Tuesday 29 June 2010

Hanya Dia 31


BAB 31


MAISARA mengerling Fariz di sebelahnya. Pandangan lelaki itu hanya tertumpu di jalan raya. Pandangannya dilemparkan semula ke luar tingkap.
Ingin sahaja dia menghamburkan kemarahannya kepada Fariz kerana tiba-tiba sahaja lelaki itu membatalkan percutian mereka. Dek kerana kehadiran Tarti bersama, didiamkan sahaja rasa marah yang bersarang di dalam hati.
Aiman yang sedang lena di pangkuannya di tatap lama sambil tangannya mengusap ubun-ubun kepala anak kecil itu. Kasihan Aiman!
Maisara mengerling Tarti di belakang dengan cermin tepi. Mata gadis itu tertutup rapat. Kedengaran dengkuran halus. Tarti sudah pun terlena. Mungkin inilah peluangnya untuk bertanya dengan Fariz.
Dia tidak pasti apa yang berlaku. Apa yang dia tahu, setelah Fariz mendapat panggilan, terus sahaja lelaki itu memutuskan untuk pulang dari bercuti. Belum sempat ditanya sebabnya. Pantas sahaja Fariz mengeluarkan arahan kepada dia dan Tarti untuk mengemas semua barang-barang mereka.
Mungkinkah sesuatu yang tidak baik telah berlaku? Telahan Maisara. Tetapi kenapa Fariz tidak memberitahunya. Sedari tadi lelaki itu mendiamkan diri dan bermenung sendirian.
“Kenapa tiba-tiba je ni?” Maisara memecah kesunyian antara mereka.
Fariz tersedar dari lamunannya apabila mendengar teguran itu. Dia mengerling Maisara sebentar.
“Apa?”
“Siapa yang telefon awak tadi?” tanya Maisara lagi tanpa mengulangi soalan sebelumnya.
Fariz terdiam. Perlukah diberitahu siapa yang menghubunginya. Dia khuatir jika Maisara tahu, hubungannya dengan Maisara akan menjadi semakin renggang.
Melihatkan reaksi Fariz, Maisara dapat mengagak sesuatu.
“Awak jangan cuba-cuba nak tipu saya. Ilyana yang telefon?” Maisara cuba menyerkap jarang walaupun dia benar-benar yakin Ilyana yang menghubungi Fariz.
Selama dia mengenali Fariz dia cukup mengenali sikap lelaki itu. Mendiamkan diri lama sebegitu bermakna ada sesuatu yang tidak kena. Pasti Fariz cuba untuk mengarang ayat atau alasan untuk menjawab soalannya.
Tentu sahaja Fariz tidak mahu dia tahu gerangan yang menghubungi Fariz sebentar tadi. Jadi itu bermakna, orang itu adalah seseorang yang bisa membuatkannya menjadi kurang senang. Tidak lain dan tidak bukan, pastinya Ilyana.
“Dia ada masalah sikit. Jadi dia minta saya bantu....” Dengan berat hati, Fariz memberitahu juga.
Maisara mencebik bibirnya sambil pandangannya dibuang ke luar tingkap.
“Saya tak kisah. Bukan saya tak tahu hubungan awak dengan dia. Tapi sekurang-kurangnya, fikirkanlah tentang Aiman. Kesian dia! Ini kali pertama awak bawa dia pergi jalan-jalan, dah jadi macam ni!”
“Aiman?!” Fariz menghembuskan nafas kurang senang. Tidak ada langsungkah rasa cemburu gadis itu pada Ilyana? “Semuanya tentang Aiman? Jadi awak langsung tak kisah?”
Giliran Maisara pula menghembuskan nafas kurang senang. Memang dia cuba berlagak biasa. Sedang di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati dia apabila Fariz sanggup membatalkan percutian mereka semata-mata kerana Ilyana. Kalau dia tahu ini yang akan terjadi, pasti dia berkeras dengan umi untuk tidak mengambil cuti dan mengikut Fariz. Sudahnya, dia sendiri yang sakit hati!

