AUDRA mematikan talian
setelah berbual agak lama dengan Mak Aji di kampung. Dia termenung sambil
sebelah tangannya menongkat dagu. Dahinya berkerut dan sebelah tangannya lagi
memusing-musing telefon bimbitnya. Ada sesuatu yang menggangu fikirannya.
Kata Mak
Aji, Pak Aji ke surau dengan Apit dan seorang pemuda yang bernama Zack. Pemuda
itu tumpang bermalam di rumah. Apa yang menganggu fikirannya, pemuda itu tidak
dikenali dan bagaimana Pak Aji dengan mudahnya mempelawa pemuda itu untuk
bermalam di rumah mereka? Satu perkara pelik yang tak pernah dilakukan Pak Aji
sebelum ini.
Zana yang
sedang ralit membaca berpaling memandang Audra yang tiba-tiba membisu. Sebentar
tadi, bukan main laju mulut Audra menuturkan kata saat sahabatnya itu
menghubungi keluarganya di kampung. Namun, tiba-tiba sahaja Audra membisu
begitu. “Kau ni kenapa Audra?” tanya Zana. Buku di tangannya sudah ditutup.
“Aku
mushkillah Zana!” Wajah Zana dipandangnya. “Kau tahu tak, ada orang luar
bermalam di rumah aku!”
“Orang
luar?” Satu perkara yang mungkin biasa didengar namun perkara itu sudah
membuatkan Zana terlopong. Kemudian, dahinya berkerut. “Maksud kau?”
“Ish! Kau
ni!” Audra sudah mencebik. “Maksud apanya?! Ada orang luar yang keluarga aku
tak kenal sedang bermalam di rumah aku!”
Wajah Zana
tercengang kembali. “Biar betul kau?!” Ada riak kurang percaya pula terukir.
Setahunya Haji Ashaari atau Pak Aji, abah Audra tidak percaya orang luar dengan
mudah. Apatah lagi bagi orang yang tidak dikenali. Pernah dahulu, seorang
pemuda yang mengaku saudara jauh mereka datang bertandang dan ingin bermalam di
sana. Pak Aji tak benarkan sehinggalah dia benar-benar pasti siapa pemuda itu.
Akhirnya,
pemuda itu bermalam di surau. Tak lama kemudian, keluarga pemuda itu datang ke
kampung dan menerangkan hubungan sebenar mereka dengan keluarga Pak Aji,
barulah Pak Aji menerima pemuda itu sebagai saudaranya. Rupa-rupanya, keluarga
Pak Aji dengan saudara mara lain sudah berkembang terlalu jauh sehingga ada
diantara mereka yang tidak dikenali. Hanya saudara-saudara yang dekat sahaja
mudah diterima Pak Aji.
“Itulah
yang aku mushkil sangat ni!” Audra bangun dan mundar mandir di depan Zana. “Aku
risaulah kalau lelaki tu adalah orang jahat!” Audra berhenti mundar mandir dan
berdiri di depan Zana. “Macam mana kalau dia ada niat tak baik dengan keluarga
aku?”
Zana diam
sekejap. Kerisauan Audra memang logik. Zaman sekarang bukan zaman anak kau anak
aku juga, macam zaman dahulu. Zaman sekarang sangat kejam dan sudah berbalik
seperti zaman jahiliah dahulu. Anak dibuang sesuka hati, maksiat berleluasa,
kekejaman dan keganasan menghantui, hubungan songsang. Semuanya itu menunjukkan
zaman moden kini sudah beralih ke zaman jahiliah. Kadang-kadang saudara sendiri
pun tak boleh dipercayai sepenuhnya. Tak ada orang yang boleh dipercayai pada
zaman ini! Wajah Zana juga sudah bertukar kerisauan.
Zana bangun
dan mundar mandir seperti Audra. Audra ke kiri, dia ke kanan. Audra ke kanan,
dia ke kiri.
“Aku rasa,
tak de apa-apa kot.” Langkah Zana terhenti. Begitu juga dengan Audra. Mereka
bertentangan. “Abah kau kan jenis orang yang sangat berhati-hati. Kalau dia boleh
benarkan lelaki tu melangkah masuk ke dalam rumah, itu bererti lelaki itu tidak
berniat jahat.”
