Monday, 4 April 2011

Hanya Dia 53

TUAN SYED menyandarkan diri di kerusi. Matanya dipejam sekejap setelah merasa kering dan letih kerana terlalu mengadap fail-fail yang bertimbun di atas mejanya.

Memang hari itu dia sengaja pulang awal untuk berehat. Namun keinginannya untuk berehat sering kali terpaksa dilupakan.

Guruh yang membelah bumi dan cahaya kilat yang memancar-mancar di luar jendela membuatkan Tuan Syed membuka matanya kembali. Dia menyelak langsir. Hujan turun mencurah-curah. Tuan Syed kembali menutup jendela.

Matanya terpandangkan potretnya bersama Syarifah Nurain. Dia mengeluh. Di sebelah potret itu tergantung potret walidnya, Syed Hakim yang kelat dan masam wajahnya. Memang dia akui, walaupun ketika mahu bergambar walidnya itu tidak pernah sedikit pun mengukir senyuman. Wajahnya sentiasa bengis dan tidak mesra. Menurutnya, sikap Syed Hakim memang banyak diwarisi olehnya dibanding abang sulungnya.

Mengingatkan arwah abangnya itu, dia kembali menatap potret isterinya. Pada asalnya, memang abangnya yang akan dijodohkan dengan isterinya itu. Namun, kerana cinta abangnya membawa diri bersama gadis yang dicintai.

Memang dia merasa bertuah setelah merasakan abangnya itu telah dibuang dari keluarga. Namun tuah tidak menyebelahinya. Syarifah Nurain gagal memberikan zuriat lelaki untuknya. Sebaliknya, Syed Zarkasyi dan Nurul Anis pula yang dikurniakan zuriat lelaki.

Sedangkan di dalam rumah ini, seorang zuriat lelaki diperlukan untuk mewarisi Warisan Syed. Setelah lima tahun berkahwin mereka hanya memiliki Syarifah Ilyana sebagai pewaris. Walau dicuba pelbagai cara, namun tanda-tanda Syarifah Nurain hamil lagi tetap tiada. Sehinggalah pada suatu saat, Syarifah Nurain mengidap kanser rahim sehingga menyebabkan isterinya perlu membuang rahim untuk menyelamatkan nyawanya.

Sejak dari itu dia meletakkan jurang antara mereka. Dia sangat kecewa kerana harapannya untuk memiliki zuriat lelaki dan pewaris untuk Syed Hakim tidak kesampaian. Sejak itu dia tahu, Warisan Syed tak mungkin akan diwarisinya. Pastinya walid akan menyerahkan Warisan Syed pada Syed Zarkasyi.

Memikirkan perkara itu, dia telah memberi amaran kepada Syarifah Nurain agar merahsiakan tentang kanser rahim yang dihidapinya dan pembedahan yang telah dijalankan. Dia tidak mahu harapan yang diletakkan Syed Hakim agar mereka berdua dikurniakan zuriat lelaki hancur begitu sahaja. Sudahlah dia sendiri sukar diterima oleh Syed Hakim pada mulanya.

Tuan Syed menarik nafas perlahan. Memang dia jauh hati apabila mengetahui perkara sebenarnya. Kenyataan memang pahit. Lebih pahit jika mengetahui dia adalah anak yang tidak diperlukan dan tanpa sengaja telah lahir ke dunia ini.

Dia mengetahuinya pun ketika itu usianya baru menjangkau tujuh belas tahun. Tanpa sengaja dia terdengar perbalahan antara umi dan walid tentangnya. Memang walid sedang marahkannya kerana pelajarannya yang merosot. Tetapi itu semua berlaku kerana walid juga. Dia sering diabaikan dan dipinggirkan. Sedangkan abangnya sentiasa mendapat perhatian yang lebih dan sering menjadi kebanggaan.

Dalam perbalahan itu, baru dia mengetahui setelah walid dan umi dikurniakan Syed Zarkasyi, mereka berdua telah membuat keputusan tidak mahukan zuriat lagi. Walaupun Syarifah Hashima mengambil pil perancang namun kuasa Tuhan, dia disahkan hamil ketika Syed Zarkasyi berusia enam tahun. Syed Hakim mahukan Syarifah Hashima menggugurkan kandungannya, namun dihalang arwah atuk dan nendanya. Jika tidak, pasti dia tidak wujud di dunia ini.

