Friday, 22 March 2013

Senyumlah Sayang 12









Sampai sahaja di IIham Hati, Tania terus menuju ke Syurga Ilham Hati. Ketika dia melintasi halaman untuk ke rumah, kelihatan Zaiton bergegas menghampirinya. Tania sudah terpaku di situ. Pasti Makcik Zaiton sedang mencari Amani. Tania sudah menelan air liurnya.

"Assalamualaikum Tania." Zaiton menegur Tania dengan ramah bersama senyuman yang lebar. Sedari tadi dia mengingatkan dirinya, apabila bertemu dengan kedua beranak ini, iaitu Tuan Helmi dan Tania, dia perlu memberi salam terlebih dahulu.

"Waalaikummussalam, makcik." Tania membalas senyuman yang dihulurkan Zaiton. Senyuman Makcik Zaiton memang mempesonakan. Senyuman itu mengingatkan dia pada arwah ibunya. Melihat Zaiton, rindunya pada Sufi semakin meluap-luap. Jauh benar sikap Amani dan Makcik Zaiton. Makcik Zaiton murah dengan senyuman.

"Macam mana dengan sekolah hari ni?" tanya Zaiton lalu mencapai kedua-dua tangan Tania dan menggenggamnya erat. Amani tiada bersama Tania. Sudah tentu Amani sudah menuju ke kamarnya atau ke ruang makan. Dia perlu menggunakan kesempatan ini berbaik dengan Tania tanpa kehadiran Amani. Jika tidak, pasti hanya jelingan tajam Amani yang bakal diterimanya.

Pertanyaan Zaiton membuatkan Tania tersenyum lebar. Saat ini dia sudah terlupa tentang Amani. “Baik!”Senyuman Tania semakin lebar dengan perhatian Zaiton. "Semuanya okey!”

"Tania tentu letihkan? Pergilah berehat, lepas tu pergi makan."

"Hmmm!" laju Tania mengangguk. "Makcik dah makan?"

"Belum lagi. Makcik ingat nak tunggu Tania dan Amani pulang sekolah dulu. Boleh kita makan sekali."

Saat ini baharulah dia teringat tentang Amani. Dia tertunduk. Tania tertunduk. "Makcik, Tania minta maaf."

Senyuman di wajah Zaiton bertukar dengan kerutan di dahinya.

Tania melirik Zaiton seketika lalu menunduk kembali. "Sebenarnya, masa balik tadi, Kak Amani tak nak beli barang sekolah yang baru. Dia bertengkar dengan Abang Izz. Lepas tu, Abang Izz tinggalkan Kak Amani di tepi tasik, dekat lorong masuk ke Setia Sentosa." Dengan nada yang perlahan dan lambat-lambat, Tania menuturkan kata.

Zaiton mengherotkan bibirnya. Amani tak nak beli barang baru? Kenapakah anaknya itu terlalu bodoh menolak pemberian orang yang mahu membantunya? Kesal dia dengan sikap Amani. Amani langsung tak mewarisi sikapnya tetapi anaknya itu lebih banyak mewarisi sikap arwah ayahnya. Suaminya dulu juga sangat tidak suka menerima bantuan orang. Kalau boleh, apa saja mahu dilakukan dengan sendiri. Sebab itulah mereka terus hidup dalam kemiskinan.

"Makcik marahnya?" Soal Tania takut-takut.

Fikiran Zaiton kembali kepada Tania. Dia terus memandang Tania. Satu senyuman diukirnya. "Mana ada makcik marah. Kalau makcik marah pun, makcik marah pada Amani!" ujar Zaiton. Sungguh! Dia tahu benar sikap Amani. Kalau bukan kerana sikap Amani sendiri, tak mungkin Izz dan Tania meninggalkan dia begitu. "Biarkanlah, kejap lagi dia baliklah tu!"

Dia tidak pernah risau tentang Amani. Dia tahu Amani boleh menjaga dirinya sendiri. Itulah yang berlaku selama ini.

“Tak apalah. Tania pergi masuk dalam. Berehat, bersihkan diri, lepas tu kita makan sama-sama. Makcik ada di depan Kamar Ilhan. Makcik nak bersihkan kolam ikan.”

