Friday 19 February 2010

Saat Hati Merelakan 27

WES berjalan mengelilingi kawasan rumah itu. Setibanya di belakang halaman, dia terlihat sepohon pokok mangga telur yang besar dan berbuah banyak. Di bawah pohon itu terdapat sebuah buaian besi.


Wes menghampiri dan melabuhkan punggungnya di atas buaian itu. Dia melihat kawasan sekeliling yang dipenuhi dengan bunga-bunga kertas yang berwarna-warni. Tenang dan mendamaikan.

Di waktu pagi begini, matahari masih belum menampakkan wajahnya. Jalanraya tidak begitu banyak kenderaan yang lalu lalang.

Dia bercuti selama seminggu. Tapi dia sendiri tidak tahu agenda yang perlu diisi selama percutiannya. Keluarganya akan pulang lusa. Dia ada terfikir untuk membawa mereka berjalan-jalan melihat seluruh Pulau Pinang. Apatah lagi mengenangkan adik-adiknya tidak pernah menjejakkan kaki di negeri itu.

Lina dan Maria, dua adik kembar seirasnya yang begitu manja dengannya. Mereka baru berusia enam belas tahun. Malah jarak umur mereka tiga belas tahun. Mungkin kerana itu, adik-adiknya rapat dengannya. Malah dia juga amat menyayangi mereka.

Sepintas kemudian dia teringat kepada isterinya, Maya Qismyna binti Malik. Cantik, tetapi agak pemarah dan kurang sabar. Mungkin kerana membenci sebab itulah dia berkelakuan begitu padanya. Ya, mana-mana gadis jika berada di tempat Qismyna akan berkelakuan yang sama dengannya.

Tetapi pada pandangannya, Qismyna adalah seorang gadis yang berterus-terang dan tak menyembunyikan perasaannya. Ini kerana secara terus terang gadis itu memberi layanan yang buruk kepada keluarganya. Tetapi syukurlah ibu dan ayahnya mengerti. Malah mereka menasihatinya agar sentiasa bersabar dengan sikap Qismyna. Ibu dan ayah mertuanya juga sering memintanya bersabar.

Segalanya kebetulan. Perjalanan hidup yang tidak dirancang sama sekali. Dalam perancangannya hanya Farahymma yang akan menjadi suri hidupnya. Namun keadaan tak mengizinkan begitu.

Seketika kemudian fikirannya merewang mengimbas semula malam kelmarin yang sepatutnya menjadi malam pertama impian setiap pasangan yang berumahtangga. Namun, malam itu berlalu dengan pertengkaran antara dia dan Qismyna.

Selepas saja dia melangkah keluar dari bilik mandi, Qismyna telah menghilangkan diri. Dia tidak pasti Qismyna di mana. Selepas bersiap, niat di hatinya ingin turun ke bawah mencari Qismyna. Belum sempat dia melangkah gadis itu telah muncul semula dengan berbaju T dan track bottom. Mungkin dia telah mandi di bilik air bawah.

Mereka bertentang mata sebentar sebelum Qismyna melemparkan jelingan padanya dan berlalu membuka almari. Dia hanya memerhatikan saja setiap pergerakan Qismyna.

Maya mengeluarkan comforter dan menghamparkannya di bawah. Dua biji bantal di sediakan sekali. Lalu dia menghadap semula pada Wes. Wes yang sedarinya hanya memerhati berpeluk tubuh seolah-olah menanti apa yang ingin di katakan Qismyna.

“Awak tidur bawah,” Qismyna terus melabuhkan badannya di atas tilam dan berpaling ke belakang.

“Kenapa pula saya kena tidur bawah. Kalau awak tak suka saya tidur dengan awak, awak jelah yang tidur kat bawah.” Tanpa memperdulikan reaksi Qismyna, Wes terus meletakkan badannya di sebelah Qismyna. Dengan pantas Qismyna terus duduk dan merenung tajam pada Wes. Wes yang tidak mahu mengalah, ikut duduk dan membalas renungan Qismyna.

“Awak memang melampau!” Qismyna bersuara geram walau pun perlahan. Mungkin dia tidak mahu mengganggu ketenteraman orang di dalam rumah itu yang barangkali sudah pun lena di buai mimpi.

“Awak jangan mimpilah nak sentuh saya. Untuk pengetahuan awak, hanya orang yang saya sayang saja yang layak berada di atas katil ini. Bukan awak!”

“Siapa? Kekasih? Tunang? Oh....lupa pulak. Ex-bakal tunang, jadi kekasih lah, kan?” Wes menepuk dahi. Qismyna mencebik geram. “Apa hak kekasih awak? Saya suami awak tahu.” Wes tersenyum sinis.

