaikan sudah bisa mengangak niat yang tersembunyi di dalam hatinya. “Aku bukannya suruh kau terima Zaid tu! Aku cuma nak kau berterima kasih dengan kebaikannya!” dalih Zana.
“Eiii!” Audra menggaru pipinya yang tak gatal. “Memanglah Zaid tu handsome! Baik! Tapi jantung aku tak berhenti berdegup bila lihat dia!”
Mencerlung mata Zana menikam wajah Audra. Budak ni dah buat dah perangai gila dia! “Kalau nak tunggu jantung berhenti berdegup, kang masuk terus lubang kubur!” Zana sudah mencekak pinggangnya.
“Ish, kau ni! Doakan aku ke?” Audra menjeling. “Nauzubillah. Kalau ye pun kau doakan aku mati, tunggulah aku taubat dan jadi muslimah yang sejati dulu!”
“Habis tu, dah nak sangat jantung berhenti berdegup!”
Audra mengukirkan senyuman pula. Bahu Zana dicapai dan dipeluknya. “Memanglah! Tapi, janganlah kau doakan sampai jantung aku berhenti terus,” ujar Audra. “Kalau bolehkan, aku mahu seorang lelaki yang pertama kali aku lihat dia, hati aku berkata sesuatu and I will feel something happen in my heart. Contohnya, tiba-tiba dunia berhenti berpusing, masa berhenti, jantung berhenti sekejap. Tapi lepas tu, semuanya berjalan laju. Dup dap! Dup dap!”
“Banyaklah kau punya cekadak!” hati Zana semakin panas dengan sikap Audra yang tak sudah-sudah dengan angan-angannya. “Kau ni kan, banyak sangat berangan tau! Nak kata kau banyak tengok citer Hindustan, tak de pulak! Tapi mana perangai suka berangan kau ni datang, hah?!”
Zana mengenali Audra sejak dari kecil lagi kerana mereka berasal dari kampung yang sama. Memang Audra ada menonton filem dari Bollywood, tetapi dia tidak pernah melihat Audra begitu obses dengan filem-filem itu. Biasanya Audra lebih menyukai filem aksi. Entah dari mana datangnya perangai peliknya ni!
“Nak buat macam mana, aku memang suka berangan sejak azali lagi!” ujar Audra sambil menjongketkan bahunya.
“Aku tak kira!” Zana sudah bangun mencapai baldi dan tualanya. “Aku dah suruh Zaid tunggu kau petang ni kat tasik pukul lima setengah petang nanti. Aku nak kau pergi jugak!” Zana terus hilang ke bilik mandi.
Audra memuncungkan bibirnya. Keningnya yang tidak gatal digaru-garu. Zana ni betul-betul macam emak! Ops, mungkin lebih sesuai kalau mak nenek! Audra mengeluh. Tak mengapa, dia akan mencari jalan lain untuk mengelakkan perkara itu dari berlaku. Dia sudah tersenyum sendiri. There is no problem that can’t be resolved.
Audra bangun untuk ke meja tulis tetapi matanya pantas menangkap sesuatu di atas katil Zana. Diari! Diari Zana terbuka! Terus dialihkan pandangan matanya ke tempat lain. Hatinya mula terdetik untuk membaca apa yang tertulis dalam diari Zana. Jangan Audra, tak baik! Sebelah pihak di dalam hatinya pula menghalang.
Audra cuba menahan kehendak diri. Tetapi matanya lebih pantas dari gerak hatinya. Dia mengerling diari itu lagi. Dahinya berkerut. Banyak benar namanya di tulis dalam diari Zana. Hatinya mula penasaran. Apa agaknya yang ditulis Zana berkenaan dirinya?
Tak! Jangan Audra! Tak boleh! Bagaikan terdengar kata-kata itu di cuping telinganya. Sekali lagi gerak hatinya menghalang. Namun, sekali lagi juga matanya lebih pantas. Dia menoleh lagi. Kali ini, dia benar-benar penasaran tentang kandungan diari itu. Tangannya pantas mencapai diari milik Zana.


Entah apalah yang difikirkan Audra. Suka sangat berangan yang bukan-bukan. Geram aku dengan sikap dia. Tapi yang pasti, aku selalu marahkan dia sebab aku sayangkan dia! Sungguh, aku dah anggap Audra tu macam adik aku sendiri. Walaupun kami sebaya tapi sikap dia yang macam budak-budak tu selalu buat aku anggap dia macam adik aku!
Aku tak kisah kalau hati aku dilukai. Yang penting, aku mahu Audra sedar dari angan-angannya yang gila. Mahukan seorang lelaki yang boleh buat jantungnya berhenti berdegup macam Putera William.
Kadang-kadang tu, dia mahu jadi seperti watak-watak fairy tales yang endingnya, putera raja akan bawa si puteri pergi dan mereka hidup bahagia untuk selama-lamanya. Mana ada benda macam tu dalam hidup sebenar! Audra….Audra…
Mungkin Zaid boleh bantu Audra sedar dari angannya! Barbanding semua lelaki, Zaid yang paling baik dan aku yakin Zaid boleh mengubah Audra. Biarlah walaupun aku terpaksa melupakan cinta aku pada Zaid, asalkan Audra bahagia dan sedar dari angan kosongnya. Aku rela lepaskan Zaid demi kebahagiaan Audra! Lagipun Zaid juga sukakan Audra.
Semoga Zaid berjaya menangi hati Audra!


Zana sukakan Zaid? Terkedu Audra seketika.“Zana, Zana.” Kepala Audra sudah tergeleng. Dah suka kat Zaid tapi boleh pula doakan Zaid bahagia dengan dia! Memang dah gila sahabatnya itu! Lakukan pengorbanan yang sia-sia. Tapi tak pe, dia akan pastikan perkara sebaliknya pula yang berlaku. Audra tersenyum penuh makna.
“Tapi, kira betullah dugaan aku! Zana memang cuba nak ‘kenen’kan aku dengan Zaid!” Audra mengetap bibirnya. “Tak pe, tak pe! We’ll see.” Dia sudah tersenyum lebar.

2 comments:

  1. Salam Cik Writer...rasanya saya pernah baca citer ni dulu sampai bab 6 atau bab 7 ...lepas tu diulang semula drp bab 1...lambat rasanya saya nak tunggu bab seterusnya kalau asyik diulang..jalan cerita yg menarik..tak sabar nak tunggu apa akan jadi pada Tuan Syed n Audra..adakah mereka akan bercinta dan berkahwin?..Cik Writer tolong cpt2 update..tak sabar dah ni..jalan citer yg menarik jgan diperam lama2 rugi tau..hihihi...

    ReplyDelete
  2. Puteri selendang Biru13 April 2012 at 13:26

    Ya betul....saya pernah poskan sehingga bab 6. tetapi bukan di blog ini melainkan di P2U. Insyaallah....kalau berkesempatan, minggu depan sebelum saya poskan special N3 utk cerpen, saya postkan N3 Putera Arab hingga bab 6 ya....Terima kasih....

    ReplyDelete