Kerdipan cahaya terus berkelip
dari lensa kameranya. Dari satu posisi ke satu posisi, dia cuba mencari sudut
dan pandangan yang indah untuk merakam. Kemudian, Nazreen memijak satu persatu
batuan yang ada di situ sehinggalah dia tiba di batu yang besar. Dia memanjat
ke atas batu besar itu.
Pandangannya di halakan ke depan. Pada ombak yang sedang menghempas batuan, pada matahari yang semakin menyembunyikan dirinya. Pada camar yang berterbangan di angkasa nan merah. Semuanya begitu indah.
Sekali lagi Nazreen mengangkat
lensa kameranya dan memfokuskan pada camar-camar yang sedang berterbangan.
Beberapa klikkan dari lensanya kedengaran. Nazreen melihat kembali foto-foto
yang telah diambilnya. Setelah berpuas hati dengan hasil kerjanya, Nazreen
memusingkan badan untuk turun semula dari batu besar itu.
Namun, dia tindakannya terhenti
saat matanya terpandang susuk tubuh yang berdiri tidak jauh dari situ. Lebih
kurang seratus meter dari batu yang dia berdiri, kelihatan bayangan seorang
gadis. Kelibat gadis itu telah dilihatnya setiap petang sejak dia mula
mengambil gambar di tepi pantai itu. Walaupun dia tidak bisa melihat wajah
gadis itu dengan jelas, namun, dia yakin itu adalah gadis yang sama dilihatnya
setiap petang sejak tiga hari lalu. Nazreen memfokuskan pada kameranya lalu
dihalakan pada gadis itu. Butang 'zoom' ditekan.
Jelas, wajah seorang gadis di skrin kameranya. Gadis itu terus memandang ke hadapan, pada matahari yang sedang terbenam. Entah kenapa, laju sahaja Nazreen mengambil beberapa keping gambar si gadis. Tak lama selepas itu, gadis itu memusingkan tubuhnya dan meninggalkan kawasan itu. Sedikit pun gadis itu tidak menyedari kehadirannya di situ. Nazreen hanya memerhatikan langkah si gadis dari jauh.
----------------------------------@@@-----------------
Kamar yang serba merah itu menjadi tumpuan Nazreen setiap kali dia berjaya mendapatkan kepingan-kepingan gambar yang disukainya. Fokus Nazreen biasanya pada alam semulajadi. Bergantung kepada permintaan. Biasanya, gambar-gambar pemandangan menjadi keutamaannya.
Nazreen mengangkat sekeping filem
lalu digantungkannya. Seraut wajah nan ayu menjadi perhatiannya. Seorang gadis
ayu yang bertudung litup berwarna merah jambu dan berbaju kurung dari warna
yang sama, kelihatan begitu mempesonakan. Hanya kekurangannya, adalah senyuman.
Jika gadis itu tersenyum, Nazreen pasti itu luah anugerah yang terindah pernah
dilihatnya.
Nazreen memerhati lama pada
sepasang mata milik gadis itu. Gadis itu memiliki sepasang mata yang cantik.
Mata yang berwarna coklat kehitaman di sempurnakan dengan bulu mata yang lebat
dan panjang walaupun tidak melentik. Tetapi mata itu kelihatan sayu. Tidak
terpancar keceriaan dari sepasang mata yang indah itu.
Nazreen terus memerhati dengan
rakit sekali. Dia sendiri pun tidak pasti kenapa tangannya begitu ringan
mengambil foto-foto gadis itu. Tanpa disedari, dia tersenyum sendiri.
------------------@@----------@@--------------
"Sudah-sudahlah kenangkan Ammar. Redha dengan kehendak takdir. Ammar, bukan jodoh Izryn." Pujuk Rosma
Izryn mengeluh panjang.
"Bukan senang nak lupakan Ammar, mak. Tambah-tambah, bila Ryn dah serahkan
hati milik arwah nenek pada dia." Lebih mengecewakan apabila hati itu
hanya tinggal sebahagian. Dan sebahagian lagi telah hilang entah ke mana.
Rosma memerhatikan wajah duka
Izryn. Dia tahu anaknya itu bukan mudah untuk menyerahkan cintanya kepada
lelaki. Ammar adalah lelaki pertama dalam hidupnya. Kecewa dek cinta pertama
memang menyakitkan hati. "Sabarlah Ryn. Semuanya dah kehendak Allah. Lagi
pun, tak menjadi syarat untuk Ryn pilih suami berdasarkan hati itu, kan?" Rosma
terus memujuk. Dia tidak mahu Izryn terus mengenangkan rantai hati yang tidak
ditakdirkan untuknya lagi. “Lepaskanlah rantai hati tu. Lagi Ryn ingatkan
rantai tu, selagi itulah Ryn takkan lupakan Ammar.” Begitulah setiap hari,
Rosma tak pernah jemu menasihatinya.
"Susah-susah, apa kata kita
balik kampung je. Tenangkan hati Ryn sehinggalah Ryn bersedia berhadapan dengan
Ammar tanpa perasaan cinta padanya lagi,” usul Rosma.
Izryn menjeling Rosma. Pulang ke kampung? Mungkin itu satu
cadangan yang baik.
-----------------------@@@-----------------
Lega hatinya kerana permohonannya
untuk bercuti selama sebulan tanpa gaji telah di luluskan. Hari ini, adalah
hari terakhir dia bekerja. Insyaallah, mungkin hatinya akan semakin tenang
apabila pulang ke kampung. Dia perlu kumpulkan kekuatan untuk berhadapan dengan
Ammar. Bangunan pejabat Ammar hanya bertentangan dengan bangunan pejabatnya.
Hanya di seberang jalan.
Sejak kali terakhir dia bertemu
dengan Ammar, dia jarang keluar untuk bersarapan dan makan tengahari. Dia tidak
mahu terserempak dengan Ammar dan Dira. Hatinya masih belum kuat untuk menerima
hakikat cinta yang telah berakhir itu.
Sedang dia berjalan keluar dari
bangunan pejabat, tiba-tiba matanya menangkap susuk tubuh Ammar yang sedang
melangkah masuk ke dalam bangunan pejabatnya. Langkah kaki Izryn terhenti.
Tubuhnya bagaikan kaku di situ. Bagaikan kaca-kaca hati yang sedia retak
semakin terhempas tatkala melihat wajah yang sentiasa dirinduinya itu.
Kebetulan, Ammar juga terpandang
pada Izryn. Jarak antara mereka tidak terlalu jauh. Langkah kaki Ammar juga
terhenti tatkala mata mereka bertentang. Ammar sudah berkira-kira untuk
berjalan terus tanpa memperdulikan Izryn. Namun, perasaan simpatinya pada Izryn
menghalangnya untuk melakukan demikian. Izryn tidak salah jika mencintainya.
