Tuesday, 25 August 2015

Takkan Pernah Hilang (Excerpt)


TAJUK : 

TAKKAN PERNAH HILANG

PENERBITAN FAJAR PAKEER
HARGA : RM21 / RM24


Suasana yang begitu indah sekali. Malam yang kelam ditemani cahaya bulan yang terang. Bintang-bintang bertaburan di langit. Alangkah indahnya jika malam ini dapat dikongsi bersama yang tersayang.
Senyuman di bibir Fariz tiba-tiba sahaja hilang. Kotak ingatannya mula menayangkan memori lalu. Suasana malam seperti ini memang indah, namun dalam suasana beginilah cintanya pada Maisara terkubur.
Walaupun keputusannya untuk mengambil Suhana sebagai isteri adalah sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya, namun dia tidak pernah menyesal membuat keputusan besar seperti itu. Apa yang dikesalkan hanya kerana dia perlu melukakan hati Maisara.
Cintanya pada Maisara tidak pernah terkubur sehingga hari ini. Tetapi Suhana dipilih atas dasar tanggungjawab yang tidak mungkin diketahui oleh sesiapa melainkan dia dan Suhana sendiri.
Malam sebelum dia menghantar rombongan untuk meminang Suhana, dia telah menghubungi  Maisara.
“Waalaikumsalam.....” terdengar suara Maisara menjawap salamnya. Sungguh ceria suara itu kedengaran di telinganya.
Biasanya, setiap kali mereka berhubung di telefon, ada sahaja cerita-cerita lucu dan lawak jenaka yang disampaikan sehingga Maisara akan ketawa tidak berhenti. Tetapi malam itu berlainan sekali. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan membiarkan Maisara menguasai komunikasi.
“Kenapa ni? Apa yang tak kena?” lembut suara Maisara bertanya kepadanya.
“Sara, I ada perkara penting nak beritahu you!”
“Kenapa ni?” suara Maisara yang mulanya riang kedengaran resah.
“I.....I harap apa yang akan I beritahu you nanti, takkan membuatkan you terluka! But...but.... I know it will hurt you. Tapi I harap sangat you akan terima keputusan I dengan hati yang terbuka!
“What are you trying to tell me?!” Intonasi suara Maisara sudah tidak ada lembutnya.
“I’m sorry. I think our relationship will not last long!”
“What?! You mean...” suara Maisara bergetar. Fariz tahu, tentu gadis itu sedang menahan sebak di dada. “..it’s over, isn’t it?”
“I’m sorry, Sara!”
“No...no....you saja nak main-mainkan?” Maisara sudah hilang punca namun dia cuba untuk bertenang. “Tell me, it’s just a joke, right?”

“I’m sorry......I’m sorry.....” Talian dimatikan. Entah berapa kali telefonnya berbunyi kembali. Namun tidak diendahkan. Tak henti-henti kata maaf lahir dari hatinya walaupun dia tahu Maisara tidak akan mendengarnya.

--------------@@-------------------

KULIT BELAKANG

MAISARA tidak pernah menjangka cintanya pada Fariz akhirnya telah dirampas oleh kakak kesayangannya sendiri, Suhana. Kepedihan hati terus dipendam sehinggalah arwah Suhana menghembuskan nafas yang terakhir ketika melahirkan anak sulungnya. Namun, penderitaan Maisara tidak berakhir di situ apabila Suhana meninggalkan amanah buatnya. Amanah itu benar-benar menghimpit dirinya.

“Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Su melainkan Sara.”

FARIZ tahu dia telah melukakan perasaan Maisara. Namun, dia terpaksa meninggalkan Maisara demi sebuah rahsia. Namun, cinta yang tak pernah hilang itu membuatkan Fariz bertekad untuk mendapatkan Maisara semula walaupun dalam hati Maisara sudah hilang cinta untuknya. Kerana kebencian Maisara, akhirnya dia menggunakan Aiman untuk menagih semula cinta Maisara.

“Untuk menjadi satu-satunya mama Aiman, awak perlu menjadi isteri saya.”


BAGI Maisara segala pengorbanan yang dilakukannya hanya kerana Aiman. Cintanya pada Fariz tak mungkin datang kembali. Cinta di hatinya telah hilang untuk Fariz.



--------------@@---------
NOTE: 

Jika berminat untuk mendapatkan novel ini, pilih medium yang mudah untuk hubungi saya.

Klik link di bawah:

Lakaran Emma Rusdi

Terima kasih.

