Thursday 21 June 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 9










SEPASANG mata milik Zack yang sedang bersembunyi di balik tembok sedang memerhati segala yang sedang berlaku di Rumah Warisan. Dia mengukirkan senyuman melihat gelagat Audra dan Zana yang sudah merajuk dengan Che Enon.
Zack bersandar di dinding. Dia langsung tidak menyangka akan menemui Audra di sini. Sebenarnya, dia datang ke sini untuk mengambil kot hitamnya yang tertinggal di sini. Dia juga mahu menemui Che Enon untuk memberitahu Che Enon yang dia akan mengambil seorang pereka dalaman untuk memperbaharui semula susunan di Rumah Warisan.
Zack ketawa kecil. Siapa sangka, Che Enon terlebih dahulu membawa pereka dalaman yang tidak bertauliah untuk membantunya. Lebih mengujakan, salah seorang darinya adalah Audra Laily. Zack mengemamkan bibirnya. Bagus! Dia mahu lihat apa yang mampu dilakukan Audra.
Ketika dia tiba di situ, Pak Rahim terlebih dahulu memohon maaf padanya kerana Che Enon membawa orang luar masuk ke dalam Rumah Warisan. Katanya, Che Enon hanya mahukan bantuan dari mereka berdua. Lantas dia menyelinap ke kawasan Rumah Warisan setelah meninggalkan keretanya di depan pintu pagar.
Dia menyuruh Pak Rahim merahsiakan kedatangannya dari yang lain. Teruja rasa hati bila Pak Rahim beritahu Che Enon bawa pulang dua orang gadis dari kolej berdekatan. Bukankah kolej berdekatan adalah kolej di mana Audra belajar? Bila mendengar sahaja kata Pak Rahim, entah kenapa jantungnya terus berdebar kencang. Dek kerana itulah dia menyelinap masuk ke dalam Rumah Warisan untuk melihat gerangan siapakah yang dibawa Che Enon.
Debarannya beralasan apabila melihat susuk tubuh Audra bersama temannya. Dia tersenyum melihat gelagat mereka. Apa yang pasti, Audra mahu hilangkan segala kenangan di rumah ini? Bolehkah gadis itu buat begitu? Dia mahu menunggu apa yang bakal dilakukan Audra. Teruja benar dirasakannya!
Namun, sebahagian dalam dirinya meragui keikhlasan hati Audra. Apakah Audra lakukan perkara ini kerana mahu menambat hati Tuan Syed Zikri setelah melihat segala kemewahan di dalam Rumah Warisan ini? Bukankah Audra mahukan seorang putera raja untuk menjadi pendampingnya? Tak mengapa, dia akan mencari jalan untuk lebih mengenali diri Audra.
Zack berjalan semula ke pondok sekuriti Pak Rahim. Kelihatan lelaki itu sudah tercegat menunggunya. Pak Dollah juga berada di sisinya. Mungkin Pak Dollah baharu pulang. Sebentar tadi dia diberitahu bahawa Pak Dollah tidak ada kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Ada riak kekhuatiran dari raut wajah mereka berdua. Zack hanya tersenyum. Bukan dia tak tahu mereka semua takut jika mereka akan dimarahi.
“Pak Rahim, tolong panggilkan Che Enon sekarang. Diam-diam ek! Jangan sampai dua orang budak perempuan tu tahu,” ujar Zack. “Saya tak nak mereka tahu saya ada di sini!”
“Baik, Tuan Syed!” Pak Rahim hilang dari pandangannya.
"Tuan Syed, saya dah dapat seorang sekuriti seperti yang Tuan Syed minta," ujar Pak Dollah. Sejak pagi tadi, dia menghilangkan diri dari Rumah Warisan kerana mahu menyelesaikan urusan ini.
"Bagus!" Terangkuk-angguk kepala Zack. "Siapa?"
"Saudara saya sendiri. Baharu datang pagi tadi," ujar Pak Dollah. "Maaf Tuan Syed, sebab dari pagi tadi saya keluar baru sekarang saya pulang. Sebenarnya, saya cari bilik sewa yang murah untuk saudara saya."
"Uh?" Kening Zack sudah terjongket. "Kenapa tak bawa datang sini terus? Kan bilik untuk setiap pekerja di sini dah tersedia."