Apatah lagi bila mereka berdua adalah pasangan sebelum dia kehilangan
memorinya. Hanya, cintanya pada Izryn telah hilang bersama memorinya.
Dengan satu tarikan nafas
panjang, Ammar mendekati Izryn yang masih terpaku memandangnya.
“Apa khabar Izryn?” tanya Ammar
sambil mengukirkan senyuman yang seakan dipaksa.
Izryn membalas senyuman itu.
“Alhamdulillah.”
“Saya datang sini sebab ada
urusan.” Mungkin kerana tidak mahu Izryn salah sangka dengan tujuannya datang
ke pejabat Izryn, maka Ammar berterus terang sahaja dengan tujuannya.
“Ya. Tentu saja. Takkan awak
datang sini nak jumpa saya pulakkan,” balas Izryn. Dia tahu, tak sepatutnya dia
berkata begitu. kata-kata itu secara spontan sahaja keluar dari bibirnya.
Terkedu Ammar dengan kata-kata
Izryn. “Hmmm, tak apalah. Saya pergi dulu.” Ammar sudah melangkah.
“Ammar!” Izryn memanggil lalu
menoleh ke belakang memandang Ammar yang juga sudah menoleh kembali padanya.
“Tolong carikan rantai hati saya sampai jumpa.”
Ammar terdiam. Memang dia dan
Izryn sudah tidak ada kaitan atau hubungan. Namun, rantai hati milik Izryn yang
telah hilang itu membuatkan dia merasa dia masih berhutang dengan Izryn. Tapi,
bagaimana dia perlu jelaskan pada Izryn yang rantai hati itu telah dicampakkan
mamanya ke laut? Dapatkah Izryn menerima hakikat itu?
“Izryn, kadang-kadang kenyataan
itu memang menyakitkan. Tetapi, kebenaran yang menyakitkan lebih baik dari
pembohongan yang menyenangkan.” Ammar bersuara. Dia menarik nafas panjang.
“Awak setuju dengan kata-kata saya.”
“Ya. Saya setuju.”
“Sebenarnya, mama saya dah buang
rantai hati awak. Dia dah campakkan ke laut.”
“What?!” Mata Izryn sudah
membulat.
“Saya pun tak tahu tentang itu.
semuanya jadi ketika saya masih tak sedarkan diri. Lepas Dira bertanya pada
saya tentang rantai hati tu, baru saya tahu yang mama dah campakkannya ke
laut.” Ammar cuba menjelaskan yang dia tidak bersalah atas kehilangan rantai
hati Izryn.
“Awak mahu saya bersetuju dengan
kata-kata awak. Tapi, awak sendiri tak begitu!” Entah kenapa apabila Ammar
menerangkan perkara sebenar, kemarahan Izryn tiba-tiba datang.
“Apa maksud awak?”
“Memang awak dah kehilangan
memori awak. Jadi, biar saya ingatkan.” Izryn memandang Ammar dengan tajam.
“Waktu kita bersama dulu, setiap kali saya tanya tentang keluarga awak, awak
selalu mengelak. Ada sahaja alasan yang awak berikan bila saya mahu awak
temukan saya dengan keluarga awak. Rupa-rupanya, awak adalah anak Datuk
Harnidah dan juga jutawan Indonesia, Soerna Inderawan. Keluarga awak menghalang
hubungan kita.” Airmata Izryn mengalir. “Tentu sahaja keluarga awak menghalang.
Kita memang tak sepadan. Saya hanya orang biasa.”
Izryn menyapu airmatanya.
“Seandainya awak berterus terang dengan saya tentang keluarga awak yang
menghalang hubungan kita, semuanya takkan jadi begini. Saya, takkan pernah
berikan rantai hati saya untuk cinta yang terhalang oleh keluarga.”
Ammar tertunduk. Benarkah begitu?
jadi, semuanya salah dia. Dia yang telah menjadi punca kehilangan rantai hati
Izryn.
Izryn terus berlalu pergi. Ammar
hanya memerhatikan langkah Izryn dengan penuh sesalan.
----------------------@@@---------------
Izryn membuka tingkap kayu itu.
serta merta rambut dan wajahnya disapa angin. Izryn menghirup udara pasgi yang
segar. Kedengaran kokok ayam bergema di sebalik hening pagi. Damai dan sungguh
menenangkan. Jauh dari hiruk pikuk kota, jauh dari masalah dan jauh dari Ammar.
Semuanya terasa sempurna berada di kampung.
Usai menyudahkan segala
kewajipannya, Izryn terus menuju ke dapur. Kelihatan Rosma sedang menyiapkan
sarapan sambil berborak dengan atuk.
“Atuk nak ke mana ni?” tanya
Izryn sebaik sahaja melihat kelengkapan pancing di sisi atuk. “Nak memancing?”
“A’ah….Dah lama atuk tak
memancing. Nak memancing pun, tak de teman. Kalau dapat ikan pun, tak ada siapa
nak tolong masakkan. Hari ni, sebab Ryn dan mak ada kat sini, jadi atuk nak
memancing ikan banyak-banyak.” Atuk sudah tersengih besar sehingga menampakkan
gusinya yang kebanyakkannya tidak bergigi lagi.
Izryn tersenyum. “Atuk pergi
sendiri?”
Atuk mengangguk. “Lepas Ryn
tolong mak, Ryn temankan atuk di sungai ya. Atuk tunggu di sana.”
Pantas Ryn mengangguk. Senyumnya
melebar. Ketika kecil dahulu, setiap kali cuti persekolahan pasti dia akan
tinggal dengan atuk dan arwah nenek di kampung. Menemani atuk memancing sudah
menjadi sebahagian dari rutin hariannya ketika zaman persekolahan dahulu.
-------------@@@-------------------
“Atuk!! Dapat banyak ikan?!!”
Suara yang tiba-tiba menerpa
cuping telinga itu membuatkan Nazreen menoleh ke belakang. Susuk tubuh yang
sedang memijak-mijak batuan batu untuk mendekati sungai itu terus
diperhatikanya. Seraut wajah itu, sepasang mata itu, dia pernah melihatnya.
Nazreen mengukirkan senyuman
apabila ingatannya mula menangkap di mana gerangan dia melihat wajah itu.
Namun, kali ini seraut wajah itu kelihatan sangat berbeza ketika dia melihatnya
di tepi pantai tempoh hari. Hari ini, wajah itu kelihatan berseri dan ceria.
Malah, terukir senyuman indah di wajahnya. Dan senyuman itu membuatkan senyuman
Nazreen semakin lebar.