“Hmmm,” Amani menangguk sambil matanya menyoroti langkahnya Zaiton. Satu keluhan dilepaskan. Dia bernasib baik apabila Zaiton tidak memarahinya. Tetapi dalam masa yang sama dia agak keliru dengan sikap Zaiton yang seakan tidak mengambil kisah tentang Amani. Dia berfikir sejenak dan kemudian dia menggelengkan kepala. Tak mungkin Zaiton tak pedulikan Amani. Amani itu kan anaknya. Tentu Zaiton lebih mengerti sikap Amani kerana itulah dia tidak khuatir dengan Amani yang ditinggalkan itu.

Mungkin kata Izz benar. Amani pandai menjada diri. Kerana itulah Zaiton juga tidak khuatir tentang dirinya.

Tania kembali tersenyum. Hari ni, mereka akan berkumpul bagaikan atau keluarga. Tuan Helmi, Tania, Zaiton dan Izz. Amani? Bagaimana dengan Amani? Fikiran Tania melayang mengingati Amani lagi.

SEBAIK sahaja usai menyudahkan makanan, Zaiton meminta diri untuk menyambung semula tugasnya. Tania pula, dalam diam masih menunggu kepulangan Amani. Entah berapa kali dia menghubungi Ilham Hati dan bertanya dengan mereka di sana tentang kepulangan Amani. Adakah mereka melihat kelibat Amani masuk ke dalam kawasan Ilham Hati?Namun, hanya jawapan hampa yang diterimanya.

Setelah berfikir panjang, Tania mengambil keputusan untuk berjumpa Izz dan meminta lelaki itu mencari Amani. Setelah yakin dengan keputusannya, dia terus bergegas ke pondok kecil Izz.

Sampai sahaja di sana, langkah kaki Amani terhenti. Dia melihat susuk tubuh Izz sedang duduk bersendirian di anak tangga. Izz kelihatannya sedang mengelamun. Atau, mungkin sedang berfikir, barangkali. Mungkinkah lelaki itu sedang memikirkan tentang Amani. perasaan cemburu mula berputik di hati Tania.

Dengan perlahan Tania mengatur langkah menghampiri Izz yang terus hanyut dalam dunianya sendiri. Dia duduk di sisi Izz. Saat ini Izz sudah mula sedar dengan kehadiran Tania. Dia hanya menoleh Tania sekilas lalu kembali ke posisi asalnya.
"Abang Izz tak risaukan Amani?" soal Tania memecahkan kesunyian antara mereka. Sungguh, hati Tania diburu rasa bersalah pada Amani walaupun seketika tadi perasaan cemburu sudah terselit di dalam hatinya.

Soalan Tania itu menyebabkan Izz kembali melirik padanya. Mana mungkin dia tidak risaukan Amani. Sedari tadi, dia hanya memikirkan Amani. Namun, sikap Amani sangat menjengkelkan.

Satu hembusan nafas dilepaskan Izz. Perlukah dia risau tentang Amani? Tak perlu! Dia memang tak perlu khuatirkan Amani. Namun kenapa hanya persoalan Amani yang berlegar di mindanya? Apa yang tak kena dengan Amani? Kenapa Amani bersikap begini?

"Macam mana Kalau Amani melarikan diri?" Tania khuatir tentang itu. Bagaimana dengan hidup Amani jika dia pergi dari Ilham Hati?

"Dia takkan lari!" ujar Izz dengan yakin. Dia tak tahu tentang itu. Tapi dia yakin, Amani tak mungkin melarikan diri.

"Macam mana Abang Izz tahu?" Tak mungkin Izz tahu begitu banyak tentang Amani. Apatah lagi Amani masih baru di sini. Tapi, setiap kali berbicara tentang Amani, dia seperti merasakan bahawa Izz sangat mengenali Amani. Apakah mereka telah lama mengenali antara satu sama lain namun sengaja mereka merahsiakan perkara itu? Mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa? Tak mungkin!