Mereka
meneruskan langkah mundar mandir semula. “Tapi macam mana dia boleh yakin
sangat dengan lelaki tu? Jangan-jangan lelaki tu dah sihirkan abah aku tak?”
Timbul syak wasangka dalam diri Audra.
“Mungkin!”
Zana seakan terpengaruh dengan andaian Audra. “Mana tahu, kan! Zaman sekarang
pun ramai orang amalkan ilmu hitam!” ujar Zana tetapi kemudian dia terdiam dan
berfikir lagi. “Tapi untuk apa? Keluarga kau ada simpan barang berhargakah?”
Soalan Zana
membuatkan langkah Audra terhenti. Ya tak ya juga. Keluarganya hanya bergantung
kepada Pak Aji yang hanya seorang pekebun. Untuk apa pula lelaki itu perlu
lakukan begitu? Mereka tak punya apa-apa.
“Mungkin
lelaki tu betul-betul perlukan pertolongan agaknya!” Zana menangkis semua syak
wasangka.
Audra masih
berfikir lagi. Kata Zana ada benarnya. Tak ada apa yang istimewa dengan
rumahnya. Salahlah jika lelaki itu punya niat untuk merompak atau mencuri.
“Mungkin juga. Tapi aku tetap kena pastikan keluarga aku dalan keadaan yang
selamat!”
MALAM yang sangat bahagia buat Zack. Bersolat di surau bersama Pak Aji dan Apit
merupakan sesuatu yang membahagiakan. Tak pernah dia merasa bahagia begini.
Usai solat Maghrib sebentar tadi, Pak Imam memberi sedikit ceramah sementara
menunggu waktu Isyak. Usai waktu Isyak, kini mereka beriringan berjalan pulang
ke rumah.
“Macam mana Zack? Kamu selesa bersolat di surau?” tanya Pak Aji yang sedari
tadi memerhatikan Zack yang tidak lekang dengan senyuman di wajahnya.
Zack yang sememangnya sedang tersenyum semakin lebar senyumannya. Pak Aji di
sebelah diliriknya. “Alhamdulillah, lebih tenang dan mendamaikan.”
“Alhamdulillah,” sambut Pak Aji dengan kesyukuran.
“Abang tak pernah berjemaah di surau atau masjid
sebelum ni?” tanya Apit yang tiba-tiba menyampuk perbualan mereka.
Zack menoleh kepada Apit. Terasa malulah pula dengan
soalan Apit itu. “Jarang,” Zack berterus terang dengan kelemahan diri. “Kalau
solat Jumaat tu, biasalah.”
“Berjemaah di surau atau di masjid, besar
pahalanya berbanding bersolat sendirian.” Pak Aji menarik nafas panjang.
“Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mengejar dunia tetapi kita terlupa bekalan
untuk akhirat. Sebagai lelaki kita banyak tanggungjawab dan amanah. Kita
bertanggungjawab pada ibu, saudara perempuan, isteri dan anak-anak. Ini adalah
amanah yang Allah berikan pada kita. Kalau kita seorang ketua, orang bawahan
adalah amanah kita. Terlalu banyak amanah yang perlu kita pikul. Sebab itulah
amanah adalah perkara yang paling berat tersandang di bahu kita. Kerana amanah
kita, kita juga boleh terseret sama ke dalam api neraka.”
Bergetar jiwa Zack mendengar kata-kata Pak Aji.
Baru kini dia sedar, sebagai lelaki dia digalas dengan amanah dan tanggungjawab
yang besar apatah lagi dia juga mempunyai amanah pada setiap pekerjanya. Ya
Allah, permudahkanlah segalanya! Doa Zack di dalam hati.
“Maaflah, Pak Aji tak berniat nak
memandai-mandai. Apatah lagi pada kamu yang sudah tentunya seorang yang
terpelajar. Cuma, kita sebagai manusia biasa adakalanya perlu diingatkan.
Kerana ‘lupa’, adalah fitrah seorang manusia.”
