Friday, 6 July 2012

Ilham Hati 7





TOK!! TOK!! TOK!! Ketukan pintu yang bertalu-tali itu membuatkan Jalil yang sedang lena diulit mimpi, terkapa-kapa bangun dari tidurnya. Seraya dengan itu, kedengaran ucapan salam dari luar rumahnya.

"Celaka! Sapa pulak yang datang?! Kacau betul!!" Jalil dengan wajah bengisnya sudah memaki hamun tetamu yang datang. "Huargh.......!!!!" Jalil menguap dengan besar sambil mengeliat malas. Sengaja dibiarkan tetamu yang datang menunggu lebih lama. Biarkan!!

Setelah puas membiarkan tetamunya menunggu, Jalil bangun dengan longlai menuju ke muka pintu. Sempat dia menangkap jam yang menunjukkan angka satu tengahari. Waktu begini, Zaiton masih pasti sudah pulang dari pasar, dan tentunya dia sudah keluar semula untuk memenuhi temujanjinya. Hafiz pulak, tentu sudah hilang ke sekolah.

Mengingatkan Zaiton, hatinya terdetik rasa kagum dengan adiknya. Berbekalkan wajah yang cantik, ia menggoda lelaki untuk kepentingan diri. Lelaki-lelaki bodoh tu pulak, sentiasa menurut kemahuannya. Kali ini, mangsanya adalah Rahim, seorang lelaki yang diawal lima puluhan. Padan muka Si Rahim, sudah punya isteri dan anak lima, masih gatal mencari betina!

Dia memang berdendam dengan Rahim. Setiap kali mereka berjudi, Rahim selalu menang. Hutangnya dengan Rahim juga banyak. Mujurlah ada Zaiton. Zaiton yang selalu memujuk Rahim agar mengurangkan hutangnya. Namun, masih belum cukup. Hutangnya masih berbaki tiga ribu. Jika tidak kerana tiket loterinya dikoyak Amani, pasti hutangnya pada Rahim sudah tertuntas.

Jalil membuka pintu dengan kasar. "Apa kau nak, Hah?!!!" Jalil menguap besar lagi. Kemudian, dia memandang pada tiga orang lelaki di depannya. Lelaki muda dan seorang lelaki yang sudah agak berumur itu, pernah dilihatnya. Mereka pernah datang ke rumahnya untuk mencari Amani. Pandangan Jalil berlih pada seorang lagi lelaki yang kelihatan sebaya dengannya. Lelaki itu kelihatan tegap dan kelihatan begitu berkarisma sekali.

 "Amani tak de kat sini!" pantas Jalil bersuara dan mahu menutup pintu semula.

Izz yang dapat membaca tindakan Jalil, segera menahan daun pintu. "Amani ada dengan kami!" ujar Izz.

Mendengarnya membuatkan Jalil ketawa besar. "oh.... Jadi, kurang dah culik Amani?" Jalil ketawa lagi. Kali ini ketawanya semakin besar. "Habis tu, kurang datang sini nak minta duit tebusan?" Satu dengusan kasar dilepaskan. "Pergi mampuslah  dengan budak tu! Aku peduli apa kalau kurang dah culik dia! Korang nak bunuhkah, ambil dia jadi pelacur kah, tak ada kena mengena dengan aku?"

Berdesing telinga Tuan Helmi mendengar kata-kata Jalil. Memang Jalil adalah syaitan yang bertopengkan manusia!  Memang patut Amani keluar dari rumah ini! Dada Izz juga sudah berombak mendengar setiap perkataan Jalil. Kalau diikutkan hati. Mahu sahaja dia menghadiahkan satu tumbukan di mulut Jalil yang lancang.


"Sudahlah! Pergi balik! Jangan buang masa aku! Jangan harap aku nak bagi duit untuk tebus budak tak guna tu! Lagipun, aku sendiri yang halau dia dari sini!" Jalil mahu menutup pintu lagi.

Dengan pantas, Izz menahannya lagi. "Kami ada bisnes yang nak ditawarkan," ujar Izz.

"Bisnes?" Jalil sudah membuat muka menyampah. "Bisnes apa? Aku tak minat nak bisnes-bisnes semua. Sekarang ni, aku nak masuk dalam, tidur!!!"