“Atuk, dapat banyak ikan?” Izryn
mengulang soalannya apabila tiba di sisi atuk.
“Shh!!” Atuk meletakkan jari
telunjuknya ke bibir. “Lari ikan nanti!” Atuk mengeraskan suara dalam nada
berbisik.
Izryn menangkup mulutnya dengan
kedua belah tangannya. Matanya meneropong baldi di sebelah atuk. “Banyaknya!!”
membulat mata Izryn melihat banyak ikan di dalam baldi itu.
“Itu bukan atuk punya! Atuk tak
dapat seekor pun lagi.”
“Habis, siapa punya?” Kening
Izryn sudah berkerut.
“Tu hah!” Atuk memuncungkan
bibirnya pada kelibat yang sedang duduk di sebuah batu bertentangan arah.
“Nazreen!”
Izryn memandang ke arah seorang
lelaki yang sedang tersenyum memandangnya. Mungkin menyedari mereka berdua
sedang berbual tentangnya, maka lelaki itu mengangkat tangan dan melambai ke
arah mereka. Atuk mengangkat tangan dan membalas lambaian lelaki itu.
“Nazreen?” Izryn cuba mengingati
nama itu. Mungkinkah ada temannya ketika kecil yang bernama Nazreen? Rasanya
tidak. “Tak pernah kenal pun siapa dia.”
“Macam mana nak kenal. Bukan
budak kampung sini,” balas atuk.
“habis tu?” tanya IZryn.
“Dia datang sini sebab kerja. Dia
tu jurugambar. Kononnya datang sini nak ambil gambar kampung ni,” ujar atuk.
“Ambil gambar kampung?” Untuk
apa? “Apa yang ada kat kampung ni?”
“Entahlah. Manalah atuk nak tahu.
Ryn tanyalah dengan Nazreen sendiri.” Atuk hanya mengangkat bahu.
“Kadang-kadang mata orang yang cintakan alam semulajadi ni tak sama dengan mata
orang biasa. Mungkin, kita sendiri tak tahu menghargai apa yang ada di depan
mata. Tetapi, benda tu sangat berharga untuk orang lain.”
Sekali lagi mata Izryn jatuh
kepada Nazreen.
-----------------------@@@-----------------
“Masyaallah! Banyaknya!” Terkejut
Rosma melihat hampir sebaldi ikan yang dibawa pulang atuk dan Izryn.
“Hmmm, banyak. Tapi bukan abah
yang pancing. Satu pun tak kena!” Suara atuk dengan kesal.
Izryn hanya tersenyum melihat
atuk. Sedari tadi atuk asyik meluahkan kekesalannya kerana tidak mendapat
seekor ikan pun. Kononnya, skil memancingnya sudah hilang kerana telah lama tak
ke sungai. Ada-ada sahaja atuk ni. Pula tu, siap bercerita tentang kehebatannya
memancing dahulu pada Nazreen yang ternyata sudah mendapat enam ekor ikan.
Nazreen hanya melayan sahaja celoteh atuk dengan senyumannya. Izryn sendiri pun
tak larat nak mendengarnya tetapi boleh pula Nazreen terus melayan atuk dengan
ramah. Mungkin kerana lelaki itu sedar dirinya cuma orang luar di kampung ni
agaknya.
“Habis tu? Mana datangnya ikan
banyak-banyak ni?” tanya Rosma.
“Nazreen yang pancing. Ada dalam
enam ekor. Besar juga!” Atuk membelek ikan di dalam baldi. Kekesalannya sudah
berubah kepada senyuman apabila melihat ikan-ikan yang masih bersisa nyawanya.
“Sodap nih!” Air liur atuk mullah memercik di dalam mulutnya.
“Nazreen? Nazreen mana?” tanya
Rosma.
Atuk mengangkat kepala dan
mencari kelibat Nazreen. “Mana Nazreen?” Atuk memandang Izryn.
“Ada di luar.”
“Kenapa tak masuk?” tanya atuk
lagi.
“Atuk yang tak jemput dia masuk.”
“Laa, yang Ryn tinggal budak tu
seorang-seorang kat luar kenapa? Dah tu, tak jemput masuk pulak!” Atuk sudah
memarahi Izryn lalu atuk bangun dan menjengah ke luar sambil berdiri di depan
pintu dapur.
Izryn juga ikut menjengah ke luar
melalui tingkap dapur. Kelihatan Nazreen sedang duduk di pankin di bawah pohon
belimbing.
“Nazreen! Mari masuk!” Atuk sudah
memanggil Nazreen masuk.
Izryn terus mengeluarkan
ikan-ikan di dalam baldi untuk dibasuh. Rosma pula, sudah sibuk menemuramah
Nazreen. Sesekali dalam menyiang ikan, Izryn memasang juga telinganya mendengar
perbualan mereka.
------------------------@@---------------
Atuk sudah meletakkan jaring besi
di atas bata yang disusun di antara unggun api yang dinyalakan. Kemudian, dia
melapikkan dengan daun pisang. Halaman belakang yang kelam sedikit cerah dengan
nyalaan unggun api dan juga sinaran rembulan.
“Aik? Dah menyala api, atuk?”
Izryn yang baru muncul dari dapur bersama semangkuk air asam yang telah siap
menegur atuk yang sudah mencangkuk di depan unggun api.
“Dah siap. Tapi, bukan atuk yang
nyalakan.”
“Siapa?” Izryn meletakkan air
asam itu di atas pankin dan menutupnya dengan daun pisang. Kemudian, dia
mengambil lampu minyak tanah dan menggantungkannya di dahan pohon belimbing.
Suasana menjadi lebih terang dengan cahaya dari lampu minyak tanah.
“Nazreen.”
Izryn memandang sekeliling,
mencari kelibat yang dimaksudkan. “Mana dia?”
Atuk mengangkat kepala dan meliar
mencari kelibat Nazreen. “Entah. Tadi ada. Hilang pulak budak ni.”
Atuk
menggeleng. “Ryn, tengok-tengokkan api kejap. Dalam dulang tu, atuk dah balut
dah ikan dengan rempah. Tolong tengok kejap. Nanti datang pulak kucing nak
curi.” Atuk menghilang ke dalam.
“Atuk, kalau saya ambil gambar
boleh tak?” tiba-tiba muncul kelibat Nazreen bersama lensa kamera di tangan.
Soalannya yang tidak berjawap itu membuatkan Nazreen mengangkat kepala dari
melihat kameranya. Kelibat atuk tidak kelihatan. Hanya seraut wajah ayu milik
Izryn yang sedang memandang kepadanya. “Atuk mana?”
“Ada di dalam.” Izryn terus
menyusun ikan-ikan yang telah dibalut dengan rempah bersama daun pisang di atas
jaring besi . “Awak tunggu kejap, boleh? Saya nak masuk ke dalam ambil nasi.”
