Assalamualaikum....buat semua pembaca yang dikasihi sekalian. mulai dari hari ini, saya akan postkan Novel-Putera Arab (tajuk asal Putera Arabku) di blog ini. Tapi kita mula dari Prolog balik ya..... Terima kasih.....
______________________________________________________________________________
“ALHAMDULILLAH,”
Zack menadah tangan dan mengungkap rasa syukurnya ke hadrat Illahi apabila
hakim membacakan keputusan perbicaraan. Akhirnya, semua telah selesai. Syed
Hussin, pakciknya sudah menerima hukuman atas tuduhan merancang kemalangan
kedua orang tuanya dan juga percubaan membunuhnya.
Memang sesuatu yang tragis apabila
keluarga sendiri menjadi musuh. Tapi semuanya diterima dengan redha.
Sesungguhnya, setiap sesuatu yang berlaku adalah kehendak Allah s.w.t dan kita
sebagai manusia hanya perlu berserah dan bertawakal. In Sha Allah, dia sentiasa
yakin apa sahaja yang dugaan atau musibah yang Allah berikan, pasti akan
menyusul kenikmatan disebaliknya.
Cuma jenayah yang dilakukan terhadap Suhana masih terus dirahsiakan.
Itupun atas permintaan keluarga Suhana sendiri. Semua bukti tentang itu sudah
disimpan kemas oleh keluarga mereka. Kini, tiada siapa lagi yang akan
mengganggu keluarga Fariz dan Maisara. Tiada siapa lagi yang akan cuba untuk
merampas Aiman. Hanya keluarga Fariz dan Maisara perlu lebih bersedia untuk
memberi tahu kebenaran pada Aiman bila sampai masanya nanti.
Sekarang, dia perlu menunggu masa untuk mengambil alih jawatan
sebagai Pengarah Warisan Syed. Semua saham milik Syed Hakim akan diserahkan
padanya seperti wasiat yang tertera dalam peninggalan arwah Syed Hakim. Ilyana
dan Syarifah Nurain yang juga memiliki sebahagian saham di Warisan Syed sudah
menyerahkan semua pentadbiran penuh padanya kerana mereka akan bertolak semula
ke Paris.
Sekali lagi Zack mengucapkan rasa syukurnya. Ilyana dan Syarifah
Nurain juga semakin rapat dengannya. Jika dahulu dia dan Ilyana bagaikan dua
saudara yang bermusuhan, namun kini semuanya sudah berubah. Mereka menjadi
sangat rapat apatah lagi apabila kedua beranak itu yang bertanggungjawab
menjaga Maisara ketika wanita itu melarikan diri ke Paris.
Zack melangkah keluar dari mahkamah. Matanya menangkap sekumpulan
manusia yang banyak berjasa padanya sudah sedia menunggunya di luar kawasan
mahkamah. Sampai sahaja di depan Ismail, ayah Fariz dan Khalid, ayah Maisara,
terus dia memandang mereka berdua silih berganti. Rasa terharu dan berterima
kasih yang tak terhingga tak pernah hilang dalam dirinya. Selama ini mereka
berdua telah bertindak sebagai orang tuanya sendiri dengan menyokongnya dari
belakang.
“Macam mana Zack?” tanya Khalid setelah lelaki itu hanya terpaku di
depan dia dan Ismail. Tanpa berkata apa-apa lantas Zack terus memeluk erat
tubuh Khalid. Kemudian, dia beralih pula memeluk tubuh Ismail. Sesungguhnya,
dia sudah menganggap Khalid dan Ismail seperti ayahnya sendiri
Ismail dengan rasa terharu menepuk-nepuk belakangnya. Dari reaksi
Zack, sudah pastinya keputusan mahkamah berpihak kepada keadilan. Sayangnya,
mereka semua tidak ikut serta dalam perbicaraan itu. Zack hanya ditemani oleh
Ilyana dan Syarifah Nurain.