"Saya boleh bagi awak sepuluh ribu ringgit.....!" Pantas Tuan Helmi bersuara.

"Hahahaha.....!!"Jalil ketawa besar. "Kau nak bagi aku sepuluh ribu, macam tu je???" Memang tak masuk akal! Dia yang ambil Amani, tapi dia pulak yang nak memberi wangnya.

"Kalau awak tak nak, saya boleh beri awak lebih dari tu. Bagaimana Kalau, tiga puluh ribu ringgit?" Tuan Helmi menaikkan harga tawarannya.

Terbeliak biji mata Jalil mendengar tawaran itu. Betulkah? Tapi untuk bisnes yang bagaimana?


"Awak kelihatan berminat Encik Jalil. Apa kata kita bincangkannya di dalam?" tanya Tuan Helmi.

Tanpa menunggu persetujuan dari Jalil, Izz menolak pintu dengan luas. Tuan Helmi masuk ke dalam. Disusuli dengan Izz dan Pak Bakar.

Jalil masih terpaku di situ. Siapa mereka? Bagaimana mereka boleh tahu namanya? Dia memandang mereka yang sudah melangkah masuk ke dalam. Jangan-jangan, mereka adalah ahli kongsi gelap! Matilah dia! Memang cari nahas kalau terbabit dengan kongsi gelap! "Kamu semua nak apa sebenarnya?" suaranya sudah merendah.

"Tak perlu saya perkenalkan siapa kami semuanya," ujar Tuan Helmi. "Encik Jalil, berapa banyak Amani dan Puan Zaiton berhutang dengan kamu?"

Siapa mereka? Hingga Zaiton juga mereka kenal! "Sepuluh ribu."

"Baiklah, Kalau begitu, saya akan beri sepuluh ribu sebagai membayar hutang mereka. Saya akan tambah lagi sepuluh ribu ringgit dengan syarat, kamu takkan mengganggu Amani lagi," tawar Tuan Helmi. Manalah tahu, Kalau suatu hari nanti Jalil akan kembali mengganggu Amani. "Dan saya akan tambah lagi sepuluh ribu ringgit untuk membawa Puan Zaiton keluar dari sini. Jadi, jumlahnya adalah tiga puluh ribu ringgit. Bagaimana?"

Tiga puluh ribu? Terbeliak mata Jalil. Harga untuk Amani dan Zaiton, tiga puluh ribu? Tapi, apa yang mahu mereka lakukan dengan Amani dan Zaiton? Ah! Peduli apa dengan apa yang akan mereka lakukan! Yang penting, dia mendapat wang yang banyak! Bagus juga menjual orang ni! Untungnya banyak! "Saya tak setuju. Zaiton tu adik saya, tak mungkin saya lepaskan dia dengan mudah." Jalil mula membuat tawaran. Pasti mereka mampu memberi lebih dari itu! Jalil sudah membayangkan not-not RM yang melayang-layang jatuh ke atasnya.

Tuan Helmi memandang Izz. Tak guna betul lelaki ni! Bukan dia tidak tahu, Jalil hanya mahukan harga itu dinaikkan.


Izz yang mengerti maksud pandangan Tuan Helmi itu segera bangun mendekati Jalil. "Awak tahu, Tuan Helmi membuat tawaran hanya sekali!"bentak Izz. "Kalau awak tak setuju, kami akan membawa Puan Zaion dan Amani tanpa satu sen bayaran pada awak!" Izz berbisik di telinga Jalil dengan kasar dan tegas.


Jalil menelan air liurnya. "Baik! Baik tuan! Saya setuju!" Pantas sahaja Jalil bersetuju.

"Bagus!" Tuan Helmi menghulurkan tangannya pada Pak Bakar. Dengan segera buku cek diserahkan oleh Pak Bakar pada Tuan Helmi. Setelah menulis angka dan tandatangan, dia menyerahkan pada Jalil. "Ini, cek bernilai tiga puluh ribu ringgit."