"Sebenarnya, saya tak berani nak bawa dia tinggal di sini terus sebelum saya bawa dia jumpa dengan Tuan Syed. Saya rasa, lebih baik Tuan Syed jumpa dia dulu. Lepas tu, baru buat keputusan sama ada mahu ambil dia bekerja atau tidak," usul Pak Dollah.
"Baiklah. Esok pagi, bawa dia ke Warisan Syed berjumpa dengan saya."
Seketika kemudian, kelihatan bayangan yang berlari-lari anak menghampiri pondok sekuriti Pak Rahim. Muncullah Pak Rahim dan Che Enon.
“Tuan Syed!” Sapa Che Enon yang sudah kelihatan gelisah. Kedua-dua tangannya sudah tergenggam kemas. Sungguh, dia memang agak takut seandainya dimarahi oleh Tuan Syed Zikri.
Zack hanya menganggukan kepala, membalas sapaan Che Enon.
"Che Enon minta maaf Tuan Syed. Sebenarnya, Che Enon dah habis fikir." Che Enon yang ketakutan itu membuka mulut. Lebih baik dia meminta maaf terlebih dahulu sebelum Tuan Syed Zikri bertanya apa-apa tentang Audra dan Zana. "Sebab itulah Che Enon bawa mereka berdua datang ke sini untuk bantu Che Enon."
"Saya dah lihat dua orang budak perempuan yang Che Enon bawa,” ujar Zack. Dia memeluk tubuhnya.
Berubah wajah Che Enon. Wajah yang sedia takut itu semakin ketakutan. Kasihan pula Pak Rahim melihat wajah Che Enon. Jika Che Enon dimarahi, dia juga perlu dimarahi kerana dia juga bertanggungjawab membenarkan mereka berdua masuk ke situ. “Maaflah Tuan Syed sebab kami dah bawa masuk orang asing tanpa pengetahuan Tuan Syed. Sebenarnya, Che Enon cuma nak minta bantuan mereka saja.”
Zack memandang Pak Rahim pula. “Tak mengapalah,” ujar Zack dengan lembut. “Cuma, saya minta lepas ni kalau kamu semua nak buat apa-apa pun beritahu saya dulu. Jangan buat apa-apa diluar pengetahuan saya!” arah Zack dengan sopan. Biarpun mereka bertiga adalah pekarjanya, namun satu kewajipan baginya untuk menghormati orang yang lebih tua darinya.
“Baik Tuan Syed!” ujar mereka bertiga serentak.
“Saya nak minta tolong dengan Che Enon, Pak Rahim dan Pak Dollah,” ujar Zack dengan serius. Mereka bertiga memberikan perhatian kepadanya. "Untuk pengetahuan kamu semua, mereka berdua termasuk dalam calon pelajar yang akan menghadiri temuduga dengan Warisan Syed. Sekarang ni, Warisan Syed sedang memerhatikan mereka tanpa mereka sedari."
"Oh," Terangguk-angguk kepala mereka bertiga bersama dengan muncung yang panjang.
“Saya mahu di depan dua gadis yang Che Enon bawa tu, jangan ada seorang pun yang panggil saya Tuan Syed. Mereka berdua tak boleh tahu siapa saya!”
Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tertanya dengan maksud tujuan Tuan Syed Zikri melakukan begitu.
“Maksud Tuan Syed?” Che Enon mengambil peranan untuk bertanya.
“Begini, mereka berdua adalah calon pelajar yang akan dibawa masuk ke Warisan Syed. Mereka berdua masih dalam perhatian. Jadi, saya mahu rahsiakan identiti saya! Kalau di depan mereka, saya mahu kamu semua panggil saya, Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri!” terang Zack dengan lebih jelas.
“Oh, kiranya Tuan Syed mahu menyamarlah?” Wajah Che Enon sudah bergaris dengan senyuman.
Zack menganggukkan kepalanya. “Boleh?” tanyanya.
Mereka yang lain mengangguk.
“Oh ya, jangan lupa beritahu tentang rancangan saya pada Pak Sudin!”
“Jadi, Tuan Syed tak marah saya bawa mereka berdua datang ke sini?” tanya Che Enon ragu-ragu. Tapi dia mula yakin yang Tuan Syed Zikri memang tidak marah.
“Tak, tak pe!” ujar Zack. Mana mungkin dia marah sedangkan hatinya sudah berbunga gembira. “Tapi macam yang saya beritahu, lain kali kalau nak buat apa-apa minta izin saya dulu!” arah Zack.