Izz diam. Mungkin mereka di Ilham Hati baru mengenali Amani, begitu juga dengannya. Namun, tak susah untuk mengenali sikap dingin dan keegoan gadis itu. Apa yang sukar adalah isi hatinya yang tersirat itu. Gadis seperti Amani tak mungkin memungkiri janjinya. Apatah lagi bila keegoannya itu bagai mendesak agar dia melangsaikan semua hutangnya pada Tuan Helmi. Amani takkan pergi selagi hutangnya tidak selesai.

Tania hanya menghembuskan nafas perlahan apabila soalannya tidak bersambut. Dia melirik jam di tangan. "Sekarang dah pukul empat petang. Amani masih belum pulang. Masih belum makan. Tentu perut dia dah masuk angin." Ada nada kerisauan dari suara Tania. Dia menongkat dagunya dengan kedua-dua belah tangan.

Izz menggelengkan kepalanya. Amani sangat bertuah kerana terdampar di Ilham Hati. Bagaimana jika dia terperangkap di tempat lain setelah dihalau dari rumahnya? Tak mungkin akan ada orang sebaik Tuan Helmi dan Tania yang sanggup menjaganya seperti mereka. Barangkali, Amani telah dijual.

"Tania risaukan Amani?" Izz tetap bertanya walaupun raut wajah Tania telah menunjukkannya.

Tania menarik nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia perlu memikirkan soal Amani. Yang pasti, dia memang khuatir tentang gadis itu. "Tak mengapalah, biar Tania cari Amani." Akhirnya Tania mengambil keputusan begitu apabila melihat keengganan Izz untuk mencari Tania.

"Kenapa?" tanya Izz. Kenapa Tania perlu mencari Amani setelah apa yang telah dilakukan Amani padanya?

"Entah." Tania menjungkitkan bahunya. "Lagipun…” Tania berhenti dari menuturkan kata. Apa yang mahu dikatakannya ialah, dia kasihan pada Amani kerana Zaiton kelihatan tidak memperdulikan anaknya itu. Jika dia berkata begitu, apa pula kata Izz nanti? “Tak apalah Abang Izz. Tania pergi dulu!” Tania terus bergegas pergi dari situ tanpa mengunggu balasan kata dari Izz.

Tercengang Izz melihat langkah Amani yang berlalu pergi. Tak sempat dia bertanya sama ada Zaiton sudah mengetahui tentang perkara ini. Makcik Zaiton tak mencari Amani? Sepatutnya Makcik Zaiton sedar Amani masih belum pulang sejak jam satu tengahari tadi!" Izz melangkah pergi.

Izz mengatur langkah menyelusuri segenap Syurga Ilham Hati untuk mencari Zaiton. Apa agaknya yang dilakukan Zaiton sehingga dia lupa tentang Amani? Sampai sahaja di belakang kawasan ruang makan, kedengaran suara gelak tawa Puan Zaiton dan Tuan Helmi.

Perlahan-lahan Izz mendekatkan dirinya dengan dinding ruang makan. Di sebalik dinding itu, dia mengintai susuk tubuh pasangan yang sedang asyik berbual dengan mesra. Lama dia memerhatikan tingkah mereka berdua.

Tuan Helmi tertawa besar apabila ada perbualan di antara mereka yang mencuit hatinya. Izz yang sedang memerhatikan merasa terpegun. Tuan Helmi tidak pernah kelihatan begitu gembira seperti saat ini. Tawa Tuan Helmi sudah lama tidak kedengaran di Ilaham Hati sejak pemergian Puan Sufi. Apakah kehadiaran Puan Zaiton telah mengembalikan semula gelak tawa itu?

Izz berhenti dari mengintai. Dia bersandar di dinding. Apa yang dilihatnya adalah satu perkara yang menggembirakan. Namun, ia juga bisa menjadi satu perkara yang menakutkan.

"KAKAK!" Dari jauh Tania menjerit apabila dia melihat kelibat Amani yang terpaku di depan tasik. Dengan pantas Tania menghayun langkah ke situ. Lega hatinya melihat Amani di situ.

            Sayup-sayup Amani mendengar panggilan namanya. Kenal benar dia dengan pemilik suara itu. Kalau tidak menjerit seperti anak kecil begitu bukan Tania, siapa lagi? Sengaja dia memekakkan telinga.

"Kakak!" Kini Tania sudah berdiri di sisi Amani. Namun kehadirannya langsung tak dipedulikan oleh Amani. "Apa kakak buat di sini? Jomlah kita balik!" Tania cuba memujuk Amani.

Amani tetap membisu seperti tadi. Sambil memeluk tubuhnya dan membuang jauh pandangannya ke tasik, dia membiarkan kata-kata Tania berlalu di telinganya.

"Kakak! Jomlah balik! Nanti semua orang risau!" Tania meninggikan nada suaranya.

Kata-kata Tania itu membuatkan Amani berpaling memandangnya. Risau? Siapa yang akan risaukannya? Satu jelingan tajam dilemparkan kepada Tania, lalu dia bergerak menyusuri lalang-lalang yang semakin meninggi untuk ke lorong kecil.

Sikap Amani membuatkan Tania mengetap bibirnya menahan marah. Sudahlah dia kepenatan mencari Amani di sini, tetapi langsung tak dipedulikan! Boleh pula Amani meninggalkannya begitu sahaja?!

" Hei! Amani!" teriak Tania dengan kuat.

Amani menghentikan langkahnya. Tania menjerit memanggilnya? Baru pertama kali Tania bersikap begitu. Barangkali kesabarannya sudah hilang! Amani berpaling memandang Tania. Sinis sekali wajah comel didepannya dipandang.

"Kalau kau tak suka tinggal di sini, baik kau berambus saja dari sini! Aku dah bosan dengan sikap kau yang sombong dan tak sedar diri! Dahlah menumpang rumah orang! Berlagak macam anak raja!" Tania meluahkan segala amaran yang terbuku dalam dirinya. Dadanya yang berombak bila dilihat dengan jelas dari turun naik nafasnya.

Nampaknya gadis manja ini sudah menunjukkan sikapnya yang sebenar! Amani menjeling sinis dan kemudian mendekati Tania. "Kau siapa nak halau aku pergi dari sini!" Amani menolak bahu kanan Tania.

Tania terkedu seketika dengan tindakan Amani. Tiba-tiba rasa marahnya bertukar menjadi takut dengan sikap Amani.

"Kau ingat aku suka tinggal kat sini?" Amani menolak lagi bahu Tania. "Papa kau yang buat aku tersadai di tempat ni! Apa kata kau minta papa kau halau aku dan mak aku dari sini. Senang sikit! Tak payahlah aku dan mak aku bersusah payah nak bayar hutang tiga puluh ribu tu dengan papa kau!"

"Tiga puluh ribu?" tergamam Tania. Amani dan Makcik Zaiton berhutang tiga puluh ribu dengan papa?

"Kau tak tahu?" Amani memeluk tubuh sambil memandang wajah Tania dengan reaksi yang mudah dibaca. Tentu sahaja Tania tak tahu! Rasanya banyak perkara di Ilham Hati tidak diketahui Tania. "Itu baru tiga puluh ribu. Belum sampai sebulan aku dan mak aku di sini, kita orang dah kikis duit papa kau sebanyak tu. Cuba kau bayangkan kalau aku dan mak aku terus tinggal lebih lama di sini?" sengaja Amani cuba memprovok minda Tania.

Tania terdiam, memikirkan rasionalnya kata-kata Amani.

"Kenapa? Kau tak percaya?" Amani memeluk tubuh dan memandang Tania dengan sinis. Gadis seperti Tania memang polos. Senang diperdayakan!

"Aku tak percaya!" tegas Tania. Terbayang raut wajah Zaiton yang sangat baik melayaninya. "Makcik Zaiton orang yang baik!" Tania membalas pandangan mata Amani. "Kenapa kau suka memburukkan ibu kau sendiri? Aku tak pernah jumpa seorang anak yang suka memburukkan ibunya seperti kau!”

Seperti yang dirangkanya! Tania sudah diperbodohkan dengan kebaikan pura-pura Zaiton. "Kuah akan tumpah ke nasi. Kalau kau rasa aku ni orang jahat. Dari mana agak-agaknya aku waris sikap jahat aku ni?” Mata Amani terus menikan maata Tania. "Aku memang jahat dan mak aku lebih jahat dari aku!"

Tania menggeleng-gelengkan kepalanya. "Kau ni memang anak derhaka! Aku tak pernah jumpa anak macam kau yang suka memburukkan ibunya sendiri!" Tania sudah menutup telinganya dari mendengar kenyataan Amani yang begitu berbisa untuknya.

“Kau terlalu naif Tania. Mudah sungguh nak perbodohkan kau!”

Tania diam, memikirkan kata-kata Amani. Namun, pesan papa agar tidak menyimpan prasangka buruk pada orang lain kembali terngiang di mindanya. Kata papa, apa sahaja yang kita terdengar atau terlihat, jangan melulu membuat hukuman ke atasnya tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Kerana penglihatan dan pendengaran boleh saja tersilap tafsirannya.

Tanpa banyak bicara lagi, Tania terus mencapai tangan Amani lalu digenggamnya dnegan kemas. Dia menarik tangan Amani agar mengikut langkahnya.

Tidak semudah itu Amani menuruti kemahuan Tania. Dia terus berdiri kaku di situ walaupun Tania terus menarik tangannya dengan kuat. Amani mendengus. "Kau nak bawa aku ke mana?" tanya Amani.

"Aku nak bawa kau balik!" Tania menarik lagi tangan Amani.

Amani menarik dari genggaman Tania dengan kasar. Sangat mudah dia melepaskan tangannya dari Tania. "Kau ingat aku nak lari? Kalau aku nak lari, aku dah lari dari tadi. Tak perlu aku tunggu kau datang sini dan cari aku." Amani menjeling Tania lagi. "Kau tak payahlah susah hati kalau aku lari dari sini. Sebab, aku takkan pergi dari sini melainkan papa kau yang halau aku keluar." Amani memeluk tubuhnya. "Bodohlah kalau aku pergi dari sini. Sedangkan Ilham Hati adalah lombong emas bagi aku dan mak aku. Kau jangan menyesal kalau satu hari nanti Ilham Hati akan jadi milik aku. Bukan kau!" Sinis sekali Amani melemparkan pandangan pada Tania sebelum melangkah pergi. Sengaja dia menyakitkan hati Tania dengan kata-kata sebegitu agar Tania sedar dari kebodohannya.

Dengan langkah yang perlahan, Tania membontoti dari belakang. Tania menarik nafas yang panjang dan melepaskannya perlahan. Biar apa pun kata Amani, dia tidak boleh terus menjatuhkan hukum. Dia belum kenal siapa Amani. Kalau benar Amani berniat jahat pada keluarga mereka, tentu sahaja dari awal lagi Amani sudah berbaik-baik dengan mereka.

Ini, bukan sahaja dengan Tania, malah dengan Izz dan Tuan Helmi juga menerima layanan yang buruk dari Amani. Jadi, dasar apakah dia bisa melihat kejahatan yang tersimpan dalam diri Amani? Mungkin Amani hanya mempunyai masalan dengan Zaiton.

Tentang hutang Amani dan Zaiton yang berjumlah tiga puluh ribu ringgit itu, dia perlu mendapatkan penjelasan Tuan Helmi. Tentu ada alasan yang kukuh mengapa Tuan Helmi memberi mereka pinjaman sebanyak itu.

Namun, jauh di sudut hati Tania, dia tetap merasa lega melihat Amani yang sudah melangkah masuk ke dalam Gerbang Ilham Hati.

USAI membersihkannya diri, Amani bergerak ke ruang makan apabila perutnya mula terasa sakit. Barangkali perutnya sudah masuk angin. Di ruang makan, Amani membuka pintu kabinet lalu mencapai minyak angin yang ada di situ. Dia menyapu perutnya dengan minyak angin. Lalu, dia bergerak ke ruang dapur, mencari-cari jika masih ada sisa lauk yang ditinggalkan untuknya.

"Kau buat apa?" tiba-tiba Min muncul di situ. Mungkin bunyi dentingan yang dilakukan Amani saat menyelongkar ruang dapur, kedengaran di telinga Min sehingga menyebabkan dia datang ke situ. "Baru ingat nak makan?" Min menutup semula lauk puak yang dibuka Amani.

           Amani menjeling Min.

"Apa jeling-jeling? Kau ingat aku takut dengan kau?!" Kali ini memang jelingan Amani tidak berbekas di hati Min. Hanya yang ada dalam hati Min, adalah rasa sakitnya pada Zaiton yang mahu dilemparkan kepada Amani.

"Kau dengan mak kau memang bawa malang dalam rumah ni!" Min menjegil biji matanya memandang Amani. Pandangan mata Amani, cuba di lawannya. "Kau orang berdua memang dari keturunan yang jahat. Kau orang ingat, kau orang layak jadi ahli keluarga ni?" Hati Min semakin sakit dengan pandangan mata Amani yang tajam menikam tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya.

"Eh, kau cakap dengan mak kau, jangan pernah mimpi nak jadi puan besar dalam rumah ni. Tuan Helmi, hak aku! Mak engkau tu yang tak tahu malu! Dasar perempuan tepi jalan! Entah datang dari mana, terus ambil kesempatan goda Tuan Helmi!" Nafas Min tercungap-cungap seketika kerana penat berteriak pada Amani.

Namun, Amani hanya membisu dan memandangnya.

"Kau ni pekak ke apa? Kau dengar tak pesanan aku pada mak kau?"

"Kau tu yang lembap!"Amani yang lama membisu terus bersuara.

Min ternganga seketika dengan bahasa yang digunakan Amani. "Kurang ajar! Macam ni kau cakap dengan aku. Kau tak ‘reti’kah nak bersopan dengan orang yang lebih tua dari kau?"

Amani hanya mendengus. Malas mahu melayan caci maki Min. "Dah berapa lama kau tinggal di sini? Kenapa kau buang saja kesempatan yang ada untuk jadikan Tuan Helmi milik kau? Patutkah kau tunggu sampai mak aku datang sini? Bila ada saingan baru kau nak melatah?"

Min terdiam dengan dada yang berombak. Dia tidak pernah membuang waktu untuk memikat Tuan Helmi. Dah hampir lima tahun dia di sini. Selama itu jugalah dia menghantar isyarat hatinya pada Tuan Helmi. Namun, Tuan Helmi hanya bersikap tidak ambil peduli. Atau mungkin, Tuan Helmi tidak menyedarinya.

"Kalau kau betul kau mahu Tuan Helmi jadi milik kau, cepat bertindak!"

"Hei!" Min menolak bahu Amani. Semakin berang dengan kata-kata Amani. "Semuanya punca kau! Kalau kau tak datang sini, mak kau pun takkan datang sini! Semuanya rosak sebab kau!"

Amani menjeling. Kata-kata Min langsung tak berbekas di padanya. Jiwanya sudah terlalu keras, hatinya sudah terlalu tebal untuk merasa disakiti.

"Kau tu pembawa malang dalam keluarga ni! Aku dapat rasakan, kehadiran kau dan mak kau, akan memburukkan keadaan di sini!" Min terus melampiaskan amarahnya.

"Baguslah Kalau kau ada firasat macam tu. Jadi, cepat-cepatlah bertindak agar hidup Tuan Helmi dan Tania tidak musnah dengan kehadiran kami." Amani berlalu keluar dari situ.

Min yang ditinggalkan, ternganga di situ. Siapa Amani? Jahat atau baikkah dia? Atau, mungkin dia lebih merbahaya dari Zaiton?

Sampai di halaman, Amani duduk di bangku panjang lalu memegang perutnya. Dia menekan perutnya yang semakin sakit. Amani memejam matanya untuk menenangkan diri. Lalu, setelah agak lama dalam keadaan begitu, Amani bangun dan masuk ke dalam kamar. Beg galasnya di buka. Dia mencapai dompetnya. Habis satu dompet diselongkar, namun tiada sebarang wang atau syiling ditemui. Amani menekan lagi perutnya. Mungkin, dia patut berjumpa dengan Zaiton dan meminta sedikit wang.

