Friday, 23 November 2012

Ilham Hati 11








IZZ BERSANDAR di badan kereta sambil memeluk tubuh dan memandang terus ke arah pintu pagar sekolah. Dia melirik jam ditangan. Bila-bila masa dari sekarang, pasti loceng sekolah akan berbunyi menandakan tamat waktu persekolahan pada hari itu.

Belum pun sampai satu minit dia berfikir demikian, terdengarlah bunyi deringan loceng sekolah. Nyaring dan membingitkan telinga. Izz menarik nafas lega. Akhirnya, penantiannya berakhir juga. Dia berdiri tegak sambil memerhatikan ke dalam kawasan sekolah. Sesekali kepalanya terjenguk-jenguk mencari kelibat Tania dan Amani.

Dalam hatinya sudah tidak sabar mahu mengetahui keadaan Amani yang baharu memulakan sesi persekolahan setelah lama berhenti belajar. Apakah Amani dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru? Dapatkah Amani mengejar kembali pelajaran yang telah lama ditinggalkannya?

Amani hanya memerhatikan tingkah laku pelajar-pelajar di kelasnya yang sudah terburu-buru berlari keluar dari kelas. Dia membiarkan sahaja mereka semua berebut sesama mereka. Dengan tenang dan tanpa berniat mahu terburu-buru seperti pelajar yang lain, Amani menyimpan satu persatu buku-buku latihan yang baharu dibelinya pagi tadi bersama Izz di koperasi sekolah. Buku itu dimasukkan dengan cermat ke dalam beg sekolah. Bagaikan buku-buku itu adalah harta yang paling berharga di dalam dunia ini.

“Kakak! Jomlah! Loceng dah bunyi!” Tania menerpa pada Amani yang masih mengemas beg sekolahnya. Kebetulan, Amani juga ditempatkan di dalam kelas yang sama dengan Tania. Tania gembira bukan kepalang apabila melihat kelibat Amani bersama dengan pengetua masuk ke kelasnya pagi tadi. Namun, sepanjang hari, Amani berpura-pura tidak mengenalinya. Malah, Amani langsung tidak mahu bercampur dan bergaul dengan teman-teman sekelas yang lain.

Amani tidak mengendahkan Tania yang sudah duduk di depannya. Dia masih menunggu di situ walaupun kesemua bukunya telah siap dikemaskan. Dia memerhatikan ke luar tingkap kelas. Pelajar-pelajar dari kelas bersebelahan juga sedang berpusu-pusu keluar. Masing-masing mahu cepat. Entah apa yang dikejarkan mereka.

“Kakak! Loceng dah bunyi!” Tania bersuara lagi. Kali ini suaranya dikuatkan sedikir. Fikirnya, Amani tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi.

“Aku tak pekak!” Mencerlung mata Amani memandang Tania.

Tania menelan air liurnya. “Kakak tunggu apa?” Semua pelajar mahu cepat pulang. Tapi Amani masih membatu di situ.

Amani mendengus kasar. Dia malas mahu melayan Tania. Bibir itu tidak pernah berhenti dari bersuara. Ada sahaja yang mahu dikatakan!

“Kakak tak nak balik lagi?” tanya Amani perlahan. Dia sudah takut dengan reaksi Amani tetapi dia tidak mahu meninggalkan Amani di situ sendirian. Kali ini Tania menerima jelingan yang tajam sebagai balasan dari soalannya. Mungkin, Amani perlukan waktu lebih lama di situ. “Tak apalah. Saya pergi dulu. Saya tunggu akak di depan pintu sekolah ya.” Tania dengan wajah murungnya terus bergerak meninggalkan Amani.

“Tania!” Satu suara menyapa Tania yang baharu melangkah keluar dari kelas.

Amani hanya memerhatikan susuk tubuh seorang pelajar lelaki menghampiri Tania. Wajah Tania yang masam pada awalnya terus berubah ceria apabila lelaki itu muncul. Kemudian, mereka berdua beriringan berjalan pergi dari situ. Barangkali itu adalah teman lelaki yang sering dikatakan Tania kepadanya.