Mereka mengangguk laju. Masing-masing sudah menarik nafas lega.
"Cuma," Zack menggosok dagunya sekejap. “Kalau boleh, kamar utama tu, Che Enon serahkan semuanya pada Audra. Biar dia yang atur bilik saya nanti!”
“Baik, Tuan Syed!” Terangguk-angguk kepala Che Enon. Lega rasanya apabila dia terlepas dari tugas itu. Seandainya Tuan Syed Zikri tidak menyukai cara susunan Audra, sekurang-kurangnya dia tidak akan dimarahi. Nasib Audralah gamaknya! Terpaksa pulak aturkan kamar utama Tuan Syed Zikri. Mahukah dia?
"Tapi, kalau saya nak minta satu perkara dengan Tuan Syed, boleh?" Tanya Che Enon lambat-lambat. Takut jika dia dikatakan melebih-lebih pula.
"Minta apa Che Enon?"
"Che Enon rasa Tuan Syed pun tahu yang Audra cuma pelajar akaun. Jadi, kalau Tuan Syed tak berpuas hati dengan cara Audra, Che Enon harap Tuan Syed takkan marah pada Audra."
Zack hanya tersenyum.
"Nanti, janganlah pula sebab Audra tak pandai susun Rumah Warisan, Tuan Syed tolak permohonan dia untuk bekerja dengan Warisan Syed."
Zack sudah ketawa. "Kenapa Che Enon fikir macam tu?"
"Che Enon bukan apa Tuan Syed. Kalau Tuan Syed tolak permohonan Audra kerana tak berpuas hati dengan cara susunannya, Che Enon akan rasa bersalah. Sebab Che Enon yang pujuk budak-budak tu datang ke sini."
"Baiklah, saya janji dengan Che Enon segala keputusan temuduga, takkan ada kaitan dengan bantuan mereka." Zack mengerling Che Enon. "Tapi, dengan satu syarat."
Kening Che Enon sudah terjongket. Alamak! Ada syarat pulak ke?
"Syaratnya, Audra bukan sahaja kena susun bilik tidur utama, tapi juga pejabat saya. Pastikan, dia buat semua keputusan sendiri. Pak Dollah dan Che Enon hanya boleh bantu sahaja," ujar Zack. "Yang lain tu, saya akan panggil seorang pereka dalaman untuk uruskan.”
Terangguk-angguk kepala Che Enon. Tapi kenapa semuanya Audra? Tak pula Tuan Syed sebut nama Zana. Nak ditanya, tapi dia tak berani.
“Lagi satu,” ujar Zack semula. “Malam nanti, Che Enon biarkan mereka bermalam di kamar Ilyana. Baju-baju dalam almari tu, dia orang boleh pakai kalau dia orang mahu.”
Terkedu Che Enon. Semakin tertanya-tanya Che Enon di dalam hati. Tuan Syed macam tahu-tahu sahaja yang Audra dan Zana tak membawa pakaian ganti. Tuan Syed ni betul-betul macam James Bond! Apa saja yang berlaku tak pernah lari dari pandangannya.
“Nah ambil ni. Ini wang belanja kalau Che Enon perlukan apa-apa.” Zack menghulurkan berkeping-keping not lima puluh untuk Che Enon.
“Banyak ni Tuan Syed!” Terkedu Che Enon.
“Tak pe, gunakan sebaik mungkin!” balas Zack. "Kalau tak cukup, beritahu saya."
Che Enon menganggukkan kepala.
Pandangan Zack beralih pula kepada Pak Dollah. “Esok, kalau Che Enon, Audra dan kawannya nak ke mana-mana, Pak Dollah tolong hantarkan ya!”
Pak Dollah menganggukkan kepalanya tanda mengerti arahan itu.
“Tapi Tuan Syed, Cik Ilyana tak marahkah kalau mereka gunakan bilik dan baju-baju dia?” Che Enon mengetap bibrnya. Walaupun kelihatannya Cik Ilyana sudah jauh berubah tapi dia masih khuatir jika perkara itu berlaku.
“Rumah Warisan dah jadi hak saya, kan?” Wajah Che Enon dikerlingnya. “Lagipun Ilyana sendiri dah pesan, bila saya masuk ke rumah ni saya boleh buat apa yang saya suka. Dia pun tak kisah jika saya mahu buang semua barang-barangnya sebab dia sendiri dah tak perlukan itu semua.”
