Thursday, 8 November 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 13







ZANA bersandar di kerusi di ruang menunggu. Lega hatinya bila temuduganya sudah berlalu. Sekarang, dia sedang menunggu Audra yang baru melangkah ke dalam ruang temuduga. Seramai sepuluh orang pelajar yang terbaik telah terpilih untuk menghadiri temuduga ini. Hanya dua calon terbaik sahaja yang akan diambil untuk bekerja dengan Warisan Syed. Berdebar rasanya hati.
Peperiksaan Akhir semakin hampir. Hanya yang mendapat keputusan cemerlang dan mereka yang mendapat point yang tinggi sahaja akan diterima berkerja di situ. Dia berdoa semoga dia dan Audra akan terpilih. Walaupun hanya pekerja sementara tetapi menurut Encik Hashim, jika prestasi mereka bagus, Warisan Syed tidak akan ragu-ragu untuk mengambil mereka sebagai pekerja tetap.
“Hai!” Zaid yang baharu tiba di situ menghampiri Zana dan duduk di sebelahnya.
Zana sudah tersenyum memandang Zaid yang sudah tiba. Memang Zaid ada berjanji untuk datang ke Warisan Syed selepas temuduga nanti. Mereka mahu keluar makan bertiga. Zaid sentiasa menepati janjinya.
“Mana Audra?” tanya Zaid apabila kelibat Audra tidak kelihatan.
“Audra masih di dalam. Tak habis lagi!” ujar Zana. Adakalanya dia cemburu apabila Zaid selalu bertanya tentang Audra. Maklumlah, pada asalnya Audra yang berjaya memikat hati Zaid. Namun dia sentiasa berpesan pada dirinya sendiri, biar apa sahaja yang berlaku antara dia dan Zaid, dia akan lebih percayakan Audra. Mereka berdua membesar bersama dan telah mengharungi kehidupan ini bersama-sama. Dia percaya kepada Audra dan begitu juga sebaliknya.
Andai ditakdirkan, Zaid hanya menganggap hubungan yang terjalin antara mereka sebagai jambatan untuknya mendekati Audra, dia redha. Dia akan terima apa sahaja ketentuan-Nya asalkan dia dan Audra tetap bersama.
“Tak pelah, kita tunggu.” Zaid menyandarkan tubuhnya di kerusi bersebelahan dengan Zana. “Macam mana dengan interview?” tanya Zaid kemudiannya.
“Bolehlah.” Zana hanya tersenyum. Walaupun dia sangat berharap dapat bekerja di Warisan Syed, namun dia tidak mahu menyimpan harapan yang tinggi.
“Bolehlah aje?” Zaid memandang Zana. “Takkan boleh aje kot?”
Zana ketawa kecil. “Setakat ni, setiap pertanyaan mereka Zana jawab dengan baik. Hanya tinggal tunggu keputusan peperiksaan akhir.” Zana memandang Zaid. “Tapi Zana yakin, semua pelajar yang terpilih akan melakukan temuduga ini dengan baik.” Sudah tentu begitu. Sebab semua pelajar yang terpilih itu adalah pelajar-pelajar yang sentiasa mendapat keputusan yang terbaik.
“Tawakkal sahajalah. Sentiasalah berdoa semoga Zana dan Audra akan terpilih nanti.” Zaid tahu, Zana sangat berharap agar dia dan Audra akan terpilih untuk menjadi sebahagian dari Warisan Syed. “Kalau tak diterima pun, tawaran saya sentiasa terbuka.”
Zana hanya tersenyum. Sememangnya, Zaid pernah menawarkan Zana untuk bekerja di syarikat milik ayahnya. Tetapi dia menolak. Dia tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan atas kebaikan Zaid. "Zana nak pergi tandas kejaplah. Zaid boleh tunggu sini?” tanya Zana.
Zaid mengangguk. “Pergilah. Bak sini beg dan fail tu!” pinta Zaid.
Zana menyerahkan beg tangan dan fail ditangannya kepada Zaid kemudian dia berlalu ke untuk ke tandas. Zaid menyandarkan semula tubuhnya ke kerusi. Namun, tak lama dia berbuat begitu, Audra muncul.