Nazreen mengangguk.
Izryn menghilang ke dalam. Dia
mengambil periuk nasi yang masih berkepul asapnya bersama tuala tebal. Periuk
itu mahu diletakkan di atas pankin. Malam ini, mereka sekeluarga akan makan
malam di luar, di bawah pohon belimbing. Tapi, siapa sangka Nazreen juga akan
ikut serta. Tetapi, lelaki itu memang berhak ada di sini sebab dia yang berjaya
memancing semua ikan itu.
Nazreen yang sedang duduk
berhadapan dengan ikan di atas jaring besi terus terbangun apabila melihat
Izryn yang ingin keluar ke halaman sambil membawa periuk yang panas. “Mari,
saya tolong.” Dia menghulurkan bantuan.
“Eh, tak apa.”
“Biarlah saya tolong. Panas ni.”
Kasihan pula melihat wajah Izryn yang sedang menahan nafas dek asap-asap panas
yang menyentuh wajahnya sehingga wajah itu kelihatan merah pada suasana malam
begini.
Melihatkan kesungguhan Nazreen,
Izryn menyerahkan periuk itu bersama tuala tebal kepadanya. Kemudian, Izryn
melangkah semula ke dalam untuk mengambil pinggan-pinggan dan gelas-gelas untuk
mereka sekeluarga. Izryn melangkah keluar semula.
“terima kasih ya Nazreen.”
Tersenyum Izryn apabila melihat Nazreen sudah membantunya mengalih-ngalih ikan
di atas jaring besi.
Nazreen hanya tersenyum. “Saya
yang patut ucapkan terima kasih pada Izryn sekeluarga, termasuk juga orang
kampung ni yang menerima kedatangan saya di sini.”
Izryn memandang Nazreen dengan
senyuman. “Atuk kata, awak ni jurugambar. Betul?”
Nazreen mengangguk. “Beginner.
Masih belum professional.” Nazreen cuba merendah diri. “Saya datang sini pun
atas urusan kerja.”
“Seronok tak kerja jadi
jurugambar ni?”
Nazreen tertawa dengan pertanyaan
Izryn. Bukan sekali dia menerima soalan yang sama. “Nature, photo is my
passion. Saya suka sangat dengan kerja saya.”
“Awak suka ambil gambar yang
macam mana?”
“Yang cantik. Apa sahaja yang
cantik dan semulajadi,” ujar Nazreen. Dan, salah satu gambar yang cantik dan
semulajadi yang pernah diambilnya adalah gambar Izryn. “Mana atuk dan makcik?”
tiba-tiba sahaja Nazreen teringatkan mereka.
Izryn juga baru teringatkan
mereka setelah tenggelam dengan perbualan bersama Nazreen. “Awak tunggu sini
ya. Saya masuk ke dalam. Entah apa pula yang jadi kat dalam tu.”
Apabila tiba di dalam, kelihatan
atuk dan Rosma sedang duduk di ruang tamu sambil menonton berita.
“Astaghfirullahal a’zim!” Izryn mencekak pinggang.
Atuk dan Rosma terus memandang
Izryn yang sudah berlagak bagaikan mak tiri.
“Ryn dengan Nazreen tunggu di
luar, boleh pulak atuk dengan mak duduk kat sini tengok tv?”
“Kejaplah. Mak dengan atuk tengah
tengok berita ni. berita hangat ni!” pandangan mak dan atuk beralih kembali
memandang televisyen.
Izryn juga memandang televisyen.
“Pernikahan putera tunggal pemilik Soerna Building.” Izryn membaca tajuk yang
tertulis di situ.
Mendengar suara izryn, pantas mak
bangun dari duduk dan mendekati Izryn. “Ryn tak boleh tengok berita ni. Ryn
pergi luar sekarang! Temankan Nazreen. Nanti mak dan atuk datang. Pergi!
Pergi!” Rosma terus menolak tubuh Izryn.
Tanpa membantah, Izryn menurut
kehendak Rosma. Dia pasti, Rosma tentu tak mahu dia melihat berita yang akan
membuatkan hatinya bertambah retak. Sedangkan, dia datang sini untuk cuba
mengumpulkan semula kekuatannya. Izryn melangkah ke dapur, dan mengambil
sedulang air yang telah dibancuhnya tadi lalu dibawa keluar untuk diletakkan di
pankin.
Melihatkan Izryn yang keluar
seorang diri membuatkan Nazreen menjengah ke dalam. “Mana atuk dan makcik?”
“kejap lagi diorang keluar.
Tengok berita kejap. Kalau awak nak join diorang, pergilah. Diorang ada di
ruang tamu.” Izryn terus duduk di pankin. Tiba-tiba sahaja jiwanya meruntun
pilu.
Mata Nazreen terpaku pada Izryn.
Sebentar tadi, gadis itu kelihatan ceria. Namun, keluar sahaja dari dalam untuk
mencari atuk dan Rosma, terus sahaja raut wajahnya berubah. Ada apa? Nazreen
mengalih kembali ikan yang sedang dibakar di atas jaring besi itu.
“Awak tahu tak Izryn, dalam hidup
kita ni banyak pilihan yang telah diberikan.”
Kata-kata Nazreen itu membuatkan
Izryn beralih memandangnya.
Nazreen mengukirkan senyuman buat
Izryn. “Setiap satu tindakan yang bakal kita ambil, sentiasa punya pilihan.
Semuanya terletak di tangan kita. Memang, takdir itu Allah yang tetapkan.
Tetapi, takdir kita juga terletak di tangan kita sendiri. Bergantung kepada
pilihan kita. Misalnya, kampung ini. Cantik, bersih dan indah. Kita boleh
kekalkan keindahannya atau sebaliknya. Kalau kita mahukan sebaliknya, kita
boleh jual semua tanah yang ada di kampung ini dan mendapat keuntungan yang
besar. Kemudian, beli rumah lain yang lebih besar dan cantik. Atau, kita
bangunkan tanah di kampung ini untuk kemajuan orang-orang kampung sendiri.”
“Awak betul.” Izryn turut
mengukirkan senyuman. “Cuma, kita selalu salah dalam membuat pilihan.”
“As a human being, it is normal
to make an error. Everybody did. Saya pun selalu buat silap. Adakalanya
kesilapan itu boleh diubah dan adakalanya kesilapan itu akan kekal. Tapi, kita
tetap diberi pilihan.”
“Bagaimana kalau kesilapan itu
adalah kesilapan yang kekal?” tanya Izryn.