“Habis tu, kalau Cik Ilyana datang sini dia nak tinggal di mana?” tanya Che Enon.
“Itu Che Enon janganlah risau. Kalau dia datang sini pun, dia takkan mahu tinggal serumah dengan saya,” ujar Zack. “Lagipun, Ilyana ada apartmentnya sendiri.” Zack bangun dan berjalan selangkah ke depan. “Che Enon jangan risau. Apa saja yang saya buat, Ilyana dan uminya akan tahu terlebih dulu.”
Tenang hati Che Enon mendengar kata-kata Zack. Dia tak mahu timbul lagi salah faham di dalam keluarga Syed itu. Zack yang memakai topi dan kaca mata hitam dipandangnya. “Tapi kenapa Tuan Syed pakai topi dengan spek hitam malam-malam ni?” tanya Che Enon tiba-tiba. Dia sendiri tidak menyangka dia akan bertanyakan soalan itu. Mulutnya ditampar-tampar. “Maaf Tuan Syed. Tak sengaja.”
Tertelan air liur Zack. Terasa bagai sindiran pula di telinganya. Tapi dia tahu, Che Enon tidak sengaja berkata begitu. Lalu Zack membuka topi dan cermin gelap yang dikenakannya.
Tercengang Pak Dollah, Pak Rahim dan Che Enon melihat penampilan baru Zack. Rambut Zack yang ala-ala Shah Rukh Khan itu sudah dipotong hampir botak seperti Mawi! Tapi jambang-jambang halus di wajahnya masih kekal.
“Kenapa Tuan Syed pendekkan rambut? Kalau ada rambut kan segak,” ujar Pak Dollah.
“Saja saya nak ubah angin,” Zack memberi alasan. Sedangkan dia melakukan semua itu demi mendekati Audra Laily. Dia benar-benar mahu tahu Audra Laily tergolong dalam wanita jenis yang bagaimana.
“Yang ini pun handsome juga. Sekali pandang macam Maher Zain!” sampuk Pak Rahim pula.
Zack hanya tersenyum. Tiba-tiba dia memegang perutnya. Perutnya berbunyi minta dialas. Wajah Zack yang putih kemerahan itu semakin bertambah kemerahannya kerana menahan malu apabila perutnya berbunyi di hadapan mereka bertiga.
“Tuan Syed lapar?” tanya Che Enon. “Jomlah masuk ke dalam. Nanti Che Enon siapkan makan!” ajaknya.
“Tak perlulah masuk ke dalam, Che Enon. Bawakan saja ke sini. Saya makan malam dengan Pak Rahim saja. Boleh Pak Rahim?” Khuatir pula dia kalau bertembung dengan Audra. Haru dibuatnya nanti! “Pak Rahim masih belum makan, kan?”
Terkejut Pak Rahim mendengarnya. “Boleh, boleh Tuan Syed. Tapi tak apakah Tuan Syed makan di pondok ni?” Ada nada khuatir dalam tutur katanya. Tak kisahkah lelaki itu makan di pondok pengawal itu? Bersama pekerja pula!
Zack memandang segenap pondok pengawal itu. Pondok ini tidaklah terlalu sempit memandangkan di situ sudah disediakan bilik khas untuk para pengawal berehat dan bersolat.
Setiap pekerja di situ memang sudah disediakan kamar kecil masing-masing. Cuma yang membezakan bagi pekerja lelaki, kamar mereka sudah diasingkan di luar dan hanya pembantu wanita sahaja yang kamarnya di dalam. Biarpun di dalam disediakan tiga kamar untuk pembantu wanita, namun sejak tiada Syed Hussin, maka tiadalah jururawat peribadinya yang menghuni dua kamar yang kosong itu.
“Saya tak kisah!” ujar Zack. “Che Enon bawakan makan malam saya dan Pak Rahim di sini ya.” Zack memandang Pak Dollah. “Pak Dollah kalau nak makan di dalam, silakan.”
“Kalau semua dah makan di sini," Pak Dollah memandang Che Enon. “Che Enon pun sediakan makan malam saya di sini dengan Tuan Syed dan Rahim.” Teruja pula dia mahu makan malam bersama dengan Tuan Syed Zikri di situ. Bila lagi nak mengenali Tuan Syed Zikri dengan lebih rapat? Inilah saatnya!