“Zaid!” Audra berdiri di depan Zaid sambil matanya liar memandang sekeliling. “Mana Zana?” Kelibat Zana tidak kelihatan.
“Habis dah?” tanya Zaid tanpa menjawab soalan Zana.
Audra hanya mengangguk sambil matanya memerhatikan beg dan fail milik Zana ada di tangan Zaid.
“Zana pergi tandas kejap,” balas Zaid kemudiannya. "Duduklah dulu."
“Oh,” Membulat mulut Audra menerima jawapan itu. Kemudian, Audra duduk di kerusi yang selang beberapa buah kerusi dari kerusi yang diduduk oleh Zaid.
“Macam mana?” tanya Zaid sekadar memecah kesunyian. Sememangnya dia dengan Audra jarang berbual. Hanya sekali ketika di tasik tempoh hari, sewaktu dia menyatakan hasratnya pada Audra. Dan ini adalah kali yang kedua.
“Okeylah! Tapi tak simpan harapan yang tinggi. Kawan-kawan kita yang lain pun boleh tahan. Mungkin hanya bergantung pada peperiksaan akhir.” Audra menarik nafas kelegaan. Lega hatinya kerana temuduga sudah selesai. Kini, cuma yang tinggal peperiksaan akhir yang akan berlangsung sebulan lagi. Kemudian, mereka akan tamat pengajian. Akan tamatlah dunia pelajar yang ditempuhinya sekarang. Selepas itu, mereka akan melangkah ke dunia yang lain. Dunia pekerjaan yang hanya akan memikirkan tentang wang belanja dan keperluan.
Zaid hanya mengangguk.
“Macam mana dengan kau? Dah dapat mana-mana tawaran?” tanya Audra kembali.
Zaid hanya menggeleng. Sebenarnya, awal-awal lagi daddynya sudah merancang agar dia berkerja dengan syarikat milik daddynya. Dia hanya bersetuju. Baginya, sama ada berusaha sendiri atau bekerja dengan keluarga sendiri sama sahaja. Yang penting sekali, jangan mudah lupa diri.
Sama ada berkerja di perusahaan sendiri atau bekerja dengan syarikat lain tetapi dalam masa yang sama kita alpa dengan nikmat pekerjaan kita, akibatnya tetap sama! Cuma bezanya, kalau berkerja di syarikat lain, kita akan dibuang kerja. Tetapi kalau di syarikat sendiri, perniagaan akan muflis.
Audra hanya menjongketkan kening melihat gelengan Zaid. Bukan dia tidak tahu, Zana sendiri ada beritahu yang Zaid akan bekerja dengan keluarganya. Sengaja dia bertanya kerana dia tidak tahu mahu berkata apa bila hanya ada mereka berdua di sini.
“Awak dengan Zana, okey?” tanya Audra lagi.
Zaid memandang Audra. Dia tersenyum. “Okey!” Ringkas jawapannya. "Macam yang awak tahu, kami hanya berkawan rapat. Seperti awak dengan dia." Zaid menarik nafas panjang. "Zana tak mahu bercinta sebelum berkahwin." Lalu dia diam kembali. Duduk berdua-duaan dengan Audra begini membuatkan dia tidak betah. Apa agaknya pandangan Audra padanya? Setelah Audra menolaknya, dia berkawan pula dengan teman baik Audra.
Audra mengetap bibir. Sungguh, duduk berdua dengan Zaid yang kelihatannya kurang mesra begini memang menjengkelkan. Audra bangun lalu melihat papan notis di situ sekadar untuk membiarkan masa berlalu pergi sementara menunggu kehadiran Zana. Namun, tanpa sengaja dia terlanggar seseorang.
“Auch!” jerit seorang wanita. Wanita yang memakai gaun hitam itu sudah terjengket-jengket ke kerusi. Punggungnya dilabuhkan di kerusi yang berhampiran dengan papan notis. “Kaki I! Sakitlah!” Dia memandang Audra dengan geram.
