Friday, 8 March 2013

Lucky Hana - (episod 1)




"Assalamualaikum Lucky. Bangun Lucky! Bangun!" Kata-kata itu terus kedengaran sehinggalah dia meraba-raba dalam gelap dan terus mencapai telefon bimbitnya dan menekan tab-"dismiss".

Suara itu adalah suaranya sendiri yang dirakam dan disertakan sebagai alarm untuk mengejutkan setiap pagi.

@@@@@@@@@@

Nama aku Hana. Tapi, aku dipanggil Lucky. Gelaran ini diberikan arwah abah pada aku sejak aku lahir ke dunia ini dan nama ini terus melekat sehinggalah pada saat ini. Lucky satu panggilan yang pelikkan? Tapi, kerana nama inilah aku bisa berdiri di atas kaki aku sendiri. Nama ini lebih dikenali daripada nama aku yang sebenar. Dan nama ini, sangat mudah diingati bagi mereka yang baru mengenali aku. Itulah yang diakui oleh mereka sendiri.

Aku seorang pelajar jurusan bachelor of art dalam bidang fashion design. Dalam masa yang sama, aku juga mempunyai bisnes online ku sendiri. Bisnes ini, aku jalankan dengan bantuan rakan sekolej ku, Lin. Lin adalah pelajar jurusan perniagaan. Kerana kami tinggal di rumah sewa yang sama, membuatkan hubungan kami bertambah erat sehingga Lin sanggup membantu aku menguruskan bisnes online ku ini.

Pagi ini, seperti biasa aku akan ke kedai yang aku sewa sejak setahun yang lalu. Selalunya, waktu hujung minggu beginilah baru aku ada masa menjengah kedai ini. Lin pula, biasanya datang ke kedai usai habis kelas untuk menguruskan mengambilan pesanan dan penghantaran stok atau kerja-kerja yang berkaitan.

Kedai ini bukanlah kedai yang dibuka untuk orang ramai. Kedai ini hanyalah sebagai sebuah tempat yang aku gunakan untuk menyimpan semua perkakas jahitan dan hasil rekaan aku.  Dan Lin, menggunakannya untuk mengawal setiap urusan. Lin memang cekap! Tak sia-sia dia mengambil jurusan perniagaan.

Sebagai sebuah bisnes online, setiap hasil rekaan aku, aku akan upload dalam blog, facebook dan twitter untuk membuka pasaran. Kalau aku tak sempat upload di internet, pasti Lin yang akan melakukannya.

Pada setiap rekaan pertama, aku yang akan menjahit rekaan sehingga sempurna. Kemudian, aku akan upah budak-budak junior di kolej yang mahukan pendapatan sampingan. Mereka akan menjahit rekaan yang sama dalam beberapa helai. Biasanya, aku akan mulakan dengan enam helai warna berbeza dahulu. Kemudian, baru aku minta Lin membuka pasaran.

Bermula dengan kemenangan pertandingan rekaan fesyen anjuran kolej, aku memberanikan diri menyertai pertandingan yang dianjurkan pihak luar. Malah pihak kolej juga pernah menghantar aku sebagai wakil dalam pertandingan ini. Daripada lima pertandingan yang pernah aku sertai, dua darinya aku berjaya merangkul tempat pertama. Ramai pelajar yang mula mengenali aku. Aku sangat bertuah!

Bila keyakinan semakin meninggi, aku memberanikan diri membuka blog persendirian dengan menceritakan kisah hidup aku serba ringkas dan perjalan aku dalam dunia fesyen yang baru bermula ini. Siapa sangka, dari followers yang bermula dari rakan kolej sendiri, semakin hari semakin ramai follower dari luar yang mengikuti entry aku di blog. Malah, ada juga yang membuat permintaan untuk membeli baju dari hasil rekaan aku.

Semakin banyak permintaan, aku mula berfikir untuk membuat bisnes online. Apa yang perlu aku buat, hanya mereka satu fesyen dengan pelbagai kombinasi warna. Kemudian, upload di internet dan membuka pasaran. Bermula dengan pasaran pertama yang mendapat sambutan, aku memberanikan diri mencipta rekaan yang seterusnya. Siapa sangka, akhirnya aku bergelar pereka fesyen amatur.

Sekarang, Lin yang banyak membantu aku menguruskan pasaran dan promosi kerana aku sudah tidak punya masa untuk mengurusnya. Lin banyak menyokong aku dari belakang. Begitu juga dengan Puan Yuen yang membantu aku mencari pelajar junior yang sanggup membantu aku menjahit hasil rekaan.