“Tak mengapa Pak Aji.” Zack agak kaget kerana
tiba-tiba Pak Aji meminta maaf kepadanya. “Betul kata Pak Aji. Manusia memang
sentiasa lupa. Tak salah kalau kita saling ingat mengingatkan. Saya tak kisah
kalau Pak Aji nak menasihati saya.” Zack diam seketika. Kemudian, terdengar
keluhan darinya.
“Kenapa?” Pak Aji bertanya apabila mendengar
keluhan Zack itu. Di saat itu mereka telah pun tiba di halaman rumah. Mereka
bertiga duduk di beranda dan menyambung kembali perbualan yang tertangguh.
“Saya tak tahulah Pak Aji sama ada selama ini
saya dah jalankan tanggungjawab dan amanah saya dengan sempurna atau belum.”
“Baguslah jika persoalan itu timbul dalam hati
kamu. Itu bererti kamu sudah mula membilang semula tanggungjawab kamu. Zack,
seorang lelaki adalah pemimpin. Apa yang Pak Aji lihat zaman sekarang ini,
situasinya sangat membimbangkan. Apa makna pemimpin seandainya banyak bayi yang
terbuang? Maksiat merata-rata? Di mana sifat kepimpinan dalam diri kita?” Pak
Aji menggeleng-geleng kepalanya. Ada rasa hiba dari getar suaranya.
Apit di sebelahnya hanya diam. Sesungguhnya abah
sudah biasa menasihatinya setiap kali pulang dari surau. Setiap malam
adakalanya abah terus berpesan walaupun adakalanya pesanannya itu sudah kerap
berulang.
Pak Aji menoleh pada Apit. “Apit, kau pergi
tengokkan mak kau tu. Tolong apa-apa yang patut!” Arah Pak Aji.
“Baiklah abah!” Apit segera bangun dan hilang di
dalam.
“Zack dah berumahtangga?” tanya Pak Aji.
Zack tersenyum sambil tertunduk. Kemudian dia
memandang semula wajah Pak Aji yang sedang melihatnya. “Belum lagi Pak Aji.
Masih mencari yang sesuai.”
Pak Aji mengukir senyuman dengan jawapan itu.
“Berkahwin adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Besar pahalanya bagi orang
yang berkahwin. Carilah wanita solehah sebagai isteri. Wanita solehah akan melahirkan
zuriat-zuriat yang baik. Insyaallah,”
Muncul kelibat Mak Aji dan Apit yang membawa
sedulang makanan. Apit meletakkan dulang yang berisi kepingan biskut. Mak Aji
pula meletakkan sedulang teh o dan cawan kosong.
“Apit masuk dululah mak, abah, abang.” Apit
menghilang setelah mendapat keizinan. Memang sudah tiba waktunya untuk Apit
mengulangkaji pelajarannya.
“Jemput minum bang Aji, Zack,” pelawa Mak Aji
setelah mengisi cawan yang kosong.
“Terima kasih.” Zack mencapai cawan yang
dihulurkan Mak Aji dan menghirupnya sedikit.
“Orang dulu jodohnya ditetapkan keluarga.
Samalah macam Mak Aji dan Pak Aji. Alhamdulillah, kekal sampai sekarang.”
Mak Aji tersenyum mendengar kata-kata Pak Aji.
“Zack masih bujang?” sampuk Mak Aji.
Zack mengangguk.
“Carilah isteri yang solehah, Insyaallah bahagia
rumahtangga.” Nasihat Mak Aji pula.
“Isteri terbahagi kepada empat golongan. Tiga
golongan pertama adalah isteri Siddiqin, isteri Muqorrobin dan isteri Solehin.
Ketiga-tiga golongan ini memang sukar di cari. Golongan isteri keempat adalah
isteri Fasik. Isteri fasik adalah isteri yang selalu mengingkari suami dan juga
Tuhannya. Berhati-hatilah dalam memilih isteri,” kata Pak Aji.
Hati Zack semakin terbuka mendengar nasihat Pak
Aji. Hatinya semakin yakin keluarga inilah yang paling sesuai untuk didekati.
“Tapi jangan hanya mengharap untuk mendapat
isteri yang solehah kalau diri sendiri masih belum siap sebagai seorang
pemimpin!” Tambah Pak Aji. “Biasanya lelaki hanya pertikaikan kedudukan isteri
tapi sering lupa dengan tanggungjawab diri. Dekati Al-Quran dan jadilah lelaki,
suami dan pemimpim mengikut acuan Al-Quran. Barulah mencari isteri sebagai
peneman hidup.”
Jiwa Zack semakin terbuka dan satu semangat baru
bagai tertiup masuk ke dalam hati. Sesungguhnya kata-kata Pak Aji begitu besar
maknanya. “In Sha Allah, Pak Aji. Doakan agar saya sentiasa berada di jalan
yang benar.”
“Semoga kamu sentiasa di landasan kebenaran.
Amiin,” Pak Aji menadah tangan dan meraup mukanya. Dia mengukirkan senyuman.
Sejuk hatinya melihat pemuda di depannya ini.
AUDRA memandang jam di dinding. Angka sudah
menganjak jam dua pagi. Biasanya waktu begini keluarganya sudah pun masuk
tidur. Mungkin inilah kesempatannya untuk menghubungi kampung. Dia akan
menghubungi kampung sehingga ada yang menjawab panggilannya. Biasanya, orang
jahat akan memulakan kerjanya pada pertengahan malam. Jika benar lelaki itu
berniat jahat, biar ada orang yang menyedari.
“Macam mana?” Zana menongkat dagu dan memandang
Audra. Apakah Audra akan bertindak seperti apa yang dirancangkannya?
“Hmmm,” Audra mengangguk. Dengan semangat di
dada dia mendail nombor telefon rumahnya di kampung. Kedengaran deringan
apabila talian disambungkan. Memang dia sengaja menghubungi kampung pada waktu
begini. Dia cukup arif tentang keluarganya. Jika ada tetamu lelaki di rumah,
pasti tetamu itu akan tidur di kamar Apit.
Biasanya, Apit jarang mengangkat telefon pada
waktu malam. Adiknya itu, memang akan ‘tidur mati’. Kalau bom meletup pun belum
tentu dia akan bangun. Bilik Apit pula berhadapan dengan ruang tamu. Telefon
pula, ada di ruang tamu. Kalau dia mengubungi kampung waktu begini, pasti
tetamu itu yang akan menjawab panggilannya. Itu pun jika lelaki itu tidak
berniat jahat. Jika sebaliknya, dia berdoa agar Pak Aji dan Mak Aji akan
terjaga apabila mendengar bunyi telefon.
Di kampung, Zack yang masih belum melelapkan
mata masih berfikir dan terus berfikir. Kata-kata Pak Aji tentang jodoh terus
berlingkar di benaknya. Sungguh, mendengar setiap nasihat dari Pak Aji memberi
ketenangan dalam diri.
Sedang dia tenggelam dalam fikirannya,
konsentrasinya terganggu dengan deringan telefon. Dia melirik Apit disebelah
yang sudah nyenyak tidur. Kelihatannya Apit sedikit pun tidak terganggu dengan
deringan itu. Zack menunggu lebih lama. Mana tahu kalau-kalau Pak Aji dan Mak
Aji bangun dan mengangkat telefon.
Akhirnya talian mati sendiri. Zack menghembus
nafas kelegaan. Seketika kemudian, telefon berbunyi lagi. Zack sudah
berkira-kira untuk bangun dan menjawab panggilan itu. Tetapi langkahnya masih
terpaku di situ kerana masih ragu-ragu. Akhirnya, dia bangun juga dari
pembaringan dan berjalan keluar ke ruang tamu. Dia mendekati telefon yang
berdering. Ganggang diangkat.
“Hello, assalamualaikum,”
“Waalaikummusslam.” Audra menjawap dari sana.
Dia memandang Zana lalu menganggukkan kepalanya tanda orang asing itu yang telah
menjawap panggilannya. “Siapa ni?”
“Awak ni siapa dan nak cakap dengan siapa?”
tanya Zack kembali.
“Ini rumah Haji Ashaari?” Audra pura-pura
bertanya.
“Ya.”
“Pak Aji ada?”
“Pak Aji dah tidur. Awak nak saya panggilkan Pak
Aji?” tanya Zack lagi. Manalah tahu kalau pemanggil itu ada urusan penting
untuk bercakap dengan Pak Aji. Kalau tidak, tak mungkinlah si pemanggil itu
menelefon pada jam sebegini.
“Tak perlu. Sebenarnya saya nak bercakap dengan
awak!” Audra berterus terang apabila yakin yang menjawap panggillannya ialah
lelaki asing itu. Kalau Apit yang mengangkat sudah tentu dia akan mengenali
suara adiknya itu. Apit pun pasti mengenali suaranya.
“Apa?” Dahi Zack sudah berkerut. Pemanggil ini
mahu bercakap dengannya? “Awak nak bercakap dengan saya?”
“Ya!”
“Awak ni siapa?” tanya Zack.
“Saya Audra Laily!”
“Audra Laily?!” Hampir sahaja Zack terlepas
ganggang telefon kerana terkejut.
“Awak ni lelaki asing yang bermalam di rumah
saya, kan?” tanya Audra.
“Ya!”
“Saya anak kepada Pak Aji. Kenapa awak datang ke
rumah saya?” Keras sekali nada yang digunakan Audra.
Zack di sini sudah mengukirkan senyuman. Tatkala
ini, Zack bisa membayangkan Audra yang dalam keadaan mencekak pinggang bersama
muka ketatnya yang comel sedang memberi amaran padanya. “Maaflah, saya tak
berniat nak menyusahkan keluarga awak. Saya datang kampung ni nak cari Pakcik
Rahman. Tiba-tiba saja kereta saya rosak. Atas belas ehsan abah awak, dia
tumpangkan saya bermalam di sini.”
“Betulkah?” Nada suara yang digunakan Audra
sudah agak lembut.
“Betul! Cik Audra jangan risau. Demi Allah, saya
tak berniat jahat.”
Lega hati Audra mendengar pemuda itu berkata
demikian. Hanya orang yang benar sahaja sanggup bersumpah atas nama Allah.
“Kalau begitu tak mengapalah. Saya harap kereta awak akan cepat dibaiki.”
“Terima kasih. In Sha Allah, esok akan ada orang
yang datang melihat kereta saya.” Zack masih lagi tersenyum. “Saya gembira
berkenalan dengan keluarga Cik Audra. Pak Aji dan Mak Aji baik orangnya. Hari
ni saja, dah macam-macam yang saya belajar dari mereka.”
Audra tersenyum mendengar pengakuan lelaki itu. Siapa
yang tak gembira jika ada orang lain yang menghargai orang tuanya. “Apa yang
awak belajar?” Tiba-tiba sahaja Audra teruja mahu tahu apa yang sedang berlaku
di sana.
“Banyak! Tapi yang paling manis saya rasakan
bila dapat berjemaah dengan orang-orang kampung di sini. Semuanya ramah dan
baik belaka.” Jujurnya, itulah yang rasakan Zack. Suasana yang sangat berbeza
dengan kehidupannya.
“Awak ni, bukan berasal dari kampung?” Audra
cuba meneka.
“Bukan!”
“Patutlah!” Audra tersenyum. “Begitulah adat dan
cara hidup di kampung. Walaupun berlainan darah tetapi semuanya bersepakat dan
bersatu.”
“Ya. Itulah yang saya rasakan.” Senang hati Zack
dapat berbual dengan Audra. Tapi malam ini, bicara Audra sungguh lembut tak
seperti ketika di tasik dan juga pada ketika mereka berjumpa di Rumah Warisan.
“Adik awak, Apit, dia juga baik dan menghormati orang tua.”
“Macam mana awak tahu Apit tu adik saya?” Sengaja
Audra bertanya. Andainya pemuda itu tahu, sudah pasti keluarganya yang
bercerita.
“Abah awak yang beritahu! Katanya, dia ada dua
orang anak perempuan dan yang bongsu adalah Apit. Jadi, awak tentulah kakak
Apit!” Zack sudah tersenyum sumbing sedangkan dia sudah sedia tahu itu dari
awal lagi.
“Kami sekeluarga memang dah dididik begitu.