Audra yang tadinya tercengang terus menghampiri wanita itu. “Maaf, maaf, cik! Saya tak sengaja!” Audra sudah mendekati wanita itu dengan rasa bersalah. Macam mana pula dia tak perasan kehadiran wanita itu? Lebih malang lagi, kasut tumit tingginya telah terpijak kaki wanita itu. Tentu wanita itu kesakitan walaupun dari kesan lukanya kelihatan tidak serius.
“Maaf! Maaf!” Satu jelingan dilemparkan buat Audra. “You ingat you punya maaf tu boleh sembuhkan kaki I?” Dia membelek kakinya yang sedikit bergaris dengan kesan merah.
Audra membuka beg tangannya dan mengambil tisu. “Maaflah." Dia cuba mengelap kaki wanita itu dengan tisu namun ditepis dengan kasar.
“Jangan berani sentuh I!” Wanita itu menjeling. Tisu ditangan Audra dirampasnya lalu dia sendiri menyapu lukanya.
Audra mengerutkan keningnya. Lukanya tidaklah terlalu besar. Hanya ada garis luka yang bewarna merah. Tapi, tak delah sampai darah bersembur keluar. Kemarahan wanita ini melebihi tahap sepatutnya! Audra melirik Zaid yang hanya memerhati. Lelaki itu hanya menjongketkan keningnya kepada Audra. Mungkin dia malas mahu campuri urusan mereka. Biar wanita sama wanita yang menguruskannya. Orang lelaki? Tengok je!
Wanita bergaun hitam itu berdiri semula. Dia memandang Audra yang tegak di hadapannya. “I saman you baru tau!” Dia menjeling lagi. Dia masih tak berpuas hati dengan kesalahan Audra.
Audra hanya membisu. Malas layan orang sombong begini. Dia dah minta maaf tapi dengan sombongnya wanita itu menolak permohonan maafnya. Jadi, apa lagi yang perlu dilakukan? Diam!
“You buat apa kat sini?” tanya wanita itu.
Audra mengerutkan dahinya. Kenapa pulak wanita itu sibuk-sibuk mahu tahu urusannya? Atas urusan apa dia di sini, tiada kena mengena dengan wanita itu. “Saya minta maaf pasal kaki cik.” Tanpa memperdulikan wanita itu lagi, Audra kembali duduk di kerusi yang diduduknya tadi.
Wanita itu kelihatan berang apabila Audra tidak menjawab pertanyaannya. Dia menghampiri Audra dan berdiri di depannya. “Hei! You ni faham ke tidak bahasa Melayu! I tanya, you buat apa di sini?!” Wanita itu sudak mencekak pinggang kanannya dan jari telunjuk kiri sudah bergoyang di depan muka Audra.
Audra memandangnya dengan wajah yang kurang senang. “Saya rasa urusan saya di sini tak de kena mengena dengan cik ni. Jadi, cik tak perlulah ambil tahu urusan saya.” Perasaan kurang senang Audra pada wanita itu sudah timbul.
Wajah wanita itu sudah berubah dengan jawapan yang diterimanya. “Berani you cakap macam tu dekat I. You tahu tak I ni siapa?” Hembusan nafas wanita itu semakin kencang bersama ketapan di bibirnya. Wajah Audra dipandangnya geram.
“Hmmm, maafkan saya.” Zaid sudah bangun dari duduknya. Walaupun dia merasa tidak enak untuk mencampuri urusan mereka berdua, tetapi Audra tetap kawan sekolejnya. Melihatkan situasi yang semakin tengang ini, mungkin dia patut masuk campur.
“You jangan masuk campur!” Wanita itu mengerling Zaid. Jari telunjuknya sudah dilekatkan di bibir sebagai mengarahkan Zaid supaya diam.
Zaid terus terdiam.
Melihat Zaid yang sudah membisu, Audra kembali berdiri dan bertentang mata dengan wanita itu. Nampaknya, wanita ini memang mudah marah biarpun dia sudah beberapakali mengucapkan kata-kata maaf. “Maaf, saya memang tak kenal cik ni. Tapi saya rasa kesalahan saya tak sebesar mana sampai cik nak marah-marah macam ni. Lagipun, saya dah minta maaf.”
