Friday, 12 February 2010

Saat hati Merelakan 21

ZILA menyusun langkah mendekati seorang gadis yang sedang sibuk menyemak fail-fail di mejanya. Gadis itu pantas mendongak memandang Zila sebaik saja dia ditegur.


“Hai Salmi. Boleh saya jumpa dengan Qis?” tanya Zila ramah sambil mengukir senyuman. Salmi turut mengukir senyuman.

“Ah.....Cik Zila. Cik Qis ada kat dalam,” beritahu gadis itu.

“Okeylah kalau macam tu. Saya masuk jumpa dia.” Zila melangkah untuk masuk ke pejabat Qismyna namun kemudian berpaling memandang Salmi.

“By the way, bukan ‘cik’ tapi ‘puan’.” Zila tersenyum lalu mengetuk pintu dan masuk ke dalam. Salmi tersenyum sendiri dengan kesilapannya. Bagaimana dia boleh lupa sababat majikannya itu sudah pun mendirikan rumah tangga. Apatah lagi melihat perut Zila yang semakin memboyot ke depan.

Qismyna yang sedang menyemak invoice untuk membuat bayaran mengangkat kepalanya apabila pintu biliknya di buka dari luar.

“Zie!” Qismyna kelihatan gembira dengan kehadiran Zila di situ pantas bangun menghampiri Zila. “Lama aku tak dengar cerita kau. Macam mana? Sihat? Anak kau ni sihat jugak ke?” Qismyna memegang perut Zila yang semakin membesar.

“Aku ni cuma tunggu hari je Qis. Tak lama lagi, keluarlah,” balas Zila. Qismyna tertawa gembira.

“Mari.....duduk.” ajak Qismyna. Mereka berdua melabuhkan punggung di atas sofa yang disediakan di situ.

“Aku dengar kau dan Fauzan akan bertunang tak lama lagi?” Zila membuka topik. Qismyna terdiam seketika lalu menganggukkan kepala. Kemudian dia mengukirkan senyuman. Keputusannya itu telah diberitahu kepada orang tuanya. Emak dan ayahnya begitu gembira mendengar perkhabaran yang dibawanya. Begitu juga dengan Ariff dan Almi.

“Baguslah kalau macam tu. Akhirnya terbuka juga pintu hati kau untuk terima lelaki lain.” Zila bersyukur pada Tuhan. Dia terlalu gembira apabila mendengar khabar itu dari suaminya Johan yang kebetulan sahabat Ariff. “Bila?”

“Selepas Pertunangan Abang Ariff dan Kak Manisa. Dua minggu lagi kami akan ke Sabah. Lepas tu, baru mereka nak uruskan pertunangan aku dan Fauzan,” jawab Qismyna.

“Tentu Fauzan gembira, kan. Yelah....dah lama dia tunggu kau akhirnya kau terima dia juga.”

“Mana kau tahu Fauzan dah lama tunggu aku?” Qismyna sangkakan hanya pada Zurin Fauzan menceritakan isi hatinya. Dia tidak menyangka Zila turut mengetahui tentang itu.

“Kau jangan salah sangka Qismya. Tak de siapa pun beritahu aku yang Fauzan dah lama ada hati dengan kau,” beritahu Zila seakan-akan mengerti bisikan hati Qismyna. “Siapa pun kalau lihat cara Fauzan yang terlalu mengambil berat tentang kau akan tahu perasaan dia. Cara dia lihat dan pandang kau. Mungkin dia tak luahkan perasaan dia pada kau, tapi dia tak pernah sembunyikan betapa kau terlalu penting dalam hidup dia.”

Ya...memang tiada siapa yang memberitahunya tentang perasaan Fauzan pada Qismyna termasuk Fauzan sendiri. Namun, sikap Fauzan yang sanggup bersusah payah berulang alik dari Malaysia dan Australia menceritakan segalanya. Dia sendiri kagum dengan sikap Fauzan yang terlalu mengambil berat tentang Qismyna.

“Aku rasa bersalah.” jawab Qismyna.

“Kenapa?”

“Semua orang tahu perasaan Fauzan pada aku. Sedangkan aku langsung tak dapat nak mengagak walaupun dia sering bersama aku.” Qismyna menghembus nafasnya.

“Sebab kau terlalu memikirkan masa silam kau hingga menutup semua pintu hati kau. Kau tak pernah melupakan kisah kau hinggalah saat ini.” Zila mengetap bibir. “Aku tahu, kau masih sayangkan Adam. Kau terima Fauzan pun kerana simpati, bukan?”

Qismyna menggelengkan kepala menjawab pertanyaan Zila. Dia bukan bersimpati pada Fauzan. Hanya sekadar melakukan sedikit pengorbanan pada setiap insan yang menyayangi dirinya.

“Aku keliru Zie.” ujar Qismyna. “Aku terima Fauzan kerana ingin melihat keluarga aku gembira. Untuk melihat Fauzan yang banyak membantu aku gembira. Tapi....aku tak cintakan dia. Fauzan mahukan kejujuran dari aku. Tapi apa yang aku lakukan sekarang tidak jujur pada dia.” Qismyna memejam matanya sebentar. “Aku keliru.”

Zila menundukkan wajahnya memandang lantai. Dia simpati pada Qismyna. Dia tahu gadis itu merasa tertekan. Memang sukar untuk membuat keputusan demi masa depan apatah lagi keputusan itu berkaitan dengan insan-insan yang disayangi.

“Beginilah Qismyna. Mulai dari sekarang kau belajarlah untuk menyayangi dia. Tukar hubungan kau dari saudara pada cinta seorang kekasih. Banyak berdoa pada Tuhan agar menunjukkan jalan yang tepat untuk kau pilih.” nasihat Zila. “Sebenarnya, aku datang sini nak bagitau engkau.”

“Bagitau apa?”

“Esok pagi aku akan berangkat ke Sungai Petani. Aku nak tinggal dengan nenek aku sampai aku habis pantang.”

“Johan? ”

“Johan akan ikut sekali. Setiap hari dia akan berulang alik dari Sungai Petani ke sini.”

“Kesian dia. Mesti letih,” ujar Qismyna. Zila hanya tersenyum.

“Nak buat macam mana, aku tak de siapa kat sini. Terpaksalah. Johan pulak takkan nak duduk sorang-sorang? Mestilah dia ikut aku.....takkan dia nak ambil cuti sampai aku habis bersalin kot!” Zila tergelak kecil.

“Apalah kau ni. Aku tak maksud macam tu pun.” Qismyna mencubit pipi Zila yang tembam. “Aku gembira lihat kau tau!” Qismyna tersenyum begitu juga dengan Zila. “Nanti kalau kau dah bersalin, bagitau. Boleh aku datang melawat kau nanti.”

“Yelah tu.....Jangan-jangan janji tinggal janji! Yelah.....kau kan sibuk nak uruskan pertunangan kau nanti.”

“Insyaallah.....kalau aku ada masa, aku akan melawat kau. Kalau tak.....kita jumpa lepas kau balik pantang jelah.”

“Aku dah agak.” Zila menjeling Qismyna. Qismyna tersenyum.

No comments:

Post a Comment