Setelah suasana sudah kelihatan sedikit tenang dan tidak lagi pelajar-pelajar yang buruan keluar dari kelas masing-masing, baharulah Amani bangun lalu mencapai beg sekolahnya dan berjalan pergi dari situ. Dia berjalan perlahan-lahan dan lambat-lambat sambil matanya terus memandang ke bawah.

Sampai sahaja di pintu pagar, langkah kakinya terhenti. Apabila dia mengangkat wajahnya, matanya menangkap seraut wajah Izz yang sedia menanti bersama senyumannya. Di sebelahnya, Tania sedang berdiri sambil memandangnya. Tania melambai-lambai padanya bersama senyuman yang ceria. Pandangan Amani terhala kepada Izz semula. Pandangan mereka berdua kaku di situ.

Melihatkan Amani yang masih terus berdiri tegak di situ, Izz juga mengangkat tangan dan melambai pada Amani, memanggilnya agar mendekati mereka. Namun sayangnya, Amani hanya menjeling lalu berjalan pergi. Izz terkedua seketika apabila melihat langkah kaki Amani yang sudah menjauhi mereka.

Tania sudah ternganga di situ. "Kak Amani nak ke mana tu Abang Izz?" Tania sudah memandang Izz. Kenapa Amani berjalan pergi? Bukankah papa telah berpesan agar mereka ke kedai peralatan persekolahan dan membeli barang-barang keperluan Amani usai tamat hari persekolahan? Amani mahu ke mana?

Izz mendengus. Hilang senyuman di bibirnya dan digantikan dengan ketapan di bibir. Amani memang degil! Sangat sukar untuk mengawal Amani! Sejak pagi tadi, ada sahaja sikap Amani yang bertentangan dengan arahannya. Amani memang sengaja memancing marahnya. "Masuk dalam kereta!" Izz memberi arahan dengan tegas kepada Tania.

Pantas Tania mengangguk lalu bergegas masuk ke dalam kereta dan duduk bersebelahan dengan Izz. Tania mendiamkan diri di sisi Izz. Mulutnya sudah dimuncungkan. Dia tahu, Izz benar-benar marah dengan sikap Amani. Wajah Izz menunjukkan demikian. Dia khuatir memikirkan apa yang bakal terjadi. Izz tak pernah menunjukkan reaksi sebegini apabila bersamanya.

Izz memandu kereta lalu memotong langkah Amani dan memberhentikan keretanya di tepi. Sempat dia menangkap mata Amani yang melirik padanya saat kereta memintas gadis itu. "Tania tunggu di sini!" Izz terus keluar dari kereta. Berdentum bunyi pintu kereta dihempasnya sehingga Tania yang berada di dalam kereta terangkat bahunya kerana terkejut.

Dari dalam kereta, Tania memandang ke luar. Kelihatan Izz sedang melangkah mendekati Amani. Dadanya bergetar kencang. Dia menelan air liurnya kerana takut.

Melihat sahaja kereta yang dipandu Izz baharu sahaja memotongnya dan kemudian terpakir di tepi jalan, langkah Amani menjadi perlahan. Kemudian, dia melihat susuk tubuh Izz keluar dari kereta dan sedang menghampirinya. Mata Amani dan mata Izz terus berpandangan. Pasti Izz mahu memaksanya untuk pulang bersama mereka.

Amani melarikan pandangan matanya apabila mata Izz masih terus terpaku menatapnya dari jauh sambil kakinya melangkah mendekati Amani. Kemudian, Amani meneruskan langkahnya seolah-olah tidak memperdulikan Izz yang sedang menghampiri.

Wajah Izz semakin merah menahan marah apabila melihat Amani terus melangkah pergi dan cuba berjalan di seberang jalan untuk mengelak dari bertembung dengannya. Dia mempercepatkan langkah memotong beberapa pelajar yang datang dari arah bertentangan. Dia semakin menghampiri Amani yang juga datang dari arah bertentangan. Ke mana Amani mahu pergi sedangkan dia sudah berada di hadapan gadis itu yang perlu melalui jalan yang sedang dilaluinya?

"Amani!" Izz sudah berdiri di depan Amani dan menghalangnya dari terus melangkah.

Amani memandang ke tempt lain. Dia tidak mahu memandang wajah Izz yang sudah kemerahan itu. Amani bergerak ke tepi untuk melangkah pergi, namun dengan pantas Izz menangkap pergelangan tangan Amani.