“Dahulu, saya pernah diberi
biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Tetapi sayangnya, saya dah buat kesilapan
dengan menolak tawaran itu. Kemudian, apabila saya sedar yang saya dah buat
pilihan yang silap. Saya cuba kembali memohon kembali biasiswa yang diberikan.
Tetapi, permohonan saya ditolak. Waktu itu, memang saya agak tertekan sikit.
Tetapi, saya yakin, masa depan saya terletak di tangan saya sendiri. Saya cuba
cari kerja-kerja yang mampu saya lakukan untuk mengumpul wang. Bila ada sedikit
wang, saya akan ke bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh jurugambar yang
professional sehinggalah saya mampu untuk berdiri sendiri.” Senyuman NAzreen
semkin lebar. “Bila kita salah membuat keputusan, kita sentiasa ada pilihan.”
Izryn terus tersenyum mendengar
kata-kata Nazreen.
“Seperti awak sekarang. Awak
boleh saja bermuram, tetapi awak dah pilih untuk tersenyum.”
“Uh?”
“Tadi, masa awak keluar, muka
awak masam. Tapi sekarang, awak dah senyum. Itu satu pilihan yang baik.”
Izryn tertawa.
Nazreen ikut ketawa apabila
melihat tawa izryn. “Saya juga ada pilihan sekarang. Sama ada berterus terang
dengan awak atau merahsiakan.” Tiba-tiba sahaja berkata begitu sehingga
membuatkan Izryn berhenti ketawa.
“Maksud awak?”
“Sebelum saya datang ke kampung
ni, saya pernah melihat awak.”
“Bila?”
“Di tepi pantai. Seorang diri.
Dan,” Nazreen menarik nafas yang panjang. “saya minta maaf sebab saya dah ambil
beberapa foto awak tanpa pengetahuan awak.”
Izryn terus merenung wajah
Nazreen. Kali ini tiada senyuman yang terukir. “Awak rasa sebagai seorang jurugambar,
awak berhak ambil gambar sesiapa sahaja tanpa minta izin empunya diri dulu?”
Nazreen terdiam. Dia tidak
menyangka dia akan menerima reaksi sebegini dari Izryn. “Saya minta maaf. Saya
sepatutnya sedar bukan semua orang bersikap terbuka.” Memang salahnya kerana
mengambil gambar sesuka hati.
“Yang sebenanya, saya bukan tidak
terbuka. Saya bersikap terbuka untuk sesetengah perkara dan tidak untuk
sesetengah perkara. Sepatutnya, awak yang bersikap terbuka ini datang jumpa
saya dan minta izin saya.” Izryn sudah memeluk tubuhnya. Wajahnya masam dan
kelat. Dia memang tidak suka jika gambarnya di ambil sesuka hati.
“Saya segan nak tegur awak. Saya
tak pernah terfikir ada orang yang tidak suka gambarnya diambil.” Jujur, itulah
yang dirasakan Nazreen. Selama ini, dia mengambil gambar apa sahaja yang
menarik pada pandangan matanya.
Izryn menarik nafas panjang.
“Kata bersikap terbuka. Kenapa segan? Apa beza awak dengan saya? Awak juga
tidak terbuka untuk sesetangah perkara, kan?” sindir Izryn.
Izryn bangun untuk meninggalkan
Nazreen. Tetapi dia tidak jadi berbuat demikian apabila kelibat atuk dan Rosma
muncul di situ.
------------------------@@@-------------
Mata Nazreen terpaku pada seutas
rantai putih yang terletak di atas televisyen. Rantai putih itu bagai menggamitnya.
Dia mendekati televisyen dan mencapai rantai itu lalu diletakkan di atas tapak
tangannya.
“Apa awak buat?” tanya Izryn yang
baharu masuk ke dalam rumah dari halaman depan setelah menyapu sampah. Matanya
memerhatikan rantai hati miliknya yang sudah berada di dalam tangan Nazreen.
Nazreen yang pada mulanya agak
terkejut dengan sergahan itu, terus memandang Izryn yang datang bersama wajah
kelatnya. “Atuk suruh saya datang sini. Atuk ada?”
“Kalau nak cari atuk, bukan di
sini. Atuk ada di depan. Tunggu awak.” Izryn memandang rantai putih yang masih
ada dalam genggama tangan Nazreen. “Apa yang awak buat dengan hati saya?” suara
Izryn agak keras ketika menuturkan kata.
“Hati awak?”
Izryn yang sudah terbiasa
membahasakan rantai itu sebagai hatinya, sentiasa membuatkan orang lain yang
tidak tahu turut keliru.
“Itu.” Izryn memuncungkan
bibirnya. “Kat tangan awak tu.”
“Oh! Ini?” Nazreen memandang
rantai hati itu semula. “ini hati awak?” Nazreen membelek-belek rantai itu. “Rantai
ni ada pasangan, kan?”
Tanpa menjawap pertanyaan
Nazreen, izryn menghampiri lelaki itu lalu menghulurkan tangannya. “Awak tak
berhak sentuh rantai hati saya. Hanya orang tertentu sahaja yang layak sentuh
rantai hati saya.”
“Orang tertentu? Siapa?” Nazreen
masih belum mahu menyerahkan rantai hati itu pada Nazreen.
Izryn mendengus. “Orang yang akan
satukan rantai hati ni.”
“Jadi, betullah rantai hati ni
ada pasangannya?”
“Awak jangan cakap banyak boleh,
tak? Bagi balik rantai hati saya!” Semakin dekat tangannya di hulurkan pada
Nazreen.
“Bagaimana kalau saya yang
satukan hati ini?” tanya Nazreen yang masih belum mahu menyerahkan rantai hati
itu kepada Izryn.
Dengusan Izryn semakin keras.
Matanya tajam memerhatikan wajah Nazreen. “Saya malaslah nak layan awak. Bagi
balik rantai saya!”
“Awak masih marahkan saya? Saya
akan serahkan semua foto awak yang saya ambil bersama dengan negatifnya
sekali,” ujar Nazreen.
“Kalau macam tu, cepat-cepat
bagi. Baru saya maafkan awak!”
Nazreen menjungkitkan keningnya
lalu menghulurkan rantai hati itu kepada Izryn.
Izryn terus meragut rantai hati
itu dengan kasar.
“Saya tak tahu pulak seorang
gadis yang diluarnya nampak lemah lembut seperti awak, tetapi ada hati yang
keras.”
Izryn mengetap bibirnya. “Cepat
sungguh awak buat kesimpulan.”
Nazreen tersenyum. “Tapi, wanita
memang perlukan sedikit hati yang keras untuk melindungi dirinya. Itu yang
membuatkan maruah seorang wanita itu tinggi nilainya.” Nazreen berlalu pergi
meninggalkan Izryn yang sudah tertanya di situ.
