Monday 21 November 2011

Saat hati Merelakan





Sedikit sedutan Bab 40....


“QIS!” Terdengar satu suara memanggilnya. Seraya dengan itu bahunya disentuh lembut. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kelihatan kelibat Wes di depannya. Pantas dia bangun dan terduduk di atas sofa.

Dia menggosok-gosok matanya. Terasa berat sekali untuk dia membuka mata. Dengan mata yang separuh buka dan separuh sedar dia melirik jam di dinding. Hampir jam tiga pagi. Dia menggosok-gosokkan matanya lagi seperti tidak mempercayai jam itu. Jam masih lagi menunjukkan angka yang sama.

Kerana tidak berpuas hati dia bangun dan mengambil jam tanggannya yang diletakkan di atas meja solek. Memang benar, hampir jam tiga pagi. Tiba-tiba darahnya seakan mendidih. Rasa ngantuknya tiba-tiba hilang.

“Apa hal pagi-pagi buta awak kejutkan saya ni?” dia menahan suaranya.

“Kenapa awak tak kejutkan saya?” tanya Wes.

“Suka hati sayalah nak kejutkan awak ke tak. Kenapa awak tak boleh set alarm sendiri ke pukul berapa yang awak nak bangun?”

“Untuk apa saya set alarm kalau saya dah beristeri.” Wes seakan tidak berpuas hati.

“Awak ingat saya ni kuli awak?!” Qismyna mencekak pinggang.

“Dah tanggungjawab isteri ikut perintah suami. Kalau awak rasa awak tu kuli, kulilah....” Wes tersenyum sinis. Qismyna semakin berang.

“Awak nak saya kejutkan awak supaya kita boleh bertengkar ke?” Qismyna menahan nafasnya yang turun naik. “Kenapa awak suka sakitkan hati saya?”

“Memang saya suka sakitkan hati awak! Kenapa? Tak suka?” Wes menyindir lagi. Qismyna benar-benar terasa hati. Perasaan marah dan benci mula menguasai diri.

Tanpa membidas kata-kata Wes dia terus membaringkan dirinya ke sofa semula lalu menutup mukanya dengan bantal. Wes tidak berpuas hati melihat Qismyna yang tidak memperdulikannya.

Dia menarik bantal Qismyna. Qismyna menarik kembali. Kemudian mereka menarik dan berebut bantal yang satu. Dek kerana geram Qismyna melepaskan bantal itu dan Wes terus terjatuh ke belakang.

Wes mengerang kesakitan sambil memegang belakang pinggangnya. Qismyna mencebik mukanya tanda meluat. Namun dia tidak sampai hati melihat lelaki itu yang sedang menahan kesakitan.

Walaupun tanpa ikhlas dia memimpin Wes ke atas katil dan membaringkan lelaki itu. Kemudian dia mengambil peti kecemasan yang tersimpan di bawah katil lalu mengeluarkan minyak urut.

Setelah dia meminta Wes tidur secara meniarap dan mengangkat sedikit baju, dia terus menyapukan minyak dan mengurut perlahan belakang pinggang lelaki itu.

Wes merasa senang sekali merasa urutan Qismyna. Dalam diam dia tersenyum sendiri. Terbit rasa gembira di hati.

“Kenapa awak buat macam ni?” tanya Qismyna sambil tangannya masih lagi mengurut lelaki itu. Wes terdiam seketika. Senyuman yang terukir tiba-tiba mati mendengar soalan Qismyna.

“Sebenarnya, saya ada hal nak bincang dengan awak.”

“Hal apa yang penting sampai kena kejutkan saya malam-malam. Kan dah jadi hal bila awak sakit macam ni. Esok saya nak kerja. Nak bangun pagi. Dah lah semalam saya balik lambat. Kenapa dengan awak ni?”

“Yang tu pun awak nak marah ke?” Wes bersuara lantang. Qismyna yang merasa geram, menepuk pinggang Wes yang sakit. Walaupun dia menepuk perlahan namun sudah cukup untuk membuat Wes mengerang kesakitan.

“Awak tak payah nak tinggikan suara! Kalau awak buat macam tu lagi, saya pukul awak!” ugut Qismyna. Wes terdiam. Nampaknya Qismyna mengambil kesempatan atas dirinya. Tak pe.

“Jom kita pindah.” Akhirnya Wes bersuara. Qismyna terlopong.

“Pindah?!” Dia ketawa kelucuan.

“Kenapa awak ketawa?!” Wes merasa geram mendengar tawa itu. “Apa yang kelakar?!”

“Mestilah kelakar.” Qismyna tertawa lagi. “Sedangkan begini pun asyik bertengkar. Inikan pula nak pindah dan hidup berdua.” Tanpa banyak soal dan memperdulikan Wes, Qismyna bangun untuk menyambung tidurnya yang tergendala.

“Nanti dulu. Awak belum dengar penjelasan saya.” Wes cuba untuk bangun, tetapi pinggang sakit membuatkan pergerakannya terbatas. “Qis....” panggilnya. Qismyna yang mendengar hanya membisu dan memekakkan telinga.

Malas dia hendak melayan kerenah Wes. Dia memejamkan mata dan membelakangkan Wes. Wes mendengus geram. Jaga kau!

 
************************************
 
TAJUK KARYA : SAAT HATI MERELAKAN
TERBITAN : FAJAR PAKEER SDN BHD
HARGA : RM20.00

1 comment:

  1. sye dah memiliki novel nie..besttttt xrugo wat koleksi..

    ReplyDelete