TUAN
IDRUS yang sedang sibuk
menyemak bil-bil yang masih belum dibayar terus mengangkat kepala tatkala pintu
pejabatnya dibuka. Muncul Tania bersama dulang di tangan. Dulang yang diisi
dengan teko kecil teh panas, cawan dan sepiring kuih-muih diletakkan di hadapan Tuan Idrus yang sedang duduk di sofa.
“Macam mana?” Tuan Idrus memandang Tania.
Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya
perlahan. Dia menuang teh panas ke dalam cawan kosong lalu diserahkan cawan itu
kepada Tuan Idrus. “Tania dah hantar dia pergi ke bilik tetamu untuk berehat.”
“Baguslah. Terima kasih, sayang.” Tuan Idrus
menghirup sedikit teh panas yang masih berkepul-kepul asapnya.
“Siapa dia papa? Sombong sangatlah. Kita dah
buat baik dengan dia, boleh pulak dia jeling-jeling dekat kita,” rungut Tania.
Bibirnya sudah dimuncungkan.
Tuan Idrus ketawa kecil mendengar rungutan Tania.
“Biarkanlah. Dia tu ada masalah. Jangan ambil hati
sangat. Orang kalau ada masalah, macam tulah,” pujuknya lalu
kembali menunduk dan melihat bil-bil di tangan.
“Macam mana papa tahu yang dia ada masalah?”
Tuan Idrus melangut semula memandang Tania. “Ada
perkara yang boleh kita fahami tanpa berkata apa-apa. Ada perkara yang tetap
kita tak akan faham walaupun dinyatakan secara terang dan diulang-ulang.”
Tania hanya menjongketkan kening tanpa memahami
kata-kata itu.
“Papa minta, Tania berbaik-baik dengan dia
supaya dia akan beritahu kita siapa keluarga dia. Kemudian, kita akan hantar
dia pulang.”
“Jangan-jangan, budak tu lari rumah tak papa!”
Mukanya sudah menunjukkan riak terkejut.
“Kita siasat dulu, baru kita akan tahu. Tania
akan tolong papa, kan?”
“Tentulah.” Jika permintaan papanya, tentu saja
dia akan turuti.
“Tania dah masuk bilik Tania?” Tuan Idrus
mengubah topik perbualan mereka.
“Belum lagi, pa. Kenapa?” tanya Tania
kembali.
Tuan Idrus memandang Tania yang sudah berganti
baju.
“Tania mandi di mana?” soalnya.
“Tania tumpang bilik Kak Min.” Tania sudah
tersengih-sengih.
Begitulah kebiasaan Tania. Menumpang kasih daripada
para pekerja sejak ibunya meninggal
dunia. Apatah lagi, Tuan Idrus juga
tak punya banyak masa untuk diluangkan bersama Tania.
“Jadi, Tania belum tengoklah hadiah yang papa beli untuk Tania?”
Tania sudah ternganga luas. Bagaimana dia boleh
lupa tentang itu? Ini semua kerana dia sibuk berfikir tentang Amani.
“Tania pergi tengok sekarang!” Tania sudah
berlari keluar dari situ.
Tergeleng-geleng kepala Tuan
Idrus. Dia bangun dan mengekori langkah Tania dengan perlahan. Pintu pejabat
peribadinya ditutup rapat.
Tania sudah berlari masuk ke dalam kamarnya yang
bertentangan dengan kamar di mana Amani berada. Sampai di dalam kamarnya, dia
melihat dua anak patung beruang berada di atas kabinet. Wajahnya bersinar
ceria.
“Wah!” Matanya membulat memandang kedua-dua anak
patung beruang itu. Kedua-duanya sama cantik.
Tania mengambil anak patung beruang yang bewarna
merah jambu. Comelnya! Hatinya sudah bersorak girang. Warna kesukaannya.
“Tania suka?” Tuan Idrus sudah muncul di situ.
“Suka sangat. Terima kasih, papa,” soraknya dengan girang. Pandangan Tania jatuh pula pada sebuah lagi
anak patung beruang lalu mengambilnya.
“Yang ini pun cantik,” pujinya.
“Yang itu, papa nak hadiahkan untuk Amani. Tapi
dia tak nak,” beritahu Tuan Idrus tanpa berselindung.
Tania menggeleng kepalanya mengenang sikap
Amani. Langsung tak tahu menghargai pemberian orang. Apa salahnya dia ambil?