-------------------@@@--------------
Kali terakhir dia melihat Izryn,
jiawanya semakin tidak tenang. Dia tahu, dia dan Izryn pernah menjalinkan
hubungan. Baik Dira mahupun mamanya, Datuk Harnidah tidak pernah merahsiakan
tentang itu. Hanya, tiada satu pun kenangan tentang hubungan mereka yang ada dalam
simpanannya.
Sejak dia membuka mata, hanya
Dira sahaja yang muncul. Hanya Dira sahaja yang berada di sisi saat suka dan
duka. Dia tidak kenal siapa Izryn. Namun, sejak kali terakhir dia melihat
Izryn, fikirannya terganggu. Sebelum ini, walaupun Dira selalu memintanya agar
berjumpa dengan Izryn agar ingatannya dapat dipulihkan, dia sentiasa menolak.
Dia takut, seandainya dia mengingati Izryn kembali, cintanya pada Dira akan
hilang. Sedangkan, Dira telah banyak berkorban untuknya.
Namun, sejak dia bertemu dengan
izryn untuk kali terakhir, dia selalu terkenangkan Izryn. Bagai ada perkara
yang mengganggunya. Rasa bersalahnya pada Izryn sentiasa menyucuk tangkai hati.
Sehingga perasaan bersalah itu selalu terbawa-bawa walaupun ketika dia bersama
dengan Dira.
“Saya rasa, kita kena tangguhkan
dahulu pernikahan kita,” ujar Ammar.
Dira mengeluh. Dia tahu benar apa
yang ada di dalam hati Ammar. Ammar pernah memberitahunya tentang pertemuan
terakhirnya dengan Izryn. Sejak dari hari itu, Ammar sentiasa tidak tenang.
“Awak ingatkan Izryn?” tanya
Dira.
Ammar tertunduk. Sungguh, saat
ini hatinya sudah terbelah. Sebelah pihak mahukan dia menjaga perasaan Dira,
sebelah pihak lagi menuntutnya agar mencari Izryn yang telah lama menghilangkan
diri.
“Berterus teranglah dengan saya.
Percayalah, saya akan terima apa sahaja keputusan awak,” perlahan Dira
menuturkan kata walaupun di dalam hatinya bagaikan retak seribu.
Ammar memandang Dira. Dira
terlalu baik, sangat baik! Itulah yang membuatkannya terikat dengan Dira. “Awak
jangan salah sangka. Cuma, saya rasa bersalah dengan Izryn. Saya dah lukakan
hatinya.” Ammar menggenggam erat tangan Dira. Dia telah melukakan hati IZryn
dan dia tak mahu melakukan perkara yang sama pada Dira.
“Awak sepatutnya berjumpa dengan
IZryn. Lama dahulu sebelum awak buat keputusan untuk berkahwin dengan saya.”
Dira memandang Ammar. Memang dia cintakan Ammar. Sangat! Sehingga dia rela
melepaskan Ammar seandainya Ammar mahu pulang semula kepangkuan IZryn.
“Awak rasa saya patut buat
begitu?” tanya Ammar.
Dira mengangguk.
“Bagaimana kalau perasaan saya
berubah pada dia?”
“Cinta tak boleh dipaksa, Am.
Kalau cinta awak dan IZryn sejati, dan kalau itu adalah kebahagiaan untuk awak
dan dia, saya rela lepaskan awak.”
Ammar menggenggam erat jari
jemari Dira. Wajah Dira dipandangnya. “Awak terlalu baik Dira.”
Airmata yang hampir mengalir di
pipi Dira ditahannya dengan sebuah senyuman.
---------------@@@--------------
“Ryn!!”
Izryn yang sedang sibuk di dapur
agak terkejut apabila mendengar suara Rosma yang memekik namanya. Lantas, dia
segera ke ruang tamu. Kelihatan Rosma sedang berdiri di muka pintu sambil
memandang ke luar.
“kenapa ni mak?” tanya Izryn
sambil mendekati Rosma yang sedang memerhati di halaman depan.
“Ammar.”
Izryn memandang ke luar, di
halaman depan. Kelihatan Ammar dan Dira yang baharu turun dari kereta. Tergaman
Izryn di situ.
Nazreen dan atuk yang kebetulan
berada di halaman depan, hanya memerhatikan wajah-wajah yang berada di depan
mereka.
-----------------@@@-------------
“Saya minta maaf Izryn,” ujar
Ammar.
Izryn memejam matanya seketika.
“Saya datang sini sebab saya nak
tahu perasaan saya pada awak. Sejak kali terakhir kita jumpa dahulu, saya
selalu teringatkan awak. Dan bila saya datang ke sini dan melihat awak, saya
rasa…” Ammar memandang Izryn. “Saya rasa yang saya perlukan awak.”
IZryn menggelengkan kepalanya.
Mudahnya Ammar berkata, sedangkan dia baharu sahaja melihat berita yang
mengatakan Ammar akan berkahwin dengan Dira. “Bagaimana dengan Dira?”
“Entahlah. Saya pun cintakan Dira
tapi sekarang ni, saya dapat rasakan yang saya lebih cintakan awak.”
“Apa yang awak cakap ni, Am? Awak
nak hancurkan hati Dira yang dah banyak berkorban untuk awak?”
“Dira akan faham. Lagipun, Dira
yang mahu saya datang sini dan berjumpa dengan awak. Dira mahu saya pasti
dengan perasaan saya. Sama ada saya cintakan awak atau dia. Dan, sekarang saya
pasti yang saya cintakan awak.”
Izryn menundukkan kepalanya. “
Situasi sekarang dah tak sama Am.” IZryn mengeluh. Dia tidak salahkan Ammar.
Ammar masih keliru dengan perasaannya kerana kehilangan identitinya.
“Sebenarnya, awak tak perlu datang sini dan minta maaf dengan saya atau rasa
bersalah dengan saya.” Mungkin perasaan bersalah dalam diri Ammar yang
membuatkan Ammar keliru dengan perasaannya. “Kali terakhir kita berjumpa, waktu
tu saya masih dalam emosi. Sekarang ni, jiwa saya lebih tenang.”
Izryn memandang Ammar. “Saya
minta maaf kalau kata-kata saya tempoh hari membuatkan awak rasa bersalah pada
saya. Sebenarnya, semua yang berlaku adalah perkara yang sepatutnya berlaku.
Jodoh, memang bukan milik kita berdua.”
