Friday, 26 April 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 17





SAMPAI sahaja di bangunan yang berdiri megah itu, Audra dan Zana menghentikan langkah mereka. Mereka berdua berpandangan seketika. Di dalam dada penuh dengan getaran yang dirasa sehinggakan mereka langsung tidak menjamah secubit sarapan pun. Tatkala ini, perut mereka sudah penuh dengan debaran dan getaran.

            “Kau dah sedia?” tanya Zana.

            Audra mengalihkan pandangan pada bangunan Warisan Syed yang megah tertera abjad-abjad yang tersusun dan bersatu mengukir nama syarikat itu. Siapa sangka, mereka berdua terpilih antara sepuluh orang pelajar dan keputusan peperiksaan akhir berpihak pada mereka sehinggakan Warisan Syed dengan bangganya bersetuju dengan gaji yang mereka minta biarpun mereka mahasiswa yang masih mentah dan tak punya pengalaman.

            Audra mengalihkan semula pandangannya pada Zana. Walaupun dalam hatinya masih menyimpan rasa ketakutan apabila memikirkan kemungkinan besar dia akan bertemu dengan Tuan Syed Zikri, namun dia tetap mengumpulkan keyakinan dalam dirinya. Dia pasti, Tuan Syed Zikri sangat professional orangnya. Jika tidak, dia yang mempunyai masalah peribadi dengan Tuan Syed Zikri pasti takkan di terima masuk ke dalam Warisan Syed. Dia mengangguk pada Zana. “Jom!”

            Mereka berdua mengatur langkah masuk ke dalam bangunan itu. Mereka mendekati seorang gadis yang berada di kaunter menyambut tetamu.

            “Selamat pagi, cik. Boleh saya bantu?” tegur gadis itu dengan ramah dan senyuman manis.

            “Selamat pagi!” balas Audra dan Zana yang juga turut mengukirkan senyuman buat wanita itu.

            “Kami berdua, pekerja sambilan di sini. Hari ni hari pertama kami melapor diri. Dengan siapa kami boleh berjumpa?” tanya Zana.

            “Tunggu sekejap, ya,” balas gadis itu lantas mengangkat ganggang telefon dan bercakap dengan seseorang. Setelah meletakkan semula ganggang, dia menoleh semula pada Audra dan Zana. “Kamu berdua tunggu sekejap, ya. Kejap lagi, Cik Farah, setiusaha peribadi Tuan Syed akan datang menjemput kamu.”

            “Terima kasih!” balas mereka berdua.

            “Sama-sama.”

        Mereka berdua duduk di lobi sambil menunggu orang yang akan menjemput mereka. Seketika kemudian, datang seorang wanita yang berbaju kurung dan bertudung litup menghampiri.

            “Maaf, kamu berdua ni pekerja sambilan?” Wanita itu menegur mereka bersama senyuman di bibirnya.

            Pantas Audra dan Zana bangun dari duduk dan berdiri bertentangan dengan wanita ayu itu. “Ya!” jantung mereka semakin bergetar kencang.

            “Saya, Farah, setiausaha peribadi Tuan Syed.” Farah menghulurkan salam perkenalan dan disambut oleh Audra. Kemudian, huluran tangannya di sambut oleh Zana pula. “Selamat datang ke Warisan Syed. Sebelum tu, saya nak ucapkan tahniah kepada kamu berdua kerana berjaya dalam temuduga tempoh hari.”

“Terima kasih kembali sebab memilih kamu bekerja di sini,” balas Zana.

“Jom, kita ke dalam!” ajak Farah lalu memusing tubuhnya dan mengaturkan langkah.

            Mereka berdua beriringi mengikuti langkah Farah. Sambil berjalan, Farah bercerita serba sedikit tentang undang-undang dan tatacara berkerja di Warisan Syed. Audra dan Zana sudah menelan air liur mendengar beberapa undang-undang yang agak ketat. Namun menurut Farah, undang-undang di situ sudah banyak dilonggarkan sejak Tuan Syed Zikri mengambil alih tampuk pengurusan Warisan Syed.

            Farah membawa mereka berdua ke setiap bahagian dan memperkenalkan mereka dengan pekerja-pekerja di Warisan Syed. Sesudah itu, mereka ke bahagian pentadbiran. Usai memperkenalkan Audra dan Zana dengan pekerja bahagian pentadbiran, Farah membawa mereka berjumpa dengan akauntan Warisan Syed.

