Thursday, 11 March 2010

Hanya Dia 17

BAB 17

ZACK masih termangu di situ. Sesekali dia mengambil fail lalu menyelaknya dan kemudian dia melemparkan fail itu semula apabila dia merasakan sukar untuk dia fokus dengan kerjanya. Setelah menenangkan diri, dia mencapai semula fail. Namun, apabila helaian demi helaian laporan diselak, fikirannya melayang semula menyebabkan dia meletak semula fail.
Semuanya serba tidak kena yang dirasakan. Apa yang berlegar-legar di kepalanya hanyalah amaran Fariz agar dia menjauhi Maisara.
“Sofea!” Akhirnya dia menekan punat interkom lalu memanggil Sofea. “Masuk sekejap!”
“Baik Encik Zack,” kedengaran suara Sofea membalas.
Tidak lama selepas itu, Sofea muncul di hadapan Zack setelah mengetuk pintu.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu Encik Zack?” tanyanya.
Zack yang sedang duduk di kerusi menundukkan kepala sambil memicit-micit dahinya seolah-olah sedang menahan sakit. Soalan Sofea dibiarkan berlalu.
Sofea tahu, Encik Zack sedang berhadapan dengan masalah. Sejak kedatangan Encik Fariz tempoh hari, emosi Encik Zack seakan-akan tidak stabil. Ada sahaja yang tidak kena di matanya sehingga membuatkan dia sentiasa marah-marah dengan pekerjanya walaupun untuk hal yang kecil sahaja.
Sofea mengeluh perlahan. Dia rindukan Encik Zack dahulu. Encik Zack yang sentiasa tenang dan bersopan dengan pekerjanya walaupun di saat mereka melakukan kesilapan.
“Saya nak awak ambil semua fail ni dan check semua costing,” arah Zack sambil kepalanya melangut memandang Sofea yang berdiri di depannya.
“Check costing?” Riak wajah Sofea yang menampakkan kerutan menunjukkan dia terkejut dengan arahan itu.
“Kenapa? Ada masalah?” Zack melemparkan pandangan tidak senang dengan reaksi Sofea.
“Tak.....tak.....Saya akan check semuanya secepat mungkin.” Bergegas Sofea mengumpul semua fail di atas meja Zack lalu meminta diri untuk menyambung semula kerjanya.
“Pastikan semuanya betul tanpa ada kesilapan,” Zack memberi arahan lagi. Sofea yang sedang memegang tombol pintu menganggukkan kepalanya sebelum hilang apabila pintu ditutup semula.
Sofea melepaskan keluhan apabila tiba di mejanya. Semua fail diletakkan di atas meja. Entahlah apa yang tak kena dengan Encik Zack.
Biasanya, selepas Amzar menyediakan laporan untuk semua costing dan dilampirkan dengan pesanan kerja, Encik Zack sendiri yang akan mengira semua total yang perlu dikeluarkan sebelum meluluskan amaunnya dan memasukkan semuanya dalam kredit akaun bulanan tanpa meminta Amzar yang melakukannya. Encik Zack memang seorang yang berhati-hati. Tapi.......
Sofea mengeluh sekali lagi. Kenapa agaknya Encik Zack jadi begini?

MAISARA melirik jam ditangan. Hampir waktu makan tengahari. Rasa culat pula hendak keluar makan memandangkan Hanum bercuti hari ini. Perutnya pula sedari tadi sudah mula ‘menyanyi’.
Akhirnya, dia hanya memesan makan tengaharinya kepada Nisa. Kemudian, mencapai suratkhabar dan menyelak satu-persatu halaman dan hanya membaca tajuknya sahaja. Namun, apabila ada tajuk yang menarik minatnya, baru dia akan membaca laporannya.

