Friday, 15 March 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 15







ZACK memakirkan keretanya di tepi. Dia membaca papan tanda yang tertera nama Kampung Kasturi. Dia tersenyum. Akhirnya, dia ketemu juga dengan kampung ini. Kampung kelahiran Audra Laily. Zack memberi isyarat untuk masuk ke lorong menuju ke kampung itu. Jantungnya mula berdegup laju.

Apabila terlihatkan sebuah rumah kampung, Zack memberhentikan keretanya. Dia keluar lalu bertanyakan pada seorang lelaki tua yang sedang berehat dipankin rumah tentang letaknya rumah Haji Ashaari. Setelah lelaki itu memberi petunjuk bagaimana mahu ke sana, Zack berlalu selepas mengucapkan terima kasih.

Zack tersenyum sambil memandu perlahan menuju masuk. Dia sendiri seakan tidak percaya yang dia akan melakukan perkara begini. Begitu besar pengaruh seorang gadis yang bernama Audra Laily. Entah siapa Audra Laily, bagaimana sikapnya, bagaimana corak kehidupannya, dia langsung tidak tahu tentang itu. Tetapi hatinya sering teringatkan kejadian lalu dan dia selalu rasa gembira setiap kali dia membaca diari Audra Laily.

Melihat sahaja sebuah rumah dengan atap biru dan halamannya yang ditumbuhi pohon mangga di depan dan terdapat satu pankin di bawah pohon cermai, Zack menghentikan keretanya. Mungkin inilah rumah Haji Ashaari. Sama seperti yang digambarkan pakcik yang ditemuinya tadi.

Walaupun sudah lama dia merancang perkara ini, tetapi hatinya tetap berdebar-debar. Bagaimana jika semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang? Nauzubillah! Zack muhasabah diri sebentar. Semoga semuanya berjalan lancar. Dia menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. Zack membuka bonet enjin lalu mencabut dan melonggarkan beberapa wayar di dalam kereta. Kemudian dia dibiarkan sahaja bonet keretanya terbuka.

Dia meninjau halaman rumah itu. Berada di tengah-tengah kampung yang jauh dari asap-asap kota sangat menyenangkan. Dia belum pernah ke kampung yang tenang sebegini. Kampung yang dipenuhi dengan kehijauan dan ketenangan. Kesunyian dan ketenangan. Jiwanya terasa damai.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapanya.

Zack dengan rasa terkejut berpaling. Kelihatan seorang lelaki tua yang berbaju T putih dan bertopi koboi sedang memegang cangkul datang dari belakang rumah. Zack menelan air liurnya. Belum sempat dia memberi salam, orang lain terlebih dahulu berbuat begitu.

“Waalaikummussalam.” Dengan rasa gundah Zack menghampiri dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan lelaki itu. Mungkinkah inilah orang dicarinya?

Lelaki tua itu menyambutnya.

Zack tunduk menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. Wajah tua itu ditenungnya sekilas. Inikah dia Haji Ashaari? Dia mahu mulakan perbualan tetapi lidahnya terasa kelu. Debaran di dadanya kian kencang tatkala memandang wajah di depannya ini.

“Anak ni siapa?” tanya lelaki tua itu. Wajahnya terlukis garis-garis pertanyaan. Dia tidak pernah melihat pemuda ini sebelum ini. Barangkali pemuda ini baharu sahaja tiba di sini.

“Saya Zack, ” Zack perkenalkan diri. Suaranya agak serak kerana keresahan. Dia beristighfar sebentar di dalam hati. “Sebenarnya saya cari pakcik saya. Katanya, tinggal di kampung ni.” Walaupun ada rasa bersalah kerana berbohong begitu tetapi Zack tetap meneruskan juga rancangannya. Tak mungkin dia berterus terang tentang tujuannya yang mahu mengetahui lebih jelas kehidupan keluarga Audra.

“Siapa namanya?”

