Tuesday, 17 July 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 10







MATA Audra memerhatikan segenap ruangan kamar utama di tingkat empat. Ruangan di tingkat empat itu hanya mempunyai kamar utama milik Tuan Syed Zikri. Masyaallah, besar sungguh kamar ini! Luasnya hampir meliputi seluruh tingkat. Bagaimanalah agaknya Tuan Syed Zikri akan menghuni kamar yang luas sebegini? Dia meletakkkan sebuah bingkai yang terdapat Ayat Kursi yang batu dibelinya di atas kabinet.
“Audra tolong Che Enon kemaskan bilik ni, okey?” ujar Che Enon yang baru melangkah ke dalam bersama Pak Dollah dan Zana sambil menjinjit beberapa barangan di kedua-dua belah tangannya.
Sebenarnya, mereka berempat baru sahaja pulang dari kedai perhiasan rumah yang tak jauh dari Rumah Warisan. Dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Tuan Syed, mereka membeli beberapa gulungan wallpaper dan pelekat dinding. Tak lupa juga dengan perhiasan khat Al-Quran.
Audra hanya memandang Pak Dollah, Zana dan Che Enon yang sedang meletakkan barang-barang yang dibeli itu di bahagian tepi. Memang dia sengaja datang ke kamar ini lebih dahulu dari mereka untuk mencari ilham. Perhatiannya kembali kepada ruang kamar utama.
“Macam mana Audra, dah dapat ilham?” Zana menongkat tangannya di bahu Audra.
“Ada berapa banyak kamar dalam rumah ni?” tanya Audra tanpa menjawab soalan Zana. Pandangannya jatuh kepada Che Enon.
Che Enon yang pada asalnya sedang menunduk kerana menyusun barang-barang yang baru dibeli, terus mendongakkan kepala apabila merasakan soalan Audra itu ditujukan untuknya.
“Kalau di tingkat empat ni, cuma bilik Tuan Syed. Tingkat tiga ada jimnasium, perpustakaan dan dua bilik tidur.Di tingkat dua ada pawagam kecil dan tiga bilik tidur, termasuk bilik Cik Ilyana yang kamu berdua tinggal malam tadi. Dan tingkat bawah sekali, ada ruang pejabat Tuan Syed, ruang tamu, ruang makan, dry kitchen, wet kitchen. Di ruang belakang, ada tiga bilik untuk orang gaji macam Che Enon dan di luar ada tiga lagi bilik untuk pekerja di sini,” terang Che Enon dengan panjang lebar. Sebenarnya, dia khuatir jika Audra bertanya soalan yang bukan-bukan. Dia takut dia terbocorkan rahsia Tuan Syed Zikri yang mahukan Audra yang mengatur kamar dan ruang yang akan Tuan Syed Zikri gunakan.
Audra mengherotkan bibirnya. “Che Enon ni, tak payahlah terang semua sekali. Audra cuma nak tahu berapa bilik saja yang ada.” Audra menjeling bersama muncung panjangnya. Che Enon ni macam perli dia pulak.
“Semua bilik dan semua ruang perlu diubah?” tanya Zana pula. Ternganga mulutnya mendengar setiap ruang yang terdapat di dalam ruang ini. “Kalau semuanya nak diubah, rasanya satu hari saja tak cukup Che Enon. Tengoklah, bilik ni saja dah besar macam ni!” Memanglah sangat melampau kalau keseluruhan banglo itu mahu disusun semula dalam masa satu hari!
“Tak perlu!” Che Enon menggosok dagunya, cuba mengingati semula arahan Tuan Syed Zikri. “Kata Tuan Syed semalam, Audra cuma perlu kemaskan ruang yang Tuan Syed akan guna sahaja. Bilik tidur Tuan Syed dan pejabatnya. Itu yang penting!”
“Hah? Apa?" Audra tercengang. Zana juga ikut tercengang. “Tuan Syed cakap yang Audra perlu kemas bilik dan pejabatnya?!” Mata Audra sudah menikam anak mata Che Enon. Keliru!