“Tapi,”
“Am, saya nak awak dengar
kata-kata saya. Awak Cuma keliru dengan perasaan awak. Ammar saya dah
meninggal. Awak, bukan Ammar saya yang dulu. Saya tak kenal dengan Ammar yang
berdiri di depan saya. Hanya Dira yang mengenali Ammar yang ada di depan saya
ni.” Izryn menunjukkan pada diri Ammar. “Percayalah, Dira adalah gadis terbaik
untuk awak.” Dan, perkara pertama yang membuatkannya tidak akan kembali pada
Ammar adalah kerana cinta mereka adalah cinta terlarang. Sejak dia tahu
hubungan mereka di halang oleh keluarga Ammar, dia tahu perkara yang patut
dilakukan olehnya adalah melupakan Ammar.
--------------@@@--------------
Ammar memandang Izryn dengan
pandangan yang sayu. Dia tidak menyangka Izryn akan menolak cintanya. Dia
berharap, Izryn akan menerimanya kembali. Dengan jiwa yang sayu, Ammar masuk ke
dalam kereta. Kali ini, dibiarkan sahaja Dira yang memandu.
Dira yang berada di sisi Ammar
hanya membisu sambil memandu keluar dari kawasan kampung. Dia perlukan kekuatan
untuk menerima hakikat bahawa masih terselit perasaan cinta dalam hati Ammar
untuk Izryn. Mudah-mudahan cintanya yang ikhlas buat Ammar akan melenyapkan
perasaan Ammar pada Izryn.
Nazreen melambai-lambai kereta
yang dipandu seorang wanita cantik yang bernama Dira. Ketika Ammar berbual
dengan IZryn sebentar tadi, dia juga berkesempatan berbual dengan Dira. Atuk
juga ada bersama. Kini, kisah cinta Izryn telah diketahuinya. Mereka juga ada
menyebut tentang rantai hati yang menjadi pasangan rantai hati milik Izryn.
Atuk juga ada bercerita serba sedikit tentang rantai hati itu.
Kononnya, rantai hati itu adalah
lambang kisah cinta antara atuk dengan arwah nenek izryn. Atuk menempah rantai
hati itu khas buat arwah nenek. Kisah cinta atuk dan arwah nenek memang
romantis. Atuk menempah rantai hati yang berpasangan itu semata-mata untuk
memikat arwah nenek yang ketika itu mempunyai ramai peminat.
Ketika itu, atuk sengaja cicirkan
rantai hati sebelah kiri agar ditemui nenek. Beberapa hari kemudian, atuk
muncul di depan nenek bersama rantai hati sebelah kanan. Atuk meluahkan rasa
sedihnya kerana kehilangan rantai hati kirinya yang kononnya akan dihadiahkan
buat bakal isterinya kelak. Apabila arwah nenek memberitahu yang dia ada
menemui rantai hati sebelah kiri, atuk terus mengatakan mungkin arwah nenek
adalah jodohnya kerana tiada sesiapa yang pernah menyimpan rantai hati miliknya
selain nenek. Sejak dari itu, atuk dan arwah nenek menjadi rapat sehinggalah
atuk melamar arwah nenek menjadi isterinya.
Pertama kali melihat Izryn,
hatinya terpaut pada keredupan sinar mata gadis itu. siapa sangka, dia akan
bertemu lagi dengan Izryn di kampung ini. Tuah sungguh nasibnya apabila dia
mengenali atuk yang rupa-rupanya adalah atuk Izryn. Sehingga setiap kali dia melihat
Izryn, hatinya berkata Izryn adalah miliknya. Dan kini, dia yakin dengan
bisikan hatinya.
“Atuk,” Nazreen menghampiri atuk
yang sedang meraut batang buluh.
“Hmm,”
“Atuk suka dengan saya?” tanya
Nazreen.
Atuk berhenti dari kerja lalu
mengangkat kepala memandang Nazreen. Berkerut keningnya memandang Nazreen. “Apa
benda yang kau karutkan ni?”
“Kalau saya minta keluarga saya
datang ke sini dan meminang Izryn, atuk setuju?” Nazreen berterus terang tanpa
berselindung.
“Kau ni biar betul. Kau dan Izryn
pun baru kenal. Dahlah bekas teman lelaki dia baru je pergi dari kampung ni.
asap kereta diorang pun masih berbau!” ujar atuk sambil menggelengkan
kepalanya.
Nazreen ketawa kecil. “Izryn
sangat percaya dengan rantai hatinya. Kononnya, hanya lelaki yang akan satukan
rantai hati itu akan mendapatkannya.” Ingatannya masih jelas dengan kata-kata
Izryn tempoh hari.
“Izryn tu terbawa-bawa dengan
kisah cinta atuk dengan arwah nenek dulu.”
“Tapi, perkara tu berhasil pada
atuk dan arwah nenek, kan? Mungkin perkara itu akan berlaku pula pada Izryn.”
“Apa maksud kau?”
“Demi Allah,” Nazreen memandang
atuk. “Kali pertama melihat Izryn saya dah jatuh cinta dengannya. Hati saya
menyatakan yang Izryn adalah jodoh saya.”
Atuk sudah menggarukan keningnya.
“Atuk tak pastilah. Kalau betul kau sukakan izryn, lebih baik kau berterus
terang dengan dia sendiri. Dalam soal ni, atuk tak paksa Izryn. Siapa sahaja
pilihan dia, atuk pasti setuju. Macam tu jugaklah dengan makcik kau.”
“Saya simpan hati Izryn,” ujar
Nazreen.
“Uh?”
Nazreen mengelurkan seutas rantai
hati putih dari koceknya. “Saya yakin, ini adalah hati kanan milik Izryn yang
hilang. Saya dah lama simpan rantai ni.”
Atuk tercengang. “Di mana kau
jumpa. Rantai hati ni kan dah hilang?!”
“Saya jumpa di tepi pantai. Lebih
kurang tiga bulan lalu. Sejak itu saya simpan rantai ni. saya tak sangka saya
akan jumpa pasangannya di sini.”
Atuk memandang Nazreen sambil
tersenyum. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Memang dia tidak menyangka
rupa-rupanya rantai hati kanan itu disimpan Nazreen.
------------@@@----------------
Izryn mengerling Nazreen yang
muncul di depannya. “Apa awak nak?” tanyanya tanpa nada mesra.
“Seperti yang saya janjikan, saya
pulangkan semula gambar-gambar awak bersama negatifnya sekali.” Nazreen
menghulurkan satu sampul besar buat Izryn.
Izryn mencapainya lalu melihat ke
dalam. “Macam mana saya nak tahu yang semuanya tak ada dalam simpanan awak
lagi?”
“Demi Allah, saya dah tak simpan
langsung gambar-gambar awak.” Nazreen mengangkat tangan seakan bersumpah. “Awak
akan maafkan saya?”
“Baiklah,” izryn menarik nafas
panjang. “saya maafkan awak.”
“Tentang hati awak,” ujar Nazreen
lagi. “Pinjamkan saya hati awak.”