            Sampai sahaja di depan pejabat Cik Syariza, Farah mengetuk pintu.

          “Masuk!” Mendengar sahaja arahan itu, Farah membuka pintu dan membawa Audra dan Zana masuk ke dalam.

            “Selamat pagi Cik Syariza,” tegur Farah.

           “Selamat pagi.” Syariza mengangkat kepalanya. Pandangannya terancap pada Audra dan Zana. “Oh, staf baru!” Dia baru teringat tentang itu. Kesibukan yang sentiasa mengelilinginya membuatkan daya ingatannya semakin berkurang. Dia bangun lalu menghampiri Audra dan Zana yang berdiri di sisi Farah. “Selamat datang!” Gembira dia menyambut pembantu-pembantu baru yang akan bekerja di bawahnya.

            Audra dan Zana menyambut huluran tangan Syariza dengan senyuman. “Terima kasih!”

            “Well, nak saya terangkan terus kerja mereka atau,” Syariza memandang Farah.

         Walaupun kata-kata Syariza hanya separuh, namun Farah sangat mengerti apa yang mahu disampaikan oleh akauntan itu. “Belum lagi Cik Syariza. Saya dah terima arahan dari Tuan Syed. Tuan Syed mahu mereka berdua mengenali Warisan Syed dan semua syarikat yang bekerjasama dengan Warisan Syed dahulu. Dan Tuan Syed mahu mereka pelajari tentang Warisan Syed dengan lebih mendalam dulu sebelum mereka memulakan kerja mereka.”

           Syariza menganggukkan kepala lalu memandang pekerja baru itu. “Okey!” Syariza tersenyum kepada mereka berdua. “Kerja rajin-rajin ya! Kamu berdua beruntung sebab terus bekerja di bawah Tuan Syed Zikri. Sangat mudah berurusan dengan Tuan Syed Zikri, sama seperti arwah ayahnya, Tuan Syed Zarkasyi! Kalau Tuan Syed yang sebelum ni, mereka terlalu tegas!” Syariza menjongketkan keningnya. “Nice to meet you!”

            “Nice meeting you too, cik Syariza!”

            Audra dan Zana tak sudah-sudah mengukirkan senyuman dengan keramahan setiap pekerja di sini. Awalnya, mereka memang agak gusar untuk melangkah masuk ke Warisan Syed. Tapi, Alhamdulillah, semuanya kelihatan sempurna untuk hari pertama ini.

            “Jom ikut saya!” Farah melangkah keluar dari pejabat Syariza. Begitu juga dengan Audra dan Zana. “Ini meja kamu berdua!”

            Audra dan Zana melihat dua buat meja yang diletak bertentangan di hadapan pejabat Cik Syariza. Mereka menganggukkan kepala. Walaupun mereka berdua hanya pekerja sambilan, namun tempat yang diberikan menyelesakan dan lengkap dengan kemudahan.

            “Kamu suka?” tanya Farah.

            “Alhamdullillah! Terima kasih, Cik Farah!” ujar Zana.

            “Tak payahlah formal sangat! Panggil saya, Kak Farah pun dah cukup!” Farah tersenyum melihat pekerja baru yang masih muda dan masih belum punya pengalaman dalam pekerjaan. “Betul kata cik Syariza, kamu berdua memang beruntung. Bukan saja sebab kamu bekerja dengan Tuan Syed Zikri, tapi kamu adalah siswazah pertama tanpa pengalaman yang diserap masuk. Sebelum ni, biasanya Warisan Syed akan mencari pekerja yang sudah berpengalaman. Inilah pertama kali Tuan Syed membuat keputusan untuk mengambil siswazah yang baru graduated.”

            “Alhamdulillah,” Audra dan Zana, masing-masing memanjatkan kesyukuran. Rezeki ini telah Allah tentukan untuk mereka. “Terima kasih, Kak Farah!”

            “Sama-sama!” ujar Farah. “Hari ni, kamu berdua takkan berjumpa dengan Tuan Syed Zikri sebab Tuan Syed Zikri ada perkara penting yang perlu diuruskan. Sekarang ni, kamu berdua mari ikut saya bersarapan?” ajak Farah sebaik sahaja dia memandang jam ditangannya. Jam untuk bersarapan masih bersisa lima belas minit.