Papa dah susah payah beli untuk dia!
“Biarlah papa. Kalau dia tak nak, biar Tania
yang ambil.” Tania cuba menyedapkan hati Tuan Idrus.
Tuan Idrus sudah ketawa. “Mana boleh sayang,
buruk siku namanya. Papa beri kepada dia.
Lepas tu, terpulang pada dia nak buat apa.”
Tania mengetap bibirnya dengan rapat. Benar juga
kata papa. Tania meletakkan kembali anak patung beruang itu.
“Nanti, kalau Amani sudah mahu berbaik dengan
Tania, Tania berikan anak patung ini kepada
dia, boleh?”
“Baiklah, papa.” Tania mengiakan juga walaupun
hatinya.
“Okey, sayang. Papa keluar dulu. Papa nak cari
ilham.” Satu ciuman sayang hinggap di dahi Tania lalu dia menghilangkan diri.
Tania duduk di birai katil. Dia menarik nafas
panjang.
“Kau tahu apa maknanya Pinky?” Tania berbicara
dengan anak patuang beruang barunya dan sekali gus telah
memberikannya nama.
“Papa nak melukis untuk corak baru. Papa tak
suka kalau kita kacau papa sampailah papa siapkan corak baru untuk kain papa.”
Sekali lagi Tania menarik nafas panjang lalu meletakkan Pinky di tepi. Dia
memandang pula pada anak patung beruang yang sepatutnya diberikan
kepada Amani.
“Apa kata, kalau aku namakan kau... hmm...”
Tania mengetuk-ngetuk jari telunjuk kirinya di dagu sambil berfikir nama yang
sesuai untuk diberikan pada anak patung beruang itu.
“Kalau yang ini Pinky, aku panggil kau, Krimy!”
Tania mengangkat Krimy ke dalam pelukannya.
Ingatan Tania terimbas semula kepada
Amani. Lalu dia bangun dan menuju ke kamar yang bertentangan dengan kamarnya.
Perlahan-lahan dia membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Tania terus
terlopong. Di hadapannya kini, Amani sedang tidur di atas lantai berbantalkan
beg galasnya.
Tania terus terpaku di situ. Dia tertanya-tanya
sendiri, mengapa Amani tidak tidur di atas katil? Kalau dia merasa tidak selesa
di atas katil, dia masih boleh tidur di atas sofa. Tapi kenapa dia perlu
berbaring di atas lantai?
Amani bergerak-gerak sedikit lalu kepalanya terjatuh
ke lantai. Tetapi itu tidak membuatkan Amani bangun daripada
tidurnya. Ternyata, Amani benar-benar keletihan.
Tania mahu berpusing dan meninggalkan Amani,
tetapi kemudian dia teringat semula permintaan Tuan Idrus yang mahu dia mencari
di mana Amani tinggal. Dia pasti, Amani tak mungkin berbaik dengannya dan
memberitahu di mana tempat tinggalnya. Bisikan hatinya berkata begitu.
Tania
berpaling semula memandang Amani. Matanya terus melekap pada beg galas Amani.
Pasti ada sesuatu di dalamnya yang boleh memberi maklumat kepada mereka. Perlahan-lahan
Tania menghampiri Amani dan duduk di tepinya. Krimy diletakkan di lantai. Wajah
Amani yang tenang dalam tidurnya diperhatikan. Setelah merasakan Amani tidak
akan terganggu dengan kedatangannya, perlahan-lahan Tania mengambil beg gelas
Amani dan membukanya. Dia membuka dengan begitu berhati-hati agar tidak
terkeluar walau satu bunyi pun.
Di dalam beg itu terdapat beberapa helai baju
Amani dan barang-barang keperluannya yang lain. Dia menyelongkar lagi sambil
matanya sesekali akan memerhatikan Amani. Apabila dia membuka satu lagi zip
yang paling depan, dia terjumpa sebuah buku nota kecil. Di depannya tertulis, Amani dan Hafiz. Di
situ juga tertulis satu alamat.
Mungkin inilah alamat rumah Amani, bicara
hati Tania. Tanpa membuang masa Tania terus mengoyak sekeping kertas daripada
buku nota itu. Kebetulan, memang terdapat sebatang pen di dalam beg Amani.
Terus dia menyalin alamat tersebut. Kemudian, dengan perlahan dia meletakkan
kembali beg galas Amani di sebelah gadis itu semula. Terjengket-jengket dia
berjalan keluar setelah dia mencapai Krimy. Pintu ditutup rapat-rapat dengan
penuh hati-hati.