Aku percaya, semua ini rezeki dari Allah. Apa sahaja keistimewaan yang ada pada aku, semuanya dari Allah.

"Lin, ini design baru aku. Minta budak-budak ni jahitkan.” Aku menyerahkan satu lagi hasil rekaan aku bersama lembaran setebal dua inci kepada Lin.

"Wah! Cantiknya baju ni!" Seperti biasa, Lin lah yang akan menjadi orang pertama melihat rekaan aku. Usai membelek baju itu, Lin membuka lembaran dua inci itu.

“Aku dah tuliskan dan lekatkan contoh material yang aku mahukan. Aku pun dah tempah semua material tu. Mungkin  petang ni sampailah. Kombinasi warna pun aku dah pilih. Semuanya ada di situ.”

“Okey,” balas Lin.

"Agak-agak, bila boleh siap?"

"Nanti aku tanya dengan budak-budak tu.” Balas Lin. “Kau nak ke mana ni?” pandangannya tumpah pada aku dari atas ke bawah dan terus ke wajahku. Lin ni macam tahu-tahu saja yang aku hanya singgah sekejap di sini.

“Aku nak balik rumah kejap. Mak aku call.”

“Eloklah tu! Kau pun dah lama tak balik.”

Bukan aku tak nak balik. Namun, ada sesuatu yang menghalang aku untuk kerap pulang ke rumah walaupun jarak rumahku dan rumah sewa kami tidak jauh.


------------------à


“Mak nak kau berhenti belajar.”

“Mak!” Siapa yang terkejut dengan arahan itu. Aku mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara. Aku mahu bersaing dengan dunia fesyen antarabangsa!

“Tapi, Lucky nak sambung belajar.”

“Tak payah! Lagipun, kau dah ada bisnes sendiri.”

“Tapi  mak....”

“Tak ada tapi-tapi. Dengar cakap mak. Syurga kau di bawah tapak kaki mak!”

Itu sajalah alasan yang selalu mak beri. Tapi, aku tahu kebenaran itu. Aku tidak menafikannya.

Tiga hari aku duduk di rumah. Agenda aku hanyalah untuk memujuk mak agar membenarkan aku melanjutkan pelajaran. Sehingga mendapat segulung ijazah di kolej tempatan pun jadilah. Tapi, semuanya tidak berhasil. Apatah lagi dengan kehadiran Pakcik Naza yang tak pernah sukakan aku.

Lucky! Kau memang Lucky! Kau ni berbakar! Kau bijak! Kau idola aku! Lucky, aku nak jadi macam kau! Bertuahnya kau Lucky!

Dalam sendirian, telinga aku mula kedengaran suara-suara pujian yang sering dilemparkan oleh kawan-kawan, pensyarah dan kebanyakan orang sekeliling. Lucky? Aku memang Lucky.

Minat aku dalam dunia fesyen bermula sejak aku tingkatan satu lagi. Sejak masuk ke sekolah menengah, sketch book dan pensil adalam teman baik aku. Ke mana aku pergi, pasti aku bawa mereka kerana idea itu datang tak mengira masa dan tempatnya. Bila ilham datang, pantas tangan aku melakarkannya.

Aku yakin, bakat aku ini diturunkan dari arwah atuk kerana kata arwah abah, atuk bisa hidup mewah kerana bakatnya yang luar biasa dalam seni ukiran. Kebetulan arwah atuk pula mengenali Uncle Ang yang kononnya sangat bijak dalam perniagaan. Uncle Ang lah yang membawa semua kreativiti arwah atuk sehingga ke pasaran dunia.

Kerana itu arwah atuk meninggalkan harta yang banyak kepada arwah abah. Satu hektar tanah yang diberikan kepada arwah abah, arwah abah bina tiga puluh buah rumah kampong untuk disewa. Keluasan setiap satu rumah adalah 600 kaki persegi. Dan kawasan terhujung, arwah abah bina sebuah banglo untuk kami tinggal dengan keluasan 5000 kaki persegi. Arwah abah dapat wang untuk memajukan tanah itu juga dari hasil tinggalan arwah atuk. Wang tinggalan arwah atuk berjumlah RM500,000.

Tanah itu memang kawasan yang strategi untuk membina rumah sewa kerana berdekatan dengan kawasan kilang. Apatah lagi terdapat juga sebuah kolej di situ.