            “Boleh juga!” Pantas sahaja mereka berdua berkata. Maklumlah perut masing-masing sudah mula bernyanyi setelah selera mereka sudah kembali.

            “Jom kita ke pantri!”

Audra dan Zana saling berpandangan. Ke pantri? Sangka mereka, Farah akan mengajak mereka keluar dari pejabat untuk ke gerai makan yang berderet di depan jalan. Lantas mereka membontoti langkah Farah. Sebaik sahaja menyelak daun pintu pantri, satu perasaan kagum dirasakan Audra dan Zana.

            “Masuklah!” ajak Farah.

            Mereka berdua melangkah masuk. Ruangan pantri yang sangat besar itu memecahkan bau haruman yang bisa menggoncang selera dan nafsu makan. Terhidu bau makanan yang sedap! Mata mereka terancap pada setiap kelengkapan di pantri.

            “Apa yang menariknya di Warisan Syed, sarapan pagi disediakan oleh pihak syarikat. Memandangkan pekerja hanya diberi waktu makan tengahari untuk keluar dari pejabat, maka sarapan disediakan. Menu kita hari ini,” Farah membuka bungkusan yang sering dihantar oleh gerai makan yang diambil oleh Warisan Syed untuk membekalkan sarapan kepada para pekerjanya.

 “Wah! Nasi ayam!” Mata Farah sudah bersinar. Dia mengambil dua bungkusan dan diserahkan kepada Audra dan Zana. “Roti canai pun ada!” Pandangannya beralih memandang Audra dan Zana. “Nampaknya, Tuan Syed memang menyambut kedatangan kamu berdua!” ujar Farah.

   “Maksud akak?” tanya Audra.

            “Biasanya sarapan yang disediakan hanya sarapan yang ringan macam kuih, bihun goreng, keow teow goreng, mee goreng, nasi goreng yang ada dalam foam yang kecil. Sandwich dan kuih yang biasa-biasa sahaja.” Terang Farah lalu duduk di samping mereka. “Tapi kelmarin, Tuan Syed ada beritahu akak yang dia akan pesankan sarapan istimewa untuk menyambut kamu berdua!”

            Zana menyiku Audra. “Hah! Tengok tu, siapa kata Tuan Syed tak baik! Siap beli sarapan yang sedap semata-mata nak sambut kita, tau!” sengaja dia memprovok Audra.

Audra hanya menjeling dengan kata-kata Zana. “Yelah tu!”

“Manalah tahu kalau-kalau dia nak balas jasa baik kau tolong dia hari tu!” sambung Zana lagi.

“Tak de maknanya!” Audra masih belum bisa melupakan tentang itu. Bila sahaja dia teringatkan tentang Tuan Syed Zikri, pasti dia teringat tentang kot hitam yang telah dirosakkannya.

Tempoh hari ketika mereka bersua dengan Che Enon di gerai Man Corner, Che Enon ada menyatakan bahawa Tuan Syed Zikri tidak kisah andainya Audra tidak dapat menggantikan kot hitamnya semula. Apa yang dikatakan Che Enon mungkin disebabkan Emily telah menyampaikan pesanannya kepada Tuan Syed Zikri.

Walaupun Che Enon telah mengatakan yang Tuan Syed Zikri sudah tidak meminta dia menggantikan semula kot hitam itu, tetapi dalam jiwanya tetap resah seolah-olah dia perlu menggantikannya juga. Apatah lagi dia yang menyatakan dengan keras yang dia takkan menggantikan kot hitam itu.

Audra menarik nafas yang panjang. Tidak! Dia pasti akan menggantikan kot hitam itu semula. Hanya menunggu wangnya bisa dikumpulkan.

“Audra dengan Zana kenal dengan Tuan Syed?” tanya Farah dengan penuh persoalan sehingga keningnya berkerut seribu. Seingatnya Tuan Syed Zikri ada berpesan yang dia tak mahu Audra dan Zana tahu siapa dirinya yang sebenar. Dek kerana itu, semua majalah dan gambar Tuan Syed Zikri yang ada di dinding disimpan kemas. Tapi, mereka berdua kelihatan mengenali Tuan Syed Zikri.

“Kenal tapi tak pernah jumpa,” balas Zana.