Jalil mengambilnya dengan senyuman yang melebar. Dia sudah menjadi kaya dalam sekelip mata! Belum pernah dia mendapat wang sebanyak itu! "Sekarang juga saya akan kemaskan barang Zaiton!"


Dia terus masuk ke dalam dan setengah jam kemudian, muncul semula bersama sebuah bagasi. "Tapi, tuan..." Jalil terdiam seketika. "Zaiton masih belum pulang."

"Kamu jangan risau, Saya akan jemput dia!" ujar Tuan Helmi.

"Uh?" Jalil tercengang. Tak sangka! Zaiton memang bijak! Memancing lelaki kaya sebagai mangsanya. Kemudian, melarikan diri dengan memberinya wang! Bijak! Bijak! Padan muka si Rahim. Biar dia tahu diri!
Tuan Helmi menggelengkan kepalanya. Begitu mudah wang tidak bernilai itu menjadikan lelaki ini sebagai hamba sehingga sanggup dia menukar adik dan anak saudaranya dengan wang. Begitu bijak sekali syaitan menjalankan tugasnya! Mujurlah Amani ditemuinya. Bagaimana kalau Amani jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab?

Pak bakar mengambil bagasi di tangan Jalil.

"Mari!" Tuan Helmi sudah melangkah keluar dari rumah itu, diekori dengan Pak Bakar di belakangnya.

Izz beralih kepada Jalil. "Ingat! Jangan sesekali mencari Puan Zaiton dan Amani lagi! Mereka berdua tiada kaitan lagi dengan awak!" Izz memberi amaran pada Jalil. Tegas!

"Baik! Baik!!" ujar Jalil dengan gembira. Pandangannya masih belum beralih dari memandang cek ditangannya.


Izz melangkah keluar dengan seribu kesalan. Mengapa manusia sebegini wujud dalam dunia ini?! Sampai sahaja di depan kereta, Izz masuk dan duduk bersebelahan dengan Pak Bakar.

“Kita ke pasar, tempat Puan Zaiton bekerja,” ujar izz pada Pak Bakar.

Pak Bakar menurut arahan Izz tanpa bangkangan. Dia sudah maklum dengan tugas Izz yang bagaikan orang kanan Tuan Helmi. Apatah lagi, Tuan Helmi sudah menganggap Izz seperti anak sulungnya.

Sampai sahaja di pasar, Tuan Helmi membiarkan Izz dan Pak Bakar menguruskan perkara itu dengan Puan Zaiton. Tuan helmi sendiri, hanya bersandar di tepi kereta dan menunggu kedatangan mereka.

“Tuan, saya perkenalkan…..Puan Zaiton.” Suara Izz kedengaran ketika dia sedang ralit melihat telefon bimbitnya. Lantas Tuan Helmi berpaling melihat pada si gerangan yang ditunggu-tunggu.

Zaiton?! Pandangannya terus tertaut pada seraut wajah yang indah. Wajah itu juga seakan terkejut melihatnya. Apakah benar? Atau dia sedang bermimpi? Kenangan cinta silam kembali mengusik emosi.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

"MACAM mana, tuan?" tanya Zaiton yang amsioh berlagak biasa. Walaupun debarannya sangat terasa apatah lagi lelaki itu berada di sebelahnya, namun dia tetap berlagak selamba memandangkan lelaki itu juga kelihatan tenang ketika mereka bertentang mata. Atau mungkin, lelaki itu sudah melupakannya?

"Alhamdulillah.... Semuanya dah selesai." Tuan Helmi mengukirkan senyuman apabila meliha Zaiton menghembus nafas kelegaan.

"Terima kasih banyak-banyak, tuan. Saya janji, semua hutang saya pada tuan saya akan langsaikan! Begitu jugak dengan hutang Amani pada tuan. Saya akan bekerja bersungghuh-sungguh!" Zaiton kelihatan begitu bersemangat sekali..

Tuan Helmi ketawa besar. Zaiton kelihatan bersemangat untuk mulakan hidup baru. "Tak apa Puan Zaiton. Tak perlu terburu-buru bayar hutang saya. Mulai esok, awak boleh bekerja dengan saya."