Che Enon ternganga. Baharu dia tersedar dari kesilapan kata-katanya. Macam mana dia boleh terlepas cakap ni! “Eh, bukan!” Che Enon yang kegelisahan menggeleng-geleng kepala dan kedua tangannya sudah menggawang-gawang ke kiri dan kanan, menidakkan kata-katanya sendiri. Takut-takut Audra dan Zana dapat menghidu sesuatu. “Maksud Che Enon, semalam kan Audra kata Audra tahu nak buat apa untuk buatkan Tuan Syed rasa tenang. Jadi Che Enon rasa, tempat-tempat yang sesuai untuk Audra ubah adalah bilik ini dan ruang pejabat. Sebab di sini dan di pejabat adalah tempat yang akan Tuan Syed habiskan masanya.
“Oh!” Terangguk-angguk kepala Audra. Dia cuba memahami walaupun dia merasakan ayat di awal itu tidak ada kaitan langsung dengan alasan yang diberikan Che Enon. Persoalan itu dibiarkan berlalu. Audra memandang segenap isi ruang kamar. Di dinding sebelah kiri dipenuhi dengan potret-potret ahli keluarga Syed itu, sama seperti di ruang tamu. Audra berhenti di setiap satu potret.
Tiba-tiba dia terlihat sebingkai potret yang berada di lantai dan bersandar di dinding. Audra mencapai potret itu. “Ini siapa?” tanya Audra. Wajah lelaki di dalam potret itu kelihatan seperti Syed Zarkasyi. Namun, siapa pula wanita cantik di sisinya? Di ruang tamu, dan di dinding bilik ini tidak terdapat gambar wanita itu.
Che Enon dan Zana menghampiri. Seperti Audra, mata mereka terus terancap pada potret itu. Sebelum ini, Che Enon sendiri tidak pernah melihat potret itu. Barangkali Tuan Syed Zikri yang membawanya tempoh hari ketika lelaki itu datang ke sini.
“Ini Syed Zarkasyi,” ujar Che Enon.
“Ini isteri Syed Zarkasyi?” tanya Audra yang terus melihat potret itu. Seraut wajah ayu yang berdiri di samping Syed Zarkasyi menyapa pandangan matanya sehingga redupan renungan mata si gadis itu membuatkan jiwa Audra disapa kesayuan.
Che Enon mengangguk. “Ini Nurul Anis, isteri Syed Zarkasyi." Che Enon diruntun pilu. "Nurul Anis menjadi orang gaji di sini sebelum Che Enon datang. Selepas mereka di halau dari sini, baharulah Che Enon diambil berkerja. Jadi, Che Enon tak pernah berjumpa dengan mereka berdua."
Zana berdiri di sisi Audra. “Cantik, kan?” soalnya mengunjuk kepada potret Nurul Anis. Lalu tangannya memeluk bahu Audra.
“Hmm,” Audra mengangguk. Ibu Tuan Syed Zikri memang cantik. Ada lesung pipi dikedua-dua belah pipinya. “Cantik sangat!” tiba-tiba dadanya terasa sebak apabila mengingat semula kisah percintaan antara Nurul Anis dan Syed Zarkasyi yang telah diceritakan Che Enon. Che Enon sendiri mendengar cerita itu dari pekerja yang lain. Kisah cinta yang sangat tragis.
“Namanya Nurul Anis. Disebabkan dia tidak berdarah Syed dan Syarifah, dan juga kerana dia orang gaji di rumah ni, dia telah dihalau pergi dari sini,” cerita Che Enon lagi walaupun dia telah menceritakan kepada mereka sebelum ini.
Audra yang sudah semakin tenggelam dengan kisah cinta Nurul Anis dan Syed Zarkasyi, menarik nafasnya dalam-dalam. Nurul Anis dan Syed Zarkasyi, sudah kembali menghadap Illahi. Mereka yang ada di sini, akan cuba membantu Syed Zikri yang cuba mencari ketenangan diri. Semoga Syed Zikri berjaya membuang semua kisah hitam yang pernah berlaku di Rumah Warisan ini dan mengukirkan kisah-kisah indah di dalamnya semula.