“Oh,” Farah menarik nafas kelegaan. Nasib baiklah mereka belum pernah jumpa dengan Tuan Syed Zikri, jika tidak tentu rancangan Tuan Syed Zikri akan gagal. “Eh, bihun goreng pun ada jugalah!” Tiba-tiba sahaja matanya terancap pada satu lagi bungkusan. “Bihun goreng spesial!” Selera Farah semakin terbuka. Air liurnya bagaikan sedang memercik di dalam mulut. “Nasib baiklah akak masih belum buka bungkusan nasi ayam ni. Audra dan Zana nak bihun goreng?”

“Boleh juga,” Audra menyimpan semula bungkusan nasi ayam dan mencapai bungkusan bihun goreng special.

“Ada apa di dalamnya?” tanya Zana sambil mengintai bungkusan bihun goreng special yang dibuka Audra.

“Ayam, sotong, udang. Wah! Nampak sedap sangat ni!” Selera Audra juga semakin terbuka.

“Aku pun nak tukar jugaklah!” Zana sudah menukar bungkusan nasi ayamnya dengan bihun goreng spesial Lantas dia menikmati rezeki Allah pada pagi itu. “Alhamdulillah! Memang sedap!”

Habis licin mereka menghabiskan bihun goreng special itu. “Alhamdulillah.” Masing-masing sudah memanjatkan kesyukuran pada rezeki yang dikurniakan Allah.

Audra bangun lalu mengambil tiga gelas dan mengisinya dengan teh tarik yang disediakan. Dia menyerahkan pada Farah dan Zana. Seketika dia melirik bungkusan nasi ayam dan bihun goreng special yang masih berbaki beberapa bungkus. “Biasanya Warisan Syed memang pesan makanan mengikut bilangan pekerjakah?” Sengaja dia bertanya apabila merasakan satu kerugian jika baki bungkusan makanan itu dibuang begitu sahaja.

“Ah’ah,” balas Farah sambil memandang Audra yang terus memerhatikan baki bungkusan makanan yang masih ada. “Biasanya memang Warisan Syed akan pesan cukup-cukup untuk pekerja. Cuma, kadang-kadang tu akan berbaki bila ada pekerja yang bercuti atau MC.”

“Oh,” Audra melirik Farah seketika lalu menganggukkan kepalanya.

“Biasanya kalau ada lebihan sarapan, kitorang akan beri pada budak despatch dari luar yang hantar surat ke sini,” sambung Farah.

“Restoran mana yang selalu sediakan sarapan pada Warisan Syed?” tanya Audra sekadar ingin tahu.

“Bukan restoran! Kita hanya pesan sarapan di gerai Abbas di simpang jalan tu,” ujar Farah. “Tengahari nanti, Audra dan Zana cuba makan di sana. Lauk-lauk yang disediakan memang sedap! Tuan Syed pun suka makan di sana!”

“Tuan Syed?!” Audra mengukir raut kurang percaya. Masakan Pengarah Warisan Syed makan di gerai! “Boleh percaya ke?”

Farah menghembuskan nafas panjang. Hubungan apa yang ada sebenarnya antara Audra dan Zana dengan Tuan Syed Zikri. Raut wajah Audra menunjukkan seakan dia tidak menyenangi setiap kali nama Tuan Syed Zikri timbul dalam perbualan mereka. “Audra bencikan Tuan Syed?”

“Tak!” Pantas Audra menggeleng. Dia memang tidak berapa suka dengan Tuan Syed Zikri, tetapi tidaklah sampai membenci. Audra mengetap bibir. Sesungguhnya, dia tidak menyangka setiap tindakannya yang kurang menyukai Tuan Syed Zikri telah dihidu oleh Farah. Sepatutnya dia lebih berhati-hati apatah lagi ketika berbual dengan pembantu peribadi Tuan Syed Zikri sendiri.

“Jadi, apa masalah Audra dan Zana sebenarnya dengan Tuan Syed?”

“Eh, Zana tak de apa-apa!” Pantas Zana menafikan. Tangannya sudah terangkat dan menggawang ke kanan dan ke kiri.  “Audralah!” Dia menunjuk pula kepada Audra.

“Kenapa Audra? Audra ada masalah dengan Tuan Syed?” Farah bertanya pula pada Audra.

