Wednesday, 1 February 2012

Lukisan cinta 10










Tania tidak memperdulikan kedinginan yang ditunjukkan Amani. Seperti biasa dia mempamerkan sikapnya yang ceria. Sepanjang perjalanan ke rumahnya yang terletak di hujung paling kiri di dalam Syurga Ilham Hati, ada sahaja cerita yang disampaikan Tania mengenai kehidupan mereka di sini.

Sampai sahaja di depan rumah kayu yang besar itu, Amani menghentikan langkahnya. Dia memandang seluruh kawasan Syurga Ilham Hati yang sungguh indah dan mewah itu. Patutlah mak beria-ia mahu tinggal di sini. Kemewahan ini yang telah mengelabui matanya yang sememangnya mengimpikan kehidupan mewah sedari dulu.

“Kenapa?” Tania menoleh setelah menyedari Amani tidak mengekori langkahnya lagi. Kemudian, dia mendekati Amani.

Amani melirik Tania seketika. Namun soalan Tania tidak berjawab. Pandangannya di alihkan semula pada kawasan Syurga Ilham Hati. Dia berjalan semula, perlahan sambil matanya masih belum lepas melihat lanskap Syurga Ilham Hati itu.

“Ini….Syurga Ilham Hati.” Bagai mengetahui apa yang bermain di fikiran Amani, Tania menerangkan kepadanya. “Di rumah yang paling besar dan cantik inilah kita akan tinggal bersama. Buat masa ni papa mahu awak tinggal sebilik dengan saya,” ujar Tania sambil melajukan lagi langkahnya melepasi Amani.

“Dua rumah yang tengah tu, siapa yang tinggal?” Tanya Amani. Perhatian Amani beralih kepada dua rumah lagi.

Terhenti langkah Tania mendengar suara itu. Rasanya sedari tadi hanya dia yang bercakap. Sedikit pun dia tidak mendengar suara Amani. Tania tersenyum. Sekurang-kurangnya, Amani sudah mahu berbicara dengannya.

“Yang tengah tu, lebih kurang macam dewan di sini. Semua majlis dan kenduri akan diadakan di situ. Tetapi di situ situ juga ada dua bilik rehat yang disediakan untuk tetamu kita gunakan. Setiap bilik ada ruang rehat dan kamar mandi supaya senang untuk mereka bersolat. Tapi untuk hari-hari biasa memang kita gunakan untuk solat berjemaah.

Bersolat? Berkerut dahi Amani mendengar perkataan itu. Bukan dia tidak pernah mendengar perkataan itu, tetapi dia tidak tahu apakah makna sebenar solat. Walaupun ketika dia bersekolah dulu, ustazahnya ada menerangkan tentang solat tetapi dia masih keliru dan tidak mengerti.

“Yang hujung sekali adalah ruang makan. Di ruang makan itu ada dua bilik kecil milik Kak Min dan Mak Eton. Kak Min tu, anak Mak Eton, tukang masak di sini. Kak Min pun bekerja di sini juga sebagai pembantu Mak Eton.”

Tukang masak pun ada pembantu? Hebat betul Tuan Helmi! Gumam Amani sendirian di dalam hati.

“Amani…?” panggil Tania.

Amani memandang pada Tania. Tania menjungkitkan keningnya seperti bertanya kenapa Amani termenung. Amani menggelengkan kepalanya. Amani melangkah setapak lagi namun langkahnya terhenti kembali apabila matanya menangkap sebuah lagi rumah kecil yang kelihatan agak tersorok sedikit yang berdekatan dengan rumah itu.

“Itu rumah siapa?” tanya Amani sambil matanya terpaku pada sebuah pondok kecil yang cantik. Bukan pondok sebenarnya, lebih kepada sebuah rumah kayu moden yang kecil.

Tania berpaling dan menoleh ke arah yang di maksudkan Amani.

“Oh…” Tania tersenyum. “Itu rumah Izz. Papa yang mahu dia tinggal di situ.”

“Kenapa? Bukankah dia juga pekerja di sini?” Amani memandang Tania dengan wajah kelatnya. Apa yang membezakan Izz dan pekerja lain? Pekerja lain hanya diberi tempat tinggal di luar kawasan Syurga Ilham Hati. Mungkinkah Izz juga seperti mak yang hanya tahu mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain?