Che Enon segera hilang di dalam bersama sebuah senyuman.
"Che Enon!" panggil Zana setelah melihat susuk tubuh itu yang sedang bergegas masuk ke dalam rumah.
Che Enon menghampiri mereka berdua. “Audra dengan Zana tunggu sekejap ya. Che Enon nak sediakan makan malam!” Che Enon terus meninggalkan mereka berdua tanpa sebarang kata.
Termangu Audra dan Zana seketika. Mereka berdua kemudiannya membontoti Che Enon. Sampai sahaja di dapur, sekali lagi mereka berdua terpegun. Dapurnya sahaja sangat besar dan mewah. Penuh dengan gaya moden! Kemudian mereka menghampiri Che Enon yang sedang panaskan lauk yang dibelinya di gerai Man Corner.
“Kenapa Che Enon? Kelam kabut je,” tanya Zana. Pelik betul sikap Che Enon, sudahlah tadi menghilang begitu sahaja. Bila kembali, semakin pelik pula perangai Che Enon. Macam ada yang tak kena.
Che Enon melirik Zana seketika. “Audra dan Zana tolong Che Enon siapkan pinggan. Semuanya untuk tiga orang makan.”
Audra dan Zana hanya menurut. Kemudian, Audra membantu Che Enon menyiapkan jus epal dan meletakkan semuanya ke dalam dulang. Pinggan-pinggan kosong juga sudah sedia dan juga mangkuk kosong untuk diisi lauk pauk.
Usai panaskan lauk, Che Enon menuang setengah dari setiap lauk ke dalam mangkuk kosong yang disediakan. Bakinya di tinggalkan di atas meja.
Setelah siap semuanya, Che Enon mengangkat ganggang telefon yang terdapat di dapur, lalu menghubungi pondok sekuriti Pak Rahim. Tak lama kemudian, kelibat Pak Rahim dan Pak Dollah muncul di pintu dapur. Lauk-lauk yang sudah siap diletakkan di atas dulang diserahkan kepada mereka berdua. Kemudian Che Enon melepaskan nafas kelegaan. Wajah Audra dan Zana dipandangnya.
Audra dan Zana hanya memerhatikan sahaja dua kelibat itu berlalu pergi. “Pak Dollah dan Pak Rahim nak makan di mana?” soal Audra.
“Biasanya, diorang makan di sini saja. Tapi, hari ni spesial sikit." Senyuman di bibir Che Enon meniti lagi.
“Apa yang spesial?” tanya Zana yang kelihatan teruja untuk mengetahuinya.
“Itu rahsia orang lelaki," ujar Che Enon sambil menjongket-jongketkan keningnya untuk mengusik mereka berdua.
“Kalau rahsia orang lelaki, kenapa Che Enon tahu?” balas Audra kemudian.
Senyuman di bibir Che Enon mati. Terasa malu apabila disindir begitu oleh anak-anak muda. “Che Enon dah tua, tentulah Che Enon tahu!”
“Sepatutnya, Che Enon kata, itu adalah rahsia orang-orang tua! Barulah kena!” usik Zana dan kemudian ketawa.
Audra juga tertawa mendengar usikan itu.
Che Enon menjegilkan matanya. Dia mendengus. “Dah! Jom makan!” ajaknya sekaligus mematikan perbualan mereka. Kalau dilayan budak berdua ni, ada saja yang akan diusiknya lagi.
“Che Enon dah lapar ni. Lepas makan, Che Enon tunjukkan bilik untuk kamu berdua.”
Audra dan Zana mengikut langkah Che Enon yang sudah duduk di meja makan.
“Che Enon," panggil Audra sambil tangannya menghulurkan pinggan untuk Zana. “Kenapa Che Enon sediakan makan malam untuk tiga orang?” Memang hatinya tertanya-tanya tentang itu. Sedangkan kata Che Enon, Pak Sudin tidak bermalam di Rumah Warisan walaupun Pak Sudin juga di sediakan sebuah kamar kecil untuknya. Rumah Pak Sudin tidak jauh dari Rumah Warisan dan dia tinggal bersama isteri dan dua orang anaknya. Kamar yang disediakan untuk Pak Sudin, biasanya digunakan ketika Pak Sudin dalam waktu bekerja sahaja.