Terus mata Amani memandang Izz. Pandangan mereka bertaut seketika. Amani menjeling lalu menarik tangannya dan bergerak ke tepi untuk meneruskan langkahnya. Dengan pantas, Izz terus memegang beg galas yang dipakai Amani di belakang badannya sehingga langkah Amani terhenti lagi.

"Awak tak dengar arahan yang Tuan Helmi?!” tanya Izz sambil memandang Amani yang sedang membelakangkannya.

Amani hanya membisu dan menyentap beg galasnya dari genggaman Izz dan dia berjaya melakukannya. Tindakan Amani membuat Izz bertambah geram dengannya. Lantas Izz terus menarik beg galas Amani dengan lebih kuat sehingga tubuh Amani terus kebelakang. Mujurlah dia sempat mengimbangi badannya, jika tidak tentu dia sudah terlentang di atas tubuh Izz yang berada di belakangnya.

Apabila Amani sudah berdiri tegak dan dapat mengimbangi semula tubuhnya, dia terus berpaling memandang Izz dengan tajam.

"Saya bercakap dengan awak, bukan dengan bayang-bayang awak!" ujar Izz dengan nada yang tinggi.

“Jangan ganggu saya!!" Amani mengetap bibirnya rapat-rapat.

Izz mendengus kasar. “Kenapa awak degil sangat?!”

Malas mahu meneruskan pertengkarannya dengan Izz, apatah lagi di sekeliling mereka masih penuh dengan para pelajar yang sedang beransur pulang, lalu Amani memusing semula tubuhnya untuk pergi.

Tanpa berkata apa-apa, Izz terus memegang tangan Amani dengan kuat dan terus menariknya sehingga ke kereta. Izz membiarkan sahaja mata-mata yang sudah memandang mereka.

Tania yang terus memerhatikan sedari tadi terkedu melihat Izz yang sedang menarik tangan Amani dengan kasar. Berkali-kali Amani hampir tersandung apabil Izz terus menarik tangannya. Sebaik sahaja Izz dan Amani sampai di tepi kereta, Tania pantas memalingkan wajahnya ke depan tanpa memerhatikan mereka berdua. Belum pernah lagi dia melihat Izz melakukan perkara sebegini. Wajah Izz kelihatan bengis dan garang. Hilang segala ketampanannya.

Izz membuka pintu belakang bahagian kanan. Dia menarik tangan Amani agar masuk ke dalam kereta sehingga Amani terduduk di kerusi belakang. Amani cuba bangun kembali namun Izz terus menolak tubuh Amani agar masuk ke dalam kereta dan terus menutup pintu dengan rapat.

Amani yang sudah berada di dalam kereta memandang Izz yang masih berdiri di sisi pintu. Dia benci dengan Izz! Dia benci pada lelaki yang suka menunjukkan kekuasaannya! Izz sama sahaja dengan lelaki lain! Tak guna!

Setelah Izz bergerak untuk masuk ke dalam kereta, Amani mengambil kesempatan membuka semula pintu kereta untuk keluar.

Namun, Izz lebih pantas. Seolah-olah dia bisa membaca apa yang bakal dilakukan Amani. Terus sahaja dia mencapai lengan Amani sebelum sempat gadis itu pergi. Terus tubuh Amani di sandarkan di badan kereta. “Awak jangan cabar kesabaran saya!”

"Lepaslah!" Amani masih terus membentak. Dadanya berombak laju. Wajah Izz dipandang lama. Kolam matanya sudah terasa panas. Dia menolak tubuh Izz. Tubuh Izz terkebelakang sedikit. Amani terus memandang Izz dengan tajam.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba satu suara menegur mereka.

Pantas Izz dan Amani memandang empunya suara. Kelihatan seorang guru lelaki tegak di hadapan mereka. Sedari tadi guru itu memerhatikan sikap Izz dan Amani.

Tania yang masih membatu di dalam kereta sudah ternganga apabila melihat guru disiplin berada di situ. Dia tahu, mereka sedang berhadapan dengan masalah. Dengan pantas Tania keluar dari perut kereta dan menghampiri Cikgu Haqq, guru disiplin sekolah.