“Okeylah," Audra memandang mereka dengan rasa semangat. "Tak apa, biar Audra uruskan semuanya!” ujar Audra kemudian. Satu senyuman lebar dihulurkan dan sekaligus mematikan suasana sedih yang menyelubungi mereka sebentar tadi. “Jadi, sekarang Audra minta Che Enon dan Zana keluar dari sini." Audra menarik tangan Zana dan Che Enon hingga ke muka pintu. Bukan niatnya nak menghalau mereka, tapi dia perlukan ruang untuk bersendirian bagi memastikan dia dapat melakukan yang terbaik di kamar utama ini. Demi untuk kisah cinta Nurul Anis dan Syed Zarkasyi dan juga Syed Zikri, yang tidak dikenali.
“Audra!” jerit Zana dengan geram.
Tanpa mempedulikan kemarahan Zana, Audra melambai-lambai pada Zana lalu menutup daun pintu. Dia perlukan waktu bersendirian. Zana yang berada di depan pintu menggelengkan kepalanya. Dia melirik Che Enon yang hanya tersengih-sengih.
“Audra! Kalau mahu apa-apa untuk tukar langsir atau cadar, boleh cari dalam bilik stor di tingkat dua! Di sebelah hujung, kiri sekali!” jerit Che Enon dari luar.
“Baik Che Enon!” balas Audra dari dalam. Audra berpaling, lalu matanya terus memandang Pak Dollah yang masih berdiri di situ. Dia seakan terlupa dengan kehadiran Pak Dollah.
“Pak Dollah pun nak kena keluar juga?” tanya Pak Dollah. Rasanya, sekarang ini Audra lebih berkuasa dan arahannya perlu diikuti. Semuanya atas arahan Tuan Syed.
Audra diam seketika. Dia tak mungkin dapat menyusun semula kamar ini seorang diri. Apatah lagi melihat kepada perabot-perabot kayu yang besar itu. Dia memerlukan kekuatan seorang lelaki yang dicampurkan dengan kekuatan wanitanya untuk mengubah perabot-perabot di dalam kamar ini.
“Pak Dollah boleh ikut Audra!” Audra memeluk tubuh lalu tersenyum. “Tapi, bagi masa untuk Audra sikit, ya.”
Audra memusing-musing di dalam kamar seketika. Dia cuba membawa masuk perasaan Tuan Syed Zikri dalam diri. Lantas dia berdiri dan memandang semula segenap sudut.
Sungguh! Dia memang tak tahu bagaimana mahu mengubah kamar Tuan Syed Zikri. Dia juga seperti Che Enon yang hanya tahu mengemas dan membersihkan. Tetapi disebabkan Che Enon meminta pertolongannya dan menyerahkan kamar utama ini kepadanya, maka dia harus melakukan sesuatu yang terbaik mengikut kemampuan diri. Demi untuk tidak menghampakan orang-orang yang berharap padanya. Biarlah dia tidak tahu apa-apa, cukup hanya dia tahu Tuan Syed Zikri tidak mahu kenangan silam mengganggunya.
Audra ke dinding kiri yang banyak tergantung potret-potret ahli keluarga itu. Sekali lagi dia memandang semuanya.
“Kalau aku adalah Syed Zikri, aku tak mahu melihat semua ni. Mungkin ada sedikit dendam dalam diri. Tapi yang penting untuk membuang rasa dendam, semua kenangan perlu ditinggalkan.”
Audra menarik kerusi kecil lalu naik ke atas kerusi itu dan menurunkan semua gambar-gambar yang ada di dinding kiri. Melihat tindakan Audra itu, terkoncoh-koncoh Pak Dollah mendekati dan membantunya. Gambar-gambar itu diletakkan di luar bilik. Kemudian, dia memerhati dinding kanan yang juga dihiasi dengan satu gambar air terjun elektronik. Bila dibuka suisnya, air terjun itu kelihatan bergerak. Sangat cantik! Gambar itu dibiarkan di situ.