RUANGAN pejabat yang kelam dan gelap kerana semua pekerja telah keluar untuk makan tengahari. Zack yang kebetulan sedang berjalan menuju ke tandas melintasi meja Maisara dan dia terlihat ada cahaya di tempat itu. Cahaya itu tentu sahaja cahaya dari komputer Maisara. Menandakan penghuninya masih ada di situ.
Dia mengampiri meja Maisara. Memang benar, Maisara ada di situ dan sedang membaca surat khabar tanpa menyedari kehadirannya.
“Maisara,” tegur Zack perlahan.
Maisara yang sedang asyik membelek suratkhabar sedikit terkejut apabila mendengar suara yang menegur dibelakangnya. Walaupun tanpa melihat wajah, dia kenal empunya suara itu. Kerana itu pantas dia bangun dan memusing badannya.
“Encik Zack.....” Maisara mengukirkan senyuman. Dadanya berdegup kencang. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia merasakan Encik Zack seakan cuba mengelak dari bertembung dengannya. Dan apabila mereka bertembung, Encik Zack akan memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
Malah satu office juga sibuk bercerita tentang Encik Zack yang tiba-tiba berubah sikap. Encik Zack seorang yang lembut tetapi tegas telah berubah sikap menjadi bos yang pemarah. Mungkin Encik Zack sedang menghadapi masalah. Telah Maisara.
Maisara memerhati Zack yang berdiri di depannya. Kelihatan lelaki itu sedang memandang ke tempat lain seolah-olah sedang berfikir. Maisara masih setia menanti.
Zack yang masih tegak di situ masih berperang dengan dirinya sendiri. Sama ada terus pergi dari situ atau bertanya kepada Maisara untuk meleraikan segala kekusutan di kepalanya. Dia mengeluh seketika sambil sebelah tangannya mencekak pinggang.
Kemudian dia menarik nafas lalu memandang Maisara.
“Saya ada hal nak bincang dengan awak,” dia bersuara.
“Hal apa Encik Zack?”
“Jom! Masuk bilik saya. Rasanya tak elok di sini. Gelap.......dan cuma tinggal kita berdua......” Selepas berkata begitu Zack terus berlalu tanpa menunggu Maisara.
Maisara memerhati kelibat Zack yang sudah pun mengatur langkah ke dalam pejabatnya.
Ya......Di sini memang gelap dan cuma tinggal kita berdua......Tapi rasanya di dalam pejabat Encik Zack...........lebih bahaya!!
Walaupun dia merasa kurang selesa dengan arahan itu, namun dia tetap juga pergi ke pejabat Zack. Berkali-kali dia berpesan kepada dirinya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati.
“Duduk!” Arah Zack tanpa memandang wajah Maisara. Maisara menurut.
Zack menyandarkan tubuhnya lalu dia berpaling memandang Maisara. Dia merenung wajah di hadapannya. Asyik dan lama. Sehingga membuatkan Maisara menjadi tidak keruan dan wajahnya merona merah.
Zack tiba-tiba tersenyum apabila melihat tingkah Maisara yang seakan tidak betah dengan pandangannya.
“Sebenarnya..........saya ada hal peribadi nak bincang dengan awak,” Zack sudah memulakan intronya. Dia diam sekejap untuk mencari sedikit ketenangan.
“Hmmm......?” Maisara kelihatan tidak sabar apabila kata-kata Zack terhenti.
“Awak dah berpunya?” tanya Zack. Maisara kelihatan tercengang seketika dengan soalan itu. “Maaf kalau saya terlalu berterus-terang. Tapi saya betul-betul nak tahu!”
Maisara menggelengkan kepalanya. Melihatkan gelengan Maisara, Zack menghembuskan nafas kelegaan.
“Kalau begitu, apa hubungan awak dengan Encik Fariz?”
Maisara memandang Zack dengan kerutan di wajah. Encik Fariz? siapa Encik Fariz? Seingatnya, dalam Nusmefa Emas tiada seorang pun kakitangan yang bernama Encik Fariz.
“Encik Fariz?”
“Ya.....Encik Fariz. Pengarah Infera Emas!” ujar Zack.
“Saya tak kenal siapa pengarah Infera Emas,” beritahu Maisara. “Maksud saya, saya tahu Pengarah Infera Emas, namanya Fariz Haji Ismail. Tapi saya tak pernah bersua muka dengan dia.” Maisara menerangkan lagi.
Kini giliran Zack pula mengerutkan keningnya. Pening, itu yang dirasakan sekarang.
“Kalau awak tak kenal Encik Fariz, macam mana pula dia boleh bagi amaran pada saya supaya jauhi awak?!”
“What?!” Terkedu Maisara dengan soalan itu.
Fariz Haji Ismail?? Fariz??.......Hmmm.....Fariz...................Fariz!!!!
Kini Maisara mengerti siapa Fariz yang dimaksudkan Encik Zack. Fariz?! dia tidak menyangka selama ini Fariz adalah Pengarah Infera Emas. Dia tidak pernah tahu langsung tentang hal itu. Patutlah selama ini Fariz kelihatan cukup arif dengan selok belok Nusmefa Emas.
Dia yang bodoh sebab tidak pernah mengambil tahu hal sebegini. Ketika dia bersama Fariz dulu, dia hanya tahu Fariz bekerja dengan papanya. Dan Fariz tak banyak menceritakan hal keluarganya kepada Maisara ketika itu.
Dengan rasa terkejut, Maisara bangun untuk keluar dari pejabat Zack.
“Maisara nanti!!” Zack menghalang. Maisara menghentikan langkahnya lalu berpaling memandang Zack.
“Encik Fariz adalah abang ipar saya!” Setelah berkata begitu, pantas Maisara melangkah keluar.
Abang ipar????
Zack menghembus nafas kelegaan. Patutlah Fariz kelihatan tidak senang dengan hubungan mereka. Mungkin Fariz khuatir dia akan melukakan hati Masiara. Ya! Tentu niat Fariz baik. Sebagai seorang abang ipar, tentu Fariz akan menjaga adik iparnya sebagai seorang adik. Dia tentu akan menjaga keluarganya sebaik mungkin.
Begitulah telahan Zack.

