Thursday, 19 August 2010

Hanya Dia 36


TERBELIAK biji mata Syarifah Hashima melihat barang yang ditemuinya di dalam tong sampah di yang terletak di dapur itu. Bibirnya diketap menahan rasa marah. Dia mencapai barang bewarna putih yang panjangnya sejengkal tapak tangan dan melihat garisan merah yang berada di tengahnya.
Di benaknya sudah terbayangkan seraut wajah yang tidak asing. Hanya dia yang terlintas di fikiran Syarifah Hashima. Tak mungkin ada orang lain selain dia.
“Nurul! Nurul!” jeritnya sambil langkahnya panjang mencari Nurul Anis.
Nurul Anis yang kebetulan berada di kamarnya sendiri dan baru menyudahkan solat Asar, bergegas melipat sejadah dan telekungnya. Pantas dia melangkah keluar.
“Ya puan!”
Tertunduk Nurul Anis memandang lantai saat berhadapan dengan majikannya itu. Terasa benar pandangan Syarifah Hashima yang tajam merenungnya. Kesalahan apa pula yang dilakukannya kini?
Bergetar jantung Syarifah Hashima. Rasa seperti mahu menikam gadis di depannya itu. Biar apa pun, dia perlu bertanya dahulu dengan tuan empunya badan sebelum membuat tuduhan yang melulu..
“Ni apa? Siapa punya?” Syarifah Hashima menunjukkan barang yang digenggamnya.
Tercengang Nurul Anis melihat pregnancy test yang dipegang Syarifah Hashima. Bagaimana wanita itu boleh menjumpainya? Nurul Anis mengetap bibirnya. Gusar, takut dan pelbagai perasaan lain mula menguasai dirinya.
Terasa air mata mula bergenang di kelopak matanya. Mahu sahaja dia lari dari situ. Tetapi kakinya kaku tidak bermaya.
“Kenapa diam?! Cakap!”
Bagai panahan halilintir Syarifah Hashima memekik di telinganya. Air mata yang bertakung tumpah juga akhirnya.
“Kenapa menangis? Memang betullah ‘benda’ ni kau punya!”
Melihatkan Nurul Anis yang sudah tersedu sedan, membuat Syarifah Hashima bertambah yakin memang pregnancy test itu kepunyaan Nurul Anis.
“Tak guna! Memalukan!”
Bertalu-talu pukulan dihadiahkan kepada Nurul Anis. Tangisan gadis itu semakin kuat sambil tak henti-henti dia merayu kepada Syarifah Hashima agar menghentikan perbuatannya. Tangannya diangkat cuba menghalang setiap pukulan yang singgah di tubuhnya.
Syarifah Hashima yang sudah hilang kesabarannya, terus memukul tubuh kecil milik Nurul Anis untuk melempiaskan marahnya. Dia benar-benar tidak menyangka gadis selembut dan sesopan Nurul Anis sanggup menconteng arang di mukanya.
Nurul Anis seorang gadis kampung yang sudah kehilangan kedua orang tuanya, di ambil bekerja dan dijaganya dengan baik sanggup memalukannya sedemikian rupa!
“Aku jaga kau dengan baik! Ini yang kau balas pada aku!”
Tak henti-henti mulut Syarifah Hashima menengking dan memarahi Nurul Anis. Begitu jugalah tak henti-henti tangannya memukul-mukul tubuh itu.
“Umi! Umi! Sudah Umi!”
Syed Zarkasyi yang baru pulang dari kerja terus menerpa sebaik sahaja mendengar suara uminya yang memekik dan menjerit bagaikan orang gila. Terkejut dia melihat tubuh Nurul Anis yang sudah lemah terjelepuk ke lantai.
“Nurul!”
Tubuh Nurul Anis dipangkunya. Layu mata itu merenung padanya seolah-olah memohon simpati darinya.
“Jangan sentuh dia! Dia perempuan kotor!”
Syarifah Hashima menarik tangan Syed Zarkasyi agar menjauhkan dirinya dari Nurul Anis. Tetapi Syed Zarkasyi menolak.
“Kasihan Nurul, umi!”
Wajah Nurul Anis terus direnungnya dengan pandangan simpati. Lantas tubuh Nurul Anis di angkat dan di letakkan tubuh itu di dalam kamar kecil Nurul Anis yang letaknya di sudut dapur.
“Kita ke klinik, Nurul!” usul Syed Zarkasyi.
Nurul Anis menggelengkan kepalanya. Air matanya menitis ke pipi. Sedih Syed Zarkasyi melihat tubuh yang lemah itu. Air mata Nurul Anis disapunya.
“Nurul tak apa-apa,” Nurul Anis cuba mengukirkan senyuman walaupun dalam keadaan begitu. Dia tidak mahu Syed Zarkasyi merasa susah hati kerananya.
“Zar!”
Tiba-tiba Syarifah Hashima tercongok di muka pintu. Tajam matanya merenung Syed Zarkasyi yang memegang erat tangan Nurul Anis. Syed Zarkasyi yang terkejut, pantas meleraikan genggaman tangannya.
Dia berdiri tegak dan bertentang mata dengan uminya.