“Rahman,” ujar Zack. “Ada orang nama Rahman di kampung ni?” Zack menelan air liur. Harap-harap tiadalah orang bernama Rahman. Jika tidak tentu rancangannya gagal. Tapi tak mungkin sebab dia sudah bertanya pada lelaki tua yang ditemuinya awal tadi. Dia juga bertanya soalan yang sama dan kata lelaki tua itu tiada sesiapa yang bernama Rahman di sini. Selepas itu, barulah dia bertanya akan rumah Haji Ashaari.

Lelaki tua itu diam sebenar. Dia sedang berfikir dan cuba mengingati jika ada penduduk kampung itu yang bernama Rahman. “Dulu, memang ada orang bernama Rahman di kampung ni. Tapi dia dah pindah. Lama dah!” Dia memandang wajah Zack. “Betulkah Rahman tu pakcik anak?” Raut wajahnya langsung tiada persamaan. Pemuda di depannya berkulit cerah dan berhidung mancung. Dari raut wajahnya dia bukan berketurunan Melayu asli. Sedangkan Rahman sekeluarga berkulit sowo matang. Rupa paras pemuda di depannya ini seakan berdarah campuran Arab.

Kenyataan itu melegakan Zack. Tetapi disorokkan perasaan itu. “Pakcik Rahman dah pindah?” Zack menunjukkan wajah kehampaan. “Sebenarnya, Pakcik Rahman bukan pakcik kandung saya. Pakcik Rahman cuma teman lama arwah ayah saya.”

“Anak ni ada hajat penting nak jumpa dengan Rahman?” Mungkin anak muda ini datang ke sini untuk khabarkan tentang arwah ayahnya.

“Tidak!” Pantas Zack menggeleng. “Tak ada perkara yang penting. Cuma, saya saja nak sambung kembali silaturrahim yang dah lama terpisah sejak arwah ayah saya meninggal dunia.”

“Oh,” Terangguk-angguk kepala lelaki tua itu. “Menyambung silaturrahiam adalah perbuatan yang mulia. Sayangnya, anak tak dapat berjumpa dengan Pakcik Rahman.” Lelaki tua itu bersimpati dengan nasib Zack.

“Tak mengapalah. Dah takdir kan?” ujar Zack yang seakan redha dengan kehampaan. “Ini rumah pakcik?” Zack baru melangkah ke persoalan yang sebenar. Tetapi, soalan itu hanyalah intronya.

“Ya! Ya, ini rumah pakcik. Nama pakcik, Haji Ashaari. Tapi orang kampung panggil Pak Aji saja,” Pak Aji sudah mengenalkan dirinya dengan ramah.

Zack tersenyum. Mujurlah dia ketemu juga dengan orang yang dicarinya. “Maaflah Pak Aji. Sebenarnya saya nak minta izin Pak Aji benarkan saya letak kereta saya di sini.”

Pak Aji memandang sebuah kereta tempatan yang berwarna hitam, terpakir di kawasan rumahnya. “Itu kereta anak?” tanyanya.

Zack mengangguk.

“Kenapa nak diparkir di sini?” Ternyata dari penampilan dan gayanya pemuda itu berasal dari golongan berada.

“Kereta saya rosak Pak Aji. Di sini ada bengkel tak?” Zack pura-pura bertanya sedangkan dia sudah tahu di kampung itu tidak ada bengkel kereta. Hanya yang ada bengkel motor Ah Kiat. Itupun terletak di hujung jalan keluar.

Pak Aji sudah membuka topi koboinya dan meletakkan cangkul di tepi. “Tak ada bengkel kereta di sini, nak. Rasanya anak perlu telefon kawan-kawan datang tolong anak ni.” Kasihan hati tuanya melihat wajah anak muda yang keletihan itu.

“Oh.” Wajah Zack bertukar gelisah. “Sekejap ya Pak Aji, saya telefon kawan saya dulu.” Zack menjauhi Pak Aji dan berpura-pura bercakap di telefon. Setelah agak lama dia kembali ke depan Pak Aji dengan wajah hampa.

“Di sini ada rumah tumpangan tak Pak Aji? Sekarang dah jam lima petang. Sekejap lagi hari dah nak malam ni. Saya belum bersihkan diri dan bersolat. Nak balik, kereta pulak buat hal.”