Tania sudah tersenyum gembira. Akhirnya, dia
dapat juga satu petunjuk tentang Amani. Dia mahu menemui Tuan Idrus walaupun
dia tahu Tuan Idrus sedang mencari ilham. Dia pasti, Tuan Idrus akan gembira
dengan maklumat yang dijumpainya. Ketika Tania keluar dari rumah, dia
berselisih dengan Izz.
“Abang Izz!”
Izz yang baru keluar dari Kamar Ilham setelah
berjumpa dengan Tuan Idrus tersenyum melihat wajah ceria Tania. “Ada apa ni?
Nampak happy aje.”
“Tania dah dapat alamat Amani,” ujar
Tania separuh berbisik. Tania mengibas-ngibas kepingan kertas yang terdapat
alamat Amani di depan muka Izz.
Mata Izz membulat sambil senyumannya semakin
lebar. Terus dirampas kepingan kertas itu daripada Tania.
Dia membaca alamat yang tertulis.
“Hebatnya Tania,” pujinya.
Tania hanya tersengih-sengih menerima pujian
itu.
“Nampaknya senanglah kerja saya macam ni. Saya
simpan alamat ni, ya.”
“Huh? Tapi Tania nak beri kepada papa.”
Wajah Tania sudah berkerut.
“Saya baru berjumpa dengan Tuan Idrus. Dia minta
saya siasat tentang Amani.”
“Oh.” Terangguk-angguk kepala Tania. “Abang Izz
dah jumpa dengan Amani?”
“Dah. Saya yang sebenarnya terlanggar dia,” beritahu Izz.
“Oh.” Bibir Tania membulat. Betul juga, bukankah Abang
Izz yang menemani papa tadi?
“Jadi?” Sebelah kening Tania terangkat.
“Jadi?” tanya Izz kembali. Keningnya berkerut
kerana tidak memahami maksud pertanyaan Tania.
“Apa pendapat Abang Izz tentang dia?” Ada satu
perasaan ingin tahu berputik dalam hati Tania.
Izz sudah tertawa besar mendengar soalan itu. Seraut
wajah Amani menerpa di ruang ingatan Izz. “Mana dia?” tanya Izz sambil matanya
meliar memandang ke dalam Rumah Utama.
“Ada di dalam. Berehat,” jawab Tania.
Tiba-tiba sahaja satu perasaan cemburu menerpa dalam hatinya.
Kepala Izz terangguk-angguk. Bibirnya masih lagi
menguntum dengan senyuman.
“Tania tahu, Amani tu cantik. Tapi Abang Izz dah
janji akan jaga Tania, kan,” tegas Tania sambil menjeling Izz.
Izz ketawa lagi sambil menggeleng-geleng
kepalanya. Sudah sering kali Tania berbicara tentang janji yang pernah
dilafazkannya dulu. Tapi Izz tak pernah menganggap perkara itu serius kerana
dia yakin Tania hanya menganggapnya sebagai seorang abang. Apatah lagi Tania
sudah mempunyai teman lelaki di sekolah. “Saya ingat. Tania dah macam adik saya
tentulah saya akan jaga Tania.”
Tania mendengus perlahan. Setiap kali dia
bercakap begitu, pasti Izz akan menjawab benda yang sama.
“Faiz sihat?”
Faiz, itulah nama teman lelaki Tania. Izz juga
sering menjadi tempat Tania meluahkan perasaannya jika Tania mempunyai masalah
dengan Faiz.
“Dia sihat, bang,” jawab Tania
acuh tidak acuh.
“Okeylah, saya keluar dulu dengan Pak Bakar.
Saya perlu cari maklumat tentang Amani.” Izz berlalu pergi.
Tania
hanya mengekori langah Izz dengan sorotan matanya.
-----------@@-------------
TERIMA KASIH - ER
------------@@-----------
TUAN IDRUS yang sedang sibuk menyemak bil-bil yang masih belum dibayar terus mengangkat kepala tatkala pintu pejabatnya dibuka. Muncul Tania bersama dulang di tangan. Dulang yang diisi dengan teko kecil teh panas, cawan dan sepiring kuih-muih diletakkan di hadapan Tuan Idrus yang sedang duduk di sofa.
-----------@@-------------
TERIMA KASIH - ER
------------@@-----------
No comments:
Post a Comment