------------@@------------
TERIMA KASIH - ER

------------@@------------








Monday, 24 August 2015

Anugerah Penghargaan PFP

Page "Klik Klik ER" diwujudkan untuk ER share citer2 Er yang tak seberapa dengan geng yang ada di sini.

Ramaikan yang tahu pada 22 Ogos baru-baru ni Syarikat Penerbitan Fajar Pakeer telah mengadakan Malam Anugeran Penghargaan PFP.

Walaupun ER memang dah tahu dari awal nama ER takkan tercalon dalam top 5,  hikhikhik...Tapi ER tetap nak datang juga pada malam tu. Memang xcited dan teruja yang amat.

Macam biasa, ke mana2 ER akan pergi dengan kakak, mak & 2 orang puteri kesayangan ER. Tapi kali ni, mak ER tak dapat nak temankan kerana kurang sihat. Tapi ER bawa seorang lagi anak sedara ER bersama.

Friday, 21 August 2015

Senyum Tanda Suka - Bab 3





TUAN IDRUS yang sedang sibuk menyemak bil-bil yang masih belum dibayar terus mengangkat kepala tatkala pintu pejabatnya dibuka. Muncul Tania bersama dulang di tangan. Dulang yang diisi dengan teko kecil teh panas, cawan dan sepiring kuih-muih diletakkan di hadapan Tuan Idrus yang sedang duduk di sofa.

“Macam mana?” Tuan Idrus memandang Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia menuang teh panas ke dalam cawan kosong lalu diserahkan cawan itu kepada Tuan Idrus. “Tania dah hantar dia pergi ke bilik tetamu untuk berehat.”

“Baguslah. Terima kasih, sayang.” Tuan Idrus menghirup sedikit teh panas yang masih berkepul-kepul asapnya.

“Siapa dia papa? Sombong sangatlah. Kita dah buat baik dengan dia, boleh pulak dia jeling-jeling dekat kita,” rungut Tania. Bibirnya sudah dimuncungkan.

Tuan Idrus ketawa kecil mendengar rungutan Tania. 

“Biarkanlah. Dia tu ada masalah. Jangan ambil hati sangat. Orang kalau ada masalah, macam tulah,” pujuknya lalu kembali menunduk dan melihat bil-bil di tangan.

“Macam mana papa tahu yang dia ada masalah?”

Tuan Idrus melangut semula memandang Tania. “Ada perkara yang boleh kita fahami tanpa berkata apa-apa. Ada perkara yang tetap kita tak akan faham walaupun dinyatakan secara terang dan diulang-ulang.”

Tania hanya menjongketkan kening tanpa memahami kata-kata itu.

“Papa minta, Tania berbaik-baik dengan dia supaya dia akan beritahu kita siapa keluarga dia. Kemudian, kita akan hantar dia pulang.”

“Jangan-jangan, budak tu lari rumah tak papa!” Mukanya sudah menunjukkan riak terkejut.

“Kita siasat dulu, baru kita akan tahu. Tania akan tolong papa, kan?”

“Tentulah.” Jika permintaan papanya, tentu saja dia akan turuti.

“Tania dah masuk bilik Tania?” Tuan Idrus mengubah topik perbualan mereka.

“Belum lagi, pa. Kenapa?” tanya Tania kembali.

Tuan Idrus memandang Tania yang sudah berganti baju.

“Tania mandi di mana?” soalnya.

“Tania tumpang bilik Kak Min.” Tania sudah tersengih-sengih.
Begitulah kebiasaan Tania. Menumpang kasih daripada para pekerja sejak ibunya meninggal dunia. Apatah lagi, Tuan Idrus juga tak punya banyak masa untuk diluangkan bersama Tania.

“Jadi, Tania belum tengoklah hadiah yang papa beli untuk Tania?”

Tania sudah ternganga luas. Bagaimana dia boleh lupa tentang itu? Ini semua kerana dia sibuk berfikir tentang Amani.

“Tania pergi tengok sekarang!” Tania sudah berlari keluar dari situ.

Tergeleng-geleng kepala Tuan Idrus. Dia bangun dan mengekori langkah Tania dengan perlahan. Pintu pejabat peribadinya ditutup rapat.

Tania sudah berlari masuk ke dalam kamarnya yang bertentangan dengan kamar di mana Amani berada. Sampai di dalam kamarnya, dia melihat dua anak patung beruang berada di atas kabinet. Wajahnya bersinar ceria.

“Wah!” Matanya membulat memandang kedua-dua anak patung beruang itu. Kedua-duanya sama cantik.

Tania mengambil anak patung beruang yang bewarna merah jambu. Comelnya! Hatinya sudah bersorak girang. Warna kesukaannya.

“Tania suka?” Tuan Idrus sudah muncul di situ.

“Suka sangat. Terima kasih, papa,” soraknya dengan girang. Pandangan Tania jatuh pula pada sebuah lagi anak patung beruang lalu mengambilnya.

“Yang ini pun cantik,” pujinya.

“Yang itu, papa nak hadiahkan untuk Amani. Tapi dia tak nak,” beritahu Tuan Idrus tanpa berselindung.

Tania menggeleng kepalanya mengenang sikap Amani. Langsung tak tahu menghargai pemberian orang. Apa salahnya dia ambil? Papa dah susah payah beli untuk dia!

“Biarlah papa. Kalau dia tak nak, biar Tania yang ambil.” Tania cuba menyedapkan hati Tuan Idrus.

Tuan Idrus sudah ketawa. “Mana boleh sayang, buruk siku namanya. Papa beri kepada dia.

Lepas tu, terpulang pada dia nak buat apa.”


Tania mengetap bibirnya dengan rapat. Benar juga kata papa. Tania meletakkan kembali anak patung beruang itu.

“Nanti, kalau Amani sudah mahu berbaik dengan Tania, Tania berikan anak patung ini kepada dia, boleh?”

“Baiklah, papa.” Tania mengiakan juga walaupun hatinya.

“Okey, sayang. Papa keluar dulu. Papa nak cari ilham.” Satu ciuman sayang hinggap di dahi Tania lalu dia menghilangkan diri.

Tania duduk di birai katil. Dia menarik nafas panjang.

“Kau tahu apa maknanya Pinky?” Tania berbicara dengan anak patuang beruang barunya dan sekali gus telah memberikannya nama.

“Papa nak melukis untuk corak baru. Papa tak suka kalau kita kacau papa sampailah papa siapkan corak baru untuk kain papa.” Sekali lagi Tania menarik nafas panjang lalu meletakkan Pinky di tepi. Dia memandang pula pada anak patung beruang yang sepatutnya diberikan kepada Amani.

“Apa kata, kalau aku namakan kau... hmm...” Tania mengetuk-ngetuk jari telunjuk kirinya di dagu sambil berfikir nama yang sesuai untuk diberikan pada anak patung beruang itu.

“Kalau yang ini Pinky, aku panggil kau, Krimy!” Tania mengangkat Krimy ke dalam pelukannya.

Ingatan Tania terimbas semula kepada Amani. Lalu dia bangun dan menuju ke kamar yang bertentangan dengan kamarnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Tania terus terlopong. Di hadapannya kini, Amani sedang tidur di atas lantai berbantalkan beg galasnya.

Tania terus terpaku di situ. Dia tertanya-tanya sendiri, mengapa Amani tidak tidur di atas katil? Kalau dia merasa tidak selesa di atas katil, dia masih boleh tidur di atas sofa. Tapi kenapa dia perlu berbaring di atas lantai?

Amani bergerak-gerak sedikit lalu kepalanya terjatuh ke lantai. Tetapi itu tidak membuatkan Amani bangun daripada tidurnya. Ternyata, Amani benar-benar keletihan.

Tania mahu berpusing dan meninggalkan Amani, tetapi kemudian dia teringat semula permintaan Tuan Idrus yang mahu dia mencari di mana Amani tinggal. Dia pasti, Amani tak mungkin berbaik dengannya dan memberitahu di mana tempat tinggalnya. Bisikan hatinya berkata begitu.

Tania berpaling semula memandang Amani. Matanya terus melekap pada beg galas Amani. Pasti ada sesuatu di dalamnya yang boleh memberi maklumat kepada mereka. Perlahan-lahan Tania menghampiri Amani dan duduk di tepinya. Krimy diletakkan di lantai. Wajah Amani yang tenang dalam tidurnya diperhatikan. Setelah merasakan Amani tidak akan terganggu dengan kedatangannya, perlahan-lahan Tania mengambil beg gelas Amani dan membukanya. Dia membuka dengan begitu berhati-hati agar tidak terkeluar walau satu bunyi pun.

Di dalam beg itu terdapat beberapa helai baju Amani dan barang-barang keperluannya yang lain. Dia menyelongkar lagi sambil matanya sesekali akan memerhatikan Amani. Apabila dia membuka satu lagi zip yang paling depan, dia terjumpa sebuah buku nota kecil. Di depannya tertulis, Amani dan Hafiz. Di situ juga tertulis satu alamat.

Mungkin inilah alamat rumah Amani, bicara hati Tania. Tanpa membuang masa Tania terus mengoyak sekeping kertas daripada buku nota itu. Kebetulan, memang terdapat sebatang pen di dalam beg Amani. Terus dia menyalin alamat tersebut. Kemudian, dengan perlahan dia meletakkan kembali beg galas Amani di sebelah gadis itu semula. Terjengket-jengket dia berjalan keluar setelah dia mencapai Krimy. Pintu ditutup rapat-rapat dengan penuh hati-hati.

Tania sudah tersenyum gembira. Akhirnya, dia dapat juga satu petunjuk tentang Amani. Dia mahu menemui Tuan Idrus walaupun dia tahu Tuan Idrus sedang mencari ilham. Dia pasti, Tuan Idrus akan gembira dengan maklumat yang dijumpainya. Ketika Tania keluar dari rumah, dia berselisih dengan Izz.

“Abang Izz!”

Izz yang baru keluar dari Kamar Ilham setelah berjumpa dengan Tuan Idrus tersenyum melihat wajah ceria Tania. “Ada apa ni? Nampak happy aje.”

“Tania dah dapat alamat Amani,” ujar Tania separuh berbisik. Tania mengibas-ngibas kepingan kertas yang terdapat alamat Amani di depan muka Izz.

Mata Izz membulat sambil senyumannya semakin lebar. Terus dirampas kepingan kertas itu daripada Tania. Dia membaca alamat yang tertulis.

“Hebatnya Tania,” pujinya.

Tania hanya tersengih-sengih menerima pujian itu.

“Nampaknya senanglah kerja saya macam ni. Saya simpan alamat ni, ya.”

“Huh? Tapi Tania nak beri kepada papa.” Wajah Tania sudah berkerut.

“Saya baru berjumpa dengan Tuan Idrus. Dia minta saya siasat tentang Amani.”

“Oh.” Terangguk-angguk kepala Tania. “Abang Izz dah jumpa dengan Amani?”

“Dah. Saya yang sebenarnya terlanggar dia,” beritahu Izz.

“Oh.” Bibir Tania membulat. Betul juga, bukankah Abang Izz yang menemani papa tadi?

“Jadi?” Sebelah kening Tania terangkat.

“Jadi?” tanya Izz kembali. Keningnya berkerut kerana tidak memahami maksud pertanyaan Tania.

“Apa pendapat Abang Izz tentang dia?” Ada satu perasaan ingin tahu berputik dalam hati Tania.

Izz sudah tertawa besar mendengar soalan itu. Seraut wajah Amani menerpa di ruang ingatan Izz. “Mana dia?” tanya Izz sambil matanya meliar memandang ke dalam Rumah Utama.

“Ada di dalam. Berehat,” jawab Tania. Tiba-tiba sahaja satu perasaan cemburu menerpa dalam hatinya.

Kepala Izz terangguk-angguk. Bibirnya masih lagi menguntum dengan senyuman.

“Tania tahu, Amani tu cantik. Tapi Abang Izz dah janji akan jaga Tania, kan,” tegas Tania sambil menjeling Izz.

Izz ketawa lagi sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sudah sering kali Tania berbicara tentang janji yang pernah dilafazkannya dulu. Tapi Izz tak pernah menganggap perkara itu serius kerana dia yakin Tania hanya menganggapnya sebagai seorang abang. Apatah lagi Tania sudah mempunyai teman lelaki di sekolah. “Saya ingat. Tania dah macam adik saya tentulah saya akan jaga Tania.”

Tania mendengus perlahan. Setiap kali dia bercakap begitu, pasti Izz akan menjawab benda yang sama.

“Faiz sihat?”

Faiz, itulah nama teman lelaki Tania. Izz juga sering menjadi tempat Tania meluahkan perasaannya jika Tania mempunyai masalah dengan Faiz.

“Dia sihat, bang,” jawab Tania acuh tidak acuh.

“Okeylah, saya keluar dulu dengan Pak Bakar. Saya perlu cari maklumat tentang Amani.” Izz berlalu pergi.

Tania hanya mengekori langah Izz dengan sorotan matanya.

-----------@@-------------
TERIMA KASIH - ER
------------@@-----------