Di kamar itu juga terdapat sebuah patung kuda hitam yang diletakkan di sudut kepala katil. Bukan itu sahaja , terdapat juga patung kepala singa yang diletakkan di atas kepala katil. Kepala patung sunga itu bukan sahaja terdapat di bilik itu tetapi kebanyakan ruang di rumah itu.
Setahu Audra, dalam rumah orang Islam, tidak elok meletakkan patung sebagai perhiasan. Dia perlu buang semua ni! Lantas Audra meminta Pak Dollah agar mengeluarkan patung kuda dan kepala singa itu dari dalam kamar.
Cadar, selimut tebal dan langsir semua dikeluarkannya. Setiap majalah yang terletak di dalam rak juga dikeluarkan. Hampir keseluruhan isi dalam kabinet dikeluarkannya. Semuanya barang-barang yang pada pendapatnya tidak perlu ada di keluarkan. Kemudian, dia membuka setiap pintu almari. Semua pakaian dan sepatu yang ada di situ dikeluarkannya juga. Dia pasti semua barang itu bukan milik Tuan Syed Zikri melainkan semuanya adalah kepunyaan Tuan Syed Hussin. Sebab, dia terlihat satu bagasi baju di tepi katil. Jadi tentu sahaja yang di dalam bagasi itu sahaja kepunyaan Tuan Syed Zikri. Dia yakin dengan telahannya apabila Pak Dollah mengesahkan pendapatnya itu benar.
“Wah! Sekarang semuanya dah kosong!” Audra tersenyum sambil menepuk-nepuk tangannya kerana gembira. Tiba-tiba matanya terpandangkan sehelai kot hitam yang disangkut di palang berdekatan dengan pintu kamar mandi. Audra terus menuju ke situ dan mencapai kot hitam itu lalu disangkut ke bahunya.
Audra membuka pintu kamar mandi. Terbeliak biji matanya. Kamar mandi sahaja lebih besar dari bilik asrama mereka. Masyaallah, kamar mandi ini sangat mengkagumkan. Bukan sahaja kebersihan dan kecantikan kamar mandi ini yang dikagumi Audra, malah peralatan elektronik yang digunakannya juga canggih.
Setelah puas melihat kamar mandi itu, Audra menutup semula pintunya dan bergerak ke depan. Kot hitam itu diletakkan bersama longgokan barang yang telah di keluarkannya.
Audra berdiri di pintu masuk ke kamar utama sambil memandang ke dalam ruang yang hampir kosong itu. “Perfect!” ujar Audra. “Sesi pertama dah selesai. Pak Dollah,” Matanya terus melirik Pak Dollah yang terus setia menanti arahannya. “Jom kita ke sesi yang kedua! Wallpaper!” Audra mengambil salah satu gulungan wallpaper yang telah dibeli mereka.
Wallpaper yang bertanahkan warna biru laut dan bercorak bulat pelbagai warna itu menjadi pilihan Audra. Moga-moga pilihannya ini bersesuaian dengan kesukaan Tuan Syed Zikri.
“Kita nak lekat satu bilik?” Ada nada terkejut dari pertanyaan Pak Dollah itu.
Audra sudah ketawa. Dia tahu, Pak Dollah sudah keletihan. “Taklah Pak Dollah. Kalau lekat satu bilik, serabut jadinya. Kita lekat kat dua bahagian sisi saja.”
Pak Dollah menghembus nafas kelegaan.
Satu jam kemudian, setelah mereka bertungkus lumus melekatkan wallpaper itu dibahagian yang dipilih Audra, baharulah hasilnya terlihat. Hasilnya itu membuatkan Audra tersenyum. Benar kata pepatah mat salih, less is more!
Sekarang masanya untuk menyusun perabot dan menyarungkan semula alas yang baru! Tak banyak perabot yang boleh diubah di kamar itu. Kebanyakan kabinet dan almari, terlekat terus di dinding. Hanya yang diubah Audra dan Pak Dollah adalah kedudukan katil dan kedudukan sofa bersama meja kecil.
Sebelum dia berpaling untuk keluar dari kamar itu, matanya terancap pada potret kedua-dua orang tua Tuan Syed Zikri. Dia berfikir seketika. Lantas gambar itu diambil bersama Pak Dollah lalu diletakkan di dinding, di atas kepala katil. Dia tersenyum. Tentu Syed Zikri suka! Bila Syed Zikri masuk sahaja ke dalam kamar itu, perkara pertama yang dia akan lihat adalah wajah kedua-dua orang tuanya!
Audra sudah berlari turun ke tingkat dua. Dia membuka pintu kiri yang paling hujung sekali, seperti pesan Che Enon. Stor yang dikatakan Che Enon itu menyimpan sejumlah set-set cadar dan selimut tebal, kain langsir, haruman dan segala keperluan di rumah besar itu.
Pening Audra mahu memilih apa sesuai untuk digunakan di kamar Tuan Syed Zikri. Bermacam-macam corak yang dan warna yang ada. Audra duduk berfikir seketika tema warna apa yang akan digunakan untuk seorang ahli perniagaan bujang seperti Tuan Syed Zikri.
“Macam mana kalau warna biru gelap dan putih?” Audra berkira-kira sendiri.
“Bolehlah," Lantas Audra memilih segala yang diperlukan mengikut temanya. Apabila kedua tangannya sudah tak mampu menampung pelbagai barang yang mahu digunakan, lantas dia meminta bantuan Pak Dollah.
Usai memilih dia kembali semula ke kamar utama dan memasang semuanya semula dan setia dibantu oleh Pak Dollah. Setelah selesai, dia terdiam di situ. Dia memerhatikan sekitar kamar yang telah berubah.
“Okey, tapi macam kosong je!” dia berbicara sendiri. “Too simple! Ah, lantaklah janji bilik ni nampak baru untuk Syed Zikri sudahlah.” Akhir sekali, Audra meletakkan haruman lavender di kamar itu. “Ah, nyaman!” Audra memang sukakan bau lavender. Harap-harap Syed Zikri juga menyukainya.
Lantas bagasi yang baru dibawa Syed Zikri di letakkan di sebelah katil. Dia boleh sahaja mengeluarkan semua barang-barang Syed Zikri dan simpan di dalam almari. Tapi rasanya tak perlu. Lagipun, dia tiada keizinan untuk berbuat begitu. Biarlah, bila Syed Zikri datang, tahulah dia nak masukkan sendiri barang-barangnya.
Audra menghembuskan nafas kelegaan. Sekeliling kamar dipandangnya.
Bagaimanalah selama ni Che Enon menjaga dan membersihkan rumah sebesar ini? Bilik yang satu ini sahaja sudah meletihkan.
“Audra!” Kedengaran ketukan di muka pintu. Lantas Audra membuka daun pintu. “Kau okey?” tanya Zana.
“Huh! Letih sangat! Tapi dah sudah!” ujar Audra.
Zana melangkah ke dalam untuk melihat hasil kerja sahabatnya. “Okey, kemas. Tapi kosong dan terlalu ringkas!”
“Biar kosong dan ringkas, janji tak serabut. Lagipun semua barang-barang yang tak perlu dah aku letak kat depan!”
Zana tahu itu kerana dia sudah lihat semua barang-barang yang terkumpul di depan. “Tak pe ke kau nak keluarkan semua barang-barang tu?” tanya Zana ragu-ragu. Manalah tahu kalau Tuan Syed Zikri marah. Lagipun semuanya yang dikeluarkan Audra sangat berharga.
“Tak pe, percayalah!” Yakin sahaja Audra bersuara. “Kalau dia marahkan Che Enon, maknanya dia marahkan aku. Tapi kalau sampai perkara tu berlaku, aku picit-picit hidung dia nanti. Orang dah buat habis terbaik, bukan nak berterima kasih!” ujar Audra bergurau.
Zana hanya menggelengkan kepala. “Kalau macam tu tak pelah. Dahlah! Jom turun makan!” ajak Zana. “Nak dekat jam dua dah tau! Che Enon dah sediakan makan untuk kita!”
Jam dua? Terkejut Audra. Masanya berjalan begitu sahaja. Terlalu pantas. Sedari tadi dia tidak merasa apa-apa tetapi sebaik sahaja Zana mengatakan makanan sudah tersedia, terus perut Audra terasa lapar.