FARIZ menjinjit bagasi lalu di letakkan di ruang tamu. Setelah bersalam dengan Rosnah, Dia menghampiri Maisara.
“Awak dengan Aiman tinggal di sini dulu. Saya nak cepat. Esok kita balik rumah umi.”
Fariz menghulurkan tangan. Maisara menyambut lalu tunduk menyalami Fariz. Fariz tersenyum lalu mengusap lembut rambut isterinya.
Langkah Fariz diekori Maisara dengan ekor matanya. Dia menjeling geram. Kerana Ilyana, Fariz sanggup meninggalkan mereka!
Dia menghampiri Aiman yang sedang ralit bermain dengan kapal terbang mainan. Dia memeluk Aiman lalu mencium pipi gebu itu.
“Kesian anak mama!”
Aiman yang tidak mengerti ketawa apabila dipeluk begitu sambil tangannya menepuk-nepuk pipi Maisara.
“Sara....” tegur Rosnah yang baru datang dari dapur. “Mama dah masak. Kalau lapar, pergilah makan.”
“Nantilah ma,” Maisara tersenyum. “Sara belum lapar lagi.”
“Kalau macam tu, pergilah naik berehat. Bawa Aiman sekali!” ujar Maimun. Maisara hanya menganggukkan kepalanya.
Aiman dipangkunya lalu dia memanjat anak-anak tangga untuk ke kamar Fariz. Sampai sahaja di depan pintu kamar lelaki itu, langkahnya terhenti.
Inilah kali pertama dia akan menjejakkan kaki ke bilik itu selepas mereka berkahwin. Satu perasaan yang aneh menyingkap di dalam hati. Perasaan berdebar dan gusar sehingga membuatkan jantungnya berdegup laju.
Dia kembali teringat kepada arwah Suhana. Bagaimana kalau dia masuk ke dalam kamar itu dan barang-barang Kak Su masih ada tersimpan? Bolehkan dia berhadapan dengan realiti sebegitu. Sedangkan sehingga ke saat ini, walaupun berkali-kali dia berkata kepada dirinya sendiri untuk memaafkan segala yang terjadi antara mereka, tetapi dia tetap tidak dapat melupakannya dan menerima dengan hati yang lapang.
Digagahkan juga hatinya, lalu perlahan-lahan daun pintu dibuka. Terkejut dia melihat pada perhiasan kamar pengantin yang berwarna hijau putih. Ternganga dia sekejap.
Tetapi kemudian dia teringat kembali pada hari pernikahannya. Sepatutnya selepas sahaja mereka diijapkabulkan dia perlu pulang bersama Fariz ke sini. Tetapi dia yang berkeras untuk pulang ke Pantai Miami. Mungkin persiapan ini adalah untuk hari penikahan mereka dahulu.
Ada rasa kesal menerjah di hati. Dia mula merasa dia seperti dia mementingkan diri. Tentu penat mama dan papa menghias semua ini untuk menyambutnya, tetapi dia senang-senang menolak untuk tinggal bersama mereka.
Maafkan Sara.........

AIMAN sudah terlena di katil kecilnya. Selepas dia memandikan Aiman dan memberinya makan, Aiman bermain sehingga letih. Melihat sahaja mata Aiman yang semakin layu, dia mengangkat anak itu lalu menepuknya sehingga dia terlena.
Kini Maisara sendirian di kamar itu. Dia mengerling jam dinding yang menunjukkan jam sembilan malam. Bayang Fariz masih belum kelihatan. Agaknya lelaki itu masih belum puas melepaskan rindunya pada Ilyana.
Matanya meliar memandang sekeliling. Lalu tumpuannya jatuh pada almari baju. Bagai ada sesuatu yang mendesaknya untuk membuka almari itu. Pantas dia berdiri dan menghampiri almari itu.
Tangannya sudah diangkat untuk mencapai cangkuk almari. Dia menguatkan hatinya. Biar apa pun yang dilihatnya, dia akan menerimanya dengan hati yang tenang. Tapi, bolehkah dia menjadi tenang seandainya di dalam almari itu masih tersimpan pakaian dan barang-barang Suhana?
Perlahan-lahan daun pintu ditariknya. Tiada! Dia membuka lagi pintu yang lain. Tiada! Dua lagi pintu almari dibuka. Tiada! Dia kembali pada pintu yang pertama lalu menyelak dan mencari lagi begitu juga dengan pintu yang lain. Tetap tiada!
Satu pun barang-barang Suhana tiada di situ. Dia terduduk di katil. Sangkanya dia hanya akan berperasaan kurang senang sekiranya barang Suhana masih tersimpan di situ. Namun, perasaan yang sama juga singgah di hati apabila mendapati tiada satu pun barang Suhana yang masih tersimpan.
Fariz sudah melupakan Kak Su? Begitu cepat dia melupakan arwah isterinya selepas wanita itu terkorban ketika melahirkan zuriatnya! Begitu mudah Fariz melupakan Suhana setelah cintanya pada Maisara beralih arah kepada Suhana? Bukankah lelaki itu mengorbankan cinta yang diberi Maisara semata-mata kerana Suhana?
Maisara kebingungan. Perasaan apakah yang hadir dalam hatinya? Bukankah sepatutnya dia gembira apabila mendapati tiada satu pun barang Kak Su masih disimpan Fariz? Bukankah dia sepatutnya lega tidak akan merasa sakit hati apabila bayang Kak Su tidak akan menghantuinya sekiranya barang milik Suhana dijumpai di kamar itu?
Apa yang tidak kena dengan dia? Dia benci pada Kak Su kerana merampas cintanya! Tetapi dalam masa yang sama dia marah kerana pengorbanan Kak Su seolah-olah tidak dihargai Fariz.
Kak Su! Kenapa Kak Su sanggup membiarkan perasaan Sara terhimpit begini?! Sampai hati Kak Su!

