Thursday, 11 March 2010

Saat Hati Merelakan 36


“ASSALAMUALAIKUM.......” tegur Wes yang baru turun untuk menyertai mereka yang bersarapan pagi.

“Waalaikumsalam.....” Tuan Malik menyahut kembali. Yang lain hanya menjawab salam di dalam hati. Wes menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna. Kemudian dia melemparkan senyuman pada Zurin di depannya.

“Kenapa nampak happy sangat hari ni? Ada apa-apa ke?” tanya Zurin dengan berani. Qismyna mengangkat kening seperti tidak percaya mendengar soalan itu keluar dari mulut Zurin.

Tetapi sejak dia berkahwin dengan Wes dan tak jadi bertunang dengan Fauzan, Zurin kelihatan ceria dan bersemangat. Ah...mungkinkah Zurin menyimpan perasaan pada sepupunya itu?

“Tentu saja perkara baik yang berlaku,” jawab Wes. Zurin ketawa gembira. Belum pernah dia bermesra dengan abang ipar angkatnya itu. Dan sekarang dia rasakan mereka berdua boleh menjadi sahabat yang baik.

“Apa yang baiknya?” tanya Tuan Malik sambil menyorotkan pandangan matanya pada Wes.

“Tak ada apa-apa ayah,” Wes mengerling Qismyna di sebelahnya yang membisu dan hanya menjadi pendengar setia.

“Jangan-jangan tak lama lagi mak dan ayah nak timang cucu tak?” Puan Suria cuba mengusik Qismyna. Ternyata Qismyna benar-benar terperanjat dengan kata-katanya.

“Merepek saja mak ni.” Qismyna mencebik. Pagi-pagi lagi mood yang sedari tadinya baik berubah.

Tuan Malik dan Puan Suria bukan tidak tahu hubungan dingin mereka berdua. Tetapi jika boleh, mereka tidak mahu anak dan menantu ‘tak sengajanya’ itu berpisah. Tentu ada hikmah disebalik ‘penangkapan basah’ mereka. Mungkin itulah jodoh abadi untuk mereka.

Tuan Malik juga senang dengan Wes. Lelaki itu pandai mengambil hati tuanya. Bersopan santun dan berbahasa.

“Kenapa cakap macam tu, Qis. Seolah-olah menolak rezeki Allah,” nasihat Puan Suria.

“Mak.....” Qismyna mengeluh. “Qis takkan mengandung. Perkara tu takkan berlaku.” Qismyna merenung ibunya simpati. Dia tahu Puan Suria sudah lama inginkan cucu.

Puan Suria terdiam mendengar pengakuan Qismyna. Hatinya murung. Dia teringin sekali menimang cucu. Mendengar suara tangisan kanak-kanak di rumah besar itu. Dia mengeluh. Sedih.

Wes dan Tuan Malik berpandangan lalu pandangan Wes jatuh pada ibu mertuanya. Tiba-tiba perasaan simpatinya menusuk dikalbu. Ya....ibu tua itu kesunyian. Anak sulungnya Almi, masih belum diberikan zuriat.

“Insyaallah mak.....kalau ada rezeki saya akan tunaikan hasrat mak.” Wes tiba-tiba bersuara. Qismyna di sebelahnya terlopong. Puan Suria mengukir senyuman yang panjang.

Pantas tangan kanan Qismyna menjalar di bawah meja lalu mencubit paha kiri Wes.

“Auch!” Wes mengerang kesakitan.

“Kenapa bang?” tanya Zurin.

“Ketam gigit abang.” Zurin terdiam sebentar kerana tidak memahami kata-kata Wes, namun selepas itu dia tergelak besar. Tuan Malik dan puan Suria juga ketawa bila memahami tawa anak angkat mereka. Qismyna yang tidak selesa dengan situasi pagi itu, pantas bangun dan menyalami kedua orang tuanya dan berlalu pergi.

Melihatkan Qismyna berlalu pergi, Wes juga bangun membontoti Qismyna setelah bersalam dengan kedua mertuanya.

“Nanti, Qis!” Wes menarik lengan Qismyna. Qismyna menepis. Wes tahu Qismyna marah dengan kata-katanya tadi.

Qismyna memandang Wes geram. Wes mengeluh sebelum berpaling menghadap Qismyna.

“Saya hantar awak.” Wes melembutkan suaranya.

“Saya ada kereta,” sinis saja ucapan Qismyna. Wes tersenyum kecil.

“Kereta awak, kan masuk workshop,” ujar Wes. Qismyna menepuk dahinya. Macam mana dia boleh terlupa tentang itu.

Dengan perasaan marah. Qismyna terus melangkah menghampiri kereta Wes. Setelah kunci kereta dibuka Qismyna membuka pintu sebelah kiri dan menghempaskan tubuhnya kasar.

Wes mengangkat kening melihatkan reaksi Qismyna. Kemudian dia turut menyertai Qismyna dan memandu Proton Waja keluar dari perkarangan rumah.