“Memang Izz pekerja papa tapi papa dah anggap dia macam anak. Dan papa sayangkan Izz. Sebab tu dia diberi keistimewaan untuk tinggal di Syurga Ilham Hati.”

Tanpa apa-apa respon lagi, Amani melangkah ke dalam. Tania hanya menjungkitkan keningnya melihat reaksi Amani yang tiba-tiba sahaja membisu. Kemudian, dia membawa Amani ke dalam kamar mereka.

Masuk sahaja ke dalam kamar, sekali lagi Amani terpaku. Kamar itu sangat besar untuk mereka berdua. Bagaimana agaknya Tania bisa tinggal di kamar sebesar ini sendirian.

“Masuklah! Itu katil awak!” Tania meluru ke katilnya dan terus berbaring riang. Kemudian dia meniarap dan memandang Amani dengan gembira.

Amani masih lagi termangu memandang sekeliling kamar itu. Kamar itu memang besar dan selesa. Cuma satu sahaja yang mengganggunya. Terlalu banyak anak patung beruang dalam bilik tu, dari sekecil tapak hinggalah sebesar mereka.

Tanpa berbicara apa-apa, Amani mengambil semua anak patung bruang yang bertaburan atas katilnya lalu menolaknya ke lantai.

“Kenapa?” Tania terus memandangAmani dengan tercengang. "Kau tak suka dengan anak patung?" Sedih Tania melihat anak-anak patung beruang yang yang baru dibelinya semata-mata untuk dihadiahkan buat Amani berselerakan di lantai. Dia mengutip satu persatu dan meletakkan di atas katilnya.

“Kau ada cadar, sarung bantal dan comforter yang lain tak?” Tanya Amani. Sarung bantal, cadar dan comforter juga penuh dengan gambar anak patung beruang. Pertanyaan Amani itu membuatkan Tania terduduk.

“Nak buat apa? Tak cantikkah katil kau? Aku yang hias!”

“Ada ke tak?!” Amani sudah menjeling Tania tajam.

Jelingan itu membuatkan Tania menelan air liurnya. Seram dia melihat renungan tajam itu. Dia bingkas bangun dan membuka almari yang menempatkan cadar, sarung bantal dan comforter. Tapi masalahnya, semua yang ada dalam almari itu bercorak anak patung beruang. Hanya berbeza lukisan dan warnanya.

“Nak yang mana?” tanyanya sambil memandang Amani yang sudah berjalan lalu duduk di katilnya.

“Yang mana pun tak pe. Asalkan tak de gambar kartun!”

"Tapi ni bukan kartun. In gambar teddy bear," sayu suara Tania. Amani pura-pura tak dengar. "Dalam almari ni, kebanyakkannya ada gambar teddy bear. Aku tak de cadar lain."

Amani bangun lalu menarik cadar dan comforter. Dia membuka sarung-sarung bantal. Tergamam Tania melihat tindakan Amani. Beginikah sikap Amani? Terlalu berlainan dengan Makcik Zaiton yang lemah lembut.

"Kenapa kau buat macam ni?"

"Aku lebih rela tidur tak de alas dari tidur di tempat budak manja macam kau ni!"

Tania kembali ke katilnya. Dia merenung katilnya dan setiap sudut di kamarnya. Banyak yang berunsurkan Teddy bear dan hampir lima puluh peratus berwarna lembut. Bukankah setiap gadis perlu ada ciri-ciri yang lembut dan manja? Kenapa tidak Amani?

“Tapi…..” Tania tertunduk sedih.

“Berapa usia kau? Enam belas? Tujuh belas? Tak kisahlah pun berapa. Sesuaikah untuk usia belasan tahun masih bermain dengan patung tak bernyawa macam ni?” Amani menjelingnya.

"Macam nilah, aku rasa kita bahagikan bilik ni kepada dua bahagian. Bahagian kiri, aku punya, bahagian kanan, kau punya." Mungkin Amani tidak sepertinya. Amani juga tentu punya citarasa sendiri. Amani juga perlu ruangnya sendiri. "Aku boleh cari cadar lain untuk kau. Kau tunggu sini."

Tania mencapai telefonnya dan menghantar pesanan untuk Izz. Lebih kurang lima belas minit kemudian, Izz membalas semula pesanannya. Dia hilang untuk sementara dan kembali muncul dengan cadar dan sarung bantal yang berwarna ungu gelap di tangannya. Di tangan kirinya pula menjinjit beg plastik yang berisi comforter.