“Hmmm, biasalah orang lelaki-kan banyak makan. Kalau dua orang, kita kena sediakan untuk tiga orang,” jawab Che Enon lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.
“Rumah Warisan ni besar kan Che Enon?” suara Zana pula. Matanya meliar memandang ruang makan itu. “Che Enon tak takut ke tinggal dalam rumah besar macam ni? Dahlah tak ramai orang.”
“Apa nak takut. Kan ada Pak Rahim yang jadi sekuritinya. Pak Dollah pun tinggal di sini juga.” Tiba-tiba ingatannya melayang mengingat kepada beberapa orang jururawat yang pernah bekerja di sini. “Dulu, Rumah Warisan ni ramai pekerjanya. Taklah sunyi sangat. Tapi sejak penghuninya keluar dari rumah ni, tinggal kami sajalah.” Ada nada sayu dalam suaranya.
“Pak Rahim mengawal Rumah Warisan seorang diri? Dua puluh empat jam?” tanya Audra pula. Bagaimana Pak Rahim seorang diri bisa menjaga rumah sebesar ini? Bukan sahaja rumah, tapi kawasannya juga sangat luas.
“Hmmm," Che Enon mengangguk. "Memang Pak Rahim jaga seorang diri. Dulu, ketika Syed Hussin masih menjadi Tuan Syed di Rumah Warisan, Pak Dollah dan Pak Rahim, kedua-duanya adalah sekuriti. Rumah Warisan ada empat orang sekuriti. Waktu tu, Tuan Syed Hussin selalu dibantu oleh pengawal peribadinya. Sebab tulah dia tak perlukan pemandu peribadi.” Che Enon menghabiskan dahulu kunyahannya.
“Rumah Warisan ni, dilengkapi dengan alat-alat keselamatan yang sangat ketat dan terperinci. Setiap sudut kawasan luar, hingga ke dalam, banyak alat keselamatan yang dipasang. Tapi, bila Tuan Syed Hussin ditangkap, ramai pekerja yang berhenti. Dulu, tukang kebun pun ada tiga orang. Sekarang, cuma tinggal Pak Sudin. Selepas Tuan Syed Zikri dilantik menjadi pewaris yang sah, Pak Dollah diambil sebagai pemandu peribadi.”
“Susah jugakan kalau dah terlalu kaya,” ujar Audra dengan perlahan namun bisa didengar oleh Che Enon dan Zana.
Mereka berdua terdiam seketika. Kata-kata Audra ada benarnya.
“Audra, Zana, kenapa tak makan lagi ni?” Che Enon yang sibuk bercerita terus bertanya apabila baru menyedari pinggan kedua-dua gadis itu masih lagi kosong.
Audra dan Zana terkulat-kulat lalu tersenyum. Setelah ditegur begitu, barulah mereka memenuhkan pinggan mereka dengan nasi dan lauk yang disediakan. Seraya dengan itu, mulut mereka juga terkunci.

ZANA membuka almari yang besar itu. Terbeliak biji matanya melihat pada pakaian yang begitu banyak tergantung di situ. Satu lagi pintu di bukanya. Sekali lagi matanya terbeliak. Almari yang ini penuh dengan kasut-kasut dan beg-beg tangan yang tersusun. Berjenama semuanya!
Zana menoleh pada Audra yang sudah terbaring di katil empuk itu. “Kata Che Enon, Tuan Syed tu seorang diri, kan? Habis ini semua barang-barang siapa? Tentu Tuan Syed tu simpan perempuan!” Zana sudah mengeluarkan syak wasangkanya.
Audra duduk di birai katil. “Tak mungkin! Kan Che Enon kata, Syed Zikri belum masuk lagi ke rumah ni. Mungkin barang-barang ni kepunyaan anak Syed Hussin!" Audra mengingatkan kembali cerita itu pada Zana. Malas mahu menggunakan perkataan 'tuan' di depan, akhirnya Audra hanya menyebut nama mereka.
"Hmm, betul jugak!” Zana duduk di sebelah Audra. “Agak-agak kau, tuan punya barang-barang ni marah tak kalau kita guna barang-barang dia?”