“Jomlah! Aku dah lapar sangat ni!”
Zana melirik Pak Dollah yang sudah bersandar keletihan. “Pak Dollah okey ke?”
Pak Dollah memandang Zana. “Okey tu, okeylah. Penat sikit. Tapi nak buat macam mana kalau kawan kamu tu dah terover dos tahap lincahnya! Tak larat Pak Dollah!”
Audra sudah tersengih-sengih memandang Pak Dollah. Mereka membiarkan Pak Dollah berehat seketika. Setelah kekuatan Pak Dollah pulih sedikit, mereka bersama-sama menuruni anak-anak tangga hingga ke bawah dan terus menuju ke meja makan. Kebetulan Che Enon baru keluar dari dapur dengan membawa semangkuk potongan buah sebagai permulaan hidangan.
Liar mata Audra memandang hidangan di atas meja. “Wah! Alhamdulillah, rezeki Allah.” Ceria sahaja wajah Audra melihat pada gulai ayam, sambal perut, ayam masak merah, sayur kacang, sup tulang dan sayur campur. Zana sudah tersenyum. “Che Enon yang masak semua ni?” tanya Audra.
“Kami masak berdua!” ujar Zana kemudiannya.
Terus Audra memandang Zana. “Eh, jadi kau tak tolong Che Enon kemaskan bilik?” tanya Audra.
Zana menggeleng. “Kata Che Enon, buat masa sekarang biar bilik-bilik dan sudut-sudut yang Tuan Syed akan guna sahaja yang disusun semula. Yang lain-lain tu tak berapa penting sangat!” balas Zana. “Cuma sekarang, tinggal pejabat Tuan Syed yang kau kena uruskan!”
“Apasal aku lagi? Kaulah pulak!” ujar Audra.
“Eh, mana boleh! Kan kau yang cakap kau tahu apa nak buat! Aku tak kata apa-apa!” Zana mengelakkan diri.
“Tak baiklah kau ni!” Audra sudah menarik muka panjang.
“Sudah! Sudah!” sampuk Che Enon yang hanya memerhati. “Betul kata Zana tu. Sekarang ni, kita makan puas-puas lepas tu Audra sambung susun pejabat Tuan Syed. Che Enon dan Zana akan sediakan minum petang untuk kita. Special punya!”
Wajah Audra berubah ceria. “Special Che Enon? Eeiii, bestnya!” Audra sudah tidak sabar. Kerusi di tarik dan punggung dilabuhkan.
“Ni semua Che Enon dan Zana masak untuk Audra. Audra paling suka yang mana?” tanya Che Enon.
“Semua Audra suka! Audra suka makan! Apa-apa pun jenis makanan Audra suka. Tinggal tolak batu dengan kayu je!” Audra tersenyum.
“Audra ni memang tak memilih makan Che Enon. Semua dia bedal je! Tapi badan macam tu jugak. Tak gemuk pun. Zana ni hah!" Zana menunjukkan tubuhnya. “Makan sikit berat pun naik!”
“Tak pe, tak pe. Naik pun tak pe! Makan je! Rezeki Allah!” ujar Audra sambil tersengih melihat mulut muncung Zana.
“Dah! Dah! Makan! Baca doa dulu.” Che Enon menadah tangan. Begitu juga dengan mereka berdua. Setelah itu mereka menikmati hidangan tengahari dengan mulut yang terkunci.
Memang mereka berdua sentiasa ingat pesan orang tua. Tak elok makan sambil bercakap. Mereka juga kurang senang jika melakukan hal itu. Maka, sunyilah suasana hingga makan tengahari selesai.
“Audra, Zana,” dengan perlahan Che Enon bersuara, sekaligus mengganggu fokus mereka yang sedang menikmati hidangan. Mulut mereka berhenti mengunyah dan mata mereka memandang tepat pada Che Enon. “Tadi, Che Enon dapat panggilan. Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri akan datang ke sini. Dia nak jumpa dengan Audra dan Zana.”
Lantas, Audra dan Zana berpandangan. 

No comments:

Post a Comment