‘Inilah masanya untuk menunjukkan kuasa sebenar seorang suami.’ Wes tersengih lagi. Mungkin kerana geram, Qismyna bingkas turun dari katil.

“Hanya orang yang saya cintai saja layak manyentuh tubuh saya, faham!” Kali ini suaranya agak tinggi. “Walau pun kita telah bernikah, tapi bagi saya awak bukan sesiapa dalam hidup saya.”

“Awak pun bukan sesiapa dalam hidup saya,” balas Wes kemudian. “Saya ada pilihan hidup sendiri. Seseorang yang jauh lebih baik daripada awak.”

“Kalau macam tu, tak susah. Lepaskan saya!” Qismyna merenungnya tajam. “Awak sebenarnya dah rancang semua ni. Awak memang sengaja nak musnahkan hidup saya, kan?” Wes pura-pura tidak mengendahkan Qismyna.

Qismyna yang melihat kelakuan Wes yang tidak mengendahkannya merasa amat marah dan geram. Lelaki itu seperti tembok yang berdiri tegak tapi tidak mempunyai telinga. Kemudian dia tersenyum. Dia mendapat akal.

“Atau.....awak sebenarnya dah jatuh cinta dengan saya? Sebab tulah awak rancang semua ni. Supaya awak boleh bersama dengan saya.” Dia tersenyum sinis.

“Saya jatuh cinta pada perempuan yang sombong macam awak? Perempuan yang tak tahu mengucapkan terima kasih bila ditolong?” dia ketawa mengejek. “Jangan-jangan awak takut kalau kita berkongsi katil, awak akan jatuh cinta dengan saya dan merayu pada saya jangan ceraikan awak.” Wes sengaja membakar kehangatan perdebatan mereka.

“Tolong....sikit! Setakat berkongsi katil tak memungkinkan saya untuk berkongsi hati dengan awak!” Qismyna begitu yakin dengan setiap pengucapannya. “Kalau saya jatuh cinta dengan awak, saya akan potong rambut saya hingga paras telinga.”

Pandangan mata Wes jatuh pada rambut lurus Qismyna yang melepasi paras bahu. Maya memiliki rambut lurus yang cantik semulajadi dan kelihatan lembut. Sayang jika rambut itu dipotong.

‘Ah...tak mungkin aku akan lakukan itu. Adam tak suka aku berambut pendek. Rambut ku mesti panjang. Sekurang-kurangnya melepasi paras bahu.’

Wes kaget dengan kata-kata Qismyna. Seolah-olah syarat untuk jatuh cinta sesama mereka akan diikat dengan perjanjian. Tapi bunyinya seperti menarik juga. Nampak gayanya ada pertandingan dalam rumahtangga ‘paksanya’. Wes termenung seketika kemudian bersuara.

“Baiklah, saya pula akan hias setiap sudut bilik ini dengan bunga matahari. Itu tandanya saya telah jatuh cinta pada awak.”

‘Jangan harap. Sampai mati pun aku takkan hiaskan bunga matahari untuk kau. Aku hanya akan hiaskan jika yang menjadi suri hidupku adalah Farah kerana itu adalah bunga kegemaranku. Tapi sayang, Farah lebih menyukai mawar merah. Lagipun, aku bukannya reti bab hias-menghias ni.’

Qismyna terkejut dengan balasan dari Wes. Dia sendiri kurang pasti, adakah dia penyebabnya hingga perjanjian ini termeterai? Ah...nampak gayanya memang dia perlu menunggu lebih lama lagi untuk dibebaskan. Tapi untuk menarik balik....Tak mungkin! Ego menguasai diri. Dia takkan kalah dalam pertarungan ini.

‘Apa dia ingat aku akan jatuh cinta dengan tidur sekatil dengan dia?!’

Qismyna mematikan pertengkaran mereka dengan melabuhkan semula badannya di atas katil. Sempat dia memberi amaran agar Wes tidak sesekali menyentuh dirinya. Wes turut berbaring di sebelahnya.

Namun, dia tidak terus tidur di situ. Setelah pastikan Qismyna telah lelap, dia bangun dan tidur di atas comforter yang disediakan Qismyna sebentar tadi. Dia sebenarnya tak ingin bermusuh dengan isterinya itu, tapi ada kalanya dia geram kerana isterinya sukar di bawa berbincang. Walau pun mereka baru bernikah selama sebulan, namun sedikit sebanyak Wes dapat membaca sikap Qismyna.

Wes menghembus nafas panjang. Dia memandang mentari pagi yang mula menampakkan dirinya. Wajah Farahymma muncul bersama sinaran mentari sambil tersenyum padanya.



QISMYNA melangkah menuruni satu persatu anak tangga. Di pertengahan, dia menghentikan langkah kakinya. Dia melihat ibunya dan ibu mertuanya sedang rancak berborak. Dia membuang pandangannya ke luar rumah.

Kelihatan Zurin sedang berbual mesra dengan Maria dan Lina. Sesekali mereka ketawa gembira. Qismyna menghembuskan nafas. Dia terasa sunyi di dalam rumah yang besar dan dihuni ramai orang itu. Dia terasa disisihkan dari mereka.

“Qis......mari turun, nak.” Terdengar suara halus menegurnya. Dia berpaling.

Puan Wati tersenyum padanya lalu menganggukkan kepala seperti mengajak Qismyna mendekatinya. Pandangan Qismyna beralih kepada Puan Suria.

Puan Suria memberi isyarat agar Qismyna menuruti permintaan ibu mertuanya. Qismyna mengetap bibir. Lambat-lambat dia menghampiri mereka lantas duduk di samping ibunya.

“Lusa ibu dah nak balik Sabah,” ujar Puan Wati. “Nanti kalau ada masa Qis datanglah melawat ibu di Sabah dengan Wes. Ibu teringin nak kenalkan Qis dengan kawan-kawan ibu.”

“Ibu dan ayah mertua Qis ni asalnya orang Kuantan. Tapi dah hampir sepuluh tahun menetap di Sabah,” beritahu Puan Suria. Qismyna mengangkat keningnya.

Patutlah Wes dan juga keluarganya yang lain begitu fasih berbahasa Melayu semenanjung. Qismyna cuma tersenyum.

“Tapi, tak lama lagi, ibu dan ayah akan kembali semula ke semenanjung,” beritahu Puan Wati lagi.

“Bila?” Walaupun tidak suka, Qismyna cuba juga untuk berinteraksi dengan wanita itu. Puan Wati pula merasa senang dengan pertanyaan Qismyna. Rasanya, inilah pertama kali Qismyna berbual dengannya.

Sewaktu mula-mula dia mendapat berita tentang perkahwinan yang memalukan antara anaknya dan Qismyna, mereka sekeluarga merasa amat marah.

Namun, setelah Tuan Malik dan Puan Suria menjemputnya datang ke sini, mereka cuba untuk membina hubungan baik dengan keluarga itu. Lebih-lebih lagi bila mengetahui apa yang berlaku adalah kerana salah faham. Mereka menjadi simpati kepada Wes dan juga Qismyna kerana terperangkap dalam keadaan itu.

Mungkin Wes tidak merasakan apa-apa. Tetapi bagaimana dengan gadis seperti Qismyna. Tentu saja gadis itu lebih tertekan berbanding dengan anak mereka.

Setibanya mereka di sini, mereka menjadi lebih terkejut apabila melihat Manisa juga berada di sini. Rupa-rupanya, Manisa telah bertunang dengan anak Tuan Malik. Patutlah sewaktu Tuan Malik sekeluarga menjemputnya di Lapangan Terbang, dia merasakan mereka pernah bersua sebelum ini.

Syukurlah, hubungan Wes dan Manisa kelihatan lebih baik berbanding dulu. Dahulu, Wes dan Manisa tidak boleh bersama. Bila bersama mereka akan bertengkar. Tetapi kini mereka boleh berbual dan berbincang bersama. Malah mereka kelihatan seperti kawan yang rapat.

“Enam bulan lagi, ayah akan dinaikan pangkat dan kami akan berpindah ke semenanjung. Tapi tak tak tahu lagi di mana.” Puan Wati dan Puan Suria tersenyum sesama sendiri. “Sebelum kami berpindah, ada baiknya Qis ke Sabah. Dapatlah juga Qis bermalam di rumah ibu sebelum kami berpindah ke sini.”

“Kalau boleh, Wati mintalah Wahid jumpa dengan bosnya dan minta supaya dia ditukarkan ke sini,” cadang Puan Suria.

Qismyna mengusap lehernya. Dia rasa tak senang dengan cadangan ibunya. Andai kata mertuanya berpindah ke sini, tentu hidupnya akan menjadi lebih huru-hara.

“Tak tahulah, kak. Tapi Wati ada dengar cerita yang Abang Wahid akan ditukarkan ke Kuala Lumpur.” Puan Wati mengetap bibir. “Tapi tak pe, nanti Wati minta Abang Wahid berbincang dengan bosnya.”

Puan Suria tersenyum mendengar persetujuan Puan Wati. Dia gembira seandainya mereka berpindah ke sini. Tentu hubungan keluarga ini semakin rapat. Apatah lagi bila mengingatkan Puan Wati sekeluarga adalah satu-satunya besan yang dia ada.

Zainal, menantunya yang berkahwin dengan anak perempuannya Almi adalah anak yatim piatu dan tiada saudara mara. Mengenangkan Zainal dan Almi, dia merasa sedikit kesal. Walau pun mereka telah mendirikan rumahtangga hampir dua tahun, namun tanda-tanda anaknya itu akan melahirkan zuriat masih belum ada.

“Mak.....ibu....” panggil Qismyna. Puan Wati tersenyum gembira mendengar panggilan ibu dari Qismyna. “......Qis nak ke luar dulu. Ambil angin sekejap.”

Puan Suria dan Puan Wati tersenyum sambil pandangannya mengekori Qismyna yang berjalan ke belakang.

Qismyna mengaturkan langkahnya ke dapur. Dia melihat pintu belakang yang terbuka lalu menuju ke situ. Di pintu itu dia berdiri dan matanya liar melihat-lihat siapa yang berada di halaman belakang.

Matanya menangkap susuk tubuh seseorang yang sedang berhayun di buaian. Dia pasti, itu tentu Wes. Hanya dia satu-satunya lelaki yang masih berada di rumah itu memandangkan Tuan Malik dan Ariff sudah ke pejabat. Ayah mertuanya pula, Encik Wahid juga tiada kerana mengikuti mereka untuk melawat pejabat.

Dia berpaling untuk melangkah ke dalam. Tetapi tiba-tiba dia terdengar satu suara kasar menegurnya. Dia berpaling ke belakang. Wes berdiri tidak jauh darinya.

“Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak.”

Maya berkira-kira perlukah dia menurut permintaan Wes atau pun berlalu begitu sahaja. Akhirnya, kakinya melangkah ke luar dan duduk di atas buaian. Wes menghampiri Maya dan duduk di sisinya.

Maya memeluk tubuh sambil pandangannya berpaling dari melihat lelaki di sebelahnya.

“Bincang apa?” tanyanya dengan kasar.

“Cuti.....saya nak bincang pasal cuti. Kita cuti seminggu, kan? Jadi, apa rancangan awak.”

“Awak panggil saya sebab nak bincang pasal hal ni?” Qismyna mencebik mukanya. “Rancangan saya tak de kaitan dengan awak. Macam mana awak nak uruskan cuti awak, terpulang kepada awaklah.” Qismyna menjeling sekilas pada Wes sebelum melangkah bangun meninggalkan lelaki itu.

Wes membontoti langkah Qismyna dengan matanya. Lalu dia menggeleng-gelengkan kepalanya dengan tindakan gadis itu.

“Degil!” Wes mendengus geram.

“Apa?!” tiba-tiba Qismyna muncul semula.

Wes agak terkejut melihat Qismyna masih di situ. Sangkanya Qismyna telah pun melangkah masuk ke dalam rumah.

Qismyna menghampiri lelaki itu dan berdiri tegak di depannya sambil memeluk tubuh. Qismyna mengangkat-ngangkat keningnya. Wes mengerutkan keningnya lalu mengangkat-ngangkat semula keningnya pada Qismyna.

“Apa awak cakap kat saya tadi?! Berani mengata belakang tapi depan senyap!”

“Heh!” Wes ketawa sinis. “Awak ingat saya takut dengan awak?!” Tangan kirinya mencekak pinggang. “Saya cakap awak degil! De....giiiil!!!”

Qismyna mengetap bibir menahan rasa geram. Dia mencekap pinggangnya sambil matanya terjegil memandang Wes. Wes rasa ingin ketawa melihat gadis itu tetapi dia menahan tawanya.

“Saya degil?! Suka hati awak je nak nilai orang. Awak tu kenal sangat ke dengan saya?” Qismyna menjeling. “ Baru kahwin sebulan dah berlagak,” ujarnya perlahan tetapi dapat ditangkap oleh Wes.

“Sebulan tu dah cukup untuk saya kenal awak. Degil! Sombong!” Wes sengaja menyakitkan hati Qismyna. Qismyna mengetap bibir menahan rasa marah.

“Saya malaslah nak layan awak. Saya nak pergi kerja. Awak habiskanlah cuti awak sorang-sorang.” Qismyna terus berlalu pergi.

2 comments:

  1. hohoho...
    nurin suke kat fauzan...
    tp sygnya fauzan mncntai org lain...
    cnta 3 segi ni...

    ReplyDelete
  2. trimas kpd epy elina krn sudi mgikuti cite ni........tq!

    ReplyDelete