HAMPIR jam sepuluh tiga puluh malam, Fariz tiba di rumah. Rosnah menyambut kedatangannya setelah Maisara hilang di dalam kamar untuk menidurkan Aiman dan tidak turun semula untuk menunggu Fariz.
Setelah berbual seketika dengan Rosnah, dia melangkah ke tingkat atas.
Dia melirik Maisara dan Aiman yang sudah pun lena. Dia membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak yang masih belum dilaksanakan.
Kemudian, dia berbaring di sofa sambil tangannya diletakkan di dahi. Dia masih berfikir tentang Ilyana.
Dia merasa hairan mengapa tiba-tiba sahaja syarikat pembekal bahan mentah itu dituduh sebegitu? Atau sememangnya benar tuduhan itu? Tetapi seandainya benar, syarikatnya juga akan menghadapi masalah. Tapi tak mungkinlah syarikat itu terbabit dengan kesalahan sebegitu. Tak mungkin!
Hatinya masih berbolak balik sama ada untuk mencurigai Ilyana atau menyokongnya. Selama dia berkerjasama dengan syarikat warisan keluarga Syed Hussin itu, dia tidak pernah menghadapi apa-apa masalah. Mungkin ini adalah satu perbuatan khianat! Ya! Tak mungkin Warisan Syed itu melakukan perkara yang bisa menjatuhkan imej dan kredibiliti mereka.
Kasihan dia melihat Ilyana yang sedang dalam kegusaran. Beria-ia dia memohon Fariz untuk membantunya menyelesaikan segala tuduhan ini.
Dato’ Jamaluddin, pemilik sebuah syarikat pemaju yang juga merupakan teman baik papa telah bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Warisan Syed. Dek kerana itu, Ilyana meminta bantuannya untuk menjadi orang tengah bagi membantunya menyelesaikan perkara ini.
Menurut kenyataan Ilyana, Dato’ Jamaluddin secara peribadi telah datang ke Warisan Syed untuk bersemuka dengan Ilyana. Menurutnya, Warisan Syed telah menipu mereka dengan meletakkan bahan-bahan campuran yang lain pada bahan-bahan mentah yang dibekalkan.
Mengikut keputusan kajian yang di hantar Dato’ Jamaluddin untuk mengkaji kandungan bahan-bahan mentah yang diterima telah menunjukkan terdapat benda asing dan bahan campuran lain kepada bahan-bahan bekalan dari Warisan Syed.
Dia pasti Warisan Syed telah disabotaj oleh pihak tertentu. Pasti Ilyana dalam keadaan tertekan apatah lagi di saat ini kedua orang tua Ilyana berada di luar negara. Dia terpaksa menghadapi semua ini bersendirian.
Fariz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. Mungkin Ilyana patut menghubungi keluarganya dan meminta mereka pulang ke sini untuk menyelesaikan masalah ini. Itulah jalan pertama yang dapat difikirkannya sekarang.
Kemudian, dia perlu mencari jalan bagaimana mahu meminta bantuan papa untuk berbincang dengan Dato’ Jamaluddin tentang keputusannya untuk membawa perkara ini ke pihak pengadilan.
Tapi mahukah papa membantu Ilyana sedangkan ternyata papa kurang senang dengan Ilyana?
Fariz menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Berserabut kepalanya memikirkan perkara ini. Tapi dia sudah berjanji untuk membantu Ilyana sekadar yang termampu. Sebagai seorang sahabat, dia pasti akan membantu Ilyana selagi Ilyana berada di pihak yang benar.
Semoga Ilyana tabah menghadapi ujian ini!
Di dalam hatinya memohon kepada Tuhan agar memberi ketabahan kepada gadis itu. Masalah yang dihadapi Ilyana sekarang memang agak berat untuk ditanggung.

2 comments:

  1. ala...............bila fariz nak berromantik dgn sara ni????? apapun, akak follow..............

    ReplyDelete
  2. sara egolah...tak nak ngaku rasa hati...nanti fariz suka dgn yana baru tahu

    ReplyDelete