Thursday, 23 February 2012

ILHAM HATI-1

Assalamualaikum dan salam sejahtera...buat semua pembaca blog ini....
Seperti yang pernah nyatakan novel Lukisan Cinta adalah adaptasi dari sebuah drama Korea yang bertajuk Cinderella Stepsister, hanya saya mahu menyelitkan isu Islamik ke dalamnya. Namun......

Disebabkan ramai pulak yang bertanya kepada saya tentang novel ini, maka dengan itu saya pun berfikir....berfikir...dan berfikir....(hehehehe) dan telah membuat keputusan untuk mengubah semua jalan ceritanya agar tidak ada sangkut paut dengan drama Korea itu lagi. Jadi, bila jalan ceritanya tidak lagi menjadi adaptasi dari drama Korea itu, jadi tajuknya pun telah saya ubah....

Dan saya mohon maaf dari hujung hijab hingga ke hujung kain, kerana semuanya telah di renovated, maka saya perlu postkan semula setiap N3. Harap maaf ya bagi anda yang telah membaca novel ini dari awal.

Untuk prolog, ada boleh masuk semula ke link-nya. Tak banyak yang saya ubah dalam post itu, hanya sedikit penambahan. Jadi dengan itu saya persembahkan....

ILHAM HATI

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%









Sembilan tahun sebelumnya………



PAK BAKAR yang sedang memandu melirik Tuan Helmi yang sedang membaca suratkhabar di belakang melalui cermin di depannya. "Tuan, kejap lagi kita dah nak masuk jambatan. Tuan nak singgah mana-mana dulu?" tanya Pak Bakar. Biasanya, Kalau Tuan Helmi berada di kawasan bandar, pasti dia mahu singgah ke mana-mana untuk membeli hadiah buat Tania.

"Hmmm....." Tuan Helmi menutup surat khabarnya. Apa lagi yang mahu dibelikan buat Tania. Minggu lalu, dia baru sahaja membeli sebuah iPad untuk Tania. Apa lagi yang mahu diberikannya untuk anak tunggalnya itu? "Tiap-tiap kali saya datang Penang, macam-macam yang saya belikan untuk Tania. Baju, kasut, beg. Minggu lalu, saya dah beli iPad untuk dia. Apa lagi yang boleh saya beli untuk Tania?" Tuan Helmi mula berfikir.

Pak Bakar melirik Tuan Helmi lagi. "Tuan, maaflah kalau saya nak cakap sesuatu," Pak Bakar dengan rasa bersalah, bersuara. "Saya tahu, tuan terlalu sayangkan Tania, tapi, adakalanya kasih sayang tak boleh ditunjukkan dengan kemewahan." Pak Bakar sering saja merasakan yang Tuan Helmi agak keterlaluan dalam memberikan kemewahan pada Tania.

"Maksud kamu?"

"Maksud saya, Tania perlukan perhatian, kasih sayang, bukan kemewahan. Apa yang tuan beri pada dia dah lebih dari cukup. Kadang-kadang tuan, kalau kita terlalu memanjakan anak dengan kemewahan, buruk padahnya."

"Hmmm...." Terangguk- angguk kepala Tuan Helmi kerana bersetuju dengan Pak Bakar. "Saya tahu, saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya selalu tinggalkan Tania. Sebab itulah kalau saya ke mana-mana, saya akan belikan sesuatu pada dia, untuk menunjukkan yang saya selalu ingat pada dia," terang Tuan Helmi.

"Tindakan tuan tu betul. Tapi tak semestinya pemberian dari tuan itu harus mahal-mahal dan mewah. Adakalanya, pemberian yang ringkas dan biasa lebih bernilai." Pak Bakar menerangkan lagi pendapatnya.

Tuan Helmi diam agak lama. Ada benarnya juga kata Pak Bakar. "Agak-agak kamulah, apa yang boleh saya bawa pulang untuk Tania kali ni?"

Pak Bakar sudah tertawa kecil mendengar pertanyaan Tuan Helmi. "Apa-apa saja yang dia suka." Pak Bakar menjeling cermin sekilas. "Tania anak yang manja. Saya lihat, dia suka sangat dengan anak patung. Mungkin, tuan boleh beli satu untuk dia."

"Tapi, dah banyak sangat anak patung dalam bilik dia tu." Tuan Helmi berfikir lagi. Memang benar, dah terlalu banyak sangat anak patung beruang dalam kamar Tania. Kebanyakan pekerjanya memang tahu yang Tania sangat menggilai anak patung beruang. Sebab itulah kalau mereka ke mana-mana, pasti mereka belikan satu untuk Tania.