“Cikgu!” Tania sudah berdiri di sisi Izz.

Cikgu Haqq memandang mereka bertiga. “Kamu semua ni ada masalah?”

“Tak, cikgu.” Dengan pantas Tania menjawap.

“Sebenarnya, saya datang nak ambil adik-adik saya,” ujar Izz pula.

Cikgu Haqq memandang Tania dan kemudian Amani. Dia memang telah lama mengenali Tania. Amani pula, dia baharu sahaja bertemu dengan Amani pagi tadi ketika gadis itu berada di pejabat untuk daftar kemasukan pelajar baru.

“Kamu berdua saudara?” tanya cikgu Haqq kepada Tania dan Amani.

“Ya!” Tania mengangguk sambil tersenyum. Dia suka sekali apabila Cikgu Haqq berkata begitu. terasa seperti dia mempunyai kakak sebenar.

Berlainan pula dengan penerimaan Amani. Bersama dengan hembusan nafas yang kasar dan jelingan yang tajam, Amani masuk ke dalam perut kereta. Berdentum pintu dihempasnya.

Terkejut Cikgu Haqq dengan sikap Amani. Seorang gadis yang memiliki seraut wajah yang comel mempunyai sikap yang tidak menghormati orang lain. Apatah lagi di depannya, seorang guru disiplin. Tergeleng-geleng kepala Cikgu Haqq. Nampaknya, dia perlu lebih memerhatikan pelajar baru ini.

“Maaf, cikgu. Saya minta diri dulu.” Tania sudah berlari-lari anak masuk ke dalam kereta semula. Dia agak malu melihat gelengan kepala Cikgu Haqq apabila melihat sikap Amani. Di dalam kereta, Tania terus menundukkan wajahnya.

“Saya minta maaf dengan sikap adik-adik saya.” Izz memohon kemaafan.

“Kamu abang mereka?” tanya Cikgu Haqq.

“Bukan abang kandung. Tapi, mereka berdua di bawah tanggungjawab saya.” Izz menerangkan perkara yang sebenar. “Saya bertanggungjawab atas segalanya tentang mereka berdua.”

Terangguk-angguk kepala Cikgu Haqq. Dia sedia tahu tanggungjawab Izz kepada Tania. Dia sudah biasa melihat kelibat Izz di sekolah bersama Tania. Malah, Tuan  Helmi juga salah seorang dari ahli jawatan kuasa Persatuan Ibubapa dan Guru di sekolah itu. Tuan Helmi telah memaklumkan kepada pihak sekolah tentang pekerjaan Izz yang ditugaskan untuk menjaga Tania.

Cuma, dia belum pernah melihat Izz bersama Amani. Apatah lagi keadaan mereka berdua kelihatan mencurigakan sebentar tadi. Mujurlah tiba-tiba Tania keluar dari kereta. Jika tidak, pasti dia akan menyangka Izz sedang menculik Amani.

“Tak mengapalah. Dah tanggungjawab seorang abang. Apatah lagi jika ada adik perempuan,” ujar Cikgu Haqq. “Tak apalah. Saya minta diri dulu.” Cikgu Haqq menghulurkan salam.

Izz menyambut tangan Cikgu Haqq. “Assalamualaikum,”

“Waalaikummussalam.” Cikgu Haqq bergerak pergi.

Izz menoleh memandang Amani. Kemudian, dia masuk ke tempat pemandu. Dia terus memandu kereta dengan laju. Satu suara tidak kedengaran dari bibirnya. Radio juga dimatikan. Suasana di dalam kereta benar-benar sepi.

Tania masih terus tertunduk. Tak berani mahu mengangkat wajahnya apabila melihat wajah kelat Amani dan Izz. Namun, dia tidak suka dengan situasi begini. Terasa dia berada di dalam bilik mayat. Dingin dan sunyi. Izz dan Amani masih tenggelam dalam api kemarahan. Mungkin dia bisa menceriakan semula suasana. Tania mengukirkan senyuman semula. Dia menoleh kepada Amani di belakang.

"Kak, kita ke kedai alatan tulis ya. Kita beli barang sekolah yang baru untuk akak!" Tania memberanikan diri bercakap dengan Amani.