“Eh, mana ada, kak!” Audra turut menafikannya.

Farah memandang Audra terus. Memang Audra menafikan, tetapi reaksinya sangat mudah untuk dibaca. “Audra!” Farah memeluk tubuhnya dan memandang Audra tanpa berkelip.

Audra memandang Farah sekilas sambil menggosok-gosokkan pipinya. Farah kelihatan tahu ada masalah yang timbul antara dia dengan Tuan Syed Zikri. “Entahlah, kak.” Dia tidak tahu sama ada dia perlu menceritakan semuanya pada Farah. Apatah lagi Farah setiausaha peribadi Tuan Syed Zikri. Macam mana jika Farah menceritakan pula pada Tuan Syed Zikri?

“Si Audra ni pernah bertengkar dengan girlfriend Tuan Syed!” ujar Zana. Audra tampak keberatan untuk berkongsi cerita dengan Farah. Jadi, biar dia sahaja yang memulakan kata.

Girlfriend Tuan Syed?” Farah terus mengalihkan pandangannya pada Zana. Keningnya sudah terjungkit. Siapa girlfriend Tuan Syed?

Audra pula sudah mendengus dengan sikap Zana yang tak pandai menyimpan rahsia.

“A’ah! Siapa nama dia Audra?” tanya Zana pada Audra. Pandangan marah yang dilemparkan Audra padanya langsung tidak dipedulikan, pura-pura tidak mengerti.

“Siapa Audra?” tanya Farah pula apabila Audra masih tetap membisu.

“Emily!” balas Audra. “Waktu interview hari tu, Audra terpijak kaki dia. Audra tak sengaja. So, Audra mintalah maaf. Tapi perempuan tu,” Audra menunjukkan riak kurang senang. Terimbas semula peristiwa itu diingatan Audra. Audra menghembus nafas perlahan. “Kalau Syed Zikri pilih orang macam tu untuk jadi girlfriend dia, tentu saja dia pun lebih kurang, kan?” Dia bercakap sendiri tanpa sedar kata-katanya itu bisa didengari Zana dan Farah.

“Emily?” Farah ketawa. Wajah Audra dipandangnya.

Audra dan Zana berpandangan melihat tawa Farah. Kenapa pula tiba-tiba Kak Farah ketawa?

“Emily tu bukan girlfriend Tuan Syed lah!” Farah yang sudah reda ketawanya memandang Audra dan Zana ternganga yang sudah ternganga.

“Bukan girlfriend Tuan Syed?” tanya Zana.

“Bukan!” Tegas Farah. “Tuan Syed belum ada girlfriend! Masih mencari!”

“Habis, siapa Emily tu? Dia yang beritahu kita orang yang dia tu girlfriend Tuan Syed,” ujar Audra.

“Emily tu yang tergila-gilakan Tuan Syed. Tapi, Tuan Syed tak layan!” Farah tersenyum. “Kalau rasa nak ‘try’, bolehlah isi borang. Nanti akak adjust!” Farah memberi maksud bertindih dengan nada gurauan.

“Zana tak nak! Zana dah pilihan sendiri!” ujar Zana. “Tapi jangan haraplah si Audra ni nak! Dia ni memilih sangat kak!”

Audra sudah menjeling Zana.

“Memilih?” Walaupun baru hari ini dia mengenali Audra dan Zana, namun dia tidak nampak Audra seperti seorang yang memilih. “Audra cari lelaki yang kaya? Kacak?”

“Tak!” Pantas sahaja Audra menafikannya. “Audra tak meletakkan syarat untuk seorang lelaki!”

“Kalau akak nak tahu, si Audra ni, dia nak cari putera raja yang boleh membuatkan jantungnya berhenti berdegup! Waktu berhenti sesaat! Dunia berhenti berputar! Lepas tu, barulah semuanya bergerak dengan pantas. Jantung bergerak pantas, dup dap, dup dap!” Zana sudah tertawa dengan kata-katanya sendiri.

Farah yang pada mulanya tercengang juga ikut ketawa.

Audra pula diam mencebik melihat dirinya dipersendakan. Tapi dia tidak marah. Dia tahu, angan-angannya itu memang tak masuk akal untuk orang lain. Tetapi bukan bagi dirinya!