Saat Hati Merelakan 37

NASIB Qismyna memang agak malang. Sebaik sahaja pulang dari bengkel, dia berjalan-jalan di Queensbay Mall untuk melepaskan marahnya pada Wes. Ketika dia berpusing-pusing di shopping kompleks itu, dia terserempak dengan Adam. Dia pura-pura tidak melihat lelaki itu dan dia fikirkan yang Adam tidak akan mengganggunya lagi setelah mengetahui statusnya.


Tetapi ramalannya salah sama sekali. Adam masih lagi cuba untuk mendekati dirinya. Kepala Qismyna berserabut. Dia penat memikirkan soal Wes dan ditambahkan lagi dengan Adam. Dia betul-betul rasa tertekan.

Tetapi ada baiknya dia bersemuka dengan Adam. Menyelesaikan masalah antara mereka. Cukuplah selepas itu dia memikirkan soal Wes. Dia tidak tahu apa yang tidak kena antara dia dan Wes. Dia rasa tertekan apabila melihat kemesraan Wes dan Farahymma.

Mereka duduk bertentangan di Starbuck sambil melihat pengunjung yang lalu lalang di situ.

“Now tell me.....is it true you are married?” Qismyna mengeluh sebelum menjawab pertanyaan Adam.

“Is it true you’re not marry yet?” tanya Qismyna tanpa menjawab soalan Wes.

“Takkanlah soalan dijawab dengan soalan,” Adam tersenyum memandang Qismyna.

Qismyna berasa tidak selesa bersama dengan Adam. Dia tidak pasti mengapa. Tapi hatinya seperti keberatan berada bersama dengan Adam. Tidak seperti hari-hari yang lain di mana dia sentiasa mengharap kehadiran lelaki itu bagi mengisi hari-harinya.

“Memang aku dah kahwin.” Qismyna mengiakan soalan Adam.

Adam mengetap bibir kemudian menguntumkan senyuman. Senyuman itu seperti tidak bermakna. Kini dia pasti Qismyna berkata benar. Dari tindak tanduk Qismyna dia dapat merasakan dirinya tidak lagi berada dalam hati Qismyna.

“Kenapa kau kecewa?” tanya Qismyna yang dapat membaca air muka Adam. “Kau ada Rina. Aku percaya Rina memang sayangkan kau.”

“Aku tak cintakan dia. Aku cuma cintakan kau.” Adam cuba meraih simpati Qismyna. Dalam diam dia mencapai tangan Qismyna dan menggenggam jari-jemarinya.

Pantas Qismyna menarik tangannya. Dia merasa jijik dengan sentuhan itu. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba perasaan benci muncul dalam dirinya untuk Adam. Sedangkan dia pernah mencintai lelaki itu dengan penuh perasaan.

“Adam.....tolonglah.....Tolong faham situasi aku. Aku dah bersuami,” Qismyna seakan merayu kepada Adam.

“Tapi aku terlalu cintakan kau. Aku tak cintakan Rina dan aku tak pernah cintakan dia,” rayu Adam lagi.

Tiba-tiba seseorang muncul dan menarik kerusi lalu duduk di antara mereka berdua. Maya terkejut dan Adam kelihatan kaget. Rina mengetap bibir memandang Adam. Adam hanya memalingkan wajahnya tanpa melihat Rina.

“Betul, Qismyna. Adam memang tak pernah cintakan aku. Walaupun kami dah mendirikan rumahtangga selama lima tahun. Setiap saat, setiap detik, dia hanya ingatkan kau.” Rina berkata tanpa melihat ke wajah Qismyna yang memandangnya. Ada getaran yang cuba ditahan dari suara seraknya.

“Apa kau buat kat sini Rina?” tanya Adam dengan kasar.

“Kau diam Adam! Ini antara aku dengan Qismyna.” Rina bersuara tegas. Adam menghembuskan nafas kurang senang dengan kehadiran Rina di situ. Qismyna hanya sekadar memerhati dan menunggu kata-kata selanjutnya dari Rina.

Rina membuka tas tangannya dan mengeluarkan beberapa kepingan gambar lalu menyerahkan ke tangan Qismyna. Adam ingin mengambil gambar-gambar itu tetapi dengan pantas Qismyna menepis.