Sejak dia mengetahui perkara itu, timbullah perasaan bencinya pada Syed Zarkasyi. Memang sedari dulu dia cemburukan kasih sayang yang diterima Syed Zarkasyi namun kerana abangnya itu selalu bersikap baik dan sentiasa menyebelahinya, dia tidak pernah menyimpan rasa dendam. Tetapi, di ketika itu juga perasaan bencinya pada Syed Zarkasyi meruap-ruap.

Dia sangat gembira setelah Syed Zarkasyi dibuang dari keturunan Syed Hakim. Dia sangat berpuas hati. Akhirnya, dia yang akan menjadi kebanggaan dan satu-satunya waris keturunan Syed Hakim. Tetapi kebahgiaannya tidak lama setelah Syed Hakim mendapat tahu yang dia dan Syarifah Nurain tak mungkin memiliki zuriat lagi selain Syarifah Ilyana.

Hatinya begitu sakit di saat dia menemani walid ke rumah Syed Zarkasyi. Mereka ke sana untuk menjemput semula Syed Zarkasyi ke Rumah Warisan. Tetapi syaratnya, hanya Syed Zarkasyi dan Syed Zikri sahaja yang akan dibawa bersama. Nurul Anis tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke Rumah Warisan.

Tersenyum lebar dia setelah Syed Zarkasyi menolak untuk kembali ke Rumah Warisan dan meninggalkan Nurul Anis.

Lapan tahun yang lalu, apabila mendapat berita tentang kemalangan yang meragut nyawa Syed Zarkasyi dan Nurul Anis, dia bertambah yakin Warisan Syed akan diserahkan padanya. Namun dia silap! Syed Hakim mencari lagi Syed Zikri dan mangajaknya untuk kembali ke Rumah Warisan. Mujurlah, Syed Zikri yang nampaknya sangat membenci Syed Hakim menolak mentah-mentah. Ketika itu Syed Zikri baru berusia dua puluh tiga tahun. Tetapi api kebencian yang ditunjukkannya sangat mendalam pada Syed Hakim.

Enam tahun berlalu sehinggalah Syed Hakim menghembuskan nafasnya yang terakhir, Warisan Syed masih belum diketahui statusnya. Sebulan selepas pemergian Syed Hakim, dia ke pejabat peguam yang bertanggungjawab menguruskan harta-harta pusaka Syed Hakim.

Menurut wasiat Syed Hakim, untuk mewarisi saham Syed Hakim sebanyak empat puluh tiga persen dan terus menjadi pemegang saham terbesar, dia mahukan Syed Hussin menikah seorang lagi dan dapatkan seorang zuriat lelaki. Setelah bayi itu selamat dilahirkan, isteri keduanya itu perlu diceraikan dan bayi itu perlu diambil dan dipelihara oleh Syarifah Nurain kerana dia tidak mahu menantu selain dari Syarifah Nurain. Seandainya Syed Hussin tidak menceraikan isteri keduanya itu, dia tidak akan menerima apa-apa dari harta peninggalannya melainkan saham yang menjadi miliknya kini iaitu saham Warisan Syed sebanyak lima belas persen.

Seandainya Syed Hussin tidak berbuat begitu, saham Syed Hakim yang sebanyak empat puluh tiga persen akan diserahkan kepada waris berikutnya iaitu Syed Zikri. Mendengarkan wasiat itu, dia menjadi takut. Tetapi dia diberi kesempatan sehingga Syed Zikri berusia tiga puluh lima tahun. Seandainya, Syed Zikri sudah berusia tiga puluh lima tahun dan Syed Hussin masih belum punya waris lelaki, maka saham itu akan diserahkan kepada Syed Zikri.

Tuan Syed mengeluh. Kini cuma tinggal empat tahun sahaja lagi sebelum Syed Zikri berusia tiga puluh lima tahun. Tetapi dia masih belum melakukan apa yang disuruh Syed Hakim. Sekarang, Warisan Syed diambil alih oleh peguam yang diamanatkan untuk menjaga harta-harta Syed Hakim sehingga tiba waktunya. Sahamnya yang sebanyak lima belas persen dicampur dengan saham Syarifah Nurain sebanyak sepuluh persen tidak memungkinkan suaranya di terima dalam setiap mesyuarat yang diadakan.

Dalam tempoh yang singkat ini dia masih berkira-kira untuk melakukan arahan Syed Hakim. Mengapalah walidnya, walaupun sudah meninggal masih mengarahnya untuk melakukan perkara yang tidak jelas. Kenapalah perkara seperti ini perlu berlaku dalam hidupnya?