 Kata-kata Tuan Helmi membuatkan Zaiton bertambah yakin bahawa lelaki itu sudah melupakannya. Sampainya hati! Sekiranya benar, Tuan Helmi sudah melupakannya, dia juga perlu berpura-pura tidak mengingati lelaki itu lagi.

"Terima kasih tuan. Kalau tak ada tuan, tak tahulah apa nasib Amani. Mungkin sampai bila-bila saya takkan jumpa anak saya lagi." Itu adalah ikhlas di hatinya. Mungkin dia tak pernah melayani Amani dengan baik. Tapi Amani tetap anaknya. Dia sayangkan Amani.

"Buat masa ni, saya masih belum cari rumah sewa untuk Puan. Nanti saya akan minta Izz carikan. Buat masa sekarang, puan tinggal bersama saya dulu."

"Maaflah... Saya dah menyusahkan tuan." Zaiton tertunduk. "Tuan tak perlu panggil saya puan. Panggil saya Zaiton saja. Saya cuma orang biasa." Zaiton merendah diri.

Tuan Helmi tersenyum. "Awam selesa kalau saya panggil nama saja?" tanya Tun Helmi.

Zaiton mengangguk.

Tuan Helmi tersenyum. Dia juga senang jika dapat memanggil Zaiton dengan namanya sahaja. "Begini, Zaiton. Mulai esok, awak akan mula bekerja dengan saya. Setiap bulan saya akan bayar gaji awak macam pekerja lain," ujar Tuan Helmi lalu  diam seketika.

 "Kalau boleh, saya mahu awak hantar Amani ke sekolah semula,” sambung Tuan Helmi setelah diam agak lama.

"Sekolah?!" terkejut Zaiton dengan permintaan itu.

"Kenapa?" tanya Tuan Helmi apabila melihat reaksi Zaiton. "Awak tak suka Amani ke sekolah? Awak jangan risau, gaji awak cukup untuk membiaya persekolahan Amani."

Zaiton sudah mengelabah. Macam mana ni? "Bukan macam tu, tuan. Hutang saya dengan tuan terlalu banyak. Kalau Amani bersekolah, saya...." Zaiton menggosok pipinya. Bagaimana dia mahu menerangkan kepada Tuan Helmi?

"Apa yang awak takut? Hutang tu, belakang kira. Yang penting, awak uruskan persekolahan Amani. Kalau ada duit lebih, baru awak bayar pada saya secara ansuran," ujar Tuan Helmi.

Zaiton diam. kalau Amani bersekolah, dia tak dapat menggunakan wang lebih untuk membeli barang-barang kesukaannya, alat solek, baju, kasut! Hmmm....Dah tu, Kalau Amani ikut bekerja, dapatlah mereka gaji untuk dua orang. Tak perlulah dia bahagikan wang untuk Amani. Apa kata Kalau Amani buat kerja separuh masa. Gaji Amani nanti, bolehlah Amani menanggung persekolahan dia sendiri. Tapi, Kalau dia cadangkan begitu pada Tuan Helmi, tentu Tuan Helmi akan pandang serong padanya. Pasti dia akan kelihatan buruk di mata lelaki itu.

"Macam mana Zaiton?" tanya Tuan Helmi apabila melihat wanita di sebelahnya hanya membisu.

"Ya! Saya setuju. Lagipun, Amani masih muda. Dia perlu belajar sehingga habis sekolah." Dalam terpaksa Zaiton mengukirkan senyuman.

"Sampai habis sekolah je?" kepala Tuan Helmi tergeleng.

 Zaiton sudah termalu sendiri. Salahkah perkataannya?

"Amani tu bijak budaknya! Dia sepatutnya belajar tinggi! Tinggi selagi dia mahu belajar!" Tuan Helmi memandang Zaiton.

Macam mana Tuan Helmi tahu yang Amani bijak orangnya? Ketika PMR dulu, Amani mendapat enam A. Hanya dua mata pelajaran yang hanya mendapat gred cukup makan iaitu Bahasa Inggeris dan Agama.

"Saya lihat Amani sangat berpotensi dalam seni. Masa depannya sangat cerah dalam bidang ni." Tuan Helmi memandang pada Zaiton.