“Kalau kau tak percaya......itu gambar perkahwinan aku dengan Adam.” Qismyna melihat satu persatu. Ya.....memang benar kata Rina. Mereka berdua telah pun berkahwin. Dan kata-kata Adam sebelum ini semuanya satu pembohongan. Tiba-tiba matanya terpaku pada sekeping gambar.

“Itu gambar anak-anak aku dengan Adam. Maya dan Qismyna. Nama mereka pun sempena dengan nama kau.” Rina mengetap bibir menahan hati yang terluka.

Qismyna benar-benar terperanjat dengan apa yang didengarnya. Adam memang keterlaluan!

“Sudahlah tu Rina. Tak payah kau nak minta simpati.” Adam merampas semua gambar-gambar itu dari tangan Qismyna.

“Aku bukan nak minta simpati Adam. Aku cuma nak bantu kau beritahu Qismyna betapa kau terlalu menyintai dia dan kau tak boleh lupakan dia.”

“Untuk apa?!” Adam kelihatan menyinga.

“Untuk bantu kaulah! Untuk apa lagi?!” Rina menjeling. “Dan hari ini, di depan kekasih kau, aku dengan rasminya nak minta kau lepaskan aku.”

“Kau dah gila?!” Adam menggenggam erat lengan Rina. “Kau nak apa sebenarnya?”

“Aku dah kata. Aku nak kau ceraikan aku!” tegas Rina. “Kau jangan risau, aku takkan tuntut apa-apa. Aku cuma mahukan anak-anak aku.” Sebaik sahaja berkata begitu, Rina menarik tangannya dan berlalu pergi dari situ. Tetapi kemudian dia menghentikan langkah dan berpaling kepada Qismyna.

“Qis....aku nak minta maaf atas apa yang pernah berlaku antara kita dulu.” Rina terus berlalu tanpa menoleh lagi.

“Qis.........sorry dengan apa yang berlaku tadi.” Adam memicit-micit tengkuknya walaupun tidak merasa lenguh. Cuma dia tidak selesa dengan situasi sebentar tadi.

“You’re too far!” Qismyna memandang Adam dengan tajam. Adam terkesima. Qismyna tidak pernah memandangnya sebegitu. “Kau dah melampau Adam!”

“Qis........”

“Kau tak patut buat Rina macam tu. Kalau kau tak cintakan dia, kenapa kau kahwin dengan dia?!”

“Kau tahu, kan aku terpaksa.”

“Terpaksa?! Jangan jadikan itu satu alasan!” Qismyna benar-benar tidak sangka Adam sanggup melakukan begitu. “Kau ni lelaki ke apa? Kalau kau terpaksa dan engkau tak mahu sepatutnya kau tak teruskan kehendak keluarga kau!”

“Qis?! Kau dah lupa ke yang aku terpaksa tinggalkan kau dulu kerana terpaksa kahwin dengan dia. Itu semua kehendak keluarga aku. Kita berpisah dulu disebabkan dia.”

“Tak.....tak Adam. Kita berpisah dulu bukan sebab dia.” Qismyna memandangnya. “Semuanya sebab kau. Sebab kau tak pernah tahu apa yang terbaik dalam hidup kau! Kau tinggalkan aku dan berkahwin dengan dia. Lepas tu kau tak boleh terima dia dan datang cari aku. Kau dah musnahkan hidup kau dan kau dah musnahkan hidup dia!”

“Dan sekarang.......kau nak musnahkan hidup aku pula. Sedarlah Adam.” Qismyna menggeleng sebentar. “Belajarlah untuk terima kenyataan. Kau dah ada anak. Kau langsung tak fikir tentang anak-anak kau, ke?”

Adam hanya terdiam mendengar butir bicara Qismyna. Dia sendiri tidak tahu untuk berkata apa-apa.

“Sebelum terlambat, pulihkan semula rumahtangga kau. Kasihanlah dengan anak-anak kau. Fikirlah Adam. Tak guna kau kejar aku. Aku takkan balik semula pada kau.” Qismyna bangun dan terus berlalu pergi meninggalkan Adam yang masih termangu di disitu.

Sebaik sahaja masuk ke dalam perut keretanya, Qismyna tidak terus berlalu dari situ. Malah fikirannya masih lagi mengingati setiap cerita Rina. Kasihan Rina. Tentu dia menderita sejak dia berkahwin dengan Adam.

Bagaimana pula dengan nasibnya. Adakah nasibnya juga akan menjadi seperti Rina. Berkahwin tanpa cinta dan kemudian terlanjur dengan Wes sehingga melahirkan anak. Lepas tu, Wes tinggalkan dia untuk bersama dengan Farahymma. Tidak!

Qismyna memejam mata dan menutup mukanya. Dia tak sanggup terima kenyataan sebegitu. Dia tak mahu! Dia bertekad, walau apa pun yang terjadi, dia takkan benarkan Wes menyentuh dirinya.