Audra masih cuba bersopan apatah lagi memikirkan dia masih berada di Warisan Syed. Dia tidak peduli siapa wanita di depannya, biarpun mungkin wanita itu adalah orang penting di syarikat ini. Tapi lebih penting untuknya menjaga harga dirinya agar tidak mudah dipijak-pijak oleh orang sombong seperti wanita ini.
Wanita bergaun hitam itu memandang Audra dari atas ke bawah dan kembali ke wajahnya. Dari lagak gadis yang memakai baju kurung dan bertudung biru dan memakai kasut tumit tinggi yang hanya mencecah satu inci setengah sahaja ketinggiannya, dengan beg tangan biasa dan fail ditangannya, mungkin juga gadis ini datang dengan tujuan untuk temuduga.
Lagipun, dia ada dengar desas-desus yang Warisan Syed akan mengambil graduan baru untuk bekerja dengan mereka. “You ni mesti datang untuk temuduga tu kan?”
Audra mengerling Zaid sekilas sebelum memandang wanita itu semula. Dia tetap membisu. Dia tidak mahu memberi apa-apa kenyataan kerana dia merasakan dia tidak perlu untuk berbuat begitu.
“You tahu tak, Syed Zikri Syed Zarkasyi, Pengarah Warisan Syed ni, boyfriend I! You tak takut ke kalau I mengadu dengan dia?” Biar pun Audra tidak mengatakan apa-apa tapi dia yakin benar memang gadis di depannya itu datang untuk temuduga sebagai penolong akauntan di situ.
“Hei Audra! Kenapa ni?” Zana yang baru muncul terkejut dengan situasi yang dilihatnya. Dia yang baharu muncul, melihat Audra sedang dimarahi oleh seorang wanita. Lantas, dia terus menghampiri mereka.
“Audra?” Wanita itu melirik Audra kemudiannya setelah memandang Zana yang sedang berdiri di sebelah Audra sambil memegang tangan sahabatnya. “Audra!” Dia berjalan mengelilingi Audra dan Zana sambil matanya terus memerhatikan Audra dari atas hingga ke bawah dan sebaliknya. “Audra!” Dia berhentikan langkahnya di tempat tadi, tepat memandang Audra. “Datang sini macam budak kampung. Tapi nama, Audra!”
“Cik ada masalah dengan nama saya?” Audra sudah merasakan jantungnya berdegup sedikit laju. Di atas paras normal. Perempuan ni memang nak kena!
“Oh, tak! Cuma rasa kelakar! Dressing macam budak kampung tapi nama, Audra! Pandai mak bapak you bagi nama ya. Nama tu dah elok dah, tapi cubalah dressing elok sikit! Kampung betullah!” Wanita itu cuba menjadi pengkritik yang sedang mengkritik penampilan Audra.
Zana sudah menyiku Audra di sebelah sambil keningnya sudah terjungkit-jungkit bertanyakan apa yang telah terjadi sebenarnya. Siapa perempuan ni Audra? Kerek ko semacam je?!
Bagaikan mengerti dengan isyarat kerlingan Zana itu, Audra hanya memberi isyarat agar Zana tenang. Rileks babe. Kejap lagi tahulah aku nak ajar minah senget ni!
“Saya memang budak kampung. Berbaju kurung dan bertudung,” ujar Audra. “Cik ni,” Audra menunding pada wanita itu dengan ibu jarinya. “Your name, please!”
“Emily!” wanita itu mengenalkan diri dengan sombongnya.
“Cik Emily,” panggil Audra dengan suara yang dilembutkan.
“Correction! Miss Emily!” Emily lebih suka jika panggilan ‘cik’ digantikan dengan ‘miss’. Cik? Apa kelas?!
Audra menganggukkan kepalanya. “Okey! Miss Emily," Panggil Audra sekali lagi. “Look at you!” Audra sudah membuka kedua-dua belah tangannya dan menunjukkan ke arah Amily. “Wow! Seksi! Bergaun singkat! It must be expensive one!” Audra memandang Emily yang sudah terangguk-angguk kepalanya apabila Audra menyentuh tentang baju mahalnya itu.