“Alhamdulillah pakcik, semuanya dah selesai.” Setelah tiga tahun
berlalu, baru kini perbicaraan atas pertuduhan terhadap Syed Hussin selesai.
Kelihatan senyuman kelegaan menguntum di bibir mereka semua. Dibibir
masing-masing sudah memanjatkan kesyukuran.
Zack memandang wajah di depannya satu persatu, Ismail, Khalid,
Maimun, Fariz dan Maisara. Ternyata mereka semua turut berkongsi perasaan
dengannya.
“Tahniah Zack. Aku tumpang gembira,” Fariz mengulurkan tangan untuk
bersalam dengan Zack. Seraya dengan itu, Zack menarik tubuh Fariz dan
berpelukan dengannya. Seperti Ismail, Fariz juga menepuk lembut bahunya.
“Terima kasih, Fariz. Kau banyak tolong aku,” ujar Zack. Fariz yang
dahulunya pernah bermusuhan dengannya kini bagaikan saudaranya sendiri.
“Tak ada apa-apalah. Apa sahaja yang berlaku antara keluarga aku dan
keluarga kau, semuanya takdir. Kerana
itu jugaklah, kita rapat bagaikan saudara. Takdir dah menyatukan kita semua.”
Fariz merungkaikan pelukan. Kedua-dua bahu Zack dipegangnya. Zack sudah seperti
adiknya sendiri. “Yang penting, semuanya dah selesai. Mulai dari hari ini, kau
kena mulakan hidup baru dengan perancangan yang baru. Kami semua sentiasa ada
untuk menyokong dan membantu kau.”
“Aku dah banyak terhutang budi dengan kau dan keluarga kau,” ujar
Zack dengan rasa rendah diri.
“Ish! Apa ni. Kau dah macam adik aku dah!” Tegas Fariz. “Kalau ada
apa-apa jangan segan-segan cari kami. Kami semua, sentiasa ada untuk kau!”
Ismail dan Khalid menganggukkan kepala, menyetujui kata-kata Fariz.
“Tahniah, Encik Zack.” Maisara turut mengucapkan tahniah.
“Terima kasih,” Zack tersenyum sambil menganggukkan sedikit
kepalanya kepada Maisara.
“Zack!” Kedengaran satu suara memanggilnya. Kelihatan kelibat Ilyana
yang sedang melambai-lambai sambil melangkah menghampiri mereka.
Zack dan yang lain berpaling memandang Ilyana dan ibunya, Syarifah
Nurain yang semakin dekat. Syukurlah, kedua beranak itu banyak membantu dengan
menjadi saksi atas semua pertuduhan. Biarpun kelihatannya Ilyana seakan
tertekan untuk menjadi saksi atas semua perbuatan walidnya, tetapi sepupunya
itu tetap membantu. Semuanya atas dorongan Syarifah Nurain.
Syarifah Nurain dan Ilyana akan berangkat semula ke Paris malam ini.
Mereka hanya kembali ke Malaysia sekadar untuk membantu perbicaraan.
“Assalamualaikum,” sapa Syarifah Nurain yang baru menghampiri
mereka. Dia mengukirkan senyuman untuk mereka semua.
“Waalaikummussalam,” jawab yang lain.
“Tahniah Zack,” ucap Syarifah
Nurain. Dia tumpang gembira dengan hasil perbicaraan yang baru diputuskan tadi.
“Terima kasih, amati, Yana. Terima kasih banyak!” ujar
Zack. Jasa Syarifah Nurain dan Ilyana yang sanggup tebang dari Paris ke
Malaysia semata-mata untuk menghadiri perbicaraan sangat dihargai Zack. Tak
terbayar budi mereka padanya.
“Tak perlu berterima kasih. Kami hanya menegakkan kebenaran!” ujar
Ilyana tersenyum pada Zack.
“Betul tu Zack. Yang penting sekarang, Zack kena uruskan Warisan
Syed sebaik mungkin.” Syarifah Nurain menyokong kata-kata Ilyana.