“Kawan anak tak boleh datang?” tanya Pak Aji.

Zack menggeleng. “In Sha Allah, esok baru diorang datang. Lagipun hari dah petang.” Zack memandang ke langit.

“Anak datang dari mana?” tanya Pak Aji lagi.

“Saya dari Penang, Pak Aji.” Soalan yang ditimbulkan Pak Aji sudah menunjukkan tanda-tanda positif. Zack tersenyum di dalam hati.

“Jauh tu.” Pak Aji duduk di pankin sekejap seolah sedang berfikir. Dia memandang wajah Zack. Lama. “Anak nak bersolat?” tanyanya.

Zack mengangguk.

“Di sini tak ada rumah tumpangan. Inikan kampung. Anak boleh tumpang bersolat dan bermalam di rumah Pak Aji.” Biarpun berat, Pak Aji tetap membenarkan. Biarlah, bukankah pemuda di depannya ini mahu bersolat? Tentu sahaja dia lelaki yang baik. Tapi, boleh jadi itu adalah satu muslihat. Pak Aji menarik nafas panjang. Tak apalah. Aku bertawakal kepada Allah s.w.t.

Zack mendekati Pak Aji lebih rapat. “Tak menyusahkan Pak Aji ke?” tanya Zack. Dari raut wajah lelaki itu kelihatannya Pak Aji keberatan untuk membenarkannya menginap di teratak miliknya. Tentu sahaja begitu kerana Pak Aji tidak mengenalinya. Jika dia berada di tempat Pak Aji dia juga akan keberatan untuk membenarkan orang yang tidak dikenali masuk ke dalam rumahnya.

“Kalau kerana Allah, Pak Aji izinkan. Cuma, Pak Aji minta jangan disia-siakan kepercayaan Pak Aji,” tegas Pak Aji sebelum mengukirkan senyuman ramah buat Zack.

Zack menarik nafas kelegaan melihat senyuman itu. “Demi Allah, saya tak berniat jahat pada keluarga Pak Aji.”

Terangguk-angguk kepala Pak Aji dengan sumpah Zack itu. Tiba-tiba sahaja hatinya tenang menerima kehadiran lelaki itu. "Marilah naik ke atas.”

“Terima kasih Pak Aji,” Zack tersenyum. Jarumnya mengena. Alhamdulillah! Terima kasih ya Allah. Sesungguhnya, aku tidak berniat jahat. Apa yang aku mahukan adalah untuk mengenali keluarga kepada bakal wanita yang akan aku sunting agar menjadi makmunku nanti. Semoga dialah ang aku cari.

“Sama-sama!” Pak Aji mempelawa Zack untuk masuk ke rumahnya. “Mak Aji oh Mak Aji!” Pak Aji memanggil isterinya.

Muncullah seorang wanita tua dari belakang lalu menghampiri mereka. “Ada apa bang? Terpekik-pekik ni?” Mak Aji melipat lengan Baju Kedahnya. Terokoncoh-koncoh dia apabila mendengar panggilan Pak Aji. Sampai sahaja di ruang tamu matanya terarah pada susuk tubuh seroang pemuda.

“Assalamualaikum, Mak Aji,” Zack menegur sambil menundukkan sedikit kepalanya. Mata Zack kembali terpaku kepada wajah Mak Aji. Usia Mak Aji mungkin dalam lingkungan awal lima puluhan. Apa yang menariknya, wajah Mak Aji begitu mirip dengan Audra. Kulitnya putih bersih dan hidungnya mancung. Apa yang berbeza adalah, Mak Aji memiliki sepasang mata berwarna perang tetapi Audra memiliki sepasang mata berwarna coklat gelap. Mungkin juga Mak Aji berdarah kacukan.

“Waalaikummussalam,” Mak Aji juga menundukkan sedikit kepalanya sebagai balasan untuk Zack. Tertanya-tanya dia siapa gerangan pemuda kacak di depannya.

“Ini namanya,” Pak Aji menunjukkan pada Zack. Dia sudah terlupa nama pemuda itu.

“Zack.” Zack yang mengerti tunjukkan Pak Aji kepadanya segera memberitahu namanya. “Maaf ya Mak Aji dan Pak Aji sebab dah menyusahkan keluarga ni. Kereta saya rosak, saya nak minta tumpang solat dan bermalam di sini.”

Mak Aji memandang Pak Aji. Benarkah suaminya membenarkan pemuda ini bermalam di sini? Selama ini suaminya sangat berkeras jika ada orang yang tidak dikenali mahu bermalam di sini biarpun itu adalah saudara jauh mereka. Pak Aji sukar memberikan kepercayaan kepada orang yang tidak dikenali.
“Anak ada bawa baju?” tanya Pak Aji.

“Ada!”

“Pergi ambil! Bersihkan diri dan solat.” arah Pak Aji. Zack menurut segala perintah. Dia turun semula ke kereta dan mengambil bagasi kecil yang sudah disediakan lalu kembali ke atas.


PAK AJI melalui depan kamar di mana Zack sedang berada. Sengaja dia melalui kamar itu untuk mengintip pergerakan Zack. Walaupun gerak hatinya menyatakan bahawa Zack adalah seorang pemuda yang baik, namun tidak salah jika dia mengambil sikap berhati-hati.

Dia menyelak sedikit daun pintu. Dari celahan daun pintu, dia mengintai di dalam. Kelihatan Zack sedang berteleku di atas sejadah. Kedengaran suara seraknya bermunajat dan melagukan zikir. Hati Pak Aji terasa damai. Lantas dia meninggalkan ruangan itu dengan hati yang tenang.

Memang pada mulanya dia merasa keberatan mahu membenarkan Zack bermalam di rumahnya. Tambahan pula dia langsung tidak kenal siapa Zack. Tapi, entah kenapa hatinya menjadi lembut dan membenarkan Zack untuk tinggal di rumahnya. Mudah-mudahan Allah menemukan dia dengan pemuda yang baik dan tidak berniat jahat terhadap keluarganya.

Zack meraup mukanya setelah membaca doa. Dia bangun lalu melipat semula sejadahnya. Zack yang mengenakan baju T dan kain pelikat berjalan semula ke ruang depan setelah usai menunaikan solat fardhu. Kelihatan Pak Aji sedang berbual dengan Mak Aji.

“Ha, marilah nak. Minum petang bersama kami!” Pak Aji memanggil setelah melihat kelibat Zack yang baru muncul di muka pintu.

“Minumlah. Tak de apa-apa yang istimewa. Mak Aji cuma buatkan lepat pisang dan karipap ubi,” pelawa Mak Aji.

Mata Zack sudah bersinar. Pertama kali mahu merasa air tangan ibu Audra. Teruja rasanya. “Alhamdulillah, rezeki Allah! Ini pun dah besar rahmat Mak Aji!” Zack mencapai karipap. Sedap! Sungguh, memang sedap! “Sedap Mak Aji!” Zack memuji.

Mak Aji yang sedang menuang teh panas dalam cawan Zack hanya tersenyum. “Kalau sedap, makan banyak-banyak sikit.” Hati siapa yang tidak berbuanga apabila dipuji begitu.

Zack tersenyum. Usai sebiji karipap dihabiskan dia mencapai pula lepat pisang. Daun pisang yang membalut dibukanya. “Mak Aji dan Pak Aji tinggal berdua sajakah di rumah ni?” Zack memulakan pertanyaannya.

“Tidak, bertiga.” Pak Aji sudah mencarit-caritkan tembakaunya setelah membuka gulungan daunnya. “Biasalah anak lelaki. Petang-petang begini, main bola dengan kawan-kawanlah jawabnya!” Seraya dengan itu, mata Pak Aji sudah memandang jam di dinding.

“Anak Pak Aji masih bersekolah?” tanya Zack sambil matanya ralit memerhatikan tingkah Pak Aji yang sedang menyisipkan tembakau di bahagian tepi daun dan kemudian menggulungnya menjadi panjang.
Pak Aji sekadar mengangguk.

“Pak Aji dan Mak Aji cuma ada seorang anak?” tanya Zack lagi.

“Tak!” Pak Aji memandang Zack. “Pak Aji ada tiga anak. Yang sulung dan yang kedua, perempuan. Yang bongsu, lelaki. Yang sulung dah berkahwin. Ada di Kuala Lumpur dengan suaminya. Yang nombor dua pula, ada di Penang. Masih belajar. Tak lama lagi habislah. Tinggal peperiksaan akhir, kan?” Pak Aji menoleh pula pada Mak Aji.

Mak Aji mengangguk. “Bulan depan periksaan akhir. Lepas tu baru dia balik sini. Lepas dapat keputusan nanti, katanya nak bekerja di sana. Itu pun kalau keputusannya cemerlang.”

Zack tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Pada awalnya memang Zack mahu gunakan kuasanya sebagai Pengarah Warisan Syed untuk mengambil Audra bekerja di sana. Tetapi dia tidak perlu melakukan itu lagi kerana Audra memang layak dengan usahanya sendiri.

“Anak nak merokok?” Pak Aji menghulurkan sebatang rokok daun yang sudah siap dibalut kepada Zack.

Zack menggeleng. “Saya tak merokok Pak Aji!” Zack menolak dengan lembut.

Pak Aji tersenyum. Sejuk hatinya mendengar Zack tidak merokok. Bilangan anak muda sekarang yang tidak merokok sukar dicari. Bahkan dia sendiri pernah mendengar cerita-cerita anak muda kampung yang pernah ke bandar. Kata mereka, ramai juga gadis dan wanita bandar yang merokok. Pak Aji menggelengkan kepalanya. Dia sentiasa berdoa agar anak-anaknya tidak termasuk dalam senarai itu.

“Baguslah kalau tak merokok. Merokok ni, membahayakan nyawa. Pak Aji ni pun, sudah terbiasa dari muda. Sekarang ni baru belajar nak berhenti merokok. Sebab tulah hisap rokok daun ni.” Ada nada penyesalan dari suaranya.

“Tak apalah Abang Ajinya. Sekurang-kurangnya ada niat juga nak berhenti. Jangan terlalu memaksa!” Mak Aji memberi galakan. Dia bangga punya suami yang mahu berubah ke arah yang lebih baik walaupun sudah lanjut usianya.

Pak Aji tersenyum. Mak Aji memang tak pernah jemu memberikan galakan kepadanya sejak dari hari pertama dia memberitahu niatnya yang mahu berhenti merokok.

Zack sudah mula merasa kagum melihat sikap Mak Aji yang tidak terburu-buru memaksa suaminya untuk berhenti merokok. “Betul kata Mak Aji. Merokok ni adalah ketagihan. Perlukan masa untuk berhenti.”

“Assalamualaikum,” satu suara memberi salam dari luar dan muncul susuk tubuh seorang remaja lelaki.

“Waalaikummussalam,” Jawap mereka bertiga serentak.

“Baru balik Apit?” Mak Aji menegur anak lelakinya yang baru melangkah ke dalam.

Apit hanya mengangguk. Matanya terus menangkap susuk tubuh seorang lelaki asing yang barada di situ. Mulanya dia agak terkejut melihat kelibat Zack. Tetapi, kemudian dia melamparkan senyuman.

“Ni, salam dengan abang ni.” Mak Aji menunjuk pada Zack. “Namanya Zack.”

Apit bersalam dengan Zack. “Apa khabar, bang?” Apit bertanya dengan senyuman ramah.

“Sihat, alhamdulillah,” balas Zack.

“Apit masuk masuk mandi dulu!” Apit terus menghilang ke dalam tanpa berbual lebih lama dengan Zack. Mungkin, tubuhnya yang kepenatan dan berpeluh itu membuatkan dia tidak selesa untuk berbual dengan tetamu yang bertandang.

Zack hanya memerhati kelibat Apit yang sudah berlari masuk ke dalam. “Berapa usia Apit?” tanya Zack sekadar ingin tahu.

“Apit ni dah tingkatan empat. Tahun depan nak ambil SPM. Tapi asyik sibuk dengan bola, bola, bola!” rungut Pak Aji. “Nama dia yang sebenarnya, Syafiq tapi dari kecil dah biasa panggil Apit. Melekatlah sampai ke besar.” Pak Aji ketawa. “Samalah jugak macam kamu. Nama sebenar kamu tentu bukan Zack kan?”

Zack sudah ketawa kecil. Dia mengangguk. “Pak Aji betul! Nama saya yang sebenarnya, Syed Zikri!”

“Syed Zikri?!” Kelihatan wajah Pak Aji dan Mak Aji sedikit terkejut. Kemudian, mereka mengangguk. Patutlah!

Zack hanya tersenyum melihat reaksi itu. "Mak Aji dan Pak Aji memang asal orang kampung ni?"

Pak Aji terdiam sambil menundukkan kepalanya. Agak lama dia tunduk begitu sehinggalah dia mengangkat kepalanya semula dan melemparkan senyuman buat Zack. "Pak Aji memang asal orang kampung ni. Mak Aji pula asal dari Kuala Lumpur. Waktu muda dulu, Pak Aji merantau ke sana dan bekerja dengan keluarga Mak Aji." Pak Aji mula terimbau dengan kisah lama.

"Bapa Mak Aji berbangsa Cina dan maknya pula berasal dari Amerika. Pak Aji bekerja sebagai pemandu dengan bapa Mak Aji. Mungkin kerana hari-hari berjumpa dengan Mak Aji, kami jatuh cinta. Tapi, biasalah. Keluarga Mak Aji tak suka sebab kami berlainan darjat dan berlainan agama. Tapi jodoh itu rahsia Allah. Akhirnya, kami berkahwin. Keluarga Mak Aji pula tak dapat terima kami lagi. Sebab itulah Pak Aji bawa Mak Aji pulang ke sini." Pak Aji menamatkan ceritanya.

Zack tertunduk seketika. Dia melirik Mak Aji yang sudah menyapu air matanya dengan hujung lengan baju. Dia mengerti perasaan Mak Aji. Memang beginilah selalunya yang terjadi apabila berkahwin tanpa persetujuan dari keluarga.

“Lepas makan malam nanti, nak ikut Pak Aji tak? Waktu Maghrib nanti kita jemaah di surau, ya?” Pak Aji memegang paha Zack. Dia kelihatan senang dengan Zack.

Zack mengangguk. Gembira dia dengan penerimaan keluarga ini yang ramah. Ya, keluarga ini keluarga orang baik-baik. Audra juga berasal dari keturunan yang baik-baik. Kedudukan Audra sudah naik satu takah lagi.

“Ramai jemaah di surau?” tanya Zack.

“Alhamdulillah, hampir seluruh kampung selalu berjemaah di surau. Kamu, selalu jemaah di surau?” Soalan itu berbalik semula kepada Zack.

Soalan Pak Aji membuatkan Zack dirundung rasa malu. “Jarang Pak Aji. Biasanya saya bersolat sendiri di pejabat.” Di pejabat, Zack memang mempunyai ruangan peribadi di mana dia menggunakannya untuk mandi dan bersolat.

“Itulah lumrah dunia. Kesibukan kerja menyulitkan pergerakan kita untuk menyambung silaturrahim. Tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya kamu masih menjaga hubungan kamu sebagai hamba dengan Pencipta. Jangan sesekali lalai dalam menunaikan solat!”

“In Sha Allah, Pak Aji.” Satu perasaan terharu menyelinap masuk ke jiwa Zack. Sudah lama rasanya tak mendengar nasihat dari orang yang lebih tua. Bagaikan seorang ayah menasihati anaknya. Tiba-tiba sahaja kerinduan Zack kepada kedua orang tuanya meniti kembali.

“Makanlah, Zack. Jangan malu-malu,” Mak Aji mempelawa lagi.





No comments:

Post a Comment