Zaiton kelihatan kurang mempercayai apa yang dikatakan Tuan Helmi. Tak mungkin Amani berpotensi dalam bidang seni. Dia tak pernah melihat apa-apa yang dilakukan Amani berkaitan dengan seni. "Bidang seni yang macam mana?"

"Seni lukis. Dia punya bakat yang sangat besar dalam lukisan. Kalau kita terapkan dia dalam bidang ini, dia boleh pergi jauh!" Tuan Helmi kelihatan sangat teruja apabila bercakap tentang Amani. Wajah Zaiton yang kebingungan dipandangnya. "Awak tak pernah lihat dia melukis? Awak tak tahu dia boleh melukis?"

Zaiton yang kebingungan sudah mengukirkan senyuman bersama tawa untuk menyelindungi kebingungannya. "Ya!" dia ketawa lagi. "Amani memang berbakat dalam lukisan. Dulu, dia selalu menang dalam pertandingan. Lukisan dia selalu mendapat pujian dari cikgu!" Zaiton sudah menokok tambah cerita.

Izz yang hanya menjadi pendengar sudah tergeleng kepalanya. Kenapa dia merasakan apa yang dikatakan Puan Zaiton itu semuanya tidak benar. Dari suara Puan Zaiton sahaja, dia dapat merasakan yang Puan Zaiton langsung tak mengenali siapa Amani.

 %%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

SETIBANYA di Ilham Hati, Tuan Helmi terus membawa Zaiton masuk ke Ilham Hati. Izz hanya memerhatikan sahaja segala tindak tanduk Tuan Helmi. Selain Amani, Puan Zaiton telah menjadi orang kedua yang dibawa masuk Tuan Helmi untuk tinggal bersama mereka di Syurga Ilham Hati. Entah kenapa, kata-kata amaran Amani sedang bermain diingatannya. Apakah mereka telah melakukan kesalahan?

Dalam rasa keliru, dia melihat kelibat Tania yang baru melangkah masuk ke dalam Ilham Hati. Dia terus menghampiri Tania. "Tania baru balik?" tanya Izz.

"Abang Izz." Melihat kelibat Izz, Tania sudah mengukir senyuman. Hilang semua segala kepenatannya yang terpaksa pulang sendiri dengan menaiki teksi. Hari ini papa membawa Pak Bakar dan Izz bersamanya, jadi dia perlu pulang sekolah sendiri. "Baru sampai saja Abang Izz." Tania melirik jam ditangan yang sudah menunjukkan angka tiga.

"Tania dah makan?" tanya Izz. Tania menggelengkan. Seraut wajah yang meminta simpati terukir.

"Kalau macam tu, Tania pergi bersihkan diri, lepas tu, makan," usul Izz. Izz menarik nafas panjang dan melepaskannya semula.

"Kenapa?"tanya Tania apabila melihat wajah Izz yang kelihatan sedikit tegang.

Izz memandang Tania. "Kami dah jumpa dengan Puan Zaiton, ibu Amani."

Wajah Tania berubah gembira. "Betul?" tanya Tania. Izz mengangguk. "Alhamdulillah..... Dapat juga Amani berjumpa dengan ibu dia."

Izz mengukir senyuman kelat. Entahlah kenapa dia tidak dapat merasa gembira seperti mana yang dirasakan Tania saat ini. "Kalau Tania nak jumpa dan berkenalan dengan ibu Amani, Tania boleh pergi ke ruang makan. Tuan Helmi sedang makan bersama Puan Zaiton dan Pakcik Bakar."

"Abang Izz tak makan sekali?" tanya Tania. Kalau mereka ada di ruang makan, tentu sahaja mereka semua baru pulang.

Izz menggeleng. "Kejap lagilah. Abang Izz nak cari Amani. Tuan Helmi nak temukan Amani dengan ibunya."
"oh...."Tania mengangguk. "Kalau macam tu, Tania pergi dulu. Tapi Abang Izz jangan lupa pergi makan lepas ni. Nanti masuk angin pulak perut tu." Tania berlalu pergi.