“Kasut,” Pandangan mata Audra tertumpah pada kasut Emily pula. “My gosh! Three and half inch! Vouge! Handbag, Carlo Rino!” Wanita itu sudah kembang kempis hidungnya apabila Audra cuba memperkatakan tentang penampilannya. Berlagak! “Tapi saya ada satu yang Miss Emily tak ada.”
Wanita itu mengerutkan keningnya. “Hello, I ni anak Datuk Jamaluddin, okey! Semua yang ada dalam dunia ni I mampu beli. Doesn’t make sense!” Mana mungkin gadis muda di depannya ini mampu miliki sesuatu yang tak mampu dia miliki!
“Betul! Saya ada satu benda yang Miss Emily tak ada! Dan benda ini, seluruh kekayaan dunia tidak akan mempu membelinya!” Audra masih mahu mainkan wanita di depannya.
“Kalau kekayaan dunia tak dapat nak beli, takkan budak kampung macam you boleh beli?!” Tak logik di akal! Tentu gadis kampung ini sengaja mahu mempermainkannya!
Kata-kata itu semakin membuat bibir Audra menguntumkan senyuman. “Betul!!”
Berkerut kening Emily. “Okey, what is it?”
“Saya ada perasaan simpati! Perasaan simpati pada orang-orang sombong macam Cik Emily! Oppsie," Audra menutup mulutnya. "Maaf, Miss Emily." Audra membetulkan kembali panggilan itu. “Tapi maaflah, rasanya Cik Emily lebih sedap kot!” Sengaja dia melakukan begitu. “Perasaan simpati ini tidak mampu dibeli oleh sesiapa pun!”
Emily mahu membuka mulut dan menghamburkan sumpah seranahnya namun dihalang Audra. Audra meletakkan jarinya ke bibir tanda menyuruh Emily berhenti dari bercakap. “Shhh!”
Emily terdiam.
“Orang-orang macam Cik Emily ni, biasanya berfikiran sempit dan tak punya harga diri! Sebab tulah sewenang-wenangnya Cik Emily akan membuat apa saja, di mana saja, seolah-olah dunia ni Cik Emily yang punya! Kasihan."
Tercengang Emily seketika dengan kata-kata penghinaan dari Audra. Belum pernah lagi ada orang yang berbicara begitu padanya. Apatah lagi budak kampung seperti Audra!
Melihatkan mulut Emily yang sudah ternganga luas dan seakan tergamam dengan kata-katanya, tanpa menunggu lebih lama Audra terus menarik tangan Zana agar berlalu pergi dari situ.
“Budak tak guna! You jangan menyesal bila I bagitahu boyfriend I pasal ni!” Bagaikan baru tersedar dari kebingungannya, Emily lantas menjerit pada Audra yang sudah berada di pintu keluar bangunan itu. “I akan pastikan Syed Zikri takkan ambil orang yang biadap macam you kerja di Warisan Syed!”
Audra berpaling ke belakang setelah mendengar kata-kata Emily. Audra mendengus geram. Dia menghampiri Emily semula walaupun cuba di tahan Zana dan Zaid. “Sikit pun saya tak takut dengan boyfriend Cik Emily!” Audra sudah berpaling untuk pergi tetapi kemudian dia menoleh pada Emily kembali. “By the way, saya sendiri pun dah terasa jelak dengan nama Syed Zikri ni! Sejak saya kenal nama dia, banyak perkara yang dia dah menyusahkan saya! Tolong beritahu dengan boyfriend Cik Emily, Syed Zikri, yang kot hitam dia saya dah buang! Kalau dia mahu jugak, suruh dia cari sendiri!”
Emily sudah tercengang dengan keberanian yang ditunjukkan Audra. Sangkanya Audra hanyalah budak kampung yang mudah untuk diperbodohkan. “You jangan berlagak berani sangat! Nanti I report kat polis!”
“Hah! Reportlah! Polis bodoh je yang akan ambil aduan bodoh you!” Audra terus melangkah tanpa menoleh lagi walaupun sesekali telingannya masih menangkap kata-kata makian dari Emily.