“Uh?”
“Maksud saya, rantai hati awak.”
“Awak nak buat apa?” sesekali dia
tidak akan membenarkan sesiapa menyentuh rantai hatinya.
“Sebab saya nak satukan.”
“Hah?”Izryn tercengang. “Awak nak
satukan dengan apa?” Kali ini Izryn bagai mahu ketawa. “Awak buat lawak apa
ni?”
“Boleh bagi saya pinjam dulu?”
Nazreen memandang Izryn.
“Tak semua orang boleh sentuh
rantai hati saya.”
“Saya tahu dan saya dah pernah
sentuh. Bukankah itu bermakna, takdir membenarkan saya untuk menyentuhnya?”
“Awak ni!”
“Apa? Pinjamkanlah! Saya nak
satukan semula hati awak.”
“Saya tak rasa benda ni lawak,
okey!”
“Memang tak lawak sebab saya tak
buat lawak. Saya nak pinjam hati awak. Kalau awak rasa saya tak boleh satukan
hati awak, hari ni juga saya akan keluar dari kampung ni.” Serius sekali raut
wajah Nazreen tatkala berkata begitu.
Izryn sudah berkerut. Kemudian,
dia membuka rantai hati yang di kenakan di leher, tersembunyi di balik
tudungnya. Dengan rasa ragu, dia menyerahkan rantai hati itu pada Nazreen.
Nazreen sudah tersenyum. “Rantai
hati ni ada pasangannya. Kata atuk, ketika dia mahu memikat arwah nenek, dia
yang merancang semuanya. Namun, sejak arwah nenek hadiahkan rantai hati ini
pada awak, awak menyimpannya dengan baik dan bertekad mahu hadiahkan rantai
sebelah lagi rantai hati ini pada bakal suami awak.”
Nazreen memandang Izryn yang
masih berkerut seribu. “Awak hadiahkan pada Ammar dan sayangnya, rantai hati
itu hilang. Maknanya, Ammar bukan jodoh awak, kan?”
“Tak semestinya. Saya hanya
terkilan sebab dia hilangkan rantai tu. Soal jodoh, itu memang dah takdir
Allah.” Dia tidak mahu Nazreen tersalah dengan menyangka bahawa dia meletakkan
jodohnya pada rantai hati itu.
Nazreen tersenyum dengan jawapan
Izryn. “Takdir Allah juga yang membawa saya ke sini dan berjumpa dengan awak.”
Nazreen menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan sebelah lagi rantai hati.
Izryn tercengang. “Kat mana awak jumpa?”
Dia terasa dadanya sesak. Benarkan apa yang dilihatnya ini?
“Saya tak tahu sama ada kedua-dua
pasangan ini adalah pasangan yang betul.” Nazreen melihat pada kedua-dua rantai
itu. kemudian, dia mendekatkan lalu menyatukan hati itu. kedua-dua tercantum
dengan elok. Nazreen tersenyum. “Mereka memang pasangan yang sebenar.”
Bagaikan mimpi. Izryn tidak
pernah menyangka rantai hatinya akan ditemui kembali. Dia mencapai rantai hati
yang telah bercantum itu. “Awak dah satukan semula hati saya.” Dia benar-benar
rasa terharu.
“Saya berharap, hati awak dan
hati saya akan bersatu bagaikan kedua-dua hati ni.”
Izryn mengangkat wajahnya dan
memandang Nazreen.
“Sudi tak awak jadi isteri saya?” tanya Nazreen.
“Dah! Sudah-sudah!” Tiba-tiba
atuk muncul. “Atuk dah beri peluang kat kau, melebih-lebih pulak ye. Kau bawa
dulu orang tua kau datang sini. Baru kita cerita selebihnya.” Atuk sudah
menarik tangan Nazreen agar pergi dari situ.
IZryn hanya ketawa kecil melihat
keletah atuk dan Nazreen.
“Macam mana Ryn?” Tiba-tiba muncul
pula Rosma dari arah belakang.
“Macam mana apa?” Izryn dapat
merasakan wajahnya sudah merona merah dengan pertanyaan mak.
“Dia dah satukan hati Ryn, kan?
Bukan sahaja dia satukan rantai hati Ryn saja tapi juga hati Ryn yang dah
berkecai sebab Ammar. Betul tak?”
“Pandai-pandai je mak ni.”
“Eleh…..mak tahu sangat. Ryn
selalu cakap, rantai hati kanan tu akan ada pada orang yang benar-benar berhak.
Dah tiga bulan Nazren simpan rantai hati tu. Maknanya, dialah yang berhak untuk
Ryn. Lagipun, mak sukalah dengan budak tu.”
“Mak ni!”
Rosma ketawa lalu memeluk bahu
Izryn.
Izryn meletakkan kepalanya di
bahu Rosma. “Entahlah mak. Tiba-tiba saja Ryn rasa lain bila Nazreen cantumkan
kedua-dua hati ni. Ryn rasa, tiba-tiba saja hati Ryn dah bercantum dengan
Nazreen. Pelikkan?” Itulah yang dirasakan Izryn. Sejak sepuluh minit yang
lepas, dia tak rasa pun perasaan begitu. bercantum sahaja kedua-dua rantai hati
itu, hatinya juga terasa bercantum dengan orang yang mencantumkan rantai
hatinya.
“Allah berkuasa mengubah hati dan
perasaan manusia. Begitu jugalah rasa cinta yang tiba-tiba pergi dan tiba-tiba
datang. Berdoalah pada Allah agar memberikan jodoh terbaik untuk Ryn.” Rosma
memeluk tubuh Izryn dengan erat. “Mak sayangkan Ryn. Apa yang mahukan, Ryn
bahagia dengan sesiapa sahaja yang Ryn pilih sebagai suami Ryn. Doa dan restu
mak sentiasa ada dengan Ryn.”
“Amiin,” Izryn juga memeluk tubuh
Rosma dengan erat. “Doa maklah yang sentiasa membuatkan Ryn bahagia.”
--------------@@@@-----------
yeay! nasib baik ada nazreen.
ReplyDelete^^ sangat best! good job. teruskan berkarya.:)
hihihih terima kasih....
Deletehilang sebak dihati bile ditemu kn izryn ngan nazren... pasti punyai hikmah diatas ape pun kejadian...... bile ALLAH ambil kembali,sesuatu yg pernah jd hak kite pasti ade musabab nyer...akan di beri kn pd kite yg lebih baik dari ape yg pernah kite punyai dulu percaya lh setiap perjodohan,hanya ALLAH yg menentu kn...
ReplyDeleteya, betul.....terima kasih
DeleteBest...
ReplyDelete(^__________^)
Deleteterima kasih