"Tuan pernah hadiahkan untuk dia?" tanya Pak Bakat. Tuan Helmi menggeleng. "Haaa... Kalau macam tu, apa kata tuan hadiahkan satu untuk dia. Hadiah yang tuan berikan tentu lebih bermakna buat Tania."

Tuan Helmi tertawa. Kata Pak Bakar memang benar. “Kalau macam tu Bakar, kita singgah mana-mana kedai dan belikan satu untuk Tania, ya." Tuan Helmi tersenyum lebar. Dia sudah terbayangkan kegirangan Tania apabila menerima patung beruang darinya.

Sampai sahaja di sebuah kedai yang menjual anak patung, Pak Bakar terus memberikan signal untuk memakir. Ketika Pak Bakar hendak membetulkan cara kereta, dia masukkan gear 'reverse' untuk ke belakang. Tiba-tiba saja satu dentuman berbunyi. Pantas Pak Bakar menarik brek tangan setelah merasakan dia telah melanggar sesuatu. Bergegas Pak Bakar keluar dari kereta. Tuan Helmi yang duduk di belakang juga sudah meluru keluar.

Dengan penuh rasa terkejut, Pak Bakar dan Tuan Helmi berpandangan. Pak Bakar tidak melanggar sesuatu, tetapi seseorang! Wajah Pak Bakar dan Tuan Helmi sudah berubah. Bukan hanya seseorang, tetapi seseorang itu pula adalah seorang gadis yang kelihatan sebaya dengan Tania.

"Ya Allah...." Tuan Helmi terus memangku budak perempuan yang sudah tak sedarkan diri itu. "Angkat dia! Kita bawa dia ke klinik Doktor Iwan!" Kebetulan mereka berada di kawasan yang tidak jauh dari klinik Doktor Iwan. Dengan pantas Tuan Helmi mengangkat tubuh kecil itu masuk ke dalam kereta. Pak Bakar pula sudah mencapai beg galas yang dibawa budak perempuan tersebut.

Sampai sahaja di klinik Doktor Iwan, gadis muda itu dibawa masuk ke ruang periksa. Tuan Helmi dan Pak Bakar pula menunggu di luar dengan rasa gelisah. Entah apa yang perlu dijawab pada keluarga budak perempuan itu jika berlaku sesuatu ke atasnya.

Hampir empat puluh lima minit Dokto Iwan menghilang untuk memeriksa budak itu, barulah kelibat salah seorang jururawatnya muncul di depan mereka.

"Tuan, pakcik, Doktor Iwan panggil masuk," ujarnya.

Tuan Helmi dan Pak Bakar berpandangan seketika. Dengan rasa gelisah dan berdebar, mereka berdua melangkah ke dalam.

"Sila duduk Tuan Helmi, Pak Bakar," pelawa Doktor Iwan apabila melihat kelibat mereka berdua.

"Macam mana doktor?" soal Tuan Helmi.

Doktor Helmi kembali duduk di kerusinya dan bertentang dengan Tuan Helmi dan Pak Bakar. Wajah mereka berdua dipandangnya. "Di mana Tuan Helmi jumpa budak perempuan ni?" tanya Doktor Iwan.

"Kami terlanggar dia tadi. Dia tak sedarkan diri. Sebab tu, kami bawa dia ke sini," terang Tuan Helmi. “Teruk tak kecederaan dia?” soal Tuan Helmi.

"Dari pemeriksaan saya, budak perempuan ni tak mengalami kecederaan luar mahupun dalaman. Saya dah buat X-ray pada dia. Tapi, saya tak jumpa apa-apa." Wajah Tuan Helmi dan Pak Bakar yang seakan kebingungan dipandangnya. "Saya percaya, budak perempuan ni pengsan bukan kerana dilanggar oleh Pak Bakar dan Tuan Helmi."

"Maksud doktor?" Pak Bakar yang sememangnya sudah bingung terus bertanya.

"Saya dah periksa tekanan darahnya. Budak ni terlalu lemah. Nampaknya, budak perempuan yang Tuan Helmi dan Pak Bakar bawa ni, dah beberapa hari tak makan."

"Betulkah doktor?" Tuan Helmi mahukan kepastian.

"Saya yakin! Budak perempuan ni pengsan kerana kelaparan, bukan kerana dilanggar. Saya dah dripkan air masuk ke dalam badannya. Kita tunggu dulu. Biarkan budak tu berehat. Kita lihat perkembangan lanjutnya." Tersenyum Doktor Iwan apabila melihat Tuan Helmi dan Pak Bakar menarik nafas lega. “Tuan Helmi boleh tunggu sehingga budak perempuan tu sedar dan selamat untuk dibawa pulang?"

"Boleh... Boleh...." Tuan Helmi mengangguk. Namun kemudian dia teringat semula tentang tujuannya untuk membelikan hadiah buat Tania. "Tapi, sementara dia di sini, kalau boleh saya nak tinggalkan dia sekejap. Saya nak pergi beli sesuatu untuk Tania.”

“Boleh. Tak ada masalah.” Doktor Iwan yang sudah mengenali seluruh keluarga Tuan Helmi itu hanya bersetuju. Sudah lama dia menjadi doktor untuk keluarga Tuan Helmi. “Tania apa khabar?” Seraut wajah yang comel dan manja terus menerpa di ruang mata Doktor Iwan.

“Macam tulah doktor. Manja macam dulu jugak! Dah datang sini, saya ingat nak belikanlah sesuatu untuk dia. Kang nanti merajuk pulak kalau balik dengan tangan kosong,” Tuan Helmi tersenyum membayangkan anak manjanya itu.

“Tak apalah…. Yang penting, dia gembira,” ujar Doktor Iwan yang tahu Tania sudah tidak mempunyai ibu sejak usianya lapan tahun lagi. “Tak apalah Tuan Helmi, tuan boleh tinggalkan budak perempuan tu di sini.”

“Saya pergi dulu, doktor. Nanti saya datang balik.” Tuan Helmi sudah berdiri. “Mari, Bakar.” Pak Bakar menurut langkah Tuan Helmi.

Di dalam kedai yang menjual pelbagai cenderahati dan anak-anak patung, Tuan Helmi memilih satu anak patung beruang yang berwarna merah jambu untuk Tania. Tania memang suka sangat dengan warna merah jambu. Ketika mahu membayar di kaunter, ingatan Tuan Helmi melayang kepada gadis muda yang dilanggarnya tadi.

Terdetik di hatinya untuk membeli satu buat gadis itu sebagai tanda maaf darinya. Tuan Helmi kembali semula ke rak yang disusun penuh dengan anak patung beruang. Tuan Helmi mengambil satu anak patung yang berwarna krim untuk gadis itu dan berjalan semula ke kaunter. Selepas membayar untuk kedua-dua anak patung beruang, Tuan Helmi kembali semula kepada Pak Bakar yang menantinya di luar kedai.

Mereka berdua berjalan menuju ke klinik Doktor Iwan yang tak jauh dari situ. Sampai di sana Doktor Iwan membawa Tuan Helmi dan Pak Bakar menemui gadis muda itu. Kata Doktor Iwan, gadis itu sudah sedarkan diri.

Sampai sahaja di kamar rehat untuk pesakit, mereka melangkah ke dalam dan melihat gadis muda itu sedang duduk di katilnya. Sambungan drip masih ada ditangannya. Gadis itu memandang mereka silih berganti.

“Anak….” Tuan Helmi menghampiri gadis itu. Gadis itu mengelak. Dia tidak senang melihat lelaki asing yang cuba mendekatinya itu. Melihat reaksi yang kurang senang dari gadis muda itu, Tuan Helmi menghentikan langkahnya untuk mendekati gadis muda itu. “Anak sihat?”

Gadis itu hanya memandang Tuan Helmi.

“Anak tinggal di mana? Biar pakcik hantarkan,” sambung Tuan Helmi lagi. Gadis itu masih tidak memberikan apa-apa reaksi. Entah kenapa, melihatkan gadis itu hatinya tersentuh. Ada satu perasaan sedih, kasihan, simpati mula timbul untuk gadis ini. “Siapa nama anak?”

Gadis itu masih terus memandangnya.

“Tuan, lebih baik kita bawa budak ni ke balai polis.” Pak Bakar berbisik ditelinga Tuan Helmi. “Nampak gayanya, macam budak ni lari dari rumah.”

Gadis yang masih membisu mendengar perkataan Pak Bakar walaupun lelaki itu hanya berbisik di telinga Tuan Helmi. Tidak! Dia tidak mahu balik! Dia mahu pergi jauh dari sini!

“Pakcik hantar balik, ya,” pujuk Tuan Helmi lagi.

Gadis itu terus menarik tiub yang sedang bersambung di tangannya dengan kasar.

“Jangan! Biar saya keluarkan!” Doktor Helmi yang terkejut dengan tindakan gadis itu terus bersuara. Tetapi terlambat, gadis itu sudah menarik sehingga tangannya luka. “Tunggu!!” Doktor Helmi terus memegang gadis itu. “Biar saya lihat, takut kalau jarumnya masih tertinggal di dalam,” ujar doktor Helmi. Gadis itu hanya melemparkan saja sambungan tiub sehingga dia sendiri tak pasti jarum yang bersambung dalam urat darahnya sudah keluar dengan sempurna.

Doktor Helmi mencapai tangan gadis itu dan memeriksa lukanya. Nampaknya jarum yang masuk sudah terkeluar dan tidak tertinggal di dalam. Kemudian, Doktor Helmi mengambil kapas dan menahan luka ditangan gadis itu dan membalutnya.

“Lain kali jangan buat macam ni!” Tegas Doktor Helmi. Gadis itu hanya menjeling padanya. Gadis itu terlihat beg galasnya yang diletakkan di sudut ruangan itu, lalu mengambilnya dan ingin berlalu pergi.

“Tunggu!!” Tuan Helmi menghalang. “Anak nak ke mana? Biar pakcik hantarkan!” ujar Tuan Helmi. Dia gusar kalau-kalau apa yang dikatakan Pak Bakar benar. Iaitu gadis ini melarikan diri dari rumah.

“Saya tak nak ke balai polis!!” Gadis itu mencerlung memandang Pak Bakar dan kemudia memandang Tuan Helmi.

“Pakcik hantar balik rumah, ya? Rumah anak di mana?” Tuan Helmi masih berlembut dengan gadis itu.

“Saya nak pergi!!” Gadis itu memusing tubuhnya.

“Kamu belum bayar bil!!” Terus sahaja Doktor Iwan berkata begitu apabila melihat kedegilan gadis ini. “Kalau kamu nak keluar dari klinik saya, kamu kena bayar duit rawatan dulu!”

Gadis itu tertunduk.

Melihat keadaan begitu, tahulah doktor Helmi yang gadis ini tak punya wang. Mungkin benar telahan Pak Bakar yang gadis itu melarikan diri dari rumah. “Tuan ini akan membayar bil awak pada saya.” Dia menunjuk pada Tuan helmi. “Tapi awak kena ikut dia. Itu pun kalau awak mahu. Kalau tak, sekarang juga saya akan telefon polis,” ugut Doktor Helmi.

Gadis itu berfikir seketika. Nampaknya dia tak punya pilihan selain mengikut orang yang telah membawanya berjumpa doktor ini. Gadis itu melangkah ke depan Tuan Helmi. “Saya akan bekerja dengan Tuan sehingga hutang saya selesai.” Tajam matanya memandang Tuan Helmi sehingga Tuan Helmi bisa merasakan panahan dari pandangannya.

Doktor Iwan kemudiannya mempelawa Tuan Helmi ke biliknya semula. Pak Bakar pulak diarahkan untuk menunggu gadis muda itu.

“Tuan, saya harap tuan boleh lakukan sesuatu untuk gadis ini. Saya rasa, kata Pak Bakar betul. Mungkin gadis ini larikan diri dari rumah. Saya cadangkan, tuan hantar dia terus ke balai polis. Mana tahu orang tua dia sedang cari dia!” ujar Doktor Iwan.

Tuan Helmi bersetuju dengan Pak Bakar dan Doktor Iwan. Tapi, dia tak sanggup untuk menghantar gadis itu ke balai polis. Entahlah, bagai ada satu perasaan yang menyatakan yang dia perlu membawa gadis itu pulang bersamanya dan mencari sendiri di mana keluarga gadis ini berada.

“Terima kasih, doktor. Saya rasa, saya akan bawa budak ini pulang dengan saya dulu.”

“Terserah,” ujar Doktor Iwan. “Kalau ada apa-apa, Tuan boleh hubungi saya.”

“Baiklah. Terima kasih, doktor!” Tuan Helmi bersalaman dan kemudian meluru keluar dan menghampiri Pak Bakar dan gadis muda itu.

Tuan Helmi memandang gadis itu. Gadia itu hanya mengerlingnya seketika dan kemudian memandang ke tempat lain. “Jom! Anak ikut pakcik balik ya!” Tuan Helmi masih berlembut.

Pak Bakar yang melihat kelakuan biadap gadis itu sudah mula rasa marah. Mujurlah Tuan Helmi ada di situ, kalau tak dah lama budak perempuan ni kena dengannya. “Jalan cepat!!” arah Pak Bakar pada gadis itu setelah Tuan Helmi melangkah keluar. Dia tak mahu gadis ini melarikan diri.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%






     Ada dua lagu yang saya pilih ketika saya menulis novel ini. Dan ini adalah salah satu darinya.
















 

No comments:

Post a Comment