DARI jauh Wes memerhati Qismyna berjalan masuk. Dia pura-pura tidak melihat Qismyna ketika Qismyna memandang ke arahnya. Dia terus membelek buku-buku di situ. Qismyna menghampiri Wes.

“Hai.....ambil kesempatan nampak,” Qismyna menyindir sambil memeluk tubuhnya.

“Kesempatan apa pulak ni?” Dia mengambil sebuah buku dan melabuhkan punggungnya di tempat duduk yang disediakan. Qismyna membontotinya dari belakang sambil matanya tercari-cari kelibat Farahymma tetapi tiada. Kemudiannya, dia melabuhkan punggungnya di hadapan Wes.

Wes pura-pura tak mengindahkan Qismyna. Sedangkan sedari tadi dia menunggu gadis itu hingga dia tidak masuk ke pejabat semula. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia melakukan itu. Mungkin kerana dia bersalah kerana meninggalkan Qismyna di bengkel tadi.

“Takkanlah tak faham. Ke....buat-buat tak faham?....” Qismyna menyambung semula perbualan yang terhenti.“Awak datang jumpa Farahymma ke?” tanya Qismyna. Wes sekadar mengangguk. “Mana dia? Tak nampak pun?” Qismyna memanjangkan lehernya mencari gadis yang dimaksudkan.

“Eh......dia kan bertugas kat library hari ni. Patutnya awak cari dia kat sana,” ujar Qismyna apabila teringat jadual pekerjanya yang dilihat pagi tadi.

Wes hanya mendiamkan diri. Langsung tidak memberi respon pada gadis di depannya sambil matanya membelek-belek majalah yang terdapat di bakery itu. Qismyna mengerutkan keningnya seperti berfikir sesuatu.

“Awak sebenarnya tengah tunggu saya.......kan?”

Wes langut membalas pandangan mata Qismyna. Gadis itu menjungkitkan keningnya menunggu kata-kata dari lelaki itu.

“For what saya tunggu awak?”

“Of course! Awak saja nak ambil tahu urusan saya, kan?”

“If I say yes?”

Qismyna memandang Wes tajam. Memang tak syak lagi. Lelaki itu sengaja mencampuri urusan peribadinya.

“Well.........apa yang awak nak tahu sebenarnya?”

“Hmmm.....Nampaknya, awak dengan Adam dah berbaik-baik semula.” Wes seakan menyindir. Qismyna tercengang. Dari mana Wes tahu dia berjumpa dengan Adam. Wes mengekorinya?

“Awak intip saya?” tanya Qismyna.

“Tak.” Wes memandang Qismyna. “Saya terserempak waktu awak minum-minum dengan Adam kat Starbuck.” Memang benar kata Wes. Dia tidak mengekori Qismyna hanya ternampak isterinya itu dengan Adam.

Qismyna mengetap bibir. Kalau begitu Wes tentu tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Dia hanya melihat Qismyna dan Adam sahaja. Tetapi dia tidak tahu tentang kehadiran Rina.

“Ya.......kami dah berbaik semula dan dia pun dah tahu segala-galanya tentang kita. Puas?!” Qismyna menjuih bibirnya sengaja menyakitkan hati Wes. Tapi apa yang dikatakan Qismyna semuanya benar. Dia telah terangkan perkara yang sebenar kepada Adam. Dia berterus terang yang dia telah pun bersuami dan tak mungkin menerima Adam semula.

“Congratulation......Tapi awak jangan lupa hukuman Tuhan. Berdosa curang dengan suami.”

“Curang?” Qismyna sedikit keliru dengan tuduhan Wes. “Awak tak berdosa ke ada hubungan dengan orang lain?”

“Saya lelaki. Lelaki boleh berkahwin empat selagi mampu. Jangan lupa tu.” Wes mengenyit mata kirinya lantas bangun. Qismyna mengetap bibir menahan marah kerana tidak dapat membidas kata-kata Wes.

Qismyna berpaling memandang kelibat Wes yang berlalu meninggalkannya. Kelihatan kelibat lelaki itu sedang mendapatkan seorang gadis di pintu depan. Farahymma!

Tiba-tiba saja hatinya menjadi tak keruan. Terdetik fikiran kotor di benaknya. Dia tersenyum seribu makna.

‘Farahymma perlu tahu tentang aku.’

Saat Hati Merelakan 36


“ASSALAMUALAIKUM.......” tegur Wes yang baru turun untuk menyertai mereka yang bersarapan pagi.

“Waalaikumsalam.....” Tuan Malik menyahut kembali. Yang lain hanya menjawab salam di dalam hati. Wes menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna. Kemudian dia melemparkan senyuman pada Zurin di depannya.