“Betul! Uruskan baik-baik!” Sampuk Ilyana. “Jangan lupa, bahagian
aku nanti masukkan dalam akaun!” guraunya.
Zack hanya tersenyum. “In Sha Allah, amati. Saya akan uruskan
Warisan Syed dengan baik. Kepercayaan yang amati dan Yana berikan, tak akan
saya sia-siakan.” Sungguh, Zack sangat terharu dengan kepercayaan yang telah
diberikan mereka kepadanya.
Ilyana yang berdiri di sebelah
Maisara, lantas memeluk bahu Maisara. “Aku dan umi nak balik Paris dah malam
ni. Kalau senang-senang datanglah ke Paris. Rindulah dengan kau. Sejak kau
balik sini, sekali pun kau tak ke sana,” ujar Ilyana.
Memang dahulu dia sangat membenci Maisara tetapi Allah telah membuka
pintu hatinya untuk melihat ketulusan hati wanita itu. Mengenali Maisara selama
tiga tahun, banyak mengajarnya erti pengorbanan. Apa yang dilakukan sebelum
ini, hanyalah sesuatu yang mementingkan diri sendiri. Tetapi berlainan dengan
Maisara yang lebih memikirkan orang lain berbanding dirinya.
Maisara hanya tersenyum mesra. “Aku hanya ikut Fariz. Kalau dia kata
jom, mesti aku pergi jumpa kau kat sana dengan anak-anak.”
Wajah Fariz dilirik Ilyana pula. “Entah Fariz ni! Bawalah Sara dan
anak-anak bercuti kat sana. Lepas dia balik sini tahun lepas, terus kau kurung
dia.” Ilyana memuncungkan bibirnya tanda merajuk.
“Ish! Mana ada aku kurung Sara. Kau yang dah bawa lari Sara! Tiga
tahun dia dengan kau. Tinggal aku sorang-sorang kat sini!” ujar Fariz
mengingati kembali saat-saat sulit mereka.
Ilyana dan Maisara berpandangan. Ada senyuman terukir di wajah
Ilyana. “Nak buat macam mana, Sara yang minta rahsiakan. So,
terpaksalah aku rahsiakan yang Sara dan anak-anak ada dengan aku!” Ilyana sudah
ketawa kecil melihat sikap Fariz yang seakan marah-marah manja dengannya.
“Sudah-sudahlah tu,” Khalid menyampuk. “Cerita yang lama jangan
diungkit lagi! Semuanya dah berakhir. Sekaranglah masanya untuk kita mulakan
cerita dan hidup yang baru sebagai satu keluarga!”
“Ya!” Masing-masing bersetuju dengan pendapat Khalid. Terukir
senyuman gambira diwajah masing-masing. Detik hitam dalam hidup mereka baharu
sahaja berlalu pergi. Awan hitam yang menutup mentari kini mula dibolosi oleh
cahayanya.
“Oh! I missed the kids!” Ilyana teringatkan
pula kepada Aiman dan Ayla. “Kenapa korang tak bawa Ayla dengan Aiman sekali?”
Dia dan Syarifah Nurain baharu sahaja tiba malam tadi dan pagi ini terus ke
mahkamah. Belum sempat untuk mereka menemui Aiman dan Ayla.
“Kau ni Yana, takkanlah nak bawa budak-budak datang court sekali!
Agak-agaklah.” Maisara menggeleng. “Budak-budak aku tinggal dengan tok mama
diorang.”
“Umi, malam ni kita jenguk anak-anak dulu sebelum pergi airport!”
ajak Ilyana sambil memandang Syarifah Nurain.
Syarifah Nurain menganggukkan kepalanya. Dia juga rindukan Aiman dan
Ayla. Anak-anak Maisara sudah seperti cucunya sendiri. Tiga tahun mereka
membesar di depan matanya. Nak sayangkan cucu sendiri, sayangnya Ilyana masih
belum berumahtangga.