"Berapa kali aku nak beritahu kau, aku bukan kakak kau!" jerit Amani yang masih dikuasai dengan kemarahan terus melepaskannya pada Tania.

Tania terdiam. Mulutnya terus terkunci. Dia kembali tertunduk seperti keadaan asalnya.

Izz sudah mengetap bibir mendengar tengkingan Amani pada Tania. Tania di sebelahnya sudah menikus sambil tertunduk. "Awak boleh bersopan sikit tak bila bercakap?" Izz melirik Amani dengan cermin pandang belakang.

Amani mengerling Izz yang sedang memandu. Satu senyuman sinis dilempar. "Bersopan? Macam yang awak lakukan pada saya?" soalnya dengan nada begitu sinis sekali. "Sangatlah bersopan!" sindir Amani lagi.

Izz menarik nafas perlahan dan panjang. Lalu, dia menghembuskannya dengan perlahan, cuba menenangkan diri. Dia membiarkan sahaja sindiran Amani dan terus memandu.

"Saya nak balik!" ujar Amani kemudiannya. Dia masih belum berpuas hati dengan Izz.

Tania sudah memandang Izz apabila mendengar permintaan Amani. Izz hanya pura-pura tidak mengerti. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Adakalanya bercakap dengan Amani perlu pura-pura tidak dengar.

Amani mengetap bibirnya apabila tiada respon dari Izz. Izz masih terus memandu ke arah berlawanan dengan jalan pulang. "Awak pekak ke? Saya nak balik!" suara Amani sudah seakan menjerit.

“Tapi kak, papa pesan," Tania cuba mencelah.

"Aku tak ada papa!" pantas Amani bersuara. Hatinya terasa sakit. Sakit dengan perbuatan Izz yang kasar padanya. “Aku tak nak berhutang lagi! Kau faham tak!”

"Tapi ini bukan hutang. Papa lakukan semua ini dengan ikhlas." Tania cuba menerangkan niat baik Tuan Helmi.

“Ikhlas?! Kau ingat, aku akan percaya. Orang-orang macam kau orang semua ni hanya tahu mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain!” Dengus Amani.

“Awak sepatutnya bersyukur sebab Tuan Helmi sanggup membantu awak dan Puan Zaiton!” Izz sudah mula bersuara.

“Bersyukur? Saya akan lebih bersyukur kalau semua perkara ni tidak berlaku!” Amani terus memandang ke luar tingkap.

Izz memberi signal kiri lalu memakirkan kereta di bahu jalan. Izz memusing tubuhnya memandang Amani. "Jadi, awak betul tak nak beli barang-barang sekolah yang baru?" tanya Izz. Dia sudah malas mahu memaksa Amani melakukan seperti apa yang diarahakan Tuan Helmi. Seandainya mereka tiba di kedai dan Amani tetap berkeras tidak mahu membeli apa-apa barang, semuanya akan jadi sia-sia. Masa mereka akan terbuang begitu sahaja.

Amani menjawap pertanyaan Izz dengan jelingan matanya.

Jelingan itu sudah cukup untuk membuatkan Izz mengerti dengan kekerasan hati Amani yang menolak mentah-mentah kebaikan orang lain. Izz memusing tubuhnya dan mula memandu semula. Dia memandu ke kawasan Setia Sentosa.

Sampai sahaja di jalan masuk ke Setia Sentosa, Izz menghentikan kereta di bahu jalan kecil yang memasuki Setia Sentosa. Kemudian, dia keluar dari kereta dan membuka pintu kanan di bahagian belakang, di mana Amani sedang duduk.

Tania memerhati tingkah Izz dengan penuh tanda tanya. Kenapa Izz berhenti di sini? Apa yang mahu dilakukan lelaki itu?

Izz terus membuka pintu dan menarik Amani keluar dari kereta dengan kasar. Lalu, dia menutup semula pintu kereta.

Amani mendengus. Dia menjeling Izz dengan penuh rasa benci! Sikap Izz sangat menyakitkan hati! Dia membuang pandangan matanya ke tempat lain. Dia tidak mahu membalas pandangan mata Izz yang terus memerhatikannya dengan tajam.

