Seorang remaja bertemu dengan seorang guru silat yang warak. Dia berkata, “Tuan guru tolong ajarkan saya ilmu persilatan.”
“Boleh, syaratnya kamu mesti mentaati perintah ku.”
“Insya-Allah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?”
“Sekarang juga. Kau pergi ke hadapan mihrab masjid tu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama.”
“Tetapi saya berhajat belajar silat bukannya belajar ilmu agama.”
“Bukankah telah aku katakan tadi, mesti taat baru boleh belajar silat!” tegas Tok Guru.
“Ya…Ya…”
Maka tinggallah remaja itu berbulan-bulan di situ. Kerjanya tidak lain selain menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai sehingga habis. Habis sebuah, dia beralih kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab telah disemaknya menggunkan ibu jari dan jari telunjuknya.
Selepas enam bulan dia merasa sungguh bosan. Dia masih belum diajar walau sedikit pun ilmu persilatan. Sedangkan kawan-kawannya yang belajar dengan guru-guru lain kini telah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.
“Tok Guru saya ingin berhenti. Tiada apa pun silat yang saya belajar di sini. Saya ingin pulang.”
“Tetapi tok sudah pun mengajar kamu ilmu silat!”
“Mengajar ilmu silat? Jangankan menumbuk dan menendang, melangkah saja pun saya belum diajar!”
“Pulanglah, kamu akan faham apa yang Tok maksudkan.”
Apabila pulang ke kampung dia merasa rendah diri dengan berbanding kawan-kawannya. Mereka semua sudah mahir bersilat.
Suatu petang, sedang dia melihat kawan-kawannya bersilat di padang, tiba-tiba seorang dari kawannya jatuh dan kakinya tergeliat.
“Aduh!! Kakiku!!”
Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat sehingga kaki kawannya melecet dengan teruk dan kaki yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.
“Apa yang buat pada kakiku??!! Sakit!!!”
Dia terkejut. Kini barulah dia sedar ibu jarinya punya kuasa yang kuat. Kekuatan yang menyamai penyepit besi.
Itulah kekuatan daripada ilmu silat Tok Gurunya yang dipindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh hari!
Pengajaran:
Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras. Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah.
No comments:
Post a Comment