SYED HAKIM berdiri tegak sambil kedua tangannya bertemu di belakang. Perkhabaran yang baru didengarinya dari isterinya membuatkan dia pulang ke rumah lebih awal dari selalu. Sepanjang perjalanan dia berfikir dan terus berfikir.
Mundar mandir dia berjalan sambil matanya tak hilang dari merenung wajah sugul Nurul Anis. Tak disangka, gadis yang di sangkanya baik rupanya berperangai iblis!
Nurul Anis yang perasan renungan jijik yang dilemparkan Syarifah Hashima dan Syed Hakim hanya menundukkan kepalanya seolah-olah bersedia untuk menerima hukuman. Tak sanggup rasanya untuk bertentang mata dengan mereka berdua. Apatah lagi di saat ini di mana Syed Hussin dan Syed Zarkasyi juga berada di situ.
“Kita buang saja dia, walid! Tak guna kita simpan perempuan kotor macam ni!” Syed Hussin meluahkan rasanya sambil jelingan tajam dileparkan pada Nurul Anis yang masih tertunduk.
“Hussin!”
Syed Zarkasyi cuba membela Nurul Anis. Kasihan dia melihat gadis itu yang tak sudah-sudah dihina oleh mereka. Dia mula rasa bersalah. Di telan mati emak, di luah mati bapak. Perlukah dia terus berdiam diri begini dan membiarkan Nurul Anis menanggung segalanya seorang diri?
Syed Hussin yang dijerkah abangnya itu terus terdiam. Walaupun rasa tidak puas hati bergunung di dalam diri, namun dia tidak melawan. Bukan kerana dia takut pada Syed Zarkasyi tetapi kerana umi dan walid ada di situ. Dia tidak mahu walid memarahinya kerana melanggar tatasusila mereka yang pantang saudara yang muda meninggikan suara pada saudara yang tua.
“Saya mahu kamu berterus terang dengan saya? Anak siapa yang kamu kandungkan itu?”
Nurul Anis yang sudah tertunduk semakin menundukkan kepalanya. Soalan itu benar-benar membuatkan dirinya terhimpit. Airmatanya semakin mengalir deras. Syed Hakim yang terpacak di depannya tidak dipandang. Takut dia untuk memandang wajah lelaki itu yang sudah berubah air mukanya.
“Kenapa kamu diam?!” Tempik Syed Hakim lagi.
Nurul Anis menutup matanya rapat. Takut dia mendengar suara nyaring Syed Hakim.
“Walid! Sabar walid! Kasihan Nurul!”
Syed Zarkasyi bangun lalu memegang lengan walidnya. Syed Hakim menolak Syed Zarkasyi. Tiada siapa yang bisa menyabarkannya andainya tatasusila yang diwujudkan di rumah ini dilanggar.
“Kamu ni kenapa Zar? Kenapa ayik membela perempuan kotor tu?” Syarifah Hashima menjeling Nurul Anis.
Syed Zarkasyi terdiam. Rasanya tak mampu dia menjawap soalan umi.
“Sejak kamu menjejakkan kaki ke dalam rumah ini, saya dah beritahu kamu adat dan tatasusila yang patut dipatuhi oleh semua penghuni rumah ini tidak terkecuali kamu! Tapi kenapa kamu melanggarnya?!”
Nurul Anis tahu, malah dia tidak pernah lupa tentang adat itu. Walaupun untuk mereka dia bersalah, tetapi kenyataan sebenarnya dia tidak bersalah dan tidak melanggar adat dan tatasusila yang ditetapkan. Kesalahan yang dilakukan hanyalah kerana dia telah jatuh cinta. Jatuh cinta pada seseorang yang tidak sepatutnya dicurahkan rasa cinta itu.
“Saya mohon maaf Tuan Syed!”
“Maaf! Maaf! Mudahkan untuk kamu ucapkan maaf bila sudah melakukan kesilapan?”
Syarifah Hashima yang sememangnya sudah hilang sabar menarik rambut Nurul Anis agar memandang wajahnya.
“Sekarang beritahu siapa bapa kepada anak haram yang kamu kandungkan itu!”
Nurul Anis sudah mengerang kesakitan kerana rambutnya ditarik dengan begitu kuat. Airmatanya semakin mengalir. Bagaimana untuk dia menjelaskan semuanya?
“Anak saya bukan anak haram, Puan!”
Syarifah Hashima sudah melepaskan rambut Nurul Anis. Wajah itu dipandang penuh kebencian.
“Maksud kamu, kamu sudah bernikah?” Syed Hakim bertanya.
Nurul Anis mengangguk sambil kepalanya tertunduk.
“Kalau benar begitu, kenapa kamu rahsiakan? Dan kenapa kamu tidak mahu beritahu siapa bapa kepada anak yang kamu kandungkan?”
“Pasti ada sebabnya walid.....Jangan dipaksa! Kasihan Nurul dan kandungannya!” Syed Zarkasyi memainkan peranan lagi.
“Diam Zar! Kamu jangan masuk campur lagi!” Tengking Syarifah Hashima.
“Nurul, kalau kamu tidak bersalah seperti apa yang kamu katakan dan kalau kamu masih mahu terus tinggal di sini, lebih baik kamu beritahu siapa bapa bayi itu!” Syed Hakim cuba berdiplomasi.
Nurul Anis mengganggam tangannya dengan kuat. Hatinya berbolak balik. Setelah berfikir agak lama, perlahan-lahan Nurul Anis menggelangkan kepalanya. Biar apa pun yang berlaku dia tetap akan merahsiakan siapa suaminya. Begitulah janjinya kepada suaminya yang memintanya agar merahsiakan pernikahan mereka selagi belum sampai waktunya.
Syed Zarkasyi yang sedari tadi hanya memerhati sudah mula merasa sebak. Walau sudah teruk Nurul Anis dihina dan diperlakukan dengan kejam, gadis itu masih tetap menjaga rahsianya. Begitu kental hati wanita ini!
Rasanya sudah sampai masanya untuk dia berterus terang dengan umi dan walid walaupun dia tahu selepas dia membuat akuan, dia tidak akan diterima lagi dalam keluarga ini, dia rela. Rela demi sebuah pengorbanan yang dicurahkan Nurul Anis. Pengorbanan besar Nurul Anis perlu dibayar dengan sebuah pengorbanan juga.

No comments:

Post a Comment