Tuan Syed memicit kepalanya yang tiba-tiba terasa berdenyut. Dia kembali ke kerusi dan bersandar untuk menenangkan fikiran. Diluar, hujan masih turun mencurah-curah. Entah kenapa tiba-tiba dia merasakan dia memerlukan seorang teman. Dia terasa sunyi dan tertekan. Dia mahu seseorang menemaninya. Dia melirik foto Syarifah Nurain. Kalaulah isterinya itu berada di sisi saat ini, pasti dia tidak keseorangan.

Semuanya salah dia! Tak sepatutnya dia menghukum Syarifah Nurain hanya kerana tidak dapat memberikannya zuriat lelaki. Perlukah dia mengikuti saranan Syed Hakim untuk menikah satu lagi? Tetapi bukankah itu dia akan menghancurkan hidup isterinya itu apabila diceraikan dan bayinya diambil?

Sedang berfikir sendirian, kamar kerjanya diketuk dari luar dan muncul jururawat peribadinya, Suhana dengan senyuman yang manis.

Seperti biasa, Suhana menghampiri dan memeriksa kesihatannya. Tekanannya diambil, degupan jantungnya di dengar. Bau harum dari minyak wangi yang dipakai gadis itu membuatkan Tuan Syed rasa tenang seketika. Terasa jiwanya dibelai dengan haruman itu.

Gadis itu meletakkan ubat di tapak tangannya lalu menyerahkan segelas air kosong bersama senyuman yang mempersonakan. Segala-galanya tampak indah di mata Tuan Syed.

“Awak sangat cantik!” Tuan Syed berbicara romantis.

“Uh?” Terkedu Suhana.

Tuan Syed mendekati Suhana. Suhana yang kebetulan berdiri membelakangi dinding terpaku di situ. Lidahnya kelu apabila Tuan Syed semakin menghampiri.

Kenapa dengan Tuan Syed?

“Makan ubat Tuan Syed?” ujar Suhana lalu menghulurkan tangannya yang berisi beberapa biji ubat yang perlu dimakan lelaki itu. Tuan Syed memandang ubat-ubat itu sekali lalu kemudian pandangannya beralih memandang semula wajah Suhana dengan senyuman yang penuh mengharap.

Suhana menelan air liur beberapa kali. Dadanya berdegup pantas. Langkahnya semakin ke belakang apabila Tuan Syed menghampiri Namun langkahnya mati apabila tubuhnya menyentuh dinding. Tiada jalan untuknya melarikan diri.

Kenapa dengan Tuan Syed?

Satu langkah sahaja dengan Suhana, Tuan Syed menghentikan langkahnya. Dia mengangkat tangan lalu membelai pipi Suhana yang licin itu. Suhana memejamkan matanya. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Melihat kebisuan Suhana Tuan Syed semakin berani. Kali ini kedua-dua tangannya diangkat dan menyentuh pipi itu.

Tak! Aku tak boleh menyerah begitu sahaja!!

Suhana membuka mata lalu menolak tubuh Tuan Syed. Tuan Syed terkebelakang sedikit. Suhana memandang pintu. Seperti dapat mengagak yang gadis itu akan melarikan diri, dengan pantas Tuan Syed berlari ke pintu. Suhana juga berbuat begitu. Dia mahu menyelamatkan diri. Tetapi Tuan Syed tiba dahulu lalu mengunci pintu itu. kemudian dia berpaling dan menyandarkan tubuhnya di daun pintu sambil melihat Suhana dengan senyuman.

Bibir Suhana terketar-ketar. Apa yang perlu dilakukan kini? Terasa seluruh tubuhnya dingin dan kesejukan. Dia memerhatikan Tuan Syed yang kembali melangkah untuk menghampirinya. Sambil melangkah, satu persatu butang bajunya di buka.

Syikin!!! Mana kau syikin?? Kenapa kau tak sampai lagi??!!

Airmata Suhana mengalir di pipi. Dia memandang ruang kerja yang besar itu. Bagaimana dia bisa melarikan diri?

“Tolong Tuan Syed! Jangan buat saya macam ni?!” Suhana cuba menjauhkan dirinya dari lelaki itu.

Melihatkan respon Tuan Syed yang hanya tersenyum memandangnya, dia yakin Tuan Syed tidak makan dengan rayuannya sebegitu.

“Che Enon!! Tolong!! Syikin!! Che Enon!!! Tolong!!” Jerit Suhana.

Suhana menjerit dan terus menjerit meminta tolong. Namun jeritannya tenggelam dengan dentuman guruh dan hujan lebat di luar sana. Tiada seorang pun yang mendengar jeritannya.



