Assalamualaikum semua.......
Ada sesetangah pendapat mengatakan Zack akan mendesak Audra dari memberitahu siapa lelaki yang berjaya membuatkan jantungnya berhenti berdegup...Betul, memang ada part tu....Tapi N3nya belum sampai lagi ya....Anggap sahajalah Zack seorang lelaki yang cool dan akan mulakan langkah dengan perlahan dan tenang ya...hehehe....
Terima kasih ya...Enjoy Reading....
---------@@--------
MATA Audra terpaku kepada
susuk tubuh Zack dan Apit yang sedang memancing di sungai. Apit kelihatan
begitu mesra sekali dengan Zack. Entah kenapa dia terasa mahu mendekati mereka.
Perlahan-lahan dia berjalan agar kehadirannya tidak disedari. Sampai sahaja di
situ, Audra menjenguk ke dalam baldi.
“Banyak juga dapat ikan ya,” tanpa disedari Audra
bersuara.
“Oh mak!” Apit yang sememangnya terkejut dengan suara
yang tiba-tiba menyapa telinganya terus melompat masuk ke dalam sungai.
Zack menoleh memandang Audra yang sudah ternganga melihat
tingkah adiknya itu. Tiba-tiba sahaja Audra ketawa besar melihat Apit yang
sudah berada di dalam sungai.
“Ini akaklah! Bukan hantu!” Audra menyambung tawanya.
“Akak ni teruklah! Terkejut Apit. Ingatkan hantu tadi!”
jerit Apit yang sudah kebasahan. Semakin galak Audra ketawa melihat Apit. Zack
yang hanya memerhatikan tawa Audra itu tersenyum. Dia tidak pernah melihat
Audra ketawa begitu. Audra nampak lebih manis apabila tawanya itu datang dari
hati.
Audra yang masih ketawa terpandangkan Zack yang sedang
melihatnya. Lantas tawanya dimatikan. Satu jelingan dilemparkan kepada Zack.
Zack hanya menjongketkan keningnya. Dia ketawa kecil dengan sikap dingin yang
cuba ditunjukkan Audra kepadanya.
“Abang, Apit balik dululah. Nak ganti baju,” ujar Apit
yang sudah naik ke tebing.
“Pergilah. Abang tunggu di sini,” balas Zack.
“Tengok-tengokkan pancing Apit ya,” pesan Apit sebelum
menghilangkan diri bersama motorsikalnya. Melihat Apit yang sudah hilang, Audra
juga memusing tubuhnya untuk pergi dari situ.
“Audra,” panggil Zack. Audra menoleh. “Kita berbual
sekejap, boleh?” soal Zack.
Audra membisu. Dia masih berkira-kira patutkah dia
berbuat begitu? “Tentang apa ek?” soal Audra.
“Tentang kita,” kata Zack. Dia meletakkan batang
pancingnya di celahan batu lantas berdiri memandang Audra.
“Tentang kita?” Sebelah kening Audra sudah terjongket.
“Ada apa tentang kita?” tanya Audra lagi. Dia sudah memeluk tubuhnya dan
menjauhkan dirinya beberapa langkah dari Zack.
“Saya tahu awak marahkan saya tentang hutang ‘dendam’
yang saya katakan tempoh hari,” kata Zack. Audra masih membisu, menunggu
kata-kata Zack selanjutnya. “Saya hanya bergurau.”
Audra menjuihkan bibirnya. “Begitu Encik Zack kata
bergurau?” soalanya kembali. Kepalanya tergeleng-geleng. “Atau mungkin sebab
saya anak kepada Pak Aji dan Mak Aji telah mengubah dendam Encik Zack kepada
bergurau?” soal Audra yang masih belum mempercayai kata-kata Zack.
“Saya memang bergurau Audra. Saya tak maksudkan apa-apa,”
beritahu Zack lagi. “Lagipun, masa awak hantuk hidung saya tu, tak adalah
sampai dua hari berdarah. Lepas saya ke klinik, berehat sekejap, darah terus
berhenti.” Akhirnya, Zack berterus terang juga dengan perkara yang sebenarnya.
Terlopong Audra seketika. “Encik Zack bohong dengan
saya!” Wajah Audra sudah memerah. Tangannya sudah mengepal penumbuk.
“Saya minta maaf,” tulus dari hati Zack berkata begitu.
Maaf? Terkedu Audra di situ. Tangannya yang mengepal
penumbuk, terbuka dengan sendirinya. Satu ayat yang begitu ringkas namun
kedengaran begitu jujur sehingga merungkaikan relung-relung kemarahan dalam
dirinya.