Izz tersenyum. Tania memang selalu prihatin tentang dirinya. Izz berpusing mahu mencari Amani. Dia masuk ke dalam tempat mewarnakan kain. Dia berpusing sekeliling kawasan. Namun kelibat Amani tak kelihatan. Izz melangkah pula ke gudang. Mungkin Amani ada di situ.

Setelah melalui kawasan jemuran, Izz membuka pintu gudang setelah berasa di depannya. Gudang yang gelap itu kelihatan cerah apabila cahaya matahari memancarkan melalui pintu yang terbuka. Gudang ini gelap! Lampu tidak dibuka. Jadi, Amani mungkin tiada di dalam. Walaupun Izz merasakan begitu, entah mengapa dia melangkah juga masuk ke dalam.

Perlahan-lahan dia melalui lorong-lorong kecil di situ. Apabila tiba di lorong yang terakhir, kelihatan Amani sedang duduk melutut di lantai. Dia memandang jauh menembusi tembok gudang. Fikirannya tidak lagi bersama jasadnya.

Izz mengukirkan senyuman. Amani memang aneh. Kerusi dan meja yang selesa sudah di sediakan di bahagian hadapan, namun di bahagian tersorok ini juga Amani mahu berehat. Dah tu, di atas lantai pula. Izz mendekati Amani dan duduk di atas lantai di sebelahnya.

Amani yang menyedari kehadiran Izz, memandang lelaki itu dengan ekor matanya. Kemudian, dia memandang semula ke depan. "Dia dah sampai?" tanya Amani. Kehadiran Izz di sini bermakna mereka telah berjaya membawa Zaiton ke mari.

"Maksud awak, mak awak?" Izz sengaja bertanya walaupun dia tahu siapa yang dimaksudkan Amani.

Amani membisu. Dia memejam matanya seketika. Jika mak sudah ada di sini, peluangnya untuk pergi dari sini akan menjadi tipis. "Jangan menyesal kalau sesuatu berlaku dalam keluarga Tuan Helmi!"

Izz mengalihkan perhatiannya pada Amani. Sudah sekian kali Amani berkata begitu. Izz sudah menjadi takut dengan setiap amaran Amani. Bagaimana jika semuanya benar?

"Awak terlalu ambil berat dengan keluarga Tuan Helmi, kan?" tanya Amani. Izz hanya membisu. Dibiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. "Mulai hari ini, awak perlu lebih mengambil berat dengan keluarga ini."

Izz terus membisu. Namun kemudian, dia mengukirkan wajah keriangan kembali. "Saya tak sangka awak selalu menang pertandingan!" Izz sudah mengalihkan topik dan berpura-pura gembira. Dia tidak mahu setiap amaran Amani mengganggu ketenangannya.

Amani yang kebingungan dengan omongan Izz terus beralih memandangnya.

"Mak awak kata, awak selalu menang pertandingan lukisan di sekolah. Saya pun dah lihat awak melukis. Tuan Helmi juga suka dengan hasil kerja awak." Izz terimbau semula ada malam ketika Amani menyambung lukisan Tuan Helmi di Kamar Ilham.

Amani ketawa sinis. "Saya menang pertandingan?" Kepala Amani tergeleng. Pasti mak yang mereka cerita! "Saya tak pernah masuk apa-apa pertandingan!" tegas Amani. "Dan, malam ketika saya di Kamar Ilham, menyambung lukisan Tuan Helmi, itu adalah kali pertama saya melukis di atas kanvas. Sebelum ni, saya cuma melukis di atas tanah!"

Izz merenung mata Amani. Amani bercakap benar! Dia melihat kebenaran itu dari matanya! "Tapi mak awak cakap, awak selalu menang dalam pertandingan lukisan."

"Sebab dia mak saya, awak percaya pada dia?"Amani memandang Izz. "Dia mungkin mak saya, tapi saya anak yatim piatu sejak dilahirkan!" Amani terus bangun dan berlalu keluar.

Izz yang masih keliru dan bingung hanya bangun dan mengambil langkah Amani yang sudah keluar dari dalam gudang.  "Tuan Helmi mahu berjumpa awak! Mak awak ada di sini!" ujar Izz.

"Saya tak nak jumpa dia!" Amani terus berjalan tanpa menoleh memandang Izz.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

1 comment: