“Mak! Cantik tak baju Bella.”
Pandangan
mata aku terus mati pada sehelai dress labuh berwarna krim yang sedang
digayakan Nabila di depan mak.
“Cantik!
Bella beli kat mana?” tanya mak.
Bella
melirik pada aku. Macam aku kenal saja dress tu. Gulp! Apakah Bella membelinya
secara online dari butik Lucky Hana? Aku pandang lagi dress krim itu. Sah! Itu
memang design aku sendiri! Apakah Bella tahu sesuatu yang telah aku sorokkan?
Aku
pura-pura tidak ambil pusing dengan perbualan mereka.
“Bella beli
online,” ujar Bella.
“Cantik!”
Mak mengambil dan meletakkan di tubuh Bella.
Itulah
Bella! Hanya tahu bergaya dan menghabiskan wang. Mak pula, asyik menyokong
sikap Bella. Sesekali, Bella perlu belajar untuk berjimat dan menghargai hasil
titik peluh orang lain.
“Pelajaran
entah ke mana, asyik menghabiskan duit je!” getus aku sendirian. Tapi aku tak
sedar yang kata-kata ku itu di dengari mereka.
“Akak tu
jeles!”
Terus aku
melirik pada Bella. “Huh! Tak de makna akak nak jeles dengan kau!” Kalau aku
nak, aku boleh design baju yang lebih cantik dari tu. Esklusif untuk aku je.
“Mak tahu
tak, butik online tu namanya ‘Lucky Hana’.”
Aku pandang
Bella, Bella pandang aku. Okey, ada yang tak kena. Bella memang dah tahu butik online
itu kepunyaan aku.
“Lucky!”
Mak menoleh.
“Eh, mana
ada mak. Lucky kan sibuk dengan restoran. Mana ada masa nak buat design semua!”
Belum pun sempat mak kata apa-apa aku dah berdalih dulu.
Berkerut
dahi mak. “Mak cuma nak kau cari baju di situ. Kau tu kan sibuk, tak ada masa
nak keluar pergi shopping. Shopping online pun dah okey!”
Fuh! Nasib
baik mak tak syak apa-apa.
“Buat apa
mak nak akak pakai baju macam Bella? Bella lainlah. Bella nak pergi kelas
mestilah pakai baju yang kemas. Kadang-kadang, Bella ada parti dengan
kawan-kawan. Akak ni, kerja dia, dari pagi sampai petang membawa ke malam asyik
dengan ikan, sotong, udang. Eeii,” Bella menggoyangkan badannya seakan geli
dengan pekerjaan aku.
“Kau jangan
kurang ajar sangat dengan akak Bella!” Bella kalau depan mak memang suka sangat
melawan cakap aku. Tambah-tambah lagi kalau depan Pakcik Naza. Lagi menjadi perangai
dia.
Bella
menjeling dan menjuihkan bibirnya.
“Sudahlah!
Kau orang dua beradik ni asyik nak bergaduh je. Kau pun Lucky, beralahlah sikit
dengan adik kau ni! Dia ni budak lagi. Yang kau dah besar panjang tu, tak reti
nak bertolak ansur?”
“Budak
apanya mak? Bella tu dah dah nak masuk dua puluh, tahun ni. Kalau kahwin, dah
ada anak pun! Mak janganlah manjakan dia sangat. Rosak budak ni nanti.”
“Akak
jangan ingat Bella takut dengan akak! Bella tahulah apa yang akak buat.” Bella
dah mula mengugut.
“Eh, apa
ni?” Mak pandang Bella.
“Mak!”
Bella sudah menarik baju mak. Mungkin dia geram sebab mak masih belum dapat
menangkap maksudnya yang butik online Lucky Hana itu adalah kepunyaan aku.
“Bella!”
Aku menjerit nama Bella. Sekalian dengan itu, pandangan tajam aku lemparkan
untuknya. Jangan beritahu mak! Itulah maksud pandangan aku. Bella pula, buat
tak layan. Matilah kau kalau mak tahu!
“Kenapa
Lucky?” Mak pandang aku pula. “Jangan-jangan, Lucky Hana tu kau yang punya
tak?”
“Tak mak!”
“Betul mak!
Memang butik online tu akak yang punya! Bella dah pergi tengok. Kedai operasi
Lucky Hana terletak di kedai lama milik Hana Zarra!” Bella pandang aku.
“Lagipun, siapa lagi yang ada nama pelik macam akak ni? Lucky Hana!” Bella menyindir
namaku.
“Kau ni
memang melampaulah Bella!” Aku sudah mahu menarik lengan Bella. Budak ni memang
nak kena makan penampar ni!
“Hana!” Mak
terus menjadi penghalang. “Kalau kau yang salah, jangan jadikan adik kau
sebagai mangsa. Selama ni kau bohong mak!”
“Tak mak!
Lucky....”
“Apa yang
tak? Kau nak bohong mak lagi?”
“Mak,
tolonglah faham.” Aku dah rasa ada airmata yang bertakung. Sungguh, perkara
yang paling aku tak suka dalam dunia ni adalah menghancurkan perasaan mak
walaupun setiap hari perasaan aku hancur dengan sikap mak yang berat sebelah
pada aku.
“Engkau
memang dah melampau!”
“Mak, kalau
sekali pun butik Lucky Hana tu milik Lucky, Lucky tak pernah abaikan restoran
Pakcik Naza. Semua kerja yang mak dan Pakcik Naza suruh Lucky buat, Lucky ikut.
Salahkah kalau Lucky ada butik Lucky sendiri? Itu minat Lucky.”
“Bukan soal
minat atau tidak. Yang penting, mak tak suka Lucky jadi pereka fesyen. Kau tengok!”
Mak mengambil dress di tangan Bella. Yang ini buat mak tak suka!”
Aku pandang
dress yang sudah direnyukkan mak, lalu dilemparkannya ke lantai.
“Mak! Bella
beli dress tu mahal tau!” Bella sudah mengutip dress itu dengan muncung
panjangnya.
Pandangan
mata mak terus menikam mata ku. Aku tak faham! Sangat tak faham! Tadi, sebelum
mak tahu dress itu adalah rekaan aku, bukan main mak puji. Bila dah tahu, mak
terus lemparkan dress tu.
“Kau tak
suka Bella pakai pakaian macam ni. Terbuka sana, terbuka sini! Tapi kau sendiri
buat rekaan macam tu! Lepas tu, jual.”
Aku
ternganga dengan alasan mak. Kalau Bella pakai pakaian macam tu, mak tak pernah
marah. Jadi, kenapa mak nak tunding kesalahan itu pada aku?
“Jadi,
semuanya salah Lucky?”
“Memang
semua salah kau!” Muncul Pakcik Naza di situ.
Ya
Allah.... Kenapalah di saat genting macam ni Pakcik Naza muncul di sini. Semua ini
bala untuk aku!
“Pakcik
jangan nasuk campur boleh tak?”
“Kenapa tak
boleh? Ini isteri aku. Dan ini, anak aku!” Pakcik Naza menunding kepada mak dan
Nabila.
“Dan ini
rumah saya! Ini tanah saya! Kalau pakcik tak suka, pakcik boleh keluar dari
rumah ni!” Kalau dia punya ego, aku juga ada!
“Hana!” Mak
terus menampar aku.
Tergamam
aku seketika. Seumur hidup aku, inilah kali pertama mak mengangkat tangan pada
aku. Sebelum ini, sekali pun ketika kami berselisih faham, hanya mulut yang
mengeluarkan kata.
“Mak,”
perlahan aku memanggil nama mak. Aku dapat rasakan kolam mataku yang sudah
mengeluarkan air mata. Aku memang tak menyangka yang mak akan menampar aku di depan mereka.
“Kalau kau
asyik mengungkit hal ni, biar mak keluar dari sini!”
“Mak,” Aku
menarik tangan mak. “Mak jangan tinggalkan Lucky.”
“Rumah ni
rumah kau! Tanah ni tanah kau! Kau tinggallah di sini sorang-sorang! Mak tak
ada hak atas harta kau!”
“Lucky tak
pernah halau mak.”
“Kalau kau
halau pakcik kau, samalah macam kau halau mak.”
