Loceng rehat berbunyi nyaring. Seraya dengan itu juga kebisingan
para pelajar yang berpusu-pusu keluar dari kelas mula kedengaran. Ada
sesetengah dari mereka terus meluru keluar tanpa sempat guru yang sedang
mengajar menamatkan pelajaran pada waktu itu.
Perhatian Amani masih lagi
tertumpu pada buku sastera di depannya. Dia membiarkan sahaja suasana bising
itu sehinggalah keadaan menjadi sepi semula. Sedikit pun dia tidak mengambil
pusing dengan apa yang berlaku sekitarnya.
"Amani, kamu tak pergi
rehat?" tanya Cikgu Rahayu. Seringkali dia melihat Amani bersendirian dan
tidak bercampur dengan rakan-rakannya yang lain.
Amani mengangkat wajahnya
dan memandang Cikgu Rahayu. Tanpa menjawab soalan itu, Amani menutup buku dan
meluru keluar bersama buku di tangannya.
Tergeleng-geleng kepala
Cikgu Rahayu dengan tingkah Amani. Namun, dia kagum dengan Amani. Amani seorang
pelajar yang pintar. Setiap pembelajaran sangat mudah diterimanya
walaupun gadis itu telah ketinggalan pelajaran. Lagi pun, Amani tak banyak
memberi masalah kepada pihak sekolah. Disiplinnya juga baik. Hanya satu yang
merisaukannya sebagai guru kelas Amani, gadis itu tidak suka bercampur dengan
pelajar lain.
Mungkin juga Amani merasa
rendah diri dengan keadaan dirinya. Pihak sekolah sudah maklum tentang Amani.
Malah, satu sekolah juga tahu perihal Amani yang menumpang di rumah Tania
bersama ibunya. Namun, dia tidak pernah melihat ada di antara pelajar-pelajar
yang lain mengejek atau mengusik Amani. Tania juga kelihatan senang dengan
Amani. Hanya Amani yang suka menjauhkan diri dan gemar bersendirian.
Amani berjalan mahu menuju
ke perpustakaan. Sejak permulaan sekolah, dia tidak pernah menjamah
apa-apa di kantin. Setiap wang saku yang diterimanya, tidak pernah di ambil. Dia
lebih senang begitu.
Ketika dalam perjalanan ke
perpustakaan, langkah Amani terhenti saat matanya terpaku kepada sepasang
pelajar yang sedang berbual mesra di tangga bangunan yang bertentangan. Dari
jarak 100 meter, Amani terus memerhati kelibat Tania yang begitu mesra dengan
seorang pelajar lelaki. Tangan mereka pula sedang bertaut. Sedikit pun matanya
tidak berkelip memandang mereka.
“Ops! Maaf!” Tiba-tiba
sahaja seorang pelajar lelaki melanggarnya.
Amani terus menoleh
memandang gerangan pelajar itu.
“Maaf, saya tak sengaja.”
Pelajar itu memohon maaf lagi. Sememangnya, dia tidak menyedari kelibat Amani
yang sedang terpaku berdiri di situ kerana sibuk membelek buletin sekolah yang
baru di edarkan.
Amani menjeling pelajar
lelaki itu dan kemudian memandang semula kelibat Tania dan pasangannya.
Pelajar lelaki itu turut
memandang ke arah yang dilihat Amani. “Ni, tak lama lagilah masuk buletinlah
ni.” Pelajar lelaki itu menekan punat kamera digital di tangannya.
Amani memandang semula
pelajar itu. Pelajar itu memandang Amani kembali apabila berjaya mengambil
beberapa gambar pasangan yang sedang bercinta itu. “Saya salah seorang dari sidang
redaksi sekolah.”
Amani menarik nafas panjang
mendengar kata-kata pelajar itu.
“Kenapa awak lihat dia
orang? Itu teman lelaki awak?”
Amani diam tanpa balasan.
Terjongket kening lelaki itu
apabila soalannya tidak mendapat jawapan. “Kalau lelaki tu teman lelaki awak,
lebih baik awak putuskan saja hubungan dengan dia. Tapi kalau bukan, jangan
sesekali tertipu dengan dia. Dia tu, playboy
yang paling bahaya di sekolah ni.”
Dahi Amani terus berkerut
sambil memandang Tania yang masih berpegangan tangan dengan pasangannya itu.
Nafasnya sudah sedikit kencang. Perasaannya sudah tidak enak.
“Okeylah, saya minya diri
dulu.” Pelajar itu melangkah pergi bersama senyuman. Dia sudah mendapat gossip hangat
untuk buletin yang akan datang.
“Nanti!” Amani mengekori
pelajar itu dari belakang.
Pelajar itu berhenti dan
memusing tubuhnya memandang Amani.
“Betulkah, lelaki tu playboy?”
tanya Amani.
“Awak pelajar baru di
sekolah ni, kan?” Mana mungkin sebagai salah seorang dari sidang redaksi
buletin sekolah dia tidak mengetahui hal itu. Pelajar itu mendekati Amani. “Awak
Amani, kan? Saya Amshar.” Pelajar lelaki itu menghulurkan salam perkenalan.
Sayangnya, huluran tangannya
tidak bersambut. Amani hanya memandang huluran tangan itu sekali lalu. “Lelaki
itu playboy?” dia bertanya sekali lagi.
Amshar mengemam bibirnya. Dia
memandang Amani lalu mengangguk. Nampaknya, Amani tidak mahu menjadi kawannya. Dia
memusingkan tubuhnya untuk berlalu pergi.
“Berapa awak mahu untuk
gambar-gambar itu?”
Soalan Amani itu membuatkan
Amshar menghentikan langkah sekali lagi dan memandang Amani.
“Berapa harga yang awak
tawarkan untuk sekeping gambar? Saya akan membayarnya asalkan awak tak masukkan
ke dalam buletin sekolah.”
Terpaku mata Amshar
memandang Amani.
DARI jauh Izz sudah
tersenyum melihat kelibat Tania dan Amani yang berjalan seiringan. Dia
mengangkat tangan melambai kepada Tania sebagai membalas lambaian Tania.
Seperti biasa, setiap kali dia bersua dengan Tania, senyuman ceria gadis itu
tidak pernah kurang.
Perhatiannya beralih pula kepada Amani. Wajah dingin
Amani juga tidak pernah berubah. Namun, sejak kelmarin pandangan mata Amani
yang penuh dengan kebencian itu bagaikan sudah hilang. Amani tetap memandangnya
tanpa senyuman namun tiada lagi kebencian yang dirasakannya. Adakah gadis itu
sudah bisa menerima kehadirannya?
Tania terus meluru membuka pintu dan melabuhkan
punggungnya di sisi Izz. Amani tetap mengambil tempat duduk di belakang Izz.
Izz menarik nafas lega dengan situasi itu. Nampaknya,
hari ni sangat mudah menguruskan Amani.
“Hari ni kita ke pekan, ya" Izz memecahkan kesunyian
di antara mereka bertiga. "Kita beli baju sekolah dan kasut sekolah yang
baru untuk Amani." Izz melirik Amani melalui cermin depan sambil memandu
ke arah pekan.
Amani hanya mendiamkan diri. Menjeling pun tidak, membantah pun
tidak. Entah apalah yang disibukkan Tuan Helmi dan Izz berkenaan dirinya. Dia
tak minta semua itu. Memakai barangan Tania sahaja pun sudah membuatkan dia
terasa beban. Inikan pula mahu membelikan yang baru buatnya. Lagi pun,
barang-barang Tania masih elok dan boleh digunakan.
"Kita ke pekan ya, kak." Tania bersuara lembut. Dia
memusingkan tubuhnya memandang Amani di tempat duduk belakang. Dia tak mahu
pertengkarannya dengan Amani berlarutan. Lagi pun, belum pernah dia meninggikan
suara dengan sesiapa. Inilah pertama kali dia melakukan begitu. Dia sendiri
tidak percaya yang dia akan melakukan begitu. Memang dia merasa sedikit kesal
dengan tindakannya itu.
"Tuan Helmi dah berikan saya sejumlah wang untuk belikan
semua perkakas sekolah yang baru untuk awak. Itu amanah Tuan Helmi. Saya perlu
tunaikan. Saya harap awak tak membantah," ujar Izz lagi.
Amani masih kaku seperti tadi. Namun, telinganya tetap mendengar
setiap butir bicara mereka. Hanya, dia malas mahu bersuara.
Izz menghembuskan nafas perlahan. Kepalanya tergeleng. Bercakap
dengan Amani bagaikan bercakap dengan batu. Namun kemudian, dia tersenyum.
Bagus juga jika Amani membisu begini daripada dia memberontak. Mungkin
kebisuannya itu menandakan dia setuju dengan saranan Izz.
Sampai sahaja di bandar, Izz memakirkan kereta di hadapan sebuah gedung.
Izz dan Tania keluar dari kereta. Amani masih lagi membatu di kerusi belakang
walaupun enjin kereta telah di matikan.
Tania dan Izz berpandangan. Izz memberi isyarat pada Tania agar
memanggil Amani keluar. Pantas Tania menggeleng. Dia tidak pasti sama ada Amani
masih marahkannya atau tidak. Dia tidak mahu dimarahi Amani lagi. Akhirnya, dia
pula yang memberiisyarat kepada Izz agar memanggil Amani keluar dari kereta.
Dengan hembusan halus dari bibirnya, Izz membuka pintu belakang di
sebelah kanan di mana Amani sedang berada. “Kita dah sampai, Amani.” Tangannya
masih memegang pintu kereta.
Amani melangut memandang wajah Izz yang sudah membuka pintu
untuknya.
“Marilah,” Izz berlembut sambil mengukirkan senyuman dan memberi
isyarat agar Amani keluar dari kereta.
Sungguh, dia tidak mahu. Namun melihat sikap Izz yang berlemah
lembut dengannya membuatkan Amani melangkah keluar. Masih sempat dia membuang
jelingan tajam kepada Izz untuk memberitahu yang dia tidak suka dengan apa yang
sedang berlaku.
Seperti biasa, Izz yang sudah terbiasa dengan jelingan itu hanya
membalasnya dengan senyuman.
Tania sudah tersenyum lebar melihat Amani yang sudah
melangkah keluar dari kereta. Dia terus mendekati Amani dan mencapai tangan
kanan Amani. “Jom!” dia mahu beriringan dengan Amani.
Terus Amani menarik tangannya dengan kasar. Amani
menjeling Tania dengan tajam. Kenapa Tania selalu melakukan begini kepadanya?
Tidak tahukah Tania yang dia tidak suka diperlakukan begitu? Amani terus
berjalan masuk ke dalam tanpa memperdulikan perasaan Tania yang kecewa dengan
sikapnya.
Dengan wajah yang sugul Tania memandang Izz. Izz hanya
menepuk-nepuk bahu Tania seakan memujuknya. Kemudian, Izz meneruskan langkah
dan Tania mengekori di belakang.
Di bahagian hadapan gedung itu sudah kelihatan baju-baju
sekolah yang tergantung. Tania terus menghampiri bahagian itu. Dia sudah
berlari-lari anak memotong langkah Amani.
"Kak! Mari sini" Tania sudah melambai-lambai pada Amani dengan
senyuman yang ceria. Bagaikan dialah yang sebenarnya mahu membelikan pakaian
itu.
Amani hanya memerhatikan Tania. Seragam-seragam sekolah yang masih
baru itu langsung tidak menarik perhatiannya. Dia terus berjalan melepasi Tania
dan menuju ke bahagian buku dan peralatan tulis.
Izz memandang Tania yang sudah menarik muncung panjangnya. “Tania
jangan sedih dengan Amani ya. Tania tahukan perangai dia. Tapi,
sekurang-kurangnya, dia ikut kita ke sini. Biar saya pergi pujuk dia.”
Tania sudah menarik nafas panjang. Dia mengukirkan senyuman buat
Izz. “Abang Izz pujuk Amani, biar Tania pilih baju untuk Kak Amani.”
Izz mengangguk. “Tania jangan ke mana-mana tau! Tania tunggu sini.
Biar saya tengokkan Amani." Izz terus hilang ke ruangannya buku.
Tania terus membelek baju-baju di situ. Dari menunggu Amani, lebih
baik dia yang membelikan seragam buat Amani. Lagi pun, dia tak perlukan Amani
untuk mengukur badan. Saiz badan mereka berdua lebih kurang sama.
Mata Izz meliar mencari kelibat Amani. Amani berjalan begitu
pantas, hingga dia hilang jejak Amani. Dari satu lorong ke satu lorong Izz
mencari Amani. Akhirnya, apabila sampai ke lorong yang menempatkan buku-buku
rujukan, pencariannya berakhir apabila kelibat Amani sedang tegak berdiri di
situ.
Izz menarik nafas lega lalu mendekati Amani dan berdiri di
sebelahnya. "Kita pilih baju dulu, kemudian beg sekolah dan peralatan
tulis. Jika ada baki wang nanti, kita beli buku rujukan, boleh?" Itulah
arahan yang diberikan Tuan Helmi padanya.
Amani memandang Izz. "Saya tak perlukan semua tu. Semua
barang-barang Tania masih elok dan boleh dipakai,” tegas Amani.
“Tapi, ini arahan Tuan Helmi. Kalau awak perlukan buku rujukan,
saya akan beritahu Tuan Helmi.”
“Awak akan buat hutang saya semakin bertambah.” Amani mengerling
Izz dengan tajam.
Izz menarik nafas panjang. Susah betul berhadapan dengan Amani.
Degil!
"Wang yang Tuan Helmi berikan pada awak, saya boleh gunakan
untuk beli buku."
Izz diam seketika. "Tapi, buku rujukan Tania dah banyak. Awak
boleh gunakan buku Tania."
"Saya tahu. Tapi, tak semua buku rujukan Tania ada. Ada
setengahnya, sukar untuk difahami." Sebenarnya, Tania telah memberikan
keizinan padanya untuk melihat buku-buku rujukan di kamarnya untuk dia
mengulangkaji pelajaran yang telah lama ditinggalkan. Namun, kebanyakkan
buku-buku rujukan Tania sukar untuk difahami. Kerana, buku-buku itu tidak
tertulis dalam bentuk yang ringkas dan terlalu banyak perkara yang dikembangkan
termasuklah perkara-perkara yang kurang penting.
"Maksud awak?" Tanya Izz. Kebanyakkan dari buku-buku
Tania juga adalah dari peninggalan buku-bukunya ketika dia masih bersekolah
menengah.
Amani mengerling Izz. "Saya mahukan buku yang ringkas dan
padat untuk difahami. Buku-buku Tania penerangannya semua panjang berjela.
Susah untuk difahami." Amani memusingkan tubuhnya memandang Izz.
"Saya percaya Tuan Helmi takkan marah kalau awak gunakan wang yang dia
beri untuk membeli buku buat saya."
Izz diam seketika. Akhirnya, dia mengukirkan senyuman lalu
mengangguk menyetujui permintaan Amani. “Baiklah, saya akan terangkan kepada
Tuan Helmi.”
Melihat anggukkan itu, Amani terus membelek-belek buku-buku
rujukan yang dimahukannya. Izz hanya memerhatikan tingkah Amani dengan penuh
minat. Kebanyakkan buku-buku yang Amani ambil hanya merumuskan setiap bab dalam
bentuk point. Lebih banyak fakta berbanding rumusan yang terlalu panjang.
"Awak pasti awak lebih faham dengan bentuk buku sebegini.
Tanpa rumusan dengan mendalam dan terperinci?" Soal Izz.
Amani memandang Izz dengan kerlingannya. Tumpuannya untuk memilih
buku rujukan terganggu dengan suara Izz. "Buku rujukan adalah buku ringkas
untuk dirujuk. Bukan novel yang perlu cerita yang berjela!" Perlahan namun
nada Amani tetap keras.
“Novel?” Agak kelakar apabila Amani berkata tentang novel. “Awak
tahu apa tu novel?”
Izz hanya tersenyum.
Dahi Amani berkerut memandang Izz. Kenapa Izz ketawa?
“Saya ingatkan awak tak tahu tentang novel,” tambah Izz.
Amani menunduk memandang buku rujukan di tangannya.
Sebelum ini, dia memang tidak tahu apa itu novel. Kebetulan, ketika dia
meminjam buku rujukan Tania, dia melihat banyak buku-buku cinta di rak buku
Tania. Dari situlah dia tahu, buku cerita sebegitu dinamakan sebagai novel.
Bagaimanalah dia bisa tahu jika selama ini nak memiliki buku tulis sahaja pun,
dia perlu mengikat perutnya.
“Kenapa awak biarkan Tania baca buku sebegitu?” tanya
Amani tanpa memandang Izz.
“Uh?” Kenapa Amani perlu bertanya kepadanya? Bukan haknya
untuk menentukan buku apa yang perlu dibaca Tania.
“Awak penjaga dia, kan? Tuan Helmi amanahkan awak untuk
menjaga Tania.” Bagaikan mengetahui apa yang tersirat di balik renungan Izz,
Amani menjelaskan maksudnya.
Izz tersenyum. “Kenapa? Salahkah Tania minat membaca
novel?”
Amani berbalas pandangan dengan Izz. “Novel cinta hanya
melalaikan. Kehidupan sebenar bukan sekadar cinta.”
Izz menjongketkan keningnya. Amani memang agak pesimis bila bercakap tentang cinta dan
kasih sayang. “Dalam novel, memang tak ada subjek pelajaran di sekolah.
Walaupun sedikit melalaikan, namun novel mengajar subjek kehidupan.”
“Subjek
kehidupan? Tentang cinta?” Amani ketawa sinis.
Izz
mengangguk. “Ya, cinta. Tapi, tak semua novel berkisarkan cinta. Banyak juga
cerita kehidupan yang boleh kita ambil iktibar darinya.”
Amani
hanya menggelengkan kepala. Subjek kehidupan yang berteraskan cinta? Kenapa
mereka di luar sana hanya tahu membuatkan anak muda tenggelam dengan cinta? Tak
pernahkah kehidupan mereka terisi dengan sesuatu yang lebih bernilai selain
cinta?
“Novel
tak semestinya tentang cinta semata-mata. Ada sesetengah penulis, menulis
cerita berdasarkan pengalaman mereka. Ada juga kisah hidup yang berlaku di
sekeliling mereka. Tapi, cinta tetap diselitkan. Kerana kita tidak dapat lari
dari cinta.”
Amani
menutup buku rujukan di tangannya. “Tapi, novel dalam bilik Amani semuanya
berkisarkan cinta semata-mata. Awak patut pantau apa yang dibacanya.” Dia telah
melihat dan membelek satu persatu buku-buku novel yang ada di situ. “Semuanya
berkisarkan cerita cinta yang ringan. Tak ada cerita yang berkaitan dengan
pengalaman hidup melainkan cinta semata-mata.”
Izz
memandang Amani. Amani kelihatan serius dengan kata-katanya. Apakah kata-kata
Amani ini menunjukkan yang dia mengambil berat tentang Tania?
“Mungkin
awak yang patut pantau Tania.”
Amani
melirik Izz.
“Dia
lebih dekat dengan awak. Awak lebih tahu apa yang dilakukannya. Saya tak ada
dengan Tania 24 jam. Tapi, dia ada dengan awak sepanjang masa.”
Amani
membisu. Kata-kata Izz tidak di balas. Dia menyusun buku-buku yang telah
dipilihnya lalu diserahkan kepada Izz. "Cukup
tak dengan wang yang Tuan Helmi berikan?" Tanya Amani.
Izz mula menghitung harga setiap buku. "Lebih dari
cukup. Masih ada baki," ujar Izz. "Kita boleh beli baju baru untuk
awak."
"Tak perlu! Sekarang-kurangnya, mak saya tak perlu membayar
wang yang banyak untuk Tuan Helmi."
“Baiklah.” Izz mengangguk setuju.
Kemudian, Izz dan Amani berjalan ke kaunter pembayaran. Setelah
itu, mereka menghampiri Tania yang sudah bersedia menunggu di ruang hadapan.
Melihat kelibat Izz dan Amani, wajah Tania berubah ceria. Dia
melambai-lambai ke arah mereka. Izz tersenyum melihat tingkah Tania. Seperti
biasa, Amani hanya memandang Tania tanpa perasaan.
"Kakak, tengoklah! Tania belikan baju baru untuk kakak"
Tania menunjukkan plastik beg yang sudah berisi pakaian sekolah buat Amani.
Riak wajah Amani serta merta berubah. "Kau dah buat hutang
aku bertambah!" Baru dia mahu meringankan tugas Zaiton. Sudahlah dia tidak
dibenarkan bekerja, Tania telah menambahkan pula hutangnya.
Tania terkedu di situ. Niat baiknya tidak dihargai Amani.
"Ini Tania beli dengan wang Tania, bukan wang papa. In bukan hutang. Kakak
tak perlu bayar," ujar Tania dengan rasa terkilan.
"Apa yang buat kau rasa aku akan terima pemberian orang
dengan percuma?" Amani mendengus kecil lalu berjalan keluar.
Tania tertunduk. Sebak hatinya dengan sikap Amani.
Izz memandang Tania dengan rasa kasihan. "Tak mengapalah
Tania. Jangan ambil hati sangat. Tania kan tahu bagaimana sikap Amani. Tania
gunakan sahaja seragam tu untuk Tania." Dengan kelembutan suaranya, Izz
cuba memujuk Tania.
“Tapi, Tania beli untuk Amani. Baju seragam Tania dah banyak!”
Izz mengetap bibir. Dia berfikir seketika. “Apa kata, Tania beri
kepada Makcik Zaiton."
Tiba-tiba sahaja wajah Tania berubah ceria. Dia memandang Izz. Izz
benar, kalau dia memberikan baju itu kepada Zaiton, pasti Amani diminta agar
mengambilnya.
"Jom kita balik." Senang hati Izz melihat senyuman di
wajah Tania semula.
-----------------------@@-------------
Maaf ya jika ulasan saya tidak membina.kenapa jalan cerita ini sama dgn cerita korea yang pernah ditayangkan di tv2.dlm cerita korea tu nanti ibu amani akan kahwin dgn tn.helmi dan amani tetap dgn perangainya.memang sama. Dari awal hingga akhir
ReplyDeletetidak mengapa...saya tidak berkecik hati dengan komen anda. komen anda juga adalah komen yang mmebina. sekurang-kurangnya, saya dapat meneliti kembali jalan cerita SS.
DeleteOkey, biar saya jelaskan di sini. mungkin anda tidak mengikuti jalan cerita SS dari awal.
Sebenarnya, cerita ini asalanya bertajuk LUKISAN CINTA> cerita ini saya tulis adaptasi dari drama korea-cinderella stepsister (ketika ini niat saya menulis hanya untuk post di blog sahaja). Hanya saya mahu menyelitkan sedikit tentang perihal AGAMA di dalamnya, khusus buat pembaca yang kebanyakkannya berbangsa melayu dan beragama Islam.
Kemudian, setelah saya menerima pelbagai komen dan cadangan. saya meneliti semula karya ini. setelah itu, saya mengubah semula jalan ceritanya tanpa melibatkan langsung drama korea itu. jika anda perhatikan dalam salah satu N3, saya ada memberitahu yang saya telah mengubah semua jalan ceritanya. hanya yang kekal adalah watak di dalam ceita ini. khususnya watak amani, Izz, Tuan Helmi dan Zaiton.
jika anda perhatikan dengan teliti dan bandingkan antara kedua cerita ini, jalan ceritanya tidak sama. hanya emosi di dalam watak adalah sama.
(SAYA PECAHKAN SEDIKIT SEDUTAN AKAN DATANG KHAS UNTUK ANDA)
Untuk pengetahuan anda, Tuan helmi dan Zaiton tidka akan berkahwin. Namun, bagaimana mereka berdua (amani dan Tania) menjadi adik beradik tiri jika tidak berkahwin? ini semua akan saya jelaskan pada N3-N3 yang akan datang.
saya akan dedahkanm satu persatu rahsia yang tersimpan antara Tuan Helmi dan Zaiton.
Bagaimanapun, saya akan mencari semula drama korea ini dan menontonnya dan membandingkan dengan karya saya kerana saya tak mahu ada persamaan antara kedua cerita ini. sebenarnya, saya sendiri terlupa dengan jalan cerita drama korea ini.
P/S: terima kasih dengan komen anda. jika anda terjumpa apa-apa lagi yang menyamai dengan karya ini, harap anda boleh memberi balasan kepada saya ya. saya juga tidak mahu karya saya mempunyai persamaa dan mengikuti dengan cerita lain memandangkan saya sudah menulis semula cerita ini.
terima kasih ya....@emmarusdi/PSB
ish arap2 tn helmi xbkwen ngn zaiton...huhu
ReplyDelete(^_^)-emmarusdi/PSB
Delete