“Tak mengapalah kalau begitu,” ujar Audra. Zack
tersenyum. Mereka diam seketika.
“Encik Zack, macam mana Encik Zack boleh rapat dengan
keluarga saya?” soal Audra. “Maksud saya…saya tahu, Encik Zack kenal dengan
keluarga saya secara kebetulan. Tapi, macam mana Encik Zack boleh terus rapat
dengan keluarga saya?” soal audra. Dia memang mahu tahu, kenapa Zack masih
terus bertandang ke kampungnya sejak pertama kali berkenalan dengan mereka.
“Sebab yang pertama, saya sukakan kampung ni dan saya
suka orang kampung di sini. Sebab kedua, saya sayangkan keluarga awak. Pertama
kali datang ke sini, abah, mak dan Apit layan saya dengan baik sekali. Dan
sekarang, saya dah semakin sayang dengan keluarga awak apabila kenal dengan
Iman,” Zack melabuhkan punggungnya di sebuah batu sambil memandang kepada Audra
yang masih lagi berdiri tegak di situ.
“Encik Zack sangat sayangkan Iman?” soal Audra. Namun,
soalan Audra itu sebenarnya tidak ditujukan kepada Zack melainkan sekadar untuk
dirinya sendiri.
Zack ketawa kecil mendengar soalan itu. “Mungkin bagi
awak pelik untuk saya, seorang lelaki bujang yang belum berkahwin dan punya
anak, menyayangi seorang anak kecil seperti Iman,” teka Zack. Audra mengangguk.
“Sebenarnya, saya ada dua orang anak angkat. Seorang
lelaki dan seorang perempuan,” beritahu Zack. “Aiman dan Ayla.” Terus terbayang
di ruang matanya wajah mereka berdua.
“Aiman dan Ayla?” Audra mengambil tempat duduk di sebuah
batu yang agak jauh sedikit dari Zack. “Di mana mereka sekarang?” tanya Audra
yang sudah penasaran.
Zack beralih memandang Audra. Dia tersenyum. “Ada. Cuma,
kesibukan saya membataskan saya berjumpa dengan mereka. Awak nak tengok gambar
mereka?” tanpa menunggu jawapan Audra, Zack mengeluarkan dompetnya. Sekeping
gambar Aiman dan Ayla dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Audra.
Audra menyambutnya. “Comelnya,” ujar Audra. Bibirnya
sudah menguntum dengan senyuman. “Macam mana Encik Zack kenal dengan mereka?”
tanya Audra. Gambar itu dihulurkan semula kepada Zack.
Zack menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan.
“Panjang ceritanya. Kisah hidup saya, tak banyak yang menggembirakan.” Zack
menarik rumput yang tumbuh di celahan batu. Jari jemarinya menyimpul rumput
itu.
Audra memerhatikan tingkah Zack. Zack tidak pernah
bersikap begini di hadapannya. “Encik Zack nak berkongsi cerita dengan saya?”
Entah mengapa laju sahaja mulutnya menuturkan kata.
Dek kerana terkejut dengan soalan Audra, pantas Zack
mengangkat wajahnya. “Awak nak dengar kisah hidup saya?” soal Zack kembali.
Audra mengetatkan bibir lalu mengangguk.
“Saya seorang anak tunggal. Saya ada ayah dan ibu yang
sangat menyayangi saya. Walaupun kami hidup serba kekurangan, namun kami sangat
bahagia. Sampailah suatu hari, arwah atuk saya datang kepada kami dan meminta
arwah ayah saya untuk kembali kepada keluarga mereka dengan syarat, arwah ayah
perlu tinggalkan arwah ibu,” Zack memulakan ceritanya.
Permulaan cerita Zack sudah membuatkan Audra berfikir
sendiri. Tentu sahaja ayah dan ibu Encik Zack berkahwin tanpa restu daripada
orang tuanya.
“Arwah ayah saya menolak. Ketika saya dua puluh tiga
tahun, ibu dan ayah saya meninggal dunia kerana kemalangan. Sepuluh tahun
selepas itu, baru saya dapat tahu yang kematian mereka berdua telah dirancang
oleh pakcik saya sendiri. Dan, sehingga hari ini pakcik saya masih menerima
hukuman kerana kesalahan itu,” cerita Zack dengan ringkas. Zack menarik nafas
yang panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.
“Kenapa pakcik Encik Zack lakukan perkara macam tu?” tanya
Audra. Sukar untuk dipercayai jika ahli keluarga sendiri bermusuhan.
Zack menjongketkan kedua-dua bahunya. “Masalah keluarga.
Susah untuk saya ceritakan puncanya,” kata Zack.
“Aiman dan Ayla?” Audra bertanya lagi.
Agak2nya Putera Arab tu boleh jadi begini tak? |
-------@@------
Zack mengetap kedua-dua bibirnya. “Saya pernah cintakan
seorang jururawat. Dan kebetulan, jururawat itu bekerja dengan pakcik saya
sebagai jururawat peribadi. Suhana namanya. Saya putuskan hubungan kami bila
saya dapat tahu dia mengandung. Setahun lepas tu, saya mengenali seorang lagi
gadis dan suka pada dia. Mengenali gadis yang kedua, mengingatkan saya kepada Suhana.
Rupa-rupanya, mereka berdua adalah adik beradik,” sambung Zack.
Tercengang Audra mendengar cerita Zack. Erk, Encik Zack
suka dengan dua orang adik beradik?
“Lepas tu, saya dapat tahu yang Suhana dah meninggal
ketika melahirkan anak sulungnya dan telah berkahwin dengan seorang lelaki.
Kemudian, bekas suami Suhana berkahwin dengan pula dengan adiknya dan menjaga
anak Suhana, Aiman.” Zack memandang Audra apabila gadis itu kelihatan mahu
bertanya sesuatu kepadanya.
“Jadi, Suhana mengandungkan anak siapa? Anak suaminya?”
soal Audra yang ingin tahu.
“Aiman itu adalah anak pakcik saya. Tapi, arwah Suhana
tak bersalah dalam hal ni. Dia hanya mangsa. Suami Suhana pula seorang lelaki
yang sangat baik kerana menerima Suhana dan membersihkan namanya. Saya sendiri
tak mampu untuk melakukan perkara itu.” Zack memicit dahinya yang mula
berdenyut apabila mengungkit kisah lalu.
“Alhamdulillah, lepas semua tragedi hitam yang berlaku,
pakcik saya telah pun menerima hukumannya.
Aiman pun dah dapat seorang adik, Ayla.” Zack memandang gambar mereka
berdua.
“Jadi, Aiman tu sepupu Encik Zack?” Audra bertanya untuk
lebih jelas. Zack mengangguk sambil menyimpan semula gambar Aiman dan Ayla.
Audra merapatkan lututnya dan meletakkan tangannya di
atas lutut. Kemudian, dagunya pula
diletakkan di atas tangannya. Kepalanya ligat memutarkan kembali cerita Zack.
“Saya cemburu dengan kamu Audra,” ujar Zack sehingga
membuatkan Audra memandang semula kepadanya. “Kamu ada keluarga yang sangat
bahagia. Hubungan kamu sangat mesra dengan Along dan Apit. Saya?” Zack menarik
nafas panjang.
Audra mengetap bibirnya. Ada rasa simpati terbit dari
hatinya. “Bagaimana dengan keluarga Aiman dan Ayla? Encik Zack rapat dengan
mereka?” tanya Audra.
“Hmmm,” Zack mengangguk tanpa berkata apa-apa. “Bila saya
lihat Iman, saya teringatkan mereka,” beritahu Zack.
Tiba-tiba sahaja mata Audra melihat batang pancing Zack
yang sedang bergoyang.
“Ada ikan!” jerit Audra.
Dengan pantas Zack memijak batu-batu untuk menghampiri
batang pancingnya. Lalu, dicapai batang pancing dan menariknya.
“Dapat ikan!” Audra bersorak gembira. Saat ini dia
terlupa bahawa orang yang bersamanya tatkala ini adalah Zack, bukan Apit.
Zack menoleh memandang
Audra yang sedang bersorak gembira. Mata mereka bertaut. Terus Audra
menghentikan sorakannya apabila menyedari sikapnya yang agak keterlaluan. Zack
hanya tersenyum lebar memandang wajah Audra yang sudah merah menahan malu.
Tanpa menunggu lebih lama,
Audra terus berlari pergi dari situ.
-------@@-----
Terima kasih kerana membaca ya. N3 kali ini ada flash back semula kisah hidup Zack...Kalau anda membaca novel kedua saya "TAKKAN PERNAH HILANG" tentu anda akan tahu kisah sebenar yang terjadi dalam hidup Zack....
Thx For Reading....
-----@@----
No comments:
Post a Comment