“Kenapa nampak happy sangat hari ni? Ada apa-apa ke?” tanya Zurin dengan berani. Qismyna mengangkat kening seperti tidak percaya mendengar soalan itu keluar dari mulut Zurin.

Tetapi sejak dia berkahwin dengan Wes dan tak jadi bertunang dengan Fauzan, Zurin kelihatan ceria dan bersemangat. Ah...mungkinkah Zurin menyimpan perasaan pada sepupunya itu?

“Tentu saja perkara baik yang berlaku,” jawab Wes. Zurin ketawa gembira. Belum pernah dia bermesra dengan abang ipar angkatnya itu. Dan sekarang dia rasakan mereka berdua boleh menjadi sahabat yang baik.

“Apa yang baiknya?” tanya Tuan Malik sambil menyorotkan pandangan matanya pada Wes.

“Tak ada apa-apa ayah,” Wes mengerling Qismyna di sebelahnya yang membisu dan hanya menjadi pendengar setia.

“Jangan-jangan tak lama lagi mak dan ayah nak timang cucu tak?” Puan Suria cuba mengusik Qismyna. Ternyata Qismyna benar-benar terperanjat dengan kata-katanya.

“Merepek saja mak ni.” Qismyna mencebik. Pagi-pagi lagi mood yang sedari tadinya baik berubah.

Tuan Malik dan Puan Suria bukan tidak tahu hubungan dingin mereka berdua. Tetapi jika boleh, mereka tidak mahu anak dan menantu ‘tak sengajanya’ itu berpisah. Tentu ada hikmah disebalik ‘penangkapan basah’ mereka. Mungkin itulah jodoh abadi untuk mereka.

Tuan Malik juga senang dengan Wes. Lelaki itu pandai mengambil hati tuanya. Bersopan santun dan berbahasa.

“Kenapa cakap macam tu, Qis. Seolah-olah menolak rezeki Allah,” nasihat Puan Suria.

“Mak.....” Qismyna mengeluh. “Qis takkan mengandung. Perkara tu takkan berlaku.” Qismyna merenung ibunya simpati. Dia tahu Puan Suria sudah lama inginkan cucu.

Puan Suria terdiam mendengar pengakuan Qismyna. Hatinya murung. Dia teringin sekali menimang cucu. Mendengar suara tangisan kanak-kanak di rumah besar itu. Dia mengeluh. Sedih.

Wes dan Tuan Malik berpandangan lalu pandangan Wes jatuh pada ibu mertuanya. Tiba-tiba perasaan simpatinya menusuk dikalbu. Ya....ibu tua itu kesunyian. Anak sulungnya Almi, masih belum diberikan zuriat.

“Insyaallah mak.....kalau ada rezeki saya akan tunaikan hasrat mak.” Wes tiba-tiba bersuara. Qismyna di sebelahnya terlopong. Puan Suria mengukir senyuman yang panjang.

Pantas tangan kanan Qismyna menjalar di bawah meja lalu mencubit paha kiri Wes.

“Auch!” Wes mengerang kesakitan.

“Kenapa bang?” tanya Zurin.

“Ketam gigit abang.” Zurin terdiam sebentar kerana tidak memahami kata-kata Wes, namun selepas itu dia tergelak besar. Tuan Malik dan puan Suria juga ketawa bila memahami tawa anak angkat mereka. Qismyna yang tidak selesa dengan situasi pagi itu, pantas bangun dan menyalami kedua orang tuanya dan berlalu pergi.

Melihatkan Qismyna berlalu pergi, Wes juga bangun membontoti Qismyna setelah bersalam dengan kedua mertuanya.

“Nanti, Qis!” Wes menarik lengan Qismyna. Qismyna menepis. Wes tahu Qismyna marah dengan kata-katanya tadi.

Qismyna memandang Wes geram. Wes mengeluh sebelum berpaling menghadap Qismyna.

“Saya hantar awak.” Wes melembutkan suaranya.

“Saya ada kereta,” sinis saja ucapan Qismyna. Wes tersenyum kecil.

“Kereta awak, kan masuk workshop,” ujar Wes. Qismyna menepuk dahinya. Macam mana dia boleh terlupa tentang itu.

Dengan perasaan marah. Qismyna terus melangkah menghampiri kereta Wes. Setelah kunci kereta dibuka Qismyna membuka pintu sebelah kiri dan menghempaskan tubuhnya kasar.

Wes mengangkat kening melihatkan reaksi Qismyna. Kemudian dia turut menyertai Qismyna dan memandu Proton Waja keluar dari perkarangan rumah.

“Awak jangan risau. Petang ni saya akan ambil kereta awak dengan Fauzan.”

“Tak perlulah awak bersusah payah. Itu kereta saya. Saya yang akan ambil sendiri.” Qismyna menjeling.

“Okey..... Kalau macam tu kita akan pergi ambil tengahari nanti,” ujar Wes. Qismyna mengerutkan keningnya seraya memandang Wes.

“Kita?” Wes mengangguk. “Oh...no....saya tak nak pergi dengan awak. Biar saya pergi dengan Fauzan.”

“Kenapa? Awak takut keluar berdua dengan saya?” Wes senyum mengejek. Qismyna mendengus. Benci melihat senyuman itu.

“Saya takut keluar dengan awak? Sorry.....saya bukan takut tapi tak suka.” Qismyna bersuara kasar sambil mencebikkan mukanya.

“Tak payahlah nak selindung. Awak takut kalau kita kerap berdua-duaan, awak akan jatuh cinta dengan saya. Betul tak?” Entah mengapa Wes begitu senang bertengkar dengan Qismyna pagi itu. Qismyna terlopong dengan kenyataan Wes. Ah.....lelaki ini memang sengaja memancing kebenciannya.

“Agaknya awak yang dah jatuh cinta dengan saya sebab tulah awak ambil kesempatan nak keluar dengan saya.” Giliran Qismyna pula untuk menyakitkan hati Wes. Wes ketawa besar. Kata-kata Qismyna langsung tidak berbekas di hatinya. Qismyna bertambah benci mendengar ketawa itu.

“Tak.....cuma saya tak nak awak berpeluang bersama kekasih atau pun bekas bakal tunang awak.” Wes tersenyum lagi. “Mulai hari ini, saya akan jadi mimpi ngeri dalam hidup awak.”

“Fine! Saya akan jadi pontianak dalam hidup awak!” Kebetulan mereka telah tiba di HappyWebCafe. Dengan marah Qismyna menbuka pintu dan keluar lalu menghempas pintu kereta dengan kasar. Wes sedikit tersentak dengan bunyi kuat itu namun kemudian dia tersenyum.

‘Ah......memang seronok mengusik gadis itu.’

Sebaik saja ingin keluar dari perkarangan tempat letak kereta di situ, dia teringatkan Farahymma. Pantas langkahnya dihayun memasuki cafe itu dan terus menuju ke coffee brek.

Farahymma yang terlihatkan kelibat Wes menantinya dengan senyuman dari jauh. Wes menghampiri dan duduk di tempat yang sama dia sering berjumpa dengan Farahymma. Farahymma juga duduk di situ.

Farahymma kelihatan terkejut melihat kelibat Wes. Hatinya berbunga riang melihat Wes datang menemuinya. Ahh....dengan jujur dia mengakui yang dia terlalu rindukan lelaki itu.

Mereka berbual-bual mesra dan bergelak ketawa. Buat ketika ini Wes terlupa bahawa cafe itu milik isterinya.

Dari jauh sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan perasaan benci.



QISMYNA melirik jam dipergelangan tangannya. Tepat menunjukkan angka satu. Perutnya juga sudah berbunyi minta diisi.

Sebentar tadi dia mendapat mesej dari Wes yang mengatakan dia telah tiba dan menunggu Qismyna di tempat letak kereta. Entah dari mana Wes mengetahui nombor telefon bimbitnya pun dia tidak tahu. Mungkin juga dari Fauzan. Mungkin!

Ingatannya tiba-tiba melayang mengingati pertemuan Wes dan Farahymma yang dilihatnya tadi. Dia mengeluh. Apakah mereka mengenali antara satu sama lain?

Qismyna menghampiri jendela dan membuka tirai sedikit mengintai Wes yang bersandar sedang menunggunya. Dia mengamati Wes dari jauh. Kemudian tersenyum.

Dari pandangan kasar, Wes memang seorang lelaki yang tampan. Tinggi dan bertubuh tegap. Kulitnya sowo matang. Wajahnya bersih. Gaya dan penampilannya penuh dengan keyakinan dan berkarisma.

Tiba-tibanya senyuman dibibirnya mati bila terpandangkan seorang gadis menghampiri suaminya itu. Dia tahu dan dia kenal dengan gadis itu. Farahymma! Pekerjanya sendiri. Apa hubungan mereka?

Tiba-tiba saja jiwanya resah. Kenapa? Cemburukan dia? Tidak! Hatinya menafikan. Untuk apa dia cemburu. Tapi kenapa dia merasa tak senang melihat Farahymma yang sedang ketawa di samping suaminya.

Anganannya tiba-tiba saja mati apabila terlihatkan kelibat Farahymma yang pergi dari situ. Dia beralih dari jendela lantas mencapai tas tangannya dan keluar dari pejabat dan berjalan menghampiri Wes.

Dia bertekad untuk mencari tahu apakah bentuk hubungan antara suaminya dan pekerjanya itu. Bukankah dia telah berjanji untuk menjadi pontianak dalam hidup Wes?

Sebaik saja sampai di depan Wes dia tersenyum. Wes menjungkitkan keningnya. Hairan tiba-tiba saja Qismyna tersenyum padanya. Tapi dia tahu, tentu ada muslihat yang dirancang isterinya itu.

Masing-masing diam. Wes memandang depan. Cermat dalam pemanduannya. Qismyna di sebelah hanya membuang pandangan kosong di luar kereta.

“Cantik?” soalan itu tiba-tiba saja keluar dari mulut Wes. Qismyna mengalihkan pandangannya.

“Apa?”

“Cantik tak perempuan yang berbual dengan saya tadi?” tanya Wes penuh.

“Perempuan mana?” Qismyna pura-pura tidak mengerti siapa yang dimaksudkan Wes. Namun dadanya berdegup kencang. Mungkinkah Wes melihat dia yang sedang mengintai di balik jendela?

“Farahymma. Dia pekerja awak, kan?” Wes tersenyum. “Lemah lembut orangnya. Cantik pulak tu!” Wes memuji lagi. Qismyna mencebik.

“Ada awak bagitahu dia tentang kita?!” tanya Qismyna.

“Of course not. Kalau beritahu tentu saya dah terlepas peluang,” ujar Wes bersahaja.

“Peluang?” Maya mengerutkan keningnya. Wes menganggukkan kepala.

“Peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat.” Wes berkata serius. “Yelah....mana tahu nasib saya baik. Lepas kita.....hmmm, bolehlah saya masuk meminang dia.” Entah kenapa Wes bagai tidak sanggup mengeluarkan perkataan berpisah dari bibirnya.

Qismyna mencebik. Tiba-tiba saja hatinya terasa sakit dengan kata-kata Wes. Dia cuba mengawal emosinya. Dia tidak mahu Wes menyangka yang bukan-bukan. Lagi pun dia tak perlu mengambil tahu soal peribadi Wes. Tidak! Dia perlu ambil tahu kerana dia akan mengucar-kacirkan hidup Wes.

“Ya....awak boleh berkahwin dengan dia tetapi tidak selama saya menjadi isteri awak.,” sinis suaranya.

“Kenapa? Awak takut bermadu?” West menyindir. “Kenapa nak takut? Saya ni bukan sesiapa dalam hidup awak.”

“Ya! Awak bukan sesiapa dalam hidup saya tapi awak ‘suami’ saya dimata orang.” Sengaja Qismyna menekan perkataan suami pada percakapannya.

“Saya ada dua amaran untuk awak.” Qismyna bersuara seraya memandang tepat pada Wes. Wes yang memandang depan berpaling sebentar kemudian beralih semula ke depan.

“Amaran?!” dia ketawa kecil. Sinis sekali bunyi tawanya pada pendengaran Qismyna.

“Dia pekerja saya. Saya minta awak jangan buat hubungan di cafe saya. Kalau saya nampak awak ganggu dia di sana, saya tak teragak-agak untuk membuang dia,” tegas sekali ucapan Qismyna. Wes menjungkitkan keningnya.

“Amaran kedua?” tanya Wes selamba. Qismyna bertambah benci melihat gaya Wes yang bersahaja. Langsung tidak termakan dengan amarannya.

“Saya akan hancurkan hidup awak!” Qismyna memeluk tubuh. “Awak jangan lupa saya dah janji akan jadi pontianak dalam hidup awak.”

“Awak pun jangan lupa, saya dah janji akan jadi mimpi ngeri dalam hidup awak,” ujar Wes. Qismyna berpaling menghadap luar tingkap. Menyampah betul bercakap dengan Wes. Balik-balik dia sendiri yang terdiam.

“Tapi bagus juga kalau awak berhentikan Farahymma tu. Bolehlah saya ambil dia bekerja sebagai setiausaha saya. Lagi pula, setiausaha saya si Rozie tu nak berhenti kerja tak lama lagi.” Wes sengaja membakar api kemarahan di hati Qismyna.

Qismyna hanya mendiamkan diri. Lebih baik begitu. Lagi banyak bercakap lagi sakit hatinya dengan Wes. Lelaki itu memang setan!

Setengah jam kemudian mereka sampai di bengkel kereta. Pantas sahaja Qismyna keluar dari kereta Wes dan terus menghempas pintu dengan kuat. Wes sedikit terkejut lalu menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Qismyna.

‘Dahlah tak berterima kasih. Tak de rasa hormat langsung.’ Wes mengomel di dalam hati dan terus memandu keretanya keluar dari situ tanpa menunggu Qismyna menyelesaikan segala urusan. Biar dia rasa!

Qismyna hanya melihat Wes berlalu pergi. Langsung tak bertanggungjawab!