Zana pula terus menarik tangan Audra agar berlalu dari situ. Audra memang panas baran jika orang cuba menganggunya. Itu yang dikhutirkan Zana tentang sikap Audra. Kata Audra, kita buat baik dengan orang yang buat baik pada kita dan kalau orang buat jahat kita kena balas perkara yang sama. Susah benar untuk buat Audra faham agar gadis itu bertindak lebih matang. Tak semua perkara buruk yang berlaku pada kita, kita perlu menangani dengan bertindak dengan sikap yang sama! Audra! Kenapalah suka cari pasal!
Angin Audra memang kurang baik. Memang benar, sejak dia mengenali Syed Zikri macam-macam pekara buruk yang dah berlaku. Perkara pertama, setelah dia bersusah payah membantu Che Enon menyusun semula Rumah Warisan, dia bertemu dengan orang kanan Tuan Syed Zikri iaitu Encik Zack. Kerana setianya Encik Zack pada Tuan Syed Zikri, kot hitam itu perlu dibersihkan sebersih-bersihnya. Jika tidak, dia perlu menggantikan semula kot hitam itu.
Malangnya, setelah cuba membersihkan kot hitam itu, kot hitam itu menjadi semakin teruk. Warnanya sudah tidak sekata dan sedikit bertompok-tompok. Dia telah memberitahu Che Enon tentang hal itu dan menyatakan kesanggupannya untuk menggantikan semula kot hitam milik Tuan Syed Zikri.
Setelah Che Enon memberitahu perihal itu kepada Tuan Syed Zikri, Tuan Syed Zikri mahu Audra menggantikan semula kot hitamnya. Lebih malang lagi, lelaki itu mahu kot hitam yang betul-betul sama dengan kot hitam yang telah dirosakkan Audra. Syed Zikri ni memang menyakitkan hati!
Sampai saat ini, dia masih belum mampu menggantikan kot hitam itu. Hari ini, ketika datang ke temuduga, dia mahu berjumpa dengan Tuan Syed Zikri dan menyatakan masalah kewangannya dan berjanji yang dia akan menggantikan kot hitam itu setelah dia bekerja. Namun, setiausaha peribadi Tuan Syed Zikri tidak membenarkan dia berjumpa dengan Tuan Syed Zikri. Kononnya, tiada siapa yang boleh berjumpa dengan Tuan Syed Zikri. Jika ada apa-apa keperluan, dia dibenarkan untuk berjumpa dengan Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri.
Encik Zack? Dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki yang tidak berwajah itu lagi. Lelaki yang menutupi wajahnya dengan topi dan cermin mata gelap itu juga menyakitkan hati. Sama sahaja dengan Tuan Syed Zikri! Kedua-duanya menyakitkan hati!
Hari ini pula, dia berjumpa dengan Emily! Wanita yang sombong dan merupakan teman wanita Tuan Syed Zikri. Jika Emily yang sombong itu adalah teman wanita Tuan Syed Zikri, Encik Zack yang menyakitkan hati itu adalah orang kanan Tuan Syed Zikri, tentu sahaja Tuan Syed Zikri juga bersikap begitu. Atau mungkin, sikap sombong dan menyakitkan hati yang dimiliki Tuan Syed Zikri melebihi daripada sikap mereka berdua.
Belum pun bertemu dengan Tuan Syed, Audra sudah membuat kesimpulan sendiri.

6 comments:

  1. aisey...sambungla cepat2,hehe...cite feveret niiii....

    ReplyDelete
  2. Salam dik

    Kenapa si Emily tu lorat sgt ek...rasa rasanya Tuan yed tak pun declare apa apa kat minah tui kan..dia sendiri yg terover akak rasa kan..

    Audra..secantik namanya..bila dia melontarkan keluaq ayat ayat dari mulutnya..pergh..sinis dan ganas giler..adakah pertelingkahan antara Audra dan Emily ni disaksikan oleh Zack tanpa pengetahuan mereka berempat..tentu seronokkan kalau si Zack tu tahu..kerana dia akan mengenali sifat dan sikap Audra yg panas baran tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wslm..
      terima kasih atas cadangan ya kak...
      (^_^)

      Delete
  3. hikhik! amek kau miss emily tu name nyer dah bertemu buku ngan ruas...

    ReplyDelete