Audra berfikir sejenak. “Entahlah. Tapi kalau dah Che Enon kata Syed Zikri sendiri yang izinkan kita gunakan barang-barang dalam bilik ni, mungkin tak pe agaknya.” Audra memandang Zana. “Tak kisahlah! Yang penting, kau pernah ke tinggal di bilik yang besar macam ni?” Sekali lagi kamar yang luas itu menjadi perhatian Audra.
Zana memandang sekitar ruangan kamar mewah itu seperti Audra. “Sumpah tak pernah! Nilah first time! Gila siut rumah ni! Besar sangat! Beruntung kan ahli keluarga ni! Kaya raya! Mewah!” Kemewahan yang dilihat dengan mata kasarnya bagaikan tidak terjangkau.
Bagaimanalah agaknya mereka semua tinggal di rumah sebesar ini? Audra masih termangu di situ. Memang rumah ini terlalu besar. Biliknya sahaja sebesar dan semewah ini. Di dalam almari penuh dengan barang-barang dan pakaian berjenama. Tetapi dia tak rasa penghuni-penghuni rumah ini bahagianya semewah kekayaannya. Che Enon sendiri menyatakan yang Tuan Syed Zikri berkata rumah ini tidak mendatangkan ketenangan dalam dirinya! Mungkin itulah perasaan sebenar Tuan Syed Zikri. Lelaki itu tidak gembira dalam kehidupannya!
“Hey Audra!” Zana menyiku Audra. “Kenapa kau diam ni?”
“Aku rasakan, walaupun kita hidup di kampung dengan serba sederhana tapi jiwa kita lebih kaya dari penghuni-penghuni rumah besar ni!” suara Audra lalu memandang pada Zana. “Kau tak rasa macam tu?”
Zana memusing badannya mengadap Audra. Nampaknya Audra semakin matang sekarang!
“Walaupun rumah kita kecil, rumah kampung pulak tu! Bilik pun kecil, segala-galanya kecillah! Tapi hati kita rasa luas sangat! Sebab kita ada keluarga yang bahagia! Betul tak?” ujar Adra lagi.
“Betul! Aku setuju. Kekayaan dan kemewahan tak menjaminkan kebahagiaan. Kebahagiaan yang sebenar terletak di sini.” Zana menunjukkan dadanya. “Tenang hati kita, tenanglah kehidupan kita.”
 Audra mengangguk menyetujui kata-kata Zana.
“Aku gembira sangat dengan kau sekarang. Kau nampak lebih matang. Tak delah lepas ni kau berangan nakkan putera raja masuk meminang kau!”
Audra sudah ketawa. Zana sudah tersilap banyak tentang dirinya. “Aku memang suka berangan! Aku selalu mengimpikan ada seorang putera raja datang dalam hidup aku seperti mana cerita-cerita dongeng pari-pari. Tapi aku bukan mengharapkan kemewahan putera raja tu. Dalam cerita tu semua puteri-puterinya bukan mata duitan, kan!” Audra mengerling Zana. “Aku cuma mengharapkan seorang putera raja yang akan berikan seluruh kebahagiaan dalam hidup aku bagaikan aku ni seorang puteri raja!”
Zana tersenyum. Sangkanya selama ni Audra mengimpikan seorang putera raja yang dimana putera raja itu adalah seorang yang kaya raya. Rupanya dia silap! Putera raja yang dimahukan Audra adalah putera raja yang akan memberikan melimpahkan kemewahannya dengan kebahagiaan.
“Tapi macam mana dengan Putera William tu?” tanya Zana kembali.
“Aku sukakan Putera William sebab kali pertama aku lihat gambar dia dalam majalah, jantung aku berhenti berdegup! Betul sumpah!” ujar Audra bersungguh-sungguh. “Sebab tulah aku mahukan seorang putera raja yang boleh buat jantung aku berhenti berdegup.”
“Tapi lepas tu, semuanya berjalan dengan laju! Dup dap, dup dap!" sambung Zana sambil ketawa.
Audra juga ikut ketawa. “Jahat kau ni!!” Audra memukul Zana dengan bantal.
“Siapa pun jodoh kau nanti, putera rajakah, orang biasakah, yang penting aku nak kau bahagia!” Ikhlas kata-kata Zana.
Audra tersenyum memandang Zana. Dia tahu, Zana sayangkan dia! “Aamiin," Audra menyapu mukanya dengan kedua telapak tangannya. “Aku bukanlah minta putera raja yang betul. Siapa pun dia, dia adalah putera raja di hati aku.”

1 comment: