Tuesday, 14 February 2012

FLORA CINTA











HELLO!!!...... Ada sesiapa tak?" terkial-kial Adzam berpusing-pusing dalam kedai bunga itu. Dah hampir lima minit dia di situ, namun tiada bayang seorang manusia pun yang dilihatnya. Berani sungguh pemilik kedai bunga ni. Boleh pula ditinggalkan kedainya begitu sahaja. Tak takutkan kalau kedainya dicuri? Sambil melihat-lihat bunga-bunga di situ, matanya masih ligat mencari kelibat seseorang.

"Assalamualaikum...." Tiba-tiba satu suara halus menyapanya dari belakang. Terus badan Adzam berpusing menoleh ke arah empunya suara. Kelihatan seorang gadis yang memakai skirt labuh dan blaus biru bersama selendang dari warna yang senada sedang tersenyum memandangnya. "Boleh saya bantu encik?" tanya gadis itu.

"Waalaikummussalam," Adzam menjawap salam. "Saya nak beli bunga." Adzam menerangkan tujuan kedatangannya.

Gadis itu hanya mengangguk. Memang orang datang ke kedai bunga untuk membeli bunga. Gadis itu hanya bersuara di dalam hati.

"Encik nak beli bunga apa?"

"Hmmm......"Adzam memandang sekeliling. "Sebenarnya, saya tak tahu nak beli bunga apa." Wajah gadis itu dipandangnya semula. "Cik ...."

"Hana." Hana mengenalkan diri.

"Oh.... Cik Hana." Adzam mengangguk. "Saya Adzam." Adzam mengenalkan dirinya kembali. Hana mengangguk sebagai tanda menerima salam perkenalan itu. "Cik Hana, boleh tolong saya pilihkan bunga?"

"Insya-Allah.... Encik Adzam nak beli untuk siapa?" tanya Hana. Perlu tahu juga bunga itu mahu dihadiahkan untuk siapa. Tak semestinya hanya untuk kekasih, mana tahu lelaki ini membeli untuk temannya.

"Untuk kekasih saya," jawab Adzam berterus terang. Hana mengangguk. Rupanya, untuk kekasih juga. Jarang sangat dia bertemu dengan pelanggan yang mahu hadiahkan bunga untuk sahabat, teman dan mungkin juga keluarga. Memang bunga melambangkan cinta, tetapi cinta tidak tersekat pada satu takat sahaja. Cinta itukan luas!

"Untuk hari lahirnya?" tanya Hana lagi. Dia perlu tahu juga tujuan bunga itu diberikan.

"Hmmm...." Adzam menggaru-garu kepalanya. Untuk berterus terang terasa segan. Tapi, kalau tak berterus terang macam mana si penjual bunga ini akan tahu bunga apa yang perlu diberi.

"Teman wanita Encik Adzam merajuk?" Melihatkan lelaki itu seakan berat untuk bersuara, Hana cuba meneka. Riak wajah Adzam yang sedikit terkejut dipandangnya. Adzam tersenyum simpul pula.

"Lebih kurang…." jawab Adzam dengan sedikit rasa segan.

Hana hanya tersenyum. Patutlah Encik Adzam kelihatan malu-malu untuk berterus-terang. Masalah dengan teman wanita rupanya. Senang betul nak pujuk hati wanita ni, bukan perlu modal yang besar pun. Hanya dengan bunga, kebanyakkan hati wanita pasti akan terpujuk. Tapi biasanya, amalan itu dilakukan teman lelaki untuk teman wanita. Memang ada pelangganya yang bergelar suami menghadiahkan bunga untuk si isteri untuk memujuk isteri yang sedang merajuk. Tapi jumlahnya hanya mampu dikira dengan jari. Dari pengalaman teman-teman dan keluarga, suami jarang sekali memujuk isteri jika si isteri sedang merajuk. Akhirnya, si isteri yang akan memujuk hatinya sendiri.

"Dia suka bunga apa?" tanya Hana.

Adzam mengangkat bahunya. Dia tak pernah tahu bunga apa yang menjadi kesukaan kaum wanita. Malah dia tak pernah menghadiahkan bunga untuk mana-mana wanita sekali pun.

Hana mengetap bibir seketika. Susah juga kalau citarasa si gadis tak diketahui.

"Terus terang saya katakan Encik Adzam, saya tak tahu tentang makna-makna bunga. Ada setengah orang meletakkan setiap bunga dan setiap bilangannya punya maksud tertentu. Tapi, saya tak mengambil kira hal itu kerana setiap gadis punya kesukaan dan maksud tersendiri di balik bunga yang disukainya." Terang Hana. “Warna apa yang disukai teman wanita Encik Adzam?"

"Warna kuning," jawab Adzam.

"Kalau macam tu, kenapa Encik Adzam tak pilih saja salah satu jenis bunga yang berwarna kuning?" ujar Hana. "Di sini...." Hana mula melangkah menunjukkan setiap jenis bunga kuning yang ada. "Ada bunga tulip kuning, bunga matahari, bunga mawar kuning, bunga carnation."

"Hmmm....." Adzam menggaru kepalanya lagi. Sesungguhnya, dia hanyalah seorang lelaki yang tak pandai tentang bunga.

“Encik Adzam tak pernah belikan bunga untuk dia?” tanya Hana apabila melihat Adzam terkulat-kulat di situ. Adzam menggeleng. “Mungkin untuk orang lain, ibu atau kawan? Mungkin juga saudara?” Hana bertanya lagi.

“Inilah kali pertama saya masuk ke kedai bunga,” ujar Adzam. Hana tersenyum simpul. Baru pertama kali masuk ke kedai bunga rupanya!

“Maaf kalau saya bertanya, teman wanita Encik Adzam sukakan bunga?” Ada baiknya dia bertanya dahulu. Kalau selama ini Encik Adzam tak pernah membeli bunga kerana teman wanitanya tak suka pada bunga, tak perlulah Encik Adzam membelinya. Setahunya ada juga wanita yang tak sukakan bunga, tapi jumlahnya tak ramai.

“Teman wanita saya ni pelik sikit perangainya. Selama saya kenal dia, sekali pun dia tak pernah menunjukkan minat dengan bunga. Misalnya, kalau kita pergi restoran, kadang-kadang diorang letakkan bunga di tengah-tengah meja, kan?” Hana mengiakan. “Bunga itu pun dia tak pernah nak pandang. Biasanyalahkan, kalau saya tengok di televisyen, bila ada couple yang keluar makan, mesti girlfriend dia ambil bunga yang ditengah tu, dan cium. Tapi….. dia tak buat macam tu pun.” Sebenarnya, dia tak pasti pun tentang hal tu, cuma kadang-kadang dia ada juga terdengar staf di pejabatnya bercerita tentang drama yang ditonton mereka. Di mana ada satu babak yang menceritakan si gadis mencium bunga di restoran. Tapi, dia cuma dengar-dengar macam tu saja, bukan secara menyeluruh apa yang dibualkan mereka.

Hana sudah tertawa kecil. Adakah cerita di televisyen boleh dibandingkan dengan dunia realiti? Lagipun, seingatnya kalau ada si gadis mencium bunga itu pun, hanya jika si lelaki mengambil bunga itu dan memberikan pada si gadis.

“Drama TV tak sama dengan cerita sebenar Encik Adzam.” Tergeleng-geleng kepala Hana. “Dah berapa lama Encik Adzam kenal dengan teman wanita Encik Adzam?”

“Lamaaa…….. Dari kecil lagi!”

 Hana memandang Adzam. Lelaki itu nampak serius ketika berkata begitu. Tapi, kalau kenal dari kecil takkanlah tak tahu teman wanitanya sukakan bunga atau tak.

“Okey, begini, Encik Adzam sendiri ada ambil bunga yang ditengah meja tu dan beri pada teman wanita Encik Adzam?”tanya Hana. Adzam menggeleng. “Jadi, macam mana dia nak cium bunga tu. Cuba Encik Adzam ambil bunga tu dan hulurkan pada dia. Mesti dia ambil dan cium bunga tu.”

“Oh…..” Dia sendiri tak pernah tahu tentang hal tu. “Saya tak tahu pulak tentang itu.”

Hana tersenyum sambil menggeleng kepala. Memang tak romantik betul Encik Adzam ni!

“Macam nilah Encik Adzam…..” Hana melangkah di pasu yang menempatkan bunga kekwa. Bunga-bunga kekwa yang berwarna warni itu diambil setiap satu dari jenis warnanya. Sepuluh kuntum dan sepuluh jenis warna kesemuanya. “Bunga ni untuk si dia.” Hana menghulurkan kepada Adzam.

“Apa maksud bunga ni dan …..” Adzam mengambil dan mengira kuntumannya. “…sepuluh batang ni?”

“Macam yang saya katakan tadi, jenis, warna dan bilangan bergantung kepada persepsi masing-masing. Encik Adzam cuba beri bunga ni pada dia. Kalau dia tanya apa-apa pada Encik Adzam, Encik Adzam katakan bilangan itu tak penting kerana Encik Adzam pilih satu kuntum dari setiap warna. Dan setiap warna itu melambangkan cinta Encik Adzam yang berwarna-warni pada si dia,” cadang Hana. Wajah Adzam yang kelihatan berseri itu dipandangnya dengan senyuman. Rasanya lelaki ini bersetuju dengannya. “Macam mana?”

“Okey!” Pantas sahaja Adzam bersetuju. “Awak tolong balut cantik-cantik ya!” Adzam menghulurkan semula kepada Hana. Hana mengambil bunga-bunga itu dan meriaskanya cantik di dalam pembalut yang diikat dengan reben.

“Ini dia, Encik Adzam!” Setelah siap, Hana menghulurkan pada Adzam yang sedang menunggu di sofa yang diletakkan berhampiran dengan kaunter.

“Wow!! Cantik! Pandai awak gubah ya. Tentu dia suka!” ujar Adzam. Adzam menghulurkan bayaran kepada Hana.

Good luck Encik Adzam! Saya harap Encik Adzam akan berjaya pujuk si dia dan moga si dia akan sukakan bunga tu.” Hana terus tersenyum mengiringi langkah Adzam yang sedang keluar dari kedai bunganya. Hana tersenyum sambil menggelengkan kepala.

Setiap pengunjung yang datang, pasti bertanya tentang maksud bunga, warna dan bilangan. Tak bolehkah mereka menilai sesuatu yang lebih dari itu? Kalau mereka membeli bunga dan bertanya maksudnya, adakah mereka pasti si penerima tahu maksudnya juga? Maksud yang dilafazkan secara lisan dengan hati yang ikhlas, tentu lebih tinggi nilainya dari semua ini.



+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Selang tiga hari berikutnya, Adzam datang lagi dengan wajah yang ceria ke kedai bunga Hana. Hana yang melihat kelibatnya, sedah melemparkan senyuman untuk Adzam dari jauh.

“Assalamualaikum…..” Azham memberi salam sebaik sahaja pintu cermin dibuka dari luar.

“Waalaikummussalam…..” jawab Hana. “Saya tak sangka Encik Adzam akan datang lagi ke sini. Encik Adzam nampak ceria. Tentu ada perkara yang baik, kan?” Hana masih teringat tentang masalah yang diberitahu Adzam tempoh hari ketika dia datang mencari bunga untuk teman wanitanya. Adzam yang sedang berdiri di kaunter bertentang dengan Hana, hanya tersenyum simpul.

“Awak tahu, dia suka sangat dengan bunga yang awak beri.”

“Alhamdulillah…. Tapi, bunga itu Encik Adzam yang beri, saya hanya pilihkan untuk Encik Adzam.” Hana membetulkan balik kenyataan Adzam. Azham ketawa kecil. “Jadi, nampaknya teman wanita Encik Adzam sukakan bunga,” kata Hana. Adzam mengaangguk sebagai mengiakannya. “Encik Adzam ke sini sebab nak dapatkan bunga untuk dia lagi?”

“Ya. Tapi saya juga nak ucap terima kasih untuk awak sebab dah bantu saya.”

“Perkara kecil saja Encik Adzam. Saya selalu membantu semua pelanggan saya.” Memang begitulah biasanya. Pasti sahaja dia akan membantu, kerana itu adalah tugasnya sebagai pemilik kedai. Kalau tidak, bagaimana bisnesnya akan maju. “Jadi, Encik Adzam ada tanya pada si dia bunga apa yang dia suka?”

“Tak!” Adzam menggeleng. “Sebab, saya rasa dia akan suka apa saja yang saya beri. Selama ni pun, kalau dia tak suka dia tetap terima hadiah saya. Tapi, saya yakin dia memang sukakan bunga!”

Hana hanya tersenyum. Adzam terlalu ambil mudah tentang teman wanitanya. Tapi syukurlah teman wanitanya menerima apa saja pemberian Adzam. Alangkah lebih baik kalau Adzam turut mengambil berat apa yang disukai si dia. Tentu si dia akan rasa lebih dihargai.

“Encik Adzam bertuah sebab dapat teman wanita yang macam tu. Bukan senang tau nak dapat orang yang menerima diri kita seadanya.”

“Betul!!” Adzam menyokong.

“Kalau macam tu, apakata Encik Adzam belajar untuk tahu apa yang disukai si dia. Tentu dia akan rasa lebih dihargai,” Dalam pujian Hana menyelitkan sedikit nasihat. Adzam menggosok dagunya seakan berfikir.

“Betul jugak kata awak. Selama ni saya selalu abaikan hati dia. Saya tak pernah pun ambil tahu apa yang dia suka dan apa yang tidak.” Adzam menghembus nafasnya. “Terima kasih Cik Hana. Insya-Allah, saya cuba…”

“Baguslah kalau macam tu.” Hana tersenyum mendengarnya. “Jadi, untuk hari ni Encik Adzam mahu bunga apa untuk si dia?”

“Hmmmm….” Adzam berfikir lagi. “Apakata, awak tolong sekali lagi.”

Hana sudah tertawa mendengar permintaan itu.

“Baiklah. Tapi makesure lepas ni, kalau Encik Adzam nak beli bunga untuk si dia lagi, Encik Adzam kena tahu bunga apa yang dia suka.”

“Baiklah….” Adzam mengangkat tangan seakan berjanji. “Jadi, bunga apa yang Cik Hana nak pilih untuk saya?” Hana berjalan keluar dari kaunter dan menyelusuri lorong-lorang kecil di dalam kedai bunga itu. Dia memerhatikan sekeliling.

“Bunga tulip ni baru datang pagi tadi. Masih segar. Baunya pun harum.” Hana mencapai sekuntum bunga tulip merah dan diberikan kepada Adzam.

Adzam mencapai dan menghidunya. Memang wangi dan terasa kesegarannya.

“Kali ni Encik Adzam pilih sendiri, nak warna merah, kuning, pink atau putih?” Hana menyuruh Adzam membuat pilihan.

“Pilihan saya…..hmmm…. Saya pilih apa yang dipilih Cik Hana.” Adzam sudah tersenyum simpul bila berkata begitu.

“Mana boleh macam tu!” Hana sudah mengetap bibirnya.

“Tolonglah saya Cik Hana….” rayu Adzam. “Kali ni je…”

Hana menghembus nafasnya.

“Baiklah! Tapi ini kali yang terakhir tau!” Hana menggeleng melihat Adzam yang sudah tersenyum gembira. “Kali ni Encik Adzam saja suka-suka bagi atau ada sebab?” tanya Hana.

“Kali ni, saya saja suka-suka nak beri sebab…. Saya kena pergi outstation untuk dua minggu. Jadi selama itu, saya tak boleh nak jumpa dengan dia.”

“Kiranya, ada sebab jugaklah. Bukan suka-suka.” Hana membetulkan lagi kenyataan Adzam. Adzam hanya tersenyum.

Hana sudah menggeleng. Harap-harap kebaikan yang ditunjukkan Adzam pada teman wanitanya akan berlanjutan sehingga mereka menjadi suami isteri. Biasanya, bila lelaki sudah bergelar suami, mereka tidak meneruskan lagi rutin yang sama ketika menjadi teman lelaki.

“Saya pilih bunga tulip putih sebagai tanda sucinya ingatan Encik Adzam padanya ketika Encik Azdam meninggalkan si dia kerana tugas. Dan juga sebagai tanda sucinya percintaan Encik Adzam dengannya ketika berjauhan.”

"Wow….. Sangat hebat!!” Adzam memuji.

“Terima kasih. Tapi, tentu lebih hebat kalau Encik Adzam yang pilih sendiri,” balas Hana.

Adzam hanya ketawa kecil. Hana mengambil tulip putih itu dan membalutnya dengan kreativiti tersendiri. Usai membalutnya, Hana menyerahkan pada Adzam.

“Awak memang hebat Cik Hana.” Adzam memang tertarik dengan corak pengubahan Hana. Sangat indah dan penuh kreatif.

“Terima kasih Encik Adzam.”

“Saya akan bertolak malam ni. Dua minggu lagi saya datang sini untuk….”

“Beli bunga untuk dia, kan? Encik Adzam mahu hadiahkan bunga ketika berjumpa dengan dia setelah dua minggu tak berjumpa?” Hana meneka. Adzam ketawa besar bila tekaan Hana tepat.

“Okeylah, saya pulang dulu.” Tanpa mengiakan tekaan Hana, Adzam meminta diri. “Jumpa lagi. Assalamualaikum…”

“Waalaikummussalam…. Jumpa lagi!”



+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Dua minggu kemudian………




“Assalamualaikum Cik Hana,” sapa Adzam. Hana yang sedang sibuk menyemburkan air untuk menyegarkan bunganya terus berpaling ke belakang.

“Waalaikummussalam…. Encik Adzam…” Hana memandangnya dari atas ke bawah. Wajah Adzam kelihatan letih dan berminyak. “Encik Adzam baru sampai?” tanya Hana.

“A’ah… Saya baru sampai. Terus datang sini, tak sempat nak balik rumah.” Adzam sudah terduduk di sofa.

“Laa…. Kenapa tak balik rumah dulu? Mandi, berehat, barulah segar. Ini mesti sebab dah tak sabar nak jumpa dengan si dia.” Hana juga sudah melabuhkan punggungnya dan duduk bertentangan dengan Adzam.

“Saya datang sini nak beli bunga dulu. Lepas beri bunga pada dia, barulah saya mandi dan berehat sepuas-puasnya. Lagipun, saya ada masa dua hari untuk berehat.”

“Encik Adzam dapat cuti dua hari?” tanya Hana. Adzam menangguk. “Baguslah macam tu. Dapat berehat lama sikit.”

Adzam mengangguk bagai menyetujui kata-kata Hana.

“Cik Hana, boleh saya tinggalkan barang saya dekat sini dulu?” Azham menunjukkan bagasinya. Hana baru terperasankan bagasi yang dipegangnya.

“Encik Adzam datang sini dengan apa?” Persoalan itu mula timbul.

“Saya tumpang kawan. Saya minta dia turunkan saya dekat sini. Balik nanti, saya naik teksi saja,” jawap Adzam. “Boleh tak Cik Hana tengok-tengokkan barang saya? Saya ingat nak ke masjid depan tu dulu. Saya belum solat lagi ni.” Tanya Adzam sekali lagi.

“Boleh…” Pantas Hana menganggukkan kepalanya. Sejuk hatinya mendengar Adzam yang mahu ke masjid untuk bersolat. Tentu dia seorang lelaki yang baik.

Hampir empat puluh lima minit menghilang, Adzam muncul kembali bersama senyumannya. Wajahnya kelihatan segar sekali. Pakaiannya juga sudah ditukar lain.

"Assalamualaikum, Cik Hana."

"Waalaikummussalam.... Encik Adzam." Hana membalas senyumannya. "Dah solat?" Sengaja Hana bertanya walaupun sudah nyata yang Adzam baru datang dari masjid yang berdekatan.

"Alhamdulillah…." Adzam tersenyum.

"Ini beg Encik Adzam," Hana menyerahkan bagasi Adzam.

"Terima kasih sebab tolong jaga," Adzam mencapainya.

"Sama-sama," balas Hana. "Okey, Encik Adzam masih belum beritahu saya bunga apa yang Encik Adzam mahu kali ni." Hana mengingatkan semula. Adzam diam seketika.

"Cik Hana, sebelum kita ke soal bunga, boleh tak kalau kita berbual sekejap?" tanya Adzam. Berkerut kening Hana. Dia memandang Adzam. Raut wajah lelaki itu kelihatan tegang.

"Ada apa ni Encik Adzam?" tanya Hana. Adzam mengukirkan senyuman apabila melihat wajah Hana yang sudah berkerut.

"Kalau saya nak minta pendapat Cik Hana sikit, boleh?" tanyanya.

“Pendapat?” Pelik Hana dengan sikap Adzam. Baru kenal beberapa hari tapi dia sudah mahu meminta pendapatnya. Tak apalah, dengar saja. "Tentang apa?"

"Begini,” Adzam sudah membetulkan cara duduknya. “Kalaulah ada seorang lelaki sukakan seorang wanita dan ingin menikahinya, tetapi keluarga si lelaki pula yang tak suka, macam mana?"

"Ish.... Berat soalan ni Encik Adzam." Hana masih belum sempat berfikir ke soal yang jauh begitu. Apatah lagi dia sendiri masih menyendiri. "Saya tak pastilah Encik Adzam sebab saya pernah tak mengalami situasi macam tu."

"Cik Hana tak ada..... boyfriend?" soalan Adzam itu membuatkan Hana tergelak.

"Saya cuba mengamalkan kehidupan sebagai seorang muslimah sejati. Dalam Islam, tak ada istilah cinta untuk sepasang kekasih. Hanya yang ada cinta suami dan isteri," terang Hana.

Terangguk-angguk kepala Adzam. Ada sedikit kagum dengan pegangan hidup Hana.

"Kalaulah Cik Hana berada dalam situasi seperti yang saya katakan. Misalnya, Cik Hana punya teman lelaki tetapi ibunya tak sukakan Cik Hana. Apa yang Cik Hana buat?" Adzam sudah memandang tepat ke wajah Hana.

"Susah jugak tu.... Sebab, adakalanya perasaan cinta seseorang pada pasangan terlalu membabi buta. Biasanya macam tulah….. Macam filem Titanic, you jump I jump. Tapi, kalau kita pandai kawal hati kita, Insya-Allah, kita akan tahu bahawa Allah Penentu Segalanya." Hana menarik nafas panjang. "Kalau sayalah yang berada di tempat wanita itu, rasanya saya tak sanggup nak teruskan hubungan tanpa restu orang tua."

“Maksudnya, Cik Hana tak berani nak perjuangkan cinta Cik Hana?” soal Adzam. Hana tersenyum.

“Bukan macam tu. Memperjuangkan cinta bila kita punya ikatan yang sah! Bukan pada hubungan yang langsung tak diiktiraf dalam Islam. Insya-Allah, kalau saya berkahwin nanti dan rumahtangga saya bergoyang, saya akan cuba pertahankannya,” terang Hana. Adzam menggosok dagunya seakan berfikir.

"Saya setuju dengan Cik Hana!" Kemudian Adzam bersuara. “Tapi…. Kalau kita dah terlalu cinta…” Adzam memikirkan sesuatu.

"Begini Encik Adzam,” Hana menyambung ujarannya tanpa membiarkan Adzam meneruskan kata-katanya. "Dari pengalaman seorang teman saya, dia berkahwin dengan seorang lelaki yang dicintai. Mereka menjadi pasangan kekasih hampir lima tahun sebelum bernikah. Ketika membuat keputusan untuk bernikah, ibu teman lelakinya tak bersetuju. Tapi dirahsiakan dari pengetahuan kawan saya. Teman lelakinya mengugut pada ibunya, kalau dia tak berkahwin dengan kawan saya, dia akan tinggalkan rumah. Jadi, disebabkan ugutan itu, ibu teman lelakinya bersetuju untuk menikahkan mereka. Lepas dah bernikah, Si ibu yang sebenarnya dah punya calon menantunya menggunakan sihir untuk meruntuhkan rumah tangga mereka sehingga akhirnya mereka bercerai. Suaminya menceraikannya ketika dia sedang mengandung tiga bulan. Dia ditinggalkan begitu saja.” Hana tertunduk hiba. “Kasihan….. Anak yang menjadi mangsanya. Dilahirkan tanpa kasih dan perhatian seorang ayah."

Hana menarik nafas panjang. Ada rasa kesedihan dari suaranya. Adzam tertunduk sepi seketika.

"Encik Adzam, kalau sekiranya ibu Encik Adzam tak suka pada teman wanita Encik Adzam, lebih baik Encik Adzam turutkan sahaja kemahuannya. Kalau Encik Adzam tetap mahukan teman wanita Encik Adzam menjadi isteri, carilah jalan untuk satukan ibu Encik Adzam dan teman wanita. Kalau boleh, janganlah memaksa ibu Encik Adzam untuk menerima dan meminang di luar kerelaannya. Jangan pula dirahsiakan dari teman wanita kalau benar ibu Encik Adzam tak suka padanya.” Hana memandang Adzam. “Kalau encik Adzam mendesak ibu Encik Adzam untuk menerima teman wanita Cik Adzam, saya takut rumahtangga itu tidak kekal.”

“Awak percaya pada sihir?” tanya Adzam.

“Sihir telah diterangkan dalam Al-Quran. Salah satunya, surah Al-Baqarah ayat 102.” Hana memandang Adzam. “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengerjakan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.” Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarkan (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.”

Suasana sepi seketika.

“Tapi saya yakin ibu saya takkan guna cara kotor macam tu! Dengan perbuatan syirik!” Adzam menyangkal.

“Tiada siapa tahu Encik Adzam! Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang akan berlaku.” Hana cuba menyedarkan Adzam. “Kasihan isteri Encik Adzam…… Kasihan anak-anak Encik Adzam nanti kalau sesuatu berlaku." Adzam meraup wajahnya dengan tapak tangan. “Macam yang saya katakan tadi, kalau Encik Adzam terlalu sayangkan teman wanita Encik Adzam, satukan dia dengan ibu Encik Adzam.”

Hana memandang Adzam yang masih tunduk membisu. Hana diam seketika untuk memberi ruang pada Adzam.

“Encik Adzam, dari apa yang saya lihat, Encik Adzam seorang lelaki yang baik dan penurut perintah Allah. Syurga seorang isteri terletak pada suami dan syurga seorang anak terletak pada ibunya. Orang yang berhak atas seorang wanita adalah suaminya dan orang yang berhak ke atas lelaki adalah ibunya. Bukankah itu bermakna, Encik Adzam dan bakal isteri Encik Adzam nanti, perlukan restu dari ibu Encik Adzam?”

“Apa jadi dengan kawan awak sekarang?” tanya Adzam setelah lama mendiamkan diri.

“Macam tulah. Hidup perlu diteruskan. Dia mengumpul kekuatan demi amanah yang Allah berikan padanya, anaknya.” Hana mengetap bibir. “Saya harap apa yang telah dilakukan bekas suami dia dan keluarga mentua dia, takkan dilakukan Encik Adzam dan keluarga Encik Adzam. Nauzubillah….” Suasana sepi seketika.

“Nauzubillah…..” Adzam memejamkan matanya seketika. “Terima kasih atas nasihat dan waktu awak yang awak dah habiskan untuk saya.” Adzam memandang Hana dengan senyuman. Hana membalas senyuman melihat wajah itu sudah kembali ceria.

“Jadi, berbalik pada niat asal Encik Adzam, bunga apa yang dipilih Encik Azam?” Hana kembali bertanyakan soalan itu.

“Saya nak……” Adzam memandang sekeliling seketika. “Sekuntum bunga dari setiap satu jenis dan warna!” Yakin sekali Adzam dengan pilihannya.

“Wow!!! Satu warna dari setiap satu jenis?” Terlopong Hana. Adzam mengangguk. “Banyak tu Encik Adzam!”

“Setelah awak sedarkan saya, saya rasa inilah hadiah yang paling bermakna dan paling bernilai untuk diberikan kepada teman wanita saya. Saya namakannya sebagai, Flora Cinta!”

“Flora Cinta?” Ada rasa kagum yang terukir dari raut wajah Hana. “Kenapa?”

“Kerana Flora Cinta ini akan sentiasa mengharum dan mewangi sehingga akhir nafas.” Adzam memandang Hana. “Ops…. Sebelum saya terlupa, Encik Hana…” Adzam menyeluk kocek seluarnya. “ini jemputan untuk ke majlis makan bersama teman wanita saya.”

“Ish… Apa pulak ni Encik Adzam?!” Hana terasa segan. Sudahlah tak mengenali teman wanita Adzam, tapi dijemputnya pula datang ke majlis.

“Ini permintaa dari teman wanita saya. Dia suka sangat dengan bunga-bunga yang awak pilih. Jadi, dia minta saya jemput awak datang ke majlisnya.” Adzam menghulurkan kad jemputan itu. Dengan rasa ragu, Hana menyambutnya juga. “Jangan lupa tau! Malam ni!”

“Dia suka dengan bunga saya pilih?” Ada satu kekeliruan di situ.

“Sebenarnya Cik Hana, saya tak pernah rahsiakan dari dia yang bunga-bunga tu, bukan saya yang pilih. Dia tahu, itu semua dari pilihan awak,” Adzam berterus terang. Hana sudah tertawa kecil. Jujur sungguh Encik Adzam pada teman wanitanya.

“Saya harap Flora Cinta Encik Azdam akan bersemi dan berkembang mekar,” ucap Hana.

“Aamiin…” Adzam tersenyum.



+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Hana masuk ke perkarangan rumah yang pintu pagarnya sudah siap terbuka luas. Kelihatan seorang wanita sedang menyiapkan meja-meja dan hiasan di halaman depan rumah. Hana membaca semula alamat yang tertera di kad jemputan. Rasanya dia sudah tiba ditempat yang betul.

“Assalamualaikum….” Hana menyapa dari luar.

“Waalaikummussalam…” Wanita yang sedang sibuk itu terus mengangkat wajahnya memandang Hana. Matanya terpaku seketika pada Hana. Hana mengukirkan senyuman. Perlahan-lahan wanita itu menghampiri Hana, namun matanya masih belum lepas memandangnya.

“Makcik…..” Hana menjadi kelu. Dia terlupa untuk bertanya nama teman wanita Encik Adzam. Di dalam kad ini juga tidak diletakkan namanya. Jadi, macam mana dia nak tanya sama ada ini rumah teman wanita Encik Adzam atau tidak. Bayang Encik Adzam pun tak kelihatan.

“Hana!!” Terus sahaja wanita tua itu memeluk Hana sebaik sahaja menyebut namanya. Hana yang di dalam pelukannya terpinga-pinga. Bagaimana makcik ini mengenalinya. “Anak ni Hana, kan?” tanya wanita itu bila pelukan dileraikan. Hana mengangguk.

“Macam mana….”

“Jom!! Masuk!!” Terus wanita itu menarik tangan Hana untuk masuk ke dalam sebelum sempat hana bertanya apa-apa.

Sampai sahaja di dalam, satu lagi kejutan yang ditemui Hana. Kedua-dua orang tuanya juga ada di situ. Terus sahaja ibunya menghampiri Hana apabila melihat kelibatnya.

“Duduk sekejap ya, Izza, Hana. Saya nak ke belakang sekejap,” ujar wanita yang membawa Hana masuk sebentar tadi.

“Ada apa-apa nak bantukah Maria?” tanya Izza padanya.

“Tak apa! Jangan susah-susah! Izza dan Hana, kan tetamu!” Maria tersenyum. “Sekejap ya.” Maria terus hilang dari situ.

“Hana buat apa kat sini?” tanya Izza, ibunya.

"Ini…. rumah… kawan Hana!” Tergagap-gagap Hana berkata. Dia sendiri tak pasti sama ada mahu mengaku teman wanita Encik Adzam yang tidak dikenali itu sebagai kawan. “Ibu buat apa kat sini?” soal Hana kembali.

“Tadi, masa sebelum keluar rumah, kan ibu dah cakap yang ibu nak ke rumah kawan ibu. Ibu ajak Hana, tapi Hana tak nak!” Memang benar, sebelum keluar tadi memang ibu ada mengajaknya ke rumah kawan ibu tapi ia menolak kerana mahu menghadiri jemputan Encik Adzam. Tapi tak sangka pula boleh bertemu dengan ibu di sini. “Kawan Hana tinggal dekat sini? Siapa?”

“Hmmm….” Hana kehilangan kata.

“Siapa? Setahu ibu, Aunty Maria cuma ada seorang anak lelaki saja.” Dahi Izza mula berkerut. Tapi bukan dahi Izza saja, dahi Hana juga sudah berkerut. Seorang anak lelaki? Takkan teman wanita yang dimaksudkan Encik Adzam itu adalah lelaki? Kalau betul, memang patut sangatlah ibu Encik Adzam tak merestui hubungan mereka. Tapi, tak mungkinlah!! Encik Adzam seorang lelaki yang baik!! “Hana berkawan dengan anak lelaki Aunty Maria?”

“Tak!!” Pantas Hana menggeleng. Dia tak kenal siapa anak lelaki Aunty Maria.

“Ada apa ni?” Badir, abah Hana pula menghampiri. “Kenapa Hana tak ikut tadi? Kan senang datang sama-sama?” Abah yang tak tahu hujung pangkal pula berkata. Hana hanya mengukir senyuman. Dia sendiri pun dah keliru dengan apa yang berlaku. Siapa sebenarnya teman wanita Encik Adzam ?

“Izza, Badir…..” Satu suara garau menegur mereka. Pantas mereka semua beralih memandang susuk tubuh seorang lelaki tua yang masih segak.

“Azlan!!” Badir berpelukan dengan lelaki itu. Hana hanya menjadi pemerhati.

“Izza apa khabar?” mata Azlan menyorot pada Izza pula.

“Alhamdulillah…” Izza mengangguk.

“Lama kita tak jumpa!” Terlukis wajah ceria di wajah Azlan dan Badir.

“Ini mesti Hana, kan?” Sorotan mata Azlan jatuh pula pada Hana. Hana hanya mengangguk bersama senyuman. “Dah besar anak uncle!” Ada raut wajah yang ceria di situ. “Mari… mari… kita berbual dekat sana. Lama dah tak jumpa!!” Azlan mengajak mereka masuk ke ruang tamu ke dua.

Hana yang masih keliru ingin mengekori sahaja langkah mereka yang lain. Tetapi, tiba-tiba matanya menangkap tubuh seseorang yang sedang bersandar di muka pintu sambil berpeluk tubuh. Wajah itu sedang memandangnya bersama senyuman.

“Encik Adzam?!!” Terkejut Hana melihat kelibat itu di situ. Sedikit lega di rasakan. “Encik Adzam baru sampai?” tanya Hana. Adzam yang masih tersenyum menghampiri Hana.

“Cik Hana dah lama sampai?”

“Baru jugak,” ujar Hana. “Mana teman wanita Encik Adzam? Saya tak nampak pun.” Hana memandang sekeliling. “Ini rumah Encik Adzam atau rumah teman wanita Encik Adzam?” Hana semakin keliru. Terdapat satu gambar Adzam bersama Aunty Maria dan Uncle Azlan.

“Rumah saya,” ujar Adzam.

“Oh…” Terangguk-angguk kepala Hana. Patutlah kata ibu Aunty Maria cuma ada seorang anak lelaki. “Teman wanita Encik Adzam?”

“Teman wanita saya nak adakan majlis ringkas di sini. Sekadar nak menyambung silaturrahim,” ujar Adzam. Terangguk-angguk kepala Hana.

“Maknanya, ibu Encik Adzam dah boleh terima teman wanita Encik Adzam.” Hana tumpang gembira sekiranya begitu.

“Saya tak pernah cakap pun yang soalan yang saya tanya pada awak tu adalah tentang saya.” Adzam tersenyum simpul.

Dahi Hana berkerut. Wajah Adzam yang sudah tersengih-sengih itu dipandangnya. Ah… biarkan sajalah!!

“Tak sangka pulak yang parent saya dan parent Encik Adzam sebenarnya bersahabat,” kata Hana. Adzam hanya tersenyum lebar. “Mana teman wanita Encik Adzam?”

“Ada di dalam! Cik Hana tak jumpa dengan dia lagi?” tanya Adzam. Hana menggeleng. “Saya ingatkan Cik Hana dah jumpa dia sebab masa saya jumpa dia tadi, dia kata Cik Hana memang cantik orangnya,” beritahu Adzam.

Hana mengetap bibir. Macam mana pulak teman wanita Encik Adam boleh berkata begitu sedangkan dia belum berkenalan lagi dengannya.

“Tak apalah…. Jom saya kenalkan awak dengan dia!” Adzam mempelawa Hana untuk mengikutnya.

Hana hanya mengikuti langkah Adzam yang semakin menghampiri keluarga mereka. Sampai sahaja di di tepi Aunty Maria, Adzam terus memeluk ibunya itu. Mereka yang lain hanya memerhati. Satu cubitan sayang singgah di pipi Adzam dari Aunty Maria. Hana hanya tersenyum melihat kasih sayang itu. Adzam kemudiannya berpaling memandang Hana.

“Cik Hana, inilah teman wanita saya. Wanita yang paling saya sayang dan akan terus saya sayangi sehingga ke akhir hayat saya.”

Hana terkesima seketika. Rupa-rupanya selama ini, teman wanita yang dimaksudkan Adzam adalah ibunya? Jadi, selama ini wanita yang mereka sering ceritakan itu adalah ibunya! Hana tersenyum dengan penuh rasa terharu. Encik Adzam memang seroang anak yang baik! Yang sentiasa menyayangi ibunya!

“Mama tunggu sekejap.” Adzam hilang ke dalam. Izza dan Badir memandang Hana.

“Hana kenal dengan Adzam?” tanya Badir. Hana hanya mengangguk. “Macam mana Hana boleh kenal dengan Adzam? Adzam, kan baru saja balik dari luar negeri?”

“Biarkanlah Badir….” Azlan menepuk bahu sahabatnya. “Biarkan soalan tu dulu. Itu semua, aku dan Maria akan cerita. Sekarang ni, kita tengok saja apa yang akan berlaku.”

Hana hanya tertunduk dan membisu. Dia sendiri tak tahu nak terangkan apa kerana dia sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku di sini.

Tak lama kemudian, Adzam keluar bersama Flora Cinta di tangannya. Mata mereka semua sudah terpana ke arahnya.

“Di sempana majlis ini, yang diadakan antara dua keluarga bersahabat, saya persembahkan jambangan Flora Cinta yang digubah khas oleh Cik Hana. Jambangan yang melambangkan cinta sepenuh hati ini saya hadiahkan buat bonda saya yang tercinta.” Tepukan bergema. Maria sudah mengalirkan airmata gembira di situ. “saya hadiahkan untuk mama sebagai rasa cinta yang tak pernah berbelah bahagi.”

“Terima kasih sayang…” Maria terus memeluk Adzam.

“Janganlah nangis mama. Malulah orang tengok,” usik Adzam.

Hana hanya sedakar memerhati dengan senyum. Rasa hiba dan terharu bercampur menjadi satu.

“Terima kasih Hana sebab gubahkan bunga ini untuk Aunty. Aunty suka sangat!” Pandangan Maria jatuh pada Hana.

“Memang Hana yang gubah, tapi bunganya Encik Adzam yang pilih sendiri dan temanya, Flora Cinta juga diberi oleh Encik Adzam,” jelas Hana.

“Betulkah ni?” Macam tak percaya pulak bila Hana berkata begitu. Hana mengangguk. Pandangan Maria beralih semula pada Adzam yang sedang tersenyum padanya. “Bila masa pulak anak mama ni pandai pasal bunga? Sejak kenal dengan Hana?” Maria tersenyum melihat anggukan Adzam. “Terima kasih, sayang.”

“Most welcome, mama.”

“Hana….” Maria berjalan menghampirinya. “Dari Hana kecil, aunty memang sayang sangat dekat Hana. Mungkin Hana tak kenal aunty sebab masa umur Hana lima tahun aunty sekeluarga dah berpindah ke luar negeri.” Maria memandang Izza. Izza mengangguk mengiakan apa yang diceritakan Maria. “Semua bunga-bunga yang Hana gubah, memang cantik sangat. Aunty suka sangat! Sebab tulah….” Pandangannya jatuh pula pada Izza dan Badir. “Kalau boleh saya mahu Hana menjadi menantu saya.” Izza dan Badir berpandangan. Hana tergamam!



+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Adzam menghampiri Hana yang sedang bersendirian. Dalam hatinya sangat khuatir apabila melihat Hana yang membisu sejak mama meluahkan hasratnya secara terbuka tadi. Adzam melirik seketika pada orang tua mereka yang masih lagi menjamu hidangan ringkas sambil berbual-bual ceria. Hanya yang membisu dan muram di sini adalah Hana dan dia. Hana menyepi mungkin kerana tidak suka dengan apa yang berlaku dan dia menyepi apabila melihat Hana begitu. Ada baiknya dia jelaskan apa yang berlaku pada Hana.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikummussalam….” Jawap Hana tanpa menoleh melihat empunya diri. Tidak melihat pun dia tahu siapa gerangan yang datang padanya.

“Boleh kita berbual sekejap?” tanya Adzam. Hana hanya mengangguk. “Saya minta maaf kalau apa yang berlaku tak menyenangkan awak.” Adzam memulakan bicaranya.

“Tak ada yang perlu dimaafkan Encik Adzam,” jawab Hana. Dia hanya menundukkan wajahnya. Rasa segan pula untuk bertentang mata dengan Adzam. Situasi sekarang dah tak sama seperti ketika Adzam datang ke kedainya untuk membeli bunga.

“Sebenarnya, mama memang dah lama berhasrat untuk bermenantukan awak. Awalnya memang saya tak setuju sebab saya tak pernah kenal siapa awak.” Adzam diam seketika.

“Lepas tu?”

“Lepas tu mama cadangkan saya cuba mendekati awak dan kenali siapa diri awak. Bila kami pulang kembali ke sini, saya cuba mendekati awak dengan cara yang awak sendiri tahu. Saya ke kedai awak dan berbual dengan awak,” ujar Adzam.

“Awak datang bersama cerita teman wanita awak,” ujar Hana.

Adzam ketawa kecil dan mengangguk.

“Tapi semua yang berlaku adalah benar. Kali pertama berjumpa dengan awak, memang mama saya sedang merajuk sebab saya tolak permintaan dia untuk berkenalan dengan awak. Jadi untuk mengambil hatinya semula saya ke kedai awak dan membeli bunga dari pilihan awak sendiri.” Adzam mengimbas semula detik lalu.

“Awak tahu, bila saya bawa saja jambangan bunga dari awak, mama gembira sangat. Sepanjang masa dia asyik bercerita tentang awak pada papa dan saya. Sampai saya asyik terfikir tantang awak. Di bilik, Hana, di ruang tamu, Hana, di meja makan, Hana.” Tergeleng-geleng kepala Adzam. “Pertama kali berjumpa, saya dah mula rasa tertarik dengan awak.” Adzam meluahkan perasaannya.

Hana semakin tertunduk memandang tanah.

“Kali kedua, ketika saya mahu ke luar negeri saya beli bunga lagi dari awak sebab mama bukan sahaja suka pada awak tapi juga pada gubahan dan pilihan awak.” Adzam tersenyum memandang Hana yang masih tertunduk bersama senyuman dibaliknya. “Tapi, bukan saja mama yang tertarik dengan gubahan awak. Saya pun sama!”

Kenyataan Adzam itu membuatkan Hana semakin terasa segan.

“Kali ketiga, pagi tadi, saya terus datang ke kedai bunga awak sebab saya memang dah tak sabar nak jumpa awak. Turun flight saja, saya terus ke kedai. Apa yang kita bualkan pada hari tu kerana saya mahu tahu pandangan awak tentang restu seorang ibu. Dan saya rasa saya mahu ikut nasihat awak, iaitu pilih seorang gadis yang disukai oleh mama saya. Kebetulan, saya memang mahu hadiahkan jambangan bunga untuk mama saya sebagai pernghargaan saya sebagai anak yang telah dididiknya dan diberikannya segala yang terbaik untuk saya, dan untuk menyatakan yang saya telah sedia menerima gadis pilihannya sebagai isteri,” ujar Adzam. “Tapi, bila sampai rumah, saya terfikir untuk hadiahkan Flora Cinta pada mama di depan awak sendiri. Jadi, saya nyatakan hasrat saya pada mama tanpa Flora Cinta. Saya kata pada mama, saya setuju dengan pilihan mama bukan hanya kerana mama suka pada dia, tapi kerana saya juga sudah mula suka pada dia.”

Wajah Hana semakin memerah dan terasa panas.

“Cuma, saya tak tahu sama ada gadis yang dipilih mama tu juga memilih saya atau tidak.” Adzam memandang Hana. “Well.... Cik Hana, awak rasa gadis tu akan terima saya?”

Hana yang sememangnya sudah terasa malu dan bagaikan tak bisa mengangkat kepalanya hanya menunduk begitu. Jantungnya bergetar hebat.

“Apakata, Encik Adzam bertanya pada kedua orang tua gadis tu. Sebab saya yakin sangat yang gadis itu akan menurut kemahuan orang tuanya.” Hana terus berlalu meninggalkan Adzam. Dia sudah tak sanggup berdua-duaan dengan Adzam begitu. Terasa segan sangat!

Adzam tersenyum gembira. Dia memetik sekuntum bunga di laman. Dia yakin sangat ibu dan abah Hana juga mahukan perkara yang sama seperti dia dan keluarganya.

“Nampaknya Flora Cinta sudah bersemi di dalam hati!” Adzam bersuara sendiri.

Hana yang kebetulan masih belum jauh tersenyum mendengarnya. Ya, Flora Cinta itu sedang bersemi dan akan berkembang bila dua hati bersatu dalam ikatan yang sah.







____________________________________________________________________________

Semoga FLORA CINTA anda sedang bersemi........










4 comments: