Assalamualaikum semua....sebelum anda scroll di bawah untuk baca sambungan RHSPA...minta anda baca info di sebelah kiri dulu ya....terima kasih semua ya....
--------@@--------
AUDRA yang sedang termenung di pangkin, memandang jauh kelibat yang masih bersila di beranda. Ketika ini, Pak Aji, Mak Aji, Zack dan Along sedang berbual di serambi. Entah apa yang dibincangkan mereka. Tetapi kelihatannya begitu serius. Sehingga anak-anak dilarang untuk mencampuri perbincangan mereka. Iman sudah dibawa oleh Apit ke rumah Miza. Mulanya, dia juga mahu mengikut mereka. Tetapi Pak Aji tidak membenarkan.
Audra melirik lagi kumpulan
yang sedang bersila di serambi itu. Dia pun tidak pasti mengapa dia perlu
dipulaukan. Bukan sahaja Pak Aji tidak membenarkan dia menyertai mereka tetapi
dia juga tak dibenarkan mengikut Apit. Dia bukan anak kecil seperti Iman atau
remaja seperti Apit. Kalau benar dia tidak diperlukan, mengapa Pak Aji mahu dia
menunggu di situ?
Dia memerhatikan satu
persatu wajah-wajah yang serius di depannya dari jauh. Lalu, pandangannya
terhenti pada wajah Zack. Dia memerhatikan wajah itu, lama. Dia sendiri pun
tidak tahu mengapa dia bersikap dingin dengan Zack. Sedangkan, Zack langsung
tak punya apa-apa kesalahan padanya. Kalau ada pun, dia yang bersalah kepada Zack
kerana pernah mencederakan lelaki itu.
Mungkin rasa malu yang menebal pada lelaki itu menyebabkan dia
bersikap begitu. Dia malu apabila mengenangkan perbuatannya pada Zack pada
pertemuan pertama mereka. Dia malu apabila Zack menjadi lelaki yang ditunggu-tunggunya
selama ini. Iaitu, lelaki yang telah berjaya membuatkan jantungnya berhenti
berdegup. Dia malu, apabila mengenangkan dirinya jatuh dan menjadi separa sedar
kerana Zack. Dia malu apabila mengetahui orang yang berbual dengannya dan
menjadi anak angkat keluarganya adalah Zack.
“Ara!” suara abah yang menjerit memanggilnya membuatkan fikirannya
kembali terbang ke alam nyata.
Audra mendongak memandang abah yang sudah melambai-lambai
tangannya pada Audra. Audra bangun dari pankin dan terus ke serambi. Kelibat
Zack sudah hilang dari situ.
“Mari!” Pak Aji memberi isyarat agar Audra duduk di hadapannya.
Dada Audra sudah berdegup kencang. Ada apa sebenarnya? Kenapa dia
perlu duduk berhadapan dengan Pak Aji, Mak Aji dan Along? Firasatnya mengatakan
ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba sahaja dia merasakan seperti seorang
pesalah yang sedang menanti hukumannya.
Pak Aji menarik nafas panjang sebelum membuka mulutnya. “Abah
tahu, Ara baru habis belajar. Ara pun baru dapat kerja. Tapi, tujuan hidup kita
di sini bukan sekadar dunia. Tujuan hidup kita juga adalah persediaan ke alam
akhirat.” Pak Aji memulakan bicaranya.
Audra melirik Pak Aji seketika lalu menundukkan wajahnya. Air
liurnya ditelan. Abah memulakan kata-katanya dengan topik yang serius. Pasti
tujuannya juga serius. Debaran di dadanya semakin kencang. Dia melirik Mak Aji
dan Along. Tapi, kenapa wajah Along dan mak berseri dengan senyuman?
“Hidup kita takkan sempurna jika kita masih belum berumahtangga.
Berkahwin dan mempunyai keluarga adalah sebahagian dari sunnah Rasulullah
s.a.w,” sambung Pak Aji lagi.
Mata Audra terus membulat. Abah berbicara soal kahwin? Semakin
laju debaran di dada Audra. Dia sudah merasakan sesuatu yang kurang enak dari
ayat Pak Aji. Tetapi dia tetap membisu, membenarkan Pak Aji untuk menjelaskan
lebih lanjut.
“Ara sudah mendapat pinangan,” beritahu Pak Aji.
Jangkaannya benar. Audra terus melangut memandang Pak Aji. “Dari
siapa?” soal Audra dengan pantas. Encik Zack? Tak mungkin! Tapi, hanya lelaki
itu yang berada di sini.
“Dari Syed Zikri,” ujar Pak Aji bersama satu hembusan nafas.
Pandangannya jatuh pada wajah Audra.
Mak Aji dan Along sudah berpandangan. Sebenarnya, mereka telah
mengetahui hal sebenarnya tentang diri Zack. Malah, mereka sendiri tidak bersetuju
dengan cara Zack lakukan untuk mengenali Audra. Setelah berbincang dengan lebih
serius, maka Zack terus menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Audra.
Namun, Zack meminta masa kepada mereka untuk berterus terang tentang perkara
yang sebenarnya kepada Audra.
“Syed Zikri?!” Audra sudah ternganga luas. Benarkah apa yang di
dengar? Macam mana Syed Zikri boleh menghantar pinangan sedangkan mereka langsung
tak pernah bertentang mata? “Tak mungkin!”
“Mengapa pulak?” Dahi Mak Aji sudah berkerut. “Syed Zikri itukan
majikan Ara?” ujar Mak Aji lagi.
“Ya, tapi,” Audra masih tidak dapat menerima apa yang sedang
terjadi. Bagaimana Tuan Syed Zikri boleh meminangnya? Tak masuk akal!
“Mungkin cinta pandang pertama agaknya,” usik Along.
“Tak mungkin cinta pandang pertama! Kami tak pernah berjumpa walau
sekali pun!” ujar Audra. Tak ada istilah pandang pertama dalam hubungannya
dengan Tuan Syed Zikri. “Ara tak boleh terima pinangan ni!” Laju Audra membuat
keputusan.
Along menjongketkan keningnya. Betul jugak! Ara memang tak pernah
kenal siapa Syed Zikri. Dia menggosokkan dagunya.
“Ara sudah ada pilihan lain?” tanya Pak Aji seraya memandang
Audra.
Tiba-tiba sahaja wajah Zack muncul dalam ingatan Audra. “Tak,”
jawab Audra perlahan. “Tapi, Ara tak boleh terima semua ni.” Tegas Audra lagi. “Encik Zack menjadi
wakil bagi Syed Zikri?” tanya Audra kepada Pak Aji. Siapa lagi yang ada jika
bukan Encik Zack? Bukankah lelaki itu adalah orang kepercayaan Syed Zikri?
Audra mengeluh.
Pak Aji menganggukkan kepala. “Beginilah,” ujar Pak Aji
kemudiannya. “Simpan saja keputusan Ara dulu sehingga Ara benar-benar pasti.
Pulang ke Pulau Pinang dan cuba mengenali Syed Zikri dengan baik. Setelah itu,
baharulah Ara buat keputusan,” putus Pak Aji.
Audra terdiam. Dia tidak mahu mengenali Syed Zikri dengan baik. Apatah
lagi, Syed Zikri sendiri menjauhinya!
“Kenapa Ara tak pernah beritahu kami yang Ara kenal dengan Zack?”
soalan Mak Aji membuatkan pandangan mata Audra beralih kepadanya. Kemudian, dia tertunduk diam
di situ.
“Patutlah Ara lain macam je bila Zack ada!” ujar Along.
“Jangan-jangan Ara memang dah janji nak jumpa dengan Zack di sini tak?” Along sudah mengiku Audra
untuk mengusiknya.
“Along ni! Pandai-pandai je!” Audra sudah menjegilkan
matanya memandang Along.
“Ara nak tolak Syed Zikri sebab Zack?” Along bertanya lagi. Sengaja dia bertanya
begitu untuk mengetahui perasaan Audra terhadap Zack. “Zack pun nampak baik
orangnya. Apa salahnya jika Ara pilih Zack,” usul Along. Walaupun Zack lebih tua
tujuh tahun darinya, namun dia lebih selesa memanggil Zack tanpa perkataan
‘abang’ di depan. Apatah lagi bila mengetahui perasaan Zack terhadap Audra.
“Along!” Wajah Audra sudah memerah. Paha Along dicubitnya.
“Auh….” Along menggosok-gosok pahanya yang kepedihan. “Sakitlah!”
“Along jangan pandai-pandai ek! Encik Zack sendiri tak pernah
cakap apa-apa!” Dia menjeling geram. Wajahnya memerah kerana malu. “Ara dengan Encik Zack
tak ada apa-apalah! Ara pun tak tahu yang Encik Zack tu anak angkat abah dan
mak. Tiba-tiba aje sampai di kampung, jumpa dengan Encik Zack,” jelas Audra.
“Ara tu yang terlalu berahsia. Kenapa tak beritahu Ara kenal
dengan Zack dari awal lagi?” tanya Along.
“Sudah! Sudah!” Mak Aji bersuara. Tergeleng kepalanya dengan sikap
Along dan Audra. Masing-masing dah dewasa tapi ada masanya masih bersikap keanak-anakkan.
Kepala Pak Aji juga tergeleng melihat anak-anaknya. Kemudian, satu
nafas perlahan dilepaskan. Zack telah menceritakan segala-galanya dari mula dia
datang ke kampung sehinggalah pada hari ini. Dia langsung tak bersetuju dengan
tindakan Zack. Sepatutnya dari awal lagi, Zack tidak melakukan perkara
sebegini. Tapi, perkara dah berlaku. Jadi, dibiarkan sahaja Zack yang mencari
jalan penyelesaiannya. Dia kenal benar sikap Audra. Pantang sungguh anak
gadisnya itu jika dibohongi.
“Begini sahajalah Ara,” Pak Aji bersuara semula. “Apakata Ara
tanya sendiri dengan Zack. Minta penjelasan darinya.” Pak Aji mencapai secawan
teh o di hadapannya dan menghirupnya perlahan. Tekaknya terasa lega apabila
kepanasan teh o itu melalui anak tekaknya. Namun, kelegaan itu tidak berakhir
apabila mengenangkan penerimaan Audra jika dia telah mengetahui perkara yang
sebenarnya tentang Zack.
Audra melirik Pak Aji. Betul jugak! “Mana Encik Zack?” Kepala
Audra sudah terjengul ke dalam mencari Zack. Jiwanya yang keresahan
menuntut jawapan dari lelaki itu.
“Dia dah pergi rumah Pak Abu,” balas Pak Aji.
Audra mengetap bibir. “Ara nak minta izin abah dan mak, Ara nak
pergi jumpa dengan Encik Zack,” pintanya.
Pak Aji diam seketika. Agak lama dia membisu begitu. Kemudian, dia
memandang wajah Audra. “Esok pagi sajalah. Dah malam sangat ni. Karang, timbul
pulak fitnah pada kamu berdua.” Kegusaran Pak Aji ada benarnya. Tak mungkin dia
membenarkan anak daranya berjumpa dengan seorang lelaki ajnabi di waktu malam
sebegini.
“Along!” Satu panggilan dari Apit membuatkan mereka semua
memandangnya. Kelihatan Apit sedang menggendong Iman yang sudah terlena. Di
belakangnya, berdiri Zack yang sedang menjinjit dua kampit guni.
--------@@-----
-------@@-----
“Laa, dah tidur anak aku.” Along mendekati Apit, lalu mengambil Iman dari gendongan Apit dan terus menghilang ke dalam.
--------@@-----
-------@@-----
“Laa, dah tidur anak aku.” Along mendekati Apit, lalu mengambil Iman dari gendongan Apit dan terus menghilang ke dalam.
Langkah kaki Zack terhenti di situ. Dia memandang Audra yang turut
memandangnya. Pandangan mereka bertaut seketika. Apakah luahan hatinya telah disampaikan
oleh Pak Aji? Apakah reaksi Audra apabila mendapat pinangan dari Syed Zikri?
“Apa tu, Zack?” tanya Mak Aji sambil pandangannya terhala kepada
dua kampit guni di tangan Zack. Suara Mak Aji mengejutkan Zack, lantas
pandangannya beralih memandang Mak Aji.
“Ini, buah rambutan dan manggis. Pak Abu beri,” kata Zack. Terus kampit guni itu
diserahkan kepada Mak Aji. Dua kampit guni itu beralih tangan. Mak Aji
meletakkan kampit guni ke lantai dan membuka ikatannya. Wajah Mak Aji bertukar
ceria apabila melihat buah-buahan itu.
“Wah! Banyaknya!” Mak Aji memandang Zack. “Menjadi tanaman Pak Abu
kali ni, ya! Sampaikan ucapan terima kasih kepada Pak Abu ya,” pesannya.
“In Sha Allah, mak.” Zack menganggukkan kepala.
“In Sha Allah, mak.” Zack menganggukkan kepala.
“Apit, bantu mak bawa semua ni ke belakang,” arah Mak Aji.
Tanpa banyak soal, Apit membawa buah-buahan itu masuk kedalam. Mak
Aji membontotinya di belakang. Kini, tinggallah Pak Aji bersama Audra dan Zack.
Pak Aji memandang mereka berdua. “Alang-alang dah kamu berdua ada
di sini, baik kita berbincang,” ujarnya sambil memandang Zack. “Mari Zack!”
panggilnya. Zack mengambil tempat di samping Pak Aji. Audra masih dengan
kedudukannya iaitu di hadapan Pak Aji.
“Apa yang kamu mahu katakan pada Zack?” soal Pak Aji kepada Audra.
Audra tertunduk. Memang dia mahu bertentang mata dengan Zack.
Banyak soalan yang mahu ditanyakan kepada lelaki itu. Tetapi bukan di depan
abahnya sendiri. Kalau dalam keadaan sekarang, tentu sahaja lidahnya kelu untuk
berbicara.
Melihatkan Audra yang terus tertunduk membuatkan Zack merasa
bersalah. Dia melirik pada Pak Aji seketika. Pak Aji memberikan isyarat agar
dia memulakan bicara. Zack mengancing giginya. Walaupun Pak Aji tidak menyukai
caranya, mujurlah Pak Aji masih bertimbang rasa. Pak Aji mahu dia menyelesaikan
segera masalah ini dengan Audra dan Pak Aji tak mahu Audra terus-menerus di
tipu dengan menyamar diri seperti ini.
“Sebenarnya, Audra. Syed Zikri dah lama sukakan awak. Sejak dari
hari pertama dia berjumpa dengan awak,” kata Zack.
Audra mengangkat kepalanya dan memandang Zack. “Apa Encik Zack cakap
ni? Saya tak pernah jumpa dengan Syed Zikri!” bantah Audra. Dia melirik Pak Aji
seketika kemudian dia kembali menundukkan pandangan matanya.
Zack terdiam. Memang dia perlu jelaskan pada Audra mengenai
kedudukan yang sebenarnya. Tapi bukan dalam keadaan mendesak begini. Biarlah
dia mencari jalan agar semuanya berakhir dengan sempurna. Kalau dia berterus
terang begini, Audra akan semakin membenci padanya.
Bagaikan memahami keberatan Zack untuk meluahkan kata, maka Pak
Aji menepuk-nepuk belakang tubuh lelaki itu. Dia tahu, Zack perlukan waktu
untuk meleraikan semuanya secara perlahan. Perkara begini tidak boleh
dinyatakan terus kepada Audra.
“Beginilah, perkara begini perlu diselesaikan secara berperingkat
dan lebih tersusun,” Pak Aji cuba berkias kepada Zack. “Ara, Ara pulang ke
Pulau Pinang dan cuba kenali dahulu siapa Syed Zikri yang sebenarnya. Lagipun,
perkara ni bukan satu paksaan buat Ara, kan?” Pak Aji melirik kepada Zack
menandakan persoalan itu sebenarnya ditujukan kepada Zack.
Zack yang mengerti soalan itu sebenarnya ditujukan untuknya hanya
menganggukkan kepalanya. “Ya, Audra. Ini bukan satu paksaan. Audra berhak
membuat keputusan. Tapi, berilah peluang pada diri Audra dan Syed Zikri untuk mengenali
antara satu sama lain,” ujarnya seakan merayu.
Audra menjeling Zack. Patutkah Encik Zack berkata begitu?
Berhakkah dia? Dia cuma anak angkat sahaja di sini. Zack tak berhak untuk masuk
campur urusannya dan menasihatinya. Apa yang perlu dijelaskan adalah tindakan
yang telah dilakukan oleh Syed Zikri!
“Cuba awak jelaskan, bagaimana Syed Zikri boleh lakukan ini semua?
Awak tak tahu yang keluarga saya adalah keluarga angkat awak. Pertemuan kita di
sini juga satu kebetulan. Jadi, bagaimana awak boleh sampaikan hasrat Syed Zikri?” Tiba-tiba
sahaja Audra meluahkan soalan yang ditakuti Zack. Namun, Zack telah pun menyiapkan
jawapan itu seandainya Audra bertanya.
“Sebenarnya, Tuan Syed dah lama minta saya merisik awak sejak dari
hari pertama dia mengenali awak. Dah kebetulan bila saya datang sini dan dapati
awak adalah anak kepada keluarga angkat saya, jadi saya ambil kesempatan ni
untuk luahkan hasrat Tuan Syed kepada keluarga awak,” dalih Zack.
Pak Aji hanya menggelengkan kepalanya mendengar jawapan Zack.
Lebih banyak pertanyaan dari Audra lebih banyak jawapan pembohongan yang akan
diberikan Zack.
“Sudah-sudahlah tu,” Pak Aji menepuk paha Zack agar mendiamkan
diri. Satu keluhan dilepaskan. “Begini, Ara pulang dahulu ke sana dan
selesaikan perkara ini dengan Syed Zikri perlahan-lahan. Jangan cepat melata
dan jangan terlalu cepat membuat keputusan,” Pak Aji mengulangi lagi
nasihat yang sama.
Cepat melata? Audra melopong. Tahukah abah bukan mudah untuk
bertemu dengan Syed Zikri? Apatah lagi setiap setiap kali dia mahu bertemu
dengan lelaki itu, Zack yang akan mengambil alih tempatnya. Jadi, bagaimana dia
mahu selesaikan perkara ini?
Pak Aji memandang wajah Audra yang ternyata tidak berpuas hati
dengan kata-katanya. Sekali lagi Pak Aji mengeluh. Dia melirik Zack yang hanya
tertunduk. “Lupakan seketika hal ini untuk malam ini sehingga kamu berdua
pulang semula ke sana. Dan, apabila kamu berdua di tiba di sana nanti, tolong
selesaikan perkara ini sebelum semuanya menjadi lebih sukar,” katanya.
Mendengarkan arahan itu, kepala Zack semakin tertunduk. Dia tahu,
kata-kata itu lebih ditujukan untuknya. Semuanya berpunca dari dia. Jika dia
berada di tempat Pak Aji, dia juga tidak akan suka jika anak gadisnya dibohongi begitu.
“Audra, masuk ke dalam dan berehat,” suruh Pak Aji. Dengan wajah
yang membungkam Audra masuk ke dalam.
“Minum Zack,” Pak Aji memberikan secawan teh o
yang telah dituangnya ke dalam cawan yang masih kosong lalu diserahkan kepada
Zack. Zack menyambut dan hanya tersenyum kelat.
-------@@----
Terima kasih kepada semua yang membaca.... Untuk anda yang dah baca Info di sebelah kiri paling atas, saya minta tolong bantuan semua ya dalam proses menyiapkan manuskrip Senyumlah Sayang... ^^
-------@@----
Terima kasih kepada semua yang membaca.... Untuk anda yang dah baca Info di sebelah kiri paling atas, saya minta tolong bantuan semua ya dalam proses menyiapkan manuskrip Senyumlah Sayang... ^^
harap audra boleh menerima zack a.k.a syed zikri...sebak nya rasa
ReplyDelete