SUHANA berlari dan terus berlari keluar dari perkarangan Rumah Warisan. Dalam kedinginan hujan yang lebat itu dia tetap terus berlari dengan mengharapkan hujan lebat yang turun mencurah-curah itu bisa membasuh tubuhnya yang kotor. Di saat ini dia sendiri merasa jijik dengan dirinya.

Dia berlari dan terus berlari sehingga dia tidak perasankan sebuah kereta sedang meluncur di jalanraya.

Melihatkan cahaya dan bunyi brek yang ditekan kuat, langkah Suhana terhenti. Dia terkedu melihat kereta itu semakin menghampirinya. Dia kaget dan hanya terdiam begitu.

Kereta itu meluncur semakin dekat. Suhana yang kaku di tengah jalan memejam matanya. Namun matanya dibuka kembali apabila merasakan kereta itu sempat berhenti. Memang benar, kereta itu berhenti betul-betul di depannya. Kenapalah kereta itu tidak terus melanggarnya? Alangkah baiknya jika hayatnya sampai di situ sahaja.

Dalam kesamaran cahaya jalan dan cahaya lampu dari kereta itu, Suhana melihat pemandunya. Seraut wajah yang dikenali.

Fariz??



Adikku, itulah yang berlaku pada kakakmu ini. Hanya Fariz sahaja yang bisa membantu kakak sedangkan teman lelaki yang kakak harap-harapkan terus menerus menyalahkan diri ini. Biar pun hatimu terluka, tetapi akak mengharapkan ada sedikit kemaafan darimu buat akak dan Fariz.

Di saat akak menulis lembaran ini, akak dapat rasakan umur akak tidak akan panjang. Berkemungkinan akak juga tidak berkesempatan melihat wajah bayi ini. Seandainya benar gerak hati ini, akak mahu serahkan bayi ini dalam jagaan Sara. Hanya Saralah harapan akak.

Peliharalah bayi akak dengan penuh kasih sayang. Hanya kepada Saralah dapat akak sandarkan harapan. Satu saat nanti, dunia pasti mengetahui siapa bayi akak sebenarnya. Akak mohon, apabila tiba saat itu, Sara berdiri teguh dibelakangnya. Kerana dia akan lemah dengan setiap kata-kata mereka. Akak merayu dan pohon pada Sara, terimalah bayi akak seadanya. Tolonglah.......



Suhana, kakak yang sentiasa menyayangimu.....



“Kak Su......Kak Su......” Maisara menangis tersedu sedan.

Maisara menangis tersedu-sedu sambil mendakap lembaran itu di dadanya.

“Maafkan Sara, Kak Su!!”

Dia menyesali prasangka yang buruknya terhadap Kak Su. Dia tidak menyangka begitu hitam sejarah yang dilalui Kak Su. Jika dia tahu apa yang berlaku, dia sedikit pun tidak akan menyesal sekiranya Fariz memilih Kak Su. Malah dengan rela dia akan melepaskan Fariz untuk Kak Su asalkan Kak Su bahagia.

Namun segala-galanya sudah terlambat. Penyesalannya tidak dapat mengubah apa-apa kerana Kak Su sudah tiada.

Maisara memandang katil yang menjadi peraduan Suhana. Dia memandang katil itu dan membayangkan Suhana sedang berbaring di situ sambil tersenyum memandangnya. Tetapi wajah itu semakin lama semakin menghilang.

Maisara memanjat katil dan berbaring di situ.

“Maafkan Sara, Kak Su.....”

Seandainya dia dapat menatap wajah Suhana buat kali terakhir, dia akan memeluk erat tubuh itu dan memohon keampunan kerana sudah menjauhi Suhana. Tentu selama ini Suhana terkilan dengan sikapnya.

Kini, hanya yang mampu dilakukan adalah menyayangi Aiman dan melindungi anak itu. Dia sedikit pun tak menyangka hati Fariz begitu besar sehingga sanggup memberikan anak itu berbinkan namanya.

Terima kasih Fariz......

5 comments:

  1. nak lagi..........please.......................
    akhirnya.................. but Tuan Syed mesti tahu yg dia dah ada zuriat!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  2. nak n3 baru...bestnye....

    ReplyDelete
  3. sambung lagi...
    seronoknya....akhirnya terjawab jugak persoalan yang terlindung selama ini...
    sambung lagi erk...
    :)

    ReplyDelete
  4. persoalan yg terpendam akhirnya terlerai.....at last....

    ReplyDelete