“Itulah! umi suruh kahwin tak nak!” usik Syarifah Nurain.
Ilyana hanya tersengih dengan
usikan itu. Mereka yang lain pula sudah ketawa.
“Kenapa nak balik malam ni jugak? Bermalamlah di rumah,” ajak
Maimun. “Boleh lepaskan rindu dengan Ayla dan Aiman!”
“Tak bolehlah, kak,” ujar Syarifah Nurain. Wajahnya bertukar kecewa
“Kami terpaksa pulang malam ni jugak. Ada urusan penting.” Biasanya, jika
pulang ke Malaysia, mereka pasti bermalam di rumah Maisara untuk melepaskan
rindu pada Aiman dan Ayla. Namun, kesibukan kerja adakalanya membataskan waktu.
Maimun menepuk-nepuk bahu Syarifah Nurain. “Tak pelah kalau dah
macam tu.” Dia faham jiwa Syarifah Nurain yang juga kecewa kerana tidak dapat
meluangkan lebih masa di sini.
“Jom, kita ke rumah saya. Aiman dan Ayla mesti tengah bermain
sekarang ni!” ajak Ismail. “Lepas tu, bolehlah kita luangkan masa bersama!
Malam nanti, kami semua akan hantar Yana dan Ain ke airport,” kata Ismail kepada Syarifah Nurain.
“Jom! Jom!” Laju sahaja Ilyana menyetujui rancangan Ismail. Dia
sudah tidak sabar untuk memeluk tubuh kecil Aiman dan Ayla. Bagai kedengaran di
cuping telinganya panggilan amati oleh Aiman dan Ayla padanya. “Dah tak sabar
nak peluk cium budak-budak tu!”
Fariz hanya tergeleng-geleng melihat Ilyana. “Kau ni Yana, kenapa
tak kahwin-kahwin lagi ni? Kalau kau kahwin, kau pun dah ada anak.” Sikap
Ilyana yang kini kelihatan sangat menyayangi anak-anaknya amat menyenangkan
hati Fariz. Namun, dia sering merasakan yang Ilyana perlu mencari kebahagiaan
untuk dirinya sendiri dan mempunyai keluarga serta zuriat sendiri. Pastinya
hidup wanita itu akan lebih bermakna.
“Belum sampai serulah!” jawab Ilyana. Bukan dia tidak mahu berkahwin
tapi jodoh belum sampai. Apatah lagi, dia juga sibuk menguruskan perniagaan
yang telah dimulakan oleh Syarifah Nurain.
“Betulkan? Atau, kau belum jumpa pengganti Fariz?!” usik Zack pula.
Sengaja mahu menaikkan kemarahan sepupunya itu.
Mencerlung Ilyana memandang Zack. Pinggangnya dicekak. “Watch your mouth, Zack!” Dia khuatir
jika hati Maisara terguris dengan kata-kata itu.
Fariz dan Maisara sudah
berpandangan sambil ketawa. Sedikit pun mereka tidak ambil hati dengan usikan
itu. Maisara cukup kenal apa yang tersirat di dalam hati Ilyana.
“Its okay, Yana. Encik
Zack hanya bergurau,” ujar Maisara.
“Agak-agaklah kalau nak bergurau pun!” Ilyana sudah memuncungkan
bibirnya. Dahinya pula sudah berkerut.
“Sorry.” Zack memandang Ilyana. “Aku gurau je.” Zack mengangkat kedua-dua
tangannya sambil tertawa melihat wajah Ilyana yang kemerah-merahan menahan
malu.
“Kau pun sama, kenapa kau tak kahwin-kahwin lagi?” Giliran Ilyana
pula yang mengusiknya. “Jangan-jangan kau masih belum jumpa pengganti Sara
tak?” Ilyana ketawa.
Mereka yang lain menggelengkan kepala namun dibiarkan sahaja kedua
sepupu itu mengusik antara satu sama lain.