“Mak, Lucky
tak berniat begitu.”
“Sudahlah,
biar kita pergi dari sini dari nak menumpang rumah dia!” Pakcik Naza menarik
tangan mak dan Nabila.
“Jangan
pergi mak! Tinggallah di sini. Lucky minta maaf.” Aku sudah tersedu-sedu di situ.
Aku tak peduli langsung wajah sindiran Pakcik Naza dan Nabila.
“Aku dah
tak boleh tinggal dengan kau! Aku tak boleh nak pandang muka kau!” Pakcik Naza
terus menarik tangan mak.
“Janganlah
pergi mak. Rumah ni rumah mak. Tanah ni pun harta mak!”
“Kalau kau
nak mak kau tinggal di sini, kau yang patut pergi dari sini. Aku dah tak nak
tengok muka kau.”
Terkesima
aku dengan kata-kata Pakcik Naza. Terus aku memandang wajahnya. Kemudian, aku
pandang wajah Bella. Bella memalingkan mukanya dari aku. Aku pandang mak, mak sedikit pun tidak membela aku.
Kini aku
mengerti, aku sedar di mana tempat aku. Mungkin, aku adalah anak yang memiliki
kedudukan yang paling bawah dalam hati mak.
“Mak nak
Lucky pergi dari sini?”
Mak diam.
Kebisuan mak itu membuatkan aku semakin yakin dengan firasat aku.
“Baiklah. Mak,
pakcik dan Bella tinggallah di sini. Biar Lucky keluar. Kalau Lucky sendirian
di rumah besar ni pun, tak ada gunanya.” Aku pandang mak yang langsung tidak
melihat aku. “Cuma, Lucky nak mak tahu. Mak adalah orang yang paling atas dalam
hati Lucky. Lucky sanggup hilang semua perkara dalam dunia ni, tapi Lucky tak
sanggup kehilangan mak. Lucky akan keluar dari rumah ni. Walaupun kita takkan tinggal
sebumbung lagi. Tapi, sekurang-kurangnya Lucky tahu mak selamat di sini.”
“Baguslah
macam tu!” ujar Pakcik Naza dengan megahnya. “Kau pergilah ambil semua kain
baju kau. Aku nak bawa mak kau keluar. Bila kami balik, aku tak nak lihat muka
kau dalam rumah ni lagi.” Pakcik Naza terus menarik tangan mak keluar. Diikuti dengan
Bella di belakang.
Aku hanya
mampu memandang mak yang kian dibawa pergi. Tidak! Ini bukan kali terakhir aku
melihat mak. Aku tetap akan melihat mak walau hanya dari jauh!
------------------@@--------------
SEBAIK sahaja aku mengemas semua barang-barangku,
terus aku berjalan perlahan-lahan ke stesen bas. Aku dah maklumkan perkara yang
terjadi kepada Lin. Lin mengajak aku tinggal bersama-samanya di rumah sewanya.
Mujurlah ada Lin. Jika tidak, ke mana aku nak bawa diri ini?
Inilah hari
yang paling menyedihkan buat aku. Aku tak pernah merasa sesedih ini. Sudah
hilangkan rasa kasih sayang mak pada aku? Tiada langsungkah ingatan mak kepada
arwah abah?
Dalam aku
menangisi nasib ku sendiri, aku merasa kehadiran seseorang di situ dan
melabuhkan punggung di sisi ku. Dekat sekali dengan ku. Aku mendongak memandang
empunya diri.
“Ayen?” Apa
dia buat di sini? Dah tiga aku tak melihat Ayen. Pernah aku mendengar Bella
berkata kepada mak yang Ayen berada di Medan untuk seminggu atas urusan kerja. Jadi, kenapa lelaki itu ada di sini?
“Jom ikut
saya!” ujarnya.
“Uh?”
Apahal pulak si Ayen ni? Aku melihatnya atas bawah. Dah tu, segak dengan kot
hitam bagai! Aku tak pernah lihat Ayen dalam pakaian sebegini.
“Jomlah
ikut saya.”
“Pergi
mana?”
“Awak akan
tahu nanti.”
“Tak
naklah!”
Ayen terus
mencapai bagasi aku. “Jom!” dia terus berdiri.
“Apahal
awak ni? Nak paksa-paksa orang pulak!” Geram aku!
Ayen
mengeluh. Dia kembali duduk di sisi ku dan memeluk bagasi. “Saya tahu apa yang
terjadi antara awak dengan keluarga awak.”
“Awak bukan
sepatutnya berada di Medan?”
Ayen ketawa
kecil. “Nantilah saya ceritakan pada awak tentang saya. Yang penting, awak kena
ikut saya.”
“Saya nak
pergi rumah Lin.”
“Saya akan
hantar awak pergi rumah Lin. Yang penting sekarang, awak kena ikut saya.”
"Kenapa saya perlu ikut awak?"
"Awak akan tahu nanti! Saya nak bantu awak."
"Saya tak perlukan bantuan awak."
"Saya tahu. Tapi, semua yang berlaku ada sebabnya. awak perlu tahu."
"Apa maksud awak?"
"Ada perkara yang perlu awak tahu. Tujuan sebenar saya datang ke sini dan menyewa di sini adalah untuk mendekati awak. Saya telah diupah untuk mencari awak."
Aku diam. Boleh
percayakah dengan Ayen?
“Awak
janganlah takut. Saya tak berniat jahat dengan awak. Demi Allah!” Ayen
mengangkat tangan seperti bersumpah.
“Hmmmm....baiklah.”
Aku terus
mengikut Ayen. Tergamam aku seketika apabila melihat Ayen masuk ke dalam sebuah
Honda Civic hitam. Aku tak pernah melihat Ayen dalam gaya seperti itu. Dia kelihatan
sangat berkarisma sekali.
“Marilah,”
Ayen menoleh kepada ku lalu membuka pintu belakang untukku. Aku mendekatinya
dan masuk ke dalam kereta. Ayen duduk di sebelahku.
“Kenalkan,
ini Pakcik Omar.”
Seorang
lelaki yang separuh usianya yang sedang duduk di bahagian pemandu, menoleh
padaku. Sebaik sahaja melemparkan senyuman perkenalan, dia meneruskan
pemanduan. Tiba-tiba sahaja jantung aku bergetar hebat.
Siapa Ayen
sebenarnya?
----------------@@--------------
AKU
melangkah masuk ke dalam bangle besar itu. Kenapa Ayen bawa aku ke sini? Rumah siapa
ini? Dan siapa pula Ayen yang sebenarnya?
“Jangan
takut. Buat macam rumah sendiri.” Ayen berbisik di telingaku.
“Hana!” Aku
terus mengalihkan pandanganku kepada suara yang menyebut namaku. Kelihatan seorang
lelaki separuh usia sedang berjalan menuruni anak tangga. Siapa lelaki ini?
Lelaki itu terus berjalan dan berhenti di depanku.
“Hana!” Dia
menyebut namaku lagi. Matanya berkaca-kaca seolah-olah sangat terharu melihat
aku. Tanpa aku duga, dia terus memeluk aku.
Dengan pantas
aku menolak tubuhnya.
“Maaf,
pakcik ni siapa?”
Lelaki yang
sudah mengalirkan airmata itu, menyapu matanya dengan tuala kecil.
“Maaf, saya
tak bermaksud nak menolak pakcik. Tapi, pakcik ni siapa?”
Lelaki itu
tersenyum pula kepada ku. “Ini pakcik kau. Pakcik ni, pakcik Hana.” Dia menunjukkan dirinya.
“Pakcik?
Pakcik yang mana?”
Aku tak
pernah tahu yang arwah abah ada saudara lagi. Mak? Setahu aku, mak juga tak
punya saudara.
“Pakcik ni
abang kepada mak Hana.”
“Abang mak?
Tapi....”
“Panjang
ceritanya. Pakcik akan ceritakan pada Hana.”
Bersambung....................
P/S: maaf
ya. Mulanya saya bercadang untuk menjadikan N3 kali ini adalah N3 terakhir. Tapi,
saya kesuntukan masa. In sha Allah, N3 seterusnya untuk Lucky Hana saya akan
tamatkan cerita ini ya....
-----------------------@@-------------
No comments:
Post a Comment