“Saya tahu, awak tak suka terhutang budi, kan? Sebab tu, awak tak nak naik kereta ni, awak tak nak beli barang-barang sekolah yang baru. Semua tu buat awak rasa terbeban, kan?” tanya Izz.

Amani hanya membisu dan pura-pura tidak mendengar pertanyaan itu.

“Kalau awak rasa terhutang budi dan terbeban dengan semua kebaikan Tania dan Tuan Helmi, saya pasti awak takkan keberatan berjalan kaki untuk balik ke rumah. Selamat tinggal!” Izz terus masuk ke dalam kereta dan memandu meninggalkan Amani.

Tania di sebelah Izz  sudah terlopong. Mulutnya ternganga sambil memandang ke belakang, melihat kelibat Amani semakin ditinggalkan. Panahan mata Amani yang memandang ke arah mereka semakin hilang. "Abang Izz tinggalkan Kak Amani? Macam mana dengan dia?" Tania sudah cemas. Wajah Izz dipandang. Dia langsung tidak percaya Izz sanggup meninggalkan Amani di situ.

"Pandai-pandailah dia jaga diri dia sendiri!" Izz memandang Tania sekilas.

"Tapi," Jelas diraut wajah Tania, dia tidak bersetuju dengan tindakan Izz. "Papa tentu marah kalau dia tahu kita tinggalkan Kak Amani."

Izz cuba mengukirkan senyuman buat Tania. Dia tahu persis apa yang ada dalam hati Tania. Bukan sahaja Tuan Helmi tidak bersetuju dengan tindakannya, malah Tania juga tidak sampai hati meninggalkan Amani di situ. Amani beruntung kerana orang-orang yang dibencinya ini menyayanginya.

"Biarkanlah. Sesekali kita perlu ajar dia agar tahu menghormati orang lain!" Izz melirik Tania yang sudah tertunduk itu. "Kalau papa Tania marah, biar saya yang tanggung akibatnya," pujuk Izz.

“Macam mana kalau jadi apa-apa pada Kak Amani?” Tania sudah mengukirkan raut wajah simpati. Dia mahu Izz berpatah balik dan mengambil Amani semula. Dia tidak sanggup membiarkan Amani di situ.

"Jangan risau,” pujuk Izz lagi. "Insyaallah takkan jadi apa-apa pada Amani. Biasanya, kalau saya dan Pak Bakar tak dapat ambil Tania pulang dari sekolah, Tania juga selalu berjalan pulang sendiri, kan?"

“Tapi, Tania dah biasa dengan keadaan di sini. Ini tempat Tania, kampung Tania! Amani tak biasa dengan keadaan di sini.”

Izz hanya tersenyum. “Saya percaya, Amani sudah terbiasa dengan apa jua keadaan. Dia tahu jaga dirinya sendiri.” Tania benar, Setia Sentosa bukan tempat Amani. Namun, Izz sendiri merasakan pendapatnya tidak salah kerana dia tahu Amani lebih bijak menjaga dirinya berbanding Tania. Amani telah merasakan perkara yang lebih dasyat berbanding apa yang dikhuatirkan Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghelanya perlahan. Dia berharap tindakan Izz benar. Dia tahu, Amani pernah merasakan penderitaan yang lebih dari ditinggalkan seperti tadi. Dia masih ingat bagaimana keadaan Amani pada kali pertama Amani melangkah masuk ke dalam Ilham Hati. Amani pastinya tahu menjaga diri. Izz benar. Tetapi Izz silap dalam satu perkara. Amani seorang gadis, sama sepertinya. Seorang gadis bisa merasa dirinya kuat tetapi hakikatnya, sebesar mana kekuatan seorang gadis, mereka masih perlukan perlindungan. Keselamatan seorang gadis tidak pernah terjamin apabila dibiarkan sendirian.

“Apa yang perlu Tania katakan kalau Makcik Zaiton bertanya tentang Amani?” tanya Tania sambil matanya memandang ke luar tingkap.

Izz hanya membisu. Jawapan apakah yang patut diberikan kepada Tania? Namun, dalam benaknya mula timbul persoalan yang lain. Apakah Zaiton akan sedar dan bertanya tentang Amani?

---------------------------@@@@-----------------

No comments:

Post a Comment