"Ini boleh?" Tania menyerahkan kepada Amani.

Amani mengerlingnya sekilas. Tanpa senyuman dan tanpa ucapan terma kasih, Amani mengambil lalu menukar semula rupa katilnya.

Gembira Tania melihat Amani mengambilnya. Hilang semua rasa terkilannya ketika Amani tidak menyukai caranya menghias katil Amani. Argh!! Biarlah! Tania tidak mahu menyemakkan kepalanya dengan hal seperti itu. Biarlah Amani melakukan apa yang dia mahu. Tania kembali tersenyum.

"Tak lama lagi kita akan jadi adik beradik, jadi aku nak panggil kau kakak. Bolehkan?” sekali lagi Tania cuba mengambil perhatian Amani dan cuba mewujudkan keserasian bagi mereka berdua.

Amani menghembuskan nafasnya. Kenapalah gadis ini tidak pernah mahu berhenti dari bercakap. Ada sahaja perkara yang nak dibualkan. Amani mengetap bibir. Dia perlukan ruang untuk bersendiri dan tenangkan fikiran.

“Bolehkan?!” tanya Tania dengan suara yang lebih kuat.

“Kau tahu tak yang kau ni merimaskan!!” Wajah Tania dipandang tajam lalu dia terus bangun dan keluar dari kamar itu.

Tania tergamam. Ada rasa sedih berputik di hati. Kenapa Amani bersikap dingin begitu sedangkan dia sedaya upaya cuba menjalinkan hubungan yang baik dengan Amani.



AMANI memeluk tubuhnya apabila angin malam menyapa. Suasana untukdi sini memang agak sejuk di malam hari. Sambil berpeluk tubuh dia bersiar-siar di sekitar kawasan Syurga Ilham Hati.

Belum pernah dia merasakan suasana yang damai dan tenang sebegini. Masa lalunya banyak dihabiskan dengan mendengar suara Jalil dan Zaiton bertengkar. Hari-harinya hanya diceriakan oleh seorang lelaki kecil bernama Hafiz. Belum pun satu hari berada di sini, dia menemui ketenangan yang belum pernah dirasai. Mungkin kerana itu juga mak sangat mahukan tempat ini.

Apa khabar Hafiz sekarang? Pastinya baik-baik sahaja. Amani yakin, Hafiz pasti tahu menjaga dirinya. Hafiz matang sebelum waktunya. Malah Hafiz lebih matang dari dirinya sendiri yang telah berusia tujuh belas tahun.

Amani yang sedang melayani perasaannya sendiri tiba-tiba terdengar suara sayup-sayup sedang menyanyi. Dia memasang telinganya lagi. Benar! Memang kedengaran suara seseorang sedang menyanyi sambil memetik gitar. Tetapi bait-bait lagu yang dinyanyikan tidak diketahui. Setiap perkataannya terlalu asing pada pendengaran Amani. Tapi dia tahu, lagu itu lagu Inggeris. Dia tak faham bahasa Inggeris.

Amani melangkah mengikuti arah suara itu sehingga membawanya ke rumah kecil bersebelahan dengan rumah mereka.

Kelihatan Izz sedang duduk dipangkir sendirian sambil menikmati segelas minuman. Dia masih belum menyedari kehadiran Amani di situ dan terus menyanyi dalam bahasa yang tidak difahami Amani sambil memetik gitar ditangannya.

Sedang Izz asyik dengan dunianya, dia merasakan seperti seseorang sedang memerhatikannya. Dia menoleh.

Kelihatan seraut wajah yang dingin dan beku sedang merenung tepat ke wajahnya. Gadis itu berdiri kaku sambil menyeluk tangan ke dalam poket dan terus merenungnya tajam.

Siapa dia sebenarnya? Setiap kali melihat Amani, pasti soalan itu yang terlintas di fikirannya. Gadis yang pelik dan aneh. Tetapi gadis itu benar-benar menarik perhatiannya. Dia mahu mengenali gadis itu dengan lebih tepat.

Amani masih terus memandangnya dengan wajah kelat tanpa sedikit senyuman. Entah mengapa dia terasa kelakar pulak dengan sikap dingin itu. Dia tersenyum. Dia meletakkan gitar ya di tepi dan menghampiri Amani yang masih kaku berdiri memandangnya.