Fariz dan Maisara berpandangan sesama mereka dan tersenyum. Mereka
tahu, Ilyana dan Zack masing-masing sedang bergurau. Tiada apa yang patut
dianggap serius. Fariz mendekati Maisara lalu memeluk bahu isterinya.
“Tiada siapa yang boleh halang cinta kami!” Fariz menjongketkan
keningnya kepada Ilyana dan Zack. Maisara hanya membisu dan tersenyum malu.
“Hah! Tengok tu, Fariz dah marah dah!” ujar Zack. “Mana ada, aku dah
anggap Sara macam adik aku sendiri. Ilyana ni je, suka buat fitnah!” usik Zack
lagi.
“Mana ada! Kau ni, jahatlah Zack!” Semakin ketat wajah Ilyana dengan
usikan Zack. Bahu Zack dicubit-cubitnya dengan rasa geram.
Zack pula, sudah tergawang-gawang tangannya kerana cuba mengelak
dari cubitan Ilyana. Sikap Ilyana itu membuatkan Zack semakin galak
mengusiknya.
“Dahlah, jangan merajuk. Zack main-main saja tu,” Maimun mencapai
tangan Ilyana dan terus memeluknya. Sekaligus memberhentikannya dari mencubit
Zack. Dia tahu mereka sedang bergurau tetapi sengaja mahu dimenangkan Ilyana.
“Nanti makcik cubit-cubitkan Zack ni!”
Ilyana tertawa kecil dengan kata-kata Maimun. Hilang sudah muncung
panjangnya. “Betul tu makcik. Cubit dia sampai berdarah tau!” Mereka yang lain
sudah tertawa. Sifat manja Ilyana masih seperti dulu. Tetapi wanita itu sudah
berubah terlalu jauh hinggakan Ilyana dahulu sudah hilang dari dalam dirinya.
Syarifah Nurain menggelengkan kepala sambil tersenyum manis. Ilyana
dan Zack, masing-masing dibesarkan dalam suasana yang berlainan dan terpisah
kehidupan walaupun mereka bersaudara. Bila dah besar panjang begini, baru
hubungan mereka semakin baik, itupun setelah melalui pelbagai rintangan.
“Zack,” Syarifah Nurain mencapai tangan Zack dan menatap wajah di
depannya itu dengan rasa simpati. “Amati tak berkesempatan untuk mengenali Zack
dengan baik. Tapi, amati tetap ibu saudara Zack. Kalau ada apa-apa, jangan
segan-segan beritahu amati, ya.” Dia memang tidak akan tinggal di Malaysia,
tetapi dia tak mahu terputus hubungan dengan Zack.
“In Sha Allah, amati. Amati pun selalu-selalulah balik sini. Hanya amati dan Yana
saja, satu-satunya saudara saya yang masih ada.” Zack memandang wajah Syarifah
Nurain yang penuh dengan sifat keibuan itu.
“In Sha Allah, Zack.” Pandangan Syarifah Nurain beralih pula pada
Maimun. “Akak, akak tolong tengok-tengokkan Zack, ya. Selama ni, kami semua dah
abaikan dia sebagai saudara. Kali ni pula, saya tak dapat bersama dengan dia.”
Ada airmata yang menitis di pipi wanita itu.
“Jangan risau. Akak dah anggap Zack macam anak akak sendiri. Dia dah
jadi sebahagian dari keluarga akak. Akak akan jaga dia. In Sha Allah.” Hati Maimun
juga sebak melihat tangisan Syarifah Nurain. Lantas dia mendakap wanita itu
dengan erat.
Zack terus terdiam. Dia tidak menyangka wanita-wanita di depannya
ini begitu mengambil berat tentang dirinya. Betapa bertuahnya dia sedangkan
selama ini dia selalu merasa yang dia keseorangan di dunia ini.