“Awak jangan risau. Petang ni saya akan ambil kereta awak dengan Fauzan.”

“Tak perlulah awak bersusah payah. Itu kereta saya. Saya yang akan ambil sendiri.” Qismyna menjeling.

“Okey..... Kalau macam tu kita akan pergi ambil tengahari nanti,” ujar Wes. Qismyna mengerutkan keningnya seraya memandang Wes.

“Kita?” Wes mengangguk. “Oh...no....saya tak nak pergi dengan awak. Biar saya pergi dengan Fauzan.”

“Kenapa? Awak takut keluar berdua dengan saya?” Wes senyum mengejek. Qismyna mendengus. Benci melihat senyuman itu.

“Saya takut keluar dengan awak? Sorry.....saya bukan takut tapi tak suka.” Qismyna bersuara kasar sambil mencebikkan mukanya.

“Tak payahlah nak selindung. Awak takut kalau kita kerap berdua-duaan, awak akan jatuh cinta dengan saya. Betul tak?” Entah mengapa Wes begitu senang bertengkar dengan Qismyna pagi itu. Qismyna terlopong dengan kenyataan Wes. Ah.....lelaki ini memang sengaja memancing kebenciannya.

“Agaknya awak yang dah jatuh cinta dengan saya sebab tulah awak ambil kesempatan nak keluar dengan saya.” Giliran Qismyna pula untuk menyakitkan hati Wes. Wes ketawa besar. Kata-kata Qismyna langsung tidak berbekas di hatinya. Qismyna bertambah benci mendengar ketawa itu.

“Tak.....cuma saya tak nak awak berpeluang bersama kekasih atau pun bekas bakal tunang awak.” Wes tersenyum lagi. “Mulai hari ini, saya akan jadi mimpi ngeri dalam hidup awak.”

“Fine! Saya akan jadi pontianak dalam hidup awak!” Kebetulan mereka telah tiba di HappyWebCafe. Dengan marah Qismyna menbuka pintu dan keluar lalu menghempas pintu kereta dengan kasar. Wes sedikit tersentak dengan bunyi kuat itu namun kemudian dia tersenyum.

‘Ah......memang seronok mengusik gadis itu.’

Sebaik saja ingin keluar dari perkarangan tempat letak kereta di situ, dia teringatkan Farahymma. Pantas langkahnya dihayun memasuki cafe itu dan terus menuju ke coffee brek.

Farahymma yang terlihatkan kelibat Wes menantinya dengan senyuman dari jauh. Wes menghampiri dan duduk di tempat yang sama dia sering berjumpa dengan Farahymma. Farahymma juga duduk di situ.

Farahymma kelihatan terkejut melihat kelibat Wes. Hatinya berbunga riang melihat Wes datang menemuinya. Ahh....dengan jujur dia mengakui yang dia terlalu rindukan lelaki itu.

Mereka berbual-bual mesra dan bergelak ketawa. Buat ketika ini Wes terlupa bahawa cafe itu milik isterinya.

Dari jauh sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan perasaan benci.



QISMYNA melirik jam dipergelangan tangannya. Tepat menunjukkan angka satu. Perutnya juga sudah berbunyi minta diisi.

Sebentar tadi dia mendapat mesej dari Wes yang mengatakan dia telah tiba dan menunggu Qismyna di tempat letak kereta. Entah dari mana Wes mengetahui nombor telefon bimbitnya pun dia tidak tahu. Mungkin juga dari Fauzan. Mungkin!

Ingatannya tiba-tiba melayang mengingati pertemuan Wes dan Farahymma yang dilihatnya tadi. Dia mengeluh. Apakah mereka mengenali antara satu sama lain?

Qismyna menghampiri jendela dan membuka tirai sedikit mengintai Wes yang bersandar sedang menunggunya. Dia mengamati Wes dari jauh. Kemudian tersenyum.

Dari pandangan kasar, Wes memang seorang lelaki yang tampan. Tinggi dan bertubuh tegap. Kulitnya sowo matang. Wajahnya bersih. Gaya dan penampilannya penuh dengan keyakinan dan berkarisma.

Tiba-tibanya senyuman dibibirnya mati bila terpandangkan seorang gadis menghampiri suaminya itu. Dia tahu dan dia kenal dengan gadis itu. Farahymma! Pekerjanya sendiri. Apa hubungan mereka?

Tiba-tiba saja jiwanya resah. Kenapa? Cemburukan dia? Tidak! Hatinya menafikan. Untuk apa dia cemburu. Tapi kenapa dia merasa tak senang melihat Farahymma yang sedang ketawa di samping suaminya.

Anganannya tiba-tiba saja mati apabila terlihatkan kelibat Farahymma yang pergi dari situ. Dia beralih dari jendela lantas mencapai tas tangannya dan keluar dari pejabat dan berjalan menghampiri Wes.

Dia bertekad untuk mencari tahu apakah bentuk hubungan antara suaminya dan pekerjanya itu. Bukankah dia telah berjanji untuk menjadi pontianak dalam hidup Wes?

Sebaik saja sampai di depan Wes dia tersenyum. Wes menjungkitkan keningnya. Hairan tiba-tiba saja Qismyna tersenyum padanya. Tapi dia tahu, tentu ada muslihat yang dirancang isterinya itu.

Masing-masing diam. Wes memandang depan. Cermat dalam pemanduannya. Qismyna di sebelah hanya membuang pandangan kosong di luar kereta.

“Cantik?” soalan itu tiba-tiba saja keluar dari mulut Wes. Qismyna mengalihkan pandangannya.

“Apa?”

“Cantik tak perempuan yang berbual dengan saya tadi?” tanya Wes penuh.

“Perempuan mana?” Qismyna pura-pura tidak mengerti siapa yang dimaksudkan Wes. Namun dadanya berdegup kencang. Mungkinkah Wes melihat dia yang sedang mengintai di balik jendela?

“Farahymma. Dia pekerja awak, kan?” Wes tersenyum. “Lemah lembut orangnya. Cantik pulak tu!” Wes memuji lagi. Qismyna mencebik.

“Ada awak bagitahu dia tentang kita?!” tanya Qismyna.

“Of course not. Kalau beritahu tentu saya dah terlepas peluang,” ujar Wes bersahaja.

“Peluang?” Maya mengerutkan keningnya. Wes menganggukkan kepala.

“Peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat.” Wes berkata serius. “Yelah....mana tahu nasib saya baik. Lepas kita.....hmmm, bolehlah saya masuk meminang dia.” Entah kenapa Wes bagai tidak sanggup mengeluarkan perkataan berpisah dari bibirnya.

Qismyna mencebik. Tiba-tiba saja hatinya terasa sakit dengan kata-kata Wes. Dia cuba mengawal emosinya. Dia tidak mahu Wes menyangka yang bukan-bukan. Lagi pun dia tak perlu mengambil tahu soal peribadi Wes. Tidak! Dia perlu ambil tahu kerana dia akan mengucar-kacirkan hidup Wes.

“Ya....awak boleh berkahwin dengan dia tetapi tidak selama saya menjadi isteri awak.,” sinis suaranya.

“Kenapa? Awak takut bermadu?” West menyindir. “Kenapa nak takut? Saya ni bukan sesiapa dalam hidup awak.”

“Ya! Awak bukan sesiapa dalam hidup saya tapi awak ‘suami’ saya dimata orang.” Sengaja Qismyna menekan perkataan suami pada percakapannya.

“Saya ada dua amaran untuk awak.” Qismyna bersuara seraya memandang tepat pada Wes. Wes yang memandang depan berpaling sebentar kemudian beralih semula ke depan.

“Amaran?!” dia ketawa kecil. Sinis sekali bunyi tawanya pada pendengaran Qismyna.

“Dia pekerja saya. Saya minta awak jangan buat hubungan di cafe saya. Kalau saya nampak awak ganggu dia di sana, saya tak teragak-agak untuk membuang dia,” tegas sekali ucapan Qismyna. Wes menjungkitkan keningnya.

“Amaran kedua?” tanya Wes selamba. Qismyna bertambah benci melihat gaya Wes yang bersahaja. Langsung tidak termakan dengan amarannya.

“Saya akan hancurkan hidup awak!” Qismyna memeluk tubuh. “Awak jangan lupa saya dah janji akan jadi pontianak dalam hidup awak.”

“Awak pun jangan lupa, saya dah janji akan jadi mimpi ngeri dalam hidup awak,” ujar Wes. Qismyna berpaling menghadap luar tingkap. Menyampah betul bercakap dengan Wes. Balik-balik dia sendiri yang terdiam.

“Tapi bagus juga kalau awak berhentikan Farahymma tu. Bolehlah saya ambil dia bekerja sebagai setiausaha saya. Lagi pula, setiausaha saya si Rozie tu nak berhenti kerja tak lama lagi.” Wes sengaja membakar api kemarahan di hati Qismyna.

Qismyna hanya mendiamkan diri. Lebih baik begitu. Lagi banyak bercakap lagi sakit hatinya dengan Wes. Lelaki itu memang setan!

Setengah jam kemudian mereka sampai di bengkel kereta. Pantas sahaja Qismyna keluar dari kereta Wes dan terus menghempas pintu dengan kuat. Wes sedikit terkejut lalu menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Qismyna.

‘Dahlah tak berterima kasih. Tak de rasa hormat langsung.’ Wes mengomel di dalam hati dan terus memandu keretanya keluar dari situ tanpa menunggu Qismyna menyelesaikan segala urusan. Biar dia rasa!

Qismyna hanya melihat Wes berlalu pergi. Langsung tak bertanggungjawab!

No comments:

Post a Comment