“Mencari seorang putera raja yang boleh membuatkan jantung berhenti berdegup. Bukankah itu bermakna Audra mencari seorang lelaki kaya yang mempunyai penampilan yang menarik?” tanya Farah.

Audra menghembuskan nafasnya. Apa yang dikatakan Farah, sama seperti penilaian semua orang terhadapnya. Semuanya menganggapnya begitu. “Bukan macam tu, kak!” Sekali lagi Audra menafikan. “Seorang ‘putera raja’ tak bermaksud dia mesti lelaki yang kaya dan berharta. Seorang putera raja bagi diri Audra adalah lelaki itu mestilah mempunyai sikap seperti seorang putera. Iaitu, memiliki sifat pemimpin dalam dirinya tapi tidaklah sehingga dia merasakan dia adalah seorang raja hingga merasakan dia mempunyai kuasa mutlak pada naungannya. Seorang putera raja yang baik akan miliki kepimpinan yang baik dan tidak akan menggunakan kuasa mutlaknya.” Audra memandang Farah. “Sebab itulah Audra tak gunakan perkataan ‘raja’ sebagai pilihan Audra. Maksudnya, Audra tak minta seorang raja. Hanya seorang putera.”

Terangguk-angguk kepala Farah dengan penerangan itu. Boleh diterima!

“Seorang putera yang boleh membuat jantung Audra berhenti berdegup, bukanlah bermakna lelaki itu harus punyai penampilan yang menarik, kacak dan sasa.”

“Nanti, nanti!” Tiba-tiba sahaja Zana mencelah. “Tapi kau kan pernah kata, jantung kau berhenti berdegup bila pertama kali lihat Putera William sebab dia handsome!” Sengaja Zana mengusik Audra.

“Ya, mungkin jantung aku berhenti berdegup waktu tu kerana terpegun sebab dia handsome. Tapi aku tak meletakkan syarat seorang lelaki itu perlu sangat tampan untuk menjadi pilihan aku.” Audra memandang Zana. “Cuba kau nilai, di kolej kita berapa ramai lelaki yang handsome? Tapi belum ada seorang pun yang buat jantung aku berhenti berdegup.” Audra kembali memandang Farah.

Zana diam seketika. Ada benarnya juga kata Audra. Kalau tak, tentu Zaid juga sudah menjadi milik Audra sekarang. Ah, tapi mata manusia tidak sama. Mungkin dia merasakan Zaid tampan tetapi Audra tidak pula melihat begitu.

“Audra tak tahu kenapa Audra selalu rasa yang Audra akan jumpa dengan lelaki yang boleh buat jantung Audra berhenti berdegup. Kemungkinan besar, penampilannya yang akan membuat jantung Audra berhenti berdegup. Tapi itu tak bermakna Audra meletakkan penampilan luaran sebagai sandaran. Mungkin juga lelaki itu boleh buat jantung Audra berhenti berdegup kerana kebaikannya, budi bahasanya, pandangan matanya atau apa saja. Sebab Audra sendiri tak tahu, apa agaknya yang boleh buat jantung Audra berhenti berdegup.”

Farah sudah menggaru-garu telinganya yang terselindung di balik tudung. Bahasa Audra memang tidak difahami. “Tak mengapalah  Audra. Jodoh itu ditentukan Allah. Akak cuma boleh berdoa semoga Audra bertemu dengan seorang putera raja soleh yang boleh menjaga dan memberi kebahagiaan dunia dan akhirat.”

“Amiin,” Audra tersenyum.

Zana turut mengaminkan doa Farah.

“Semua dah bersarapan, kan? Sekarang masanya untuk mulakan kerja! Firstly, akak nak bawa Zana dan Audra ke bilik fail. Sebelum Audra dan Zana meneliti semua maklumat perakaunan, Tuan Syed mahu Audra dan Zana meneliti maklumat setiap anak syarikat dan syarikat yang bekerjasama dengan Warisan Syed,” terang Farah. “Jom!”


--------------------@@--------

Maaf ya untuk peminat Encik Zack. Kali ini, Encik Zack tidak muncul. In Sha Allah, n3 akan datang ya.....Salam Jumaat semua....


2 comments:

  1. akak suka citer ni...tapi lambat sangat sambungannya...jenuh menunggu

    ~kak min~

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak min....maaf ya sebab lama tunggu..saya update citer ni tiga minggu sekali je...huhuhu

      Delete