Dari keuntungan rumah sewa, arwah abah membuka gerai makan yang kecil. Kemudian, berkembang sehingga membeli sebidang tanah yang luasnya tiga ribu kaki persegi. Di atas tanah itu, arwah meluaskan kawasan gerainya.

Sayangnya, ketika aku berusia lapan tahun awah abah meninggal. Sejak itu,hidup aku sudah mula terumbang ambing. Apatah lagi, arwah abah lebih rapat dengan aku berbanding mak. Setahun selepas itu, mak berkahwin dengan Pakcik Naza. Episod hitam mula terlakar dalam setiap kenangan aku. Pakcik Naza tak pernah menerima aku sebagai anaknya. Aku semakin terbiar apabila Nabila lahir ke dunia ini. Sejak dari itulah aku belajar hidup berdikari dan menguruskan hidupku sendiri.

Aku juga tak pernah dibenarkan untuk menyentuh Nabila sehingga adik aku ini tidak suka pada aku dan selalu menganggap aku ini musuhnya. Biarlah, yang penting, aku sayang pada Nabila.

Macam mana aku bisa kuat? Semuanya kerana pesanan arwah abah. Apa yang selalu membuatkan aku ingat dengan setiap pesanan arwah abah, adalah kerana sebuah buku. Arwah abah hadiahkan aku sebuah buku setebal satu inci. Arwah abah pesan, apa sahaja pesanan dari arwah abah dan mak, aku perlu tulis di dalam buku itu agar aku sentiasa ingat. Maka, setiap kali arwah abah memberi pesanan, aku akan catatkan di dalam buku itu. Buku itulah yang menjadi rujukan dan kekuatan aku. Aku sudah mula menulis buku itu sejak umur lima tahun lagi.

Ya, aku boleh dikategorikan sebagai anak yang pintar kerana bisa membaca ketika aku berusia empat tahun. Dan bisa menulis ketika berusia lima tahun.

Setiap kali aku kehilangan arah dan merasa lelah, buku pesanan arwah abahlah yang aku buka kerana kata arwah abah, aku perlu sayangi diri aku sendiri. Aku tak mahu tersesat dan kehilangan arah hanya kerana orang yang tak pedulikan aku. Masa depan aku, aku yang tentukan!

----------------------->


Akhirnya, aku menuruti juga saranan mak yang lebih kepada arahan sebenarnya. Aku tak dapat lagi melembutkan hati mak. Semuanya kerana Pakcik Naza.

Kata mak, mak tak mahu melawan kata suami kerana sebagai isteri mak wajib untuk taat pada suaminya. Dan aku sebagai anak, perlu taat kepada mak. Hmmm.... Bukan aku tak tahu Pakcik Naza cemburu dengan kejayaan aku yang masih muda ini.

Apa lelaki itu lupa dengan bumi yang dipijaknya? Semuanya adalah tinggalan arwah abah! Bisnes ikan bakar yang diusahakannya kini juga di atas tanah arwah abah setelah gerai yang dibuka arwah abah tidak ada yang mengurusnya lagi.

Aku berdiri di depan cermin. Aku tak percaya yang imbasan di depan ku ini ada diri aku sekarang.Aku hanya berbaju kemeja T dan jeans lusuh. Kemudian, aku sarungkan kemeja butang di atasnya walaupun butangnya aku tak cantumkan.  Tak ada lagi kekemasan dalam setiap penampilan aku. Untuk apa kekemasan dan kecantikan apabila aku perlu berjumpa dengan tauke Lim untuk mengambil ikan-ikan untuk meniaga malam nanti.

Inikah Lucky, seorang pereka fesyen online?

Tapi, aku tak terus tinggalkan dunia fesyen. Aku masih pegang sketch book dan pensil. Aku akan lakarkan design baru bila dapat ilham dan akan aku serahkan kepada Lin yang telah menguruskan butik itu sepenuh masa.

--------------------->

Lima tahun berlalu..........

"Lin!” Aku terus membuka pintu kedai sebaik sahaja masuk ke dalam.

“Ah, Lucky. Kenapa? Ada design baru?” Tanya Lin yang sudah memandang aku atas-bawah-atas.

Pada kali pertama melihat aku dengan penampilan begini, dia memang terkejut. Sangkanya, ada orang datang nak minta sedekah. Sangat menyakitkan hati sedangkan pakaian aku taklah bercompang camping atau koyak rabak. Walaupun tak berfesyen, aku pastikan diri aku sentiasa bersih. 

Serabailah kau ni! Itulah yang sering Lin katakan. Nak buat macam mana, kenalah dengan kerja aku yang bergelumang dengan ikan-ikan yang busuk dan hanyir!

“Belum lagilah. Aku nak nak tahu tentang design yang sebelum ni.”

Sold out! Siap ada orang minta buat lagi!”

“Alhamdulillah!”

“Kau ni memang bertuahlah Lucky! Semua design kau meletop! Pisang goreng!” Senyum Lin. “Cuma, aku nak minta satulah.”

“Apa?”

“Kau berhentilah kerja dengan pakcik dan mak kau. Bisnes kita dah semakin maju. Aku tak cukup tangan nak uruskan bisnes ni. Lagipun, aku rasa, kita perlu cari tukang jahit untuk permanent job! Lagipun, Puan Yeun dah tak mengajar lagi di kolej tu. Susah kita nak cari student yang sanggup buat part time dengan kita.”

Lin benar, sejak aku berhenti kolej, Puan Yuen lah yang banyak membantu aku mencari pelajar yang mahu mencari pengalaman dan dalam masa yang sama bekerja dengan aku secara sampingan. Sekarang, Puan Yuen sudah tidak mengajar lagi di kolej itu.

“Nantilah aku fikirkan. Buat masa ni, kita masih ada student yang sanggup bekerja dengan kita kan?”

“Adalah. Tapi, yang tiga orang ni pun akan jadi macam student yang lain. Diorang pun ada cita-cita diorang sendiri. Diorang bekerja dengan kita nak cari pengalaman dan duit poket je.”

Hmmm... susah....susah. Kalau aku tak bantu mak uruskan bisnes ikan bakar tu, tentu aku jahit semua design aku sendiri. Paling kurang, tentu aku dapat siapkan dua helai sehari. Apatah lagi, sekarang ni ada juga pengusaha butik yang menempah design dari aku. Lin memang pandai mempromosikan bisnes kami. Aku selute Lin!

Tapi, macam mana? Sedangkan sejak dua tahun lepas, mak memaksa aku berhenti meneruskan minat aku dalam bidang rekaan fesyen. Mak mahu aku tumpukan perhatian kepada restoran ikan bakar.

Demi menjaga hati mak, aku memberitahu yang aku telah berhenti menjadi pereka fesyen. Namun, disebaliknya, aku masih menyerahkan setiap rekaan aku kepada Lin. Dan Lin pula, akan meminta student yang membantu kami untuk menyiapkan rekaan aku mengikut setiap lakaran yang aku berikan.
Aku tak tahulah sampai bila aku akan menyembunyikan perkara ini......hmm...


------------------------->


 “Nah! Ambil ni!” Pakcik Naza melempar buku catatan rumah-rumah sewa ke atas kerusi.

Huh! Sangat kurang sopan. Dia ingat aku takut dengan dia! Aku bukan budak-budak lagi yang boleh dia takutkan! Aku dah menjadi seorang wanita yang sangat matang! Jauh lebih matang dari usia ku sendiri!

“Apa kau jeling-jeling!” tempik Pakcik Naza.

“Kenapa Pakcik tak boleh kutip duit sewa bulan ni?” Kata mak, Pakcik Naza tak sihat. Tak sihat apanya kalau begini!

“Mak kau tak beritahukah yang aku tak sihat?”

“Tak sihat apanya? Kalau tak sihat, pergilah jadi mayat atas katil tu!”

“Kurang ajar!” Pakcik Naza sudah mengangkat tangannya.

“Tamparlah kalau berani!” Aku menyuakan muka aku padanya. “Pakcik jangan lupa yang setiap satu sudut rumah dan tanah ni adalah milik saya!” Mungkin aku kurang sopan kerana begitu. Namun, inilah juga salah satu puncanya mengapa aku berani melawan Pakcik Naza. Ketika genap usia aku dua puluh tiga tahun, pada dua tahun yang lepas, peguam arwah abah ada datang berjumpa kami sekeluarga.

Rupa-rupanya, satu hektar tanah yang digunakan untuk mendirikan rumah sewa, berserta dengan rumah-rumahnya telah arwah abah berikan kepada aku sebagai pemilik tunggal. Sebelum ini, peranan mak hanyalah sebagai pemegang amanah dan kerana itulah sewaktu mak mahu majukan tanah itu untuk membuka bisnes lain, permohonan itu tidak diluluskan.

Arwah abah telah berwasiat agar tanah itu diserahkan kepada aku ketika berusia dua puluh tiga tahun. Arwah abah hanya menyerahkan tanah seluas tiga kaki persegi yang kini diusahakan oleh Pakcik Bakar sebagai restoran ikan bakar kepada mak.

Aku sendiri tak pasti kenapa mak sanggup rahsiakan perkara ini. Selama ini aku menyangka semua tinggalan harta, arwah abah berikan kepada mak. Mungkin juga arwah abah sudah mempunyai firasat tentang masa depanku yang akan berbapa tirikan lelaki ini, maka dia menyerahkan sebahagian besar hartanya untuk ku. 

“Hana!” Mak yang entah muncul dari mana terus bertempik pada aku. Aku tahu, kalau mak sudah menggunakan nama sebenar aku, maknanya, mak sangat marah pada aku. Tentu sahajalah mak marah. Itu kan suami kesayangannya! “Jangan kurang ajar dengan pakcik kau! Sejak arah abah tak ada, dialah yang menjaga kau selama ni!”

Dia yang jaga aku? Mak ni hilang ingatan agaknya. Sejak arwah abah tak ada, aku yang menjaga diri aku sendiri! Tapi, aku tak sanggup melawan kata-kata mak. Semuanya kerana pesanan arwah abah yang aku tulis di dalam buku. Jika tidak, sebaik sahaja aku tahu semua harta ini adalah di atas nama aku, dah lama aku halau Pakcik Naza keluar. Tapi aku takkan sanggup buat macam tu. Kalau aku halau dia, samalah macam aku halau mak. Sedangkan, aku sangat sayangkan mak, walaupun kasih sayang mak lebih tertumpah kepada Nabila dan Pakcik Naza.

Dan aku juga sayangkan Nabila, adikku....


Huh! Terik mata hari memang membuatkan mata aku berbinau. Tekak aku pula semakin kering. Dua puluh buah rumah telah aku pergi. Alhamdulillah, semuanya membayar sewa dengan sempurna tanpa meminta ditunggakkan.

Cuma tinggal lorong terakhir yang juga mempunyai sepuluh buah rumah sewa seperti lorong yang lain. Tanpa membuang masa, aku terus memulas handle motorsikal kapcai yang aku beli itu dan membelok  masuk ke lorong seterusnya.

“Ya Allah!”  Motorsikal ku hilang kawalan apabila bertembung dengan sebuah motorsikal Kawasaki yang datang dari arah bertentangan.

Kami sama-sama cuba mengelak dari berlanggar antara satu sama lain. Malangnya, aku terlanggar sebuah pasu bunga lalu terjatuh.

“Aduh!” Aku menarik keluar kaki ku yang tersepit. Aku berpaling memandang penunggang motorsikal Kawasaki itu. Wow! Kawasaki Ninja tu! Sempat lagi aku melihat motorsikal besar yang berwarna silver itu.

Penunggang motorsikal besar itu juga sedang terduduk di lantai bersama motorsikalnya. Kemudian, dia bangun dan mengangkat motorsikalnya. Aku juga berbuat demikian.

Dengan langkah yang terhencot-hencot, aku mendekati penunggang itu. Aku membuat perhitungan dengannya!

“Hello!” Aku memandang penunggang motorsikal Kawasaki Ninja yang tidak ku ketahui jantinanya kerana wajahnya ditutup dengan fullface helmet.

Sebaik sahaja aku menegur begitu, penunggang itu memandang aku lalu membuka cermin hitam yang menutup wajahnya. Terlihatlah sepasang matanya itu. Aku membalas pandangan matanya itu dengan tajam. Memang nak kena dah ni!

"Awak tak tahu undang-undangkah? Sebelum keluar simpang, sepatutnya awak tengok dulu, kanan-kiri-kanan! Samada, ada kenderaan lain atau tak!" Bagaikan cikgu sekolah memandu aku mengajarnya.

Sepasang mata yang hitam pekat itu terus memandang aku tanpa berkelip. Aku sendiri tak pasti bagaimana reaksinya menerima teguran aku kerana wajahnya yang tertutup itu. Apakah dia sedang mengetap bibir menahan marah pada aku, atau sedang ternganga kerana tidak menyangka aku akan berkata begini? Atau mungkin, dia sedang mentertawakan aku.

"Apa awak pandang-pandang? Awak dengar tak apa saya kata? Awak ni tahu undang-undangkah tak?" Agaknya manusia yang sedang merenung aku ni bisu barangkali.

Tanpa membalas bicaraku, penunggang itu terus membuka helmetnya. Terlihatlah seraut wajahnya. Okey, lelaki, jantinanya. Agak kacak dengan sedikit jambang di dagunya. Aku cuba meneliti setiap sudaut wajahnya.

"Kalau ya pun awak tak boleh cakap elok-elok sikitkah?" Pemuda itu mengerling.

Pemuda itu kemudiannya memandang motorsikal burukku yang terpakir di tepi. Dia menuju menghampiri motosikal burukku dan aku membontotinya dari belakang. Dia membelek-belek motosikal aku. Aku hanya memerhatikan segala tindak tanduk pemuda itu dengan menyampah. Memanglah kelihatan seperti dia sedang memeriksa motorsikal ku. Tapi, mungkin juga dia sedang membandingkan dan mengutuk motorsikal burukku dengan Kawasaki Ninja-nya itu.

"Cuba start!" Pemuda itu bersuara. Aku hanya memerhatikannya. Amboi! Bukan main mengarah orang lagi! Dia yang salah!

"Hello madam! Dengar tak apa yang saya cakap?" Giliran pemuda itu pula memulangkan buah keras.

Aku mengetapkan bibir. Kurang asam betul dia ni!

Di saat itu juga aku terlihat sebuah Suzuki SX4 melintasi kami. Nabila sedang memandu kereta itu. Alangkah bertuahnya Bella kerana sudah dibelikan kereta walaupun masih belajar. Sedangkan aku? Aku  hanya mampu membeli motorsikal buruk ini dengan gaji bulanan yang aku terima dengan menjadi orang suruhan Pakcik Naza di restoran itu.

Walaupun bisnes online sangat menguntungkan, namun keuntungannya hanya terhitung dalam angka di bank. Aku takkan mengeluarkannya melainkan untuk membayar zakat. Aku takut jika mak menghidu tentang pembohongan aku yang masih aktif meneruskan minat ku dalam rekaan fesyen.

"Apa yang berdiri macam patung tu? Cubalah start!"

Suara pemuda itu mematikan lamunanku.

Sabar Lucky, sabar.... Aku beristighfar seketika. Aku pun tak tahu mengapa tiba-tiba lidah ku kelu untuk menjawab setiap arahannya yang kasar itu. Aku mengalah dan menghidupkan semula enjin motorsikal ku.

Nampaknya, semuanya okey. Tak ada apa-apa yang rosak. Tapi, aku perlu pastikan dengan yakin dahulu. Maka, aku menunggang motorsikal burukku mengelilingi pemuda itu. Setelah yakin motorsikal ku tidak ada apa-apa, aku berhenti di depan pemuda itu.

"Rasanya motor cik puan ni tak rosak. Cik puan pula, ada cedera kat mana-mana?" tanya pemuda itu. Kali ini suaranya kedengaran begitu lunak sekali.

"Tak de!" Pantas saja aku menyambut pertanyaannya dengan kasar. Walaupun kaki kanan aku ada terasa sakit sedikit, tapi  aku  tak mahu perbesarkan hal itu kerana aku perlu segera pulang untuk meneruskan semula kerja ku yang tertangguh. Aku perlu ke restoran dengan segera.

"Cik puan cakap betul-betul. Kalau sakit beritahu. Boleh saya hantar ke klinik." Pemuda itu meminta kepastian. Mungkin dia telah melihat aku berjalan terhencot-hencot maka dia berkata begitu.  

"Saya okey!" Aku mengulanginya sekali lagi dan kali ini lebih tegas.

"Tapi saya rasa lebih baik kita klinik. Mana tahu...."

"Awak ni pekakkah?" Aku menjeling tajam padanya. “Kalau saya kata saya okey, saya okeylah!"

"Saya cuma berbahasa je. Sekurang-kurangnya, awak bersopanlah sikit." Pemuda itu mengetap bibirnya. 

"Awak tunggu sini kejap!"

Dengan kerutan di dahi, aku melihat pemuda itu menghampiri sebuah gerai buah di tepi jalan itu. Kemuidan, dia menghampiri aku semula.

“Nah, sebagai tanda minta maaf.” Pemuda itu menyerahkan sebuah plastic kecil bewarna hijau kepada ku. Tentu isinya berisi buah yang dibeli.

“Terima kasih je lah,” Aku terus berlalu pergi. Huh! Menyampah!


----------------------à bersambung....









No comments:

Post a Comment