“Macam mana dengan comforter tu? Awak suka? Tak ada corak dan kosong." Izz yakin, Amani lebih suka comforter yang kosong dan tidak bercorak. Sama seperti dirinya, yang kosong dan dingin. "Itu comforter saya. Buat sementara ni awak pakailah dulu, nanti bila senang, kita keluar pergi beli yang baru untuk awak."

Itu comforter Izz?! Amani memeluk tubuh dan menjeling Izz. Patutlah dengan mudah Tania boleh mendapatkan yang lain untuknya. Dia tidak rela menggunakan barang milik Izz. Dia tidak kenal siapa Izz, tapi dia dapat merasakan sesuatu yang berlainan setiap kali dia bersama lelaki itu.

Izz hanya tersenyum melihat kebisuan Amani. Jelas sekali di wajah dingin itu bagaikan tidak senang apabila mengetahui comforter, cadar da sarung bantal itu miliknya. Pasti dia akan membuang seperti mana dia membuang semua yang dibeli Tania untuknya. Amani berlalu pergi dan dengan pantas dia menangkap pergelangan tangan Amani.

Amani berpaling memandangnya dengan pandangan yang tajam. Apa yang bisa dilakukan Izz selain tersenyum. Suatu saat, wanita dingin ini juga akan menjadi majikannya.

"Saya nasihatkan, jangan buang comforter saya. Di sini, waktu malamnya sangat sejuk. Awak akan perlukan ia." Tangan Amani dilepaskannya. Amani mendengus kasar lalu pergi meninggalkannya. "Rasakanlah pelukan saya melalui comforter itu." Izz tersenyum. "Kau memang aneh, Amani."

Izz berpaling untuk kembali semula ke rumah kecilnya. Tapi dia terkedu sebentar apabila melihat susuk tubuh comel sedang berdiri di depannya. Tania sedang tersenyum manis. Izz mengukirkan senyuman untuk gadis yang sangat murah dengan senyuman itu.

"Tania belum tidur?" Izz masih bertanya walaupun Tania sedang terpacak di depannya.

Tania hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

"Kenapa dengan Amani?" Dia melihat Izz berbual dengan Amani. Tapi apa yang tidak disukainya, kenapa Izz memegang tangan Amani? Izz tertawa mendengar soalan itu.

"Cuba lihat sama ada bakal kakak kau tu, akan campak keluar comforter aku atau tidak."

"Kau beritahu dia?" Tenganga Tania. Sedari tadi dia merahsiakannya dari Amani, tetapi dengan mudah Izz beritahu padanya?! "Dia cakap apa?"

"Dia tak cakap apa dan dia takkan cakap apa-apa. Kau jangan risaulah, perhatikan saja apa yang dia akan buat." Izz tersenyum.

"Tapi aku takutlah..... Dia tu pelik sikit." Tania meluahkan kegusarannya.

Izz hanya tersenyum. Amani bukan pelik sedikit, tapi pelik banyak. Tapi itu yang membuatkan dia semakin tertarik dengan gadis yang pelik itu. Apa agaknya yang terpendam jauh di lubuk hatinya. Dia ingin menyelam dan turut merasai apa yang dirasakan Amani.

"Dia memang lain dari yang lain. Tapi kau jangan risau, aku yakin dia gadis yang baik dan akan jadi kakak yang baik untuk kau." Izz menenangkan hati Tania.

Tania tersenyum. Ya, dia juga sependapat dengan Izz.

“Aku masuk dulu. Takut kalau dia…..”

“Campak comforter aku keluar? Tak apa…..” Izz terus memintas kata-kata Tania. “Kalau dia campak keluar, percayalah malam ni, dia akan bangun dan ambil balik. Kau biarkan saja.”

Tania hanya tersenyum. Terus dia memusing badannya untuk masuk ke dalam rumah. Sampai di depan pintu utama sahaja dia sudah melihat comforter,cadar dan sarung bantal Izz sudah berada di situ.

Tania masuk ke dalam kamarnya. Terlihat kelibat Amani yang sudah berbaring di atas katil tanpa sarung bantal, cadar dan comforter. Tania menggeleng kepala dan terus berbaring di katilnya. Amani pasti menyesal kerana menolak pemberian Izz.

No comments:

Post a Comment