Lantas, dengan langkah yang perlahan Amani berjalan keluar semula dari rumah kayu itu. Di mana agaknya Zaiton? Sedari tadi dia tidak melihat ibunya itu.

"Amani," Izz yang kebetulan lalu di situ, memanggil nama Amani. Amani kelihatan tidak bermaya. "Awak sakit?" Pandangan matanya terhala kepada tangan Kanan Amani yang sedang memegang perutnya. "Awak dah makan?" Izz menjadi risau melihat keadaan Amani. Pasti Amani masih belum makan dan perutnya telah masuk angin.

Amani duduk di anak tangga. Rasanya dia tak mampu untuk menjawab soalan Izz itu.

Izz bergegas meninggalkan Amani dan menuju ke pondok kecilnya. Dia terus mencapai sebotol ubat angin yang disimpannya. Dengan pantas, dia mendapatkan Amani semula. Sebiji pil angin diambilnya lalu diletakkan di tapak tangan kiri Amani.

Amani memandang Izz.

"Ubat tu tak perlu ditelan. Cuma dihisap. Awak akan rasa okey lepas tu." Izz cuba menyakinkan Amani yang kelihatan ragu-ragu. "Baca basmallah dulu, Amani." Izz mengingatkan.

"Bismillah," Dengan ucapan perlahan itu, Amani memasukkan ubat bili sebesar wang lima puluh sen itu ke dalam mulutnya.

"Awak berehat dulu di sini. Nanti saya datang." Izz terus hilang.

Amani menyandarkan tubuhnya pada palang kayu di tangga itu. Ubat itu dibiarkan terus di dalam mulutnya. Mujurlah ubat itu tidak pahit.

Seperti yang dijanjikan Izz, setengah jam kemudian Izz muncul. "Awak dah okey?"

        Amani mengangguk. Benar, perutnya sudah tidak sakit lagi. Cepat betul ubat itu bertindak dengan tubuhnya.

Izz tersenyum lebar melihat anggukan Amani. "Baguslah! Mari, saya dah siapkan makan untuk awak. Izz memegang lengan Amani yang berlapik kan baju kemeja berlengan panjang, lalu memimpinnya masuk ke ruang makan.

Di ruang makan, Wajah Min yang bengis kelihatan di situ. Min menjeling Amani dengan tajam. Mujurlah, Izz ada dan sediakan semua lauk ni untuk Amani. Jika tidak, dia tak akan memberi kesempatan pada Amani naik menjamah walaupun sebutir nasi! Min berlalu dari situ dengan berang.

"Makanlah," Wajah Izz yang masih tersenyum itu terus memandang Amani sambil tangannya mencedokkan lauk buat Amani.

Tanpa banyak bicara, Amani bersimpuh di depan meja Jepun itu dan mula menjamah hidangannya.

Izz terus tersenyum memerhatikan Amani yang asyik dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Sejak dari tadi, setelah Tania hilang untuk mencari Amani dia mula rasa bersalah kerana meninggalkan Amani sendirian. Namun, ketika itu perasaan marahnya sedang menguasai diri.

“Saya minta maaf,” ujar Izz.

Amani mengerling Izz. Kemudian, dia menunduk semula dan menyambung suapannya.

Izz hanya tersenyum melihat Amani. Dia sudah terbiasa dengan sikap dingin Amani. Sedikit pun dia tidak berkecil hati apabila Amani tidak member reaksi dengan ucapan maafnya itu.

Sesekali dalam menikmati hidangannya, Amani mengerling Izz yang tak sudah-sudah memandangnya. Saat ini dia merasakan sesuatu. Sesuatu yang asing sedang menyelinap masuk ke dalam hatinya.

Dia melihat Izz lagi. Saat ini mata mereka bertentangan agak lama. Melihat ke wajah Izz yang tak pernah kurang dengan senyuman membuatkan Amani merasa damai dan tenang. 


------------@@-----

No comments:

Post a Comment