Menyayangi yang muda dan menghormati yang tua.”
“Saya suka dengan keluarga awak. Walaupun baru
malam ni saya di sini, tapi saya rasa selesa dan rasanya macam saya dah kenal
keluarga awak lama dulu.” Zack meluahkan perasaannya. Mengenali keluarga Audra
membuatkan dia merindui keluarganya. Wajah Abi dan Uminya sudah jelas terbayang
di ruang mata.
Audra hanya tersenyum. Tak sangka ada orang yang
begitu menyanjungi keluarganya. “Baguslah kalau awak rasa macam tu. Saya harap
awak selesa di sana. Maklumlah kampung! Malam-malam begini sejuk dan banyak nyamuk.”
“Taklah cik Audra. Dari senja tadi adik awak dah
pasangkan ubat nyamuk.”
“Yelah, tapi biasanya nyamuk tetap ada cuma
bilangannya saja yang kurang.”
Dalam berbicara tentang nyamuk, nyamuk pun datang
dan berhurung di telinga Zack. Kemudian menggigit tangan dan kakinya. “Betullah
cakap awak cik Audra. Tadi saya tak rasa gigitan nyamuk pun. Sekarang ni bila
awak sebut tentang nyamuk, dia pun datang.” Zack sudah menampar kaki dan
tangannya untuk memukul nyamuk.
Kedengaran tawa Audra dari sana. “Maknanya,
nyamuk tu masih kenal saya ni tuan dia!” Sekali lagi Audra ketawa.
Zack terpana seketika apabila mendengar tawa
Audra. Itulah muzik terindah yang pernah didengarnya. Sungguh! Hati Zack
semakin berbunga indah. Wanita yang garang dan tegas seperti Audra punya gelak
tawa yang sangat indah. Ah Zack! Mana boleh ketawa kedengaran bagai muzik. Kau
sudah jatuh cinta! Zack tersenyum sendiri.
“Okeylah encik, encik,” Audra terdiam. Sedari
tadi berbual dia terlupa untuk bertanya nama lelaki itu.
“Zack!”
“Zack,” Terangguk-angguk kepala Audra. Nama Zack
lagi! Terus ingatan Audra teringatkan kepada orang kanan Tuan Syed Zikri.
Banyak betul orag nama Zack dalam dunia ni rupanya. “Dah malam ni, awak
masuklah tidur dulu. Berehat dan berlawanlah dengan nyamuk-nyamuk kampung tu.”
Masih kedengaran tawa kecil dari Audra.
“Baiklah, Cik Audra. Saya akan berlawan dengan
nyamuk-nyamuk ni habis-habisan! Terima kasih Cik Audra!”
“Sama-sama.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.” Audra mematikan talian.
Senyuman masih terukir diwajahnya.
“Don’t worry. Aku rasa dia lelaki yang
baik!” Audra sudah memberi jaminannya.
Terjungkit kening Zana. Mudahnya Audra percaya
pada lelaki asing tu? Sama seperti Pak Aji! “Macam mana kau tahu?”
“Sebab hati aku kata macam tu!” Audra tersenyum.
“Kau jangan risaulah. Esok aku call mak pula. Tanya perkembangan kat
sana.”
“Hmm, suka hati kaulah.” Zana menyandarkan
tubuhnya di birai katil. “Harap-harap tak de apalah.”
“In Sha Allah, semuanya okey!”
Entah mengapa mudah sekali Audra percaya dengan
kata-kata pemuda itu. Yang pasti gerak hatinya mengatakan pemuda itu seorang
lelaki yang baik. Dari tutur bahasanya menunjukkan begitu. Hanya Allah yang
mengetahui. Semoga Allah sentiasa melindungi keluarganya dari bahaya dan
kejahatan. Amiin…
---------@@-------
amboi kak lama btl nk tgu sbgan hihi.. care btl audra dgn kuarga dia yek bagus2..ank yg soleha...mmg ssuai utk zack
ReplyDeletemaaf ya lambat update story ni....terima kasih sebab sudi menunggu...^^
Deleterasa rindu pada zack terubat sudah..
ReplyDelete^^ terima kasih....;)
Delete