“Umi dan makcik janganlah emosi sangat. Zack dah besarlah!” Ilyana
menyampuk. Hatinya juga terusik namun sengaja disembunyikan. “Tahulah dia jaga
diri sendiri. Kalau dah kahwin, dia dah jadi bapa budak dah,” Ilyana yang baru
sahaja menyapu airmatanya, cuba mewujudkan suasana ceria.
“Kalau aunty dengan umi risau sangat dengan Zack ni,
cari saja calon isteri untuk dia. Kasi kahwin terus!” usik Maisara pula.
Syarifah Ilyana dan Maimun tersenyum.
“Betul! Yana setuju. Zack pun dah semakin tua. Bila lagi dia nak
kahwin? Takkan berjanggut baru nak kahwin.” Ilyana mengambil kesempatan dari
kata-kata Maisara untuk mengusik Zack.
“Ish, sebab aku lebih tua dari kau dan berpangkat abang, jadi
sepatutnya aku pastikan kau kahwin dulu. Kemudian, barulah aku pulak,” bidas
Zack kembali. Ada sahaja usikannya untuk membalas semula usikan Ilyana.
“Mana boleh! Itu namanya, langkah bendul!” Ilyana mencebik.
“Betulkan Sara?” Dia memandang Maisara meminta sokongan.
Maisara hanya ketawa. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Mereka
yang lain juga hanya ikut ketawa. “Kalau susah sangat, kau orang berdua kahwin sesama
sendiri sudahlah,” Maisara mengusik kedua-duanya.
Ilyana dan Zack berpandangan untuk seketika. Kemudian, masing-masing
menggelengkan kepala. “Mana boleh!” Zack dan Ilyana bersuara serentak.
Mereka yang lain sudah ketawa besar.
“Aku tak inginlah orang macam kau!” Ilyana memandang Zack.
“Kau ingat aku sudi kalau kau teringin nak kahwin dengan aku?” Zack
mengerling.
“Apa salahnya. Apa kurangnya Zack ni, Yana?” usik Khalid.
“A’ah Zack, apa pulak kurangnya Yana ni?” Maimun pula mengusik Zack.
“Betul tu! Amati pun nak
tahu juga apa kurangnya anak amati ni di mata Zack,” Syarifah Nurain juga cuba
mengusik mereka.
“Umi!” Terbeliak mata Ilyana bila uminya juga turut mengenakan
mereka berdua.
“Amati,” Zack memeluk bahu Syarifah Nurain. “Anak amati ni, tak ada
kurangnya.” Dia memerhatikan Ilyana yang sudah bertudung litup itu. “Cantik,
baik, manja,” puji Zack. “Tapi, kalau boleh, tak naklah sepupu sendiri. Dah
macam adik Zack dah pun. Tak bolehlah nak di jadikan isteri. Tak sesuai!”
“Betul tu!” Tersenyum lebar Ilyana dengan pujian yang diberikan Zack
untuknya. “Tapi, kalau kau nak kahwin nanti, jangan lupakan kita orang kat
Paris tu!” Ilyana sudah mengingatkannya. “Sara, kalau ada apa-apa dengan abang
sepupu aku yang seorang ni, tolong update dekat aku!”
“Okey!” Maisara sudah tertawa.
Zack menggelengkan kepala. Senang hatinya melihat keakraban Ilyana
dan Maisara. Ilyana seringkali menghubungi Maisara ketika di Paris. Setiap kali
itu jugaklah, sepupunya itu pasti bertanya tentang dirinya.
“Dah! Dah! Semua jangan risaukan Zack. Pakcik, kan ada.” Ismail
menyampuk setelah lama menjadi pemerhati. “Sama-samalah kita berdoa yang
terbaik. Bukan sahaja untuk Zack tapi untuk seluruh keluarga kita.”
Terangguk-angguk kepala mereka yang lain.
“Dah, jom! Jangan buang masa lagi. Kita balik jumpa Aiman dan Ayla.
Kita bergabung sebagai
satu keluarga!” kata Khalid pula.
“Jom!”
No comments:
Post a Comment